Memaparkan catatan dengan label Peristiwa. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Peristiwa. Papar semua catatan

Jumaat, September 05, 2025

Mawlid al-Ja'fari

Di antara karya mawlid yang kontemporer adalah yang digubah oleh waliyullah, ulama besar dan imam Masjid al-Azhar, Syaikh Shaleh al-Ja'fari rahimahullah. Karya tersebut dinamakan sebagai al-Aqmaarun Nuraaniyyah atau lebih dikenali sebagai Mawlid al-Ja'fari. Dalam mukaddimahnya, Syaikh Shaleh berkongsi pengalaman rohani yang dialaminya ketika menulis mawlid tersebut. Beliau menceritakan bahawa ketika memulakan karangan mawlid ini, beliau direzekikan bermimpi bertemu dengan malaikat Jibril `alaihis salam. Dalam mimpi tersebut beliau meminta Sayyidina Jibril untuk mendoakan beliau dan Sayyidina Jibril berkata: "Allah yang akan menyempurnakan." Maka, karangan mawlid tersebut dapat disempurnakan dengan izin Allah berkat doa Sayyidina Jibril. Selanjutnya Syaikh Shaleh telah mengijazahkan / memberi kebenaran kepada sesiapa sahaja daripada kalangan orang Islam untuk membaca karya mawlid beliau tersebut pada setiap malam Isnin dan Jumaat. Beliau mendoakan agar pembacaan tersebut menjadi sebab bagi meluaskan rezeki, memperolehi keafiatan, menunaikan hajat dan mendapat taufik untuk melakukan ketaatan serta meraih keredhaan Allah.

Sebagaimana umumnya karangan - karangan mawlid para ulama kita, Syaikh Shaleh memuatkan juga penegasan bahawa seawal - awal makhluk yang dijadikan Allah adalah Nur Muhammad sebagaimana riwayat yang dikeluarkan oleh al-Hafiz `Abdur Razzaq al-Yamani rahimahullah daripada Sayyidina Jabir bin Abdullah al-Anshar radhiyaAllahu `anhu. Pada Fasal Ke-2, beliau menyatakan antara lain: "...Telah ijmak para ulama sesungguhnya baginda shallaAllahu `alaihi wa sallam adalah seafdhal - afdhal makhluk (secara mutlak), baik di alam tinggi maupun di alam bawah......Maka seawal - awal ciptaan Allah adalah nur zat baginda yang amat terpuji sebagaimana yang diriwayatkan oleh al-Hafiz `Abdur Razzaq al-Yamani dalam musnadnya daripada sahabat Anshar, Sayyidina Jabir bin `Abdullah.....". Ini menjadi bukti nyata bahawa masyhurnya Hadis Jabir tersebut di sisi para ulama kita, jika pun tidak semua ulama yang bernaung di bawah panji Ahlus Sunnah wal Jama`ah tetapi kebanyakannya. Ini tidaklah menafikan segolongan ulama kita yang tidak bersetuju dengan hal tersebut. Maka janganlah dijadikan perkara ini sebagai punca perbalahan di antara kita. 

Syaikh Shaleh juga dalam mawlid tersebut menyentuh beberapa masalah hukum seperti anjuran bertawassul dengan baginda shallaAllahu `alaihi wa sallam, menziarahi makam baginda di Madinah al-Munawwarah dan di akhirnya beliau berpesan tentang kewajipan bertaklid kepada salah satu daripada mazhab yang empat serta berpegang dengan aqidah al-Asy`ariyyah. Pada Fasal ke-25, beliau rahimahullah berpesan, antara lain sebagai berikut:- "....Ulama al-Azhar asy-Syarif telah menyatakan bahawa wajib atas seseorang untuk mengikut salah seorang imam daripada empat imam mazhab fiqh, terutama sekali bagi sesiapa yang tidak mendalami pengajian al-Quran dan as-Sunnah ........ Dan demikian juga, wajib atas setiap orang untuk mengikut Imam al-Asy`ari dalam perkara akidah tawhid......" Mudah - mudahan kita dapat menuruti pesanan beliau tersebut dengan tetap istiqamah atas jalan Ahlus Sunnah wal Jama`ah atas jalan Imam Abul Hasan al-Asy`ari atau Imam Abu Mansur al-Maturidi dan bermazhab. Semoga kita memperolehi kejayaan dan syafaat Baginda Muhammad shallaAllahu `alaihi wa sallam di akhirat nanti.

Fashal Ke-2: al-Aqmaarun Nuraaniyyah

Sabtu, Disember 14, 2024

Karamah Imam Nawawi

Imam Muhyiddin an-Nawawi (631H - 676H) 
radhiyaAllahu `anhu adalah seorang ulama besar lagi wali, bahkan quthubnya para wali yang telah dizahirkan Allah atasnya berbagai karamah, samada hissi atau maknawi. Antara karamah beliau adalah karya - karyanya yang banyak sehingga berjilid - jilid kitab besar yang amat bernilai yang beliau tulis dalam umur beliau yang relatif singkat. Beliau wafat ketika berusia hanya lebih kurang 45 tahun sahaja, dalam usia singkat tersebut beliau dianugerahkan Allah ilmu dan kebijaksanaan serta kemampuan untuk mengarang dan segala karangan tersebut amat bermanfaat dan menjadi  rujukan serta panduan umat sehingga ke hari ini. 

Di antara karamah hissi yang sempat dirakam dalam kitab - kitab para ulama pula adalah sebagaimana yang disebut oleh Imam Jalaluddin as-Sayuthi rahimahullah dalam karya beliau berupa manakib Imam an-Nawawi dengan jodol al-Minhajus Sawi. Pada halaman 48 dinyatakan sebagai berikut:- ....Telah aku (yakni Imam Taqiyuddin as-Subki dan mungkin juga diri Imam Sayuthi sendiri) melihat dalam "Majmuk" yang disalin oleh Syaikh Syamsuddin al-`Iyzari asy-Syafie (seorang ulama Syafie yang wafat tahun 808H, memiliki beberapa karangan antaranya mukhtashar bagi kitab al-Quut karya Imam al-Adzra`ie dan ta'liq atas Syarhul Kabir bagi Imam ar-Rafi`ie) menyatakan bahawa penjaga pintu gerbang Madrasah ar-Rawahiyyah (sebuah madrasah yang mengajar Mazhab Syafie di Kota Damsyik yang letaknya di timur laut Masjid al-Umawi) berkata: "Pada suatu malam Imam an-Nawawi telah berjalan keluar dan aku mengikut beliau. Ketika sampai di pintu gerbang madrasah, pintunya terbuka sendiri. Beliau pun keluar dan aku berjalan bersamanya beberapa langkah, tiba - tiba kami sudah berada di Kota Mekah. Imam Nawawi pun berihram umrah dan melaksanakan tawaf dan saie. Setelah selesai, beliau melanjutkan dengan bertawaf sunat sepanjang malam sebelum pulang. Ketika hendak pulang, aku berjalan di belakangnya, tiba - tiba sahaja kami telah berada semula di Madrasah ar-Rawahiyyah.

Inilah antara karamah yang pernah berlaku atas Imam an-Nawawi dan dirakam oleh para ulama kita. Karamah ini yang berupa thayyul ardh, di mana Allah melipatkan bumi bagi beliau, sehingga jarak yang jauh dari Damsyik ke Mekah dapat ditempoh dengan hanya beberapa langkah. Mudah - mudahan kita mendapat berkat dan syafaat daripada al-Imam al-Faqih al-Muhaddits Muhyiddin Abu Zakaria Yahya bin Syaraf an-Nawawi asy-Syafie ad-Dimasyqi radhiyaAllahu `anhu.

Rabu, Disember 04, 2024

Awalnya Darul Arqam ......

Pada awal, dakwah yang dimulakan oleh Allahyarham Ustaz Haji Ashaari dengan Yayasan Darul Arqamnya tidaklah melenceng dari jalan kebenaran. Amalan Aurad Muhammadiah yang beliau amalkan sejak remaja, masih tidak menyimpang dari landasan yang diletak oleh pengasasnya. Ketika itu, tidak timbul dakwa - dakwi yang berbagai, hatta sekitar penghujung 90an, Ustaz Haji Ashaari, dalam majlis - majlis pengijazahan amalan Aurad Muhammadiah, masih dengan jelas menyatakan bahawa Syaikh Muhammad as-Suhaimi @ Kiyai Agung telah pun meninggal dunia. Isu - isu berkaitan Imam al-Mahdi, Fata at-Tamimi dan sebagainya tidak pernah ditimbulkan. Di awal polemik, pihak Darul Arqam sempat mendapatkan pandangan daripada pihak Nahdlatul Ulama, ormas muslim yang terbesar di Indonesia. Pihak Nahdlatul Ulama dalam keputusan mereka yang dikeluarkan pada 12 Ogos 1994 memutuskan, antaranya: " Sampai saat ini, Pengurus Besar Nahdlatul Ulama tidak melihat adanya hal - hal yang dianggap sesat dari aqidah Darul Arqam ....."

Namun, sayangnya setelah jemaah tersebut berkembang sehingga ke tahap yang membanggakan, maka timbul perasaan ujub, merasa kagum dan takjub dengan kehebatan jemaah dan pemimpinnya, sehingga memandang rendah dan memperlekehkan orang dan jemaah lain. Maka bermulalah indoktrinasi bahawa inilah jemaah pilihan, jemaah terpilih jemaah akhir zaman, jemaah pendokong Imam al-Mahdi dan dan dan sebagainya. Ketika itulah, penyimpangan demi penyimpangan mula berlaku sehingga difatwakan sesat dan diharamkan oleh kerajaan. Benarlah kata sebahagian ulama: "Ra'sul mal al-`ulama`, ath-tawadhu` (modalnya para ulama itu bersikap tawadhu` merendah diri), justru ulama yang tidak tawadhu seumpama pedagang yang tidak balik modal atau kehilangan modal yakni mengalami kerugian. Semoga kita semua ditetapkan Allah atas jalan kebenaran sehingga ke akhir hayat.

Penjelasan Allahyarham Ustaz Ashaari 
(Majlis Pengijazahan sekitar 90an)

Rabu, September 18, 2024

Mimpi Syah Abdur Rahim

Imam Musnid Hindi, Muhaddits Dehlawi, Syah Waliyullah Ahmad bin Abdur Rahim ad-Dehlawi (w. 1176H) rahimahullah, tokoh ulama pelbagai bidang, mufassir, sufi dan muhaddits, mempunyai karangan yang menghimpunkan 40 kisah mimpi atau pengalaman kerohanian yang menggembirakan. Risalah tersebut beliau namakan ad-Durruts Tsamin fi mubasysyarat an-Nabiyyil Amin shallaAllahu `alaihi wa sallam. Tulisan ini mengandungi pengalaman rohani dan mimpi dirinya dan beberapa tokoh lain seperti ayahandanya Syah Abdur Rahim, Syaikh Ahmad al-Qusyasyi dan Syaikh Ahmad an-Nakhli, yang direzekikan Allah ta`ala untuk bertemu dan berinteraksi dengan Junjungan Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam atau dengan beberapa pribadi mulia lain seperti Nabi Zakaria `alaihis salam.

Tidak ada yang menolak harus dan boleh bagi seseorang untuk bermimpikan Junjungan Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam. Beberapa hadits yang shahih menyatakan hal ini, antaranya apa yang diriwayatkan oleh Imam Muslim bahawa Junjungan shallaAllahu`alaihi wa sallam menyatakan sesiapa yang melihat baginda di dalam mimpi, maka benarlah dia telah melihat baginda kerana syaitan tidak mampu untuk menyerupai baginda (yakni dalam bentuk rupa asli baginda sebagaimana dalam riwayat - riwayat yang sahih). Dalam mimpi yang sedemikian, tidaklah mustahil untuk berlakunya interaksi di antara Junjungan Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam dengan orang yang bermimpi. Maka, interaksi tersebut, samada berupa ungkapan kata atau laku perbuatan, jika dikatakan sebagai "hadits", maka ianya bukan atas istilah hadits mengikut disiplin ahli hadits atau ilmu mustalah hadits dan yang berkaitan dengannya. Ini hendaklah kita fahami betul - betul, sebelum mensabitkan sesuatu riwayat yang diperolehi dari jalan yang tidak mengikut piawai para muhaddits sebagai hadits dalam istilah ilmu hadis dan sebelum mentohmah kebohongan dan kepalsuan kepada para awliya` yang telah benar - benar berinteraksi dengan Junjungan Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam dalam mimpi - mimpi atau pengalaman rohani secara yaqazhatan.

Syah Waliyullah Muhaddits Dehlawi, bukanlah tokoh yang asing dalam ilmu hadits. Beliau adalah ahli hadis, muhaddits bahkan dianggap sebagai musnid, juga seorang reformis selain seorang mufassir, usuli, faqih lagi sufi. Pada mukaddimah ad-Durruts Tsamin, beliau menulis sebagai berikut:- 
.. Amma ba'du, maka berkatalah hamba yang paling dhaif daripada segala hamba - hamba Allah al-Karim, Ahmad yang dikenali dengan gelaran Waliyullah bin `Abdur Rahim al-`Umari al-Dehlawi: "Inilah 40 "hadits" [faqir letakkan dalam tanda petik sebagai isyarat bagi penggunaan kalimah "hadits" secara longgar sebagai apa sahaja yang diterima daripada Junjungan Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam dan bukannya atas pengertian hadits sebagaimana dalam istilah muhadditsin dan ilmu - ilmu hadits.] daripada "hadits - hadits" Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam yang diriwayatkan secara mimpi atau secara musyahadah akan roh baginda yang mulia. Telah aku himpunkan akan dia [yakni, "hadits - hadits" tadi] dalam risalah ini, antaranya apa yang diterima tanpa ada sebarang perantara (wasithah) di antara aku dengan baginda shallaAllahu `alaihi wa sallam [yakni, pengalaman pribadi beliau sendiri, iaitu beliau meriwayat terus daripada baginda shallaAllahu `alaihi wa sallam]; Antaranya, apa yang di antara aku dengan baginda shallaAllahu `alaihi wa sallam] ada satu wasithah sahaja [yakni, beliau menerima daripada riwayat seseorang yang mengalaminya sendiri seperti daripada pengalaman ayahandanya.]; Dan antaranya lagi, apa yang di antara aku dengan baginda shallaAllahu `alaihi wa sallam ada dua atau lebih wasithah (perantara / rawi). Aku namakan risalah ini ad-Durruts Tsamin fi mubasysyarat an-Nabiyyil Amin shallaAllahu `alaihi wa sallam.
 
Maka dalam mimpi pun Junjungan Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam masih boleh berbicara dengan si pemimpi, apa yang disabdakan oleh Junjungan shallaAllahu `alaihi wa sallam dalam mimpi tersebut bagi sesetengah ulama, secara longgar juga disebut sebagai "hadits". Namun ianya bukanlah atas istilah disiplin ilmu hadits yang menjadi sumber hukum dalam Islam. Maka "hadits" yang diterima melalui pengalaman rohani seseorang, sekali - kali tidak menjadi sumber pegangan iktiqad dan hukum - hakam syariat. Sungguhpun begitu, pengalaman kerohanian yang benar atas penyaksian al-Kitab dan as- Sunnah, yakni yang tidak bercanggah dengan akidah dan syariat juga akhlak, seperti mimpi - mimpi yang benar, walaupun tidak dapat menjadi hujjah dalam persoalan aqidah pegangan dan hukum hakam, namun sedikit - sebanyak, dapat memberi tambah nilai atau panduan dan penjelasan berhubung sesuatu pegangan atau hukum yang telah disabitkan dari sumber - sumbernya mengikut kaedah dan usulnya masing - masing. Jika boleh kita qiyaskan dengan sesuatu penghakiman Mahkamah, maka ianya walaupun bukan ratio decidendi bagi keputusan penghakiman tersebut, namun ianya , sedikit - sebanyak, mempunyai nilai obiter dictum. Maka tidak hairan, jika Syah Waliyullah Muhaddits Dehlawi meluangkan masanya yang berharga untuk menghimpun pengalaman - pengalaman kerohanian dan mimpi - mimpi gembira tersebut dalam satu risalah serta meriwayatkannya dan tidak membakulsampah semuanya sebagai karut - marut.

Berbalik kepada tujuan asal entri ini, pada "hadits" (yakni "hadits" dengan makna yang longgar tadi kerana mengikut kalimah yang digunakan oleh Syah Waliyullah dalam karangannya tersebut, jika kita keberatan dengan penggunaan kalimah "hadits" atas kekhuatiran terkeliru dengan hadits dalam istilah muhadditsin, maka kita sebut sahaja sebagai kisah atau cerita atau mimpi) yang ke-22. Maka kata Syah Waliyullah: Telah mengkhabar akan daku  ayahandaku (Syah Abdur Rahim) dengan katanya:
Adalah menjadi kebiasaanku pada setiap tahun untuk menyediakan makanan yang aku sedekahkan sebagai shilah dengan Junjungan Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam (yakni sedekah khusus untuk memuliakan kelahiran Junjungan Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam), maka jatuh pada satu tahun dari tahun - tahun tersebut, di mana aku tidak mempunyai kelapangan rezeki bagi menyediakan makanan untuk disedekahkan selain kacang kuda goreng. Lalu aku bahagi - bahagikan kacang kuda tersebut kepada orang sebagai sedekah. Setelah itu, aku telah bermimpi bertemu Junjungan Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam dalam keadaan baginda berseri - seri riang gembira dan di hadapan baginda terhidang kacang kuda yang telah aku sedekahkan (yakni, isyarat atas kegembiraan Junjungan shallaAllahu `alaihi wa sallam terhadap perbuatan tersebut).
Allahu... Allah, risalah Syah Waliyullah ini telah masyhur dan tersebar di kalangan para ulama dan antara yang meriwayatkan risalah ini sehingga sampai kepada kita adalah Ra-isul Muhadditsin Mawlana Zakaria al-Kandahlawi yang menerimanya daripada guru - guru beliau sambung menyambung sehingga kepada Syah Waliyullah Muhaddits Dehlawi `alaihim rahmatul Mawlal Bari. Terpulanglah samada untuk percaya atau tidak kepada mimpi - mimpi dan pengalaman kerohanian para ulama dan awliya yang direkodkan oleh seorang ulama dan wali. Yang menerimanya pula janganlah memandai - mandai untuk berhukum terus dengannya, sehingga mengeluarkan hukum - hakam yang entah apa - apa seperti "sunat bersedekah kacang kuda goreng di hari mawlid' atau seumpamanya. Ingatlah, bahawa untuk menetapkan sesuatu pegangan dan mengeluarkan hukum - hakam, ada usul dan kaedahnya. Setiap bidang itu ada adab dan disiplinnya yang perlu kita perhati, ikut dan jaga, agar kefahaman dan pemahaman kita benar dan tepat mengikut jalan orang - orang yang beriman sebagaimana yang ditunjuk dan dipandu oleh para ulama kita Ahlus Sunnah wal Jama`ah. Semoga ada manfaatnya.

Khamis, Februari 08, 2024

Dialog Langit & Bumi

Durratun Nashihin adalah sebuah karangan yang tidak asing lagi di kalangan santri. Sekian lama ianya menjadi materi pembelajaran di pesantren dan juga di masjid. Sungguhpun, kitab ini dikatakan oleh ramai pengkaji sebagai mengandungi hadis - hadis yang dhaif bahkan palsu, namun hingga kini ianya masih beredar dan dibaca. Walaupun ada riwayat - riwayat yang bermasalah, namun ajaran, nasihat dan pedoman yang terkandung tidaklah menyalahi akidah, syariat dan akhlak yang dibawa oleh Islam. Usaha untuk meneliti riwayat - riwayat hadis yang terkandung dalam kitab ini juga telah banyak dilakukan, antaranya oleh pengkaji tempatan seperti Ahmad Lutfi Fathullah, Jawiah Dakir dan Mazlan Ibrahim, dalam penelitian mereka yang berjodol Nilai Hadis Dalam Durrat al-Nasihin. Usaha sebegini sedikit - sebanyak dalam memberi gambaran kepada kita tentang kekuatan riwayat - riwayat yang ada di dalam Durratun Nashihin. Namun, penelitian tersebut tidaklah boleh dianggap sebagai muktamad atau qathie atau tetak putus atau exhaustive kerana ikhtilaf juga berlaku dalam penilaian sesuatu riwayat dan ada juga riwayat - riwayat yang ..."belum dapat dikesan"..., di mana statusnya hanya berdasarkan anggapan sahaja. Ini pendapat faqir sahaja, nak pakai pakai, tak nak tak mengapa. Faqir tidaklah mengatakan bahawa segala yang terkandung dalam kitab tersebut hendaklah ditelan bulat - bulat atau diterima secara mutlak atau dijadikan rujukan utama dalam akidah dan ibadah kita. Ini adalah kerana faktor riwayat yang bercampur tadi dan juga perbezaan mazhab pengarangnya iaitu Hanafi dengan kita yang bermazhab Syafie. Namun jika sekadar mengambil faedah daripada segala nasihat dan teladan berdasarkan riwayat dan hikayat, tidaklah mengapa.

Pengarang kitab Durratun Nashihin bernama Utsman bin Hasan bin Ahmad asy-Syakir al-Khubawi ar-Rumi al-Hanafi rahimahullah, yang digelar oleh Syaikh Umar Ridha Kahhalah sebagai seorang wa`iz (penceramah / juru nasihat), mufassir dan muhaddits, hidup di akhir abad ke 12H di zaman Dinasti Utsmaniyyah. Kitab ini selesai beliau tulis sekitar tahun 1224H. Dalam penulisannya, beliau telah merujuk kepada sekurang - kurangnya 75 buah kitab dan menukil daripadanya. Di antara 75 buah kitab tersebut ada yang sudah sangat sulit untuk dijumpai kerana langka, maka dari satu sudut kita sepatutnya berterimakasih kepada si pengarang yang telah menyajikan kepada kita faedah dan mutiara yang terkandung dalam kitab - kitab yang langka tersebut. Selanjutnya, pada halaman 123, pengarang menukil kisah dialog di antara Langit dengan Bumi, sebagai berikut:-
...Adapun (antara) sebab bagi mi'raj (Junjungan Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam) adalah Bumi bermegah - megah dengan Langit. Kata Bumi: "Aku lebih baik daripada engkau kerana Allah ta`ala telah menghiaskan aku dengan berbagai negeri, laut, sungai, pepohonan, gunung - ganang dan sebagainya." Langit menjawab: " Aku lebih baik daripada engkau kerana matahari, bulan, bintang - bintang, falak, buruj, arsy, kursy dan syurga ada padaku. " Bumi berkata lagi: " Ada padaku Ka`bah yang diziarahi dan bertawaf padanya para nabi dan rasul, para wali dan orang - orang mukmin amnya." Langit membalas: " Padaku ada Baitul Makmur tempat para malaikat langit bertawaf, padaku juga ada syurga kediaman arwah para nabi, para rasul, awliya dan shalihin." Bumi berkata lagi: " Sesungguhnya Penghulu Para Rasul, Penutup Para Nabi, Kekasih Tuhan Semesta Alam, Makhluk Terafdhal yang Allah wujudkan - atasnya tahiyyat (penghormatan) yang paling sempurna - mendiamiku dan syariatnya berjalan atasku." Mendengar perkataan Bumi ini, Langit tidak mampu untuk menjawabnya. Langit mendiamkan dirinya seraya bertawajjuh kepada Allah sambil berkata: "Ya Tuhanku, Engkaulah yang menjawab permohonan orang - orang yang tersepit dan aku lemah untuk memberikan jawapan atas perkataan Bumi. Maka aku memohon agar Engkau naikkan Muhammad kepadaku supaya aku mendapat kemuliaan dengan baginda sebagaimana mulianya Bumi dengan keindahan baginda dan bermegahnya Bumi dengan baginda." Maka Allah mengabulkan permintaan Langit (dengan memi'rajkan baginda shallaAllahu `alaihi wa sallam ke langit)......

Begitulah sedikit dialog antara Langit dengan Bumi berkait mi'rajnya Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam. Mungkin ini salah satu sebab atau hikmah perjalanan ke langit tersebut, tanpa menafikan hikmah dan sebab - sebab lain yang lebih besar dan utama. Kisah - kisah seumpama ini, iaitu permohonan Langit agar dia dimuliakan dengan dimi'rajkan Baginda Muhammad shallaAllahu `alaihi wa sallam, turut termaktub dalam berbagai penulisan dan diceritakan oleh para ulama kita. Untuk meratakan manfaat dan simpanan dalam entri ini, faqir kongsikan cuplikan daripada Syaikh Dr. Fathi Hijazi, salah seorang ulama dan tenaga pengajar al-Azhar, kisah yang beliau dengar daripada guru beliau Syaikh Salamah al-`Azami. Sama - sama kita dengar, semoga bermanfaat dan menjadi motivasi untuk kita lebih memuliakan lagi Baginda Muhammad shallaAllahu `alaihi wa sallam.

Dr. Fathi Hijazi

Khamis, September 28, 2023

Salam Mawlid

 



Selasa, Ogos 30, 2022

Suluh Kemajuan - TG Haji Karim

Syaikh Utsman Sarawak diketahui pernah berkahwin beberapa kali dan dikurniakan dengan 14 orang cahayamata. Di antara anak beliau adalah Tuan Guru Abdul Wahhab Sungkai dan Tuan Guru Haji Abdul Karim Sungkai. Mereka berdua adalah saudara kandung seibu sebapa. Ibu mereka bernama Khalijah @ Khadijah puteri Syaikh Muhammad Zain Sungkai yang mengajar di Masjidil Haram. Tuan Guru Haji Abdul Karim dilahirkan sekitar tahun 1916 di Mekah al-Mukarramah dan di situlah beliau membesar di bawah didikan dan asuhan ayahanda dan datuk beliau sebelum mengenyam didikan para ulama kota suci tersebut.

Ketika puak Wahabi menguasai Hejaz, TG Haji Abdul Karim merasa tidak betah lagi tinggal di sana, lalu beliau dan abang beliau mengambil keputusan untuk pulang ke Tanah Melayu. Maka pulanglah dua bersaudara bersama sahabat mereka Tuan Guru Haji Ahmad Badawi bin Mufti Syaikh Abdullah Fahim (ayahanda Pak Lah) ke Tanah Melayu. Mereka berdua pulang ke kampung halaman datuknya, Sungkai, Perak. Di sana Tuan Guru Haji Abdul Karim telah berkahwin dengan sepupu beliau, Hajjah Ainun Fatimah binti TG Haji Ahmad bin TG Haji Muhammad Zain. Sungkai menjadi tempat beliau menjalankan aktiviti dakwah dan mengajar sehinggalah beliau dilantik menjadi penasihat sultan di Kuala Kangsar. Di Kuala Kangsar, beliau mengajar di Madrasah Iskandariah dan di berbagai masjid dan surau sekitar. Di penghujung usianya, beliau pulang semula ke Sungkai untuk tinggal menetap dan berdakwah di sana. Tuan Guru Haji Abdul Karim tutup usia pada tahun 1961 dalam usia muda 45 tahun dan jenazah beliau dimakamkan di Sungkai, Perak. Mudah - mudahan Allah terangkan kuburnya dengan nur yang berpanjangan serta turunkan hujan rahmat yang berkekalan ke atasnya.

Tuan Guru Haji Abdul Karim rahimahullah meninggalkan sebuah karangan yang penuh tiupan semangat kemerdekaan dan pembebasan tanahair daripada belenggu penjajahan. Karangan beliau tersebut diberi jodol Suluh Kemajuan. Kitab tersebut telah dicetak dan diberi kata pengantarnya oleh dua orang tokoh ulama, iaitu Syaikh Abdullah Fahim (Mufti Pulau Pinang) dan Syaikh Zubair bin Haji Ahmad (mudir Madrasah Idrisiyyah, Kuala Kangsar). Tuan Guru Abdul Karim rahimahullah dalam kitabnya tersebut cuba mengobarkan semangat hubbul wathan (cintakan tanahair) dan kemerdekaan daripada belenggu penjajahan. Di antara tulisan beliau dalam kitab tersebut adalah sebagai berikut:- 
"...Maka orang - orang Islam di zaman dahulu kala berpegang kepada ajaran - ajaran Islam yang sebenar. Maka dapatlah mereka menjadi satu umat yang dihormati. Dan pula jadilah mereka membangunkan dan mendirikan sebuah kerajaan Islam yang besar dan mempunyai gah kemasyhuran seluruh dunia. Mudah - mudahan Allah subhanahu wa ta`ala menggerakkan dan menyedarkan umat - umat Islam seluruh alam dunia ini mengikut jejak datuk nenek mereka yang Islam dahulu kali ....... Adalah kasihkan tanahair itu, ialah memperbaiki keadaan tanahair dengan berusaha bersungguh - sungguh pada memeliharakan dia. Maka orang - orang yang benar kasihkan tanahair ialah mereka yang redhakan mati kerana berkehendakkan hidup dan lepas tanahairnya daripada cengkaman penjajah dan bersusah payah supaya senang lenang dan merdeka umatnya. .... Maka kita umat Melayu sangat berhajatkan kepada perusahaan yang besar - besar kepunyaan bangsa kita, umpama factory - factory yang membuat kain - kain, benang, gula dan pinggan mangkuk, cawan dan lain - lainnya. Dan juga pabrik - pabrik yang membuat basikal, motokar - motokar dan enjin - enjin. Begitu juga berhajatkan kepada perniagaan - perniagaan yang besar - besar, umpama syarikat - syarikat yang besar - besar dan enjin - enjin yang besar dan sebagainya, supaya umat Melayu dapat mencapai kemerdekaan iqtisad (yakni ekonomi) dan pula lepas daripada kehinaan yang bergantung kepada bangsa - bangsa dagang. ....... Maka hendaklah tiap - tiap orang kita Melayu berusaha dengan bersungguh - sungguh pada memajukan bangsa sehingga beroleh kejayaan dengan berkerajaan sendiri. Maka asas - asas yang melayakkan dan mematutkan kita umat Melayu beroleh kejayaan kemerdekaan yang sempurna ialah mesti mengikut syarat - syarat seperti berikut:- Pertama, hendaklah tiap - tiap orang kita Melayu taat kepada agama Islam dengan mengikut ajaran - ajarannya yang sejati sebagaimana umat Islam di zaman dahulu kala. Yang kedua, hendaklah kita bersatu padu. Yang ketiga, hendaklah ada mempunyai wang yang banyak supaya dapat membeli dengan banyak segala alat - alat, perkakas - perkakas yang moden - moden, bersamaan alatan perusahaan atau pun peperangan."

Begitulah antara upaya Tuan Guru Haji Abdul Karim Sungkai @ Sarawak meniup kesedaran dan semangat kepada anak bangsanya. Beliau menegaskan kepentingan umat Islam untuk menguasai bukan sahaja ilmu - ilmu ukhrawi, tetapi ilmu - ilmu duniawi juga seperti ilmu - ilmu  sains dan teknologi agar umat dapat berdiri sendiri tanpa perlu bersandar kepada orang lain. Sedikit sebanyak beliau telah memberikan sumbangan merintis jalan kemerdekaan. Maka pada tanggal 31 Ogos 1957, Tanah Melayu telah memperolehi kemerdekaan daripada penjajah British. Sarawak ketika itu masih belum mencapai kemerdekaannya, namun perlulah diketahui bahawa kemerdekaan Tanah Melayu amatlah signifikan dalam melahirkan negara persekutuan yang bernama Malaysia. Turut membanggakan bahawa dalam catatan sejarah kemerdekaan tersebut, ada anak keturunan Sarawak yang turut sama meniup bara api kemerdekaan. Semoga Allah merahmati para wira yang tidak didendang yang tidak perlukan dendangan. Dirgahayu Tanah Airku.

Isnin, Ogos 08, 2022

Bid`ah Bubur `Asyura

Mawlana Syaikh Daud al-Fathani rahimahullah menukilkan hikayat tentang asal muasal sunnah (baca: tradisi) bubur `Asyura dalam kitab beliau, Jam`ul Fawaaid wa Jawahirul Qalaaid pada halaman 132, sebagai berikut:-  ....(Dan kata) Syaikh Ajhuri, dan aku lihat bagi orang yang lain nasnya, bahawasanya Nuh tatkala turun daripada safinah dan orang yang sertanya mengadu kepadanya dengan lapar dan telah habis segala bekal mereka itu. Maka menyuruh akan mereka itu bahawa mendatangkan dengan barang yang lebih daripada bekal mereka itu. Maka mendatangkan ini dengan segenggam gandum, dan ini dengan kacang adas, dan ini dengan kacang ful, dan ini dengan setapak tangan kacang hummush, hingga sampai tujuh biji - bijian bagai jenisnya, dan adalah ia pada hari `Asyura. Maka mengucap Nabi Nuh dengan basmallah dan dimasakkan dia, makan sekaliannya dan kenyang mereka itu dengan berkat Sayyidina Nuh. Firman Allah ......"Dikatakan : Hai Nuh, turunlah olehmu dengan sejahtera daripada Kami, dan berkat atasmu dan atas umam sertamu dan umam yang Kami sukakan mereka itu."(surah Hud: 48). (Dan) adalah demikian itu pertama - tama makanan yang dimasakkan di atas muka bumi kemudian daripada taufan. Maka mengambil segala manusia akan dia  sunnah (baca: tradisi / adat kebiasaan manusia, jangan difahamkan sebagai sunnah Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam) pada hari `Asyura`. Dan adalah padanya itu pahala yang amat besar bagi orang yang mengerjakan yang demikian itu dan memberi makan segala fuqara` dan masakin. Maka dinamakan Bubur `Asyura` dan jika bid`ah sekalipun, bid`ah hasanah dengan qasad itu.....

Allahu ... Allah, menurut Mawlana Syaikh Daud rahimahullah, berpandukan ulama terdahulu, bahawa memasak bubur `Asyura adalah satu tradisi yang telah dilakukan oleh umat manusia sejak zaman dahulu kala lagi. Dan jika kita melakukannya dengan niat bersedekah atau memberi makan orang, maka ianya adalah berpahala, walaupun perbuatan memasak bubur atau bersedekah dengan bubur tersebut pada hari `Asyura` tidak ada ditunjukkan dalam nas hadis Junjungan Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam. Jika pun dikatakan sebagai bid`ah, maka ianya adalah bid`ah hasanah, kerana ianya bukan satu dosa maksiat dan tidak ada tegahan untuk masak bubur dan bersedekah dengannya pada bila - bila masa, termasuklah pada hari `Asyura. Sebaliknya, ada anjuran dan galakan umum daripada baginda shallaAllahu `alaihi wa sallam untuk memberi orang makan (ith`amuth tha`am) dan bersedekah. Maka dapat kita kompromikan apa yang disebut oleh Syaikh Zainuddin al-Malibari rahimahullah dalam Irsyadul Ibaad pada halaman 50 yang menyenaraikan perbuatan orang memasak makanan dengan biji-bijian (bubur `Asyura) sebagai bid`ah madzmumah yang sewajarnya ditinggalkan, adalah ditanggung atas makna seolah - olah menyuruh atau menganjurkan atau menggalakkan orang agar tidak berpuasa pada hari `Asyura. Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam menganjurkan manusia berpuasa, kamu pula dok suruh orang makan bubur, makan bubur, jangan puasa. Atau kita beriktikad bahawa Hari `Asyura`, sunnat atau wajib syarie secara khusus untuk masak bubur `Asyura, sedangkan yang disyariatkan dan disunnatkan adalah berpuasa padanya. Ini perbuatan bid`ah yang menyalahi sunnah Junjungan shallaAllahu `alaihi wa sallam. Justru perbuatan sedemikianlah yang menjadikan ia berubah, dari bid`ah hasanah menjadi bid`ah madzmumah atau bid`ah qabihah munkarah, sebagaimana yang dikatakan oleh Syaikh Zainuddin tadi kerana jelas menyalahi sunnah baginda shallaAllahu `alaihi wa sallam untuk berpuasa. Inilah bagi faqir, antara ihtimal daripada kalam Syaikh Zainuddin Shahibul Irsyad rahimahullah. Oleh kerana itu, tradisi manusia untuk masak bubur atau juadah yang dinamakan sebagai Bubur `Asyura`, tetap berjalan terus. Yang tak baca Irsyadul `Ibad pun buat, yang baca hatta yang mengajarkan Irsyadul `Ibad pun buat, tanpa banyak songel. Kenyataannya juga bahawa tradisi ini bukan sahaja dilakukan oleh masyarakat Islam Nusantara, masyarakat Islam yang di Afrika, di Mesir, di Turki dan lain - lain turut melakukannya. Jadi nak kutuk orang Kelantan sahaja yang buat adalah tidak tepat. 

Akhirul kalam, faqir nukilkan tulisan Prof. Dr. Huseyin Algul, seorang cendiakawan Islam Turki dan professor Sejarah Islam, dalam buku beliau yang diterjemahkan dengan jodol The Blessed Days and Nights of the Islamic Year, pada halaman 79, antara lain menyatakan sebagai berikut: 
        ASHURA PUDDING. According to reports, upon being saved from the flood, the believers opened their provisions and mixed together wheat kernels, garbanzo beans, and other dried goods, cooked them all together, with the resulting pudding being so bountiful that everyone was able to eat their fill.
        Even though many thousands of years have passed since that day, believers make a pudding known as ashura on this day in memory of this event. It is traditional to make this pudding and offer it to one's family and friends, and to offer it to neighbors,  this is something that has become extremely common nowadays......

Begitulah hikayat kisah bubur Asyura dan perlu diingatkan bahawa tidak ada resipi khas atau baku untuk bubur Asyura, masaklah apa adanya, bubur lambuk boleh, bubur ayam jalan, campur kacang - kacang mantap, yang penting sedap. Nak ganjaran lebih, sedekahkanlah untuk orang berbuka puasa, pahala sedekah dapat, pahala seumpama pahala puasa dapat, pahala menggembirakan dan bersilatur rahim pun dapat. Rabbana taqabbal minna shiyamana wa jami`a `ibaadatina.

Doa Bubur `Asyura
(Mawlana Syaikh Daud dalam "Kaifiat Khatam al-Quran")


Ahad, Julai 24, 2022

Kentongan Bukan Beduk

Hadhratusy Syaikh KH Hasyim Asy`ari rahimahullah diketahui pernah memfatwakan bahawa penggunaan "kentongan" untuk memaklumkan masuknya waktu shalat adalah tidak diperbolehkan, yakni haram kerana menyerupai perbuatan agama lain bagi menandakan waktu ibadah mereka. Dikatakan bahawa beliau mengemukakan pendapat tersebut setelah beliau sendiri melihat kentongan digunakan oleh orang kafir untuk menandakan masuknya waktu ibadat mereka. Maka atas dasar tersebut, beliau tidak membenarkannya. KH Hasyim menjelaskan fatwa beliau tersebut dalam sebuah risalah yang beliau namakan Risalatul Jaasus fi bayaani hukmin naaquus. Namun, faqir pernah mendengar beberapa ustaz di sini yang menggunakan fatwa haram kentongan tersebut untuk mengharamkan beduk. Perkara ini tidak tepat kerana yang diharamkan dalam fatwa tersebut adalah kentongan yang lumrah digunakan di Pulau Jawa. Di tempat kita, setidak - tidak di tempat faqir, masyarakat tidak mengenali kentongan, kerana yang ada dan digunakan dahulu adalah beduk yang tidak seperti kentongan. Maka yang diharamkan oleh fatwa tersebut bukanlah beduk tetapi kentongan.

Di sebalik fatwa Hadhratusy Syaikh tersebut, ada seorang lagi ulama besar lagi kenamaan dalam Nahdlatul `Ulama ketika itu, KH Faqih Maskumambang rahimahullah mempunyai fatwa mengharuskan penggunaan kentongan untuk waktu shalat. Bahkan, beliau rahimahullah telah mengarang sebuah risalah khusus bagi tujuan itu dan menolak fatwa KH Hasyim Asy`ari tersebut . Risalah beliau itu dinamakan Hazzur Ruus fi raddil jaasuus `an tahrimin naaquus.

Faqir tidak berhasrat untuk masuk dalam khilaf dua ulama besar tersebut. Kedua - dua fatwa tersebut benar dari sisinya masing - masing. Apa yang faqir ingin kongsikan adalah walaupun kedua - dua ulama tersebut berada dalam wadah perjuangan yang sama, akidah dan mazhabnya sama, namun mereka memiliki perbezaan pendapat dalam masalah - masalah tertentu. Sungguh pun begitu, mereka memiliki tasamuh yang tinggi dan saling menghargai perbezaan pendapat tersebut. Kedua - dua mereka saling hormat - menghormati dan sedikit pun perbezaan pendapat tersebut tidak merosakkan ukhuwwah dan hubungan baik antara mereka. KH Hasyim rahimahullah tidak berkecil hati dengan fatwa KH Faqih yang menyalahi fatwa beliau, bahkan KH Hasyim membenarkan para santri dan masyarakat awam untuk memilih mana-mana pendapat yang hendak diikuti. KH Faqih pun begitu juga, bahkan ketika KH Hasyim Asy`ari datang untuk ceramah mawlid di pondok KH Faqih, beliau memerintahkan agar semua kentongan yang ada di daerah beliau diturunkan dan tidak diketuk selama mana KH Hasyim berada di sana. Allahu .... Allah, lihat betapa akhlaknya dua ulama tersebut. Sebenarnya entri ini faqir tulis untuk menyimpan cuplikan penjelasan almarhum Gus Dur mengenai perkara ini agar mudah dijadikan rujukan bila diperlukan nanti. Mudah - mudahan bermanfaat. 

KH Abdur Rahman Wahid (Presiden Ke-4 NKRI)

Sabtu, Mei 07, 2022

Tiba - Tiba Raya

Zaman dulu - dulu, orang tahu bahawa jatuhnya 1 Syawal adalah tidak dapat ditentukan dengan tepat sejak awal lagi. Ini adalah kerana ianya tertakluk kepada rukyatul hilal Syawalnya nanti. Maka fenomena tiba - tiba raya sering berlaku dan masyarakat tidak pun kecoh walaupun ada setengahnya yang kelam kabut sedikit. Namun, dalam kelam kabut tersebutlah tersimpan berbagai nostalgia dan keseronokan menyambut hari lebaran. Tahun ini di"kecoh"kan dengan fenomena "tiba - tiba raya" yang sepatutnya tidak perlu pun kecoh. Ini membuktikan betapa perlunya kepada pencerapan anak bulan atau rukyatul hilal kerana betapa canggihnya sistem kiraan falak hisab tidak menutup kemungkinan hilal untuk dapat dicerap. Maka tahu dan fahamlah kita bahawa hisab itu tidak mutlak, ianya juga tertakluk kepada rukyah. Dalam hisab falak juga berlaku pelbagai perbezaan pendapat para ahlinya, ini terbukti dengan kriteria yang berbeza untuk menetapkan kebolehnampakan hilal. Dalam kes semasa, mengikut kriteria lama, 1 Syawal dijangka jatuh pada 2 Mei 2022, sedangkan mengikut kriteria baru, ianya dijangka jatuh pada 3 Mei 2022 kerana kemungkinan hilal untuk kelihatan adalah tipis. Namun, kuasa Allah mengatasi segalanya, pada tarikh pencerapan tersebut, hilal telah dapat dicerap di beberapa tempat seperti di Labuan, Brunei dan Aceh. Maka ketiga - tiga negara tersebut telah mengisytiharkan 1 Syawal jatuh pada 2 Mei 2022. Hasil rukyah inilah yang jadi pegangan dalam penetapan tarikh 1 Syawal tersebut dan bukannya keputusan hisab falak dan bukan juga kerana celoteh seseorang di mukabukunya. Penggunaan kaedah hisab falak hanyalah untuk membantu proses mencerap, hasil cerapan itulah yang diguna untuk menentukan tarikh awal sesuatu bulan tersebut, semuanya bergantung kepada samada nampak hilal atau tidak. Peristiwa ini juga membuktikan bahawa negara umat Islam seperti Malaysia, Indonesia dan Brunei berpegang dengan kaedah rukyah walaupun bercanggah dengan hitungan hisab falak, sebagaimana pandangan jumhur ulama. Oleh itu, tidaklah ditetapkan tarikh 1 Syawal sebelum proses rukyah tersebut, makanya penetapan tarikh 1 Syawal dalam almanak dan kalendar yang berdasarkan falak adalah tertakluk kepada perubahan berdasarkan rukyahnya nanti. 

Sepatutnya kejadian "tiba - tiba raya" dijadikan iktibar, begitulah kematian nanti mendatangi kita. Mati itu datang tiba - tiba, bak kata - kata hikmah pujangga: "Kematian itu datangnya tiba - tiba; Kubur itu peti simpanan segala amalan". Malang 1000 kali malang, jika kematian datang, sedangkan kubur kita kosong dari sebarang bekalan. Maka seharusnya kita mencari dan mengumpul bekalan amal - amal shalih agar kehidupan kita di sana tenang dan nyaman. Oleh itu hendaklah kita bersiap sedia agar tidak kelam kabut ketika malaikat maut bertandang untuk membawa kita pergi. 

Khamis, Ogos 19, 2021

Duruud Rooh - Taliban 2.0

Beberapa hari yang lepas (16/08/2021), dunia geger dan kecoh dengan kembalinya para pejuang yang digelar sebagai Taliban menguasai bumi Afghanistan. Puak kolonialis terus menyerang mereka, konon kerana khuatir akan tindakan - tindakan yang akan mereka ambil selepas ini. Mereka khuatir Taliban 2.0 ini akan bertindak sebagaimana pejuang Taliban 1.0 yang sempat berkuasa dahulu. Masih terlalu awal untuk kita menghakimi Taliban 2.0 ini, wajar untuk kita duduk dahulu dan lihat apakah tindakan mereka selanjutnya. Kita perlu tahu dan faham bahawa mereka adalah anak jati Afghanistan yang ingin mentadbir tanahair mereka tanpa campur tangan para kolonialis barat yang diketuai Uncle Sam. Mudahan - mudahan sahaja Taliban 2.0 ini benar - benar mujahidin Ahlis Sunnah wal Jama`ah yang memiliki rasa hormat, tasamuh, toleransi, salimush shadr yang tinggi serta bebas dari segala fahaman ekstrim radikal seperti fahaman Silapi Wahabi dan sebagainya. Kita mengharapkan bukan sahaja mereka, tapi seluruh umat Islam juga begitu, dan kita mengharapkan agar fatwa - fatwa karut yang berkait dengan kesyahidan pengebom berani mati dikaji semula dan ditarikbalik oleh mereka - mereka yang mengeluarkannya dahulu. Ada khabar yang memaklumkan bahawa para pejuang Taliban 2.0 adalah berfahaman Maturidi, bermazhab Hanafi dan ramai yang bertariqat. Ini tidaklah sulit dicerna akal kerana jika mereka berafiliasi dengan Jamia Darul Ulum Haqqania beraliran Deobandi, maka fahaman mereka tidaklah lari daripada Ahlis Sunnah wal Jama`ah. Maka tidaklah pelik, jika beredar klip video mereka meraiekan pembebasan Kabul di Istana Presiden dengan membaca ayat - ayat suci al-Quran ditutup dengan Shalawat Ruuh @ Daruud Rooh. Rasanya puak ekstremis radikal Silapi Wahabi tidak akan mahu membaca shalawat "bid`ah" tersebut. Apa-apa pun kita doakan yang terbaik buat Afghanistan dan segala umat ini. Khuda Hafeez.


اللهم صل على روح مبارك سيدنا محمد في الأرواح
و على جسده في الأجساد
و على قبره في القبور
و على آله و صحبه و بارك و سلم

Jumaat, Mei 07, 2021

Faedah Dari Jamal & Jailani

Di hujung - hujung Ramadhan ini, ramai yang memperkatakan mengenai Lailatul Qadar, malam yang lebih baik dari 1000 bulan. Pernah ditimbulkan satu masa dahulu persoalan bila berlakunya malam tersebut di satu tempat, umpama di Mekah pada malam 27 Ramadhan, maka adakah ketika itu berlaku juga saat Lailatul Qadar bagi penduduk di Malaysia atau mana - mana belahan bumi yang sedang berada dalam waktu siang? Maka, muncullah "ahli - ahli hisab" yang cuba menghisab waktu di Mekah tersebut untuk disesuaikan dengan waktu di Malaysia atau belahan - belahan dunia yang sedang mengalami waktu siang. Lalu keluarlah teori, saat ijabahnya di Mekah sekian - sekian, maka bertepatan dengan jam di Malaysia pada sekian - sekian waktu. Hal ini juga muncul ketika pengiraan saat ijabah pada hari Arafah, sehingga ada yang menunggu saat - saat di Malaysia yang bersesuaian dengan waktu sebenar wuquf di Padang Arafah. Begitu yakinnya sesetengah mereka itu, sehingga disebarkan seolah - olah pasti tepat dan tidak mungkin meleset.

Jika kita merujuk kepada karangan para ulama terdahulu, kita dapati sesetengahnya turut memperkatakan hal ini. Antaranya Syaikh Sulaiman Jamal rahimahullah dalam hasyiah beliau atas Syarah Minhaj bagi Syaikhul Islam Zakaria al- Anshari rahimahullah, jilid 2, halaman 356, menjelaskan sebagai berikut:- "... Mungkin ianya (yakni Lailatul Qadar) berlaku kepada setiap kaum sesuai dengan hitungan malam - malam mereka. Maka apabila terjadi Lailatul Qadar atas kita (sedangkan ianya) merupakan siang hari bagi selain kita, maka waktu ijabah dan ganjaran pahala Lailatul Qadar mereka itu ditangguhkan sehingga masuk waktu malam ke atas mereka (yakni berlakunya Lailatul Qadar tersebut menurut hitungan malam bagi setiap belahan dunia dan bukannya serentak pada satu waktu yang sama tanpa melihat keadaan siang atau malam berlakunya Lailatul Qadar tersebut). Berkemungkinan juga Lailatul Qadar itu berlaku secara tetap (serentak) pada satu waktu, meskipun suatu kaum berada di waktu siang manakala kaum yang lain berada di waktu malam. Namun yang zahir adalah pendapat atau kemungkinan yang pertama tadi (yakni setiap kaum akan mendapat Lailatul Qadar menurut hitungan malam mereka masing - masing), agar sesuai dengan sebutan 'malam'  di sisi setiap dua kaum tadi (yakni satu kaum yang mengalami malam dan satu kaum yang mengalami siang). Kesimpulan ini diambil daripada apa yang diperkatakan mengenai saat ijabah pada hari Jumaat, di mana ianya berbeza  - beza waktunya mengikut perbezaan waktu para khatib berkhutbah (yakni dalam pendapat yang menyatakan bahawa saat ijabah pada hari Jumaat itu adalah ketika khatib berkhutbah atau di antara dua khutbah dan sebagainya, maka saat ijabah itu adalah berbeza masanya mengikut waktu setiap khatib tersebut berkhutbah).

Maka untuk ringkasan bagi nas Hasyiah Jamal tersebut, ada dua pendapat mengenai berlakunya Lailatul Qadar tadi, iaitu (1) Berlakunya mengikut waktu malam bagi setiap negeri atau tempat masing - masing; dan (2) Berlakunya pada satu waktu secara serentak, tanpa mengira keadaan siang atau malam pada tempat - tempat tersebut. Namun pendapat yang zahir adalah yang pertama, yakni setiap negeri atau tempat mengalami Lailatul Qadar pada waktu malam mereka masing - masing. Maka tak perlulah dibuat carta pengiraan Lailatul Qadar di Malaysia agar bersamaan dengan waktu Lailatul Qadar di Mekah.

Seperkara lagi yang disebut dalam Hasyiah Jamal pada halaman 355 adalah jika seseorang dianugerahkan kemuliaan untuk melihat alamat atau tanda - tanda Lailatul Qadar, maka sunnat baginya untuk menyembunyikannya. Ini adalah kerana ianya satu kemuliaan (karamah) dan sesesiapa yang dapat karamah sunnat menyembunyikannya. Maka tidak perlulah dicanang - canang pengalamannya tersebut tanpa ada maslahah dan keperluan. Dinyatakan juga bahawa sesiapa yang beribadah pada malam yang bertepatan dengan Lailatul Qadar juga akan mendapat ganjaran Lailatul Qadar walaupun dia tidak merasa atau melihat atau menemui sebarang tanda atau alamat atau keajaiban Lailatul Qadar. Seseorang yang melakukan shalat Isya` berjemaah pada malam tersebut akan turut sama mendapat bahagian daripada ganjaran malam yang utama tersebut.


Sebagai penutup, kita ambil pengajaran daripada pesanan yang dinisbahkan kepada Sultanul Awliya`, Syaikh 'Abdul Qadir al-Jailani qaddasaAllahu sirrah sebagaimana termaktub dalam Tafsir al-Jailani, juz ke-5, halaman 454 sebagai berikut:- "Wahai orang yang damba untuk menghidupkan Lailatul Qadar dan mendapatkan kemuliaannya, engkau hendaklah menyingsingkan pakaianmu (yakni kinayah yang bermaksud bersungguh - sungguh perlakuan) untuk menghidupkan semua malam yang datang dalam kehidupanmu, kerana Lailatul Qadar disembunyikan dalamnya. Ringkasnya, janganlah engkau melupakan Allah dalam semua hal ehwal keadaanmu sehingga rata segala malammu menjadi lebih bernilai dan lebih baik dari dunia dan segala isinya."

Mudah - mudahan kita diberikan taufiq untuk istiqamah dalam beribadah kepada Allah dengan penuh keikhlasan dan diberikan kemuliaan mendapat ganjaran pahala yang melebihi 1000 bulan. Biarlah setiap malam itu kita jadikan lailatul qadar, jangan sekadar hari - hari sahaja dijadikan hari raya.

Sabtu, Oktober 13, 2018

Induk Kekejian

Mengadakan pesta arak, atas apa jua nama sekalipun, adalah perbuatan tidak bertanggungjawab yang boleh menjejaskan keharmonian masyarakat Malaysia. Perlembagaan  kita dengan jelas menyatakan bahawa agama persekutuan adalah Islam. Maka sewajarnya semua rakyat mestilah menghormati kedudukan Islam dalam negara ini. Jika tidak mahu, maka sila belah dari Malaysia. Menganjur pesta-pesta arak secara terbuka adalah tindakan mencabar kesucian Islam dan keluhuran perlembagaan Malaysia. Pesta pora arak yang dicuplik daripada budaya barat yang diadaptasi daripada budaya iblis dan setan bukanlah satu budaya positif yang perlu diterap dalam masyarakat kita. Jika pun dikatakan bahawa perbuatan minum arak itu "dosa pribadi", namun melakukannya secara terbuka di tempat awam, apatah lagi mengajak orang lain dan mengiklankannya secara terbuka, menjadikannya sebagai "dosa awam" yang mesti dibanteras. 

Wahai orang-orang yang beriman! Bahawa sesungguhnya arak dan judi, dan pemujaan berhala, dan mengundi nasib dengan batang-batang anak panah, adalah (semuanya) kotor (keji) dari perbuatan Syaitan. Oleh itu hendaklah kamu menjauhinya supaya kamu berjaya [Surah al-Maa-idah: 90 ]
Jelas meminum arak adalah perbuatan nombor wahid yang dinyatakan dalam firman Allah `azza wa jalla dalam ayat 90 surah al-Maidah ketika menyenaraikan perbuatan-perbuatan keji yang menjadi budaya dan amalan setan. Junjungan Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam menegaskan bahawa arak atau khamr adalah induknya segala kekejian dan kunci segala keburukan. Imam ath-Thabrani rahimahullah meriwayatkan dalam al-Awsath dengan sanad yang hasan bahawa Junjungan Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam bersabda: "Khamr (Arak) adalah ibu segala kekejian. Sesiapa yang meminumnya, shalatnya tidak akan diterima selama 40 hari. Sesiapa yang mati sedangkan dalam perutnya ada arak (yakni yang sengaja mnum), maka sesungguhnya kematiannya (seumpama) kematian jahiliyyah." Allahu... Allah. Cukup dengan nas tersebut, tahu dan fahamlah kita betapa besarnya kesalahan, kefasadan dan dosa meminum arak. Maka tidaklah wajar bagi kita untuk menyokong, membenar, menggalak, mengiklan akan pesta-pesta arak, ingat jangan sampai tergolong dalam mereka-mereka yang mendapat laknat kerana arak.


Ahad, September 09, 2018

Selamat Tahun Baru 1440H



Selamat Tahun Baru, mudah-mudahan dipanjangkan umur, dimurahkan rezeki, diberi kesihatan dan afiat serta tutup usia dalam keimanan yang sempurna.

Ahad, November 05, 2017

Kisah Syibli & Kucing

Junjungan Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam dalam sepotong hadis yang masyhur memerintahkan kita untuk tidak memandang remeh apa sahaja rupa bentuk amal kebajikan atau amalan makruf, sekecil mana pun ia, walau hanya sekadar bertemu dengan kawan-kawan dengan wajah yang manis atau ceria. Kita ditegah dari perbuatan memperlekehkan sesuatu kebajikan, kerana mungkin perkara yang kita pandang remeh, sebenarnya pintu yang menjadi sebab Allah mencurahkan rahmat dan keredhaanNya kepada kita. Oleh itu, segala makrufat hendaklah dijunjung daripada yang besar sehinggalah yang kecil, kerana semuanya itu adalah wasilah kita untuk bertaqarrub dan mencapai rahmat serta keredhaan Allah yang Maha Agung.

Kadang-kadang ada amalan yang kita anggap besar dan hebat, namun di sisi Allah ianya umpama haba-an mantsura bak debu-debu ditiup angin. Penyebabnya adalah kerana ianya dicacatkan oleh karat-karat maknawi seperti ujub, riyak dan sum`ah.  Ada kalanya satu amalan yang kita anggap kecil dan tak bernilai, namun punya nilaian besar di sisi Allah `azza wa jalla kerana itulah amalan yang paling tulus kita lakukan. Pengajarannya di sini, bukanlah:- "lakukan hanya amalan kecil dengan tulus, tapi berlaku tuluslah dalam segala amalan yang kita lakukan, baik kecil maupun besar".

Berlaku ihsan kepada haiwan juga termasuk makrufat yang dianjurkan agama. Junjungan Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam pernah mengkisahkan bagaimana ada individu yang mendapat rahmat kasih sayang Allah kerana perlakuan ihsannya terhadap makhluk Allah yang bernama haiwan hatta kepada seekor anjing. Juga Junjungan Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam pernah mengkhabarkan ada individu yang diazab kepada perbuatan aniayanya terhadap seekor kucing. Riwayat-riwayat ini telah sedia diketahui dan dimaklumi kerana masyhurnya.

Di sini faqir ingin menukilkan satu kisah yang walaupun bukan berstatus kalamnya Sayyidul Mursalin shallaAllahu `alaihi was sallam, namun diharap dapat sedikit sebanyak menambahkan lagi keihsanan kita kepada segala makhluk Allah atas muka bumi ini. Ini adalah kisah mimpi yang dirakamkan oleh Ibnu `Asakir rahimahullah dan dinukil oleh Imam Kamaluddin ad-Damiri rahimahullah dalam "Hayatul Hayawan al-Kubra", juz 4, halaman. 157, sebagai berikut:-

Telah dikatakan sebagai diriwayat oleh Ibnu `Asakir dalam "Tarikh"nya daripada sebahagian sahabat bagi Syaikh Abu Bakar asy-Syibli yang telah bermimpi bertemu dengannya selepas kewafatannya. Sahabat tadi bertanya kepada asy-Syibli: "Apa yang Allah lakukan terhadap dirimu?" Maka dijawab oleh asy-Syibli: "Aku dihadapkan ke hadratNya, lalu Dia berfirman:"Wahai Abu Bakar, adakah engkau tahu sebab Aku mengampunimu?" Aku menjawab: "Dengan sebab amal shalihku?", Allah berfirman: "Bukan." Aku berkata lagi: "Sebab keikhlasanku dalam beribadah?" Allah berfirman: "Bukan." Aku berkata: "Sebab hajiku, puasaku dan shalatku." Allah berfirman: "Aku tidak mengampunimu kerana yang sedemikian." Aku berkata: "Kerana hijrahku kepada orang-orang shalih dan istiqamahku dalam menuntut ilmu." Allah berfirman: "Bukan." Aku berkata: "Wahai Tuhan, inilah amalan yang kukira dengan anak jariku sebagai kelepasan dari seksaanMu yang ku anggap menjadi sebab untuk Engkau memaafi dan merahmatiku." Allah berfirman: "Semua itu bukanlah sebab bagi Aku mengampunimu." Aku berkata: "Tuhanku, lalu dengan apa?" Allah berfirman: "Adakah engkau ingat satu masa ketika engkau melalui lorong - lorong Baghdad, engkau terjumpa seekor anak kucing betina yang melompat-lompat dari satu dinding ke satu dinding mencari perlindungan kerana kesejukan, lalu engkau memasukkannya ke dalam kantong kulit yang engkau bawa untuk melindunginya dari kesejukan?" Imam asy-Syibli menjawab: "Ya, aku ingat." Maka Allah ta`ala berfirman: "Dengan sebab rahmat kasihan belasmu kepada anak kucing betina tersebut, Aku mengasihanimu."

Allahu... Allah, Imam Abu Bakar asy-Syibli atau nama sebenarnya Dulaf bin Jahdar/Ja'far bin Yunus al-Khurasani rahimahullah adalah seorang yang mulia, alim lagi shalih, juga adalah seorang ahli hadis. Beliau mengikut Mazhab Maliki dan menjadi sahabat kepada Imam Junaid al-Baghdadi rahimahullah. Nama beliau amat masyhur dan harum terutama sekali dalam ilmu tasawwuf dan di kalangan para sufi. Tiada syak bahawa beliau adalah salah seorang wali daripada kalangan para awliya Allah.

Selasa, Julai 11, 2017

Kisah Imam Zuhri

Qadhi Ibnul `Arabi (w. 543H) rahimahullah, ulama mazhab Maliki yang masyhur, dalam karya beliau `Aaridhatul Ahwadzi bi syarhi Shahih at-Tarmidzi, juz ke-2, halaman 78 -79, telah membawa sebuah kisah yang berkaitan akhlaknya para ulama salafush shalih terdahulu. Dalam syarah beliau bagi hadis yang diriwayatkan oleh Sayyidatina `A-isyah radhiyaAllahu `anha mengenai Junjungan Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam hanya melakukan sekali salam bagi shalat baginda, Qadhi Ibnul `Arabi membawa kisah Imam Ibnu Syihab az-Zuhri (w.124H) rahimahullah sebagai berikut:-

Seorang lelaki dari Iraq telah datang ke Masjid Rasulillah shallaAllahu `alaihi wa sallam lalu shalat di sisi Imam Ibnu Syihab dan dia telah mengakhiri shalatnya dengan dua kali salam, sebagaimana dalam hadis terdahulu (yakni hadis-hadis lain yang telah diriwayatkan). Maka Imam Ibnu Syihab bertanya kepadanya: "Dari mana engkau datang?" Lelaki tersebut menjawab: "Dari Kufah." Imam Ibnu Syihab bertanya lagi: "Daripada manakah datang riwayat kepadamu dengan dua salam ini?" Lelaki tersebut menjawab: "Aku telah mendapatkannya daripada Ibrahim daripada 'Alqamah daripada Ibnu Mas`ud yang meriwayatkannya."  Imam Ibnu Syihab berkata: "Aku belum pernah mendengarnya." Lelaki tersebut berkata kepada Imam Ibnu Syihab: "Siapakah engkau?" Imam Ibnu Syihab menjawab: "Aku Ibnu Syihab." Lelaki tersebut berkata lagi: "Wahai Ibnu Syihab, adakah engkau menghafal seluruh hadis Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam?" Imam Ibnu Syihab menjawab: "Tidak." Lelaki tersebut bertanya lagi: "Jika begitu, adakah engkau menghafal dua pertiga daripada segala hadis?" Imam Ibnu Syihab berkata: "Tidak." Lelaki tersebut bertanya lagi: "Jika begitu, adakah engkau menghafal separuh daripada segala hadis?" Imam Ibnu Syihab menjawab: "Ya rasanya atau satu pertiga." Maka lelaki tersebut berkata kepada Imam Ibnu Syihab: "Maka jadikanlah hadis tadi dalam dua pertiga hadis yang belum engkau ketahui." Lalu ketawalah Imam Ibnu Syihab rahimahullah (yakni beliau merasa puas hati dengan penjelasan lelaki Kufah tersebut).

Ini akhlak pewaris Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam. Mereka tidak lekas memenangkan pegangan diri mereka walaupun darjat keilmuan mereka setinggi Imam Ibnu Syihab, seorang ulama tabi`in, Imamnya ahli Kota Madinah al-Munawwarah dan gurunya Imam Malik bin Anas radhiyaAllahu `anhu. Mereka tidak mudah untuk menyatakan bahawa semua dalil dan hadis telah mereka ketahui, ini berbeza dengan kita sekarang yang dengan mudah menyatakan: "....Ooo, ini tidak ada dalam hadis." Seolah-olah segala riwayat telah kita ketahui dan hadam. Mungkin pernyataan tersebut benar, jika yang dimaksudkan adalah tidak ada dalam hadis yang kita hafal atau ketahui, yang hanya sekadar satu dua hadis sahaja. Janganlah bermudah - mudah mengatakan "tidak ada nas" atau "nasnya tidak kuat" dan seumpamanya sedangkan ilmu usul dan kaedah istinbath pun masih bercelaru, bahkan mashadir hukum syarak pun belum kita kuasai. Apakah tidak mungkin, nas yang kita katakan tidak kuat itu sebenarnya bukanlah sandaran utama hukum tersebut kerana ada nas lain yang lebih kuat menjadi sandaran menurut ijtihad seseorang mujtahid tersebut berdasarkan kaedah usul yang beliau gunakan. Contohnya hadis Sayyidatina `A-isyah bahawa Junjungan shallaAllahu `alaihi wa sallam salam hanya sekali sahaja diakui sebagai ma'lul (yakni dhaif) berbandingkan hadis-hadis yang sahih menyatakan bahawa Junjungan bersalam dengan dua kali salam. Namun di sisi Ibnu Syihab dan manhaj Imam Malik, yang mengutamakan amalan penduduk Kota Madinah pada zaman tersebut yang hanya salam sekali sahaja, maka ini menguatkan hadis Sayyidah 'A-isyah.  Bagi mereka amal Ahli Madinah adalah hujjah yang didahulukan berbanding hadis ahad walaupun sahih, maka mereka berpendapat sebagaimana takbiratul ihram hanya sekali, maka salam pun sekali juga. Manakala bagi mujtahidin lain seumpama Imam yang tiga, mereka mempunyai manhaj mereka tersendiri, antara lain mereka tidak bersetuju dengan manhaj yang mengutamakan amal Ahli Madinah tersebut, mereka lebih mengutamakan riwayat hadis yang sahih berbanding dengan amal Ahli Madinah, di samping kaedah lain. Oleh itu, ketika mentarjih pendapat antara mazhab, janganlah mudah untuk menyatakan pendapat muktamad dalam mazhab tertentu sebagai lemah, kerana sesungguhnya segala qawl yang dianggap muktamad dalam sesuatu mazhab yang muktabar, maka itulah qawl yang terkuat daripada mazhab tersebut berdasarkan ijtihad para ulamanya. Maka apakah hak kita untuk melemahkan qawl mereka tanpa mengetahui mashadir dan kaedah istinbath yang mereka gunakan. Apakah adil bagi kita mendhaifkan qawl mereka dengan menggunakan manhaj dan kaedah yang kita pakai tanpa mengira kaedah dan manhaj yang mereka guna? Benar, qawl Maliki tersebut adalah lemah menurut kaedah mazhab kita, namun itulah qawl yang terkuat berdasarkan kaedah mereka. Maka janganlah bermudah untuk menyalahkan orang lain, apatah lagi para ulama kita terdahulu dengan segala mazhab mereka yang muktabar yang telah berdiri seribu tahun. Berlapang dadalah dengan segala aqwal dan ikhtilaf para ulama yang muktabar dalam erti kata jangan menghina dan memperlekehkan mana-mana mazhab yang muktabar. Namun hendaklah kita berpegang dan beramal dengan salah satu mazhab daripada 4 mazhab muktabar yang dominan dalam lingkungan kita agar keharmonian hidup bermasyarakat dan bernegara terjamin