Selasa, September 14, 2021

Kisah Ibu Syabib

Ibnu Qayyim al-Jawziyyah rahmatullah `alaih yang namanya sering disebut - sebut dan menjadi sandaran parti sebelah, dalam kitab beliau ar-Ruuh pada halaman 29 - 32 menjadikan amalan mentalqin mayat sebagai antara dalil untuk membuktikan bahawa orang mati yang berada di dalam kubur itu masih boleh mendengar. Beliau menyatakan, antara lainnya:- ... Dan antara nas yang menunjukkan atas perkara ini (yakni atas mendengarnya simati dalam kubur) adalah amalan mentalqinkan orang mati di sisi kuburnya yang telah dilakukan oleh orang sejak dahulu hinggalah sekarang. Kalaulah si mati tidak mendengar talqin tersebut dan mengambil manfaat dengannya, sudah tentu amalan ini tidak berfaedah dan sia - sia. Imam Ahmad rahimahullah telah ditanya mengenai masalah talqin ini dan beliau menganggapnya sebagai amalan yang baik kerana telah menjadi amalan orang ramai ..............Walaupun hadis tersebut (yakni hadits talqin Abu Umamah) tidak sabit (pada kesahihannya), namun jika dihubungkan kepada fakta bahawa amalan membaca talqin ini telah menjadi amalan orang ramai di segenap kota dan pada setiap masa tanpa sebarang pengingkaran, adalah memadai untuk dijadikan dalil bagi amalan ini..... 

Inilah pernyataan Ibnu Qayyim dalam kitab tersebut, mungkin pihak - pihak yang tidak bersetuju, mempunyai tanggapan lain mengenai pernyataan ini. Apa - apa pun, diharap pihak - pihak yang tidak mahu bertalqin, tak perlulah sampai ke tahap anti-talqin. Brek sikit, kerana amalan bertalqin ini walaupun dianggap sebagai amalan yang sabit mustahab di sisi pengikut Mazhab Syafie, namun ada ulama daripada kalangan tiga mazhab yang lain turut bersetuju dengan pendapat mazhab kita. Janganlah kita membodohkan diri dengan beranggapan bahawa hanya orang kampung kita sahaja yang membaca talqin atas kubur atau amalan ini baru saja dimulakan oleh tok lebai kampung kita.

Selanjutnya, Ibnu Qayyim dalam kitab tersebut pada halaman 33 membawa satu cerita sebagai berikut:- Syabib bin Syaibah berkata: "Ibuku ketika hampir ajalnya telah berwasiat kepadaku dengan berkata: "Wahai anakku, setelah engkau selesai menguburku, berdirilah di sisi kuburku dan ucapkan: "Wahai Ibu Syabib, katakan la ilaha illa Allah." Maka setelah beliau meninggal dan aku mengkebumikannya, aku pun berdiri di sisi kuburnya lalu berkata:"Wahai Ibu Syabib, katakan: la ilaha illa Allah", kemudian aku pun beredar. Maka ketika malamnya, aku bermimpikan ibuku dan beliau berkata: "Wahai anakku, hampir - hampir sahaja aku binasa jika aku tidak mendengar seruan la ilaha illa Allah tersebut, sungguh telah engkau tunaikan wasiatku, wahai anakku."

Begitulah kisahnya, jangan pula dituduh kita menjadikan kisah ini sebagai dalil untuk bertalqin. Sesungguhnya bagi talqin itu ada dalil - dalil yang diterima oleh para ulama kita menurut ilmu dan ijtihad mereka untuk dijadikan sandaran. Kisah ini walaupun tidak dijadikan dalil, ianya adalah satu kisah yang dinukilkan oleh para ulama termasuklah Ibnu Qayyim al-Jawziyyah sebagai sesuatu yang patut dan layak untuk ditulis dalam kitab - kitab mereka. Percaya atau tidak, ianya tidak menjadi masalah. 

Tiada ulasan: