Khamis, Mei 12, 2022

Sujud Cium kaki ???

Kecoh di luar sana tentang hukum mencium kaki orang shalih atau ulama atau guru. Kekecohannya ditimbulkan dalam masyarakat kita dek perbuatan sesetengah pengikut satu thariqat yang bertindak seolah - olah sujud demi mencium kaki guru mursyidnya. Maka apabila viral, timbul berbagai reaksi daripada masyarakat, baik ulama maupun awam.  Maka bergemalah suara - suara bijak pandai, yang setuju bawak mari dalil orang pegi cium kaki Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam; Yang tak setuju bawak pula hadis tegahan sujud kepada makhluk dan riwayat Nabi tak bagi orang nak sujud takzim kepada baginda. Kalau difikir - fikir, nak pening apanya, hadis cium kaki sabit dan hadis larangan sujud kepada makhluk pun sabit, maka himpun sahaja mafhum dari kedua-dua riwayat tersebut, yakni kalau pun nak cium kaki, janganlah sampai sujud. 

Seperkara lagi, hadis - hadis yang sebut cium kaki, tidak pula menyatakan dengan terperinci akan rupa dan gaya perbuatan mencium kaki itu dilakukan. Ada riwayat daripada Ibnu Hibban yang menyebut bahawa ketika taubat Ka`ab bin Malik radhiyaAllahu `anhu diterima Allah, maka beliau telah datang kepada Junjungan Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam lalu mencium kedua tangan dan dua lutut baginda (rukbataihi). Maka sebahagian orang - orang alim menyatakan bahawa yang dicium itu adalah palak tut atau bahasa bakunya kepala lutut yang dalam bahasa seberang disebut dengkul. Ini cara mencium kaki yang diajar oleh guru - guru dan orang - orang tua kami, yang biasa dilakukan ketika lebaran, bukannya hari - hari nak cium palak tut. Bukan sahaja yang cium, yang kena cium pun rimas kalau dok cium hari - hari palak tut. Belum pernah lagi faqir diajar oleh mana - mana guru, baik guru matematik maupun guru thariqat, untuk mencium tapak kaki sesiapa pun dalam keadaan menyungkur sujud. Tetapi janganlah pula kita gopoh ketika melihat perlakuan seseorang yang mungkin jahil atau sinting atau dikuasai emosi melakukan perkara sedemikian, lalu terus yang dihukumkan gurunya atau thariqatnya sebagai sesat, sedangkan itu bukanlah ajaran guru atau thariqatnya, itu dia sahaja yang memandai - mandai. Bukan senang nak menyesatkan orang, apatah lagi yang zahirnya muwafaqah dengan aqidah dan syariat yang hak. Oleh itu, berhati - hatilah.

Sebagaimana yang faqir sebutkan terdahulu, orang - orang Islam kat tempat faqir pun biasa juga cium  kaki atau lebih tepatnya cium dua palak tut (rukbatai), tetapi hanya dikhususkan kepada ibu bapa, atok nenek dan guru - guru ngaji yang sepuh sahaja. Itu pun bukan dilakukan hari -hari, biasanya setahun sekali je, seperti di pagi hari raya. Sekali lagi, yang dicium adalah pangkal kaki atau kepala lutut dan jauh dari rupa dan gaya sujud. Mungkin ini sama dengan adat di Jawa yang digelar sungkem, di mana seseorang bersimpuh untuk mencium tangan dan kaki (lutut) orang tuanya. Malangnya, sekarang apabila disebut "cium kaki" maka terbayang atau dibayangkan oleh sebahagian, bahawa "cium kaki" tersebut adalah dengan menyungkur sujud untuk mencium tapak kaki seseorang, persis seperti perlakuan orang - orang kafir. Jika begitulah keadaannya maka, ulama menghukumkannya sebagai haram, bahkan dikhuatiri membawa kepada kesyirikan. Maka sewajarnyalah kita menghindari perbuatan tersebut.

Almarhum Datuk Haji Abdul Kadir Hasan, mantan mufti Sarawak yang alim `allaamah, pencinta kitab Tuhfah & Nihayah juga Sabila, pernah ditanya mengenai hukum mencium kaki orang yang baru balik daripada menunaikan ibadah haji dan beliau menghukumkannya sebagai haram kerana kita dilarang untuk bersujud kepada makhluk. Maka kita faham bahawa haramnya mencium kaki itu adalah kerana untuk menciumnya seseorang menyungkur sujud kepada orang yang hendak dicium kakinya. Untuk lebih menghayati, faqir salin di sini jawapan almarhum tersebut sebagaimana tercatat dalam 40 Kemusykilan Agama, Siri Ke-2 pada halaman 165 - 166, sebagai berikut:-

Perbuatan mencium kaki orang yang balik daripada menunaikan Fardhu Haji tidak harus dilakukan oleh orang Islam. Tidak ada berkat pada yang demikian itu, tidak ada fadhilat dan tiada didapati di dalam ajaran Islam menyuruh berbuat demikian. Perbuatan mencium kaki itu adalah bertentangan dan berlawanan dengan ajaran Islam kerana menurut ajaran Islam seseorang itu tiada harus ruku` atau sujud kepada sesiapapun selain daripada Allah. Hanya kepada Allah perbuatan ruku` dan sujud itu boleh dilakukan sebagai menghina, merendah dan mengabdikan diri kepada Allah yang menciptakan kita. Maka perbuatan mencium kaki adalah lebih hebat atau lebih dahsyat daripada sujud. Sebab itu maka ianya tiada harus dilakukan oleh seseorang Islam.
    Perbuatan itu seakan - akan atau sama seperti menyembah yang lain daripada Allah dan ini adalah satu kesalahan dan dosa yang paling besar. Kalau setakat dengan had ruku` sudah ditegah, apatah lagi perbuatan mencium kaki. Bukan sahaja orang yang mencium kaki itu yang salah, bahkan orang yang membiar atau meredhakan kakinya dicium oleh orang lain adalah juga salah. Malah lebih besar kesalahannya kerana membiar atau meredhai kakinya dicium orang, adalah sama seolah - olah telah meletakkan dirinya sama taraf dengan Tuhan, wal`iyyadzu billah.
  

Sebenarnya jika kita teliti kitab - kitab ulama kita mengenai masalah ini, ada dua perkara yang biasanya dibincangkan, pertama: cium kaki dan kedua: perbuatan sujud untuk cium kaki. Dua perkara ini seharusnya dibezakan. Rata - rata ulama kita tidak bermasalah dengan isu pertama, iaitu mencium kaki orang - orang yang layak untuk dicium kakinya seperti ibubapa dan sebagainya. Yang menjadi masalah adalah sujud  untuk melakukannya. Inilah letak buah butir bahasannya. Khaatimatul Muhaqqiqin, Imam Ibnu Hajar al-Haitami rahimahullah dalam Fatawa Kubra Fiqhiyyah, jilid 4, halaman 247 ketika ditanya, antaranya, mengenai hukum mencium tangan, kaki, kepala seseorang, beliau menyatakan dalam mazhab kita mencium tangan, kaki, kepala, seseorang yang alim atau shalih atau mulia nasabnya adalah sunnat, namun membongkokkan belakang (yakni menundukkan badan seumpama rukuk) hukumnya adalah makruh. Imam yang mulia tersebut mendatangkan beberapa nas bagi hukum tersebut, antaranya apa yang diriwayatkan oleh Ibnu Hibban bahawa ketika penerimaan taubat Ka`ab bin Malik radhiyaAllahu `anhu, beliau telah mendatangi Junjungan shallaAllahu `alaihi wa sallam dan mencium dua tangan dan dua kepala lutut baginda (rukbataihi). Beliau juga mendatangkan riwayat ketika mana seorang badwi melihat mukjizat pokok berjalan mendatangi Junjungan Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam ketika baginda memanggilnya, badwi tersebut lalu meminta izin untuk sujud kepada baginda, namun ditolak oleh baginda seraya bersabda: "Janganlah seseorang sujud kepada seseorang (yakni makhluk) yang lain. Seandainya aku hendak memerintah seseorang untuk sujud kepada seseorang lain, nescaya aku akan perintahkan seorang isteri untuk sujud kepada suaminya kerana besarnya hak seorang suami itu." Imam Ibnu Hajar juga menukilkan dalam fatwa beliau tersebut akan perkataan Sultanul 'Ulama Syaikh `Izzuddin bin `Abdus Salam rahimahullah, antara lain, menyebut: "Membongkok (menunduk) badan yang melebihi had rukuk adalah perbuatan yang tidak boleh dilakukan oleh seseorang kepada seseorang lain sepertimana perbuatan sujud. Tidak mengapa jika tunduk tersebut kurang dari had rukuk (yakni tunduk yang sedikit yang tidak mencapai had rukuk) untuk memuliakan orang Islam (yakni seseorang dibenarkan untuk menunduk hormat kepada sesama Islam asalkan jangan mencapai atau melebihi had rukuk). Maka difahami, bahawa dalam mencium kaki tangan seseorang yang layak untuk dicium, janganlah sampai merendahkan diri sehingga menyerupai rukuk, apatah lagi sehingga menyerupai perbuatan sujud. Sekadar membongkokkan sedikit badan tidak sampai ke batas rukuk tidaklah menjadi masalah, jika mencapai had rukuk maka dihukumkan makruh sebagaimana dalam fatwa tersebut, manakala jika sampai bersujud maka haramlah hukumnya.

Faqir harap penjelasan ringkas, yang kurang dari hujung kuku, ada manfaatnya dan dapat sedikit sebanyak menyuluh pemahaman kita. Sebaik - baiknya elakkanlah daripada melakukan sesuatu perbuatan yang boleh menimbulkan fitnah dan tohmah, bukan sahaja kepada diri pelaku tapi kepada satu kelompok manusia lain yang tiada kena mengena dengan perbuatan si pelaku tersebut. Juga janganlah pula pihak lain sewenang - wenang menghukum kelompok lain sebagai sesat hanya kerana perbuatan segelintir pengikut mereka. Jika ada orang thariqat yang melakukan kesalahan, jangan pula dipukul rata semua thariqat sesat dan seumpamanya. Ketahuilah bahawa kejahilan itu wujud di mana - mana, bukan hanya di kalangan pengikut sufi, bahkan juga di kalangan pendokong so-called salafi. Sama - sama kita bermuhasabah, letih dah nak berbalah sesama umat yang bersyahadah.

~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~
Segelintir kalangan masyarakat sufi

Segelintir kalangan masyarakat "Salafi"

Tiada ulasan: