Dialog Langit & Bumi
Durratun Nashihin adalah sebuah karangan yang tidak asing lagi di kalangan santri. Sekian lama ianya menjadi materi pembelajaran di pesantren dan juga di masjid. Sungguhpun, kitab ini dikatakan oleh ramai pengkaji sebagai mengandungi hadis - hadis yang dhaif bahkan palsu, namun hingga kini ianya masih beredar dan dibaca. Walaupun ada riwayat - riwayat yang bermasalah, namun ajaran, nasihat dan pedoman yang terkandung tidaklah menyalahi akidah, syariat dan akhlak yang dibawa oleh Islam. Usaha untuk meneliti riwayat - riwayat hadis yang terkandung dalam kitab ini juga telah banyak dilakukan, antaranya oleh pengkaji tempatan seperti Ahmad Lutfi Fathullah, Jawiah Dakir dan Mazlan Ibrahim, dalam penelitian mereka yang berjodol Nilai Hadis Dalam Durrat al-Nasihin. Usaha sebegini sedikit - sebanyak dalam memberi gambaran kepada kita tentang kekuatan riwayat - riwayat yang ada di dalam Durratun Nashihin. Namun, penelitian tersebut tidaklah boleh dianggap sebagai muktamad atau qathie atau tetak putus atau exhaustive kerana ikhtilaf juga berlaku dalam penilaian sesuatu riwayat dan ada juga riwayat - riwayat yang ..."belum dapat dikesan"..., di mana statusnya hanya berdasarkan anggapan sahaja. Ini pendapat faqir sahaja, nak pakai pakai, tak nak tak mengapa. Faqir tidaklah mengatakan bahawa segala yang terkandung dalam kitab tersebut hendaklah ditelan bulat - bulat atau diterima secara mutlak atau dijadikan rujukan utama dalam akidah dan ibadah kita. Ini adalah kerana faktor riwayat yang bercampur tadi dan juga perbezaan mazhab pengarangnya iaitu Hanafi dengan kita yang bermazhab Syafie. Namun jika sekadar mengambil faedah daripada segala nasihat dan teladan berdasarkan riwayat dan hikayat, tidaklah mengapa.
Pengarang kitab Durratun Nashihin bernama Utsman bin Hasan bin Ahmad asy-Syakir al-Khubawi ar-Rumi al-Hanafi rahimahullah, yang digelar oleh Syaikh Umar Ridha Kahhalah sebagai seorang wa`iz (penceramah / juru nasihat), mufassir dan muhaddits, hidup di akhir abad ke 12H di zaman Dinasti Utsmaniyyah. Kitab ini selesai beliau tulis sekitar tahun 1224H. Dalam penulisannya, beliau telah merujuk kepada sekurang - kurangnya 75 buah kitab dan menukil daripadanya. Di antara 75 buah kitab tersebut ada yang sudah sangat sulit untuk dijumpai kerana langka, maka dari satu sudut kita sepatutnya berterimakasih kepada si pengarang yang telah menyajikan kepada kita faedah dan mutiara yang terkandung dalam kitab - kitab yang langka tersebut. Selanjutnya, pada halaman 123, pengarang menukil kisah dialog di antara Langit dengan Bumi, sebagai berikut:-
...Adapun (antara) sebab bagi mi'raj (Junjungan Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam) adalah Bumi bermegah - megah dengan Langit. Kata Bumi: "Aku lebih baik daripada engkau kerana Allah ta`ala telah menghiaskan aku dengan berbagai negeri, laut, sungai, pepohonan, gunung - ganang dan sebagainya." Langit menjawab: " Aku lebih baik daripada engkau kerana matahari, bulan, bintang - bintang, falak, buruj, arsy, kursy dan syurga ada padaku. " Bumi berkata lagi: " Ada padaku Ka`bah yang diziarahi dan bertawaf padanya para nabi dan rasul, para wali dan orang - orang mukmin amnya." Langit membalas: " Padaku ada Baitul Makmur tempat para malaikat langit bertawaf, padaku juga ada syurga kediaman arwah para nabi, para rasul, awliya dan shalihin." Bumi berkata lagi: " Sesungguhnya Penghulu Para Rasul, Penutup Para Nabi, Kekasih Tuhan Semesta Alam, Makhluk Terafdhal yang Allah wujudkan - atasnya tahiyyat (penghormatan) yang paling sempurna - mendiamiku dan syariatnya berjalan atasku." Mendengar perkataan Bumi ini, Langit tidak mampu untuk menjawabnya. Langit mendiamkan dirinya seraya bertawajjuh kepada Allah sambil berkata: "Ya Tuhanku, Engkaulah yang menjawab permohonan orang - orang yang tersepit dan aku lemah untuk memberikan jawapan atas perkataan Bumi. Maka aku memohon agar Engkau naikkan Muhammad kepadaku supaya aku mendapat kemuliaan dengan baginda sebagaimana mulianya Bumi dengan keindahan baginda dan bermegahnya Bumi dengan baginda." Maka Allah mengabulkan permintaan Langit (dengan memi'rajkan baginda shallaAllahu `alaihi wa sallam ke langit)......
Begitulah sedikit dialog antara Langit dengan Bumi berkait mi'rajnya Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam. Mungkin ini salah satu sebab atau hikmah perjalanan ke langit tersebut, tanpa menafikan hikmah dan sebab - sebab lain yang lebih besar dan utama. Kisah - kisah seumpama ini, iaitu permohonan Langit agar dia dimuliakan dengan dimi'rajkan Baginda Muhammad shallaAllahu `alaihi wa sallam, turut termaktub dalam berbagai penulisan dan diceritakan oleh para ulama kita. Untuk meratakan manfaat dan simpanan dalam entri ini, faqir kongsikan cuplikan daripada Syaikh Dr. Fathi Hijazi, salah seorang ulama dan tenaga pengajar al-Azhar, kisah yang beliau dengar daripada guru beliau Syaikh Salamah al-`Azami. Sama - sama kita dengar, semoga bermanfaat dan menjadi motivasi untuk kita lebih memuliakan lagi Baginda Muhammad shallaAllahu `alaihi wa sallam.
Dr. Fathi Hijazi
Tiada ulasan:
Catat Ulasan