Selasa, Mei 30, 2023

Wirid Mudah

Di antara amalan yang dituntut adalah berwirid selepas shalat fardhu. Junjungan Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam telah meninggalkan kepada kita berbagai macam bentuk zikir untuk diwiridkan selepas shalat fardhu. Ada yang panjang dan ada yang pendek, dan yang termasyhurnya bertasbih, bertahmid dan bertakbir sebanyak 33 kali, sebagaimana merata diamalkan di nusantara. Selain dari jumlah bilangan tersebut ada juga yang lebih ringan, agar mereka yang disibukkan dengan urusannya masih dapat melakukannya. Amalan ini walaupun mudah dan ringkas, namun mempunyai kelebihan tersendiri bagi sesiapa yang mengamalkannya dengan dawam dan istiqamah. Amalannya, (i) setiap selepas shalat fardhu, bertasbih 10 kali, bertahmid 10 kali dan bertakbir 10 kali; DAN (ii) sebelum tidur, bertasbih 33 kali, bertahmid 33 kali dan bertakbir 34 kali. Dua wirid ini amalkanlah dengan istiqamah, telah diajar dan dianjurkan oleh baginda shallaAllahu `alaihi wa sallam dalam sabdaan yang shahih.

Imam at-Tirmidzi dalam Jami` meriwayatkan sebuah hadis yang diriwayatkan daripada Sayyidina `Abdullah bin Amr radhiyaAllahu `anhuma bahawa Junjungan Rasulullah shallaAllahu `alaihi wa sallam bersabda: "Dua perkara yang tidaklah ia dilakukan oleh seseorang muslim (dengan istiqamah), kecuali dia akan masuk syurga. Ketahuilah bahawa kedua perkara ini mudah, namun yang mampu mengamalkannya (secara mudawamah / berterusan) hanya sedikit. (Yang pertama) bertasbih mensucikan Allah setiap selepas shalat (fardhu) 10 kali, bertahmid 10 kali dan bertakbir 10 kali." (Sayyidina `Abdullah) berkata: "Lalu aku melihat Rasulullah shallaAllahu `alaihi wa sallam menghitungnya (yakni jumlah zikir tersebut) dengan tangan baginda, dan bersabda: "Maka yang sedemikian adalah 150 sebutan di lidah yang menghasilkan 1500 pahala di atas timbangan". (Kedua) apabila engkau hendak tidur, bacalah tasbih, tahmid dan takbir (yang jumlah keseluruhannya) 100 kali, (yakni tasbih 33 kali, tahmid 33 kali dan takbir 34 kali, sebagaimana dalam riwayat lain seperti riwayat Imam Abu Daud). Maka yang sedemikian adalah 100 sebutan di lidah dan 1000 pahala di atas timbangan. Maka siapa daripada kamu yang melakukan 2500 kesalahan sehari semalam?" (Yakni,isyarat daripada Junjungan bahawa ganjaran 2500 pahala tersebut akan menjadi kaffarah bagi 2500 kesalahan yang dilakukan seseorang). Para sahabat berkata: "Jika begitu besar ganjarannya, kenapa pula kami tidak mengamalkannya?" Junjungan bersabda: "Seseorang daripada kamu akan didatangi oleh syaitan ketika dia shalat dan dia akan membisik: "Ingatlah kepada begian begian," (yakni urusan - urusan lain) sehingga selesai shalatnya dan barangkali dia tidak melakukannya, (yakni syaitan akan menyibukkan kita ingatan kepada urusan - urusan lain yang belum beres sehingga kita tergesa - gesa untuk menyelesaikan shalat dan segera angkat punggung tanpa melakukan zikir dan doa kerana bergegas untuk mengerjakan urusan - urusan tersebut.) Dan syaitan datang ketika kamu di atas katilmu dan mencampakkan ngantuk kepadamu sehingga kamu tertidur tanpa sempat melakukan amalan tersebut. (Yakni, Junjungan memberikan gambaran bagaimana amalan yang mudah tersebut hanya sedikit yang sanggup istiqamah mengamalkannya.) (Imam at-Tirmidzi) menyatakan bahawa hadis ini Hasan Shahih.

Selain Imam at-Tirmidzi, beberapa ahli hadis juga meriwayatkannya dengan lafaz yang hampir sama, antaranya Imam Ahmad dan Imam Abu Daud. In sya Allah, dengan rahmatNya, mudah - mudahan amalan yang ringkas ini menjadi sebab untuk mengkaffarahkan dosa kesalahan kita dan menjadikan akhir usia kita husnul khatimah yang melayakkan kita menjadi penghuni syurga. 

Khamis, Mei 18, 2023

Doa Hari Panas & Sejuk

Dalam keadaan negara sedang menghadapi cuaca panas yang adakalanya melampau, ditambah lagi dengan kurang turunnya hujan yang boleh mengakibatkan kemarau dan masalah air. Maka sewajarnya kita melakukan ikhtiar sejak awal lagi, dengan berdoa memohon kepada Allah agar tetap menurunkan hujan yang bermanfaat ke atas kita. Selain beristisqa` dengan shalat dan doa, rajin - rajinlah beristighfar dan mengamalkan Shalawat Tafrijiyyah sebagai wirid, semoga menjadi sebab menarik rahmat Allah berupa hujan yang bermanfaat bagi semua dan menghindari negara dari kemarau.

Selain dari itu, berkaitan fenomena cuaca ekstrem ini, hari terlampau panas atau terlampau sejuk, Imam Ibnus Sunni meriwayatkan dalam `Amalul Yawm wal Lailah, halaman 150 sebagai berikut:-  Apabila hari terlampau panas, lalu seseorang mengucapkan: "Tiada Tuhan selain Allah, alangkah panasnya hari ini; Ya Allah, lindungilah aku dari kepanasan neraka." Maka Allah `azza wa jalla berfitman kepada neraka: "Sesungguhnya seorang hamba daripada hamba - hambaKu mencari perlindunganKu dari kepanasanmu, saksikan sesungguhnya Aku telah melindunginya." Ketika hari terlampau sejuk, lalu seorang hamba berkata: "Tiada Tuhan selain Allah, alangkah sejuknya hari ini; Ya Allah, lindungilah aku dari zamhariir (kesejukan) neraka." Maka Allah `azza wa jalla berfirman kepada neraka: "Sesungguhnya seorang hamba daripada hamba - hambaKu telah memohon perlindungan dari kesejukanmu, sungguh Aku jadikan engkau saksi bahawa Aku telah melindunginya." Sahabat - sahabat bertanya (kepada Junjungan shallaAllahu `alaihi wa sallam): "Apakah zamhariir neraka?" Junjungan shallaAllahu `alaihi wa sallam menjawab: "Satu tempat ( Imam al-Baihaqi dalam al-Asma` wash Shifat meriwayatkan dengan kalimah "al-juub" yakni lubang) di mana orang kafir akan dilemparkan, yang kesejukan melampaunya akan menjadikan sebahagian mereka berbeza dengan sebahagian yang lain." 

Imam Ismail al-`Ajluni dalam Kasyful Khafa`, pada jilid 2, halaman 466 mengomentari hadis ini, antaranya sebagai berikut:- Hadis ini diriwayatkan oleh Ibnus Sunni dan Abu Nu`aim dalam `Amalul Yawm wal Lailah, kedua-duanya dengan sanad yang dhaif daripada Abu Sa`id al-Khudri dan Abu Hurairah secara marfu` ...... Dan al-Baihaqi meriwayatkan dalam al-Asmaa` wash Shifaat .... (hadis yang hampir serupa).

Sungguh pun dhaif, riwayat ini tidak bermasalah untuk diamalkan dalam perkara fadhail. Di samping itu, ada pengajaran penting dalam amalan ini, iaitu seteruk mana dan seazab mana pun kepanasan atau kesejukan di dunia ini, maka kepanasan, kesejukan dan azab neraka itu lebih dahsyat lagi. Mudah - mudahan Allah melindungi kita dari azab di dunia dan lebih - lebih lagi di akhirat nanti.

Selasa, Mei 09, 2023

2 Marhalah Syarat Jamak

Pendapat yang muktamad yang dianggap sebagai pendapat mazhab di sisi para ulama asy-Syafi`iyyah adalah hukum menjamak dua shalat ketika bermusafir hanya dibenarkan pada safar atau permusafiran atau perjalanan yang panjang (as-safar ath-thawil), yakni safar 2 marhalah ke atas. Jika safar tersebut kurang dari 2 marhalah (as-safar al-qashir), maka rukhshah atau keringanan menjamakkan shalat tidaklah diharuskan. Inilah pendapat atau qawl yang dimuktamadkan dalam mazhab kita, tanpa mengingkari wujudnya pendapat atau qawl lain yang dipilih oleh sebahagian ulama semazhab, membenarkan seseorang untuk menjamak shalat dalam safar yang pendek. Hal ini dapat kita lihat dalam kitab - kitab karangan ulama kita yang muktabar. Imam Abu Ishaq asy-Syirazi rahimahullah dalam kitabnya yang masyhur, al-Muhadzdzab fi Fiqhi Madzhab al-Imam asy-Syafi`i, juz 1, halaman 146 menulis, antaranya, sebagai berikut:- Fashal. Diharuskan menjamak antara Zohor dengan Asar dan antara Maghrib dengan Isyak dalam safar (permusafiran) yang dibenarkan padanya mengqasharkan sembahyang (yakni perjalanan 2 marhalah atau lebih) ...... Adapun dalam safar yang tidak mengharuskan qashar shalat dalamnya (yakni safar yang kurang dari 2 marhalah) ada dua qawl. Qawl Pertama, harus, kerana dia melakukan safar yang dibenarkan padanya untuk melakukan sembahyang sunat di atas tunggangannya (yakni dalam safar yang pendek pun seseorang dibenarkan shalat sunnat atas tunggangannya / kenderaannya), oleh itu dia juga dibenar menjamakkan sembahyangnya sebagaimana dalam safar yang panjang. Qawl Kedua, tidak harus, dan inilah qawl yang ashah, kerana (perbuatan menjamakkan sembahyang itu) adalah mengerjakan ibadah di luar waktunya, maka hal ini tidak diharuskan dalam safar yang pendek (as-safar al-qashir) sebagaimana tidak diharuskan berbuka di siang hari ketika berpuasa Ramadhan (dalam safar yang pendek)...

Selanjutnya, kita lihat perkataan Imam an-Nawawi mengenai hal ini dalam al-Majmu` syarh al-Muhadzdzab, juz 4, halaman 249, sebagai berikut:- ... Diharuskan jamak dalam safar yang diharuskan padanya mengqasharkan sembahyang. Adapun dalam safar yang pendek ada dua qawl yang masyhur yang disebut pengarangnya (yakni Imam asy-Syirazi) akan dalil bagi kedua qawl tersebut. Qawl yang ashah dengan ittifaq al-ashhaab (yang disepakati oleh para ulama besar mazhab Syafie ashhaabul wujuh yang hidup dalam period 400 tahun terdahulu mulai zaman Imam asy-Syafie radhiyaAllahu `anhu) adalah TIDAK HARUS dan inilah qawl yang dinashkan sendiri oleh Imam asy-Syafie dalam kitab - kitab jadid beliau. Menurut al-Qadhi Abu Thayyib dalam kitabnya al-Mujarrad dan sebahagian ashhaab, ianya adalah harus dalam qawl qadim. Sedangkan menurut Imam Abu Ishaq al-Marwazi qawl yang tidak mengharuskan jamak pada safar qashir adalah satu - satunya qawl yang dinashkan sendiri oleh Imam asy-Syafie...

Dalam kitab Raudhatuth Thaalibiin, jilid 1, halaman 498, Imam Nawawi menulis:- Bab menjamak dua shalat. Diharuskan menjamak antara Zohor dan Asar, dan antara Maghrib dan Isyak, secara taqdim pada waktu sembahyang pertama, atau secara takhir pada waktu sembahyang kedua, dalam safar yang panjang (as-safar ath-thawil), namun tidak diharuskan dalam safar yang pendek menurut qawl adzhar...... Dan pada halaman 504, Imam Nawawi juga menyatakan sebagai berikut:- Fasal. Rukhshah (keringanan) yang bergantung dengan safar thawil (2 marhalah ke atas) ada empat, (i) qashar sembahyang, (ii) berbuka puasa di siang Ramadhan, (iii) menyapu khuf selama 3 hari 3 malam dan (iv) menjamak sembahyang atas qawl adzhar.....

Imam Ibnur Rif`ah rahimahullah pula menulis dalam Kifaayatun Nabiih syarh at-Tanbiih, juz 4 halaman 177 sebagai berikut:- ... (Tentang Menjamakkan Sembahyang) Dalam safar yang pendek - iaitu safar yang tidak mengharuskan qashar sembahyang - ada 2 qawl. Wajah (yakni qawl yang berasal daripada ashhaabul wujuh) yang mengharuskan, atas alasan penduduk Mekah menjamakkan shalat Zohor dengan Asar di Arafah dan shalat Maghrib dengan Isyak di Muzdalifah (yakni ketika menunaikan ibadah haji) tanpa ada sesiapa pun yang mengingkari perbuatan mereka itu, sedangkan safar mereka (yakni dari Mekah ke Arafah / Muzdalifah) hanya dalam jarak yang pendek ...... Wajah yang menegahnya (yakni tidak mengharuskannya), kerana perbuatan menjamak sembahyang tersebut bererti mengerjakannya di luar waktunya. Di mana perbuatan sedemikian tidak diharuskan melainkan dalam safar yang panjang, sebagaimana berbuka di siang Ramadhan hanya diharuskan bagi musafir dalam perjalanan yang panjang. Tidak pernah ada riwayat yang Junjungan shallaAllahu `alaihi wa sallam menjamakkan sembahyang (ketika bermusafir) melainkan dalam safar yang panjang. Inilah wajah yang dinashkan sendiri oleh Imam asy-Syafie dalam al-Umm dan inilah qawl yang shahih (maka wajah / qawl yang pertama tadi adalah dhaif). Jamaknya penduduk Mekah tadi adalah kerana adanya keuzuran disebabkan nusuk (perlaksanaan ibadah haji atau dalam naskhah kitab Kifaayatun Nabiih Nombor 229 Manuskrip Fiqh Syafie yang tersimpan di Darul Kutub al-Mishriyyah ianya adalah disebabkan banjir).

Ada ustaz yang mendakwa bermazhab Syafie, telah menyatakan bahawa untuk menjamakkan sembahyang tidak disyaratkan safarnya mesti 2 marhalah atau lebih (safar panjang). Beliau menyatakan inilah pendapat yang kuat dalam mazhab Syafie dengan alasan dalam senarai syarat - syarat jamak tidak pun disebut syaratnya mesti safar yang panjangnya 2 marhalah atau lebih, Beliau menyatakan lagi bahawa syarat 2 marhalah itu hanya untuk membolehkan qashar sembahyang sahaja. Ini adalah pendapat yang salah kerana dalam mazhab kita syarat jamak bagi musafir itu adalah seperti syarat mengqasarkan shalat baginya dengan tambahan beberapa syarat lain untuk jamak secara taqdim dan jamak secara takhir. Maka mengaji syarat jamak bagi musafir hendaklah dimulai dengan mengaji terlebih dahulu syarat qashar. Janganlah hanya melihat syarat - syarat jamak sahaja tanpa melihat kepada syarat - syarat qashar. Inilah yang disebut dalam kitab - kitab kita, contohnya seperti dinyatakan oleh Imam Yusuf ar-Ardabili rahimahullah dalam al-Anwaar li A'maalil Abraar, juz 1, halaman 135, yang menyatakan: ......Fasal. Diharuskan menjamak antara dua shalat siang (yakni Zohor dan Asar) dan dua shalat malam (Maghrib dan Isyak) secara taqdim dan takhir pada safar yang menghimpunkan segala syarat yang terdahulu sebutannya (yakni segala syarat yang telah disenaraikan dalam fasal sebelumnya yang menerangkan syarat - syarat bagi mengqasharkan sembahyang)..... Jika mengaji hukum jamak ketika musafir tanpa merujuk juga kepada hukum qashar adalah cara ngaji yang salah, menatijahkan salah pemahaman sehingga menyatakan bahawa tidak disyaratkan safar yang panjang bagi menjamakkan shalat kerana tidak disebut dalam syarat - syarat jamak. Lebih parah, akibat salah pemahaman tersebut, si ustaz mem"fatwa"kan bahawa seseorang boleh menjamakkan sembahyangnya dalam safar yang pendek, walaupun hanya sekitar 25 kilometer seperti orang yang tinggal di Kota Damansara dan bekerja di Kuala Lumpur boleh menjamakkan sembahyangnya setiap hari kerana mukimnya lain - lain .... Allahu ...Allah, faqir doakan semoga si ustaz dapat review balik ajarannya sehingga menepati ketentuan hukum sebenar dalam mazhab Syafie.

Untuk pengukuhan, dalam teks kitab - kitab fiqh Syafie, dengan jelas ditulis bahawa musafir yang safarnya mengharuskan qashar itulah juga yang diharuskan menjamakkan shalatnya, yakni jika safarnya mengharuskan dia mengqasharkan shalat maka dia juga harus menjamakkannya. Jadi jarak bagi mengharuskan jamak adalah sama dengan jarak safar yang mengharuskan qashar. Syaikh Nik Mat Kecil rahimahullah dalam Mathla`ul Badrain pada halaman 43, menjelaskan sebagai berikut:- (Dan harus) bagi orang yang musafir yang harus qasharnya, ia jamakkan sembahyang Zohor dengan Asar dan Maghrib dengan Isyak, jamak taqdim atau jamak takhir ..... Kan jelas disebut bahawa jika safar itu mengharuskan qashar maka haruslah jamak. Jika safar tersebut tidak mengharuskan qasar, maka jamak juga tidak diharuskan, as plain and simple as that

Juga dalam sesetengah karangan, disebutkan dengan jelas bahawa safar yang panjang adalah syarat bagi membolehkan qashar dan jamak. Contohnya apa yang disebut oleh Sidi Abu Bakar Syatha al-Bakri ad-Dimyathi dalam `I`aanatuth Thaalibiin, juz 2, halaman 98 yang menyatakan sebagai berikut: ...(Kata muallif, safar yang panjang) ini adalah satu syarat daripada syarat - syarat bagi qashar dan jamak, iaitu 48 batu (mile) Hasyimiyyah (yakni 2 marhalah)...... Oleh itu, jelaslah bahawa safar yang panjang adalah syarat bagi mengharuskan jamak kerana safar. 

Dalam kitab Bughyatul Mustarsyidinhalaman 122, sebagaimana Raudhah, dijelaskan sebagai berikut:- (Faedah) Rukhsah (keringanan) yang bergantung dengan safar itu ada 11, empat daripadanya adalah tertentu bagi safar yang panjang (yakni 2 marhalah ke atas), iaitu (i) qashar (ii) jamak (iii) fithr (yakni berbuka puasa sebelum waktunya) dan (iv) menyapu khuf (yakni bagi musafir harus menyapu khufnya selama 3 hari 3 malam berbanding orang mukim yang hanya dibenarkan sehari semalam sahaja). Maka jelas bahawa syarat membolehkan seorang musafir untuk menjamakkan shalat adalah safarnya panjang (safar thawil). Inilah yang muktamad dalam mazhab kita.

Sungguhpun demikian, ada juga di kalangan ulama kita yang memilih qawl atau pendapat yang dhaif sebagaimana disebut dalam Bughyah. Pada halaman 127, dinyatakan: - (Faedah) di sisi kita (yakni ulama Syafi`iyyah) ada satu qawl yang mengharuskan jamak dalam safar yang pendek (safar qashir) dipilih oleh al-Bandaniji...... Walaupun secara zahir dalam Bughyah disebutkan sebagai qawl, apa yang dimaksudkan adalah qil yakni qawl dhaif yang menjadi pilihan atau qawl mukhtar bagi Imam al-Bandaniji rahimahullah. Ketahuilah bahawa kedudukan qawl mukhtar dalam mazhab tetap atas kedhaifannya yakni qil atau pendapat lemah walaupun ianya menjadi pilihan pribadi seseorang ulama mazhab kita. Oleh itu beranggapan bahawa qawl mukhtar al-Bandaniji sebagai qawl yang kuat dalam mazhab adalah satu kesilapan. Hal ini penting untuk diperingatkan kerana ada sebahagian yang terkeliru dengan gelaran qawl mukhtar yakni qawl pilihan sehingga beranggapan itulah al-mazhab (yakni qawl yang dimuktamadkan dalam mazhab). Fahamkanlah wahai saudara. Samada seseorang boleh beramal dengan qawl mukhtar ini, maka ianya isu lain yang ada perinciannya. Namun menyatakan ianya sebagai qawl yang kuat dalam mazhab atau memutlakkan pengamalannya adalah salah dan tidak wajar. Jangankan ikhtiyarat Imam Bandaniji rahimahullah, ikhtiyarat Imam Nawawi rahimahullah pun dianggap qil (qawl lemah) di sisi mazhab.

Untuk penutup, faqir kongsikan pengenalan ringkas bagi sosok al-Bandaniji yang disebut dalam Bughyah. Beliau adalah Imam al-Qadhi Abu `Ali, al-Hasan bin `Abdullah @ Ubaidillah bin Yahya al-Bandaniji. Imam Tajuddin as-Subki rahimahullah dalam Thabaqaatusy Syaafi`iyyah al-Kubra, juz ke-4, halaman 305, menyatakan:- ... Beliau adalah al-Qadhi Abu Ali al-Bandaniji, pengarang kitab adz-Dzakhirah, seorang pemuka ulama yang mendampingi (menjadi teman dan murid) asy-Syaikh Abu Hamid (al-Isfarayini), di mana al-Bandaniji menulis satu kitab komentar atas karya asy-Syaikh Abu Hamid yang dinamakan at-Taliiqah ( atau al-Jaami` dalam 4 jilid) yang masyhur. Beliau adalah seorang faqih yang agung, amat berkemampuan untuk membahas sebarang kemusykilan, seorang shalih lagi warak. Syaikh Abu Ishaq berkata bahawa: "Beliau adalah penjaga /  pembela / pengukuh bagi mazhab". Imam al-Khatib pula menyatakan bahawa: "Beliau mempunyai halaqah ilmu di Jami` al-Manshur untuk berfatwa, seorang yang shalih, kukuh pegangan agama dan warak". Aku mendengar Syaikh Abdul Karim bin `Ali al-Qashri berkata: "Aku tidak melihat pada seseorang yang mendampingi (menjadi murid) Syaikh Abu Hamid yang lebih kuat agamanya daripada Abu Ali al-Bandaniji". Imam al-Khatib berkata: "Di akhir usianya beliau kembali ke al-Bandanijin @ Bandanij lalu wafat di sana pada bulan Jamadil Awwal tahun 425H. Mudah - mudahan Allah mencucurkan hujan rahmat yang berkekalan atas beliau.

Sebagai pemungkas, faqir datangkan perkataan Syaikh Abdul Hamid asy-Syarwani rahimahullah dalam hasyiah beliau atas Tuhfah, juz 2, halaman 394, yang menyatakan bahawa sebagaimana seseorang ditegah menjamakkan sembahyang Maghrib dengan Asar, dan sembahyang Isyak dengan Subuh, maka dia juga ditegah daripada menjamakkan sembahyang ketika dalam negeri (yakni tidak berpergian), dalam safar yang pendek walaupun bagi penduduk Mekah (yakni dalam rangka mereka melaksanakan manasik haji) dan dalam safar yang maksiat, sebagaimana yang tersebut dalam Nihayah dan Mughni. Oleh itu, hendaklah kita berhati - hati dalam urusan sembahyang yang menjadi rukun Islam terpenting selepas syahadatain. Janganlah bermudah - mudah mengambil rukhsah, takut - takut akhirnya susah dan jadi musibah, yang sesalannya tak berkesudah. Apa - apa pun, segala puji bagi Allah yang telah menjadikan dalam ikhtilaf itu ada rahmat dan dalam setiap kepayahan itu ada kemudahan. Mudah - mudahan Allah mengganjari para ulama kita dengan sebaik - baik ganjaran. Dan tetaplah kita atas ilmu dan amanah.

Jumaat, Mei 05, 2023

`Aqidah Mubarakah: Shalawat

Pada pagi hari Jumaat yang mulia ini, faqir sambut anjuran memperbanyakkan shalawat atas Junjungan Nabi Besar, Sayyidina wa Mawlana Muhammad shallaAllahu `alaihi wa sallam dengan mendatangkan bicara kelebihan bershalawat sebagaimana tercatat dalam  `Aqidatul `Awaam al-Mubarakah, sebuah karya terjemahan dan syarah ringkas bagi nazam `Aqidatul Awaam karangan Syaikh Ahmad al-Marzuqi rahimahullah. Kitab `Aqidatul `Awam al-Mubarakah ini adalah hasil tulisan Syaikh Wan Abdul Rahman bin Wan Muhammad bin Wan Husain rahimahullah

Syaikh Wan Abdul Rahman adalah seorang ulama Perak, beliau adalah anak kandung almarhum Mufti Wan Muhammad Merbol al-Kalantani, ulama pertama yang diberi gelar "mufti" bagi Negeri Perak, yang berkhidmat sekitar 1887 - 1916 di bawah pemerintahan 3 sultan, Sultan Idris, Sultan Abdul Jalil dan Sultan Iskandar Syah. Syaikh Wan Abdul Rahman dilantik sebagai Imam Masjid Diraja al-`Ubudiah, Bukit Chandan, Kuala Kangsar dan menjadi guru agama Istana Perak Darul Ridzuan. Kitab `Aqidatul Awaam al-Mubarakah ini telah beliau tulis atas permintaan Tunku Ampuan Selangor, Raja Fathimah binti almarhum Sultan Idris Perak, bahkan dibiayai percetakannya oleh baginda. Selain kitab ini, Syaikh Wan Abdul Rahman juga meninggalkan sebuah karya lain berkenaan darah - darah wanita yang berjodol Risalah ad-Dima-i al-Kharijah min qubulin nisa`, atas titah permintaan Raja Perempuan Perak, Raja Ummu Kaltsum.

Kembali semula kepada `Aqidatul Awaam al-Mubarakah, pada halaman 5 kitab tersebut, Syaikh Wan Abdul Rahman rahimahullah menulis sedikit tentang shalawat sebagai berikut:- 
        Ketahui olehmu ! Bahawasanya tidak sayogia bagi orang yang mukmin duduk berdiam diri sahaja, artinya tidak berwirid dan membaca  - baca zikrullah dan lainnya, khususan daripada membaca shalawat atas Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam. Kerana shalawat itu faedahnya:- (1) menerangkan di dalam kubur, (2) menerangkan titi Shirathul Mustaqim, (3) menerangkan syurga, (4) memadamkan kemurkaan Tuhan, (5) menghinakan tipu daya syaitan dan lain - lainnya.
        Lagipun Nabi Muhammad itu sebesar - besar waasithah yang kita semuanya merasai nikmat Allah ta`ala ialah dengan kiraannya. Bahkan dengan sebab dialah diadakan sekalian makhluk, seperti firman Tuhan di dalam hadis qudsi: "Lawlaaka lawlaaka lamma khalaqtul aflaaka," artinya "Jika tidak dijadikan engkau ya Muhammad, nescaya tidak dijadikan perjalanan bintang - bintang (makhluk)." Maka sekali - kali tidak patut kita lupa - lupakan dan dilalaikan dia, yakni bacalah shalawat sekurang - kurangnya 300 kali, umpama "Allahumma shalli `ala Muhammad; Ya Rabbi shalli `alaihi wa sallim," atau "Allahumma shalli `ala Sayyidina Muhammad hingga sampai Innaka Hamidum Majid" atau lain - lain shalawat.

Oleh itu, janganlah kita melalaikan diri daripada bershalawat ke atas Junjungan Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam. Dengannya kita mengharapkan syafaat Junjungan untuk menyelamatkan kita dari azab akhirat dan memasukkan kita ke syurganya Allah. 

Isnin, Mei 01, 2023

Wirdul Lathif

Selain dari susunan zikir yang berupa ratib, yang telah masyhur di seantero dunia, dikenali dengan nama Ratibul Haddad atau Ratibusy Syahir, Imam al-Haddad rahimahullah juga mewariskan kepada kita satu lagi susunan zikir untuk diamalkan setiap pagi dan petang, atau sekurang - kurangnya ketika berpagi hari. Rantaian zikir ini dikenali sebagai al-Wirdul Lathif atau "wirid yang ringan" bagi membezakannya dengan satu lagi wirid susunan beliau yang lebih panjang yang dikenali sebagai al-Wirdul Kabir

Wirdul Lathif ini menghimpunkan beberapa zikir berupa ayat - ayat al-Quran, zikir dan doa yang bersumberkan nas - nas yang shahih. Para ulama, termasuklah ulama Nusantara, telah memberi perhatian terhadap wirid ini dan mereka menganjurkan ianya diamalkan setidak - tidaknya setiap pagi hari. Misalnya, Guru Sekumpul, almarhum Syaikh Zaini Abdul Ghani, menamakan wirid ini sebagai "Ummahaatul Adzkar" (Induk Zikir) kerana sesiapa yang membacanya seakan - akan dia membaca segala zikir pagi - petang yang diamalkan oleh Junjungan Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam, yakni zikir - zikir utama yang diamalkan oleh Junjungan shallaAllahu `alaihi wa sallam setiap hari. Beliau juga menganjurkan orang awam yang tidak mempunyai guru mursyid sebagai pembimbingnya ke jalan Allah agar beramal dengan tiga amalan ini, iaitu membaca al-Quran, shalawat dan al-Wirdul Lathif. Ulama tersohor Serambi Mekah, Kelantan Darun Na`im, almarhum Tuan Guru Haji Muhammad Nor bin Haji Abdullah @ TG Hj Nor Bot menamakan al-Wirdul Lathif sebagai "Yawaaqitul Awrad fi tashfiyyatil qulub wal ibrad" (Wirid umpama permata yaqut pada membersihkan sekalian hati dan tubuh).

Mufti Betawi, almarhum Habib `Utsman bin `Aqil BinYahya, dalam Maslakul Akhyar memuji al-Wirdul Lathif dan menulis sebagai berikut:- Ini wirid al-Habib Abdullah bin `Alawi al-Haddad, dibaca pagi dan sore, pahalanya maka amat besar dan sekalian ayat warid yakni yang telah diamalkan oleh Rasulullah shallaAllahu `alaihi wa sallam dan ulama dan awliya` dan lebih afdhal dari lain - lain wirid. Dan tiap - tiap satu zikir atau satu doa daripada itu, maka pahalanya besar dan gunanya banyak dunia akhirat....

Syaikh Muhammad Mukhtar Bogor rahimahullah pula menulis sebuah kitab khusus bagi mensyarahkan wirid tersebut dengan menukilkan 30 hadis di dalamnya. Kitab ini namakan ad-Durrul Munif fi syarhil Wirdil Lathif yang kemudiannya beliau sempurnakan dengan satu risalah susulan sebagai ringkasan kitab tersebut dan menyertakan terjemahan Melayu segala zikir dan doa yang terkandung dalam wirid tersebut. Beliau turut menyenaraikan secara ringkas 33 kelebihan beramal dengannya. Beliau rahimahullah menyatakan, antara lain, sebagai berikut: 
....Dan setengah daripada yang paling elok aurad pagi dan itulah yang telah dihimpunkan akan dia oleh penghulu kami asy-Syaikh al-Kabir, al-Quthub asy-Syahir, asy-Sayyid asy-Syarif, al-Imam al-`Arif billah, al-Habib `Abdullah bin `Alawi bin Muhammad al-Haddad Ba`Alawi, mudah-mudahan Allah subhanahu wa ta`ala memberi manfaat akan kami dengan sekalian ilmunya dan sekalian asrarnya, pada satu kitab yang kecil yang menamakan ia akan dia al-Wirdul Lathif ..... Maka setengah daripada kelebihan ini aurad, barangsiapa mengamalkan akan dia nescaya:-

  1. ditolak daripadanya sekalian kejahatan; dan 
  2. dipeliharakan daripada was - was syaitan; dan
  3. dipeliharakan daripada kejahatan seteru; dan 
  4. jikalau dibaca pagi - pagi nescaya menyuruh Allah ta`ala akan 70,000 malaikat memintakan ampun baginya hingga petang dan jika mati ia pada itu hari nescaya ia mati syahid dan jika dibaca ia pada petang - petang nescaya hasil seperti demikian itu juga; dan
  5. tiada mudarat akan dia oleh sesuatu; dan
  6. tiada mengenai akan dia oleh terkejut bala;
  7. nescaya Allah ta`ala sempurnakan nikmat atasnya; dan
  8. Allah ta`ala merdekakan sekalian tubuhnya daripada api neraka; dan
  9. nescaya telah syukur ia akan sekalian nikmat Allah ta`ala dengan sebab memuji ia akan Allah ta`ala dengan yang paling afdhal puji; dan
  10. tiada kuasa sekalian jin dan syaitan memberi mudarat atasnya; dan
  11. nescaya redha Allah ta`ala daripadanya; dan
  12. Allah ta`ala padakan sekalian kesusahannya dalam dunia dan akhirat; dan
  13. nescaya mendapat ia akan syafaat Rasulullah pada hari kiamat; dan
  14. jika dibaca  petang dan mati ia pada itu malam nescaya masuk syurga; dan
  15. jika dibaca siang hari dan mati ia pada itu hari nescaya masuk syurga; dan
  16. dipeliharakan daripada kebakaran dan kecurian dan sekalian bala; dan
  17. dipeliharakan daripada siksa Allah ta`ala; dan
  18. dibaikkan segala kelakuannya; dan
  19. dipeliharakan daripada kejahatan nafsunya; dan
  20. dihilangkan kesusahannya; dan
  21. dibayarkan hutangnya; dan
  22. dipeliharakan daripada lemah dan segan daripada ibadat; dan 
  23. dipeliharakan daripada penakut dan kikir; dan
  24. ditutupkan aibnya; dan
  25. diberi permintaannya; dan
  26. digugur sekalian dosanya sekalipun seperti buih di laut; dan
  27. tiada datang oleh seorang pada hari kiamat dengan yang terlebih afdhal daripada amalnya melainkan orang beramal dengan yang lebih daripada amalnya; dan
  28. telah beramal ia dengan amal yang terlebih kasih kepada Rasulullah daripada barang yang terbit atasnya matahari; dan
  29. diberi pahala seperti memerdekakan 10 hamba; dan
  30. disuratkan baginya 100 kebaikan; dan
  31. dapat bisyarah dengan mati atas Islam dan husnul khatimah; dan
  32. barangsiapa membaca akan dia kemudian sembahyang Subuh nescaya diampuni baginya 1000 dosa dan diampuni bagi ibubapanya 124,000 dosa; dan
  33. barangsiapa membaca akan dia pada setinggalan hari nescaya disuratkan baginya 100,000 kebajikan dan diampunkan baginya 100,000 kejahatan dan dinaikkan 100,000 darjat.
Inilah setengah kelebihannya dengan ijmal yang diambil daripada beberapa hadis yang shahih.....

Tuan Guru Haji Muhammad Nor bin Haji Abdullah @ TG Haji Muhammad Nor Bot (1904-1994), ulama Kelantan yang masyhur, menulis dalam risalah beliau,  Yawaaqitul Awrad (Permatanya Segala Wirid), sebagai berikut:- 
Adapun kelebihan wirid ini amat banyak seperti yang tersebut di dalam hadis yang shahih. Maka setengah daripada kelebihan wirid ini:-

  1. barangsiapa mengamal akan dia nescaya ditolak daripadanya sekalian kejahatan; dan
  2. jika dibaca siang hari dan mati ia pada hari itu nescaya masuk syurga; dan
  3. dipeliharakan daripada kebakaran dan kecurian; dan
  4. dibayarkan hutangnya; dan
  5. dipeliharakan segan daripada ibadat; dan
  6. digugurkan sekalian dosa seperti buih di laut sekalipun; dan
  7. meluaskan kehidupan; dan
  8. diberikan permintaannya;
  9. tiada kuasa sekalian jin dan syaitan memberi mudarat atasnya.

Akhirul kalam, sesuai dengan namanya Wirdul Lathif, wirid yang ringan, membaca atau mengamalkannya tidaklah memakan masa yang panjang. Sesiapa sahaja boleh mengamalkannya. Oleh itu, amalkanlah mengikut kemampuan masing - masing dan semoga dapat mendawamkannya sehingga menjadi darah daging.