Isnin, Mei 30, 2022

Bismillah 6

Sewaktu kecil, antara amalan yang sering faqir dengar daripada orang tua - tua ketika itu adalah doa / zikir Bismillah Enam (6). Faqir teringat sekitar tahun 1982, pesawat Cessna 26 yang membawa Tan Sri Ghazali Shafie terhempas dan hanya beliau yang selamat pun dikaitkan dengan amalan Bismillah 6 yang dikatakan sebagai amalan beliau, begitulah faqir dimaklumkan oleh seorang tua yang pernah menjadi pegawai tinggi kerajaan ketika itu. Sejauhmana kebenarannya tidaklah faqir ketahui, hanya Allahlah yang Maha Mengetahui. Sebagai budak, faqir hanya dengar dan terima sahaja seadanya.

Faqir juga telah mendapatkan amalan ini daripada beberapa orang tuan guru, samada secara lisan maupun tulisan, di mana salinannya hingga kini masih dalam simpanan faqir. Setelah berlalu masa, faqir mendapati bahawa amalan ini ada disebut oleh ulama kita. Syaikh Wan Ali Kutan rahimahullah mencatatnya dalam kitab beliau Lum`atul Aurad yang masyhur. Tok Syaikh Wan Ali juga memuatkan berbagai fadhilat dan khasiat doa ini yang "fantastic" amat bunyinya, namun bersumberkan kepada sumber yang tidak dapat dipastikan kesahihannya. Nak ditolak mentah - mentah, takut "tulah" kata orang kerana Tok Syaikh Wan Ali Kutan ini ulama yang alim lagi wali, nak diterima bulat - bulat, susah juga akal nak mencernanya. Walau pun begitu, yang dipermasalahkan bukanlah lafaz atau shighah doa / zikir Bismillah 6 tersebut, hanya riwayat - riwayat mengenainya sahaja yang bermasalah. Oleh itu, ramai ulama kita tidak bermasalah untuk menjadikan Bismillah 6 sebagai amalan dan wirid mereka, bahkan mereka mengajarkannya kepada orang lain. Dan dari pengamalan dan tajribah yang mereka lakukan, nampak ada keberkatan atau khasiat mengamalkannya dari segi duniawi terutama sekali dalam bidang rawatan. 

Mengenai riwayat - riwayat yang menghubungkan amalan ini kepada Junjungan Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam atau kepada sahabat - sahabat baginda, maka faqir berpegang sebagaimana apa yang dinyatakan oleh Syaikh Wan Ahmad al-Fathani rahimahullah dalam Badaa`iuz Zuhuur yang menyatakan sebagai berikut:-
Dan telah terlihat (oleh) hamba atas beberapa doa dan adzkar yang panjang, bagi tiap - tiap satu daripadanya beberapa banyak fadhilat dan khasiat ada padanya mubalaghah yang diriwayatkan padanya beberapa hadis Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam dan kalam sahabat serta tiada disebutkan sanadnya dan tempat nukilnya daripada kutub anu - anu. Dan tiada terlihat hamba sekali - kali atasnya di dalam beberapa kutub hadis dan azkar dan fadhail dan lainnya. Maka hamba sucikan kitab ini daripada menyebutnya, tetapi segala doa itu elok pada zatnya, tiada mengapa membacakan dia. Dan tiada terpicik atas Tuhan mengkurniakan yang membacanya akan segala fadhilat yang disebutkan baginya itu. Dan hanya sesungguhnya yang ditakuti itu pada segala hadits yang diriwayatkan padanya segala fadhilat itu, jika ada ia maudhu`, kerana sabda Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam: ....ertinya "Barangsiapa berdusta atasku hal keadaannya sengaja, maka hendaklah mengambil ia tempat kedudukan daripada neraka."
    Kerana bahawasanya setengah manusia yang kurang akal seperti perempuan dan orang tua - tua yang jahil, bersangatan berpegang mereka itu dengan umpama segala fadhilat itu. Maka bermudah - mudah mereka itu pada mengerjakan maksiat. Dan berkata mereka itu: "Tiada mengapa kami mengerjakan dia kerana kami baca doa anu, yang barangsiapa bacakan dia diampuni sekalian dosanya." Seperti barang yang telah hamba berjumpa [yang] demikian itu daripada seorang perempuan yang memberi utangkan hartanya dengan riba. Dan segala doa itu seperti "Doa Jausyan" dan "Doa Qadah" dan tasbih yang dinamakan "Doa Tasbih" yang awalnya: ...Subhanal ladzi fis samaa-` `arsyuh, Subhanal ladzi fil ardhi mulkuh.... Dan seperti zikir yang digelar dengan "Doa Rasul shallaAllahu `alaihi wa sallam" yang awalnya: ..."Bismillahis Samii`il Bashiir, alladzi laisa kamitslihi syai`, wa Huwa bi kulli syai-in 'Aliim....."  (yakni amalan "Bismillah 6").
Maka doa atau amalan Bismillah Enam ini boleh dibaca atau dijadikan amalan, dengan menaruh harapan Allah memberikan ganjaran dan memakbulkan hajat kita. Namun, jangan dihubungkan dzikir atau doa ini dan segala kelebihan amalan ini kepada baginda Rasul shallaAllahu `alaihi wa sallam atau kepada mana - mana sahabat radhiyaAllahu `anhum secara pasti kerana khuatir jatuh dalam perbuatan berdusta atas nama mereka.

Sesiapa yang hendak mengamalkannya sebagai zikir / wirid tambahan, tidaklah ada apa - apa masalah, di sisi ulama kita. Jika ulama sebelah, masalah besar kerana "....bla ... bla ... bla... bid`ah ... Nabi tak ajar ....bla.. bla ... yang shahih pun tak amal .... bla ..bla ..bla ..." dan banyak lagilah songelnya. Nak ikut mereka, tak payahlah amal, namun di sisi ulama kita, istimewa ulama Nusantara, mereka tiada masalah untuk mengamalkannya dan mengajarkannya kerana melalui tajribah mereka terhasil apa yang dimaksudkan dengan izin Allah, alhamdulillah

Makanya, almarhum Prof. Dr. Haron Din telah menjadikan amalan Bismillah 6 ini antara amalan asas bagi kaedah rawatan yang diamal dan diajar oleh beliau. Faqir sesungguhnya percaya, anak - anak murid Dr. Haron ramai yang menerima dan mengamalkan Bismillah Enam sebagaimana yang diijazahkan kepada mereka. Dalam buku "Sebahagian Daripada Rawatan Pesakit Menurut al-Quran dan as-Sunnah" dimuatkan amalan Bismillah 6  ini pada halaman 61 - 63 di bawah tajuk "Bismillah Tujuh". Dalam buku tersebut tercatat, antaranya, sebagai berikut: 
" Bismillah Tujuh. Ia adalah nama sempena dengan doa yang digunakan yang mempunyai tujuh bismillah, termasuk bacaan yang awal. Doa ini amat besar manfaatnya terutama untuk mengubati:- (i) Segala jenis penyakit terkena bisa, termasuk bisa kerana sengat binatang seperti ikan, lebah, ular dan lain - lain lagi. (ii) Segala jenis racun, iaitu racun yang diperbuat dari bahan - bahan yang mendatangkan bisa seperti racun yang diperbuat daripada kaca bal lampu, miang rebung, ulat bulu mati beragan, hempedu katak bisa dab sebagainya. (iii) Segala jenis santau ........... Bismillah ini juga dinamakan Bismillah Enam oleh sesetengah orang, kerana ia terdiri dari 6 kombinasi Bismillah sahaja tanpa mengira Bismillah yang pertama. Perbezaan nama ini tidak menimbulkan apa - apa masalah dalam usaha rawatan ini.
Akhirul kalam, faqir kongsikan di sini bahawa Syaikhul Ulama Kelantan, almarhum Tuan Guru Haji Abdullah Lubuk Tapah, ayahanda Shahibus Samahah Dr. Luqman hafizahullah, mufti Wilayah sekarang, dalam satu risalah beliau memuatkan juga amalan Bismillah Enam serta menganjurkan ianya dibaca sekali tiap - tiap lepas sembahyang. Mudah - mudahan berkah dan bermanfaat.
 

Isnin, Mei 23, 2022

Kisah Penjual Zalabiyah

Syaikh Ibnu Qayyim al-Jawziyyah rahimahullah menulis dalam kitabnya ar-Ruh pada halaman 372 sebuah kisah mimpi sebagai berikut:- 
Basysyar bin Ghalib berkata: " Aku telah bermimpi bertemu dengan Rabi`ah yang sering aku berdoa untuk dia. Dia berkata kepadaku: "Wahai Basysyar bin Ghalib, hadiah - hadiahmu disampaikan kepada kami dalam dulang - dulang (yang dibuat) dari cahaya (nur) yang ditutup (ditudung) dengan tudung dari sutera." Aku bertanya: "Bagaimanakah yang sedemikian itu?" Dia berkata: "Demikianlah doa orang-orang mukmin yang masih hidup, apabila mereka mendoakan orang mati, diterima bagi mereka (akan doa tersebut), diletakkan doa tersebut dalam bekas - bekas nur (yakni dulang - dulang cahaya) dan ditudung dengan tudung sutera, kemudian disampaikan kepada orang mati yang ditujukan doa tersebut, lalu dikatakan kepadanya: "Inilah hadiah si fulan untukmu."
Begitulah kisah mimpi yang memperikan bagaimana sampainya hadiah yang dikirim orang hidup kepada orang mati. Kisah mimpi ini dicatat oleh panutan dan tokoh yang dikagumi oleh mereka - mereka yang menggelar diri mereka "Salafi". Maka sebelum menolak atau meremeh atau mempersendakannya, berfikirlah dahulu. Banyak lagi kisah - kisah sedemikian, bukan sahaja dinukilkan oleh sufi, bahkan "salafi". Namun perlu diingat bahawa pastinya, hukum sesuatu itu tidaklah dikeluarkan daripada mimpi - mimpi ini.

Satu lagi kisah mimpi, dinukilkan oleh Imam al-Yafi`i rahimahullah dalam Raudhur Riyaahin pada halaman 178, kisah yang ke-157, yang beliau dengar daripada sebahagian ulama, menceritakan sebagai berikut:- 
Seseorang telah bermimpi melihat ahli - ahli kubur di satu tanah perkuburan keluar dari kubur - kubur mereka ke perkarangan perkuburan tersebut. Mereka mengambil sesuatu yang dia tidak mengetahuinya. Lelaki yang bermimpi tersebut berkata: "Aku merasa pelik melihat perbuatan tersebut dan aku juga melihat seseorang yang hanya duduk - duduk sahaja tanpa ikut serta mengambil sesuatu. Maka aku menghampiri lelaki tersebut dan bertanya tentang apa yang diambil oleh mereka. Dia menjawab: "Mereka mengambil sesuatu yang dihadiahkan kepada mereka oleh kaum Muslimin dari bacaan al-Quran, sedekah dan doa." Aku bertanya kepadanya: "Lalu kenapa engkau tidak bersama mereka untuk mengambil kiriman hadiah tersebut?" Dia menjawab: "Aku sudah kaya, tiada keperluan untuk mengambilnya." Aku bertanya lagi: "Kaya dengan apa?" Dia menjawab: "Dengan satu khataman al-Quran yang dibaca dan dihadiahkan oleh anakku kepadaku pada setiap siang dan malam." Aku bertanya: "Di manakan anakmu?" Dia menjawab: "Dia pemuda yang menjual zalabiyah (sejenis kuih manis / halwa jalebi) di pasar si fulan." Apabila aku bangun dari tidur, aku pun pergi ke pasar yang disebutkan dan berjumpa dengan seorang pemuda yang menjual zalabiyah sambil kumat - kamit menggerak - gerakkan bibirnya. Maka aku bertanya kepadanya: "Dengan apa engkau gerak - gerakkan bibirmu?" Dia menjawab: "Aku membaca al-Quran untuk dihadiahkan kepada ayahku di kuburnya." Orang yang bermimpi tadi meneruskan ceritanya dengan berkata: "Setelah berlalu beberapa waktu, aku bermimpi lagi melihat orang - orang mati keluar dari kubur - kubur mereka untuk mengambil sesuatu sebagaimana mimpi terdahulu. Kali ini, aku melihat lelaki yang dahulunya tidak turut serta mengambil sesuatu, sekarang sama - sama mengambilnya dengan mereka. Aku bangun dari tidur dengan perasaan hairan atas yang sedemikian, lalu aku pun pergi ke pasar untuk mengetahui khabar berita anaknya. Maka aku telah mendapati pemuda tersebut sudah meninggal dunia, mudah - mudahan Allah ta`ala merahmatinya.
Kisah mimpi ini turut dinukilkan oleh beberapa ulama lain, antaranya oleh Syaikh Zainuddin Malibari rahimahullah dalam kitab beliau, Irsyadul `Ibaad dan Sidi Abu Bakar Syatha al-Bakri ad-Dimyathi rahimahullah dalam I`aanatuth Thaalibiin. Kisah - kisah ini sekadar mimpi yang shalihah yang dilihat oleh sebahagian ahli ilmu (baca: ulama) dan diceritakan pula kepada ulama dan dicatat pula oleh ulama dan disebarkan pula oleh ulama. Yang kita ini sekadar tumpang sekaki mendengar kisah perkhabarannya para ulama. Semoga bermanfaat dan mendapat berkatnya para ulama.


Klip Prof. Dr. Quraish Syihab

Ahad, Mei 22, 2022

Ingatan Habib Taufiq




Khamis, Mei 12, 2022

Sujud Cium kaki ???

Kecoh di luar sana tentang hukum mencium kaki orang shalih atau ulama atau guru. Kekecohannya ditimbulkan dalam masyarakat kita dek perbuatan sesetengah pengikut satu thariqat yang bertindak seolah - olah sujud demi mencium kaki guru mursyidnya. Maka apabila viral, timbul berbagai reaksi daripada masyarakat, baik ulama maupun awam.  Maka bergemalah suara - suara bijak pandai, yang setuju bawak mari dalil orang pegi cium kaki Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam; Yang tak setuju bawak pula hadis tegahan sujud kepada makhluk dan riwayat Nabi tak bagi orang nak sujud takzim kepada baginda. Kalau difikir - fikir, nak pening apanya, hadis cium kaki sabit dan hadis larangan sujud kepada makhluk pun sabit, maka himpun sahaja mafhum dari kedua-dua riwayat tersebut, yakni kalau pun nak cium kaki, janganlah sampai sujud. 

Seperkara lagi, hadis - hadis yang sebut cium kaki, tidak pula menyatakan dengan terperinci akan rupa dan gaya perbuatan mencium kaki itu dilakukan. Ada riwayat daripada Ibnu Hibban yang menyebut bahawa ketika taubat Ka`ab bin Malik radhiyaAllahu `anhu diterima Allah, maka beliau telah datang kepada Junjungan Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam lalu mencium kedua tangan dan dua lutut baginda (rukbataihi). Maka sebahagian orang - orang alim menyatakan bahawa yang dicium itu adalah palak tut atau bahasa bakunya kepala lutut yang dalam bahasa seberang disebut dengkul. Ini cara mencium kaki yang diajar oleh guru - guru dan orang - orang tua kami, yang biasa dilakukan ketika lebaran, bukannya hari - hari nak cium palak tut. Bukan sahaja yang cium, yang kena cium pun rimas kalau dok cium hari - hari palak tut. Belum pernah lagi faqir diajar oleh mana - mana guru, baik guru matematik maupun guru thariqat, untuk mencium tapak kaki sesiapa pun dalam keadaan menyungkur sujud. Tetapi janganlah pula kita gopoh ketika melihat perlakuan seseorang yang mungkin jahil atau sinting atau dikuasai emosi melakukan perkara sedemikian, lalu terus yang dihukumkan gurunya atau thariqatnya sebagai sesat, sedangkan itu bukanlah ajaran guru atau thariqatnya, itu dia sahaja yang memandai - mandai. Bukan senang nak menyesatkan orang, apatah lagi yang zahirnya muwafaqah dengan aqidah dan syariat yang hak. Oleh itu, berhati - hatilah.

Sebagaimana yang faqir sebutkan terdahulu, orang - orang Islam kat tempat faqir pun biasa juga cium  kaki atau lebih tepatnya cium dua palak tut (rukbatai), tetapi hanya dikhususkan kepada ibu bapa, atok nenek dan guru - guru ngaji yang sepuh sahaja. Itu pun bukan dilakukan hari -hari, biasanya setahun sekali je, seperti di pagi hari raya. Sekali lagi, yang dicium adalah pangkal kaki atau kepala lutut dan jauh dari rupa dan gaya sujud. Mungkin ini sama dengan adat di Jawa yang digelar sungkem, di mana seseorang bersimpuh untuk mencium tangan dan kaki (lutut) orang tuanya. Malangnya, sekarang apabila disebut "cium kaki" maka terbayang atau dibayangkan oleh sebahagian, bahawa "cium kaki" tersebut adalah dengan menyungkur sujud untuk mencium tapak kaki seseorang, persis seperti perlakuan orang - orang kafir. Jika begitulah keadaannya maka, ulama menghukumkannya sebagai haram, bahkan dikhuatiri membawa kepada kesyirikan. Maka sewajarnyalah kita menghindari perbuatan tersebut.

Almarhum Datuk Haji Abdul Kadir Hasan, mantan mufti Sarawak yang alim `allaamah, pencinta kitab Tuhfah & Nihayah juga Sabila, pernah ditanya mengenai hukum mencium kaki orang yang baru balik daripada menunaikan ibadah haji dan beliau menghukumkannya sebagai haram kerana kita dilarang untuk bersujud kepada makhluk. Maka kita faham bahawa haramnya mencium kaki itu adalah kerana untuk menciumnya seseorang menyungkur sujud kepada orang yang hendak dicium kakinya. Untuk lebih menghayati, faqir salin di sini jawapan almarhum tersebut sebagaimana tercatat dalam 40 Kemusykilan Agama, Siri Ke-2 pada halaman 165 - 166, sebagai berikut:-

Perbuatan mencium kaki orang yang balik daripada menunaikan Fardhu Haji tidak harus dilakukan oleh orang Islam. Tidak ada berkat pada yang demikian itu, tidak ada fadhilat dan tiada didapati di dalam ajaran Islam menyuruh berbuat demikian. Perbuatan mencium kaki itu adalah bertentangan dan berlawanan dengan ajaran Islam kerana menurut ajaran Islam seseorang itu tiada harus ruku` atau sujud kepada sesiapapun selain daripada Allah. Hanya kepada Allah perbuatan ruku` dan sujud itu boleh dilakukan sebagai menghina, merendah dan mengabdikan diri kepada Allah yang menciptakan kita. Maka perbuatan mencium kaki adalah lebih hebat atau lebih dahsyat daripada sujud. Sebab itu maka ianya tiada harus dilakukan oleh seseorang Islam.
    Perbuatan itu seakan - akan atau sama seperti menyembah yang lain daripada Allah dan ini adalah satu kesalahan dan dosa yang paling besar. Kalau setakat dengan had ruku` sudah ditegah, apatah lagi perbuatan mencium kaki. Bukan sahaja orang yang mencium kaki itu yang salah, bahkan orang yang membiar atau meredhakan kakinya dicium oleh orang lain adalah juga salah. Malah lebih besar kesalahannya kerana membiar atau meredhai kakinya dicium orang, adalah sama seolah - olah telah meletakkan dirinya sama taraf dengan Tuhan, wal`iyyadzu billah.
  

Sebenarnya jika kita teliti kitab - kitab ulama kita mengenai masalah ini, ada dua perkara yang biasanya dibincangkan, pertama: cium kaki dan kedua: perbuatan sujud untuk cium kaki. Dua perkara ini seharusnya dibezakan. Rata - rata ulama kita tidak bermasalah dengan isu pertama, iaitu mencium kaki orang - orang yang layak untuk dicium kakinya seperti ibubapa dan sebagainya. Yang menjadi masalah adalah sujud  untuk melakukannya. Inilah letak buah butir bahasannya. Khaatimatul Muhaqqiqin, Imam Ibnu Hajar al-Haitami rahimahullah dalam Fatawa Kubra Fiqhiyyah, jilid 4, halaman 247 ketika ditanya, antaranya, mengenai hukum mencium tangan, kaki, kepala seseorang, beliau menyatakan dalam mazhab kita mencium tangan, kaki, kepala, seseorang yang alim atau shalih atau mulia nasabnya adalah sunnat, namun membongkokkan belakang (yakni menundukkan badan seumpama rukuk) hukumnya adalah makruh. Imam yang mulia tersebut mendatangkan beberapa nas bagi hukum tersebut, antaranya apa yang diriwayatkan oleh Ibnu Hibban bahawa ketika penerimaan taubat Ka`ab bin Malik radhiyaAllahu `anhu, beliau telah mendatangi Junjungan shallaAllahu `alaihi wa sallam dan mencium dua tangan dan dua kepala lutut baginda (rukbataihi). Beliau juga mendatangkan riwayat ketika mana seorang badwi melihat mukjizat pokok berjalan mendatangi Junjungan Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam ketika baginda memanggilnya, badwi tersebut lalu meminta izin untuk sujud kepada baginda, namun ditolak oleh baginda seraya bersabda: "Janganlah seseorang sujud kepada seseorang (yakni makhluk) yang lain. Seandainya aku hendak memerintah seseorang untuk sujud kepada seseorang lain, nescaya aku akan perintahkan seorang isteri untuk sujud kepada suaminya kerana besarnya hak seorang suami itu." Imam Ibnu Hajar juga menukilkan dalam fatwa beliau tersebut akan perkataan Sultanul 'Ulama Syaikh `Izzuddin bin `Abdus Salam rahimahullah, antara lain, menyebut: "Membongkok (menunduk) badan yang melebihi had rukuk adalah perbuatan yang tidak boleh dilakukan oleh seseorang kepada seseorang lain sepertimana perbuatan sujud. Tidak mengapa jika tunduk tersebut kurang dari had rukuk (yakni tunduk yang sedikit yang tidak mencapai had rukuk) untuk memuliakan orang Islam (yakni seseorang dibenarkan untuk menunduk hormat kepada sesama Islam asalkan jangan mencapai atau melebihi had rukuk). Maka difahami, bahawa dalam mencium kaki tangan seseorang yang layak untuk dicium, janganlah sampai merendahkan diri sehingga menyerupai rukuk, apatah lagi sehingga menyerupai perbuatan sujud. Sekadar membongkokkan sedikit badan tidak sampai ke batas rukuk tidaklah menjadi masalah, jika mencapai had rukuk maka dihukumkan makruh sebagaimana dalam fatwa tersebut, manakala jika sampai bersujud maka haramlah hukumnya.

Faqir harap penjelasan ringkas, yang kurang dari hujung kuku, ada manfaatnya dan dapat sedikit sebanyak menyuluh pemahaman kita. Sebaik - baiknya elakkanlah daripada melakukan sesuatu perbuatan yang boleh menimbulkan fitnah dan tohmah, bukan sahaja kepada diri pelaku tapi kepada satu kelompok manusia lain yang tiada kena mengena dengan perbuatan si pelaku tersebut. Juga janganlah pula pihak lain sewenang - wenang menghukum kelompok lain sebagai sesat hanya kerana perbuatan segelintir pengikut mereka. Jika ada orang thariqat yang melakukan kesalahan, jangan pula dipukul rata semua thariqat sesat dan seumpamanya. Ketahuilah bahawa kejahilan itu wujud di mana - mana, bukan hanya di kalangan pengikut sufi, bahkan juga di kalangan pendokong so-called salafi. Sama - sama kita bermuhasabah, letih dah nak berbalah sesama umat yang bersyahadah.

~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~
Segelintir kalangan masyarakat sufi

Segelintir kalangan masyarakat "Salafi"

Selasa, Mei 10, 2022

Tolak Bala Hari Selasa

Habib Abu Bakar `Aththas al-Habsyi rahimahullah mencatat dalam kitab beliau yang berjodol at-Tadzkirul Musthafa pada halaman 93 - 94 atau dalam naskhah cetakan Darul Hawi pada halaman 158, akan satu doa yang diajar oleh al-Imam al-Habib `Alawi bin Ahmad al-Haddad rahimahullah yang menyatakan bahawa datuk beliau, Quthubul Habib Hasan al-Haddad rahimahullah, telah menghafal dua hadis yang  berisi doa yang diriwayatkan dalam Musnad al-Firdaus sejak usia datuk beliau 5 tahun lagi. Salah satu dari doa tersebut adalah Doa Tolak Bala yang dibaca setiap hari Selasa. Dinyatakan bahawa sesiapa yang membaca doa ini 3 kali pada hari Selasa, (mudah - mudahan) Allah peliharakan dia dari segala bala bencana sehingga Selasa berikutnya. Doa ini telah menjadi amalan para ulama dan habaib, Syaikh Abdullah BaSaudan turut memasukkannya dalam Hadrah BaSaudan yang masyhur dibaca setiap hari Selasa. Untuk meratakan manfaat, in sya Allah, maka inilah doanya:-


