Isnin, Januari 31, 2022

Gila Tiada Ubat - Tok Kenali

Terjumpa klip Ustaz Azhar, sebelum hilang elok simpan kat sini. Ustaz Azhar nukil kalam almarhum Tok Kenali yang memuji ketinggian ilmu guru beliau, Tok Syaikh Wan Ahmad Fathani rahimahullah. Dinukilkan bahawa Tok Kenali berkata: "Zaman aku ni, siapa yang mengaku ilmunya setaraf dengan Syaikh Ahmad Fathani, orang itu sudah gila tidak boleh berubat lagi." 

Allahu...Allah, mudah - mudahan kita semua diselamatkan dari segala jenis gila, yang kata orang tua - tua dahulu: "Ada 40 perkara gila" berdasarkan kalam hukama': "junun funun" (gila itu macam - macam). 


Selasa, Januari 25, 2022

Berkat Syaikh Samman

Wali yang mempunyai pengaruh dan kesan langsung kepada kita umat Nusantara kerana beberapa ulama Nusantara bersambung terus tali temali sanad keilmuan dan tarbiyyyah ruhiyyah mereka dengan ulama dan wali besar ini. Dalam entri ini faqir hanya nak share dan simpan qasidah yang dikatakan sebagai karya pimpinan Majelis Nurul Musthofa, Habib Hasan as-Seggaf. Mudah - mudahan rahmat Allah sentiasa dicucurkan ke atas Sayyidi Syaikh Muhammad bin `Abdul Karim as-Samman al-Madani dan keberkatannya melimpah ke kita sekalian sehingga ke anak cucu.

Ahad, Januari 16, 2022

Tawassul Syaikh Samman

Syaikh Muhammad bin `Abdul Karim as-Samman al-Madani (w.  1190H / 1776M) qaddasaAllahu sirrahul `aziz, adalah ulama dan wali yang besar pengaruhnya kepada perkembangan ilmu dan dakwah di Dunia Melayu. Apakan tidak, ramai daripada kalangan ulama - ulama rantau ini adalah murid langsung kepada beliau. Mereka - mereka ini bukan setakat "jadi murid" bahkan menjadi "murid jadi", antaranya adalah hasil didikan dan tarbiyyah Sidi Syaikh Samman al-Madani. Nampaknya kita sahajalah yang "jadi murid" pun tak jadi - jadi, Allahul Muwaffiq. Apa - apa pun yang penting jangan sampai jadi "murid jadi-jadian". Maka di antara murid Sayyidi Syaikh Samman yang terkenal di rantau Melayu adalah tiga serangkai kebanggaan dunia Melayu, Mawlana Syaikh Daud al-Fathani, Syaikh Arsyad al-Banjari dan Syaikh Abdus Shamad al-Falimbani ridhwanullahi `alaihim ajma`in

Di antara karangan Sidi Syaikh Samman radhiyaAllahu `anhu yang masih terpelihara dan dibaca orang adalah untaian - untaian berisikan munajat kepada Allah dengan bertawassul dengan Junjungan Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam dan para awliya`. Rupa - rupanya amalan bertawassul ini adalah amalan para awliya` yang `alim `allaamah lagi `arif. Maka tak masuk dek akal, jika ada yang berani mensyirikkannya membabibuta. Tawassul Syaikh Samman ini menjadi amalan para murid beliau yang ramainya menjadi ulama dan wali serta diperturunkan mereka kepada kita samada secara lisan maupun tulisan. Mawlana Syaikh Daud rahimahullah, misalnya, memuatkan tawassul ini dalam Kaifiyyat Khatam al-Quran pada halaman 196 - 204, manakala Syaikh Abdus Shamad Palembang rahimahullah memuatkannya dalam al-`Urwatul Wutsqa. Sehingga ke hari ini, Tawassul Syaikh Samman ini masih diamalkan dan dibaca terutama oleh para pengamal Thariqat Sammaniyyah, juga oleh pencinta para awliya` dari kalangan awam. Mudah - mudahan Allah menghidupkan hati kita dengan kasihkan para pewaris para nabi yang sebenar dan melimpahkan keberkatan mereka dalam kehidupan kita di dunia dan akhirat nanti. 

Tawassul Syaikh Samman oleh Guru Ijai

Selasa, Januari 11, 2022

Qadha` Umur

Manusia ini berbagai ragamnya, bukan semua mendewasa dalam melaksanakan amalan - amalan yang difardhukan ke atasnya. Ramai yang beramal hanya setelah kelewatan dewasa, bahkan tidak kurang yang hanya menekuni tiang agamanya, shalat fardhu 5 waktu, di usia senja. Allahu ... Allah, maka bayangkanlah jika setelah berusia 55 tahun, barulah mengenal sejadah. Maka sudah tentu banyak shalat - shalat fardhu yang telah ditinggalkan. Namun, syukur 1000 kali syukur, masih diberikan taufik untuk kembali mentaatiNya. Lalu bertaubatlah dia dengan sebenar - benar taubat. Menurut jumhur ulama dalam mazhab yang empat bahawa di antara syarat taubatnya tadi, hendaklah segala shalat fardhu yang ditinggalkannya itu mesti dan wajib diqadha`. Jika pun ada seorang dua ulama yang berpendapat sebaliknya, maka itu hanya pandangan pribadi yang tidak mencerminkan suara majoriti ulama. Pandangan yang kuat dan lebih ihtiyath untuk ditaklid adalah pendapat jumhur ulama tersebut. 

Di sini faqir ingin berkongsi tentang satu kaifiat atau kaedah untuk mengqadha` shalat fardhu tersebut sebagaimana diajar oleh sebahagian ulama dan tok - tok guru. Sebelum itu, hendaklah diketahui bahawa pendapat yang dianggap sebagai pendapat mazhab oleh ulama Syafi`iyyah adalah segala shalat fardhu yang ditinggalkan dengan sengaja hendaklah diqadha dengan segera (`alal faur), tidak boleh bertangguh - tangguh, penangguhan tanpa uzur dianggap sebagai satu dosa lagi. Bahkan menurut qawl ashah,  seseorang yang mempunyai shalat qadha seperti itu (yakni qadha shalat fardhu yang ditinggalkan tanpa uzur) tidak dibenarkan atau diharamkan dari menggunakan masanya yang luang untuk melakukan amalan - amalan lain yang tidak wajib, hatta amalan - amalan sunnatseperti shalat - shalat sunnat yang muakkad sekalipun, selagimana dia masih menanggung hutang qadha`nya. Maka, hendaklah segala masanya tersebut digunakan untuk mengqadha` shalat - shalat yang telah ditinggalkannya dengan sengaja. Jika dia mendirikan shalat sunnat sedangkan masih menanggung qadha`, shalat sunnatnya sah namun dia berdosa kerana dengan mendirikan shalat sunnat itu dia dianggap telah melambatkan qadha` shalat yang wajib disegerakan. Akan tetapi, menurut Imam az-Zarkasyi rahimahullah, shalat sunnat yang dia dirikan dalam keadaan tersebut tidak sah. Pendapat Imam az-Zarkasyi adalah qawl muqabil ashah, sedangkan qawl ashah adalah sebagaimana terdahulu. Perkara ini dapat kita lihat dalam kitab - kitab ulama kita, antaranya Tuhfatul Muhtaj karangan Imam Ibnu Hajar, Nihayatul Muhtaj karya Imam Ramli dan sebagainya. Faqir tidak berhasrat untuk memanjangkan kalam dalam perkara ini dahulu.

Jika sekadar satu dua shalat yang ditinggalkan dengan sengaja, maka tidaklah menjadi kepayahan untuk bersegera mengqadhanya. Namun, jika sudah bertan - tan yang ditinggalkan, pening juga memikirkannya (pening di sini elok, tanda masih ada iman dalam hati). Bayangkanlah jika setelah lanjut usianya, baru timbul kesedaran bahawa dunia yang dikejar - kejar sebelum ini tidak kekal, kubur sudah dekat di hadapan, peti amalan hanya dipenuhi habuk. Maka, peninglah kepala dia memikirkannya, hutang shalat bertimbun. Kalau ikut qawl ashah - wajib qadha` dengan segera -, patahlah pinggang mengqadha`kan shalat yang ditinggal dengan sengaja, manakan tidak, segala masa yang terluang tidak boleh digunakan untuk melakukan perkara selain mengqadha` shalat yang dahulunya senang - senang ditinggalkan. Dulu senang - senang meninggalkan shalat, maka sekarang rasakan kepayahannya menanggung qadha... Allahu ... Allah. Kuat sangat berhutang, pandai - pandailah bayar sekarang.

