Sabtu, Oktober 18, 2025

Hukum Melafaz Niat Shalat - Fiqh Madzahib

Kitab al-Fiqh `ala Madzahibil Arba`ah bukanlah kitab yang asing bagi penuntut ilmu. Sebelum tertulisnya kitab - kitab fiqh perbandingan mazhab (fiqh muqarran) kontemporer seperti Fiqhul Islamiy wa Adillatuh oleh almarhum Syaikh Wahbah az-Zuhayli atau kitab al-Mufashshal fil Ahkamil Mar-ah wa Baitil Muslim oleh almarhum Syaikh Abdul Karim Zaidan, inilah rujukan dan teks yang biasa digunakan untuk fiqh perbandingan mazhab, hingga kini tetap jadi rujukan dan panduan fiqh muqarran. Tentulah ini selain dari karya - karya klasik seperti Bidayatul Mujtahid karya Imam Ibnu Rusyd, Majmu` karya Imam Nawawi dan Rahmatul Ummah karya Imam al-Qadhi Muhammad bin `Abdul Rahman ash-Shafadi asy-Syafie @ Qadhi ash-Shafadi.

Penulis kitab ini adalah seorang ulama besar didikan al-Azhar asy-Syarif, Syaikh Abdul Rahman bin Muhammad `Awadh al-Juzairi @ al-Jaziri rahimahullah. Beliau dilahirkan di Pulau Syandawil, Mesir, sekitar tahun 1882M / 1299H. Mengikuti pengajian di Universiti al-Azhar pada 1896 - 1909, selanjutnya menjadi tenaga pengajar di sana. Beliau merupakan anggota Haiah Kibar Ulama al-Azhar sehingga beliau wafat di Hulwan pada tahun 1941M / 1360H. Kitab al-Fiqh `ala Madzahibil Arba`ah adalah kitab beliau yang paling masyhur, selain daripada kitab tersebut, beliau juga ada menulis beberapa kitab lain, antaranya: Tawdhihul `Aqaaid, Adillatul Yaqin dan al-Akhlaq ad-Diniyyah wal Hikam asy-Syar`iyyah. Mudah - mudahan Allah membalas segala amal baik almarhum Syaikh `Abdur Rahman al-Juzairi dengan sebesar - besar ganjaran pahala yang memenuhi mizan dan menjadi sebab beliau dimasukkan ke Daril Qarar bi jiwarin Nabiyyil Mukhtar `alaihi afdhalush shalati was salam.

Tentang hukum melafazkan niat sembahyang sebelum takbiratul ihram, maka pada juz 1, halaman 205, kitab tersebut, almarhum Syaikh `Abdul Rahman menjelaskan bahawa hukum melafazkan niat sembahyang seperti dikatakan oleh seseorang yang hendak sembahyang: "ushalli fardhazh Zhohri (Aku shalat fardhu Zohor)", hukumnya adalah disunnatkan (yusannu) menurut yang disepakati oleh para ulama Mazhab Syafie dan Mazhab Hanbali. Ini adalah kerana melafazkan niat di lidah, walaupun tidak dianggap sebagai niat, adalah dianggap sebagai peringatan (tanbihan) dan pembantu (musa`id) bagi hati untuk menghadirkan niat. Manakala ulama Mazhab Maliki dan sebahagian ulama Mazhab Hanafi, melafazkan niat dengan lidah tidak disyariatkan dan termasuk perbuatan yang khilaful awla untuk dilakukan, kecuali bagi orang yang diserang was-was ketika berniat. Bagi orang yang was - was, hukum melafazkan niat adalah mandub. Pandangan majoriti ulama Mazhab Hanafi pula adalah melafazkan niat shalat di lidah adalah perbuatan bid`ah, namun baik atau bagus (mustahsan) untuk dilakukan bagi menolak was - was. Jelaslah bahawa keempat - empat mazhab, tidak mempermasalahkan talaffuz bin niyyah. Pandangan yang paling keras pun, ianya bid`ah atau tidak disyariatkan, di sisi Maliki, namun jika dilakukan tanpa sebarang keperluan, hanya dianggap sebagai khilaful awla. Namun jika ada keperluan seperti untuk mencegah atau menolak timbulnya was - was, maka hukumnya berubah menjadi mandub. Tidaklah difatwakan dalam Mazhab Maliki dan Mazhab Hanafi yang ianya bid`ah dan setiap bid`ah itu sesat masuk neraka. 

Pandangan jumhur ulama Hanafi, walaupun dinyatakan perbuatan melafazkan niat sebagai bid`ah, namun hukumnya mustahsan (elok dan baik) untuk dilakukan kerana boleh mencegah was - was ketika berniat dalam hati. Maka tidaklah pelik jika dalam buku - buku panduan shalat di kalangan pengikut Mazhab Hanafi, turut memuatkan lafaz - lafaz niat shalat sebagaimana lazim dalam buku - buku pedoman shalat di tempat kita. Contohnya buku Kitab ash-Shalah terbitan Ihlas Vakfi, Istanbul, Turkiye, disenaraikan lafaz - lafaz niat bagi pelbagai shalat termasuk shalat fardhu, antaranya seperti lafaz niat Shalat Maghrib yang sebagai berikut: "Nawaitu an ushalliya lillahi ta`ala tsalatsa raka`atin fardha Shalatil Maghrib ada-an muqtadiyan bil imamil hadhir," (Aku berniat shalat kerana Allah ta`ala 3 rakaat shalat fardhu Maghrib tunai mengikut imam yang ada). Ketika mengaji dulu, faqir ramai juga kenalan dari Pakistan yang bermazhab Hanafi dan di antara mereka ada yang melafazkan niat shalat sebelum takbiratul ihram dalam bahasa Urdu. 

Selanjutnya, dalam kitab - kitab muktabar Mazhab Hanbali, samada secara langsung maupun tidak, turut memperakui penyataan yang tercatat dalam al-Fiqh `ala Madzahibil Arba`ah. Antaranya apa yang tercatat dalam kitab al-Mughni karya Syaikhul Islam, Imam Ibnu Qudamah al-Hanbali yang wafat tahun 620H, merupakan panutan dan rujukan dalam Mazhab Hanbali. Dalam juz pertama, halaman 509, beliau rahimahullah menulis sebagai berikut: .....dan makna "niat" adalah "qashad" yang tempatnya di hati dan jika dilafazkan apa yang dia niatkan maka jadilah lafaz itu sebagai pemantap/ penguat / pengukuh (ta'kidan).... Jadi, jelas dinyatakan bahawa melafazkan niat tidaklah dianggap sebagai satu kesalahan yang membawa ke neraka, bahkan sebaliknya, ia dianggap sebagai perbuatan yang menguatkan atau memantapkan keberadaan niat dalam hati.

Juga dalam kitab Mathlab Ulin Nuha karangan al-Faqih al-`Allaamah asy-Syaikh Musthafa as-Suyuthi (1765 - 1827M / 1165 - 1243H), faqih Hanbali dan mufti Hanabilah di Dimasyq (Damsyik), pada juz pertama, halaman 395, dinyatakan dengan jelas seperti berikut:- .....(dan tempatnya) iaitu tempat niat: (hati) secara wajib dan mustahab dilafazkan dengan lidah...Maka, jelas hukum melafazkan niat di lidah itu mustahab yang sinonim dengan sunat, dibuat berpahala ditinggal tidak berdosa, maka eloklah dibuat.

Sewajarnya sekarang, sudah kurun ke-21M, tidak perlu lagi pertikaian mengenai talaffuz bin niyyah ini diperdebatkan untuk memenangkan pendapat yang jadi pilihan. Apatah lagi di hadapan orang - orang awam. Sesiapa yang melakukannya tidaklah bermasalah di sisi jumhur ulama dari keempat - empat mazhab, jika pun tidak semua. Kedudukan dalam Mazhab Syafie adalah jelas bahawa ianya sunat untuk dilakukan. Sebagai penutup, faqir ingin menyatakan bahawa ungkapan yang dirangkai sebagai lafaz niat seumpama: "nawaitu ushalli fardhash Shubhi rak`ataini ada-an mustaqbilal qiblati lillahi ta`ala", yang dilakukan di luar sembahyang, adalah termasuk kata - kata luhur kerana ianya adalah pernyataan yang kita hendak menjunjung perintah Allah mendirikan ibadah agung yang diperintahkan ketika Mi'raj. Apakah tidak ucapan tersebut akan dicatat oleh Kiraman Katibin dalam buku catatan amal kita? Tidakkah Allah firman dalam Surah Qaaf Ayat 18, yang mafhumnya: "Tidak ada suatu kata yang diucapkannya melainkan ada di sisinya Malaikat pengawas yang sentiasa sedia (menerima dan mencatatnya)." Kira - kira lafaz ushalli tadi, dicatat juga atau tidak? Jika dicatat, siapa yang mencatatnya? Malaikat belah kanan atau malaikat belah kiri, Raqib atau `Atid? Adakah kata - kata tersebut dinilai sebagai perkataan yang baik atau perkataan yang buruk seumpama sumpah seranah, caci maki, tohmah dan buhtan? Renung - renungkanlah.

Tiada ulasan: