Isnin, September 27, 2021

Ratibul Haddad - TG Hj Sulong

Tuan Guru Haji Sulum @ Sulong rahimahullah, cicit kepada Tuan Minal al-Fathani (pengarang Kasyful Litsam dan `Aqidatun Najin), adalah antara pejuang dan ulama yang terkenal di Fathani Darus Salam. Beliau lahir sekitar tahun 1895 dan hilang ditangkap oleh Siam pada tahun 1954. Dipercayai yang beliau bersama 3 orang lagi termasuklah anak beliau telah dibunuh oleh Siam dan mayat - mayat mereka dicampak ke laut. Maka dimuliakanlah mereka dengan mati syahid dibunuh musuh yang ingin memadamkan obor suci Islam di bumi Fathani Darus Salam. Tuan Guru Haji Sulong mengikuti pengajian di Pondok Haji Abdul Rasyid Bandar, sebelum meneruskan pengajian ke Mekah al-Mukarramah pada tahun 1907, ketika berusia 12 tahun. Beliau sempat bertemu dan berguru dengan ulama terbilang, Tok Syaikh Wan Ahmad bin Musthafa al-Fathani rahimahullah yang masih mempunyai pertalian darah dengan beliau. Masa berguru dengan Tok Syaikh Wan Ahmad tidak lama kerana pada awal 1908, beliau berpulang ke rahmatullah. Di Mekah, Tuan Guru Haji Sulong belajar dengan ramai lagi masyaikh berbilang bangsa. Setelah 17 tahun mengaji di sana, barulah Tuan Guru Haji Sulong kembali menabur bakti dan berjuang di tanah kelahiran beliau, Fathani Darus Salam, yang ketika itu diancam proses siamisasi terhadap orang Melayu - Islam. Tuan Guru Haji Sulong tidak terkenal dengan karangan yang banyak atau penubuhan pondok pengajian yang gah, beliau lebih dikenali kerana perjuangan membela nasib umat dan agama dari ancaman kafir Siam sehingga nyawa jadi pertaruhan.

Di antara usaha ikhtiar Tuan Guru Haji Sulong adalah dengan menubuhkan sebuah madrasah yang dinamakan Madrasah al-Ma`arif al-Wathaniyyah yang begitu ditakuti oleh Siam sehingga diperintahkan untuk ditutup setelah hanya 3 tahun beroperasi. Bahkan, Siam pernah melarang Tuan Guru Haji Sulong untuk mengajar dan membaca kitab - kitab kepada umat Islam. Tuan Guru Haji Sulong pernah disumbatkan Siam ke penjara kerana perjuangannya untuk membela agama dan bangsa. Semua dugaan dan rintangan tersebut diharungi oleh beliau dengan tabah dan sabar serta penuh tawakkal kepada Allah `azza wa jalla. Mudah - mudahan Allah merahmati sentiasa Tuan Guru Haji Sulong dan memasukkan beliau ke syurga tanpa hisab. Untuk mengetahui lanjut kisah dan perjuangan beliau, bolehlah tuan puan cari di alam maya atau buku - buku penulisan, antaranya, Ulama Besar Dari Fathani karangan Ustaz Ahmad Fathi al-Fathani dan  Tuan Guru Haji Sulong Gugusan Cahaya Patani oleh Mohd. Zamberi Abdul Malek.

Tuan Guru Haji Sulong tidak banyak mengarang, kerana masanya lebih kepada perjuangan membela nasib umat dan agama yang sedang ditekan dan ditindas oleh kerajaan Siam. Setakat yang diketahui, beliau sempat menghasilkan tiga (3) buah karangan. Beliau menulis sebuah kitab dalam bidang usuluddin dinamakan Khulashatul Jawahir, sebuah lagi mengenai mawlid Junjungan Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam dengan jodol Cahaya Islam - Gugusan Mawlid Sayyidil Anam dan kitab terakhir beliau karang ketika dalam penjara di Ligor, berjodol Gugusan Cahaya Keselamatan. Tulisan terakhir beliau inilah yang paling masyhur dan digeruni oleh Siam, sehingga mereka mengharamkan penerbitannya dan menarikbalik serta memusnahkan segala naskhah yang beredar yang dapat diperolehi. Pada mukadimah kitab ini, Tuan Guru Haji Sulung menulis latar belakang penangkapan beliau pada 16 Januatri 1948 sehinggalah beliau dipenjarakan di Ligor. Beliau turut memuatkan senarai tuntutan rakyat Fathani kepada kerajaan Siam, sebagaimana yang dipersetujui dalam pertemuan ulama dan pemimpin Islam Fathani pada 1 April 1947. Kitab yang terdiri daripada  lima bab diakhiri dengan satu khatimah yang isinya:- Kenyataan wirid yang sangat berkat dunia dan akhirat bagi wali Allah yang besar Habib `Abdullah al-Haddad dan ratib baginya. Bagi memperkenalkan Ratib al-Haddad, Tuan Haji Sulong rahimahullah pada halaman 82, menulis sebagai berikut:- 
Ini ratib bagi Habib `Abdullah bin `Alawi al-Haddad, juga yang banyak manfaat dunia dan akhirat, lagi zahir berkatnya bagi mereka yang beramal akan dia. Iaitu diamal lepas sembahyang `Isyak dan Subuh. Dan jika diamalkan dengan perhimpunan ramai terlebih berkat daripada seorang diri. Berkata empunya ratib: "Barang siapa mengekali membaca ratib kami ini, dikurnia oleh Allah ta`ala akan dia atas sebaik -baik mati". Dan dipeliharakan daripada kebakaran rumahnya dan rumah yang sekampung dengan dia. Dan dipeliharakan daripada kecurian dan karam di dalam laut dan daripada kejahatan seteru dan daripada segala binatang - binatang yang bisa seperti ular dan kala dan lain - lain. Dan banyak lagi faedahnya, maka hendaklah beramal akan dia dengan berkekalan.
Begitulah serba sedikit tulisan Tuan Guru Haji Muhammad Sulum Fathani rahimahullah. Semoga bermanfaat dan marilah kita hadiahkan bacaan al-Fatihah kepada Tuan Guru Haji Sulong dan kepada para masyaikh kita terutama sekali yang ada dalam mata rantai amalan Ratibul Haddad, wa bil khusus, antaranya Habib Hamid bin `Alawi al-Kaaf yang menerimanya daripada Sayyid Muhammad Amin Kutubi yang menerimanya daripada Sayyid Husain `Aidid yang menerimanya daripada Sayyid `Idrus bin `Umar al-Habsyi yang menerimanya daripada Sayyid `Abdullah bin al-Husain bin Thahir yang menerimanya daripada Imam Thahir bin al-Husain bin Thahir yang menerimanya daripada Sayyid `Umar Saqqaf as-Saqqaf yang menerimanya daripada Sayyid Hasan bin `Abdullah al-Haddad yang menerimanya daripada ayahandanya yang empunya ratib, Habib `Abdullah bin `Alawi bin Muhammad al-Haddadridhwanullahi `alaihim ajma`in .... lahum minna al-Fatihah.

Tiada ulasan: