Memaparkan catatan dengan label video. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label video. Papar semua catatan

Isnin, Ogos 24, 2026

Mimpi Riwayat JazaAllah

Dalam menentukan status sesuatu hadits, para ulama yang ahli hadits atau dikenali sebagai muhadditsin dengan darjat - darjat kepakaran mereka masing - masing, mempunyai usul dan kaedah menurut disiplin ulumul hadits (ilmu - ilmu hadits) yang pelbagai dan bercabang - cabang seperti musthalah, al-jarh wat ta'dil, takhrij, `ilal dan dan ....... dan banyak lagi cabangnya, yang semuanya bersifat umum dan objektif. Mimpi, yang sifatnya personal dan subjektif, setara mana pun baik atau benarnya, sekali - kali tidak dapat dijadikan hujjah atau dalil untuk menetapkan ketentuan atau ketetapan hukum status hadits atau mensabitkan keabsahan sanad riwayat sesuatu hadits yang telah ditetapkan menurut usul dan kaedah muhadditsin. Namun, ini tidak bermakna yang mimpi - mimpi baik dan benar itu tidak memiliki peranan, Junjungan Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam menyatakan dalam hadits yang shahih bahawa: "Mimpi yang baik (ar-ru'ya shaalihah) itu satu bahagian daripada 1/46 bahagian daripada kenabian". Hadis ini tidaklah bererti orang yang bermimpi itu mendapat sebahagian darjat kenabian, kerana darjat kenabian itu tidak menerima pembahagian atau dijuzuk - juzukkan dan pangkat kenabian itu semata - mata anugerah Allah yang tidak dapat diusahakan, tambahan pula sudah pun ditutup pintunya dengan zahirnya Baginda Muhammad shallaAllahu `alaihi wa sallam di muka bumi. Dikatakan mimpi yang baik tadi seperti satu juzuk daripada 1/46 kenabian, antaranya, adalah kerana dalam mimpi baik yang dialami seorang mukmin, boleh jadi disingkapkan sesuatu yang ghaib, samada sifatnya belum terjadi atau sudah terjadi namun tidak diketahui dan hal ini ada kemiripannya dengan mimpi para nabi yang merupakan wahyu yang diturunkan kepada mereka. Berbalik kepada asal perbicaraan, dalam disiplin ilmu hadits, mimpi tidaklah dijadikan sandaran sebagai penentu keshahihan atau kepalsuan sesuatu hadis tersebut. Mimpi hanya berperanan untuk menambah keyakinan atau kepercayaan si pemimpi atau orang yang percayakan si pemimpi bahawa ada kemungkinan sesuatu riwayat itu benar, bukannya mimpi tersebut dijadikan penentu status riwayatnya. 

Perlu diketahui juga bahawa orang - orang shalih tidak akan sewenang - wenangnya mengarang - ngarang atau mereka - reka mimpi. Ini adalah kerana perbuatan mereka - reka mimpi itu termasuk pembohongan yang besar, termasuk dalam dosa besar yang diberi ancaman melakukannya. Junjungan Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam menyatakan mengarang - ngarang mimpi adalah termasuk afral fira / sedusta - dustanya pendustaan / pembohongan yang terdahsyat, sebagaimana yang diriwayatkan oleh para ahli hadits seperti Imam al-Bukhari dan Imam Ahmad. Dalam Musnad Imam Ahmad bin Hanbal, juz 10, halaman 202, hadits ke-5998, diriwayatkan bahawa Junjungan shallaAllahu `alaihi wa sallam bersabda: "Pembohongan yang paling besar adalah seseorang yang menasabkan dirinya kepada bukan bapanya dan pembohongan yang paling besar adalah seseorang yang menceritakan sesuatu yang diliihatnya di dalam tidur apa yang tidak dilihatnya  (yakni mereka - reka mimpi) dan orang yang mengubah sempadan tanah." 

Junjungan Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam turut mengancam seseorang yang mereka - reka mimpi dengan ancaman yang berat dalam sabdaan - sabdaan yang diriwayat oleh para muhadditsin. Dalam Shahih al-Bukhari diriwayatkan bahawa Junjungan Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam bersabda: "Sesiapa yang mengaku bermimpi (sedangkan) dia tidak melihatnya dalam mimpi tersebut (yakni seseorang yang mereka - reka mimpi), maka dia akan dibebankan (pada hari kiamat nanti) untuk mengikat dua biji gandum dan sekali - kali dia tidak akan mampu melakukannya."  Imam Ahmad pula dalam Musnad, juz 2, halaman 330, hadits ke-1088, meriwayatkan bahawa Junjungan Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam bersabda: "Sesiapa yang berdusta tentang mimpinya, dia akan dibebankan untuk mengikat bijian gandum pada hari kiamat nanti." 

Selanjutnya, Imam Ahmad meriwayatkan pada hadits ke-1089, ancaman keras Junjungan shallaAllahu `alaihi wa sallam yang bersabda: "Sesiapa yang berdusta tentang mimpinya dengan sengaja, maka dia telah mengambil tempatnya di neraka." Allahu Allah ..... ini bukan perkara yang boleh dibuat main - main. Mereka - reka mimpi termasuk dosa yang besar, maka para shalihin pasti tidak akan sewenang - wenangnya menceritakan mimpi - mimpi dusta. Jika tidak benar - benar mereka alami, pasti tidak akan mereka ceritakan. Dalam khazanah Islam, tercatat pelbagai peristiwa mimpi shalihin tentang sesuatu hadis. Namun, tetap sahaja usul dan kaedah muhadditsin dalam disiplin ilmu hadits yang dijadikan kayu ukur bagi menentukan kuat - lemahnya darjat sesuatu hadits dan bukannya mimpi.

Setelah penyataan di atas, maka selanjutnya faqir kongsikan mimpi seorang shalih sebagaimana dikisahkan oleh Syaikh Yusuf an-Nabhani rahimahullah  dalam kitabnya Dalilut Tujjar ila Akhlaqil Akhyaar. Pada halaman 99, Syaikh Yusuf menulis sebagai berikut:- .... Seorang lelaki shalih yang bernama Muhammad Wahid Afandi ash-Shabuni al-Halabi telah menziarahiku di rumahku di Beirut pada pertengahan bulan Syawwal tahun 1321H. Dia telah menceritakan kepadaku tentang kisah yang bermanfaat yang dialaminya sendiri, lalu aku terus ketika itu juga mencatatnya. Beginilah katanya: "Ketika di Halab, sekitar lebih sepuluh tahun yang lalu, aku telah melihat dalam sebahagian kitab - kitab akan hadits: "Sesiapa yang mengucapkan: [JazaAllahu `anna  Muhammadan bi ma huwa ahluh]...dia telah memenatkan 70 malaikat pencatat amal selama 1000 hari." Aku meragui keshahihan hadis ini kerana ganjarannya terlalu besar atas amalan yang sedikit. Pada malamnya, aku tidur dengan niat esoknya aku akan bertanya kepada para ulama tentang hadits tersebut. Lalu dalam tidurku aku bermimpi berjumpa dengan Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam yang sedang duduk atas kedua lututnya yang mulia (duduk iftirasy), berserban dengan serban putih dan memakai jubah hitam. Aku berkata kepada baginda: "Wahai RasulAllah, adakah engkau telah bersabda dengan hadits ini dan aku bacakan lafaz haditsnya?" Maka, baginda meletakkan tangan baginda ke dadanya yang mulia dan bersabda: "Ya, aku telah bersabda dengannya."

Allahu ... Allah, begitulah kisah mimpi berkait hadits tersebut. Mimpi seorang shalih yang disampaikan kepada seorang shalih yang kemudian mencatatnya sehingga sampai kepada kita. Namun, tidaklah kita bersandarkan kisah ini, mengisytiharkan bahawa hadits tersebut menurut disiplin ilmu hadits dan di sisi muhadditsin sebagai shahih, tetap sahaja ianya dinilai dhaif atau dhaif jiddan kerana salah seorang perawinya yang bernama Hani` bin al-Mutawwakil seorang yang dinilai dhaif / dhaif jiddan. Kisah mimpi tersebut hanyalah untuk mententeramkan hati serta memantapkan pegangan dan amalan individu pengamal bahawa ungkapan tersebut tidak bermasalah untuk diamalkan walaupun haditsnya dhaif dan bukannya untuk dijadikan hujjah menshahihkan hadits tersebut. Jadi, haditsnya secara ilmu hadits, ya lemah sanadnya, namun jika diamalkan tidaklah menjadi bid`ah dhalalah.

Ustaz Wadi Anuar

Isnin, Ogos 03, 2026

Munfarijah Ibnu an-Nahwi

Sebelum ini, faqir pernah menulis sedikit mengenai qashidah al-Munfarijah al-Kubra yang dinisbahkan kepada Hujjatul Islam Imam al-Ghazali radhiyaAllahu `anhu. Kali ini, faqir tuliskan sedikit tentang "kembar"nya, al-Munfarijah ash-Shughra yang lebih masyhur. Qashidah al-Munfarijah ash-Shughra ini lebih meluas penyebarannya di serata dunia termasuklah rantau Nusantara. Sesetengah percetakan di bumi Nusantara seperti Maktabah wa Mathba`ah Thoha Putra Semarang mencetak qashidah ini bersama kitab mawlid Majmu`ah Mawalid wa Ad`iyyah. Ramai umat Islam menjadikan qashidah ini sebagai amalan dan wirid mereka atas saranan para guru dan ulama. Misalnya, Syaikh Zainuddin Abdul Majid rahimahullah, ulama terkemuka di Lombok dan pengasas Nahdlatul Wathan telah menjadikan qashidah ini sebagai amalan dan wirid yang dihimpunkan dalam Hizib Nahdlatul Wathan yang menjadi amalan para santrinya. KH Sahl Mahfudz rahimahullah, tokoh ulama yang pernah menjadi Rais Am Nahdlatul Ulama, juga antara yang menyebar dan mengijazahkan bacaan qashidah ini sebagaimana beliau memperolehinya daripada guru - guru beliau di pesantren. Beliau juga mempunyai kuliah khusus bagi menjelaskan makna yang terkandung dalam  Qashidah al-Munfarijah ash-Shugra dan menulis sebuah risalah yang mensyarahkan secara ringkas bait - bait qashidah tersebut dalam Bahasa Jawa dengan aksara pegon berjodol at-Tarjamatul Munbajalah.

Qashidah al-Munfarijah ash-Shughra ini merupakan karya Imam Abul Fadhl Yusuf bin Muhammad at-Tawzari (433 - 513H) yang lebih dikenali dengan panggilan Ibnu an-Nahwi rahimahullah. Beliau adalah seorang ulama Tunisia, bermazhab Maliki, mahir dalam usuluddin, melaut dalam fiqh, sufi lagi al-hafiz dalam hadis serta panutan dalam ilmu - ilmu alat. Beliau terkenal dengan keshalihan dan mustajab doanya. Imam Ibnu an-Nahwi hidup sezaman dengan Hujjatul Islam al-Ghazali dan beliau sangat menyanjungi Imam al-Ghazali serta sangat memberi perhatian dan kepercayaan penuh pada kitab Ihya` Ulumiddin yang dikarang Hujjatul Islam al-Ghazali rahimahullah. Ketika Imam al-Ghazali ditohmah sebagai sesat sehingga dikeluarkan fatwa untuk membakar kitab Ihya` Ulumiddin di Marakkesh, Imam Ibnun Nahwi adalah antara yang lantang membela Hujjatul Islam dan karangannya. Ketika penguasa mengeluarkan arahan untuk merampas Ihya` `Ulumiddin untuk dibakar, maka orang - orang yang memiliki kitab tersebut telah menyembunyikannya dan bersumpah bahawa mereka tidak menyimpannya. Imam Ibnu an-Nahwi telah mengutus warkah kepada penguasa sebagai pembelaan terhadap Hujjatul Islam dan berfatwa bahawa sumpah orang - orang tersebut tidak diiktibar (yakni dianggap seolah - olah tidak berlaku) sehingga tidak perlu membayar kaffarah sumpah. Kecintaan luar biasa Imam Ibnun Nahwi kepada kitab Ihya` juga terserlah apabila beliau telah menyalin kitab tersebut dalam 30 juz dan pada setiap hari di bulan Ramadhan beliau akan membaca satu juz. Ketokohan, keilmuan dan kewalian beliau mendapat persaksian daripada ramai ulama, antaranya Qadhi Abu Abdullah bin Ali bin Hammaad yang menyatakan bahawa kedudukan Imam Ibnun Nahwi di Afrika Utara adalah seperti Imam al-Ghazali di Iraq dari segi ilmu dan amal.

Qashidah al-Munfarijah ash-Shughra ini telah mendapat sambutan dan perhatian daripada umat, baik yang awam maupun para ulama. Mereka menjadikannya sebagai munajat dan rintihan untuk menarik keberkatan dan rahmat Tuhan, selain berfungsi menjadi tawjih ruuhi (nasihat rohani buat diri) yang menenangkan hati, mengubat kedukaan, menghilangkan kegundahan, agar sentiasa optimis menghadapi segala pancaroba, mengajar berdamai dengan takdir, tidak berputus asa, terus berusaha dan bertawakkal dengan penuh keyakinan dan baik sangka (husnudz dzan) dengan Allah, di samping memohon kelepasan dari segala perkara yang menyempit dan menyesakkan dada. Qashidah yang dimulakan dengan ungkapan yang dikatakan sebagai sebuah "hadis" daripada Sayyidina `Ali radhiyaAllahu `anhu yang berbunyi: "Isytaddi azmatu tanfariji" - Memuncaklah wahai kepayahan, maka engkau akan segera terurai. Hadis ini diriwayatkan oleh Imam ad-Dailami dalam Musnad al-Firdaus dengan sanad yang sangat bermasalah, samada dhaif atau munkar (dhaif parah) atau maudhu (bukan sabda Junjungan) sebagaimana pandangan al-Hafiz Sidi Abul Faidh Ahmad al-Ghumari. Tetapi, memandangkan ianya bukan dalil atau hujjah dari aspek hukum - hakam dan iktikad pegangan, ulama menggunakannya hanya dalam bab kefasihan bahasa atau kedalaman munajat dan tawjih ruuhi (nasihat bagi diri atau bimbingan rohani). Pengertian daripada kalimah bait qashidah tersebut bukanlah atas makna zahirnya meminta agar cobaan atau musibah atau ujian atau kepayahan atau kegundahan ditambah atau meningkat, namun hakikatnya memohon agar diberikan kelepasan atau kelapangan atau kelegaan daripada cobaan atau musibah atau ujian atau kesulitan yang sedang dihadapi, Walaupun yang dituju dan ditunjuk adalah azmah (kesulitan / kepayahan /ujian pancaroba) namun yang dipohon pada hakikatnya adalah infiraj (kelepasan / kelapangan). Ulama menjelaskan ini termasuk dalam kaedah iqamatu lis sabab maqam al-musabbab (menjadikan sebab pada tempat akibat). Sama halnya seorang pesakit yang menderita kesakitan merintih: "Sakit...sakit...", pasti tujuannya bukanlah untuk meminta kesakitan atau semata - mata menyatakan kesakitan tetapi merintih mengharapkan segera datangnya kesembuhan. Juga jika ditafsirkan kepada doa, seolah - olah rintihan munajat kita kepada Allah yang merupakan satu - satunya Musabbibul Asbab (Pencipta segala sebab - akibat): "Cukup Ya Allah, segerakanlah datangnya kelepasan." Bait itu juga mengingatkan seseorang agar sentiasa optimis ketika menerima ujian kesulitan atau apa jua musibah pancaroba dan sekali - kali jangan berputus asa, kerana semakin hebat dan memuncaknya kesulitan atau ujian yang melanda, itulah petanda bahawa kelepasan atau jalan keluarnya semakin hampir sebagaimana ketika memuncaknya kegelapan malam menunjukkan waktu fajar telah hampir tiba.

Beberapa ulama besar telah memberikan perhatian mereka kepada qashidah ini dengan mensyarahkannya agar isi kandungannya yang penuh nasihat dan hikmah kebijaksanaan supaya dapat difahami masyarakat. Antara yang mensyarahkannya adalah alim besar, mujaddid kurun ke-9, gurunya dua bintang - Imam Ibnu Hajar dan Syaikh Ramli, - Syaikhul Islam, Mawlana Zakaria al-Anshari rahimahullah dengan syarahnya al-Adhwa-ul Bahjah fi ibraazi daqaaiqil al-Munfarijah, Syaikh Hasanain Makhluf rahimahullah, mantan mufti Mesir, dengan syarahnya Syifa-ush Shudur al-Harajah bi syarhi al-Qashidah al-Munfarijah, manakala Mawlawi Ismail Ahmad al-Anqarawi rahimahullah menuliskan syarahnya dalam Bahasa Turkiye dengan jodol al-Hikamul Mundarijah fi syarhi al-Munfarijah. Tidak ketinggalan, tokoh sufi yang terkemuka, Imam Ibnu 'Ajibah al-Hasani juga turut mensyarahkan qashidah yang berkat ini.

Mawlana Zakaria al-Anshari rahimahullah pada mukaddimah al-Adhwa-ul Bahjah menukil perkataan Imam Tajuddin as-Subki rahimahullah sebagai berikut:- ....Qashidah ini dinamakan oleh Syaikh Taajuddin as-Subki sebagai "al-Faraju ba'dasy Syiddah" - "Kelepasan setelah kesulitan"  dan beliau menyatakan: "Qashidah ini mujarrab untuk menghilangkan kesusahan, bahkan ramai yang berkeyakinan qashidah ini mengandungi atau merangkumi ismul a'zham (nama Allah yang teragung), di mana sesiapa yang berdoa dengannya pasti diijabahi." Beliau berkata lagi: "Adalah aku telah mendengar ayahandaku (Syaikhul Islam Imam Taqiyuddin Abul Hasan Ali as-Subki) ketika ditimpa kesusahan melantunkannya."

Begitulah sedikit coretan mengenai Qashidah Munfarijah Sughra karya Imam Ibnu an-Nahwi. Inilah antara puluhan juta khazanah peninggalan para ulama kita yang sampai ke tangan kita sekarang dan mudah - mudahan sehingga ke anak cucu kita nanti. Setidak - tidaknya secubit ilmunya ulama dan sirnya awliya` terkandung dalam qashidah ini. Jika pun tidak setiap kali, setidak - tidaknya sesekali, lihat dan pandanglah karya ulama - ulama kita yang telah ditajribah yakni diuji kemujarrabannya. Semoga Allah sentiasa melapangkan kehidupan kita dunia dan akhirat.....Allahumma aamiin.

Baca juga:- Munfarijah Kubra Imam al-Ghazali

Munfarijah Shughra


Kiyai Haji SahalMahfudz



Khamis, Julai 16, 2026

Daruud Taaj - Talaqqi Bil Qabuul ?

Sebagaimana yang pernah faqir nyatakan di entri terdahulu, Daruud Taj @ Duruud Taaj atau Shalawat Taajiyyah atau Daruud Taaj amat terkenal di Benua IndoPak berbanding di rantau kita. Faqir telah menulis sedikit mengenainya dan linknya akan faqir letak di bawah nanti. Para ulama Benua Hindi, memberi perhatian kepada shalawat ini dan telah mengarang beberapa syarah baginya untuk memperjelaskan isi kandungannya dengan segala nas yang ada. Di antara syarahnya yang masyhur adalah Syarah Duruud Taaj yang dikarang oleh al-`Allaamah Abut Turab Mawlana Muhammad Nashiruddin Nashir al-Madani `Aththari dan Dhaw-us Siraaj karya al-`Allaamah Muhammad Faidh Ahmad Shahib Uwaisi, kedua-duanya berbahasa Urdu.

Peri masyhurnya Daruud Taaj ini di benua tersebut sehingga ada ulama di sana yang beranggapan bahawa ianya bukanlah sesuatu yang perlu dipermasalahkan lagi kerana telah rata penerimaannya di sisi awliya` dan ulama benua tersebut, bahkan ia boleh dimasukkan dalam kaedah talaqqi bil qabuul, yakni diterima secara bulat kerana penerimaan yang merata di sisi ulama. Mawlana Muhammad Faidh dalam Dhaw-us Siraaj pada halaman 9, menyatakan bahawa Daruud Taaj telah diamalkan oleh ramai awliya` yang mulia dan ulama yang besar - besar sehingga menurut pandangan beliau shalawat atau amalan ini dianggap termasuk dalam kaedah talaqqi bil qabuul. Pandangan ini mungkin benar atas kadar atau darjatnya tertentu, tertakluk kepada sejauh mana luas tersebar dan penerimaannya di kalangan para ulama di seluruh pelosok dunia. Jika pun dikatakan talaqqi bil qabuul, pasti darjatnya tidak sampai ke tingkat ittifaq ulama atau ijma`.Namun, setidak - tidaknya, kewujudan dakwaan talaqqi bil qabuul tersebut, menunjukkan kepada fakta bahawa Daruud Taaj adalah sesuatu yang telah diterima oleh sejumlah ulama dan awliya` umat ini, sehingga menjadikan hal tersebut sebagai sesuatu yang boleh diterima, namun bukan satu kewajipan untuk diterima. Sesiapa yang mahu membaca atau mengamalkannya, boleh berbuat sedemikian, manakala yang tidak mahu atau tidak bersetuju adalah bebas dengan pandangannya. Maka luaskan fikiran dan lapangkan dada demi menjaga adab berikhtilaf.

Sebagai tambahan, talaqqi bil qabuul shalawat tersebut juga tidaklah menyamai talaqqi bil qabuul keshahihan dua kitab yang masyhur, Shahih Bukhari dan Shahih Muslim, yang sampai ke peringkat ittifaq ulama dan ijma`. Imam an-Nawawi rahimahullah  dalam muqaddimah Syarah Muslim, juz 1, halaman 14 menulis, antaranya sebagai berikut:- ....Para ulama rahimahumullah sepakat (ittifaq) bahawa kitab - kitab yang paling shahih selepas al-Quran al`Aziz adalah dua kitab (hadis) shahih, al-Bukhari dan Muslim, di mana umat (yakni para ulamanya) telah sepakat menerima keduanya (yakni sebagai seshahih - shahih kitab selepas al-Quran, - wa talaqqat-huma al-ummatu bil qabuul)

Selanjutnya, sebagai pengenalan ringkas, talaqqi bil qabuul adalah satu kaedah atau metodologi yang penting dalam tradisi keilmuan Islam Ahlus Sunnah wal Jamaah, yang dipakai dalam berbagai disiplin ilmu, terutama sekali dalam urusan penentuan dan pensabitan kitab - kitab yang berautoriti untuk dijadikan pegangan dan sandaran hukum - hakam. Kaedah ini juga turut digunapakai dalam semua lapangan termasuklah dalam ilmu hadis, sehingga memungkinkan sesuatu hadis yang dhaif sanadnya dijadikan sandaran hukum kerana wujudnya talaqqi bil qabuul atau dalam istilah lain `alaihil `amal inda ahlil ilmi (atasnya amalan para ulama). Untuk mengetahui lebih jauh kaedah ini silalah mengaji dengan para ahlinya, jangan hanya berpada dengan kullu bid`atin dholalah semata. Di antara kitab yang terbaik dalam perbahasan hadis - hadis lemah dan maudhu` yang dijadikan sandaran hukum oleh para fuqaha` adalah kitab karangan ulama Syafie yang terkemuka, Imam Tajuddin `Ali bin `Abdullah bin al-Hasan al-Ardabili at-Tabrizi asy-Syafie @ Imam Ardabili (667 -746H) rahimahullah yang berjodol al-Mi'yaar fil Ahaaditsi ad-Dha`iifah wal Maudhuu`ah allati Istasyhada biha al-Fuqaha` (Kayu Ukur Penanda Aras Dalam Perbahasan Hadis - Hadis Dhaif Dan Mawdhu` Yang Dijadikan Dalil / Diterima Sebagai Hujjah Oleh Para Fuqaha). Rajin - rajinlah mengaji dan mentelaah, jangan ingat para fuqaha itu jahil akan ilmu hadis. Ingat juga bahawa nak tahu hukum hakam sesuatu perkara, ambillah dari kitab - kitab fiqh, manakala kitab -kitab hadis itu salah satu sumber bagi sesuatu hukum - hakam. Namun nak mengeluarkan hukum dari kitab - kitab hadis bukanlah perkara yang mudah untuk orang awam seperti kita, ia memerlukan ilmu yang luas, sebagaimana kita memerlukan timba untuk mengeluarkan air dari perigi yang dalam. Akhir kata, faqir datangkan sebagai tambahan dan simpanan, sedikit penjelasan mengenai shalawat yang berkat ini oleh Dr. Shadee ElMasry hafizahullah. Mudah - mudahan ada menfaatnya.

Baca juga:- Daruud Taj (Mahkota Shalawat.

Khamis, Jun 25, 2026

Melapangkan Belanja Keluarga

Di antara amalan yang sabit menurut nas hadis untuk dilakukan pada Hari `Asyura adalah menggembirakan ahli keluarga kita dengan melapangkan bagi mereka perbelanjaan / nafkah atau setidak - tidaknya meringankan bebanan urusan - urusan mereka pada hari tersebut. Hal ini disebutkan dalam hadis yang mafhumnya:- "Sesiapa yang melapangkan belanja / nafkah ahli keluarganya pada Hari `Asyura, maka Allah akan melapangkan baginya (rezeki) sepanjang tahun". Sejumlah ulama dan shalihin, antaranya Imam Sufyan ibnu `Uyainah, telah memberikan kesaksian bahawa ianya sungguh bagai disabdakan Junjungan shallaAllahu `alaihi wa sallam. Hadis ini atau dengan redaksi yang sedikit berbeza telah diriwayatkan oleh sekurang - kurangnya 5 sahabat yang mulia, iaitu Abu Hurairah, Jabir, Abu Sa`id al-Khudri, Ibnu `Umar dan Ibnu Mas`ud radhiyaAllahu `anhum. Para ulama hadits berbeza mengenai status hadis - hadis tersebut, ada yang mendhaifkannya, manakala majoriti berpandangan ianya hasan li ghairihi dan ada yang menghukumkannya shahih.

Di antara yang mempertahankan keshahihan hadis ini adalah muhaddits kontemporer yang ternama, bertaraf al-hafiz dalam hadits, al-Hafiz Abul Faidh Sayyid Ahmad al-Ghumari al-Hasani rahimahullah. Beliau membahas hadis ini dengan terperinci dalam karyanya Hadiyyatush Shughra, di mana beliau mentakhrijkan segala sanad hadis tersebut dan menyimpulkan bahawa hadis tersebut adalah shahih. Beliau juga menolak sekeras - kerasnya pendapat Ibnul Jawzi dan Ibnu Taimiyyah yang menghukumkan hadis tersebut sebagai maudhu / palsu. Untuk bahasan lanjut, silalah merujuk ke sana. Jangan ingat pakar hadis itu hanya Albani dan ulama itu hanya al-Qardhawi.

Selanjutnya, Prof. Dr. Mohammed AbulLais al-KhayraAbadi hafizahullah, seorang ulama hadis yang menjadi pensyarah di Universiti Islam Antarabangsa, juga telah mengkaji hadis melapangkan belanja ini. Dr. AbulLais, kalau tidak silap, adalah musyrif (supervisor) bagi Dr. Asri Zainal Abidin (MAZA) ketika dia menyelesaikan ijazah doktor falsafah (Phd) di UIA suatu ketika dulu. Mengenai hadis melapangkan belanja pada Hari `Asyura, Dr. Mohammed AbulLais dalam karya beliau yang berjodol al-Marwiyyat fi fadhli Lailatin Nishfi min Sya`baan wat Tawsi`ah `alal `iyal Yaum `Asyura fi Mizanin Naqdil Hadits, menyimpulkan statusnya berdarjat hasan li ghairihi.

Maka ketahuilah bahawa hadis melapangkan belanja atas keluarga pada Hari `Asyura adalah hadis yang diakui sabit daripada Junjungan Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam oleh majoriti ahli hadis, samada dihukumkan hasan atau hasan li ghairihi atau shahih atau shahih li ghairihi. Namun tidak dinafikan ada yang mendhaifkan secara total atau hanya jalur riwayat yang tertentu sahaja. Bagi yang menghukumkannya sebagai palsu, maka itu pendapat yang gegabah dan mungkin perlu ditinjau ulang semula. Kesimpulannya, perbuatan meluaskan belanja tersebut adalah sunnah yang sunat lagi sabit untuk dilakukan pada Hari `Asyura dan mempunyai fadhilat untuk meluaskan rezeki kita sepanjang tahun.

Penjelasan Menteri Agama Mesir


Isnin, Jun 22, 2026

Ya Hayyu Ya Qayyum - Jawahir

Tidak asing lagi, dua nama Allah yang agung, Ya Hayyu Ya Qayyum yang diartikan secara ringkas sebagai "Tuhan yang Maha Hidup dengan kehidupan yang hakiki, abadi lagi Maha Berdiri Sendiri tanpa perlukan sesiapa pun", adalah antara nama Allah yang termasyhur dan diketahui oleh semua umat Islam. Bahkan, tidak sedikit daripada kalangan ulama yang berpandangan bahawa rangkaian dua isim ini merupakan nama Allah yang teragung. Pada entri ini, faqir kongsikan satu faedah yang berkait dengan dua isim ini, yang disebut oleh Syaikh Muhammad bin Abdullah al-Jardani ad-Dimyathi (w. 1331H) rahimahullah dalam syarah beliau atas Hadis 40 Imam an-Nawawi yang berjodol al-Jawahirul Lu'lu-iyyah. Pada halaman 13, beliau menyebut satu faedah sebagai berikut:- Sesiapa yang menyebut (berzikir) dengan "Ya Hayyu ya Qayyum", Allah akan menghilangkan daripadanya segala kerunsingan, kesedihan dan kedukaan serta dikurniakan kepadanya rezeki tanpa disangka - sangka. Sebahagian ulama menyatakan: " Sesiapa yang berzikir dengan "Ya Hayyu Ya Qayyum" pada setiap hari ketika terbit matahari sebanyak 40 kali, Allah akan menghidupkan hati sanubarinya, diterangkan fikirannya, dimudahkan kesulitannya, dikeluarkan butiran - butiran hikmah pada percakapannya dan dilapangkan dadanya dengan makrifah."

Mudah - mudahan menjadi motivasi untuk kita mewiridkan dua nama yang agung ini sekurang - kurangnya 40 kali setiap pagi ketika matahari memunculkan diri. Amalan yang mudah dan penuh keberkatan sebagaimana yang dinyatakan oleh para ulama yang muktabar. Faqir akhir dengan cuplikan ceramah almarhum Tuan Guru Haji Salleh Musa tentang "Ya Hayyu Ya Qayyum."

Kelebihan Ya Hayyu Ya Qayyum

Selasa, Mei 26, 2026

Dua Faedah: al-Ikhlas & at-Ta'rif

Bersempena Hari 'Arafah, hari yang mulia, di mana doa padanya disabdakan Baginda Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam sebagai doa yang terbaik (khairud du`a), sebagaimana dalam riwayat Imam at-Tirmidzi rahimahullah bahawa:- "Sebaik - baik doa adalah doa yang dipanjatkan pada Hari `Arafah, dan sebaik - baik perkataan yang telah aku dan para nabi sebelumku ucapkan adalah ( La ilaha illa Allah, wahdahu la syarikalah, lahul mulku wa lahul hamdu wa Huwa `ala kulli syai-in qadir)." Ulama menyatakan bahawa sebab berdoa pada Hari `Arafah dikatakan sebagai "khairud du`a" kerana besarnya ganjaran pahala berdoa pada hari tersebut serta mudah dan cepat untuk diijabahi. Perkara ini juga tidaklah tertentu kepada mereka yang sedang berada di Padang `Arafah untuk berwuquf, tetapi kelebihan dari sudut ini meratai segenap umat baginda shallaAllahu `alaihi wa sallam di pelosok mana jua pun mereka berada. Ini tidaklah bererti menyamakan kedudukan yang sedang berhaji dan berwuquf dengan mereka - mereka yang tidak sedang berhaji. Para jemaah haji yang sedang menjalani rukun terpenting ibadah haji berwuquf di Padang `Arafah, pasti dikurniakan dengan berbagai keistimewaan khusus berbanding yang tidak berhaji. Namun dari sudut fadhilat dan anjuran berdoa pada Hari `Arafah, setiap orang daripada umat marhumah ini boleh mencapai apa yang disabdakan Junjungan shallaAllahu `alaihi wa sallam tadi.

Selanjutnya, faqir kongsikan dua faedah yang dicatat oleh al-`Alim al-`Allaamah Syaikh Ahmad bin al-Hijaazi al-Fasyani rahimahullah dalam karya beliau Tuhfatul Habib Syarh Nadzm al-`Allaamah al-`Imrithi. Kitab ini merupakan syarah Imam al-Fasyani bagi nazam yang digubah Syaikh al-`Allaamah Syarafuddin Yahya bin Musa bin Ramadhan al-`Imrithi rahimahullah bagi kitab Ghayatut Taqrib @ Matan Abi Syuja' karya Qadhi Abu Syuja` rahimahullah. Imam al-`Imrithi adalah sosok yang amat dikenali dalam ilmu nahu melalui karyanya yang menazamkan Matan al-Ajurrrumiyyah yang terkenal dengan panggilan Nazam `Imrithi. Imam `Imrithi sebenarnya seorang ulama besar bermazhab Syafie yang memiliki berbagai karya selain Nazam `Imrithi dalam ilmu nahu, antaranya nazam beliau bagi Matan Abi Syuja` ini. Dalam Tuhfatul Habib halaman 98, dinyatakan sebagai berikut:- ... (Dua Faedah): Pertama: Tersebut dalam kitab ad-Da`awaat  hadis marfu` daripada Sayyidina Ibnu `Abbas radhiyaAllahu `anhuma menyatakan bahawa sesiapa membaca Surah al-Ikhlas pada Hari `Arafah seribu (1000) kali nescaya diberikan apa - apa yang dimintanya. Kedua: Melakukan at-Ta'rif di tempat selain Padang Arafah (yakni orang - orang berkumpul di tempat selain Padang `Arafah seperti di masjid - masjid atau lapangan atau  rumah - rumah, pada petang Hari `Arafah, untuk sama - sama berdoa, berzikir dan melakukan berbagai rupa ketaatan seolah - olah meniru perbuatan jemaah haji yang sedang berwuquf di Padang `Arafah) adalah perkara yang hukumnya diperselisihi ulama. Disebut dalam al-Bukhari bahawa orang yang pertama melakukan hal ini di Bashrah adalah Sayyidina Ibnu `Abbas radhiyaAllahu `anhuma. Beliau ketika Shalat Asar pada Hari `Arafah (yakni selepas menunaikannya) akan bersungguh - sungguh tenggelam dalam berzikir, berdoa dan bertadharru` (yakni memohon dengan penuh kerendahan hati) seumpama perlakuan para jemaah haji di Padang `Arafah. Oleh sebab itu, Imam Ahmad bin Hanbal berkata: "Aku harap perbuatan tersebut tidak mengapa (yakni boleh - boleh saja)." Perbuatan sedemikian juga dilakukan oleh Imam al-Hasan al-Bashri dan sekelompok ulama. Manakala, sebahagian ulama lain seperti Imam Malik bin Anas tidak menyukai atau memakruhkan hal sedemikian. Menanggapi masalah ini, Imam an-Nawawi berkata: "Ulama yang berpandangan ianya bid`ah tidaklah menghukumnya sebagai termasuk dalam bid`ah - bid`ah yang keji (yakni, jika pun dikatakan bid`ah, ianya bukanlah bid`ah yang keji), bahkan diringankan hukumnya (yakni jika pun bid`ah, maka hukumnya boleh - boleh saja atau  bid`ah yang harus / mubah) dengan syarat tidak berlaku perkara - perkara yang menyalahi hukum seperti  percampuran bebas lelaki dengan perempuan dalam perhimpunan tersebut, jika tidak maka ianya termasuk sekeji - keji bid`ah."

Makanya, di sesetengah tempat seperti Hadhramaut, sebahagian masyarakatnya melakukan at-Ta`rif, di mana para ulama dan awam berhimpun di lapangan untuk zikir dan munajat bersama, mulai lepas Asar Hari `Arafah sehingga mendekati waktu Maghrib sebelum bersurai. Semoga kita tidak mensia-siakan Hari `Arafah kita dengan hanya berpeluk tubuh, berdiam diri, tanpa memperbanyakkan amal kebajikan dan doa permintaan serta bermunajat penuh kehinaan dan kehibaan. Di dunia mungkin kita tidak merasa apa - apa kerugian, namun di akhirat setiap masa yang disia-siakan tanpa sesuatu apa pun amal kebajikan akan mengundang sebak dan penyesalan di dalam hati, walaupun sudah menginjak tanah surgawi. Selamat Beribadah, mudah - mudahan dengan berkat orang - orang yang sedang berpuasa pada Hari `Arafah dan berkat para jemaah yang sedang berwuquf di Padang `Arafah, kita semua mendapat pahala `Arafah.

Asy-Syahid Dr. Said Ramadhan al-Buthi


Jumaat, Mei 22, 2026

Faedah Dari Kifayah

Pada pagi Jumaat ini, kita cedok satu faedah dari karya - karya ulama kita untuk faedah bersama. Faqir mulakan dengan Kifayatul Atqiya` karangan Sidi Bakri Syatha ad-Dimyathi rahimahullah. Pada halaman 130 beliau menukilkan sebagai berikut:- Dikatakan sebagai diriwayatkan oleh Sayyidina Jabir bin Abdillah radhiyaAllahu `anhu yang berkata bahawa Junjungan Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam sbersabda: "Sesiapa yang membaca pada setiap pagi dan petang { Allahumma, Ya Rabba Muhammad, wa aali Muhammad, shalli `alaa Muhammad, wa `alaa aali Muhammad, wajzi Muhammadan shallaAllahu `alaihi wa sallam maa huwa ahluh ( Wahai Allah, Tuhannya Nabi Muhammad dan keluarga Nabi Muhammad, limpahkanlah shalawat ke atas Nabi Muhammad dan ke atas keluarga Nabi Muhammad, dan ganjarilah Nabi Muhammad dengan ganjaran yang selayaknya buat baginda.)}, maka dia telah membuat dua malaikat pencatat amalnya penat 1000 hari (yakni ibarat atas ganjaran yang terlalu banyak sehingga dikatakan seolah - olah lelah 1000 hari malaikat mencatatnya.); dan dia telah menunaikan segala hak Junjungan Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam (yakni untuk hak baginda untuk dimuliai disanjungi, ditaati dan dishalawati); diampuni Allah baginya dan bagi kedua ibubapanya; dan dihimpunkan dia di Padang Mahsyar nanti bersama Junjungan Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam dan ahli keluarga baginda."

"Hadis" tersebut walaupun di sisi para muhadditsin bermasalah dari sudut sanad periwayatannya, namun tidaklah bererti lafaz atau shighah shalawat yang terkandung di dalamnya turut bermasalah untuk diamalkan, dalam ertikata tidak boleh diamalkan. Justru sebaliknya, para ulama dan tuan - tuan guru kita, bahkan menganjurkan ianya dibaca dan dijadikan amalan. Maulana Zakaria al-Kandhalawi rahimahullah, seorang ahli hadis yang ternama di masa kita ini, yang dijoloki sebagai Ra-isul Muhadditsin, dalam kitab Fadhail Durud Syarif halaman 77 dan dalam terjemahannya Fadhilat Shalawat pada halaman 62 - 63 turut memaparkan shalawat ini yang beliau nukil daripada kitab Nuzhatul Majalis karya Imam Abdur Rahman ash-Shafuri (w.894H). Nukilan beliau adalah sebagai berikut:- Telah diriwayatkan  di dalam "Nuzhatul Majalis" dengan merujukkan kepada Tabrani bahawa Hadrat Jabir radhiyaAllahu `anhu meriwayatkan sabdaan Rasulullah shallaAllahu `alaihi wa sallam: "Orang yang membaca darud (shalawat) yang berikut, akan menyebabkan kesusahan yang banyak kepada penulis - penulis kebaikan (para malaikat pencatat amal kebajikan) selama seribu hari:-
Maka, tidak hairan jika ada ulama yang berpendapat bahawa sesiapa yang telah bersumpah untuk membaca shalawat yang terbaik (afdhal), maka dia boleh menebus sumpahnya dengan membaca shalawat yang pendek ini tadi. Hal ini disebut oleh Imam Syaikhul Islam Majduddin  Muhammad bin Ya'qub al-FairuzAbadi (w. 817H), pengarang kamus yang masyhur, dalam kitabnya ash-Shilaatu wal Bisyru fish Shaalati `alaa Khairil Basyar pada halaman 162 - 166 yang dinukilkan oleh Imam as-Sakhawi dalam al-Qawlul Badi` fish Shalaati `alaal Habibisy Syafi` pada halaman 144. Oleh kerana itu, jelas bahawa lafaz shalawat ini tidaklah menjadi kesalahanan untuk dibaca dan diamalkan. Ianya satu shalawat yang terkandung dalam berbagai teks umat ini dan dibaca oleh ramai ulama dan awam. Tentang ganjaran dan seumpamanya tadi, itu bukan urusan kita, kita percaya setiap shalawat itu akan menerima ganjaran yang besar daripada Allah ta`ala dan dibalas oleh Junjungan Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam. Maka, janganlah dilepaskan berlalu masa kita pergi tanpa diisi dengan Shalawat Nabi.

Pesan Guru Sekumpul

Isnin, Mei 18, 2026

Tahlil 10 Pertama DzulHijjah

Syaikh Abdul Hamid Qudus / Kudus, ulama Nusantara yang menjadi imam mazhab Syafie, khatib dan guru di Masjidil Haram, menukilkan dalam karangannya, Kanzun Najah was Surur, beberapa amalan zikir dan doa yang berkaitan dengan bulan DzulHijjah terutama 10 hari pertamanya. Di antara zikir - zikir tersebut, beliau mendatangkan dua shighah rangkaian tahlil, satu yang panjang dengan 20 untaian kerana dihimpunkan daripada beberapa riwayat, manakala satu lagi pendek dengan hanya 7 untaian berdasarkan kepada hadis Imam ath-Thabrani. Menurut Syaikh Abdul Hamid Qudus / Kudus, terbaik adalah diamalkan kedua-duanya sebanyak 10 kali setiap satu, namun bagi yang kurang mampu atau hendak mengamalkan salah satu daripadanya sahaja, maka hendaklah dia mengamalkan untaian - untaian kalimah tahlil yang kedua mengikut riwayat Imam ath-Thabrani tadi kerana riwayatnya lebih diyakini dan lebih kuat.

Maka di sini faqir kongsikan riwayat Imam ath-Thabrani tersebut yang tertera pada halaman 281 - 282 kitab Kanzun Najah was Surur sebagai berikut:- Aku (yakni Syaikh Abdul Hamid Kudus) telah melihat al-`Allamaah al-Wanaa-i rahimahullahu ta`ala berkata dalam Risalahnya bahawa Imam ath-Thabrani rahimahullahu ta`ala telah meriwayatkan dalam al-Muj`am al-Kabir bahawa Junjungan Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam bersabda: "Sesiapa yang membaca pada 10 hari pertama bulan DzulHijjah, setiap harinya 10 kali akan zikir:- 
  1. (Ucapan) La ilaha illa Allah, sebanyak hitungan tahun dan masa;
  2. (Ucapan) La ilaha illa Allah, sebanyak buih - buih segala lautan;
  3. (Ucapan) La ilaha illa Allah, sebanyak tumbuh - tumbuhan dan pepohonan;
  4. (Ucapan) La ilaha illa Allah, sebanyak tetesan dan air hujan;
  5. (Ucapan) La ilaha illa Allah, sebanyak kerdipan segala mata;
  6. (Ucapan) La ilaha illa Allah, lebih baik daripada apa yang mereka (yakni orang - orang kafir) himpunkan dari segala matabenda dan perkara duniawi yang tidak kekal;
  7. (Ucapan) La ilaha illa Allah (ku ucapkan) mulai dari hari ini (berkekalan) sehingga ke hari ditiupnya Sangkakala.
diampuni baginya dosanya yang terdahulu dan kemudian".

Begitulah untaian kalimah Tawhid yang dianjurkan untuk dibaca setiap hari di permulaan bulan DzulHijjah yang mulia. Sebagai penutup, faqir kongsikan klip KH Sholeh Muhammad Basalamah hafizahullah, murid almarhum Buya al-Maliki dan pengasuh Pondok Pesantren Darussalam, Jatibarang, Brebes, Jawa Tengah. Semoga hari - hari yang mulia dan memiliki keutamaan ini tidak dipersia-siakan. 
KH Sholeh Basalamah

Jumaat, Mei 08, 2026

Shalawat Haji - Habib Alwi

Habib Alwi bin Ali al-Jufri rahimahullah dilahirkan di Gresik, Jawa Timur dan merupakan antara santri Mawlana Kiyai Khalil Bangkalan rahimahullah. Beliau terkenal sebagai ulama yang kharismatik di Situbondo dan giat berdakwah ke segenap pelosok sehingga ke Sumatera, Madura dan Kalimantan. Dalam perjalanan dakwahnya, beliau telah mendirikan sekurang - kurang 27 buah masjid dan beberapa pesantren di pelbagai daerah seperti Situbondo, Bondowoso, Madura, Solo, Jambi dan Palembang. Beliau juga dikenali sebagai seorang ahli ibadah yang sangat mendalam cinta kasihnya kepada Junjungan Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam sehingga direzekikan Allah untuk bermimpikan baginda.

Dalam satu mimpi yang terjadi di Palembang pada malam Isnin, 27 Rabi`ul Akhir, 1383H, Habib Alwi telah bermimpi bertemu dengan Junjungan Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam. Dalam mimpi tersebut, baginda mengajar satu shalawat yang ringkas, lalu bersabda: "Sesiapa yang ingin agar dia disampaikan Allah menziarahi al-Haramain dengan mudah, hendaklah dia membanyakkan shalawat ini: [Ya Allah, limpahkan shalawat serta salam ke atas Junjungan kami Nabi Muhammad, shalawat yang dengan keberkatannya aku dapat menziarahi kota suciMu (Mekah) dan kota sucinya (Madinah)], sekurang - kurang 25 kali setiap waktu (shalat fardhu), sebagai satu ijazah bagimu dan bagi sesiapa yang berhajat daripada kalangan umat Islam." Ketika terjaga, Habib Alwi telah menceritakanmimpinya tersebut kepada al-`arif billah KH Abdul Hamid Pasuruan rahimahullah yang langsung menulisnya. Sejak itu, shalawat ini mulai tersebar terutama sekali di kalangan para santri dan dikenali sebagai Shalawat Haji atau Shalawat Ziarah. Dengan shalawat tersebut juga, Habib Alwi al-Jufri sering digelar sebagai Shahibus Shalawat Haji @ Shalawat al-Haj.

Diceritakan bahawa sesiapa yang istiqamah mengamalkan shalawat ini, dia akan direzekikan dapat berziarah ke Baitullah untuk haji atau umrah serta dapat berziarah ke makam Junjungan Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam. KH Husein Ilyas Mojokerto, pengasuh Pondok Pesantren al-Misbar, Mojokerto, menyatakan bahawa beliau direzekikan berziarah ke al-Haramain, samada dalam rangka haji maupun umrah, sebanyak 55 kali, walaupun beliau tidak terhitung dalam kalangan orang - orang kaya, semuanya semata - mata berkat mengamalkan shalawat ini. Bahkan, beliau menyatakan sesiapa yang istiqamah melazimi shalawat ini sekurang - kurangnya 3 kali selepas setiap shalat fardhu nescaya Mekah Madinah baginya dekat, yakni dipermudahkan dia untuk pergi ke sana. 

Dikisahkan lagi oleh cucu Habib Alwi, iaitu Habib Muhammad Taufiq bin Mustafa bin Alwi al-Jufri hafizahullah, pengasuh Pondok Nurul Huda, Peleyan, Kapongan, Situbondo, bahawa Habib Alwi berpesan kepada KH Hamid Pasuruan untuk mengamalkan shalawat ini kerana orang yang istiqamah mengamalkannya akan disampaikan hajatnya untuk bertawaf di Ka'batullah, hatta sebelum dia menghembuskan nafasnya yang terakhur, samada secara jasmani atau secara rohani. Hanya Allah sahaja yang Maha Mengetahui lagi Maha Berkuasa dan Maha Berleluasa melakukan sekehendakNya, atas kita amal atas Allah ijabah. Mudah - mudahan ada manfaatnya dan semoga dikabulkan hajat kita sekalian untuk pergi menunaikan haji dan umrah juga berkunjung ke Masjid an-Nabawi berziarah kepada Junjungan shallaAllahu `alaihi wa sallam.

KH Husein Ilyas Mojokerto

Habib Muhd Taufiq al-Jufri


Rabu, Mei 06, 2026

Shalawat Nariyyah - KH Uzairon

Sebelum ini, faqir telah kongsikan cerita mengenai keberkatan Shalawat Nariyyah yang dialami oleh Syaikh Pesantren al-Fath, Temboro, sebagaimana dikisahkan oleh KH Ubaidillah Ahror hafizahullah. Sekarang, faqir kongsikan kisah tersebut daripada lidah Syaikh al-Fath yang mengalami sendiri hal tersebut, iaitu almarhum KH Uzairon Thaifur Abdillah. Mudah - mudahan ada manfaat dan menjadikan kita lebih istiqamah mengamalkan shalawat yang berkat ini.

KH Uzairon Thaifur Abdillah

Rabu, Disember 24, 2025

Surah al-Wilayah

Menjejaki usia senja, mata semakin kabur. Di antara amalan sunat yang afdhal adalah membaca al-Quran. Bagi yang mampu, lakukanlah sebanyak - banyak khataman, manakala yang belum berpeluang, maka perbanyakkanlah membaca apa jua surah atau ayat - ayat al-Quran terutama yang memiliki keutamaan dan fadhilat besar sebagaimana warid dalam nas. Tidak dapat dinafikan, di antara surah - surah tersebut, Surah al-Ikhlas adalah antara surah yang telah sabit kelebihan dan fadhilatnya Maka sayogia  kita membasahi lidah memperbanyakkan bacaannya. 

Di antara sekian nama - nama yang disematkan kepada surah yang mulia ini, ianya dipanggil sebagai Surah al-Wilayah sebagaimana tercatat dalam Tafsir al-Kabir karya Imam Fakhrurrazi rahimahullah. Dalam juz ke-32, halaman 175, beliau menulis, antara lain, sebagai berikut:- ...(Dan nama yang keenam bagi Surah al-Ikhlas) adalah Surah al-Wilayah kerana sesiapa yang membacanya akan menjadi daripada kalangan awliya` (wali - wali) Allah dan sesiapa yang mengenali Allah atas wajah sebagaimana dinyatakan dalam surah ini, maka dia telah menjadi waliNya. Maka sesudah mihnah (kesusahan / cobaan / ujian pahit getir) akan ada rahmat, sebagaimana selepas diberi anugerah (minhah) akan ada kenikmatan dan keberkatan....

Maka, lazimkanlah membaca dan mentadabbur serta menghayati surah ini dengan penuh keyakinan dan keimanan. Mudah - mudahan menjadi sebab kita lebih hampir kepada rahmat dan keredhaan Allah, Tuhan yang Maha Esa yang Tiada Tara, sehingga kita dipandangNya tergolong dalam golongan para awliya`Nya.

Klip Guru Bakhiet



Khamis, November 13, 2025

Kisah Keberkatan Yaasin

Entri kali ini faqir kongsikan satu kisah atau cerita yang dimuatkan oleh Syaikh Zainuddin al-Malibari rahimahullah, pengarang Fathul Mu`in, dalam satu lagi karya beliau yang berjodol Irsyaadul `Ibaad ila Sabiilir Rasyaad. Kitab ini telah disyarahkan oleh ulama besar Nusantara, pengarang Siraajuth Thaalibiin syarah bagi kitab Minhaajul `Aabidiin karangan Hujjatul Islam al-Ghazali radhiyaAllahu `anhu, Syaikh Ihsan bin Dahlan al-Jampesi al-Kediri rahimahullah. Syaikh Ihsan dilahirkan pada tahun 1901 dan wafat pada tahun 1952. Beliau antara ulama yang tidak pernah mengenyam pengajian di Timur Tengah, namun ilmunya setanding dengan para ulama di sana. Beliau menguasai ilmu - ilmu alat, seperti nahwu dan sharaf, sehingga dapat mengarang kitab - kitab besar berbahasa Arab yang bermutu tinggi, walaupun lidahnya tidak fasih bertutur dalam bahasa tersebut, kerana jiran - jiran dan orang sekampungnya semua berbahasa Jawa. Inilah antara keistimewaan Syaikh Ihsan dari Jampes, Kediri. Syarah beliau bagi Irsyaadul `Ibaad itu berjodol Manaahiijul Imdaad dalam dua jilid tebal.

Berbalik kepada Irsyaadul `Ibaad, Syaikh Zainuddin al-Malibari pada halaman 56 menukilkan satu cerita daripada seorang ulama terkenal, Imam al-Yafi`i al-Yamani rahimahullah sebagai berikut:- Aku (yakni Imam al-Yafi`i) telah mendengar daripada seorang yang shalih di salah satu kota di negeri Yaman bahawa pernah suatu ketika dia selesai mengebumikan satu jenazah dan orang - orang yang ikut menghantar jenazah tersebut telah bersurai, dia mendengar bunyi satu pukulan atau cambukan yang kuat lagi dahsyat dari dalam kubur si mati. Lalu muncul dari kubur tersebut seekor anjing hitam. Syaikh tersebut terperanjat dan berkata: "Aduh celaka, apakah engkau?" Anjing tersebut menjawab: "Aku adalah amalan si mati (yakni amalan buruknya yang dirupakan sebagai seekor anjing ganas)." Syaikh tersebut bertanya lagi: "Apakah pukulan tadi bagi engkau atau bagi si mati?" Anjing tersebut menjawab: "Bahkan, pukulan tadi adalah bagiku, ketika aku hendak menyerang si mati, aku dapati di sisinya ada surah Yaasin dan saudara - saudaranya (yakni surah - surah yang telah disebut terdahulu seperti as-Sajadah dan al-Mulk yang seperti Yaasin berkelebihan untuk memberikan syafaat dalam kubur) yang menghalangi antara aku dan dia, lalu aku dicambuk dan diusir."

Allahu ...Allah, begitulah kisahnya. Ingat ini hanya sebuah cerita, terpulang untuk percaya atau tidak. Namun, tidaklah menjadi bid`ah qabihah untuk mengistiqamahkan bacaan surah - surah yang mempunyai kelebihan tertentu seperti Yaasin, as-Sajadah dan al-Mulk, samada setiap malam atau sekali seminggu teristimewa di malamnya Sayyidul Ayyam. Jika ada yang membid`ahkan kita membaca surah - surah tersebut pada malam Jumaat, usah gusar kerana kita punya Hujjatul Islam al-Ghazali yang menganjurkan kita membaca surah - surah tersebut pada malam Jumaat sebagaimana yang beliau sebut dalam Bidaayatul Hidaayah. Tentang syafaat dan pembelaan daripada amal - amal shalih seperti shalat, tilawah dan seumpamanya bagi si pelaku ketika di dalam kubur atau di alam barzakh memang ada beberapa riwayat dengan berbagai darjat. Antaranya adalah riwayat yang mafhumnya bahawa ketika malaikat azab hendak mendatangi si mati dari arah kepalanya, maka ibadah membaca al-Quran si mati akan menghalangnya; Jika dia datang dari arah sisi, maka sedekah si mati akan jadi penghalang; Dan jika dia datang dari arah kaki, maka ibadah si mati berjalan ke masjid akan menolaknya. Begitu juga telah datang riwayat bahawa amalan shalih si mati akan dimisalkan atau dirupakan dengan bentuk atau rupa atau sosok yang cantik, indah rupawan, tampan lagi semerbak wangi sebagai penghibur dan temannya, manakala amalan buruknya dirupakan dengan bentuk atau rupa atau sosok yang hodoh menyeramkan lagi busuk baunya. Semoga Allah memuliakan kita ketika kita berada di alam barzakh dengan pelbagai rupa rahmat dan nikmat atau setidak - tidaknya kita ditidurkan Allah sebagaimana tidurnya pengantin, tenang, aman damai daripada fitnah dan azab kubur. Allahumma aamiin.

Kelebihan Membaca Yaasin - UAI

Rabu, Oktober 08, 2025

Hadis Jabir - Syaikh Muhammad Jaad

Hadis Jabir tentang penciptaan makhluk terawal Nur Muhammad shallaAllahu `alaihi wa sallam sebagaimana yang dinukil oleh Imam al-Qasththalani telah diriwayatkan oleh para ulama kita sejak dahulu lagi Tanpa menafikan wujudnya pertikaian di kalangan mereka mengenai kedudukan dan statusnya. Sebagaimana yang disebut oleh almarhum al-`Alim al-`Allaamah al-Muhaddits Dr. Sayyid Muhammad bin `Alawi al-Maliki dalam ta'liq beliau bagi Mawlid ad-Diba`ie yang dicantumkan dalam karya beliau yang berjodol Baaqatun `Athirah pada halaman 101 yang antara lain menyebut:- ... Di sini pengarang (yakni Syaikh Abdul Rahman ad-Diba`ie) mengisyaratkan kepada hadis yang masyhur, iaitu hadis "Seawal - awal makhluk yang telah Allah ciptakan adalah Nur Nabimu, wahai Jabir" ..............yang diriwayatkan oleh Imam `Abdur Razzaq ash-Shan`aani dengan sanadnya daripada Sayyidina Jabir, sebagaimana disebut dalam al-Mawaahibul Laduniyyah. Menurutku (yakni almarhim Dr. Sayyid Muhammad al-Maliki): "Ada perselisihan pendapat di kalangan para ulama mengenai (status) hadis tersebut. Sebahagian ulama mensabitkannya, manakala sebahagian lagi menolaknya....." Begitulah kedudukannya, maka berlapang dadalah, yang bersetuju dengan pensabitan, sila; Yang menolak pensabitan, juga tidak mengapa. Perkara ini biarkan sahaja sebagai satu perkara khilaf yang muktabar di sisi ahli ilmu. Maka tidak perlu untuk mana - mana pihak bermati-matian memenangkan pandangan masing - masing sehingga ke tahap mencela dan merendah pihak lawan yang akhirnya akan membuahkan perseteruan dan terungkainya ikatan ukhuwwah dan hilangnya adab kesopanan. Ingat pesan tok - tok guru kita, ketika menanggapi perselisihan pendapat di kalangan ulama: "Berselisih boleh; Berlaga jangan".

Selanjutnya, faqir kongsikan riwayat Hadis Jabir daripada almarhum al-Adib, al-Muhaddis, al-`Alim al-`Allaamah Syaikh Muhammad Abdur Rahim Jaad Badruddin al-Husaini al-Hasyimi al-Mishri. Syaikh Muhammad Jaad Badruddin adalah seorang ulama keluaran al-Azhar asy-Syarif yang dikenali ramai kerana ilmu dan dakwah yang merata. Beliau juga dikenali melalui karangannya yang berbentuk buku, maqalah, risalah dan bait - bait syair yang indah. Beliau giat mengajar di berbagai universiti dan perguruan tinggi, baik di Mesir juga di tempat lain seperti Makkah al-Mukarramah, Bangladesh dan sebagainya, selain berperan dalam Rabithah `Alam Islamiy, terutama dalam bidang dakwah dan pendidikan dan terlibat dalam mendirikan berbagai lembaga pendidikan dan madrasah di Asia, Afrika dan Eropah. Sejak kecil lagi beliau telah menghafal al-Quran dan belajar daripada para masyaikh, bahkan beliau memiliki sanad `aliy (sanad periwayatan hadis dengan bilangan perawi yang lebih sedikit) daripada guru - guru beliau yang mu`ammar (yang berumur panjang). Beliau yang dilahirkan di Tala, Manufiyyah, Mesir pada 16 Januari, 1932, telah wafaf pada 6 Februari, 2016. Kita masih dapat mendengar dan menonton sebahagian rakaman dakwah dan pengajian beliau yang masih beredar di media sosial, youtube dan sebagainya. Mudah-mudahan Allah mencucuri rahmat ke atas rohnya sentiasa.

Hadis Jabir
ini beliau riwayatkan daripada ayahandanya, al-Mu`ammar Syaikh Jaad Badruddin yang usianya sehingga 124 tahun. Ayahnya pula menerima riwayat daripada gurunya yang juga seorang yang panjang umur, al-Mu`ammar al-Muhaddits Syaikh Muhammad `Abdullah Duwaidar at-Talaawi al-Kafrawi yang meriwayatkannya daripada guru beliau, Syaikhul Azhar, Syaikhul Islam Ibrahim al-Bajuri rahimahumullah. Bayangkanlah sosok - sosok yang menjadi perawi bagi hadis ini, merupakan nama - nama besar dalam periwayatan dan keilmuan dalam pelbagai bidang dan cabang ilmu. Oleh itu, tahanlah lidah dari berbicara atau berbahas tanpa mendahului adab dan etika kepada masyaikh dan ulama yang tidak diragui keilmuan dan kesarjanaan mereka. Semoga kita mendapat manfaatnya daripada ilmu dan keikhlasan mereka.

Riwayat Hadis Jabir