Memaparkan catatan dengan label Sholawat. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Sholawat. Papar semua catatan
Khamis, Ogos 15, 2024
Pesantren al-Fatah, Temboro, terkenal sebagai pesantren yang berfahaman Asy`ariyah Ahlus Sunnah wal Jama`ah, bermazhab Syafie, bertasawwuf dan berthariqat, terutama Thariqat Naqsyabandiyyah, sebagaimana lazim pesantren - pesantren Salaf (baca: Aswaja) di Pulau Jawa. Selain daripada itu, ianya juga masyhur dengan program Tahfidzul Quran yang telah melahirkan ramai huffadz dan program dakwah melalui Jemaah Tabligh. Pesantren ini juga sohor dengan perlaksanaan Shalat Tarawih selama 8 jam, dengan al-Quran dikhatamkan 30 juz setiap malam Ramadhan dalam 20 rakaat Shalat Tarawih. Setelah kewafatan KH Uzairon, maka pesantren ini diasuh oleh adik beliau KH Ubaidillah Ahror.
Shalawat Tafrijiyyah atau masyhur juga disebut sebagai Shalawat Nariyyah sudah tidak asing lagi menjadi amalan dan wiridan umat ini. Maka, yang menolak atau mensyirikkan amalan ini tidak hanya berhadapan dengan seorang dua umat Muhammad tetapi ribuan bahkan jutaan umat yang sentiasa membasahi lidah - lidah mereka dengan melantunkan Shalawat Tafrijiyyah @ Shalawat Nariyyah ini. Adakah kita sanggup berhadapan dengan jutaan umat ini ketika dihisab? Dinamakan shalawat ini sebagai Shalawat Nariyyah adalah kerana, berdasarkan tajribah dan pengalaman, shalawat ini menjadi sebab bagi cepatnya sesuatu hajat dikabulkan Allah, sebagaimana cepatnya api membakar atau menyambar kayu api. Maka atas dasar itu dinamakan shalawat ini Shalawat Nariyyah. Sidi Muhammad Haqqi an-Nazili menyebut pada halaman 202 kitabnya yang masyhur, Khazinatul Asrar sebagai berikut: ...Penduduk Maghribi menamakan shalawat ini sebagai Shalawat Nariyyah kerana mereka, jika menginginkan sesuatu atau menolak sesuatu yang menakutkan, akan berkumpul dalam satu majlis dan membacakan Shalawat Nariyyah sebanyak 4444 kali, maka keinginan mereka akan dikabulkan dengan cepat seperti api (yakni seperti cepatnya api membakar atau menyambar kayu api).
Selanjutnya, faqir kongsi cerita yang disampaikan oleh KH Ubaidillah terkait dengan keberkatan Shalawat Tafrijiyyah @ Nariyyah. Dikisahkan bahawa di antara sebab kesuksesan Pesantren al-Fatah adalah dari keberkatan mengamalkan Shalawat Tafrijiyyah. Bahkan amalan shalawat ini dimasukkan dalam himpunan Ayatul Hirzi yang menjadi wiridan atau bacaan rutin para masyaikh dan santri al-Fatah setiap pagi dan petang. Berikut kisahnya yang disampaikan oleh KH Ubaidillah Ahror hafizahullah:-
Khamis, Julai 03, 2014
Berkat Takzim
Shalawat ke atas Junjungan Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam adalah suatu amalan yang tidak harus kita tinggalkan selagi hayat dikandung badan. Ianya umpama nyawa bagi kita, tak terbayang hidupnya jiwa seseorang mukmin, jika shalawat tidak menjadi sebahagian daripada dirinya. Betapa tidak, tanpa Junjungan Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam tidaklah kita mendapat hidayah dan taufiq Allah ta`ala untuk mengenalNya dan menjalankan segala ketentuan hukumNya yang mulia. Justru, wajar dan patut kita merafa`kan rasa syukur kepada Allah `azza wa jalla dan berterima kasih kepada Junjungan Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam. Jika sahaja kita disuruh berterima kasih dengan "wang ihsan" kerajaan Datuk Najib Tun Razak, kenapa pula tidak kita berterima kasih kepada Junjungan Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam yang membawa kita kepada kebahagiaan di dua negeri. Antara cara untuk mengungkapkan terima kasih kita kepada baginda shallaAllahu `alaihi wa sallam adalah dengan bershalawat.
Bershalawat ke atas Junjungan shallaAllahu `alaihi wa sallam adalah satu sebab yang besar untuk meraih rahmat dan keredhaan Allah ta`ala. Bukanlah sesuatu yang mustahil bagi Allah `azza wa jalla untuk membukakan pintu hidayah dan taufiqNya berkat shalawat kepada seseorang hatta tatkala dia hendak mati. Maka dengan hidayah dan taufiq tersebut, matilah dia dalam keadaan sempat bertaubat kepada Allah `azza wa jalla. Syaikh Zainuddin al-Ma'bari @ al-Malibari `alaihi rahmatul Baari dalam karya beliau yang masyhur, "Irsyadul `Ibad ila Sabilir Rasyad" pada halaman 61 menukilkan seperti berikut:-
Dikisahkan bahawa seorang ahli maksiat daripada Bani Israil ketika dia mati, mayatnya telah dicampak atau dibiarkan sahaja oleh kaumnya (yakni kaumnya enggan menguruskan jenazahnya kerana menurut mereka dia adalah seorang fasiq yang tidak harus diurus jenazahnya). Maka Allah telah mewahyukan kepada Nabi Musa `alaihis salam supaya baginda memandikan mayatnya dan menyembahyangkannya dan Allah berfirman kepada Nabi Musa ``alaihis salam: " Sesungguhnya Aku telah memberi keampunan kepadanya." Nabi Musa `alaihis salam bertanya: "Ya Tuhan, apakah sebabnya bagi yang sedemikian?" Allah berfirman: "Bahawasanya pada satu hari dia telah membuka kitab Taurat dan mendapati dalamnya akan nama Muhammad shallaAllahu `alaihi wa sallam, lalu dia mengucapkan sholawat ke atasnya, maka sebab itulah Aku mengampunkannya."
Allahu .... Allah.... ini bukan kisah mistik yang dilaporkan dalam majalah picisan. Ini adalah kisah yang diceritakan oleh para ulama yang muktabar. Ingat sekali lagi bahawa, bukanlah mustahil bagi Allah ta`ala yang berkuasa mutlak untuk membukakan pintu rahmat dan taubatnya kepada seseorang hanya kerana bershalawat. Oleh itu, jangan kita remehkan sesuatu amal kebajikan sekecil apa pun dia, kerana mungkin di situ letaknya pandangan rahmat Allah `azza wa jalla kepada kita. Begitu juga, jangan dipandang ringan sesuatu maksiat, kerana mungkin maksiat yang kecil itu jadi penyebab kita terperosok ke neraka, na`udzubillah tsumma na`udzubillah. Sentiasalah berusaha untuk tetap istiqamah atas ketaatan dan menjauhi segala kemaksiatan, mudah-mudahan mendapat kejayaan di dunia dan di akhirat.
Rabu, April 30, 2014
Doa Ibnu `Abbas RA
Perbuatan mengarang doa - doa dan shalawat - shalawat dengan berbagai rupa bentuknya sebenarnya telah dilakukan oleh sebahagian sahabat Junjungan Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam. Ini menunjukkan bahawa Islam tidak mengharamkan kreativiti seseorang untuk berkarya hatta dalam bentuk susun kata doa, munajat, ibtihalat, qasidah, shalawat dan lain - lain. Selagi mana sesuatu karya itu berkitar dalam ruang lingkup yang dibenarkan oleh syariat, maka tiada alasan untuk melarangnya. Jika sesuatu doa atau shalawat itu tidak warid daripada Junjungan Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam, tidak bererti yang ianya tidak boleh dijadikan amalan walaupun yang warid daripada Baginda Muhammad shallaAllahu `alaihi wa sallam sudah tentu lebih afdhal dan terbaik kerana keluar daripada bibir makhluk Allah ta`ala paling agung yang tiada sabdaanya melainkan atas wahyu daripada Allah `azza wa jalla. Sepupu Junjungan Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam Sayyidina `Abdullah bin al-`Abbas radhiyaAllahu `anhuma, diriwayatkan pernah melantunkan satu doa buat Baginda Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam yang sering dikutip dalam kitab - kitab shalawat ke atas Junjungan Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam. Imam al-Qadhi al-Hafiz Ismail bin Ishaq al-Azdi al-Jahdhomi al-Basri rahimahullah meriwayatkan dalam karangannya "Fadhlush Shalaati `alan Nabiy shallaAllahu `alaihi wa sallam" pada halaman 91 bahawasanya Thawus rahimahullah berkata:"Aku telah mendengar Sayyidina Sayyidina Ibnu `Abbas radhiyaAllahu `anhuma mengucapkan: " Allahumma taqabbal syafaa`ata Muhammadinil kubra, war-fa' darajatahul `ulyaa, wa a'thi-hii su'lahuu fil aakhirati wal uulaa, kamaa aataita Ibraahiima wa Muusaa". (Ya Allah, terimalah permohonan syafaat Junjungan Nabi Muhammad yang agung, tinggikanlah darjat kedudukan baginda yang muliai, kurniakanlah kepadanya segala permohonannya dalam hal akhirat dan dunia, sebagaimana anugerahMu kepada Nabi Ibrahim dan Nabi Musa.)
Sanad riwayat Sayyidina Ibnu `Abbas radhiyaAllahu `anhuma di atas adalah shahih. Maka adakah sesiapa daripada kita yang berani menghukum Sayyidina Ibnu `Abbas radhiyaAllahu `anhuma sebagai membuat bid`ah kerana menyusun doa seperti di atas. Oleh itu, jika pun sesuatu lafaz doa atau shalawat itu tidak warid datangnya daripada Junjungan Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam, ianya tetap boleh diamalkan selagimana ungkapan yang digunakan adalah layak dan selari dengan syariat Junjungan Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam. Sesungguhnya agama ini umpama pohon rendang yang hidup dan tumbuh subur sepanjang zaman sehingga para penganutnya yang bertambah dari hari ke sehari dapat bernaung di bawah naungannya yang semakin rimbun dan indah mengikut peredaran zaman sambil menikmati buah-buahnya. Tidaklah agama ini diibaratkan seperti batu yang hanya keras membatu sepanjang waktu.
Rabu, April 23, 2014
Penonjolan Berlebihan ????
"Allahumma sholli `ala Muhammad" atau "ShallAllahu `ala Muhammad" adalah antara shighah yang biasa digunakan untuk bershalawat ke atas Junjungan Nabi SAW, teristimewa pula ketika majlis - majlis mawlid dan majlis mahabbah atau Cinta Rasul yang demamnya baru sampai ke Malaysia. Dilantunkan dengan irama indah menusuk qalbu walaupun kekadang sumbang bunyinya tapi Aiman tak kisah janji shalawatan. Melihat kepada shighah shalawat, jelas dan nyata bahawa walaupun dikatakan kita bershalawat namun hakikatnya siapalah kita untuk menyampaikan shalawat ke atas manusia seagung Junjungan Nabi SAW. Maka dikembalikanlah shalawat tersebut kepada Zat yang Teragung lagi tiada tara, kekasihnya Sang Kekasih Baginda Muhammad SAW, Allah SWT untuk melimpahkan shalawat ke atas kekasihNya Junjungan Nabi SAW, maka terungkaplah kata - kata shalawat seumpama Allahumma sholli `ala Muhammad sebagaimana ajaran baginda SAW sendiri.
Makanya dalam bershalawat tetap ada sanjungan, sebutan, ingatan dan zikir kepada Allah SWT. Pasti dalam setiap shalawat ke atas Nabi SAW, kita menyeru dan memohon Allah SWT untuk melimpahkan shalawat ke atas baginda. Begitulah juga dengan qasidah - qasidah atau bait -bait syair yang dibaca, pasti ada terselit sanjungan kepada Allah SWT yang telah mencipta dan memuji kekasihNya Junjungan Nabi SAW. Contohnya dalam qasidah "Ya Hanana" yang dipopularkan oleh Habib Syech hafizahullah, kan ada dalam bait-baitnya yang menyatakan bahawa zahirnya Junjungan Nabi SAW adalah satu rahmat dan kelebihan
daripada Allah SWT. Oleh itu tidak seharusnya timbul komentar - komentar nakal terhadap amalan shalawat atau majlis - majlis mawlid atau majlis Cinta Rasul dengan kata-kata seumpama:- "Penonjolan kepada Rasulullah terlalu berlebihan sehingga menenggelamkan penonjolan kepada Allah."
Sesungguhnya apabila Rasulullah SAW diingati, maka pasti Allah telah sedia ada dalam ingatan. Kenapa tidak, bukankah ingatan kita kepada Junjungan SAW adalah atas titah perintah Allah SWT? Tidakkah Allah berfirman dalam surah al-Insyirah yang kira-kira bererti: "Dan Kami telah meninggikan bagimu, sebutan namamu." Maka majlis-majlis tersebut tadi adalah dalam rangka membenarkan firman Allah SWT untuk meninggikan sebutan nama kekasihNya yang mulia SAW. Allahu .... Allah, teringat kepada kata - kata seorang guru:-
Allah
Muhammad
Berpisah tiada
Namun Khaliq tetap Khaliq
Makhluk tetap makhluk
Allahumma sholli wa sallim `alaih
Jumaat, April 18, 2014
Raja Shalawat
Di pagi hari Jumaat ini tersangatlah elok untuk kita bershalawat ke atas Junjungan Nabi Besar Muhammad shallaAllahu `alaihi wa sallam. Shalawat Kubra adalah salah satu daripada bentuk shalawat yang telah biasa diamalkan oleh sebahagian ulama kita, Ahlus Sunnah wal Jama`ah, yang dinisbahkan kepada Imam Junaid al-Baghdadi rahimahullah. Selain dikenali sebagai "ash-Shalatul Kubra" atau "Shalawat Kubra", yakni sholawat yang besar, juga dikenali sebagai "Alfiyatus Shalawat" kerana isi kandungan merupakan ucapan jutaan sholawat dan salam ke atas Junjungan Nabi SAW. Syaikh Muslih bin `Abdul Rahman al-Muraqy rahimahullah dalam komentarnya mengenai faedah shalawat ini menyatakan: "Baik sekali bagi orang yang sedang menunaikan haji ke Makkah dan ke Madinah untuk memperbanyak membaca Sholawat Kubra ini di mana saja tempatnya asal suci dan pantas. Apa lagi pada ketika berziarah ke maqam Rasulullah SAW, maka shalawat ini sangat baik untuk dibaca di maqam yang mulia itu. Mudah-mudahan segala maksud dan cita-cita yang baik berhasil dan sukses, demikian pulalah doa yang bersangkutan dimakbulkan Allah, mendapat haji yang mabrur dan mendapat umrah yang makbul di sisi Allah dengan keberkatan shalawat ini dan dengan syafa`at baginda Nabi Muhammad Rasulullah SAW."
Syaikh Haji Muda Muhammad Waly al-Khalidy rahimahullah (gambar di atas), ayahanda Syaikhuna Prof. Dr. KH Muhibbuddin Waly al-Khalidy rahimahullah menggelarnya sebagai "Raja Shalawat" dan adalah dianjurkan agar dibaca dengan penuh khusyuk dan hudur seolah - olah berada di hadapan Junjungan Nabi SAW atau setidak - tidaknya seolah - olah kita berada di sisi makam baginda yang mulia. Alfu alfi sholaatin wa alfu alfi salaamin `alaika Ya Sayyidi Ya RasulAllah.
ash-Shalatul Kubra
Jumaat, Mac 28, 2014
Selawat Shifa` - Ustaz Ahmad Haris
Shifa' dan Tib bererti penyembuh dan obat bagi orang yang sedang sakit. Selawat ini juga sering kedengaran dibaca oleh orang - orang alim dan ianya juga adalah mujarab jika diulang bacaannya seberapa banyak yang termampu, misalnya 100 kali setiap hari, sehingga disembuhkan penyakit......
Sebenarnya amalan berdoa dengan keberkatan membaca selawat adalah termasuk di dalam pengertian " bertawassul dengan amalan soleh " yang telah diterangkan sebelum ini. Ini ialah kerana berselawat adalah perkara yang amat disunatkan, bahkan diwajibkan membacanya dalam waktu - waktu tertentu, dan bertawassul dengan zikir selawat bermakna si pembaca meminta kepada Allah Taala dengan fadhilat bacaan selawat ini agar diperkenankan segala doa - doa dan hajat -hajat ...
Jika anda menghidap bisa - bisa di kaki atau di badan, ataupun mengidap sakit jantung, cubalah amalkan bacaan selawat ini serta diludahkan sedikit di tapak tangan dan disapu di tempat yang sakit. Lebih baik lagi jika disapukan dengan minyak bam atau lain - lain dan disapukan sambil teruskan membaca selawat ini, insyaAllah sebagaimana yang telah dialami oleh beberapa orang yang telah mencubanya, Alhamdulillah boleh dirasakan perbezaannya serta mendapat kesihatan yang bertambah baik.
- "Apakah Amalan Bagi Menjauhkan Kesusahan Hidup", hal. 185
Rabu, Mac 26, 2014
Shalawat Thibbiyyah - Kalam Habib Ahmad
"Selawat adalah sesuatu yang sangat dituntut oleh syarak, namun "selawat syifa" yang diamalkan oleh sebahagian anggota masyarakat telah didapati tidak bersumberkan daripada apa-apa sumber Islam yang muktabar iaitu nas-nas al-Quran atau as-Sunnah. Bahkan kandungan selawat ini amat mengelirukan dan bercanggah dengan prinsip-prinsip aqidah Islam kerana memberikan unsur-unsur ketuhanan kepada baginda ar-Rasul saw. Adapun andaian-andaian sesetengah pihak dalam membela maksud selawat tersebut tidak dapat diterima dari segi ilmiahnya."Jadi kalau kome ke Indera Kayangan, jangan baca Shalawat Syifa` sebab deme dah kata sesat, itupun kalau kome setuju dengan petua mereka. Kalau dak setuju, baca sokmolah, pedulikanlah kebangangan puak - puak tu, Petua separuh masak tersebut telah dijawab oleh ramai ulama dan asatizah Ahlus Sunnah wal Jama`ah. Puak - puak tu pun dah diam seribu bahasa, cuma keegoan sahaja yang menghalang mereka untuk angkat tangan. Kalau setakat nak kata, bid`ah atau tak warid daripada Junjungan Nabi SAW, boleh tahan lagi, tapi sampai berani kata syirik, apa cerita. Tinggi sangatkah bahasa Arab puak - puak ni ? Allahu .... Allah. tak takut Allah ke ? Siaplah hangpa tu nanti kena jawab depan Allah kerana telah mensyirikkan jutaan orang mukmin yang lain.
Ketahuilah bahawa Shalawat Syifa` ini telah masyhur diamalkan oleh umat Islam sejak dahulu lagi, baik daripada kalangan awam muslimin maupun para ulamanya. Di antara ulama besar lagi wali yang mengamalkan sholawat ini dan menganjurkan pembacaannya adalah al-Habib Ahmad bin Hasan bin `Abdullah bin `Ali al-`Aththas rahimahumullah (1257 - 1334H / 1841 - 1916M). Habib Ahmad ath-Aththas terkenal dengan ilmu, warak dan takwa sehingga dikatakan bahawa beliau mencapai maqam al-quthbiyyah. Habib `Alwi bin bin Muhammad al-Haddad rahimahullah pernah menyatakan: "Seandainya Saadah `Alawiyyin tidak menghasilkan seseorang selain Habib Ahmad bin Hasan, maka itupun sudah cukup untuk menjadi kebanggaan mereka." Habib Abu Bakar `Aththas bin `Abdullah al-Habsyi rahimahullah menukilkan dalam karya beliau yang menghimpunkan beberapa fatwa dan kalam Habib Ahmad al-`Aththas yang berjodol "Tadzkiirun Naas" pada halaman 328 menyatakan sebagai berikut:-
Diceritakan bahawa seorang lelaki yang menghidap lemah penglihatan telah mengadu kepada al-Quthub Habib Ahmad bin Hasan al-`Aththas rahimahullah mengenai penyakitnya itu. Habib Ahmad mengusap kedua-dua mata lelaki tersebut dan menyuruhnya untuk banyak membaca Shalawat ath-Thibbiyyah. Selanjutnya Habib Ahmad menyatakan bahawa:- "Habib Muhammad bin Zain Ba`Abud menceritakan kepadaku bahawa beliau pernah menghidap penyakit mata yang teruk sehingga beliau menjadi buta. Lalu beliau telah mengadu kepada Habib Shalih bin `Abdullah al-`Aththas rahimahullah. Habib Shalih telah mengusap kedua-dua mata beliau dan menyuruhnya untuk mengamalkan Shalawat ath-Thibbiyyah dengan shighah:-
sebanyak 300 kali setiap hari. Ternyata kemudiannya, penglihatan beliau kembali seperti sedia kala. Dan aku telah diberi ijazah oleh Habib Abu Bakar bin `Abdullah al-`Aththas dan disuruh membacanya setiap selepas sholat fardhu sebanyak 3 kali."
Isnin, Mac 03, 2014
Sholawat Jalal
Ya Allah Wahai Tuhan Kami
Limpahkan sholawat keagungan tertinggi
Serta salam terindah tiada peri
Atas hadhrat KekasihMu Penghulu kami Junjungan Nabi
Litupi baginda, Ya Allah Tuhan Kami
Dengan nurMu yang suci
Sebagaimana telah Kau litupi baginda dengan awanan tajalli
Lalu ZatMu Maha Mulia baginda pandangi
Dengan pandangan hakikat segala hakikat yang diperi
Tuhannya Maha Agung yang maha melindungi
Junjungan Nabi dari segala kejahatan yang dibenci
Junjungan Nabi dari segala kejahatan yang dibenci
Ya Allah lepaskan kesulitanku seperti yang telah Kau janji.
Sholawat yang dinisbahkan kepada Syaikhul Azhar Dr. Abdul Halim Mahmud rahimahullah. Seorang ulama besar `arif billah yang telah mengabdikan dirinya untuk meninggikan kalimah Allah atas muka bumi ini. Ulama yang benar-benar menjadi pewaris Junjungan Nabi SAW yang sentiasa mengutamakan akhirat berbandingkan dunia yang fana. Bukan seperti seorang "ustaz" yang telah mengkritik Dr. Abdul Halim ini dengan menyatakan bahawa pemikiran Dr. Abdul Halim Mahmud rosak dek pegangan tasawwufnya. Dan hari ini aku menyaksikan si "ustaz" ini telah benar-benar menjadi pemburu pangkat duniawi bak anjing mencari bangkai sehingga sanggup menggadaikan prinsip dan maruah agama.... Allahu .... Allah. Mudah-mudahan Allah memelihara agama kita sentiasa.
Ahad, Januari 29, 2012
Kanjeng Nabi Pastikan Kenal
Imam Muslim rahimahullah dalam Shahihnya meriwayatkan sebuah hadits daripada Sayyidina Jabir bin Samurah radhiyaAllahu `anhu yang Junjungan Rasulullah shallaAllahu `alaihi wa sallam bersabda:
"Sesungguhnya aku kenal benar dengan seketul batu di Makkah yang pernah mengucapkan salam kepadaku sebelum aku diutuskan menjadi rasul; Sesungguhnya sekarang pun aku masih benar-benar mengenalinya."
اني لأعرف حجرا بمكة كان يسلم علي قبل ان ابعث اني لأعرفه الآن
"Sesungguhnya aku kenal benar dengan seketul batu di Makkah yang pernah mengucapkan salam kepadaku sebelum aku diutuskan menjadi rasul; Sesungguhnya sekarang pun aku masih benar-benar mengenalinya."
Allahu ... Allah, lihatlah wahai ikhwah, Kanjeng Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam ingat dan kenal dengan makhluk yang memberikan ucapan salam kepada baginda shallaAllahu `alaihi wa sallam, meskipun makhluk tadi hanyalah makhluk jamadat yang berupa seketul batu. Makanya, ambillah iktibar dan pengajaran, jika sahaja seketul batu pun masih mendapat perhatian Junjungan shallaAllahu `alaihi wa sallam dan tidak baginda lupa padanya, maka betapa pula jika yang mengucapkan salam kepada baginda itu umat baginda shallaAllahu `alaihi wa sallam. Tapi mestilah ucapan salam tersebut dilakukan dengan rasa mahabbah cinta kasih asyiq ma`syuq kepada baginda shallaAllahu `alaihi wa sallam. Itulah salam yang akan disambut juga dengan seumpamanya oleh Kanjeng Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam. Oleh itu, perbanyakkanlah shalawat dan salam ke atas Junjungan shallaAllahu `alaihi wa sallam dan belajarlah untuk melakukannya dengan rasa penuh mahabbah kepada baginda shallaAllahu `alaihi wa sallam, Sang Penyelamat kita di dunia dan di akhirat, shallaAllahu `alaihi wa sallam. Pasti Kanjeng Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam akan kenal dan ingat pada kalian yang beruluk salam kepada baginda shallaAllahu `alaihi wa sallam, batu sahaja mengucap salam sebelum bi'tsah pun dikenali dan diingati oleh baginda hatta setelah Fathu Makkah... Allahu .. Allah. Moga-moga Junjungan shallaAllahu `alaihi wa sallam mengenali kita sebagai umat baginda dan dengan itu kita beroleh kejayaan dengan memperolehi syafaat daripada baginda shallaAllahu `alaihi wa sallam.
As-Salamu `Alaika Ayyuhan Nabiyu
Wa Rahmatullahi Wa Barakaatuh,
Wa Rahmatullahi Wa Barakaatuh,
As-Salamu `Alaika, Ya Najmal Huda
Lisy Syafa`ah, Ya RasulAllah, Lisy Syafa`ah.
*************************************
Ya Ayyuhal Mukhtar - Syaikh Thaha al-Fashni
Jumaat, Ogos 26, 2011
Fadhilat Sholawat - Syarhul Ainiyyah
Jumaat terakhir bulan Ramadhan bagi tahun ini, insya-Allah, Jumaat depan dah berada dalam bulan Syawal. Mudah-mudahan keberkatan Ramadhan diperolehi kita semua. Jangan lupa memperbanyakkan sholawat ke atas Junjungan Nabi SAW pada hari yang mulia lagi berkat ini dan dalam bulan yang mulia lagi berkat ini. Insya-Allah, ganjaran yang berlipat ganda akan dianugerahkan oleh Allah yang Maha Pemurah. Untuk renung bersama, dinukilkan beberapa kelebihan bersholawat ke atas Junjungan Nabi SAW sebagaimana diutarakan oleh Habib Ahmad bin Zain al-Habsyi rahimahUllah dalam "Syarhul `Ainiyyah" yang masyhur.
Telah bersabda Junjungan Nabi s.a.w. : " Orang yang bakhil itu adalah orang yang ketika mana aku disebut di sisinya dia tidak mengucapkan sholawat ke atasku." Hadits diriwayatkan oleh Imam at-Tirmidzi daripada Baginda 'Ali r.a. dan dihukumkannya sebagai hasan shohih.
Juga didatangkannya satu riwayat lagi:- "Sesiapa yang bersholawat ke atasku, para malaikat akan bersholawat ke atasnya. Sesiapa yang bersholawat ke atasku sekali, Allah bersholawat ke atasnya 10 kali, dihapuskan daripadanya 10 kesalahan dan diangkatkan baginya 10 darjat," - dalam satu riwayat - "ditulis baginya 10 kebajikan".
Telah warid hadits yang menyatakan:- "Sesiapa yang mengucapkan salam ke atasku 10 kali, maka seolah-olah dia memerdekakan seorang hamba." ........ "Sungguh akan datang kepadaku beberapa kaum (pada hari kiamat nanti) yang aku tidak mengenali mereka melainkan dengan banyaknya sholawat mereka ke atasku." ...... "Orang yang paling berjaya di antara kamu pada kedudukannya nanti di hari kiamat adalah sesiapa di antara kamu yang paling banyak bersholawat ke atasku."
Sayyidina Abu Bakar r.a. berkata:- "Sholawat ke atas Junjungan Nabi s.a.w. lebih kuat pada menghilangkan dosa-dosa daripada air sejuk memadamkan api; Dan salam ke atas baginda lebih utama daripada memerdekakan hamba."
Daripada Sayyidina 'Umar dan Sayyidina 'Ali radiyaAllahu 'anhuma:- "Sesungguhnya doamu terhenti di antara langit dan bumi (yakni tidak naik), sehinggalah engkau mengucapkan sholawat ke atas Nabimu."
Dan telah warid: "Doa yang dipanjatkan antara dua ucapan sholawat ke atasku tidak akan ditolak. Dan sesungguhnya Allah telah mewakilkan di kuburku satu malaikat yang diberi keupayaan untuk mendengar segala ucapan makhluk. Maka tiadalah seseorang yang bersholawat ke atasku sehinggalah ke hari kiamat, melainkan sampai kepadaku akan namanya dan nama bapanya: "Inilah si fulan anak si fulan yang telah bersholawat ke atasmu."
Dan telah datang riwayat bahawasanya Allah ta'ala telah mewahyukan kepada Nabi Musa a.s.: "Keadaanmu yang paling Aku sukai dan yang paling hampir denganKu (yakni hampir dengan keredhaanNya), adalah ketika engkau memperbanyakkan ucapan sholawat ke atas Nabi Muhammad."
Dan telah warid: "Sholawat kamu ke atasku menyebabkan doa-doa kamu diterima, menyebabkan Tuhan kamu redha, menjadi zakat penyucian bagi badan (diri) kamu. Dan sesiapa yang bersholawat ke atasku dalam kitab (yakni dengan tulisan atau dengan mengucapkan sholawat apabila bertemu dengan nama Junjungan dalam sesebuah tulisan), maka sentiasalah para malaikat beristighfar baginya selama mana namaku masih berada dalam kitab tersebut."
Dan telah diriwayatkan daripada Junjungan s.a.w.: "Sholawat ke atasku adalah nur." ...."Penyuci hati umatku dan pembersihnya daripada kekaratan adalah ucapan sholawat ke atasku."
Diriwayatkan daripada Junjungan s.a.w. daripada Allah ta'ala (yakni hadits qudsi):- "Wahai Muhammad, Aku telah menjadikan engkau sebagai satu zikir daripada zikirKu, sesiapa yang menyebutmu maka dia telah berzikir kepadaKu, dan sesiapa yang mencintaimu, maka dia telah mencintaiKu."
Dan telah warid: "Sesiapa yang mengucapkan sholawat ke atasku pada hari Jumaat 80 kali, Allah akan mengampuni baginya dosa-dosa 80 tahun."
Rebutlah peluang untuk memperbanyakkan sholawat di hujung-hujung bulan yang mulia ini. Semoga segala amalan kita diterima Allah SWT.... Allahumma aamiiin.
Selasa, Ogos 23, 2011
Jangan Lupa Shalawat
Satu lagi hadits masyhur yang biasa kita dengar mengkhabarkan kehinaan bagi orang yang berat mulutnya untuk bershalawat ketika nama Junjungan Nabi SAW disebut di hadapannya. "Kehinaan bagi orang yang aku disebut di sisinya namun dia tidak bershalawat ke atasku," itulah mafhum sabdaan Junjungan SAW. Maka jangan lupakan shalawat, insya-Allah terpelihara kita daripada kehinaan yang abadi di akhirat nanti. Jangan malas-malas bershalawat, biar shalawatnya dengan bersemangat, dengan bersungguh-sungguh dan sepenuh hati. Jangan lupa juga untuk memeriahkanlah majlis-majlis kita dengan sholawat dan salam ke atas Junjungan Nabi SAW. Pasti ada keberkatannya di dunia dan di akhirat.
Sabtu, Ogos 20, 2011
Jom Shalawat
Bukankah dalam hadits masyhur yang biasa kita dengar tatkala masuk Ramadhan mengenai doa Jibril ketika Junjungan Nabi SAW naik mimbar, memberi amaran bukan sahaja kepada orang yang bertemu dengan bulan Ramadhan tetapi gagal memperolehi keampunan, ianya juga memberi amaran kepada orang yang mendengar nama Junjungan Nabi SAW disebut namun gagal bershalawat ke atas baginda. Untuk lebih menghayati, ese bawakan hadits tersebut:-

Daripada Sayyidina Ka`ab bin 'Ujarah RA yang menyatakan bahawa satu ketika Junjungan Rasulullah SAW bersabda kepada para sahabat: "Datanglah kamu ke mimbar", maka para sahabat pun datang berkumpul di sekitar mimbar. Ketika baginda menaiki satu anak tangga, baginda mengucapkan "aamiin", ketika baginda menaiki anak tangga kedua, baginda mengucapkan lagi "aamiin", dan ketika baginda menaiki anak tangga ketiga, baginda mengucapkan "aamiin". Apabila baginda selesai berkhutbah dan turun ke bawah, kami bertanya kepada baginda: " Wahai Rasulallah, kami telah mendengar daripadamu pada hari ini sesuatu yang belum pernah kami dengar." Maka Junjungan SAW bersabda: " Bahawasanya Jibril telah muncul kepadaku dan berkata: Kutukanlah bagi sesiapa yang mendapatkan bulan Ramadhan namun gagal memperolehi keampunan bagi dirinya", maka aku pun berkata: "aamiin". Ketika aku naik ke anak tangga kedua, dia berkata: "Kutukanlah bagi sesiapa yang engkau disebut di sisinya, namun dia tidak bershalawat ke atasmu", aku pun berkata; :"aamiin". Ketika aku naik ke anak tangga ketiga, dia berkata: "Kutukanlah bagi sesiapa yang mendapat ibubapanya atau salah seorang daripadanya berusia lanjut, namun mereka berdua tidak menjadi sebab baginya untuk mendapat syurga", aku pun berkata : "aamiin".Allahu ... Allahu.... ingat wahai ikhwah sekalian, tatkala nama Junjungan SAW disebut, ucapkanlah shalawat. Begitulah juga hendaknya apabila kita mendengar ucapan shalawat ke atas Junjungan SAW, sambutlah juga dengan shalawat, jangan dibiarkan begitu sahaja, takut-takut terkena kutukan Jibril AS yang diaminkan oleh Junjungan Nabi SAW. Sungguh sesiapa yang melalaikan amalan bershalawat, dia pasti akan kerugian yang amat sangat di sana nanti. Shalawat itu antara sebesar-besar amalan untuk kita bertaqarrub kepada Allah SWT sebagaimana kata Syaikh al-`Alim al'`Allaamah Wan Ahmad bin Muhammad Zain bin Mustafa al-Fathani rahimahUllah dalam karya beliau yang berjodol "Hadiqatul Azhar war Riyahin" sebagai berikut:-
"Ketahuilah olehmu, bahawasanya shalawat atas Nabi SAW itu setengah daripada sebesar-besar barang yang mendampingkan diri hamba kepada Tuhannya. Dan daripada seelok-elok dan sepatut-patut barang yang dihaluankan (yakni ditujukan) kepada hadratnya SAW kerana syukur baginya atas hidayatnya bagi kita. Dan dengan dialah tertolak sekalian mudarat dan tertarik sekalian manfaat pada dunia dan akhirat."Makanya, hadir Tarawih jangan lupa menjawab shalawat ke atas baginda SAW. Dan marila kita sempena peristiwa Badar al-Kubra, bermunajat kepada Allah berwasilahkan Shalawat Badar yang masyhur. Moga kita meraih segala keberkatan dunia dan akhirat.
Isnin, Februari 14, 2011
Shallu 'ala Khairil Anam
Malam ini kita memperingati hari kelahiran Junjungan Nabi Besar Muhammad SAW. Sekarang sambutannya turut dimeriahkan dengan konsert - konsert sholawat dan seumpamanya. Ianya adalah sesuatu yang elok dan baik, pada dasarnya, atas niat untuk membumikan sholawat, untuk menanamkan cinta kasih kepada Junjungan SAW, untuk memberi alternatif kepada hiburan-hiburan yang melalaikan, sebagai media dakwah istimewanya bagi para pemuda-pemudi yang sukakan suara-suara merdu dan bunyi-bunyian yang indah. Akan tetapi perlu diberi perhatian bahawa dalam berdakwah pun kita mesti menjaga syarat, peraturan dan adab agar apa yang dilakukan tidak mengandungi unsur-unsur yang bercanggah dengan syariat. Maka perlulah diberi perhatian agar majlis-majlis seumpama ini tidak dicemari perkara-perkara yang ditegah oleh syarak yang mulia. Antaranya hendaklah diikhtiarkan sedapat-dapatnya agar pergaulan antara hadirin terjaga dari segala unsur pergaulan bebas yang dilarang oleh Syarak. Para penganjur hendaklah lebih peka untuk menegakkan syariah dari hanya meninggikan syiar. Moga kita sentiasa dalam rahmat dan keredhaan Allah SWT dan mendapat pandangan khusus daripada baginda Nabi Besar Muhammad SAW.************************************
و أَحسنُ منكَ لم ترَ قطُّ عين
وَ أجْمَلُ مِنْكَ لَمْ تَلِدِ النّسَاءُ
خلقتَ مبرءاً منْ كلّ عيبٍ
كأنكَ قدْ خلقتَ كما تشاءُ
وَ أجْمَلُ مِنْكَ لَمْ تَلِدِ النّسَاءُ
خلقتَ مبرءاً منْ كلّ عيبٍ
كأنكَ قدْ خلقتَ كما تشاءُ
Yang lebih bagus daripadamu belum pernah disaksikan
Yang lebih indah daripadamu belum pernah wanita melahirkan
Engkau dicipta bebas dari segala keaiban
Seolah-olah menurut kemahuanmulah engkau diciptakan
Yang lebih indah daripadamu belum pernah wanita melahirkan
Engkau dicipta bebas dari segala keaiban
Seolah-olah menurut kemahuanmulah engkau diciptakan
Jumaat, Julai 02, 2010
SholatUllah 'ala Thohal Yamani
Pagi - pagi sayyidul ayyam ini eloklah kita jangan lupa memperbanyakkan sholawat dan salam ke atas Sayyidil Anam. Telah datang anjuran untuk bersholawat dengan sebanyak-banyaknya pada hari dan malam Jumaat, dan juga telah datang berbagai hadits dan atsar mengenai keutamaan bersholawat pada hari dan malam yang mulia ini. Imam Abu Nu`aim meriwayatkan bahawa Baginda 'Ali RA menyatakan:-من صلى على النبي صلى الله عليه و سلم يوم الجمعة مائة مرة جاء يوم القيامة
و معه نور لو قسم ذلك النور بين الخلق كلهم لوسعهم
و معه نور لو قسم ذلك النور بين الخلق كلهم لوسعهم
Sesiapa yang bersholawat atas Junjungan Nabi SAW pada hari Jumaat 100 kali, nescaya dia akan datang pada hari kiamat kelak dengan suatu nur yang jika dibahagi-bahagikan nur tersebut kepada sekalian makhluk pasti ianya akan meratai mereka semua bahkan berlebih lagi.
Sebelum beredar sila layan dulu qasidah karya Shohibul Mawlid, al-Habib 'Ali bin Muhammad al-Habsyi. Moga kecintaan kepada Junjungan SAW bertambah dan sholawat ke atas baginda diperbanyakkan lagi.
Khamis, April 08, 2010
Doa Habib Abdul Qadir
Telah menjadi kebiasaan para pencinta Junjungan Nabi SAW daripada kalangan ulama untuk mengungkapkan kecintaan mereka kepada Junjungan Nabi SAW melalui susunan indah kata-kata pujian dan sholawat atas Junjungan Nabi SAW. Perkara ini dilakukan sejak zaman para sahabat Junjungan Nabi SAW lagi, di mana kita dapati ada di antara para sahabat RA yang menyusun syair-syair dan lafaz-lafaz sholawat buat kekasih mereka Junjungan Nabi SAW. Mentelaah karya-karya silam, kita akan berjumpa dengan berbagai lafaz sholawat yang dinisbahkan kepada Sayyidina 'Ali RA atau Sayyidina Ibnu Ma`sud RA atau Sayyidina Ibnu 'Abbas RA dan lain-lain sahabat. Kemudian para tabi`in turut berbuat sedemikian, antara yang masyhur sighah sholawat yang dinisbahkan kepada Imam asy-Syafi`i RA. Begitu jugalah dengan wiridan dan amalan-amalan lain seperti doa-doa dan zikir mentakzimkan Allah SWT. Mereka turut menyusun berbagai rupa dan gaya doa serta munajat kepada Ilahi. Perkara ini tiadalah diingkari melainkan oleh kelompok yang memandang agama ini dengan sempit. Tertolaklah akan perkataan ahli bid`ah yang kerjanya membid`ahkan orang yang menyusun lafaz-lafaz zikir, doa, munajat dan sholawat atas Junjungan Nabi SAW.Dalam rangka memperingati pemergian al-Quthub al-Habib 'Abdul Qadir bin Ahmad as-Saqqaf rhm. dinukilkan sebuah doa susunan al-Habib. Moga-moga ada manfaatnya bagi kita dan bagi al-Habib biarlah ianya menjadi antara amalan dan ilmu yang disebardan diwariskan bagi kita sekalian. ..... al-Fatihah

Rabu, Februari 17, 2010
Sholawat ar-Ridha-iyyah
Ini satu sholawat yang dinamakan sebagai "Sholawat ar-Ridha-iyyah" yang dinisbahkan kepada as-Sayyid asy-Syaikh Ahmad ad-Dardir al-Khalwati al-Mishri rahimahUllah. Sebahagian ulama menyatakan bahawa doa seseorang selepas membaca sholawat ini 70 kali akan dimustajabkan Allah. Inilah sholawat ar-Ridha-iyyah:-

Ya Allah, limpahkanlah sholawat ke atas Junjungan Sayyidina Muhammad, sholawat keredhaan dan redhailah sekalian para sahabat baginda seredha-redhanya.
Mudah-mudahan kita diredhai Allah sentiasa berkat Junjungan Nabi SAW dan sholawat atas baginda.
Isnin, Oktober 19, 2009
Hikayat Angkat Suara
Imam Bukhari rahimahUllah dalam kitab Shohihnya meriwayatkan bahawa pernah dalam satu peperangan antara kaum muslimin dengan pihak kaum musyrikin, ada seorang lelaki yang berada dalam barisan kaum Muslimin yang begitu hebat memerangi kaum musyrikin. Kehebatannya berjuang amat mengkagumkan, akan tetapi Junjungan Nabi SAW tatkala melihat kepada lelaki tersebut telah menyatakan bahawa dia adalah ahli neraka. Maka kelakuan lelaki tersebut telah diperhatikan oleh sebahagian sahabat dan didapati bahawa lelaki yang begitu hebat melawan kaum musyrikin tersebut telah membunuh dirinya apabila tidak tahan menanggung kecederaan yang dialaminya dalam peperangan tersebut. Maka benarlah sabdaan Junjungan Nabi SAW bahawa lelaki itu menjadi ahli neraka. Junjungan diriwayatkan bersabda: "Bahawasanya ada hamba Allah yang beramal dengan apa yang dilihat oleh manusia sebagai amalan ahli syurga, sedangkan sebenarnya dia adalah ahli neraka. Dan ada pula yang beramal dengan apa yang dilihat oleh manusia sebagai amalan ahli neraka, sedangkan dia adalah ahli syurga. Sesungguhnya segala amalan itu dikira dengan kesudahannya."Allahu ... Allah, inilah hadits yang amat menakutkan kita. Ketahuilah bahawa walaupun kita kini beramal dengan berbagai amalan sholeh, tetapi kita tidak tahu bagaimana kesudahan kita nanti. Adakah akan berterusan serta meningkat ataupun akan surut dan akhirnya hilang? Berapa ramai orang yang dahulunya sewaktu belajar, amalan sholehnya subhanAllah, qiyamullailnya tak pernah tinggal, tetapi setelah punya kerjaya, sholat 5 waktu yang fardhu pun dah tak menentu.. Allahu ... Allah. Dan tidak kurang yang kita lihat, orang yang dahulunya perangainya setan pun tabik, tetapi akhirnya diberikan keinsafan, sukakan ilmu dan ulama serta beramal dengan amalan-amalan sholeh. Sungguh benar kata-kata yang sering diucapkan oleh 'ami Salim Syihab hafizahUllah, murid Buya Maliki rahimahUllah di Pontianak: Baik jadi mantan penjahat daripada jadi mantan orang sholeh. Oleh itu, jika kita telah sedikit sebanyak melaksanakan amalan-amalan sholeh, janganlah berbangga dan jangan sekali-kali merasa aman daripada suul khatimah. Sungguh dikatakan bahawa tanda-tanda seseorang itu bakal mendapat suul khatimah apabila dia telah terlalu yakin atau omputih kata udah overconfidence yang dia akan mati husnul khatimah. Ini adalah kerana apabila timbul perasaan tersebut, dia akan lupa dan merasa aman daripada makrallah menjadikannya sasaran mudah bagi setan dan nafsu sehingga akhirnya bukan husnul khatimah yang diperolehi tetapi suul khatimah. Oleh itu jangan lupa pada firmannya Allah SWT dalam surah al-A'raaf ayat 99 yang berbunyi:-
Dan juga hendaklah kita sentiasa ingat akan sabdaan Junjungan SAW:-

Dan juga hendaklah kita sentiasa ingat akan sabdaan Junjungan SAW:-
Maka tersebutlah satu kisah di mana seorang yang hidupnya atas maksiat tetapi akhirnya mendapat rahmat dan hidayah Allah SWT sehingga memperolehi husnul khatimah, mati dalam keadaan diberikan kesempatan bertaubat berkat sholawat atas Junjungan Nabi SAW. Kisah ini tercatat pada halaman 361 kitab "Nuzhatul Majalis" karya Syaikh 'Abdul Rahman ash-Shafuri asy- Syafi`i rahimahUllah, seperti berikut:-Hikayat: telah berkata sebahagian orang sholeh: Adalah bagiku seorang jiran yang suka melampaui batas, maka aku telah menyuruhnya bertaubat, tetapi tidak endahkannya (yakni setakat pengetahuan orang yang bercerita tersebut). Apabila dia mati, aku telah bermimpi melihatnya di dalam syurga. Maka aku bertanya kepadanya: "Dengan apa engkau mencapai kedudukan ini?" Dia menjawab: "Aku telah hadir pengajian seorang ahli hadits dan aku mendengar beliau menyatakan bahawa sesiapa yang meninggikan suaranya dengan ucapan sholawat ke atas Rasulullah s.a.w. wajib baginya syurga. Lalu aku pun mengangkatkan suaraku dengan sholawat ke atas Junjungan Nabi SAW dan ikut sama mengangkat suara akan segala yang hadir, maka Allah telah mengampuni kami sekalian.
Syaikh Wan Ahmad bin Musthofa al-Fathani rahimahUllah dalam karyanya "Hadiiqatul Azhaar war Riyaahiin" menukil satu kisah tersebut seperti berikut:-
... Dihikayatkan bahawasanya berkata setengah daripada ahli tashawwuf: "Adalah bagiku seorang yang berhampir rumahnya dengan rumahku yang melampaui atas dirinya dengan maksiat. Tiada diketahui ia akan hari yang ia ada padanya daripada kemarinnya daripada bersangatan mabuknya. Dan adalah aku mengajarkan dia dan menasihatkan dia, maka tiada ia terima dan aku suruhkan dia dengan taubat, maka tiada ia taubat. Maka tatkala mati ia, aku lihatkan dia di dalam mimpiku ia pada setinggi-tinggi tempat dan atasnya pakaian yang hijau daripada pakaian syurga iaitu pakaian kemuliaan dan kebesaran. Maka kataku baginya: `Dengan apa sebab engkau dapat akan martabat yang tinggi?' Katanya: `Hadir ku pada satu ketika akan majlis zikir, maka aku dengar akan orang 'alim yang ada di situ berkata ia: "Barangsiapa sholawat ia atas Nabi s.a.w. dan mengangkatkan suaranya nescaya wajiblah baginya syurga," dan mengangkat orang 'alim itu akan suaranya dengan sholawat atas Nabi dan mengangkatku dan sekalian yang hadirin akan suara mereka itu sekalian, maka diampunkan bagi kami sekalian pada hari itu, dan adalah habuanku daripada ampunan dan rahmat itu bahawa memurah Allah ta`ala atasku ini ni'mat.
Allahu .. Allah, tidaklah mustahil bagi Allah untuk memberikan hidayahnya kepada seseorang hambanya untuk bertaubat dan kembali kepadaNya hatta sebelum hamba tersebut menemui ajalnya. Sungguh, pintu taubat itu sentiasa terbuka bagi seseorang hamba sehinggalah terjadi salah satu dari dua perkara, pertama bila nyawa sudah di tenggorokan dan kedua, pabila matahari terbit dari sebelah barat. Selagi hayat di kandung badan, maka selagi itulah peluang bertaubat masih terbuka luas bagi sesiapa yang ingat bertaubat. Maka janganlah dipersia-siakan, sesungguhnya dalam hadits telah disebut bahawa setiap amalan itu dikira pada kesudahannya. Untuk pengetahuan, kisah yang sama sebagaimana disebut dalam "Nuzhatul Majalis" turut dinukil oleh Raisul Muhadditsin 'Allaamah Maulana Muhammad Zakaria dalam "Fadhail-e-Darood" yang diterjemahkan dengan jodol "Fadhilat Shalawat" pada halaman 156. Sayogia saudara-saudari, khasnya para karkun dan mastura, membaca karya mawlana tersebut agar bertambah kesungguhan kita bersholawat ke atas Junjungan Nabi SAW.Kisah tersebut pastinya bukan untuk menyuruh orang berbuat maksiat, tetapi menyuruh agar yang berbuat maksiat tetap menaruh harapan untuk kembali ke jalan Allah serta memperolehi rahmatNya, selagi ada hayat dikandung badan. Wahai ahli-ahli maksiat, kembalilah kamu ke jalanNya. Sungguh Allah SWT tetap menerima kamu, jika taubatmu tulus kepadaNya. Oleh itu, marilah kita angkat suara untuk tatkala sholawat ke atas Junjungan teristimewanya dalam majlis-majlis sholawat dan mawlid. Angkatlah suara tu pabila mendengar nama Junjungan SAW disebut, jangan malu-malu, biar meriah dan hidup majlis memperingati dan membesarkan Junjungan SAW. Ingat angkat suara tau, bukan angkat kaki, kalau angkat kaki itu mungkin dah terkena virus Wahabi.... maaf cakap.
******************************************************
Bacaan Taslim oleh Syaikh Abdul Basith rahimahUllah
Bacaan Taslim oleh Syaikh Abdul Basith rahimahUllah
Khamis, Ogos 20, 2009
Habib Ahmad bin Hamid al-Kaf
Habib Ahmad bin Hamid al-Kaf rahimahUllah dilahirkan di Kota Pekalongan, Jawa Tengah tetapi membesar di Kota Palembang. Sedari kecil beliau diasuh oleh waliyullah Habib Ahmad bin 'Abdullah bin Thalib al-'Aththas. Pada usia 7 tahun, beliau dihantar ke Hadhramaut untuk mendalami ilmu agamanya dengan para ulama di sana. Antara yang menjadi guru beliau adalah Shohibul Mawlid Simthud Durar, Habib 'Ali al-Habsyi rahimahUllah dan Habib 'Alwi bin 'Abdullah asy-Syahab rahimahUllah.
Habib Ahmad telah menjalani jalan tasawwuf dari kecil lagi dengan melakukan mujahadah dan riyadhah dengan disiplin yang tinggi. Beliau pulang ke Indonesia setelah menghabiskan masa 10 tahun belajar di Hadhramaut. Sekembalinya ke Indonesia, meskipun masih berusia muda, beliau telah terkenal sebagai seorang ulama yang zuhud dan khumul. Di Indonesia, beliau menjalankan kegiatan dakwah dan membuka majlis taklim di berbagai tempat Antara yang berkesempatan menjadi murid beliau adalah Habib Salim bin Ahmad BinJindan, Habib 'Alwi bin Ahmad Bahsin dan Habib Syaikhan al-Ghathmir yang akhirnya menjadi daie dan ulama yang terkenal. Ketinggian ilmunya Habib Ahmad turut mendapat pengiktirafan daripada waliyullah yang masyhur, Habib 'Alwi bin Muhammad al-Haddad @ Habib Kramat Empang Bogor rahimahUllah.Selain berdakwah dan menyebarkan ilmu, beliau juga amat kuat melakukan amalan-amalan lain. Wirid sholawat beliau sahaja adalah 100,000 kali sehari. Adakah orang yang mengaku-ngaku mengikut sunnah dan menolak bid`ah ada bersholawat ke atas Shohibus Sunnah sebanyak itu. Ini belum lagi qiyam dan shiyamnya beliau ... Allahu ... Allah. Tatacara beliau menjalani kehidupan zuhud dengan menjauhi berlazat-lazat dengan nikmat duniawi yang sementara amat luar biasa sehingga beliau terkenal dengan kata-kata:-
Aku belum hendak bersenang-senang sebelum aku tahu:-Soalan-soalan inilah menyebabkan Habib Ahmad rahimahUllah tidak memandang kepada kenikmatan dunia yang sementara ini. Habib Ahmad al-Kaf menghembuskan nafas terakhir beliau di Kota Palembang pada 25 Jamadil Akhir 1375H / 25 Jun 1956 Masihi. Mudah-mudahan Allah sentiasa mencurahkan rahmat dan kasihsayangNya kepada beliau dan leluhur beliau serta sekalian muslimin dan muslimat. Moga kita mendapat keberkahan daripada beliau dan nenda beliau, Junjungan Nabi SAW .... al-Fatihah.
- Apakah aku akan mengucap kalimah tauhid di akhir hayatku?
- Apakah aku akan selamat dari siksa kubur?
- Apakah timbangan amalku akan lebih berat dari dosaku?
- Apakah aku akan selamat dari jembatan shirathal mustaqim?
**********************************************************
Sholawat dinisbahkan kepada Habib Ahmad bin Hamid al-Kaf

Sholawat dinisbahkan kepada Habib Ahmad bin Hamid al-Kaf

Ya Allah, limpahkanlah sholawat ke atas Junjungan Nabi Muhammad, sholawat yang dengan keberkatannya Engkau penuhkan hatiku dengan nur, kebaikan dan kegembiraan; Dan dengan keberkatannya Engkau rezekikan aku akan rezeki yang luas mencurah-curah; Limpahkanlah juga ke atas ahli keluarga dan para sahabat baginda beserta salam kesejahteraan sebanyak bilangannya segala sesuatu.
Selasa, Ogos 04, 2009
Sholawat Penangkal Wabak
Imam Syihaabuddin al-Qasthalaani rahimahUllah menyatakan bahawa sebahagian ulama menamakan bulan Sya'baan adalah "Syahrush Sholati 'alan Nabiy" iaitu bulan sholawat ke atas Junjungan Nabi SAW. Ini adalah kerana ayat 56 surah al-Ahzaab yang memerintahkan kita bersholawat ke atas Junjungan Nabi SAW diturunkan dalam bulan yang mulia ini. Oleh itu marilah kita memperbanyakkan lagi sholawat ke atas Junjungan Nabi SAW dalam bulan yang berkat ini. Sungguh amalan bersholawat mempunyai berbagai kelebihan dan keberkatan dalam kehidupan duniawi dan ukhrawi. Antara fadhilat sholawat untuk kesejahteraan hidup kita di dunia ialah ianya boleh menjadi sebab bagi tertolaknya atau terhindarnya penularan wabak penyakit berjangkit sebagaimana pernyataan sebahagian ulama dan sholihin seperti Syaikh Ibnu Abi Hajlah dan Syaikh Ibnu Khathib.Maka tidak hairan jika beberapa ulama telah mengarang shighah sholawat yang mengandungi permohonan kepada Allah dengan berkat Junjungan SAW dan berkat sholawat agar diberikan kesembuhan daripada penyakit dan dihindarkan segala wabak. Maka terhasillah shighah Sholawat Syifa` dan sebagainya. Selain daripada Sholawat Syifa` yang telah masyhur itu, Syaikh Yusuf bin Ismail an-Nabhani rahimahUllah menyebut dalam "Sa`aadatud Daarain" halaman 629 akan satu lagi faedah bagi menolak tha`un (wabak berjangkit) dengan bersholawat dengan untaian sholawat seperti berikut:-
Ya Allah, kurniakanlah sholawat ke atas Junjungan Sayyidina Muhammad dan atas keluarga baginda; Sholawat yang Engkau tolakkan (hindarkan) daripada kami dengan keberkatannya akan segala serangan penyakit dan wabak penyakit. Wahai Tuhan yang urusanNya apabila Dia menghendaki sesuatu memadai Dia berfirman "Jadi" maka jadilah ia (tamsil bagi kehebatan dan kekuasaanNya yang mutlak).
Mudah-mudahan dengan berkat jah Junjungan Nabi SAW, Allah SWT selamatkan kita sekalian dari segala wabak penyakit termasuklah H1N1 dan lain-lain bencana dunia dan akhirat.
Jumaat, Jun 05, 2009
Sholawat al-Fatih

Sholawat al-Fatih sebagaimana di atas adalah lafaz yang biasa diamalkan sebagai wirid oleh pengamal Thoriqah Tijaniyyah, di samping itu terdapat juga lafaz-lafaz lain dengan perbezaan kecil. Syaikh Wan 'Ali Kutan al-Kelantani menulis dalam karya beliau "al-Jawharul Mawhub wa Munabbihaatul Quluub":-
Telah menyebut oleh kebanyakan daripada ariffin bahawasanya sholawat ini bagi membukakan asrar dan yang ajaib-ajaib yang terhairan oleh akal. Barangsiapa mengekali atasnya tiap-tiap hari seratus (100 ) kali nescaya terbuka baginya daripada segala hijab dan hasil baginya daripada anwar dan menunaikan segala hajat barang yang tiada mengetahui kadarnya melainkan Allah ta`ala.Kalam Syaikh Wan 'Ali ini dinukil beliau daripada perkataan Sayyidi Ahmad Zaini Dahlan dan Sidi Ahmad turut menyatakan bahawa sholawat ini bermanfaat bagi semua peringkat. Oleh itu wajar dilazimi agar memperolehi keberkatannya.
*********************************************
Bacaan Sholawat Fatih oleh Syaikh Hasan Cisse
Bacaan Sholawat Fatih oleh Syaikh Hasan Cisse
Langgan:
Catatan (Atom)

_edit_67446689578770.jpg)








