Ahad, September 12, 2021

Talqin Pendek

Mentalqinkan mayat setelah dia dikebumikan telah menjadi amalan kita, para pengikut Mazhab Syafie. Talqin itu adalah pesanan atau peringatan yang membimbing, disampaikan dan ditujukan kepada si mati yang akan menghadapi pertanyaan malaikat Munkar dan Nakir
`alaihimas salam, dengan harapan si mati akan lebih tenang dan lebih mantap untuk menghadapi kedua - dua makhluk Allah tersebut. Jadi sasaran talqin itu adalah kepada orang yang di dalam kubur itu. Ini perlu difahami kerana ada juga orang yang mengaku bermazhab Syafie dan mengamalkan talqin, namun apa yang dilakukannya bukanlah talqin tetapi berceramah atas kubur, bermain dengan emosi hadirin yang berada atas kubur berbanding mentalqinkan yang di dalam kubur. Itu bukan talqin, tapi ceramah atau khutbah, ada pula yang terbawa - bawa fikrah politik, siap ceramah politik pulak atas kubur. Jika ceramah atau khutbah ditujukan kepada yang masih hidup, maka itu bukan talqinul mayyit `inda qabrihi (mentalqinkan mayat di kuburnya), fahamkanlah.

Berbalik kepada talqin, hukum talqin ini adalah sunnat atau mustahab dalam mazhab kita, noktah. Jadi bagi sesiapa yang melakukannya, dia akan mendapat ganjaran pahala, manakala orang yang meninggalkannya tidaklah berdosa. Jika begitu, kedudukannya adalah elok dilakukan dan bukan ditinggal. Maka agar semua orang yang hendak melakukannya dapat berbuat sedemikian, kerana ia merupakan satu pintu mendapatkan pahala dan juga, in sya Allah, satu ihsan dan upaya untuk membantu si mati yang mungkin tengah terkejut "san beriyan" berhadapan detik pertama di alam kubur, faqir bawakan "talqin pendek" sebagaimana riwayat yang ada dalam karangan ulama kita. Mudah - mudahan dengannya kita dapat mengamalkan amalan mentalqinkan si mati, tanpa merasa bahawa amalan talqin ini susah, jika tak ada tok lebai atau tok imam atau ustaz yang boleh baca talqin, dok pakat tak buatlah kita dengan alasan tak hafal atau tak lancar nak membaca teks talqin yang panjang dan dan dan dan dan sebagainya. Juga boleh dibaca ketika perlu meringkaskan proses pengkebumian seperti ketika zaman pandemik ini atau sebagainya. Tuan - tuan, Qunut Subuh yang hukumnya sunnat ab`adh pun ulama kita rumuskan memadai dengan doa - doa pendek yang biasa orang kita sebut "qunut pendek", inikan pula sekadar talqin yang hukum mustahab sahaja dalam mazhab.

Kita mungkin sudah biasa mendengar istilah "Qunut Pendek", iaitu rangkaian beberapa kalimah doa seperti "Allahummagh firli, ya Ghafuur" atau seumpamanya, ditambah shalawat dan salam yang singkat, sebagai ganti qunut yang biasa dibaca dalam shalat Subuh, bagi sesiapa yang belum hafal qunut panjang atau sedang ada keperluan untuk meringkaskan shalatnya atau yang sengaja malas. Dalam entri ini, faqir bawakan "Talqin Pendek" yang dinukil oleh Mahaguru ilmu hadis bergelar amirul mu'minin fil hadits, Imam al-Hafiz Ibnu Hajar al-`Asqalani rahimahullah. Faqir petik dari kitab beliau yang khusus menghimpunkan hadis -hadis yang menjadi sebahagian dalil bagi hukum hakam dengan jodol "Bulughul Maraam min Adillatil Ahkam".

Dalam kitab tersebut pada kitabul janaaiz, Imam Ibnu Hajar meriwayatkan hadits daripada Dhamrah bin Habib radhiyaAllahu `anhu - seorang tabi`in - yang berkata: "Adalah mereka (yakni sebahagian sahabat Junjungan Nabi) menyukai, ketika selesai si mati dikebumikan dan para pelayat mula beredar, agar diucapkan di sisi kuburnya:- " Wahai fulan, katakanlah: La ilaha illa Allah (tiada tuhan melainkan Allah)," sebanyak tiga kali. Wahai fulan, katakanlah: RabbiyaAllah, wa diiniyal Islam, wa nabiyyi Muhammad (Tuhanku Allah, agamaku Islam dan nabiku Muhammad)." Hadis mauquf (yakni hadis yang sanadnya hanya sampai kepada tabi`in sahaja) diriwayatkan oleh Sa`id bin Manshur.

Perbahasan tentang status, kekuatan dan penghujjahan dengan hadis ini, tidaklah menjadi fokus entri ini. Kita semuanya telah bersetuju bahawa menurut Mazhab Syafie, hukum mentalqinkan si mati setelah dikubur adalah amalan yang mustahab dan dianjurkan. Mereka - mereka yang tidak bersetuju, itu hak mereka, dan sebagaimana mereka berhak untuk berpegang dengan keyakinan mereka, maka kita juga sedemikian. Makanya, faqir tidak berhajat memanjangkan perbahasan ikhtilaf dan pendalilannya di sini - mengabihkan boreh saja boss - sebab telah tuntas dibahas oleh para ulama kita. 

Selanjutnya, faqir nukil daripada karangan Mawlana Syaikh Daud al-Fathani rahimahullah yang berjodol Kaifiyat Khatam al-Quran pada halaman 83, di mana beliau menganjurkan talqin yang pendek ini dibaca setelah membaca talqin yang panjang. Beliau menulis, antara lain:- ....Kemudian maka dibaca doa ini pula tatkala habis talqin itu. Maka hendaklah dikatanya pada mayyit itu: "Ya fulan bin fulan, yakni diserukan nama orang mati itu dan diseru nama ibunya jika tahu dan jika tiada maka diserukan namanya jua, (katakanlah) RabbiyaAllah, wa diiniyal Islam wa nabiyyi Muhammad shallaAllahu `alaihi wa sallam", maka dibaca pula .....(doa).... 

Oleh itu disukai untuk menghimpunkan dua shighah talqin, iaitu talqin panjang yang berasaskan kepada riwayat Abu Umamah al-Bahili dengan talqin pendek berdasarkan kepada riwayat Dhamrah bin Habib. Maka sebagaimana disukai untuk menghimpunkan Qunut Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam dengan Qunut Sayyidina `Umar radhiyaAllahu `anhu, dan memadai dengan salah satu daripadanya, maka begitulah juga dengan talqin. Maka disukai untuk menghimpunkan keduanya dan memadai dengan salah satu daripadanya jua.

Kesimpulannya, bahawa talqin itu ditujukan kepada si mati setelah selesai dikebumikan dengan apa jua bentuk lafaz yang boleh membantunya menghadapi soalan Munkar dan Nakir `alaihimas salam. Ianya boleh dilakukan dengan apa jua bahasa kerana ulama berbeza pendapat mengenai bahasa yang digunakan. Secara umum, ianya dilafazkan dalam Bahasa Arab, namun boleh sahaja jika digunakan Bahasa Melayu atau apa jua bahasa yang difahami oleh simati, bahkan ada juga qil mengatakan dengan Bahasa Farsi atau dengan empat kalimah dalam Bahasa Siryani. Begitulah keluasan yang ada dalam melaksanakan amalan talqin bagi si mati. Oleh itu, eloklah bagi kita yang mengikut para ulama asy-Syafi`iyyah untuk melakukannya walaupun dengan ucapan yang ringkas, mudah - mudahan kita mendapat ganjaran pahala atasnya dan juga atas ihsan yang kita tunjukkan kepada si mati. Kita juga mengharapkan si mati yang di dalam kubur itu mendengarnya dan diberi bimbingan dalam menghadapi soal kubur. Kepada Allah jualah kita berserah dan berharap. Akhirul kalam, faqir datangkan dengan satu doa yang ringkas yang sewajarnya kita baca ketika proses pengkebumian, tak kiralah dibaca talqin atau tidak. Doanya ringkas sahaja, nak yang panjang hang pa cari sendiri. Doanya faqir tulis, dengan gantinama bagi mayat lelaki, jika perempuan tukar sahaja dhamir "hu" ke "ha", jika tak ditukar pun tak mengapa yang penting jangan jadi "huha" "huha", inilah doanya:-

اَللَّهُمَّ لَقِّنْهُ حُجَّتَهُ

Allahumma laqqin-hu hujjata-hu

(Ya Allah, bimbingkan dia dalam hujjahnya)

Syaikh Mahmud al-Huut mentalqinkan almarhumah ibu beliau.


Tiada ulasan: