Memaparkan catatan dengan label Manaqib. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Manaqib. Papar semua catatan

Sabtu, Mei 03, 2025

Faedah Daripada Imam Damiri

Imam Abul Baqa' Kamaluddin Muhammad bin Musa ad-Damiri @ Imam ad-Damiri
(742 - 808H) rahimahullah adalah salah seorang ulama besar bermazhab Syafie. Beliau belajar di al-Azhar sehingga menjadi alim besar dan menjadi tenaga pengajar di al-Azhar, juga seorang mufti yang faqih. Beliau juga seorang sufi yang kuat beribadah selain giat mengajar ilmu - ilmu agama termasuklah ilmu hadis. Selain dari itu, beliau boleh juga dianggap sebagai seorang ahli zoologi, bahkan di antara kitab beliau yang termasyhur adalah sebuah ensiklopedia haiwan yang berjodol Hayaatul Hayawaan al-Kubra yang mencatat sekurang - kurangnya 931 jenis haiwan dilengkapi dengan hukum memakannya. Ketokohan beliau dalam ilmu fiqh juga terserlah dengan karya beliau yang berjodol an-Najmul Wahhaj yang mensyarahkan kitab Minhajuth Thalibin dalam 10 jilid besar. Dalam ilmu hadis, beliau menulis satu syarah atas Sunan Ibnu Majah yang berjodol ad-Dibaajatu `ala SunanIbni Maajah.

Imam ad-Damiri juga mempunyai ramai anak - anak murid dan salah seorang daripada mereka adalah Imam Taqiyuddin Abul `Abbas al-Maqrizi (766 - 845H) rahimahullah, ilmuwan dan sejarawan Mesir yang ternama. Faedah yang hendak faqir kongsikan ini adalah sebagaimana yang dicatat oleh al-Maqrizi dalam kitab beliau Durarul `Uquud al-Fariidah. Pada jilid 3, halaman 437, al-Maqrizi mencatat sebagai berikut:- Satu ketika aku telah berjumpa dengan beliau (ad-Damiri) dan beliau bercerita: "Aku telah bermimpi berkata dengan seseorang: "Telah lama aku tidak mengunjungi Baitul `Atiq (Baitullah) dan aku sangat rindu untuk mengunjunginya." Maka dia berkata kepadaku: "Bacalah: (( La ilaha illa Allah, al-Fattaahul `Aliim, ar-Raqiibul Mannaan ))." Setelah mimpi tersebut, aku pun  memperbanyak berzikir dengannya dan pada tahun itu juga aku direzekikan untuk menunaikan haji."
Begitulah kisah dan faedah yang dicatat oleh al-Maqrizi daripada Imam ad-Damiri. Mudah - mudahan bermanfaat dan menjadi satu wasilah dan ikhtiar agar kita diberi rezeki menunaikan haji suatu hari nanti. Semoga rahmat Allah sentiasa mencucuri ke atas ad-Damiri dan para ulama kita semuanya sehingga ke akhir zaman.

Sabtu, Disember 14, 2024

Karamah Imam Nawawi

Imam Muhyiddin an-Nawawi (631H - 676H) 
radhiyaAllahu `anhu adalah seorang ulama besar lagi wali, bahkan quthubnya para wali yang telah dizahirkan Allah atasnya berbagai karamah, samada hissi atau maknawi. Antara karamah beliau adalah karya - karyanya yang banyak sehingga berjilid - jilid kitab besar yang amat bernilai yang beliau tulis dalam umur beliau yang relatif singkat. Beliau wafat ketika berusia hanya lebih kurang 45 tahun sahaja, dalam usia singkat tersebut beliau dianugerahkan Allah ilmu dan kebijaksanaan serta kemampuan untuk mengarang dan segala karangan tersebut amat bermanfaat dan menjadi  rujukan serta panduan umat sehingga ke hari ini. 

Di antara karamah hissi yang sempat dirakam dalam kitab - kitab para ulama pula adalah sebagaimana yang disebut oleh Imam Jalaluddin as-Sayuthi rahimahullah dalam karya beliau berupa manakib Imam an-Nawawi dengan jodol al-Minhajus Sawi. Pada halaman 48 dinyatakan sebagai berikut:- ....Telah aku (yakni Imam Taqiyuddin as-Subki dan mungkin juga diri Imam Sayuthi sendiri) melihat dalam "Majmuk" yang disalin oleh Syaikh Syamsuddin al-`Iyzari asy-Syafie (seorang ulama Syafie yang wafat tahun 808H, memiliki beberapa karangan antaranya mukhtashar bagi kitab al-Quut karya Imam al-Adzra`ie dan ta'liq atas Syarhul Kabir bagi Imam ar-Rafi`ie) menyatakan bahawa penjaga pintu gerbang Madrasah ar-Rawahiyyah (sebuah madrasah yang mengajar Mazhab Syafie di Kota Damsyik yang letaknya di timur laut Masjid al-Umawi) berkata: "Pada suatu malam Imam an-Nawawi telah berjalan keluar dan aku mengikut beliau. Ketika sampai di pintu gerbang madrasah, pintunya terbuka sendiri. Beliau pun keluar dan aku berjalan bersamanya beberapa langkah, tiba - tiba kami sudah berada di Kota Mekah. Imam Nawawi pun berihram umrah dan melaksanakan tawaf dan saie. Setelah selesai, beliau melanjutkan dengan bertawaf sunat sepanjang malam sebelum pulang. Ketika hendak pulang, aku berjalan di belakangnya, tiba - tiba sahaja kami telah berada semula di Madrasah ar-Rawahiyyah.

Inilah antara karamah yang pernah berlaku atas Imam an-Nawawi dan dirakam oleh para ulama kita. Karamah ini yang berupa thayyul ardh, di mana Allah melipatkan bumi bagi beliau, sehingga jarak yang jauh dari Damsyik ke Mekah dapat ditempoh dengan hanya beberapa langkah. Mudah - mudahan kita mendapat berkat dan syafaat daripada al-Imam al-Faqih al-Muhaddits Muhyiddin Abu Zakaria Yahya bin Syaraf an-Nawawi asy-Syafie ad-Dimasyqi radhiyaAllahu `anhu.

Khamis, Julai 18, 2024

Pengarang Jawahirul Khams

Ulama kita Nusantara, ketika memperturunkan amalan hasballah 70 kali beserta doanya untuk dibaca pada hari `Asyura menjelaskan ianya dinukil daripada seorang yang dikatakan sebagai wali al-Ghauts dalam kitabnya yang berjodol Jawahirul Khams atau dalam sesetengah naskhah ditulis sebagai Jawahirul Khamis dan ada juga yang menulisnya sebagai Jawahirul Khamsah. Misalnya, Mawlana Syaikh Daud rahimahullah dalam Kifaayatul Mubtadi halaman 35 menulis sebagai berikut:- Faedah yang adzimah yang nafisah disebut di dalam kitab Jawahirul Khamis bagi Sayyidi Muhammad al-Ghauts radhiya Allahu `anhu.... Maka siapakah ulama yang digelar al-Ghauts ini? 

Sidi Muhammad al-Ghauts merupakan seorang ulama sufi yang amat tersohor dan terkenal, ahli makrifat yang amat disanjungi dan disegani oleh kawan maupun lawan, yang hidup di Benua IndoPak. Beliau ini adalah ulama sufi yang besar pengaruhnya dan merupakan tokoh dalam berbagai thariqah terutama sekali Thariqat Syathariyyah. Thariqat Syathariyyah merupakan thariqat yang banyak diamalkan oleh ulama - ulama Nusantara terdahulu termasuklah Mawlana Syaikh Daud al-Fathani dan daripada beliau - beliau ini menyebar ke seluruh Nusantara. Maka tidak pelik jika karya Syaikh Muhammad al-Ghauts ini dijadikan rujukan untuk beberapa amalan para ulama kita. Riwayat hidup, ajaran - ajarannya, karya - karyanya, juga pengaruh dan keterlibatannya dalam polemik dan politik telah banyak dibuat kajian oleh para pengkaji dan sarjana. Tuan - tuan bolehlah cari sendiri jika berminat untuk mengetahui lebih lanjut lagi mengenai Sidi Muhammad al-Ghauts yang juga dikenali sebagai Syaikh Muhammad Ghouse Gwaliori kerana makamnya berada di Gwalior, Madhya Pradesh, India.

Dalam entri ini, niat faqir hanyalah untuk secara santai memperkenalkan tokoh ulama ini menerusi beberapa karya, agar kita tidak mudah memandang remeh kepada para ulama terdahulu. Dalam al-A`laam, juz ke-6, halaman 114, az-Zirikli hanya memberikan sedikit informasi mengenai Syaikh Muhammad al-Ghauts. Beliau menyatakan nama penuhnya sebagai Abul Muayyad, Muhammad bin Khathiruddin bin Bayazid al-`Aththar. Wafat tahun 970H bersamaan 1562M. Seorang ahli tasawwuf India yang disifatkan sebagai al-Ghauts (yakni wali ghauts). Beliau mengarang kitab Jawahirul Khams di Gujerat pada tahun 956H.

Sebagaimana yang faqir nyatakan di atas, Syaikh Muhammad al-Ghauts ini adalah seorang ulama sufi yang berperanan besar dalam Thariqat Syathariyyah. Bahkan kebanyakan silsilah Thariqat Syathariyyah yang diamalkan oleh para ulama Nusantara bersambung dengan beliau. Mawlana Syaikh Daud rahimahullah dalam Kaifiat Khatam Quran halaman 174 - 176 menyebut silsilah thariqat beliau, antaranya sebagai berikut:-  Alhamdulillah, telah talqinkan zikir Syathariyyah ini serta dengan bay`ahnya dan libasul khirqah dan kaifiat yang tersebutnya itu oleh faqir ila Allah ta`ala Syaikh Daud bin Abdullah Fathani akan ikhwanana filllah, al-muhibbu lillah, an-naasik, al-muwaafiq, daripada al-`Arif billah Sayyidi asy-Syaikh Muhammad As`ad qaddasaAllahu sirrahu serta ia ijazahkan faqir, ia ambil daripada bapanya Syaikh Muhammad Sa`id Thahir, ia ambil daripada bapanya Sayyidi asy-Syaikh Ibrahim al-Madani, ia ambil daripada bapanya al-`Arif billah, al-`Alim Syaikh Muhammad Thahir, ia ambil daripada bapanya al-`Arif billah, al-Jaami` bainasy Syariah wal Haqiqah, Syaikh Mulla Ibrahim al-Kuraani, ia ambil daripada Quthbul Madaar wa Qudwatul Muqarrabin al-Abraar, Sayyidi Ahmad al-Qusyasyi, ia mengambil daripada Quthbu Daairatu Musyahadah ar-Rabbani, al-Munfarid fi awaanihi bi tsulatsi, Abil Mawahib `Abdullah bin Ahmad at-Tanawi thayyibaAllahu tsarahu, ia mengambil daripada Sulthanul `Arifin, Sayyidi Shibghatullah, ia mengambil daripada Imamul Qidam wa Ulama-ul A'lam, Sayyidina Wajihuddin al-`Alawi, ia mengambil daripada Ghautsul Jaami, Sayyidina Muhammad al-Ghauts...... Maka Syaikh Muhammad al-Ghauts menduduki tangga ke-10 dalam mata rantai silsilah tersebut.

Syaikh Muhammad al-Ghauts juga tercatat sebagai salah seorang guru bagi seorang lagi wali yang masyhur, iaitu Syaikh Shahul Hameed an-Nagore. Perkara ini diketahui umum dan tercatat dalam karya - karya manaqib bagi Syaikh Shahul Hameed Nagore, antaranya sebagaimana tulisan Imam Mahmud ath-Thaybi `alaihi rahmatul Bari yang berjodol Manaaqib al-Quthbul Majid as-Sayyid Shahul Hameed al-Manakpuri an-Naahuuri yang menyatakan bahawa Shahul Hameed telah dididik dan ditarbiah dalam berbagai ilmu terutama sekali ilmu - ilmu kerohanian oleh Syaikh Muhammad bin Khathiruddin (dalam naskhah yang dimiliki faqir ditulis sebagai "Muhammad ibni Khadziruddin" dengan "dhzo" yang mungkin clerical mistake si penyalin), yang dikhitabkan Allah dengan panggilan "Ya Ghauts" secara yakin. Juga dinyatakan bahawa Syaikh Shahul Hameed an-Nagore juga menerima kitab Jawahirul Khamsah daripada beliau.

Akhir sekali, Mawlana Zakaria al-Kandahlawi rahimahullah dalam Tareekh Masyaikh Chisti, karangan beliau mengenai latar belakang para masyaikh dalam silsilah Thariqat Chistiyyah. Ketika menulis mengenai Maulana Shah `Abdul Quddus Gangohi qaddasaAllahu sirrah, beliau menyentuh pertemuan antara Mawlana `Abdul Quddus dengan Syaikh Muhammad al-Ghauts, pengarang kitab Jawahirul Khamsah. Dikisahkan pada halaman 206 bahawa Syaikh Muhammad al-Ghauts ingin bertemu dengan Mawlana `Abdul Quddus yang lebih berusia daripada dirinya. Lalu beliau yang mempunyai murid atau khadam daripada kalangan jin, telah menyuruh beberapa jin untuk membawa Mawlana `Abdul Quddus kepadanya. Namun, singkat cerita, jin - jin tersebut sebaliknya telah membawa Syaikh Muhammad al-Ghauts kepada Mawlana `Abdul Quddus atas perintah Mawlana `Abdul Quddus. Dalam pertemuan tersebut, Mawlana Abdul Quddus telah memberikan teguran, nasihat dan pengajaran kepada Syaikh Muhammad al-Ghauts. Syaikh Muhammad al-Ghauts juga mengambil bay`ah daripada Mawlana Abdul Quddus sehingga beliau mencapai kedudukan shahibun nisbat (yakni satu kedudukan kerohanian yang tinggi).

Sebagai penutup, Syaikh Muhammad al-Ghauts meninggal dunia di Agra pada 17 Ramadhan 970H dan dimakamkan di Gwalior. Beliau meninggalkan ramai murid dan khalifah thariqat, juga beberapa karya lain seperti Mairaj Namah, Bahrul Hayat dan Khalid e Makhzan. Begitulah sekelumit kecil daripada riwayat hidup Syaikh Muhammad al-Ghauts qaddasaAllahu sirrah. Semoga Allah mencucuri rahmat ke atas Syaikh Muhammad al-Ghauts dan menyampaikan keberkatannya kepada kita sekalian.

Kubah Makam Syaikh Muhammad al-Ghauts di Gwalior

Selasa, Mei 09, 2023

2 Marhalah Syarat Jamak

Pendapat yang muktamad yang dianggap sebagai pendapat mazhab di sisi para ulama asy-Syafi`iyyah adalah hukum menjamak dua shalat ketika bermusafir hanya dibenarkan pada safar atau permusafiran atau perjalanan yang panjang (as-safar ath-thawil), yakni safar 2 marhalah ke atas. Jika safar tersebut kurang dari 2 marhalah (as-safar al-qashir), maka rukhshah atau keringanan menjamakkan shalat tidaklah diharuskan. Inilah pendapat atau qawl yang dimuktamadkan dalam mazhab kita, tanpa mengingkari wujudnya pendapat atau qawl lain yang dipilih oleh sebahagian ulama semazhab, membenarkan seseorang untuk menjamak shalat dalam safar yang pendek. Hal ini dapat kita lihat dalam kitab - kitab karangan ulama kita yang muktabar. Imam Abu Ishaq asy-Syirazi rahimahullah dalam kitabnya yang masyhur, al-Muhadzdzab fi Fiqhi Madzhab al-Imam asy-Syafi`i, juz 1, halaman 146 menulis, antaranya, sebagai berikut:- Fashal. Diharuskan menjamak antara Zohor dengan Asar dan antara Maghrib dengan Isyak dalam safar (permusafiran) yang dibenarkan padanya mengqasharkan sembahyang (yakni perjalanan 2 marhalah atau lebih) ...... Adapun dalam safar yang tidak mengharuskan qashar shalat dalamnya (yakni safar yang kurang dari 2 marhalah) ada dua qawl. Qawl Pertama, harus, kerana dia melakukan safar yang dibenarkan padanya untuk melakukan sembahyang sunat di atas tunggangannya (yakni dalam safar yang pendek pun seseorang dibenarkan shalat sunnat atas tunggangannya / kenderaannya), oleh itu dia juga dibenar menjamakkan sembahyangnya sebagaimana dalam safar yang panjang. Qawl Kedua, tidak harus, dan inilah qawl yang ashah, kerana (perbuatan menjamakkan sembahyang itu) adalah mengerjakan ibadah di luar waktunya, maka hal ini tidak diharuskan dalam safar yang pendek (as-safar al-qashir) sebagaimana tidak diharuskan berbuka di siang hari ketika berpuasa Ramadhan (dalam safar yang pendek)...

Selanjutnya, kita lihat perkataan Imam an-Nawawi mengenai hal ini dalam al-Majmu` syarh al-Muhadzdzab, juz 4, halaman 249, sebagai berikut:- ... Diharuskan jamak dalam safar yang diharuskan padanya mengqasharkan sembahyang. Adapun dalam safar yang pendek ada dua qawl yang masyhur yang disebut pengarangnya (yakni Imam asy-Syirazi) akan dalil bagi kedua qawl tersebut. Qawl yang ashah dengan ittifaq al-ashhaab (yang disepakati oleh para ulama besar mazhab Syafie ashhaabul wujuh yang hidup dalam period 400 tahun terdahulu mulai zaman Imam asy-Syafie radhiyaAllahu `anhu) adalah TIDAK HARUS dan inilah qawl yang dinashkan sendiri oleh Imam asy-Syafie dalam kitab - kitab jadid beliau. Menurut al-Qadhi Abu Thayyib dalam kitabnya al-Mujarrad dan sebahagian ashhaab, ianya adalah harus dalam qawl qadim. Sedangkan menurut Imam Abu Ishaq al-Marwazi qawl yang tidak mengharuskan jamak pada safar qashir adalah satu - satunya qawl yang dinashkan sendiri oleh Imam asy-Syafie...

Dalam kitab Raudhatuth Thaalibiin, jilid 1, halaman 498, Imam Nawawi menulis:- Bab menjamak dua shalat. Diharuskan menjamak antara Zohor dan Asar, dan antara Maghrib dan Isyak, secara taqdim pada waktu sembahyang pertama, atau secara takhir pada waktu sembahyang kedua, dalam safar yang panjang (as-safar ath-thawil), namun tidak diharuskan dalam safar yang pendek menurut qawl adzhar...... Dan pada halaman 504, Imam Nawawi juga menyatakan sebagai berikut:- Fasal. Rukhshah (keringanan) yang bergantung dengan safar thawil (2 marhalah ke atas) ada empat, (i) qashar sembahyang, (ii) berbuka puasa di siang Ramadhan, (iii) menyapu khuf selama 3 hari 3 malam dan (iv) menjamak sembahyang atas qawl adzhar.....

Imam Ibnur Rif`ah rahimahullah pula menulis dalam Kifaayatun Nabiih syarh at-Tanbiih, juz 4 halaman 177 sebagai berikut:- ... (Tentang Menjamakkan Sembahyang) Dalam safar yang pendek - iaitu safar yang tidak mengharuskan qashar sembahyang - ada 2 qawl. Wajah (yakni qawl yang berasal daripada ashhaabul wujuh) yang mengharuskan, atas alasan penduduk Mekah menjamakkan shalat Zohor dengan Asar di Arafah dan shalat Maghrib dengan Isyak di Muzdalifah (yakni ketika menunaikan ibadah haji) tanpa ada sesiapa pun yang mengingkari perbuatan mereka itu, sedangkan safar mereka (yakni dari Mekah ke Arafah / Muzdalifah) hanya dalam jarak yang pendek ...... Wajah yang menegahnya (yakni tidak mengharuskannya), kerana perbuatan menjamak sembahyang tersebut bererti mengerjakannya di luar waktunya. Di mana perbuatan sedemikian tidak diharuskan melainkan dalam safar yang panjang, sebagaimana berbuka di siang Ramadhan hanya diharuskan bagi musafir dalam perjalanan yang panjang. Tidak pernah ada riwayat yang Junjungan shallaAllahu `alaihi wa sallam menjamakkan sembahyang (ketika bermusafir) melainkan dalam safar yang panjang. Inilah wajah yang dinashkan sendiri oleh Imam asy-Syafie dalam al-Umm dan inilah qawl yang shahih (maka wajah / qawl yang pertama tadi adalah dhaif). Jamaknya penduduk Mekah tadi adalah kerana adanya keuzuran disebabkan nusuk (perlaksanaan ibadah haji atau dalam naskhah kitab Kifaayatun Nabiih Nombor 229 Manuskrip Fiqh Syafie yang tersimpan di Darul Kutub al-Mishriyyah ianya adalah disebabkan banjir).

Ada ustaz yang mendakwa bermazhab Syafie, telah menyatakan bahawa untuk menjamakkan sembahyang tidak disyaratkan safarnya mesti 2 marhalah atau lebih (safar panjang). Beliau menyatakan inilah pendapat yang kuat dalam mazhab Syafie dengan alasan dalam senarai syarat - syarat jamak tidak pun disebut syaratnya mesti safar yang panjangnya 2 marhalah atau lebih, Beliau menyatakan lagi bahawa syarat 2 marhalah itu hanya untuk membolehkan qashar sembahyang sahaja. Ini adalah pendapat yang salah kerana dalam mazhab kita syarat jamak bagi musafir itu adalah seperti syarat mengqasarkan shalat baginya dengan tambahan beberapa syarat lain untuk jamak secara taqdim dan jamak secara takhir. Maka mengaji syarat jamak bagi musafir hendaklah dimulai dengan mengaji terlebih dahulu syarat qashar. Janganlah hanya melihat syarat - syarat jamak sahaja tanpa melihat kepada syarat - syarat qashar. Inilah yang disebut dalam kitab - kitab kita, contohnya seperti dinyatakan oleh Imam Yusuf ar-Ardabili rahimahullah dalam al-Anwaar li A'maalil Abraar, juz 1, halaman 135, yang menyatakan: ......Fasal. Diharuskan menjamak antara dua shalat siang (yakni Zohor dan Asar) dan dua shalat malam (Maghrib dan Isyak) secara taqdim dan takhir pada safar yang menghimpunkan segala syarat yang terdahulu sebutannya (yakni segala syarat yang telah disenaraikan dalam fasal sebelumnya yang menerangkan syarat - syarat bagi mengqasharkan sembahyang)..... Jika mengaji hukum jamak ketika musafir tanpa merujuk juga kepada hukum qashar adalah cara ngaji yang salah, menatijahkan salah pemahaman sehingga menyatakan bahawa tidak disyaratkan safar yang panjang bagi menjamakkan shalat kerana tidak disebut dalam syarat - syarat jamak. Lebih parah, akibat salah pemahaman tersebut, si ustaz mem"fatwa"kan bahawa seseorang boleh menjamakkan sembahyangnya dalam safar yang pendek, walaupun hanya sekitar 25 kilometer seperti orang yang tinggal di Kota Damansara dan bekerja di Kuala Lumpur boleh menjamakkan sembahyangnya setiap hari kerana mukimnya lain - lain .... Allahu ...Allah, faqir doakan semoga si ustaz dapat review balik ajarannya sehingga menepati ketentuan hukum sebenar dalam mazhab Syafie.

Untuk pengukuhan, dalam teks kitab - kitab fiqh Syafie, dengan jelas ditulis bahawa musafir yang safarnya mengharuskan qashar itulah juga yang diharuskan menjamakkan shalatnya, yakni jika safarnya mengharuskan dia mengqasharkan shalat maka dia juga harus menjamakkannya. Jadi jarak bagi mengharuskan jamak adalah sama dengan jarak safar yang mengharuskan qashar. Syaikh Nik Mat Kecil rahimahullah dalam Mathla`ul Badrain pada halaman 43, menjelaskan sebagai berikut:- (Dan harus) bagi orang yang musafir yang harus qasharnya, ia jamakkan sembahyang Zohor dengan Asar dan Maghrib dengan Isyak, jamak taqdim atau jamak takhir ..... Kan jelas disebut bahawa jika safar itu mengharuskan qashar maka haruslah jamak. Jika safar tersebut tidak mengharuskan qasar, maka jamak juga tidak diharuskan, as plain and simple as that

Juga dalam sesetengah karangan, disebutkan dengan jelas bahawa safar yang panjang adalah syarat bagi membolehkan qashar dan jamak. Contohnya apa yang disebut oleh Sidi Abu Bakar Syatha al-Bakri ad-Dimyathi dalam `I`aanatuth Thaalibiin, juz 2, halaman 98 yang menyatakan sebagai berikut: ...(Kata muallif, safar yang panjang) ini adalah satu syarat daripada syarat - syarat bagi qashar dan jamak, iaitu 48 batu (mile) Hasyimiyyah (yakni 2 marhalah)...... Oleh itu, jelaslah bahawa safar yang panjang adalah syarat bagi mengharuskan jamak kerana safar. 

Dalam kitab Bughyatul Mustarsyidinhalaman 122, sebagaimana Raudhah, dijelaskan sebagai berikut:- (Faedah) Rukhsah (keringanan) yang bergantung dengan safar itu ada 11, empat daripadanya adalah tertentu bagi safar yang panjang (yakni 2 marhalah ke atas), iaitu (i) qashar (ii) jamak (iii) fithr (yakni berbuka puasa sebelum waktunya) dan (iv) menyapu khuf (yakni bagi musafir harus menyapu khufnya selama 3 hari 3 malam berbanding orang mukim yang hanya dibenarkan sehari semalam sahaja). Maka jelas bahawa syarat membolehkan seorang musafir untuk menjamakkan shalat adalah safarnya panjang (safar thawil). Inilah yang muktamad dalam mazhab kita.

Sungguhpun demikian, ada juga di kalangan ulama kita yang memilih qawl atau pendapat yang dhaif sebagaimana disebut dalam Bughyah. Pada halaman 127, dinyatakan: - (Faedah) di sisi kita (yakni ulama Syafi`iyyah) ada satu qawl yang mengharuskan jamak dalam safar yang pendek (safar qashir) dipilih oleh al-Bandaniji...... Walaupun secara zahir dalam Bughyah disebutkan sebagai qawl, apa yang dimaksudkan adalah qil yakni qawl dhaif yang menjadi pilihan atau qawl mukhtar bagi Imam al-Bandaniji rahimahullah. Ketahuilah bahawa kedudukan qawl mukhtar dalam mazhab tetap atas kedhaifannya yakni qil atau pendapat lemah walaupun ianya menjadi pilihan pribadi seseorang ulama mazhab kita. Oleh itu beranggapan bahawa qawl mukhtar al-Bandaniji sebagai qawl yang kuat dalam mazhab adalah satu kesilapan. Hal ini penting untuk diperingatkan kerana ada sebahagian yang terkeliru dengan gelaran qawl mukhtar yakni qawl pilihan sehingga beranggapan itulah al-mazhab (yakni qawl yang dimuktamadkan dalam mazhab). Fahamkanlah wahai saudara. Samada seseorang boleh beramal dengan qawl mukhtar ini, maka ianya isu lain yang ada perinciannya. Namun menyatakan ianya sebagai qawl yang kuat dalam mazhab atau memutlakkan pengamalannya adalah salah dan tidak wajar. Jangankan ikhtiyarat Imam Bandaniji rahimahullah, ikhtiyarat Imam Nawawi rahimahullah pun dianggap qil (qawl lemah) di sisi mazhab.

Untuk penutup, faqir kongsikan pengenalan ringkas bagi sosok al-Bandaniji yang disebut dalam Bughyah. Beliau adalah Imam al-Qadhi Abu `Ali, al-Hasan bin `Abdullah @ Ubaidillah bin Yahya al-Bandaniji. Imam Tajuddin as-Subki rahimahullah dalam Thabaqaatusy Syaafi`iyyah al-Kubra, juz ke-4, halaman 305, menyatakan:- ... Beliau adalah al-Qadhi Abu Ali al-Bandaniji, pengarang kitab adz-Dzakhirah, seorang pemuka ulama yang mendampingi (menjadi teman dan murid) asy-Syaikh Abu Hamid (al-Isfarayini), di mana al-Bandaniji menulis satu kitab komentar atas karya asy-Syaikh Abu Hamid yang dinamakan at-Taliiqah ( atau al-Jaami` dalam 4 jilid) yang masyhur. Beliau adalah seorang faqih yang agung, amat berkemampuan untuk membahas sebarang kemusykilan, seorang shalih lagi warak. Syaikh Abu Ishaq berkata bahawa: "Beliau adalah penjaga /  pembela / pengukuh bagi mazhab". Imam al-Khatib pula menyatakan bahawa: "Beliau mempunyai halaqah ilmu di Jami` al-Manshur untuk berfatwa, seorang yang shalih, kukuh pegangan agama dan warak". Aku mendengar Syaikh Abdul Karim bin `Ali al-Qashri berkata: "Aku tidak melihat pada seseorang yang mendampingi (menjadi murid) Syaikh Abu Hamid yang lebih kuat agamanya daripada Abu Ali al-Bandaniji". Imam al-Khatib berkata: "Di akhir usianya beliau kembali ke al-Bandanijin @ Bandanij lalu wafat di sana pada bulan Jamadil Awwal tahun 425H. Mudah - mudahan Allah mencucurkan hujan rahmat yang berkekalan atas beliau.

Sebagai pemungkas, faqir datangkan perkataan Syaikh Abdul Hamid asy-Syarwani rahimahullah dalam hasyiah beliau atas Tuhfah, juz 2, halaman 394, yang menyatakan bahawa sebagaimana seseorang ditegah menjamakkan sembahyang Maghrib dengan Asar, dan sembahyang Isyak dengan Subuh, maka dia juga ditegah daripada menjamakkan sembahyang ketika dalam negeri (yakni tidak berpergian), dalam safar yang pendek walaupun bagi penduduk Mekah (yakni dalam rangka mereka melaksanakan manasik haji) dan dalam safar yang maksiat, sebagaimana yang tersebut dalam Nihayah dan Mughni. Oleh itu, hendaklah kita berhati - hati dalam urusan sembahyang yang menjadi rukun Islam terpenting selepas syahadatain. Janganlah bermudah - mudah mengambil rukhsah, takut - takut akhirnya susah dan jadi musibah, yang sesalannya tak berkesudah. Apa - apa pun, segala puji bagi Allah yang telah menjadikan dalam ikhtilaf itu ada rahmat dan dalam setiap kepayahan itu ada kemudahan. Mudah - mudahan Allah mengganjari para ulama kita dengan sebaik - baik ganjaran. Dan tetaplah kita atas ilmu dan amanah.

Selasa, Jun 28, 2022

Sidi Rifa`ie & Anjing

Dalam entri yang lepas, faqir berkongsi kisah Sidi Rifa`ie dengan kucing dan nyamuk, maka dalam entri ini, faqir kongsikan kisah beliau dengan haiwan najis mughallazah iaitu anjing. Sebagaimana yang diketahui, membela anjing tanpa sebab yang wajar seperti untuk menjaga harta, hukumnya adalah haram dan mengakibatkan pahala seseorang dipotong. Namun, ini tidak bererti seseorang boleh menyakiti atau menzalimi anjing. Bahkan, Islam menyuruh berbuat ihsan hatta kepada makhluk anjing, hingga diriwayatkan dalam hadis yang shahih bahawa ada orang yang mendapat keampunan Allah gara - gara memberi anjing yang kehausan minum. Namun, tidaklah perlu sampai menjadikan anjing sebagai haiwan peliharaan (pet) untuk hiburan semata atau suka - suka untuk menyentuh dan membelainya. Silalah rujuk kepada ulama dan kitab tentang perincian hukum membela dan menyentuh anjing, haiwan yang sekujur badannya, dalam mazhab kita, dikategorikan sebagai najis mughallazah.

Kisah ini disebut oleh al-`Allaamah al-Muhaqqiq al-Muarrikh Syaikh Muhammad Thahir bin 'Abdul Qadir al-Kurdi rahimahullah. Kisah ini beliau catat dalam Tuhfatul `Ibaad pada halaman 147 - 148. Syaikh Muhammad Thahir menyatakan bahawa beliau pernah mendengar cerita tentang seekor anjing yang terkena penyakit judzam (leprosy) sehingga penduduk negeri / bandar tempat tinggal Sayyid Ahmad ar-Rifa`ie radhiyaAllahu `anhu memandangnya dengan jijik. Maka Sidi Rifa`ie telah membawa anjing tersebut ke hutan / padang yang tiada berpenghuni, lalu mendirikan tempat berteduh bagi anjing tersebut. Beliau juga mengurus makan minum serta merawat anjing tersebut selama 40 hari sehingga anjing tersebut sembuh. Setelah sembuh, beliau memandikan anjing tersebut dengan air panas dan membawanya balik ke bandar. Penduduk bandar bertanya kepada Sidi Rifa`ie tentang kesungguhan beliau menjaga dan mengambil berat tentang kebajikan anjing tersebut. Beliau menjelaskan bahawa beliau khuatir nanti Allah akan mempersoalkan belaiu kerana tidak menaruh kasihan belas kepada satu makhluk daripada makhluk - makhlukNya.

Sebenarnya kisah ini telah dikisahkan dan dinukil oleh ulama kita terdahulu hatta oleh ulama Nusantara. Dalam kitab Hadiqaatul Azhar karya Tok Syaikh Wan Ahmad al-Fathani rahimahullah pada halaman 126 - 127 dikisahkan sebagai berikut: ... Dan hasil bagi seekor anjing judzam, maka diluatikan dia oleh segala nafsu ahli negerinya. Dan jadilah tiap - tiap seorang itu dihalaukan dia daripada pintunya. Maka diambilkan dia oleh Sayyidi Ahmad ar-Rifa`ie dan keluar ia dengan dia ke padang dan dibuat baginya tempat berteduh dan diubatikan dia dan diberi makan dan minum akan dia hingga sembuh ia kemudian daripada 40 hari. Dan dimandikan dia dengan air panas kemudian dimasukkan dia ke negeri. Maka dikata orang baginya: "Engkau amat - amati dengan ini anjing akan sebagai ini amat - amati?" Katanya: "Bahkan takutku bahawa berkata Allah ta`ala bagiku pada hari kiamat, "Tiadakah bagimu kasihani bagi itu anjing? Tiada takutmu bahawa Aku bala`kanmu dengan itu bala`?"......

Begitulah kasihan belas yang ditunjukkan oleh Sidi Rifa`ie terhadap haiwan yang biasanya dipandang hina dan jijik. Betapalah kasihan belas beliau kepada sesama umat Junjungan Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam. Mudah - mudahan bermanfaat dan dapat dijadikan teladan, juga mudah - mudahan kita mendapat syafaat Sidi Rifa`ie radhiyaAllahu `anhu.

Syaikh Thahir Kurdi (1903-1980)

Isnin, Disember 13, 2021

Bi Rasulillah wal Badawi

Sidi Ahmad al-Badawi adalah seorang wali dan ulama yang sudah masyhur dikenali ramai. Manaqib dan kisah - kisah karamah beliau sudah banyak ditulis. Antara amalan beliau yang sudah tersebar adalah dua shighah shalawat, iaitu Shalawat Nuril Anwar dan Shalawat Nuraaniyyah @ ash - Shalatu al-Ahmadiyyah (Shalawat Ahmadiyyah). Maka tidaklah menjadi sesuatu yang pelik, jika ramai yang bertawassul dengan beliau bagi memohon perkenan Allah atas hajat keperluan mereka. Namun, tiada seorang pun daripada mereka - mereka yang beriman itu beriktikad bahawa Sidi Badawi mempunyai kuasa, yang Maha Berkuasa hanya Allah, Sidi Badawi hanya memiliki kedudukan yang tinggi di sisi Allah sebagai warisnya Junjungan Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam, tiadalah martabat dan kedudukan Sidi Badawi melainkan kerana ikutan yang sempurna beliau bagi Junjungan Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam. Maka digelarlah beliau sebagai Babun lin Nabi yakni " Pintu kepada hadhrat Junjungan Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam", iaitu pintu untuk mengenali, mencintai dan mengikuti  Junjungan Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam dengan sepenuh jiwa dan raga. 

Menurut almarhum Dr. Abdul Halim Mahmud, mantan Syaikhul Azhar, dalam buku beliau yang berjodol "Aqthaab at-Tashawwuf, as-Sayyid Ahmad al-Badawi radhiyaAllahu `anhu", karamah terbesar bagi Sidi Ahmad al-Badawi adalah kejayaan beliau dalam mentarbiyyah manusia - manusia yang akhirnya menjadi pahlawan - pahlawan agama yang berjihad di jalan Allah. Telah masyhur kisah perjuangan Sidi Badawi dan murid - murid beliau dalam medan peperangan melawan musuh - musuh Islam. Juga telah masyhur kisah - kisah karamah Sidi Badawi yang membebaskan para pejuang Islam yang ditawan tentara - tentera Salib sehingga penduduk Mesir menyebut Sidi Badawi dengan lahjah mereka sebagai Jaabal Yusra iaitu Sang Pembebas Tawanan. Syaikh Wan Ahmad al-Fathani rahimahullah juga tidak ketinggalan menukilkan kisah karamah Sidi Badawi dalam Hadiqatul Azhar war Rayahin, antaranya pada halaman pada halaman 146 sebagai berikut:-
... Dan berkata al-Imam asy-Sya'raani radhiyaAllahu `anhu di dalam kitabnya yang dinamakan Thabaqat: " Telah aku lihatkan dengan mataku pada tahun 945, satu tawanan atas menara Sayyidi `Abdul `Aal radhiyaAllahu `anhu, hal keadaannya dengan rantainya. Maka aku tanyakan dia daripada demikian itu. Maka sahutnya: "Antara adalah aku pada negeri Ifranj (Eropah) ditawankan daku oleh Nasrani, maka tawajjuhku kepada Sidi Ahmad al-Badawi pada akhir malam, maka tiba - tiba aku dengan Sidi Ahmad al-Badawi. Maka mengambil ia akan daku dan diterbangkan dengan aku pada hawa`, maka menghantar ia akan daku di sini." Kemudian diam ia dua hari hal keadaannya pening kepalanya daripada sangat deras terbang itu. Dan diriwayatkan daripada Sidi Ibrahim al-Mabtuli radhiyaAllahu `anhu katanya: "Berkata bagiku Rasulullah shallaAllahu `alaihi wa sallam, tiada pada awliya` Mesir kemudian daripada Muhammad bin Idris yakni Imam asy-Syafie terlebih besar futuwwah daripadanya, yakni daripada Sidi Ahmad al-Badawi radhiyaAllahu `anhum wa nafa`ana bi barakatihim, aamiin.....

Futuwwah
itu secara ringkas dapat diertikan, antaranya, sebagai beretika tinggi, berakhlak mulia, amat dermawan, budiman, sangat prihatin dan peduli serta mengambil berat akan kesusahan orang lain, bermaruah tinggi dan amat berani dalam menegakkan kebenaran. Untuk mengetahui lanjut penjelasan mengenai futuwwah, silalah merujuk kepada kitab - kitab tashawwuf seperti Risalah al-Qusyairiyyah karangan Imam al-Qusyairi, Kitab al-Futuwwah karangan Imam as-Sulami, Kitab al-Futuwwah karangan Ibnu al-Mi'mar al-Baghdadi al-Hanbali dan sebagainya. Mudah - mudahan Allah melimpahkan keberkatan Imam asy-Syafie dan Sidi Ahmad al-Badawi kepada kita dan segala anak turunan kita sekaliannya.

Qasidah Bi Rasulillah wal Badawi

Jumaat, November 26, 2021

"Painkiller" - Hadiah Khadhir

Imam Abdul Wahhab asy-Sya`raani qaddasaAllahu sirrahul `aziz menukilkan dalam kitab beliau, Thabaqaatul Kubra, juz 1, halaman 70 sekelumit mengenai seorang ulama yang zahid, wali Allah dan tokoh sufi yang terbilang. Beliau adalah Syaikh Abul Husain Ahmad bin Abil Hawaari  radhiyaAllahu ta`ala `anhu wa rahimahu. Syaikh Ahmad bin Abil Hawaari adalah seorang ulama sufi lagi wali di Damsyik. Beliau bersahabat dengan sejumlah masyaikh di antaranya Syaikh Abu Sulaiman ad-Darani dan Imam Sufyan ibnu `Uyainah radhiyaAllahu `anhuma. Beliau wafat pada tahun 230H. Imam Junaid al-Baghdadi memuji Ibnu Abil Hawaawi dan menjoloki beliau sebagai "Raihanatusy Syaam (Wangian Kota Syam)". Beliau yang terkenal zahid pernah berkata: 
"Dunia ini adalah tempat pembuangan sampah kotoran dan tempat perhimpunan anjing - anjing. Dan yang lebih rendah daripada anjing adalah orang yang bergantung dengannya serta saling berkelahi sesamanya untuk merebut dunia. Sesungguhnya anjing hanya mengambil dari dunia ini sekadar keperluannya dan berpaling dari selebihnya, sedangkan orang yang kasih akan dunia tidak meninggalkan satu apa pun daripadanya, bahkan ketika keinginan dunianya sudah pun tercapai, masih sahaja dia mencari - cari lagi tambahannya (yakni tak kenal puas)." 
Namun perlulah difaham, bahawa dunia yang dicela tersebut adalah dunia yang tidak dijadikan amal akhirat. Habuan dunia yang cuma digunakan untuk berlazat - lazat, bermewah - mewah dan bermegah - megah, yang membawa kepada kesombongan, kelalaian dan dosa. Juga dunia yang dicari tanpa mempedulikan hukum Allah, tanpa mempedulikan halal - haram. Inilah dunia yang dikeji dan dikutuk, sebagaimana dinyatakan dalam banyak hadis, antaranya hadis Imam at-Tirmidzi rahimahullah bahawa Junjungan Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam bersabda: " Dunia ini terkutuk dan terkutuklah segala isinya, kecuali dzikrullah (yakni termasuklah segala amal ibadah, samada sifatnya khusus maupun ibadah - ibadah umum) dan apa - apa yang mengarah kepadanya (yakni yang mengarah kepada kepatuhan dan ketaatan kepada Allah), orang alim (yang mengamalkan ilmunya) atau orang yang menuntut ilmu (dengan benar dan ikhlas)". Imam Ibnu Rajab al-Hanbali rahimahullah menjelaskan bahawa maksud dunia dan segala isinya terlaknat adalah ketika mana ia menjadi sebab bagi seseorang jauh daripada Allah kerana disibukkan olehnya sehingga lupakan Allah dan negeri Akhirat yang kekal abadi. Makanya, seseorang yang sedang melayari kehidupan duniawi ini hendaklah sentiasa berpandu dengan kompas ilmu yang bermanfaat, yang mengarahkan kepada jalan ketakwaan, makrifat dan amal ibadah. Mencari dunia yang halal untuk dijadikan wasilah bagi amal akhirat tidaklah tercela, bahkan ianya terpuji, kerana dihukum mengikut tujuan atau maksudnya untuk dijadikan amal akhirat, bertepatan dengan kaedah al-wasail hukmul maqashid. Untuk keterangan lanjut silalah tuan puan mengaji dan mengkaji kitab - kitab tashawwuf seperti Hidayatus Salikin, Bidayatul Hidayah, Ihya` Ulumiddin  dan seumpamanya.

Syaikh Ahmad bin Abil Hawaari adalah antara wali Allah yang pernah bertemu dengan Nabi Khadhir `alaihis salam. Bukan sahaja bertemu, bahkan beliau diberikan satu amalan untuk menjampi sebarang kesakitan. Imam asy-Sya'raani rahimahullah menukilkan bahawa Syaikh Ahmad bin Abil Hawaari menceritakan sebagai berikut:- 
Aku telah diajar oleh Nabi al-Khadhir `alaihis salam satu ruqyah (jampi) bagi mengubati penyakit. Baginda bersabda: "Apabila engkau ditimpa kesakitan, letakkan tanganmu di atas tempat yang sakit tersebut dan bacalah: " Dan Kami turunkan (al-Quran) itu dengan sebenar - benarnya dan al-Quran itu telah turun dengan (membawa) kebenaran." (Surah al-Isra`: 105). Maka tidaklah aku membacanya atas sesuatu kesakitan, melainkan dihilangkannya ketika itu juga.
Begitulah kisah Syaikh Ibnu Abil Hawaari sebagaimana ditulis oleh Imam asy-Sya'raani. Habib Abu Bakar Aththas al-Habsyi dalam Tadzkiirun Naas pada halaman 330 pula menceritakan bahawa al-Quthub Habib Ahmad bin Hasan al-'Aththas rahimahullah telah berpesan untuk membaca ayat di atas tadi sebanyak 70 kali untuk segala penyakit. Mudah - mudahan bermanfaat hendaknya lagi ikhlas semata - mata kerana Allah jalla wa `ala.


Isnin, September 27, 2021

Ratibul Haddad - TG Hj Sulong

Tuan Guru Haji Sulum @ Sulong rahimahullah, cicit kepada Tuan Minal al-Fathani (pengarang Kasyful Litsam dan `Aqidatun Najin), adalah antara pejuang dan ulama yang terkenal di Fathani Darus Salam. Beliau lahir sekitar tahun 1895 dan hilang ditangkap oleh Siam pada tahun 1954. Dipercayai yang beliau bersama 3 orang lagi termasuklah anak beliau telah dibunuh oleh Siam dan mayat - mayat mereka dicampak ke laut. Maka dimuliakanlah mereka dengan mati syahid dibunuh musuh yang ingin memadamkan obor suci Islam di bumi Fathani Darus Salam. Tuan Guru Haji Sulong mengikuti pengajian di Pondok Haji Abdul Rasyid Bandar, sebelum meneruskan pengajian ke Mekah al-Mukarramah pada tahun 1907, ketika berusia 12 tahun. Beliau sempat bertemu dan berguru dengan ulama terbilang, Tok Syaikh Wan Ahmad bin Musthafa al-Fathani rahimahullah yang masih mempunyai pertalian darah dengan beliau. Masa berguru dengan Tok Syaikh Wan Ahmad tidak lama kerana pada awal 1908, beliau berpulang ke rahmatullah. Di Mekah, Tuan Guru Haji Sulong belajar dengan ramai lagi masyaikh berbilang bangsa. Setelah 17 tahun mengaji di sana, barulah Tuan Guru Haji Sulong kembali menabur bakti dan berjuang di tanah kelahiran beliau, Fathani Darus Salam, yang ketika itu diancam proses siamisasi terhadap orang Melayu - Islam. Tuan Guru Haji Sulong tidak terkenal dengan karangan yang banyak atau penubuhan pondok pengajian yang gah, beliau lebih dikenali kerana perjuangan membela nasib umat dan agama dari ancaman kafir Siam sehingga nyawa jadi pertaruhan.

Di antara usaha ikhtiar Tuan Guru Haji Sulong adalah dengan menubuhkan sebuah madrasah yang dinamakan Madrasah al-Ma`arif al-Wathaniyyah yang begitu ditakuti oleh Siam sehingga diperintahkan untuk ditutup setelah hanya 3 tahun beroperasi. Bahkan, Siam pernah melarang Tuan Guru Haji Sulong untuk mengajar dan membaca kitab - kitab kepada umat Islam. Tuan Guru Haji Sulong pernah disumbatkan Siam ke penjara kerana perjuangannya untuk membela agama dan bangsa. Semua dugaan dan rintangan tersebut diharungi oleh beliau dengan tabah dan sabar serta penuh tawakkal kepada Allah `azza wa jalla. Mudah - mudahan Allah merahmati sentiasa Tuan Guru Haji Sulong dan memasukkan beliau ke syurga tanpa hisab. Untuk mengetahui lanjut kisah dan perjuangan beliau, bolehlah tuan puan cari di alam maya atau buku - buku penulisan, antaranya, Ulama Besar Dari Fathani karangan Ustaz Ahmad Fathi al-Fathani dan  Tuan Guru Haji Sulong Gugusan Cahaya Patani oleh Mohd. Zamberi Abdul Malek.

Tuan Guru Haji Sulong tidak banyak mengarang, kerana masanya lebih kepada perjuangan membela nasib umat dan agama yang sedang ditekan dan ditindas oleh kerajaan Siam. Setakat yang diketahui, beliau sempat menghasilkan tiga (3) buah karangan. Beliau menulis sebuah kitab dalam bidang usuluddin dinamakan Khulashatul Jawahir, sebuah lagi mengenai mawlid Junjungan Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam dengan jodol Cahaya Islam - Gugusan Mawlid Sayyidil Anam dan kitab terakhir beliau karang ketika dalam penjara di Ligor, berjodol Gugusan Cahaya Keselamatan. Tulisan terakhir beliau inilah yang paling masyhur dan digeruni oleh Siam, sehingga mereka mengharamkan penerbitannya dan menarikbalik serta memusnahkan segala naskhah yang beredar yang dapat diperolehi. Pada mukadimah kitab ini, Tuan Guru Haji Sulung menulis latar belakang penangkapan beliau pada 16 Januatri 1948 sehinggalah beliau dipenjarakan di Ligor. Beliau turut memuatkan senarai tuntutan rakyat Fathani kepada kerajaan Siam, sebagaimana yang dipersetujui dalam pertemuan ulama dan pemimpin Islam Fathani pada 1 April 1947. Kitab yang terdiri daripada  lima bab diakhiri dengan satu khatimah yang isinya:- Kenyataan wirid yang sangat berkat dunia dan akhirat bagi wali Allah yang besar Habib `Abdullah al-Haddad dan ratib baginya. Bagi memperkenalkan Ratib al-Haddad, Tuan Haji Sulong rahimahullah pada halaman 82, menulis sebagai berikut:- 
Ini ratib bagi Habib `Abdullah bin `Alawi al-Haddad, juga yang banyak manfaat dunia dan akhirat, lagi zahir berkatnya bagi mereka yang beramal akan dia. Iaitu diamal lepas sembahyang `Isyak dan Subuh. Dan jika diamalkan dengan perhimpunan ramai terlebih berkat daripada seorang diri. Berkata empunya ratib: "Barang siapa mengekali membaca ratib kami ini, dikurnia oleh Allah ta`ala akan dia atas sebaik -baik mati". Dan dipeliharakan daripada kebakaran rumahnya dan rumah yang sekampung dengan dia. Dan dipeliharakan daripada kecurian dan karam di dalam laut dan daripada kejahatan seteru dan daripada segala binatang - binatang yang bisa seperti ular dan kala dan lain - lain. Dan banyak lagi faedahnya, maka hendaklah beramal akan dia dengan berkekalan.
Begitulah serba sedikit tulisan Tuan Guru Haji Muhammad Sulum Fathani rahimahullah. Semoga bermanfaat dan marilah kita hadiahkan bacaan al-Fatihah kepada Tuan Guru Haji Sulong dan kepada para masyaikh kita terutama sekali yang ada dalam mata rantai amalan Ratibul Haddad, wa bil khusus, antaranya Habib Hamid bin `Alawi al-Kaaf yang menerimanya daripada Sayyid Muhammad Amin Kutubi yang menerimanya daripada Sayyid Husain `Aidid yang menerimanya daripada Sayyid `Idrus bin `Umar al-Habsyi yang menerimanya daripada Sayyid `Abdullah bin al-Husain bin Thahir yang menerimanya daripada Imam Thahir bin al-Husain bin Thahir yang menerimanya daripada Sayyid `Umar Saqqaf as-Saqqaf yang menerimanya daripada Sayyid Hasan bin `Abdullah al-Haddad yang menerimanya daripada ayahandanya yang empunya ratib, Habib `Abdullah bin `Alawi bin Muhammad al-Haddadridhwanullahi `alaihim ajma`in .... lahum minna al-Fatihah.

Jumaat, Julai 09, 2021

Tasbihnya tasbih Abu Muslim

Imam al-Khaulaani atau nama penuhnya Abu Muslim `Abdullah bin Tsuab ad-Darani al-Khaulaani adalah salah seorang tabi`in yang terkemuka. Nisbah al-Khaulaani itu merujuk kepada Khaulaan iaitu satu tempat di Yaman. Imam adz-Dzahabi menjoloki beliau sebagai Sayyid at-Tabi`in (Pemuka Golongan Tabi`in)  dan Zaahidul `Ashri. Beliau berasal dari Yaman dan memeluk Islam ketika hayat Junjungan Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam, namun tidak berkesempatan untuk bertemu dengan baginda. Beliau tiba di Madinah al-Munawwarah ketika kekhalifahan Sayyidina Abu Bakar ash-Shiddiq radhiyaAllahu `anhu. Beliau sempat bertemu dengan para pemuka sahabat seperti Sayyidina Abu Bakar dan Sayyidina Umar  radhiyaAllahu `anhuma, bahkan Baginda Umar radhiyaAllahu `anhu memuliakan beliau dengan mengucup kedua keningnya ...... Allahu .... Allah.

Imam al-Khaulaani radhiyaAllahu `anhu terkenal dengan banyak keramatnya. Antara yang masyhur adalah peristiwa di mana beliau dibakar oleh nabi palsu Yaman yang bernama al-Aswad al-`Ansiy al-Kadzdzab. Imam an-Nawawi rahimahullah menukil dalam "Bustanul `Arifin" pada halaman 204 - 205 sebagai berikut:- Dengan sanad al-Hafiz Abu Thahir as-Silafiy daripada Syurahbil bin Muslim bahawasanya al-Aswad bin Qais al-`Ansiy al-Kadzdzab ketika mendakwa dirinya sebagai nabi di Yaman telah mengundang Abu Muslim al-Khaulaani untuk datang kepadanya. Apabila Abu Muslim datang, al-Aswad berkata: "Adakah engkau bersaksi bahawa aku adalah rasul Allah?" Abu Muslim menjawab: "Aku tidak mendengarnya (yakni aku tidak menerima apa yang engkau katakan)." Al-Aswad berkata lagi: "Adakah engkau bersaksi bahawa Muhammad rasul Allah?" Abu Muslim menjawab: "Ya." Al-Aswad bertanya lagi: "Adakah engkau bersaksi bahawa aku rasul Allah?" Abu Muslim menjawab: "Aku tidak mendengarnya." Al-Aswad bertanya lagi: "Adakah engkau bersaksi bahawa Muhammad rasul Allah?" Abu Muslim menjawab: "Ya." Nabi palsu al-Aswad mengulang-ulang soalan - soalan tersebut berberapa kali, dan begitulah juga jawapan daripada Abu Muslim. Setelah kecewa untuk menyakinkan Abu Muslim, al-Aswad al-Kadzdzab memerintahkan agar dinyalakan unggun api yang besar lalu dicampakkanlah Abu Muslim al-Khaulani ke dalamnya. Namun api yang besar tersebut tidak dapat membakar atau memudaratkan Abu Muslim. Melihat kejadian tersebut, penasihat nabi palsu al-Aswad berkata kepadanya: "Buangkan dia (yakni Abu Muslim) dari negerimu kerana jika tidak dia akan merosakkan keyakinan pengikutmu." Lalu Abu Muslim pun dilepaskan keluar dari Yaman dan beliau pun menuju Madinah al-Munawwarah. Dipendekkan cerita, setiba di Madinah, Imam al-Khaulaani telah bertemu dengan Sayyidina 'Umar radhiyaAllahu `anhu yang membawanya bertemu dengan Sayyidina Abu Bakar radhiyaAllahu `anhu. Ketika bertemu dan mendengar kisahnya, Sayyidina Abu Bakar berkata (dalam sesetengah riwayat, antaranya riwayat Imam Ibnu Katsir bahawa yang berkata adalah Sayyidina 'Umar radhiyaAllahu `anhu): "Segala puji bagi Allah yang belum mematikan aku sehingga diperlihatkan kepadaku daripada kalangan umat Muhammad shallaAllahu `alaihi wa sallam seseorang yang telah diperlakukan dia seperti apa yang diperlakukan terhadap Nabi Ibrahim `alaihis salam Khalilur Rahman (yakni orang yang tidak terbakar oleh api sebagaimana Nabi Ibrahim tidak terbakar ketika dicampak ke dalam api oleh Namrud)."

Kisah keramat Imam al-Khaulaani ini telah diriwayatkan oleh ramai ulama kita, baik yang terdahulu mau pun  yang kemudian. Imam Abul Qasim, Hibatullah bin al-Hasan bin Manshur ath-Thabari ar-Razi asy-Syafie al-Laalika-i rahimahullah, seorang ulama dan ahli hadis yang wafat tahun 418H meriwayatkan kisah keramat tersebut dalam "Karamatul Awliya`" pada halaman 184, Kisah yang ke-145, manakala   Imam Ibnu Katsir (w. 774H) rahimahullah menukilkannya dalam "al-Bidayah wan Nihayah", pada juz ke-8, halaman 146.

Berbalik kepada jodol entri ini, faqir nukilkan satu lagi keramat yang berlaku kepada Imam Abu Muslim al-Khaulaani sebagaimana yang diriwayatkan oleh Imam Ibnu Katsir rahimahullah dalam kitab yang masyhur, "al-Bidayah wan Nihayah", juz ke-6, halaman 274, sebagai berikut:-  "... Adalah Abu Muslim al-Khaulaani mempunyai seutas tasbih yang beliau gunakan untuk berzikir. Satu ketika beliau tertidur sedangkan tasbih tersebut masih di tangannya. Maka tasbih itu terus berputar sendiri mengelilingi lengannya sambil mengucapkan ucapan: Subhaanaka Ya Mun(m)bitan Nabaat, wa Ya Daa-imats Tsabaat (Mahasuci Engkau wahai Tuhan yang menumbuhkan segala tumbuhan, wahai Tuhan yang Maha Kekal tetap wujud tanpa perubahan)." Imam al-Khaulaani terjaga dan menyaksikan hal itu, lalu beliau memanggil isterinya untuk sama menyaksikan keajaiban tersebut. Ketika isterinya datang, tasbih itu masih mengucapkan zikir tersebut sambil berputar sendiri sehinggalah isteri Imam al-Khaulaani duduk, maka tasbih itu pun berhenti.

Faqir datangkan kisah ini, walaupun sebahagian pentahqiq daripada kubu sebelah, meng"issue"kan riwayat kisahnya, kerana ada perawi kisah ini yang dipertikaikan. Mereka menjadikan periwayatan kisah - kisah atau peristiwa yang berlaku dalam kehidupan seseorang yang bukannya Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam seumpama periwayatan hadis-hadis Junjungan Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam dengan mengikut disiplin ilmu hadis yang ketat. Sedangkan ini hanyalah kisah cerita keramat yang berlaku kepada seorang wali daripada kalangan awliya` Allah. Cukuplah bagi kita, apabila ada daripada kalangan ulama menukilkannya dalam karya - karya mereka tanpa sebarang komentar, walaupun adakalanya shighah tamridh digunakan. Shahih atau batilnya kisah tersebut tidaklah dapat disamakan hukumnya seperti shahih atau maudhunya sesuatu hadis Junjungan Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam. Kisah tasbihnya tasbih Imam Abu Muslim al-Khaulaani telah diriwayatkan oleh Imam Abu Syaikh al-Isfahani @ al-Ashbihani (w.369) rahimahullah dalam kitab "al-`Adzamah" halaman 1730, Imam Ibnu 'Asakir (w.571H) meriwayatkannya dalam "Tarikh Madinah Dimasyq", juz ke-27 halaman 217, Imam as-Sayuthi menukilkannya dalam karya beliau "al-Minhatu fis Subhah" yang dicetak dalam "al-Hawi lil Fatawi", juz ke-2 halaman 4 dan muhaddits kontemporer, almarhum Imam Abil Hasanat Muhammad 'Abdul Hay al-Laknawi, menutup karya beliau tentang penggunaan dan hukum  subhah (yakni utasan tasbih yang makruf), "Hidayatul Abrar fi Subhatil Adzkar", pada halaman 82, dengan kisah ajaib ini.


Sebagaimana yang kita ketahui bahawa segala makhluk ciptaan Allah yang ada di 7 petala langit dan bumi serta segala isinya, semuanya bertasbih memuji Allah subhanahu wa ta`ala. Dalam surah al-Isra` ayat 44, Allah ta`ala berfirman yang kira - kira ertinya: "Langit yang tujuh dan bumi serta sekalian makhluk yang ada padanya, sentiasa mengucap tasbih bagi Allah; dan tiada sesuatupun melainkan bertasbih dengan memujiNya; akan tetapi kamu tidak faham akan tasbih mereka. Sesungguhnya Dia adalah Maha Penyabar, lagi Maha Pengampun." Makanya, jangan ingat kita sahaja yang reti bertasbih mengagungkan Allah, hanya sahaja kita tidak faham akan tasbih atau cara makhluk - makhluk tersebut bertasbih. Namun tidak mustahil bagi Allah untuk menyingkapkan hijab sehingga seseorang dapat mendengar atau memahami tasbih makhluk - makhluk tersebut. Jika kita telaah kitab - kitab hadis, kita akan berjumpa dengan berbagai riwayat bahawa di antara mukjizat yang pernah berlaku ke atas Junjungan Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam adalah benda - benda beku (jamadat) seperti makanan, batu kerikil dan seumpamanya pernah terdengar oleh sahabat bertasbih ketika dipegang oleh baginda shallaAllahu `alaihi wa sallam. Maka tidaklah pelik jika berlaku keramat sedemikian ke atas seorang wali daripada umat baginda shallaAllahu `alaihi wa sallam, di mana tasbihnya bertasbih dengan ucapan: Subhaanaka, Ya Mun(m)bitan Nabaat, wa Ya Daa-imats Tsabaat. Allah jualah yang Maha Mengetahui segalanya. 

Selasa, Jun 23, 2020

Habib 'Abdul Qadir Quthban

Habib 'Abdul Qadir bin Ahmad bin Quthban rahimahullah dilahirkan pada tahun 1255H di Kota Seiwun, Hadhramaut. Beliau membesar dalam keluarga yang shalih, alim lagi warak. Beliau mendapat didikan daripada para ulama Hadhramaut, antaranya, Habib Abu Bakar bin 'Abdullah al-'Aththas, Habib Hasan bin Shalih al-Bahar, Habib 'Abdullah bin Husain bin Thahir, Habib Muhsin bin 'Alwi as-Saqqaf dan Habib 'Abdul Rahman bin 'Ali as-Saqqaf rahimahumullah

Selain berdakwah dan menyebarkan ilmu, beliau juga memfokuskan dirinya untuk bermujahadah dan ber"tirakat", demi mendekatkan dirinya dengan Allah ta`ala. Antara wirid rutin beliau adalah membaca kitab shalawat Dalaailul Khairat sekhatam setiap selesai shalat fardhu. Beliau juga banyak mendirikan shalat - shalat sunnat dan setiap malam beliau akan bershalawat ribuan kali. Beliau mendalami penghayatan ilmu tasawwuf dan suka membaca sejarah hidup para imam sufi, terutama mengenai amal ibadah, keilmuan dan mujahadah mereka agar dapat dijadikan perangsang dan contoh ikutan. Apabila membaca suatu amalan, beliau cepat - cepat mengamalkannya agar tidak terlepas daripada ganjarannya. Para ulama dan awliya` sezaman mengakui ketokohan dan kewalian Habib 'Abdul Qadir Quthban, di antaranya Habib 'Ali bin Muhammad al-Habsyi (Shahibul Mawlid), Habib Ahmad bin Hasan al-'Aththas dan Habib 'Abdullah bin 'Alwi al-Habsyi rahimahumullah.

Dalam rehlah perjalanan dakwah, Habib 'Abdul Qadir Quthban pernah berdakwah sehingga ke Jawa, bahkan beliau lama tinggal di sana dan berdakwah di Kota Mojokerto. Keharuman nama dan keberhasilan beliau dalam berdakwah telah mengundang kedengkian segelintir manusia, lalu mereka merencana suatu fitnah terhadap beliau. Mereka mengupah seorang wanita yang hamil tua untuk mentohmah Habib 'Abdul Qadir dengan mengatakan bahawa kandungannya itu adalah hasil hubungan gelapnya dengan Habib 'Abdul Qadir. Habib 'Abdul Qadir telah dilaporkan kepada pihak penguasa dan dipanggil ke pengadilan. Ketika sidang berjalan, Allah ta`ala telah menzahirkan beberapa karamah untuk membersihkan nama Habib 'Abdul Qadir, antaranya, bayi dalam kandungan wanita tersebut lahir ketika disuruh oleh Habib 'Abdul Qadir Quthban dan bayi tersebut ketika ditanya menjawab bahawa bapanya adalah si fulan. Kisah karamah ini pernah diceritakan oleh Habib Shalih bin Muhsin al-Hamid rahimahullah @ Habib Shalih Tanggul dalam satu majlis dan sempat dicatat oleh murid beliau, Habib Muhammad bin Hud as-Saqqaf. Selepas peristiwa tersebut, Habib 'Abdul Qadir merasa tidak betah lagi tinggal di Jawa setelah karamah dan kewaliannya terbongkar. Maka pada 2 Shafar 1328H, beliau pulang ke Kota Seiwun. 

Habib 'Abdul Qadir Quthban wafat di Kota Seiwun pada tanggal 12 Shafar 1331H. Jenazah beliau telah diziarahi oleh ramai pelayat. Habib Ali al-Habsyi rahimahullah selepas selesai upacara pemakaman, telah menyampaikan ucapan belasungkawa antara lain menyatakan sebagai berikut: "Sayyid ini telah mengadap Tuhannya, beliau mempunyai amalan - amalan yang hanya diketahui oleh Allah subhanahu wa ta`ala. Buah - buah amalannya itu akan terus berkembang. Beliau adalah sebahagian daripada insan yang paling mulia di sisi Allah subhanahu wa ta`ala dan Baginda Rasulullah shallaAllahu `alaihi wa sallam." Mudah - mudahan Allah melimpahkan rahmatNya kepada Habib 'Abdul Qadir Quthban dan menyampaikan keberkatannya kepada kita sekalian, al-Fatihah.