Hadis Jabir - Syaikh Muhammad Jaad
Hadis Jabir tentang penciptaan makhluk terawal Nur Muhammad shallaAllahu `alaihi wa sallam sebagaimana yang dinukil oleh Imam al-Qasththalani telah diriwayatkan oleh para ulama kita sejak dahulu lagi Tanpa menafikan wujudnya pertikaian di kalangan mereka mengenai kedudukan dan statusnya. Sebagaimana yang disebut oleh almarhum al-`Alim al-`Allaamah al-Muhaddits Dr. Sayyid Muhammad bin `Alawi al-Maliki dalam ta'liq beliau bagi Mawlid ad-Diba`ie yang dicantumkan dalam karya beliau yang berjodol Baaqatun `Athirah pada halaman 101 yang antara lain menyebut:- ... Di sini pengarang (yakni Syaikh Abdul Rahman ad-Diba`ie) mengisyaratkan kepada hadis yang masyhur, iaitu hadis "Seawal - awal makhluk yang telah Allah ciptakan adalah Nur Nabimu, wahai Jabir" ..............yang diriwayatkan oleh Imam `Abdur Razzaq ash-Shan`aani dengan sanadnya daripada Sayyidina Jabir, sebagaimana disebut dalam al-Mawaahibul Laduniyyah. Menurutku (yakni almarhim Dr. Sayyid Muhammad al-Maliki): "Ada perselisihan pendapat di kalangan para ulama mengenai (status) hadis tersebut. Sebahagian ulama mensabitkannya, manakala sebahagian lagi menolaknya....." Begitulah kedudukannya, maka berlapang dadalah, yang bersetuju dengan pensabitan, sila; Yang menolak pensabitan, juga tidak mengapa. Perkara ini biarkan sahaja sebagai satu perkara khilaf yang muktabar di sisi ahli ilmu. Maka tidak perlu untuk mana - mana pihak bermati-matian memenangkan pandangan masing - masing sehingga ke tahap mencela dan merendah pihak lawan yang akhirnya akan membuahkan perseteruan dan terungkainya ikatan ukhuwwah dan hilangnya adab kesopanan. Ingat pesan tok - tok guru kita, ketika menanggapi perselisihan pendapat di kalangan ulama: "Selisih boleh; Laga jangan".
Selanjutnya, faqir kongsikan riwayat Hadis Jabir daripada almarhum al-Adib, al-Muhaddis, al-`Alim al-`Allaamah Syaikh Muhammad Abdur Rahim Jaad Badruddin al-Husaini al-Hasyimi al-Mishri. Syaikh Muhammad Jaad Badruddin adalah seorang ulama keluaran al-Azhar asy-Syarif yang dikenali ramai kerana ilmu dan dakwah yang merata. Beliau juga dikenali melalui karangannya yang berbentuk buku, maqalah, risalah dan bait - bait syair yang indah. Beliau giat mengajar di berbagai universiti dan perguruan tinggi, baik di Mesir juga di tempat lain seperti Makkah al-Mukarramah, Bangladesh dan sebagainya, selain berperan dalam Rabithah `Alam Islamiy, terutama dalam bidang dakwah dan pendidikan dan terlibat dalam mendirikan berbagai lembaga pendidikan dan madrasah di Asia, Afrika dan Eropah. Sejak kecil lagi beliau telah menghafal al-Quran dan belajar daripada para masyaikh, bahkan beliau memiliki sanad `aliy (sanad periwayatan hadis dengan bilangan perawi yang lebih sedikit) daripada guru - guru beliau yang mu`ammar (yang berumur panjang). Beliau yang dilahirkan di Tala, Manufiyyah, Mesir pada 16 Januari, 1932, telah wafaf pada 6 Februari, 2016. Kita masih dapat mendengar dan menonton sebahagian rakaman dakwah dan pengajian beliau yang masih beredar di media sosial, youtube dan sebagainya. Mudah-mudahan Allah mencucuri rahmat ke atas rohnya sentiasa.
Hadis Jabir ini beliau riwayatkan daripada ayahandanya, al-Mu`ammar Syaikh Jaad Badruddin yang usianya sehingga 124 tahun. Ayahnya pula menerima riwayat daripada gurunya yang juga seorang yang panjang umur, al-Mu`ammar al-Muhaddits Syaikh Muhammad `Abdullah Duwaidar at-Talaawi al-Kafrawi yang meriwayatkannya daripada guru beliau, Syaikhul Azhar, Syaikhul Islam Ibrahim al-Bajuri rahimahumullah. Bayangkanlah sosok - sosok yang menjadi perawi bagi hadis ini, merupakan nama - nama besar dalam periwayatan dan keilmuan dalam pelbagai bidang dan cabang ilmu. Oleh itu, tahanlah lidah dari berbicara atau berbahas tanpa mendahului adab dan etika kepada masyaikh dan ulama yang tidak diragui keilmuan dan kesarjanaan mereka. Semoga kita mendapat manfaatnya daripada ilmu dan keikhlasan mereka.
Riwayat Hadis Jabir
Tiada ulasan:
Catat Ulasan