Pembacaan Doa Tolak Bala

Sabtu, Mei 07, 2022

Tiba - Tiba Raya

Zaman dulu - dulu, orang tahu bahawa jatuhnya 1 Syawal adalah tidak dapat ditentukan dengan tepat sejak awal lagi. Ini adalah kerana ianya tertakluk kepada rukyatul hilal Syawalnya nanti. Maka fenomena tiba - tiba raya sering berlaku dan masyarakat tidak pun kecoh walaupun ada setengahnya yang kelam kabut sedikit. Namun, dalam kelam kabut tersebutlah tersimpan berbagai nostalgia dan keseronokan menyambut hari lebaran. Tahun ini di"kecoh"kan dengan fenomena "tiba - tiba raya" yang sepatutnya tidak perlu pun kecoh. Ini membuktikan betapa perlunya kepada pencerapan anak bulan atau rukyatul hilal kerana betapa canggihnya sistem kiraan falak hisab tidak menutup kemungkinan hilal untuk dapat dicerap. Maka tahu dan fahamlah kita bahawa hisab itu tidak mutlak, ianya juga tertakluk kepada rukyah. Dalam hisab falak juga berlaku pelbagai perbezaan pendapat para ahlinya, ini terbukti dengan kriteria yang berbeza untuk menetapkan kebolehnampakan hilal. Dalam kes semasa, mengikut kriteria lama, 1 Syawal dijangka jatuh pada 2 Mei 2022, sedangkan mengikut kriteria baru, ianya dijangka jatuh pada 3 Mei 2022 kerana kemungkinan hilal untuk kelihatan adalah tipis. Namun, kuasa Allah mengatasi segalanya, pada tarikh pencerapan tersebut, hilal telah dapat dicerap di beberapa tempat seperti di Labuan, Brunei dan Aceh. Maka ketiga - tiga negara tersebut telah mengisytiharkan 1 Syawal jatuh pada 2 Mei 2022. Hasil rukyah inilah yang jadi pegangan dalam penetapan tarikh 1 Syawal tersebut dan bukannya keputusan hisab falak dan bukan juga kerana celoteh seseorang di mukabukunya. Penggunaan kaedah hisab falak hanyalah untuk membantu proses mencerap, hasil cerapan itulah yang diguna untuk menentukan tarikh awal sesuatu bulan tersebut, semuanya bergantung kepada samada nampak hilal atau tidak. Peristiwa ini juga membuktikan bahawa negara umat Islam seperti Malaysia, Indonesia dan Brunei berpegang dengan kaedah rukyah walaupun bercanggah dengan hitungan hisab falak, sebagaimana pandangan jumhur ulama. Oleh itu, tidaklah ditetapkan tarikh 1 Syawal sebelum proses rukyah tersebut, makanya penetapan tarikh 1 Syawal dalam almanak dan kalendar yang berdasarkan falak adalah tertakluk kepada perubahan berdasarkan rukyahnya nanti. 

Sepatutnya kejadian "tiba - tiba raya" dijadikan iktibar, begitulah kematian nanti mendatangi kita. Mati itu datang tiba - tiba, bak kata - kata hikmah pujangga: "Kematian itu datangnya tiba - tiba; Kubur itu peti simpanan segala amalan". Malang 1000 kali malang, jika kematian datang, sedangkan kubur kita kosong dari sebarang bekalan. Maka seharusnya kita mencari dan mengumpul bekalan amal - amal shalih agar kehidupan kita di sana tenang dan nyaman. Oleh itu hendaklah kita bersiap sedia agar tidak kelam kabut ketika malaikat maut bertandang untuk membawa kita pergi.