Khamis, Disember 31, 2015

Mustika Ajaib - Qadhi Abu Bakar

"Mustika 'Ajaib" adalah satu kutaib atau risalah yang dikarang oleh seorang alim yang menjadi qadhi di Muar, Johor.  Beliau adalah Haji Abu Bakar bin Haji Hasan rahimahullah yang dilahirkan pada  tahun 1292H/ 1875M dan kembali ke rahmatullah pada tahun 1357H / 1938HM. Ketika berusia 6 tahun, beliau telah dibawa ke Mekah dan tetaplah beliau membesar dan menuntut ilmu beliau di sana selama 34 tahun lamanya sehingga beliau kembali ke tanahair dalam tahun 1915M.

Sewaktu di sana , Qadhi Haji Abu Bakar telah berguru dengan ramai ulama, antaranya dengan Syaikh Ahmad bin Muhammad Yunus Lingga, Syaikh Muhammad Said BabShail, Syaikh Muhammad Sulaiman Hasbullah, Syaikh Abdullah as-Sanquri dan  ramai lagi. Kealiman beliau telah masyhur diketahui sehingga beliau dipanggil dengan panggilan "Haji Abu Bakar Alim". Qadhi Haji Abu Bakar adalah juga pengasas Madrasah al-'Arabiyyah al-Khairiyyah, Muar yang telah melahirkan tokoh-tokoh seperti Tan Sri Mohamed Noah (mertua Tun Abdul Razak), Ustaz Muhammad Yasin (ayahanda Tan Sri Muhyiddin Yasin) dan Datuk Haji Jumaat (mantan Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka).

Dalam bidang penulisan, Qadhi Abu Bakar boleh dikatakan antara yang aktif menulis. Karya-karya beliau ditulis dalam Bahasa Melayu dan Bahasa Arab. Di antaranya "Cogan Perikatan", "Masalah Uraian Muar-Johor", "Mustika 'Ajaib" "Nihayatut Taqrib fi Ma'rifatil Irtsi wat Ta'shib" dan "Syarah Nazam al-Fadhil Abil Hasan 'Ali bin Abir Rijal al-Khatib al-Qairawani." Qadhi Abu Bakar terkenal gigih mempertahankan amalan - amalan Ahlus Sunnah wal Jama`ah yang bermazhab dan telah mengeluarkan karangan-karangan yang menjawab tuduhan - tuduhan bid`ah dan seumpamanya dikeluarkan oleh tokoh-tokoh "reformis" pada zaman tersebut seperti Syaikh Tahir Jalaluddin dan Hasan Bandung, bahkan Qadhi Abu Bakar mempunyai karya berbahasa Melayu dan juga Arab yang menolak pandangan Syaikh Rasyid Ridha.

Mengenai "Mustika 'Ajaib" maka sebagaimana yang dijelaskan di bawah jodolnya ...."pada menyatakan hukum dan kelebihan membaca Mawlidin Nabi kita shallaAllahu `alaihi wa sallam".... adalah risalah yang dikarang sebagai jawapan mengenai persoalan menyambut mawlid Junjungan shallaAllahu 'alaihi wa sallam pada bulan Rabi`ul Awwal dengan pembacaan kisah-kisah mawlid. Dimuatkan juga hukum berdiri ketika dikisahkan kelahiran Junjungan Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam serta beberapa kisah dan perkataan ulama tentang kelebihan bermawlid. Risalah ini telah siap dikarang oleh Qadhi Abu Bakar pada 9 Shafar 1350H bersamaan 28 Jun 1931M. Walaupun hanya sekadar risalah kecil, namun padat isinya dan amat tepat untuk menjelaskan hukum dan kelebihan bermawlid yang diambil dari kitab-kitab karangan ulama besar antaranya "Husnul Maqsid fi Amalil Mawlid" karangan Imam as-Sayuthi, "I`anatuth Thalibin" karangan Sidi Abu Bakar Syatha ad-Dimyathi dan "as-Sirah an-Nabawiyyah" karangan Sidi Ahmad Zaini Dahlan.

Secara ringkas, Qadhi Abu Bakar menjelaskan sebagaimana yang dinyatakan oleh para ulama terbilang bahawa membuat mawlid Junjungan Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam dengan membaca al-Quran semampunya, membaca kisah-kisah mawlid Junjungan shallaAllahu `alaihi wa sallam, bersedekah dan berjamu adalah:-
"bid`ah hasanah (yang kebajikan) yang diberi pahala akan orang yang memperbuat yang demikian kerana membesar dan menghormatkan Nabi kita shallaAllahu `alaihi wa sallam dan menzahirkan kesukaan dengan diperanak akan dia shallaAllahu `alaihi wa sallam." [Halaman 2, "Mustika 'Ajaib"]
Maka bagi sesiapa yang tidak mampu untuk menadah kitab-kitab 'Arab mengenai masalah ini, maka setidak-tidaknya akan mendapat kefahamannya dari karya Qadhi Abu Bakar rahimahullah ini. Dan atas usaha pihak Khazanah Fathaniyah, karya ini telah dicetak semula bahkan telah dirumikan agar lebih merata manfaatnya. Bolehlah sesiapa yang berhajat mendapatkannya daripada pihak Khazanah Fathaniyah. Selamat Bermawlid, birthday sendiri bukan main excited nak sambut, takkan mawlid Junjungan shallaAllahu `alaihi wa sallam buat-buat lupa plak. Shallu `alan Nabiy !!!!!

Ahad, Disember 27, 2015

Mawlid - Fatwa Abu Syaamah

Syaikh Imam Syihabuddin Abi Muhammad `Abdul Rahman bin Ismail bin Ibrahim yang terkenal dengan gelaran Imam Abu Syaamah rahimahullah. Beliau dilahirkan dalam tahun 599H dan wafat dalam tahun 665H. Imam Abu Syaamah adalah Imam dan panutan dalam berbagai cabang ilmu-ilmu Islam, sejak usianya di bawah 10 tahun beliau sudah menghafal al-Quran dan menguasai ilmu-ilmunya termasuk 7 qiraat yang masyhur. Bahkan dalam usia seawal 16 tahun, beliau telah menulis satu syarah bagi "Hirzul Amani wa Wajhut Tahaani fi Qiraatis Sab`i" karangan Imam asy-Syatibi rahimahullah. Di antara guru-guru beliau adalah Sulthanul Ulama` Syaikh `Izzuddin ibnus Abdus Salam, Imam Ibnu `Asakir dan Imam al-Amiidi rahimahumullahu.

Ternyata Imam Abu Syaamah seorang 'alim 'allamah, faqih, muhaddits, muarrikh dan ahli lughah yang handal sehingga Imam as-Subki  rahimahullah menyatakan bahawa Imam Abu Syaamah al-Maqdisi telah mencapai darjat mujtahid mutlak. Sungguhpun begitu, beliau bersetuju dengan ijtihad Imam asy-Syafie radhiyaAllahu `anhu dan tetap berpegang dengan mazhabnya yang agung. Cukuplah satu kebanggaan bagi Imam yang agung ini apabila Imam an-Nawawi rahimahullah adalah salah seorang murid beliau. Imam Abu Syaamah meninggalkan beberapa karangan yang bernilai tinggi, antaranya:-
  1. Mukhtashar Tarikh Dimasyq (20 jilid);
  2. Syarah bagi kitab hadits al-Muqtafa fi bahtsil Mushtofa;
  3. Dhiya-ul Qamar as-Sari ila Ma'rifatil Baari;
  4. Al-Ba`its 'ala Inkaril Bida` wal Hawadits.
  5. ar-Raudhatain fi Akhbarid Daulatain
  6. Ibraazul Ma`ani
  7. al-Mursyid al-Wajiz 
  8. al-Wushul fil Ushul
  9. Mufradat al-Qurra`
Karya beliau yang berjodol "al-Ba`its 'ala Inkaril Bida' wal Hawaadits" yang membicarakan tentang perkara-perkara bid`ah dan baharu. Oleh itu jangan ingat para ulama kita Ahlus Sunnah wal Jama`ah tidak faham mengenai bid`ah dan tidak memerangi bid`ah-bid`ah yang mungkar. Imam Abu Syaamah dalam kitabnya ini sependapat dengan para ulama salaf terdahulu terutamanya Imam Agung Muhammad bin Idris asy-Syafie radhiyaAllahu `anhu apabila membahagikan bid`ah kepada dua, iaitu bid`ah hasanah / bid`ah mustahibbah / bid`ah mahmudah dan bid`ah mustaqbihah / bid`ah madzmumah / bid`ah dhalalah.  Mengenai sambutan Mawlid Junjungan Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam, maka Imam Abu Syaamah dengan jelas menyatakan ianya adalah bid`ah hasanah yang terbaik. Pada halaman 21 kitab tersebut, beliau rahimahullah menyatakan:-

"Maka bid`ah al-hasanah:- Telah disepakati (yakni para ulama telah sepakat) tentang harus (boleh) untuk dilakukan dan disukai baginya (yakni dihukumkan mustahab untuk diamalkan) serta diharapkan pahala bagi sesiapa yang melakukannya dengan niat yang baik ............. Dan daripada sebaik-baik perkara bid`ah yang diada-adakan pada zaman kita dari sisi ini (yakni dari sisi ianya sebagai suatu bid`ah hasanah) adalah apa yang telah dilakukan di Kota Irbil, moga-moga Allah memeliharanya, pada setiap tahun pada hari yang bertepatan dengan hari kelahiran (mawlid) Junjungan Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam dengan perlaksanaan berbagai sedekah dan perkara makruf serta menzahirkan perhiasan dan kegembiraan. Maka sesungguhnya yang sedemikian itu beserta dengan berbuat ihsan kepada segala fakir padanya adalah tanda adanya kecintaan kepada Junjungan Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam dan membesarkan serta memuliakan baginda dalam hati si pelakunya, juga tanda kesyukuran kepada Allah ta`ala atas anugerahNya dengan mewujudkan rasulNya shallaAllahu `alaihi wa sallam wa 'ala jami`il mursalin yang diutuskan sebagai rahmat bagi sekalian alam. Dan adalah orang yang mula-mula melakukan yang sedemikian itu di Maushul (Mosul) adalah Syaikh Umar bin Muhammad al-Malla, salah seorang daripada kalangan orang - orang salih yang masyhur yang dijadikan ikutan dengannya pada yang sedemikian oleh Raja Irbil dan yang lain-lain rahimahumullahu ta`ala."
Allahu .... Allah, cukuplah bagi kita yang punya akal untuk mengambil pelajaran daripada apa yang dinyatakan oleh Imam Abu Syaamah ini. Dan jika pun kita berpendapat sebaliknya, maka setidak-tidaknya akal kita hendaklah bijak untuk meraiekan pendapat ini walaupun kita tidak bersetuju dengannya. Maka janganlah dihujjat umat yang ramai daripada merayakan sambutan Mawlid Junjungan Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam. Jika dah tak setuju, maka tak dapek den nak nolongnya. Duduklah diam-diam sambil membaca shalawat Ibrahimiyyah lagi elok daripada membid`ahsesatkan orang lain.

Ahad, Disember 20, 2015

Tempat Mustajab Berdoa

Syaikh Taqiyuddin Abi Thayyib Muhammad bin Ahmad al-Fasi al-Makki rahimahullah (775H - 832H) adalah seorang ulama besar, faqih, muarrikh (sejarawan) dan qadhi dalam mazhab Maliki di Mekah. Beliau memiliki banyak karya tulis dan dalam salah satunya yang berjodol "Syifaa-ul Gharaam bi Akhbaaril Baladil Haraam", jilid 1 halaman 199, beliau rahimahullah menukilkan bahawa an-Naqqasy rahimahullah menyatakan berdoa di tempat kelahiran Junjungan Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam pada tengahari hari Isnin adalah mustajab.

Untuk makluman, an-Naqqasy atau nama penuhnya Abu Bakar Muhammad bin al-Hasan bin Muhammad bin Ziyad bin Harun bin Ja'far al-Muqri an-Naqqasy al-Mawshili rahimahullah (266H - 351H) adalah seorang ulama tafsir yang terkemuka. Antara karya tulis beliau adalah tafsir al-Quran yang diberi nama "Syifa-ush Shudur" yang setakat ini masih dalam bentuk manuskrip.

Rabu, Disember 16, 2015

Rehlah Ibnu Jubayr

Junjungan Rasulullah shallaAllahu `alaihi wa sallam lahir di Makkah. Setakat tarikh ini, atas tempat yang dipilih Allah `azza wa jalla untuk menyaksikan peristiwa kelahiran agung Baginda Muhammad shallaAllahu `alaihi wa sallam tersergam berdiri sebuah perpustakaan yang dikenali sebagai "Maktabah Makkah al-Mukarramah", tapi entah sampai bila binaan ini akan dikekalkan kerana pembesaran Masjidil Haram. Dahulunya pada zaman kegemilangan, di sini wujud sebuah masjid yang indah, namun telah dimusnahkan oleh para penjajah dari Najd. Maka dengan alasan pembesaran Masjidil Haram, maka entahlah samada kedudukan tempat yang mulia ini akan kekal dikenali atau menerima nasib yang sama dengan berbagai tapak sejarah Islam yang telah dimusnahkan oleh puak penjajah Najdi yang hilang ditelan sejarah. Namun apa pun yang bakal terjadi, setidak-tidaknya rujukan kepada tempat-tempat yang berkat ini masih kekal dalam karya-karya para ulama dan sejarawan.

Dahulu tempat kelahiran Junjungan Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam ini sentiasa dijaga dan diberi perhatian khusus oleh para pemerintah Hejaz yang terdahulu sebelum berlakunya penjajahan Hejaz oleh puak Badwi Najdi. Seorang pengembara Muslim yang ternama, Abul Husain Muhammad bin Ahmad bin Jubayr al-Kinani (1145 - 1217M) yang lebih dikenali sebagai Ibnu Jubayr dalam memoir perjalanan beliau yang terkenal dengan jodol "Rehlah Ibn Jubayr", yang diterjemah ke Bahasa Inggeris oleh Roland Broadhurst dengan jodol "The Travels of Ibn Jubayr", halaman 111 menyatakan:-
"... Also amongst its noble shrines is the birthplace of the Prophet - may God bless and preserve him - and the undefiled ground that was the first earth to touch his immaculate body and over which has been built a mosque that never was seen more finely built, being for the most of inlaid gold. The holy place where the Prophet - may God bless and preserve him - came forth in the blessed and happy hour of his nativity, a nativity ordained by God in compassion for all the people, is girt with silver. What earth to be honoured by God in making it the place of the coming forth of the purest of bodies, the birthplace of the best among men ! May God bless and preserve him, his stock, his family, and his noble Companions. This blessed place is opened, and all men enter it to be blessed, on every Monday of the month of Rabi' al-Awwal; for on that day and in that month was born the Prophet - may God bless and preserve him. All the holy places mentioned are opened on that day, which is always a famous one in Mecca....."
Lihatlah bagaimana Ibnu Jubayr rahimahullah, setiausaha Gabenor Granada, Andalus yang di bawah kekuasaan Dinasti al-Muwahhidun (al-Mohad), dalam memoir perjalanan haji dan ziarahnya dengan jelas menceritakan bahawa pada setiap hari Isnin dalam bulan Rabi`ul Awwal, tempat kelahiran Junjungan Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam dibuka dan ramai manusia datang menziarahinya dan mengambil keberkatan dengannya (mutabarrikin bihi), yakni mereka bertabarruk dengan tempat yang telah menjadi saksi kelahiran Baginda Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam.

Maka memelihara dan menjaga tempat-tempat bersejarah atau warisan bersejarah, apatah lagi  yang berkait dengan Junjungan Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam, bukanlah sesuatu yang ditegah dalam Islam. Namun ketika dunia semakin menghampiri hujung usianya, maka muncul para penggembala unta yang berperangai keras dan kasar yang tidak memiliki kehalusan jiwa untuk memahami dan menghargai tinggalan bersejarah ini. Mungkin ini adalah tanda-tanda dunia sudah semakin hampir ke penghujungnya.