Melihat kepada keadaan manusia - manusia yang sememang tulus dalam keinsafannya, namun kerana kedhaifan dirinya, kepalanya serabut memikirkan hutang shalat yang berkoyan, maka sebilangan ulama kita, antaranya Imam al-Haddad memfatwakan bahawa seseorang boleh mengqadhakan shalatnya, samada shalat yang dahulunya ditinggal dengan sengaja tanpa uzur syarie maupun yang ditinggalkan dengan uzur, secara sedikit - sedikit atau beransur - ansur atau santai aja (`alat tarakhi), asalkan jangan sampai meremehkan atau mengabaikan mengqadha`nya. Hal ini boleh dilihat dalam kitab Bughyatul Mustarsyidin karangan Habib Abdur Rahman al-Masyhur. Pada halaman 36, dinyatakan sebagai berikut:- 
Daripada kalam al-Habib al-Quthub `Abdullah al-Haddad: "Wajib atas orang yang bertaubat untuk mengqadha` apa - apa kewajipan yang ditinggalkannya seperti shalat, puasa dan zakat. Tidak dapat tidak, dia mesti mengqadha`nya dan yang sedemikian itu (yakni qadha`nya) dilakukan secara tarakhi (beransur - ansur atau santai) mengikut kemampuan, tanpa menimbulkan kepayahan yang menyempitkan dada dan tidak juga sampai meringan - ringankannya (yakni sampai mengabaikan kewajipan mengqadha`."
Ketika kecil, faqir pernah mendengar tok - tok guru dan orang - orang tua di tempat faqir menyebut tentang qadha` umur. Almarhumah ibu faqir juga kerap menyebutkan hal ini, mudah - mudahan Allah memberikan beliau dan mereka sebaik - baik ganjaran dan menjadikannya sebagai amal jariah mereka.  Yang dimaksudkan dengan qadha` umur adalah seseorang yang banyak meninggalkan shalat fardhu hendaklah dia melakukan qadha` shalat fardhu yang telah ditinggalkannya bersama dengan shalat tunai (shalat ada`) yang dilakukan pada waktunya. Yakni dia mengqadha`kan sembahyang yang ditinggalkan dahulu sebelum atau selepas dia menunaikan sembahyang tunai waktu tersebut. Contoh, ketika dia shalat fardhu Subuh, maka sebelum atau selepas Shalat Subuh yang tunai, hendaklah dia qadha` Shalat Subuh yang ditinggalkannya dahulu. Bila masuk waktu Zohor, dia shalat qadha` Zohor dahulu kemudian dia shalat Zohor tunai dan begitulah seterusnya. Ini dia amalkan pada setiap waktu shalat sehingga selesai segala shalat yang ditinggalkan itu diqadha` atau sehingga maut menjemputnya. Jadi pendeknya, dalam setiap waktu shalat dia menunaikan 2 kali shalat, satu shalat tunai untuk melepaskan kefardhuan shalat waktu tersebut dan satu lagi shalat qadha` untuk membayar hutang shalat yang ditinggalkannya dahulu. Jadi dapatlah dia pada sehari semalam mengqadha 5 waktu yang pernah ditinggalkannya dahulu. Dinamakan qadha umur kerana seumur - umur hidup meninggalkan shalat, hanya bila dah nak habis umur baru insaf dan sedar nak mengqadhanya. Maka segala umur yang dihabisinya dahulu tanpa shalat dianggap sia-sia sehingga seolah - olah umur tersebut yang diqadha`. Bak kata nasyid yang masyhur: Walaupun hidup 1000 tahun, kalau tak sembahyang apa gunanya .... Allahu...Allah.... nasib baik sempat diberi taufik dan hidayah.

Kaifiat mengqadha` shalat seperti ini, ada asalnya daripada alim ulama. Setakat periksa faqir yang dhaif, antara yang menyebutkan sedemikian adalah almarhum Afdalul Ulama Syaikh Dr. Thaika Shu`aib Alim dalam karangan beliau al-Munjiyath pada halaman 163 - 164. Beliau menulis sebagai berikut:- 
If you are guilty of not having performed the Fard worship ( -thozhugai-) and fasting of the month of Ramadan, you must complete the omitted worship / fasting by praying / fasting for the omitted period. For instance, if you have not performed the luhr (zohor) worship for certain number of days, every day you must finish it first as qada before offering the luhr worship of the day concerned. Similarly, other qada worship also must be performed first before you start offering the regular (ada) worship for the waqt. Such a method will give you the benefit of offering the sunnat worship of the day also,  even though you do not offer the sunnat worship. No sunnat worship is permitted when there is any qada of Fard worship. Further, on the basis of the Holy Quran (vide aayat 29:69), the sufis say that a person who adopts the practice of completing the qada worship in the manner explained above will not die before he finishes all the qada worship.
Allahu ... Allah, mudah - mudahan apa yang disebut Syaikh Thaika Shu`aib dibenarkan Allah sehingga sempat semua hutang shalat dilangsaikan sebelum mati. Selanjutnya, setelah faqir periksa lagi sekadar mampu, ternyata amalan qadha` umur ini mempunyai nash, walaupun dhaif. Imam Ibnu Rajab al-Hanbali rahimahullah menukilkan dalam syarah beliau bagi Shahih al-Bukhari yang juga jodolnya Fathul Baari, jilid 3 pada halaman 352, menukil sebagai berikut:-
Telah dikatakan sebagai diriwayat daripada Samurah bin Jundub yang berkata: "Sesiapa yang ada dalam tanggungannya sembahyang - sembahyang yang luput (yakni sembahyang fardhu yang luput kerana tidak ditunaikannya dahulu), hendaklah dia sembahyang bersama setiap sembahyang waktu, satu sembahyang lagi," (yakni dia menunaikan shalat fardhu ada` dalam waktunya dan satu lagi shalat sebagai qadha` shalat fardhu yang ditinggalkan dahulu). Ini diriwayatkan daripada beliau secara marfu`. Diriwayatkan oleh al-Bazzar dengan sanad yang dhaif. Dan ulama Syafie mempunyai dua wajah (qawl) mengenai kewajipan bersegera mengqadhakan sembahyang fardhu yang ditinggalkan tanpa uzur.
Sekadar tambahan, seingat faqir, dua wajah yang disebut oleh Ibnu Rajab itu adalah dua qawl yang ada dalam mazhab kita, iaitu: (i) wajib bersegera mengqadha` sembahyang yang ditinggalkan tanpa uzur (`alal faur) menurut para ulama Syafie jalur Khurasan, dan (ii) tidak wajib yang sedemikian itu, hanya sunnat bersegera menurut ulama Syafie jalur Iraq. Maka daripada dua wajah ini yang dianggap sebagai qawl shahih yang menjadi pegangan mazhab dan yang dipilih oleh kebanyakan ulama Syafie, bahkan menurut Imam Haramain telah diittifaq oleh para ulama kita adalah wajah atau qawl yang pertama tadi, iaitu wajah daripada jalur Khurasan yang menyatakan bahawa shalat yang ditinggalkan dengan sengaja, tanpa sebarang uzur syarie, wajib diqadha`  dengan segera.

Begitulah sekelumit tentang qadha` dan qadha` umur. Walau apa pun, bagi sesiapa yang mampu dan tidak menjadi kudis baginya, eloklah diamalkan qawl terkuat dalam mazhab kita, iaitu wajib bersegera dan wajib menggunakan segala masa yang lapang untuk mengqadha` segala sembahyang yang pernah ditinggalkan dengan sengaja. Tidak perlu menyibukkan diri dengan shalat - shalat sunnat dahulu. 10000000000000 shalat sunnat pun tidak akan dapat menjadi ganti 1 shalat fardhu. Shalat sunnat itu tetap atas hukum sunatnya, sedangkan shalat qadha itu hukumnya wajib dan bukannya sunat. Maka utamakan yang wajib berbanding yang sunat. Dan ingat juga bahawa semata - mata mengqadha`kan shalat tanpa disertai bertaubat daripada dosa meninggalkan shalat juga tidak memadai untuk melepaskan dirinya daripada dosa tersebut. Allah akan mengampunkan dosanya dengan syarat dia bertaubat dengan sebenar - benar taubat (taubatan nasuha). Di antara syarat serta tanda atas benarnya taubat tersebut adalah dia mengqadha`kan segala kewajipan yang telah diabaikannya dahulu. Maka jika sudah sedemikian lakunya, berserahlah kepada Allah kerana pengampunan itu mutlak bagi Allah menurut kehendakNya, kewajipan atas kita adalah taubat memohon keampunanNya. Mudah - mudahan dimatikanNya kita atas taubat nasuha sehingga kita diangkat menjadi kekasihNya kerana Dia amat mengasihi hamba - hambaNya yang bertaubat.
************************
Gus Baha Bicara Qadha Shalat


Khamis, Januari 06, 2022

Shalawat "Ibnu `Abbas" ?

Imam al-Hafiz as-Sakhawi rahimahullah pada halaman 401 - 402 kitab al-Qawlul Badii` menukilkan sebuah riwayat marfu` daripada Sayyidina Ibnu `Abbas radhiyaAllahu `anhuma. Dalam riwayat tersebut dinyatakan sebagai berikut: Sesiapa yang membaca pada malam Jumaat 10 kali ulang: "Ya Daa-imal Fadhli `alal bariyyah, Ya Baasithal Yadayni bil `athiyyah, Ya Shaahibal Mawaahibis saniyyah, shalli `ala Muhammadin Khairil Waraa bis sajiyyah, wagh firlanaa, Ya Dzal `Ulaa fi hadzihil `asyiyah", nescaya Allah `azza wa jalla akan mencatat baginya 100,000,000 kebajikan, menghapus daripadanya 100,000,000 kesalahan dan mengangkat baginya 100,000,000 darjat. Ketika pada hari Kiamat (di Mahsyar) dia akan berdamping dengan Nabi Ibrahim al-Khalil di kubah baginda. Begitulah hebatnya ganjaran yang dijanjikan, namun sayang sekali kerana menurut Imam as-Sakhawi hadis yang diriwayatkan oleh Imam Abu Musa al-Madini ini adalah makdzub (dusta). Imam Ibnu Hajar al-Haitami telah menukilkan riwayat ini dalam Durrul Mandhud pada halaman 217 dan menyatakan bahawa riwayatnya makdzub. Samada ada jalur - jalur lain untuk hadis ini, maka faqir kurang periksa.

Katakanlah ulama sepakat dengan penilaian bahawa riwayat tersebut dusta, namun tidak bererti ungkapan yang indah itu atau shighah shalawat tersebut mesti ditolak dan haram untuk dibaca atau diamalkan. Selagimana sesuatu lafaz itu tidak menyalahi akidah dan ajaran Islam, maka tidaklah menjadi masalah untuk dibaca atau diamalkan, dengan syarat jangan disabitkan atau disandarkan kepada Junjungan Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam sebagai satu sabdaan baginda. Maka dari itu, sebahagian ulama menganggap baik dan elok susunan ungkapan yang ada dalam riwayat tersebut dan mereka menjadikannya sebagai amalan mereka. Syaikh Yusuf bin Ismail an-Nabhani rahimahullah telah memuatkannya dalam Sa`aadatud Daarain pada halaman 246 - 246, iaitu Shalawat ke-13, Shalawat `Abdullah ibn `Abbas radhiyaAllahu `anhuma. Syaikh Yusuf tidak menukilkan segala kelebihan membaca shalawat tersebut 10 kali pada malam Jumaat sebagaimana dalam riwayat yang makdzub tadi. Beliau hanya memuatkan shighah shalawat tersebut sahaja dan menyatakan bahawa ianya diriwayatkan oleh Abu Musa al-Madini daripada Ibnu `Abbas radhiyaAllahu `anhuma.

Di Nusantara, tidak kurang ramainya tok - tok guru dan ustaz - ustaz yang mengamalkan shalawat ini sebagai wirid mereka, samada harian atau mingguan. Mereka juga memperturunkan amalan ini kepada murid - murid mereka dan juga kepada masyarakat awam. KH Ahmad Qusyairi bin Shiddiq rahimahullah telah menjadikan shighah Shalawat "Ibnu Abbas" ini sebagai shalawat terakhir dan sebagai penutup bagi 80 shalawat yang beliau himpun dalam kitab wirid shalawat beliau yang berjodol al-Waasilatur Harriyyah yang masyhur di kalangan para kiyai dan santri. Bahkan ramai yang mewiridkannya sebagai wirid shalawat tambahan sebagai pelengkap kepada Dalailul Khairat.

KH Husein Qadri rahimahullah pula memuatkan shalawat ini di awal kitab beliau Senjata Mukmin iaitu pada halaman 3 penerangan mengenai Hizibun Nashri wal Fathi, di mana jika pada malam Jumaat pembacaan hizib ini dimulakan dengan membaca 7 jenis shalawat dan shalawat yang pertama adalah Shalawat "Ibnu `Abbas" yang dibaca 10 kali. Lain pula halnya dengan Habib `Idrus bin `Abdullah al-Habsyi Muar Johor rahimahullah. Beliau meletakkan shalawat ini, dengan sedikit perbezaan kalimah, di hujung Ratibul Haddad sebagai zikir tambahan untuk dibaca 10 kali pada malam Jumaat. Ini beliau catat pada halaman 22 risalah beliau yang berjodol al-Fawaaidul Abadiyyah, yang mana risalah ini telah disemak dan ditashih oleh al-`Allaamah al-Fadhil Tuan Haji Hasan, Mufti Melaka dan diterjemah oleh al-Fadhil Tuan Syaikh `Abdullah BaSmeih.

Akhirul kalam, KH Fathullah Harun rahimahullah  menukil shalawat ini dalam risalah asas karangan beliau yang berjodol Panduan Ibadah Fardhu `Ain yang faqir pelajari sejak dini. Pada halaman 46, beliau rahimahullah menulis sebagai berikut:- Satu lagi shalawat yang sangat besar faedahnya jika dibaca pada tiap - tiap petang atau malam, teristimewa pada tiap - tiap malam Jumaat sepuluh kali: "Allahumma Ya Daa-imal Fadhli `alal bariyyah, Ya Baasithal Yadayni bil `athiyyah, Ya Shaahibal Mawaahibis saniyyah, shalli `ala Sayyidina Muhammadin Khairil Waraa bis sajiyyah, wagh firlanaa, Ya Dzal `Ulaa fi haadzihil `asyiyah", ertinya: "Ya Allah, Ya Tuhan yang berkekalan limpah kurnianya atas sekalian makhluk; Ya Tuhan yang sentiasa terbuka luas kurniaNya dengan pemberian; Ya Tuhan yang mempunyai pengurniaan - pengurniaan yang maha tinggi; Limpahkanlah rahmat ke atas penghulu kami Nabi Muhammad, sebaik - baik makhluk dengan sebab keluhuran perangainya; Dan ampunilah dosa kami pada petang ini, Wahai Tuhan yang mempunyai ketinggian."

Oleh itu sesiapa yang mahu mengamalkannya tidaklah menjadi kesalahan. Tapi janganlah disandarkan kepada Junjungan Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam samada pada shighah atau fadhilahnya. Fadhilahnya itu biarlah dijadikan harapan kita semata, umpama diqasad maupun dikata:-
Mudah - Mudahan Ya Allah
Berkat lafaz shalawat ini
Diganjari hamba pahala berjuta - juta
Dihapuskan segala dosa hamba
Kecil dan besar, beketi belaksa
Diangkatkan hamba darjat ketinggian
Dianugerahkan hamba tempat berlindung
Di Padang Mahsyar
Bawah kubah Khalilur Rahman
Bersama baginda melangkah ke syurga
Aamiin .... aamiin.

Semoga ikhlas dan bermanfaat. Perjalanannya bakal panjang, bekalannya sedikit, lalu bagaimana harus ditempuhi. Hanya dengan taufiq, inayah dan rahmatNya jualah.

Isnin, Januari 03, 2022

Zikir Imam Ghazali - Ubat Hati

Amalan zikir harian dalam jumlah 1000 kali dengan lafaz zikir yang tertentu mengikut hari dalam seminggu telah lama diamalkan oleh ramai umat Islam. Amalan ini dinisbahkan kepada Imam Hujjatul Islam al-Ghazali radhiyaAllahu `anhu. Di antara yang menyebarkan amalan ini dalam masyarakat dan memuatkannya dalam karya adalah Kiyai Agung Hadhratusy Syaikh Muhammad bin `Abdullah as-Suhaimi qaddasaAllahu sirrahul `aziz. Beliau menulis sebuah risalah dengan jodol al-Futuuhatul Ilahiyyah fi bayaani kaifiyyah ath-Thariqati al-Ghazaliyyah. Pada halaman 5 risalah tersebut beliau menukilkan sebagai berikut:- Telah berkata Sayyidina wa Mawlana, asy-Syaikh, al-Imam, Hujjatul Islam wal Muslimin, Muhammad bin Muhammad bin Muhammad al-Ghazali radhiyaAllahu `anhu: "Tidak terhasil atasku futuh dan tidak juga keberkatan melainkan dengan wirid - wirid ini..." Kiyai Agung meneruskan risalah tersebut dengan menyatakan wirid - wirid tersebut mengikut harinya dalam seminggu dengan diberikan syarah yang ringkas mengenai zikir - zikir tersebut dan kelebihannya. Beliau juga menerangkan kaedah dan kaifiat mengamalkan zikir - zikir tersebut beserta dengan segala fawatihnya yang dikhususkan kepada Syaikh Muhammad Ismail bin Muhammad Salim, Syaikh Ahmad ad-Dairabi dan Imam Hujjatul Islam al-Ghazali. Namun apa yang faqir dapatkan daripada zuriat keturunan beliau, amalan Zikir Harian Imam Ghazali ini adalah amalan tambahan yang diajar oleh Kiyai Agung, di mana ianya boleh diamalkan menurut kemampuan seseorang tanpa terikat kepada kaifiat atau kaedah tertentu, yang penting setiap zikir harian itu dibaca sehingga cukup 1000 kali, samada di atas tikar sembahyang atau ketika menjalankan apa - apa urusan harian.

Selanjutnya, ulama Banjar KH Husein Qadri rahimahullah, juga memuatkan dalam tulisan beliau yang menghimpunkan beberapa doa, wirid dan zikir dengan jodol Senjata Mukmin. Pada halaman 138 karya tersebut ada dinyatakan sebagai berikut: Telah berkata Imam Ghazali: "Tidak hasil bagiku terbuka segala kebahagiaan dan keberkatan melainkan dengan mengamalkan segala wirid ini ...(disenaraikan segala wirid harian tersebut)"...

KH Anwar Musaddad rahimahullah juga kerap mengajar dan mengijazahkan amalan Zikir Harian Imam Ghazali ini kepada masyarakat umum. Ini juga beliau lakukan melalui lisan dan tulisan. Bahkan Risalah al-Barakaatyang menghimpunkan beberapa zikir dan doa yang beliau ijazahkan, beliau mulakan dengan mengutarakan amalan Hujjatul Islam Abu Hamid al-Ghazali rahimahullah ini. Dalam ijazah KH Anwar Musaddad dinyatakan bahawa bagi zikir tahlil pada hari Sabtu, pada setiap 100 kali ucapan tahlil ditambah pula dengan kalimah Muhammadur Rasulullah sekali. Ini adalah antara ulama yang menganjur dan menyebarkan amalan zikir ini di rantau Dunia Melayu. Faqir sesungguhnya percaya bahawa pasti ramai lagi ulama, tuan - tuan guru dan ustaz ustazah yang telah menyebar, mengajar dan menganjurkan amalan wirid harian Imam Ghazali ini. Mudah - mudahan diberikan Allah kepada mereka sekaliannya ganjaran yang besar atas khidmat mereka tersebut.

Sebagai penutup, faqir kongsikan klip ceramah yang pernah "top" satu ketika dahulu dengan jodol Ubat Hati yang disampaikan oleh almarhum Ustaz Ghazali Hasbullah. Dalam bahagian ceramahnya ini beliau menerangkan serba sedikit mengenai zikir - zikir harian Imam Ghazali ini sebagai ubat bagi hati yang kotor atau berpenyakit. Oleh itu, elok dan molek benar jika lidah - lidah kita yang kerap nganggur sepanjang hari digerakkan untuk mengamalkan zikir Imam Ghazali yang berkat ini. Marilah kita jadikan azam tahun baru ini untuk membersihkan hati kita daripada segala kekotoran, kekaratan dan penyakit. Mudah - mudahan sebelum mati menemui kita, hati kita telah dibersihkan Allah dan dijadikannya qalbun salim - hati yang selamat sihat sejahtera daripada segala kekotoran dan penyakit....Allahumma aamiin.