Khamis, Ogos 31, 2023

Doa Perlindungan


 

Khamis, Ogos 24, 2023

Syaikh Shalih Kamal

Ulama kita Nusantara, al-`Alim al-`Allaamah Syaikh Muhammad Mukhtar Bogor rahimahullah ada meninggalkan beberapa karya tulis. Di antaranya berupa karya terjemahan dan saduran yang beliau lakukan bagi karangan seorang ulama dan mufti Hanafi Mekah yang diberi jodol al-Wahbatul Ilahiyyah dan dipinggirnya satu risalah mengenai `ataqah al-kubra. Kitab al-Wahbatul Ilahiyyah itu berisikan kaedah bagi melaksanakan fidyah sembahyang bagi orang mati, sebagaimana masyhur menurut mazhab Hanafi dan satu pendapat (qil) dalam mazhab  Syafie. Masalah fidyah sembahyang bagi orang mati ini adalah satu perkara yang menjadi ikhtilaf muktabar di kalangan para ulama Ahlus Sunnah wal Jama`ah. Dari itu berlapang dadalah dalam perkara ini, jangan mudah - mudah menyalahkan orang yang membuatnya dan jangan sekali - kali mencaci mereka kerana mereka juga mempunyai dalil dan panutan daripada kalangan para ulama yang benar. Sesiapa yang tidak melakukannya, mereka juga berada atas jalan yang benar, jalan para ulama yang `amilin mukhlashin. Manakala Risalah `Ataqah al-Kubra pula adalah risalah ringkas mengenai amalan membaca Suratul Ikhlas 100,000 kali sebagai sarana wasilah mendapatkan pembebasan Allah daripada api neraka.

Almarhum Ustaz Wan Muhammad Shaghir pernah menulis mengenai Syaikh Mukhtar Bogor dan biografi ulama ini telah tersebar dan mudah untuk kita baca. Di sini faqir ingin menulis sikit mengenai Mufti Hanafi Mekah tersebut, iaitu Syaikh Muhammad Shalih Kamal. Tulisan ini faqir kutip dari karangan `Umar Abdul Jabbar yang berjodol Siyar wa Tarajim ba`adh ulama-ina fi qarni ar-rabi` `asyr lil hijrah. Nama penuh beliau adalah Muhammad Shalih bin al-`Allaamah Shiddiq bin al-`Allaamah `Abdul Rahman Kamal al-Hanafi. Beliau dilahirkan di Mekah dalam bulan Rabi`ul Awwal 1263H. Keluarga beliau terdiri daripada kalangan alim ulama besar dan di situlah beliau memulai pendidikannya. Beliau menghafal al-Quran di usia dini dan biasa diangkat untuk menjadi imam bagi Shalat Tarawih. Selain ayahandanya sendiri, beliau berguru dengan ulama - ulama Tanah Haram, antaranya dengan Syaikh `Abdul Qadir Khauqir di mana dengannya beliau mendalami fiqh Hanafi, Sidi Ahmad Zaini Dahlan dan Syaikh Rahmatullah, pengarang kitab Idzharul Haq dan pengasas Madrasah ash-Shaulatiyyah, Mekah. Setelah dipandang layak dan mumpun ilmunya, beliau telah diberi kebenaran untuk menjadi tenaga pengajar di Masjidil Haram. 

Pada tahun 1297H, Syaikh Muhammad Shalih Kamal telah dilantik menjadi qadhi di Jeddah. Namun, jawatan tersebut terpaksa beliau tinggalkan kerana hatinya sangat rindu pada Masjidil Haram dan Ka`batullah al-Musyarrafah. Di Mekah, beliau terus mengabdikan dirinya untuk mengajar dan menyebarkan ilmu. Syarif `Abdul Muthallib bin Ghalib, amir / gabenor Mekah ketika itu, amat menghormati dan menyanjungi beliau, bahkan sering bertanyakan pendapat beliau dalam pelbagai kemusykilan. Ketika almarhum amir tersebut wafat, beliau telah dimandikan serta dikafankan oleh Syaikh Muhammad Shalih sesuai dengan wasiat sang amir.

Pengganti Syarif `Abdul Muthallib, Syarif `Aun, telah memberi kebenaran untuk Syaikh Muhammad Shalih berfatwa, menjadi imam dan khatib di Masjidil Haram. Sekitar tahun 1305, beliau dilantik pula menjadi naib qadhi yang beliau laksanakan tanggungjawabnya dengan penuh keikhlasan dan amanah. Segala lantikan sebagai naib qadhi dan qadhi tidak menghalang beliau untuk terus mengajar. Para murid sentiasa mendatangi beliau untuk mengambil manfaat daripada ketinggian ilmunya sehingga beliau diangkat sebagai mufti bagi para pengikut Mazhab Hanafi. Di antara murid - murid beliau adalah Syaikh Muhammad al-Marzuqi, Syaikh Ali Kutbi, Syaikh Sa`dullah al-Hindi, Syaikh `Ali Badri dan Syaikh Amanullah, yang semuanya adalah alim ulama Masjidil Haram.

Syaikh Muhammad Shalih Kamal bin Shiddiq Kamal tutup usia pada tahun 1332H di Kota Mekah. Jenazah beliau telah dibawa ke Masjidil Haram untuk disembahyangkan di sisi Multazam dengan diimamkan oleh Syaikh Sulaiman Hasbullah al-Makki asy-Syafie. Syaikh Sulaiman ketika menyaksikan jenazah Syaikh Shalih Kamal mengungkapkan kata - kata: "Pada hari ini telah mati fiqh Abu Hanifah", yakni hilangnya seorang pakar rujuk dan faqih Mazhab Hanafi. Selain murid - murid, Syaikh Shalih Kamal turut meninggalkan beberapa karangan, antaranya:- Tabshiratush Shibyan wa Tadzkiratul Ikhwan, `Uqudud Durrin Nadhid fi manaqib Sayyidinal Husain asy-Syahid, al-Wahbatul Ilahiyyah dan Risalah `Ataqah al-Kubra. Semoga Allah sentiasa merahmati Syaikh Muhammad Shalih Kamal dan menempatkan beliau di kalangan para awliya` dan shalihin bi jiwari as-Sayyidil Amin `alaihi afdhalus shalah wa azkas salaam.

Jumaat, Ogos 04, 2023

Sebab Musabbab - "Ramuan Rapi"

Shahibus Samahah al-`Alim Dato Haji Muhammad Nor bin Ibrahim (1905 - 1987) rahimahullah adalah antara tokoh ulama tanahair. Beliau dilahirkan di Kota Bharu, Kelantan Darun Na`im. Ayahandanya adalah seorang ulama tersohor yang menjadi mufti Kelantan yang terkenal dengan gelaran Mufti Haji Ibrahim Tok Raja dari keturunan Tuan Padang @ Haji Ahmad bin Haji Yusuf bin Haji Abdul Halim al-Yunani. Dato Haji Muhammad Nor menuntut ilmu agama sehingga ke Makkah al-Mukarramah dan antara guru beliau adalah Tok Senggora  @ Syaikh Muhammad bin Abdullah, Syaikh Hasan Masyath, Sidi Amin Kutbi, Syaikh Muhammad Nur al-Fathani, TG Pak Da `Eil al-Fathani dan ramai lagi ulama Makkah ketika itu.

Di antara karya tulis Dato Muhammad Nor adalah sebuah kitab tafsir ringkas bagi Surah al-Kahfi yang diberi jodol "Ramuan Rapi Dari Arti Surah al-Kahfi". Kitab ini telah diterbit pertama kalinya pada tahun 1957 dengan tulisan jawi sekitar 53 halaman. Di antara isi kandungan yang dibahaskan dalam kitab tersebut adalah persoalan ikhtiar usaha dan sebab musabbab. Beliau menegaskan betapa pentingnya kita menjalankan sebab bagi menghasilkan musabbab. Namun ini tidaklah bererti bahawa segala sebab itu memberi bekas, hanyasanya yang memberi bekas hanya Allah, Zat yang menjadikan segala sebab tersebut dan musabbabnya. Oleh itu, kita diperintahkan untuk menjalankan sebab tanpa melupai bahawa yang memberi bekas hanya Allah, Tuhan yang Maha Pencipta. Hal ini mengingatkan faqir kepada pengajian tauhid satu ketika dahulu dengan almarhum guru faqir, Ustaz Adnan Nasution (nota: tidak ada hubungan dengan Saifudin Nasution mungkin hanya satu marga, ini guru faqir bermarga Nasution yang berasal dari Tapanuli Selatan), yang menyatakan bahawa alam dunia ini adalah alam hikmah di mana Allah yang Maha Bijaksana menjadikan sesuatu itu melalui proses sebab musabbab. Maka penampakan Qudrat kekuasaan Allah dilindung / ditapok / dihijab / disamar / di"camouflage" dengan berbagai sebab, contoh seperti terhasilnya buah - buahan dari pohon yang hidup subur tumbuh di tanah, turunnya hujan turun dari awan yang gelap dan sebagainya. Semua ini dijadikan Allah antara hikmahnya untuk menguji keimanan dan makrifat hamba - hambaNya. Maka ada daripada mereka yang hanya melihat atau terhenti pada sebab sehingga lupakan Allah yang Maha Berkuasa, Zat yang memberi bekas dan yang menjadikan segala sebab dan musabbab. Berbeza dengan alam akhirat, di sana jelas nampak Qudratullah semata, tamsilannya seperti wujudnya buah - buahan tidak memerlukan pepohon atau terbit dari pohon yang tumbuh menyongsang, akarnya ke langit tergantung manakala ranting dan buahnya ke tanah sehingga mudah dipetik. Maka alam akhirat itu disebut sebagai alam qudrah, yakni alam di mana Qudratullah itu nampak dengan jelas tanpa dihijab oleh sebarang sebab.... Allahu ...Allah.

Berbalik kepada persoalan sebab musabbab, maka sekelumitnya faqir petik dari halaman 4 -5 kitab Ramuan Rapi tersebut, di mana Dato Muhammad Nor menulis berkenaan sebab musabbab dan tawakkal, antaranya beliau menyatakan sebagai berikut:- ....Ghazali dalam Ihya` menegaskan masalah ini dengan keterangan maksudnya: "Orang yang tidak hendak menggunakan satu - satu sebab yang dengannya terikat satu - satu musabbab, maka ialah orang yang hendak melawan hikmah Tuhan dan ialah orang yang jahilkan sunnatullah atau upacara Tuhan pada kejadianNya." Kalau orang yang lapar hanya menanti Tuhan jadikan kenyang diperutnya dengan tak payah benda yang mengenyang atau hanya menanti Tuhan menyampaikan makanan ke dalam ma`idahnya dengan alasan kalau ia menjalankan sebabnya seperti menyuap, mengunyah dan menelan makanan itu, nescaya hilanglah erti wajib bertawakkal dan berserah kepada Tuhan yang menjadikan segala-gala, - Kalau ada orang semacam itu, kata Ghazali, maka itulah orang yang gila atau bebal juga orang yangjahilkan sunnatullah dan tidak fahamkan erti tawakkal.  ...... Hendaklah diingat bahawa ketetapan satu - satu sebab menerbitkan musabbabnya, juga ketetapan terbit satu musabbab dari satu sebab yang khas itu ialah ketetapan yang semata - mata ditentukan oleh Tuhan yang Maha Bijak lagi Maha Kuasa sebagai undang - undang am bagi kejadianNya. Maka orang yang ingat dan percaya begitu tentu berpendapatan bahawa undang-undang itu - pada suatu masa yang istimewa atau peristiwa yang khas - mungkin dan boleh juga terpinda dan terubah menurut hikmah dan perintah Tuhan yang Maha Kuasa; Mungkin terbit musabbab dari satu sebab yang luarbiasa, mungkin satu sebab tidak menerbitkan musabbabnya yang biasa dan mungkin pula tidak menerbitkan musabbab langsung. Dengan kerana kemungkinan yang tersebut maka diwajibkan seseorang bertawakkal dan berserah kepada Tuhan, Pencipta segala - gala, menyempurnakan maksudnya setelah ia usaha mencukupkan sebab maksud itu, dan pada perkara yang tidak diketahuikan sebabnya disuruh pula berdoa sama, mudah - mudahan beroleh petunjuk dan jalan yang betul.....

Dato Muhammad Nor membahaskan perkara ini dengan panjang lebar dalam kitab beliau tersebut, silalah tuan puan rujuk ke sana dan baca dengan cermat. Sebagai kesimpulan ringkas, kita sewajarnya menjalankan segala sebab sebagaimana yang diperintahkan agama, namun jangan sesekali bergantung dengan sebab sehingga lupa berserah dan bertawakkal kepada Allah yang menciptakan segala sebab musabbab dan hanya Dia sahajalah yang Maha Berkuasa dan yang memberi bekas. Sebagai catatan, Dato Muhammad Nor mengakhiri kitabnya tersebut dengan Shalawat Badawi Shughra @ Shalawat Nuril Anwari yang berkat.