Sabtu, September 04, 2021

Pesan Sedekah Ke Anjing

Dulu ketika kecil, almarhumah ibu faqir pernah bercerita mengenai "pesan - pesan pelik" orang-orang tua dahulu kepada bakal - bakal haji yang hendak berangkat ke tanah suci. Antaranya bersedekah kepada binatang yang ada di kota - kota suci tersebut dengan memberi mereka makan. Pelik juga jika difikirkan, namun bila direnung - renung, sedekah kepada manusia itu sudah biasa dan lumrah, tak dipesan pun orang akan buat. Jadi make sense jugak jika yang dipesan adalah untuk bersedekah kepada binatang, yakni agar meratai ibadah sedekah kita, rahmat belas ihsan kita daripada manusia sehinggalah kepada binatang, yang juga makhluk ciptaan Allah dan tanda keagungan, kebesaran, kekuasaanNya. Lagi pun telah masyhur beberapa riwayat shahih tentang seseorang yang mendapat keampunan dan keselamatan, bahkan dimasukkan ke syurga, dengan sebab memberi minum anjing yang kehausan. Sehingga diriwayatkan bahawa Junjungan Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam ketika ditanya oleh para sahabat: "Adakah kita memperolehi pahala daripada haiwan - haiwan liar?" Baginda shallaAllahu `alaihi wa sallam menjawab: "Pada setiap hati yang basah itu ada ganjaran" (yakni berbuat ihsan seperti bersedekah dengan memberi makan dan minum kepada makhluk - makhluk yang bernyawa hatta haiwan sekalipun mempunyai ganjaran balasan pahala)

Mengenai kisah pesanan bersedekah kepada anjing di Tanah Haram, maka faqir terjumpa dengan klip yang ingin faqir kongsikan. Satu kisah yang diceritakan oleh Syaikh Khwaja Mohammad Alauddin Siddiqui (1938 - 2017M), seorang ulama sufi dan mursyid thariqat Naqsyabandi Shiddiqi Mujaddidi. Dari nada dan suara mawlana dengan bantuan sarikata, in sya Allah kita boleh faham ceritanya. Syaikh rahimahullah menceritakan kisah pengalaman beliau dengan seorang doktor yang telah dipesan oleh gurunya untuk bersedekah kepada anjing - anjing di Kota Madinah al-Munawwarah. Dalam kisah ini ada pengajaran dan falsafah tentang pentingnya kita sentiasa merendah diri dan tawadhu, jangan sekali - kali bersikap ujub dan melihat diri kita hebat dan bermartabat.....Allahu Allah. Semoga Allah merahmati sentiasa Syaikhul `Aalaam Khwaja Mohammad `Alauddin Siddiqui.....al-Fatihah.


Tiada ulasan: