Jom Shalawat
Bukankah dalam hadits masyhur yang biasa kita dengar tatkala masuk Ramadhan mengenai doa Jibril ketika Junjungan Nabi SAW naik mimbar, memberi amaran bukan sahaja kepada orang yang bertemu dengan bulan Ramadhan tetapi gagal memperolehi keampunan, ianya juga memberi amaran kepada orang yang mendengar nama Junjungan Nabi SAW disebut namun gagal bershalawat ke atas baginda. Untuk lebih menghayati, ese bawakan hadits tersebut:-

Daripada Sayyidina Ka`ab bin 'Ujarah RA yang menyatakan bahawa satu ketika Junjungan Rasulullah SAW bersabda kepada para sahabat: "Datanglah kamu ke mimbar", maka para sahabat pun datang berkumpul di sekitar mimbar. Ketika baginda menaiki satu anak tangga, baginda mengucapkan "aamiin", ketika baginda menaiki anak tangga kedua, baginda mengucapkan lagi "aamiin", dan ketika baginda menaiki anak tangga ketiga, baginda mengucapkan "aamiin". Apabila baginda selesai berkhutbah dan turun ke bawah, kami bertanya kepada baginda: " Wahai Rasulallah, kami telah mendengar daripadamu pada hari ini sesuatu yang belum pernah kami dengar." Maka Junjungan SAW bersabda: " Bahawasanya Jibril telah muncul kepadaku dan berkata: Kutukanlah bagi sesiapa yang mendapatkan bulan Ramadhan namun gagal memperolehi keampunan bagi dirinya", maka aku pun berkata: "aamiin". Ketika aku naik ke anak tangga kedua, dia berkata: "Kutukanlah bagi sesiapa yang engkau disebut di sisinya, namun dia tidak bershalawat ke atasmu", aku pun berkata; :"aamiin". Ketika aku naik ke anak tangga ketiga, dia berkata: "Kutukanlah bagi sesiapa yang mendapat ibubapanya atau salah seorang daripadanya berusia lanjut, namun mereka berdua tidak menjadi sebab baginya untuk mendapat syurga", aku pun berkata : "aamiin".Allahu ... Allahu.... ingat wahai ikhwah sekalian, tatkala nama Junjungan SAW disebut, ucapkanlah shalawat. Begitulah juga hendaknya apabila kita mendengar ucapan shalawat ke atas Junjungan SAW, sambutlah juga dengan shalawat, jangan dibiarkan begitu sahaja, takut-takut terkena kutukan Jibril AS yang diaminkan oleh Junjungan Nabi SAW. Sungguh sesiapa yang melalaikan amalan bershalawat, dia pasti akan kerugian yang amat sangat di sana nanti. Shalawat itu antara sebesar-besar amalan untuk kita bertaqarrub kepada Allah SWT sebagaimana kata Syaikh al-`Alim al'`Allaamah Wan Ahmad bin Muhammad Zain bin Mustafa al-Fathani rahimahUllah dalam karya beliau yang berjodol "Hadiqatul Azhar war Riyahin" sebagai berikut:-
"Ketahuilah olehmu, bahawasanya shalawat atas Nabi SAW itu setengah daripada sebesar-besar barang yang mendampingkan diri hamba kepada Tuhannya. Dan daripada seelok-elok dan sepatut-patut barang yang dihaluankan (yakni ditujukan) kepada hadratnya SAW kerana syukur baginya atas hidayatnya bagi kita. Dan dengan dialah tertolak sekalian mudarat dan tertarik sekalian manfaat pada dunia dan akhirat."Makanya, hadir Tarawih jangan lupa menjawab shalawat ke atas baginda SAW. Dan marila kita sempena peristiwa Badar al-Kubra, bermunajat kepada Allah berwasilahkan Shalawat Badar yang masyhur. Moga kita meraih segala keberkatan dunia dan akhirat.

Tiada ulasan:
Catat Ulasan