2 Marhalah Syarat Jamak
Pendapat yang muktamad yang dianggap sebagai pendapat mazhab di sisi para ulama asy-Syafi`iyyah adalah hukum menjamak dua shalat ketika bermusafir hanya dibenarkan pada safar atau permusafiran atau perjalanan yang panjang (as-safar ath-thawil), yakni safar 2 marhalah ke atas. Jika safar tersebut kurang dari 2 marhalah (as-safar al-qashir), maka rukhshah atau keringanan menjamakkan shalat tidaklah diharuskan. Inilah pendapat atau qawl yang dimuktamadkan dalam mazhab kita, tanpa mengingkari wujudnya pendapat atau qawl lain yang dipilih oleh sebahagian ulama semazhab, membenarkan seseorang untuk menjamak shalat dalam safar yang pendek. Hal ini dapat kita lihat dalam kitab - kitab karangan ulama kita yang muktabar. Imam Abu Ishaq asy-Syirazi rahimahullah dalam kitabnya yang masyhur, al-Muhadzdzab fi Fiqhi Madzhab al-Imam asy-Syafi`i, juz 1, halaman 146 menulis, antaranya, sebagai berikut:- Fashal. Diharuskan menjamak antara Zohor dengan Asar dan antara Maghrib dengan Isyak dalam safar (permusafiran) yang dibenarkan padanya mengqasharkan sembahyang (yakni perjalanan 2 marhalah atau lebih) ...... Adapun dalam safar yang tidak mengharuskan qashar shalat dalamnya (yakni safar yang kurang dari 2 marhalah) ada dua qawl. Qawl Pertama, harus, kerana dia melakukan safar yang dibenarkan padanya untuk melakukan sembahyang sunat di atas tunggangannya (yakni dalam safar yang pendek pun seseorang dibenarkan shalat sunnat atas tunggangannya / kenderaannya), oleh itu dia juga dibenar menjamakkan sembahyangnya sebagaimana dalam safar yang panjang. Qawl Kedua, tidak harus, dan inilah qawl yang ashah, kerana (perbuatan menjamakkan sembahyang itu) adalah mengerjakan ibadah di luar waktunya, maka hal ini tidak diharuskan dalam safar yang pendek (as-safar al-qashir) sebagaimana tidak diharuskan berbuka di siang hari ketika berpuasa Ramadhan (dalam safar yang pendek)...
Selanjutnya, kita lihat perkataan Imam an-Nawawi mengenai hal ini dalam al-Majmu` syarh al-Muhadzdzab, juz 4, halaman 249, sebagai berikut:- ... Diharuskan jamak dalam safar yang diharuskan padanya mengqasharkan sembahyang. Adapun dalam safar yang pendek ada dua qawl yang masyhur yang disebut pengarangnya (yakni Imam asy-Syirazi) akan dalil bagi kedua qawl tersebut. Qawl yang ashah dengan ittifaq al-ashhaab (yang disepakati oleh para ulama besar mazhab Syafie ashhaabul wujuh yang hidup dalam period 400 tahun terdahulu mulai zaman Imam asy-Syafie radhiyaAllahu `anhu) adalah TIDAK HARUS dan inilah qawl yang dinashkan sendiri oleh Imam asy-Syafie dalam kitab - kitab jadid beliau. Menurut al-Qadhi Abu Thayyib dalam kitabnya al-Mujarrad dan sebahagian ashhaab, ianya adalah harus dalam qawl qadim. Sedangkan menurut Imam Abu Ishaq al-Marwazi qawl yang tidak mengharuskan jamak pada safar qashir adalah satu - satunya qawl yang dinashkan sendiri oleh Imam asy-Syafie...
Dalam kitab Raudhatuth Thaalibiin, jilid 1, halaman 498, Imam Nawawi menulis:- Bab menjamak dua shalat. Diharuskan menjamak antara Zohor dan Asar, dan antara Maghrib dan Isyak, secara taqdim pada waktu sembahyang pertama, atau secara takhir pada waktu sembahyang kedua, dalam safar yang panjang (as-safar ath-thawil), namun tidak diharuskan dalam safar yang pendek menurut qawl adzhar...... Dan pada halaman 504, Imam Nawawi juga menyatakan sebagai berikut:- Fasal. Rukhshah (keringanan) yang bergantung dengan safar thawil (2 marhalah ke atas) ada empat, (i) qashar sembahyang, (ii) berbuka puasa di siang Ramadhan, (iii) menyapu khuf selama 3 hari 3 malam dan (iv) menjamak sembahyang atas qawl adzhar.....
Imam Ibnur Rif`ah rahimahullah pula menulis dalam Kifaayatun Nabiih syarh at-Tanbiih, juz 4 halaman 177 sebagai berikut:- ... (Tentang Menjamakkan Sembahyang) Dalam safar yang pendek - iaitu safar yang tidak mengharuskan qashar sembahyang - ada 2 qawl. Wajah (yakni qawl yang berasal daripada ashhaabul wujuh) yang mengharuskan, atas alasan penduduk Mekah menjamakkan shalat Zohor dengan Asar di Arafah dan shalat Maghrib dengan Isyak di Muzdalifah (yakni ketika menunaikan ibadah haji) tanpa ada sesiapa pun yang mengingkari perbuatan mereka itu, sedangkan safar mereka (yakni dari Mekah ke Arafah / Muzdalifah) hanya dalam jarak yang pendek ...... Wajah yang menegahnya (yakni tidak mengharuskannya), kerana perbuatan menjamak sembahyang tersebut bererti mengerjakannya di luar waktunya. Di mana perbuatan sedemikian tidak diharuskan melainkan dalam safar yang panjang, sebagaimana berbuka di siang Ramadhan hanya diharuskan bagi musafir dalam perjalanan yang panjang. Tidak pernah ada riwayat yang Junjungan shallaAllahu `alaihi wa sallam menjamakkan sembahyang (ketika bermusafir) melainkan dalam safar yang panjang. Inilah wajah yang dinashkan sendiri oleh Imam asy-Syafie dalam al-Umm dan inilah qawl yang shahih (maka wajah / qawl yang pertama tadi adalah dhaif). Jamaknya penduduk Mekah tadi adalah kerana adanya keuzuran disebabkan nusuk (perlaksanaan ibadah haji atau dalam naskhah kitab Kifaayatun Nabiih Nombor 229 Manuskrip Fiqh Syafie yang tersimpan di Darul Kutub al-Mishriyyah ianya adalah disebabkan banjir).
Ada ustaz yang mendakwa bermazhab Syafie, telah menyatakan bahawa untuk menjamakkan sembahyang tidak disyaratkan safarnya mesti 2 marhalah atau lebih (safar panjang). Beliau menyatakan inilah pendapat yang kuat dalam mazhab Syafie dengan alasan dalam senarai syarat - syarat jamak tidak pun disebut syaratnya mesti safar yang panjangnya 2 marhalah atau lebih, Beliau menyatakan lagi bahawa syarat 2 marhalah itu hanya untuk membolehkan qashar sembahyang sahaja. Ini adalah pendapat yang salah kerana dalam mazhab kita syarat jamak bagi musafir itu adalah seperti syarat mengqasarkan shalat baginya dengan tambahan beberapa syarat lain untuk jamak secara taqdim dan jamak secara takhir. Maka mengaji syarat jamak bagi musafir hendaklah dimulai dengan mengaji terlebih dahulu syarat qashar. Janganlah hanya melihat syarat - syarat jamak sahaja tanpa melihat kepada syarat - syarat qashar. Inilah yang disebut dalam kitab - kitab kita, contohnya seperti dinyatakan oleh Imam Yusuf ar-Ardabili rahimahullah dalam al-Anwaar li A'maalil Abraar, juz 1, halaman 135, yang menyatakan: ......Fasal. Diharuskan menjamak antara dua shalat siang (yakni Zohor dan Asar) dan dua shalat malam (Maghrib dan Isyak) secara taqdim dan takhir pada safar yang menghimpunkan segala syarat yang terdahulu sebutannya (yakni segala syarat yang telah disenaraikan dalam fasal sebelumnya yang menerangkan syarat - syarat bagi mengqasharkan sembahyang)..... Jika mengaji hukum jamak ketika musafir tanpa merujuk juga kepada hukum qashar adalah cara ngaji yang salah, menatijahkan salah pemahaman sehingga menyatakan bahawa tidak disyaratkan safar yang panjang bagi menjamakkan shalat kerana tidak disebut dalam syarat - syarat jamak. Lebih parah, akibat salah pemahaman tersebut, si ustaz mem"fatwa"kan bahawa seseorang boleh menjamakkan sembahyangnya dalam safar yang pendek, walaupun hanya sekitar 25 kilometer seperti orang yang tinggal di Kota Damansara dan bekerja di Kuala Lumpur boleh menjamakkan sembahyangnya setiap hari kerana mukimnya lain - lain .... Allahu ...Allah, faqir doakan semoga si ustaz dapat review balik ajarannya sehingga menepati ketentuan hukum sebenar dalam mazhab Syafie.
Untuk pengukuhan, dalam teks kitab - kitab fiqh Syafie, dengan jelas ditulis bahawa musafir yang safarnya mengharuskan qashar itulah juga yang diharuskan menjamakkan shalatnya, yakni jika safarnya mengharuskan dia mengqasharkan shalat maka dia juga harus menjamakkannya. Jadi jarak bagi mengharuskan jamak adalah sama dengan jarak safar yang mengharuskan qashar. Syaikh Nik Mat Kecil rahimahullah dalam Mathla`ul Badrain pada halaman 43, menjelaskan sebagai berikut:- (Dan harus) bagi orang yang musafir yang harus qasharnya, ia jamakkan sembahyang Zohor dengan Asar dan Maghrib dengan Isyak, jamak taqdim atau jamak takhir ..... Kan jelas disebut bahawa jika safar itu mengharuskan qashar maka haruslah jamak. Jika safar tersebut tidak mengharuskan qasar, maka jamak juga tidak diharuskan, as plain and simple as that.
Juga dalam sesetengah karangan, disebutkan dengan jelas bahawa safar yang panjang adalah syarat bagi membolehkan qashar dan jamak. Contohnya apa yang disebut oleh Sidi Abu Bakar Syatha al-Bakri ad-Dimyathi dalam `I`aanatuth Thaalibiin, juz 2, halaman 98 yang menyatakan sebagai berikut: ...(Kata muallif, safar yang panjang) ini adalah satu syarat daripada syarat - syarat bagi qashar dan jamak, iaitu 48 batu (mile) Hasyimiyyah (yakni 2 marhalah)...... Oleh itu, jelaslah bahawa safar yang panjang adalah syarat bagi mengharuskan jamak kerana safar.
Dalam kitab Bughyatul Mustarsyidin, halaman 122, sebagaimana Raudhah, dijelaskan sebagai berikut:- (Faedah) Rukhsah (keringanan) yang bergantung dengan safar itu ada 11, empat daripadanya adalah tertentu bagi safar yang panjang (yakni 2 marhalah ke atas), iaitu (i) qashar (ii) jamak (iii) fithr (yakni berbuka puasa sebelum waktunya) dan (iv) menyapu khuf (yakni bagi musafir harus menyapu khufnya selama 3 hari 3 malam berbanding orang mukim yang hanya dibenarkan sehari semalam sahaja). Maka jelas bahawa syarat membolehkan seorang musafir untuk menjamakkan shalat adalah safarnya panjang (safar thawil). Inilah yang muktamad dalam mazhab kita.
Sungguhpun demikian, ada juga di kalangan ulama kita yang memilih qawl atau pendapat yang dhaif sebagaimana disebut dalam Bughyah. Pada halaman 127, dinyatakan: - (Faedah) di sisi kita (yakni ulama Syafi`iyyah) ada satu qawl yang mengharuskan jamak dalam safar yang pendek (safar qashir) dipilih oleh al-Bandaniji...... Walaupun secara zahir dalam Bughyah disebutkan sebagai qawl, apa yang dimaksudkan adalah qil yakni qawl dhaif yang menjadi pilihan atau qawl mukhtar bagi Imam al-Bandaniji rahimahullah. Ketahuilah bahawa kedudukan qawl mukhtar dalam mazhab tetap atas kedhaifannya yakni qil atau pendapat lemah walaupun ianya menjadi pilihan pribadi seseorang ulama mazhab kita. Oleh itu beranggapan bahawa qawl mukhtar al-Bandaniji sebagai qawl yang kuat dalam mazhab adalah satu kesilapan. Hal ini penting untuk diperingatkan kerana ada sebahagian yang terkeliru dengan gelaran qawl mukhtar yakni qawl pilihan sehingga beranggapan itulah al-mazhab (yakni qawl yang dimuktamadkan dalam mazhab). Fahamkanlah wahai saudara. Samada seseorang boleh beramal dengan qawl mukhtar ini, maka ianya isu lain yang ada perinciannya. Namun menyatakan ianya sebagai qawl yang kuat dalam mazhab atau memutlakkan pengamalannya adalah salah dan tidak wajar. Jangankan ikhtiyarat Imam Bandaniji rahimahullah, ikhtiyarat Imam Nawawi rahimahullah pun dianggap qil (qawl lemah) di sisi mazhab.
Untuk penutup, faqir kongsikan pengenalan ringkas bagi sosok al-Bandaniji yang disebut dalam Bughyah. Beliau adalah Imam al-Qadhi Abu `Ali, al-Hasan bin `Abdullah @ Ubaidillah bin Yahya al-Bandaniji. Imam Tajuddin as-Subki rahimahullah dalam Thabaqaatusy Syaafi`iyyah al-Kubra, juz ke-4, halaman 305, menyatakan:- ... Beliau adalah al-Qadhi Abu Ali al-Bandaniji, pengarang kitab adz-Dzakhirah, seorang pemuka ulama yang mendampingi (menjadi teman dan murid) asy-Syaikh Abu Hamid (al-Isfarayini), di mana al-Bandaniji menulis satu kitab komentar atas karya asy-Syaikh Abu Hamid yang dinamakan at-Taliiqah ( atau al-Jaami` dalam 4 jilid) yang masyhur. Beliau adalah seorang faqih yang agung, amat berkemampuan untuk membahas sebarang kemusykilan, seorang shalih lagi warak. Syaikh Abu Ishaq berkata bahawa: "Beliau adalah penjaga / pembela / pengukuh bagi mazhab". Imam al-Khatib pula menyatakan bahawa: "Beliau mempunyai halaqah ilmu di Jami` al-Manshur untuk berfatwa, seorang yang shalih, kukuh pegangan agama dan warak". Aku mendengar Syaikh Abdul Karim bin `Ali al-Qashri berkata: "Aku tidak melihat pada seseorang yang mendampingi (menjadi murid) Syaikh Abu Hamid yang lebih kuat agamanya daripada Abu Ali al-Bandaniji". Imam al-Khatib berkata: "Di akhir usianya beliau kembali ke al-Bandanijin @ Bandanij lalu wafat di sana pada bulan Jamadil Awwal tahun 425H. Mudah - mudahan Allah mencucurkan hujan rahmat yang berkekalan atas beliau.
Sebagai pemungkas, faqir datangkan perkataan Syaikh Abdul Hamid asy-Syarwani rahimahullah dalam hasyiah beliau atas Tuhfah, juz 2, halaman 394, yang menyatakan bahawa sebagaimana seseorang ditegah menjamakkan sembahyang Maghrib dengan Asar, dan sembahyang Isyak dengan Subuh, maka dia juga ditegah daripada menjamakkan sembahyang ketika dalam negeri (yakni tidak berpergian), dalam safar yang pendek walaupun bagi penduduk Mekah (yakni dalam rangka mereka melaksanakan manasik haji) dan dalam safar yang maksiat, sebagaimana yang tersebut dalam Nihayah dan Mughni. Oleh itu, hendaklah kita berhati - hati dalam urusan sembahyang yang menjadi rukun Islam terpenting selepas syahadatain. Janganlah bermudah - mudah mengambil rukhsah, takut - takut akhirnya susah dan jadi musibah, yang sesalannya tak berkesudah. Apa - apa pun, segala puji bagi Allah yang telah menjadikan dalam ikhtilaf itu ada rahmat dan dalam setiap kepayahan itu ada kemudahan. Mudah - mudahan Allah mengganjari para ulama kita dengan sebaik - baik ganjaran. Dan tetaplah kita atas ilmu dan amanah.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan