Kisah Keberkatan Yaasin
Entri kali ini faqir kongsikan satu kisah atau cerita yang dimuatkan oleh Syaikh Zainuddin al-Malibari rahimahullah, pengarang Fathul Mu`in, dalam satu lagi karya beliau yang berjodol Irsyaadul `Ibaad ila Sabiilir Rasyaad. Kitab ini telah disyarahkan oleh ulama besar Nusantara, pengarang Siraajuth Thaalibiin syarah bagi kitab Minhaajul `Aabidiin karangan Hujjatul Islam al-Ghazali radhiyaAllahu `anhu, Syaikh Ihsan bin Dahlan al-Jampesi al-Kediri rahimahullah. Syaikh Ihsan dilahirkan pada tahun 1901 dan wafat pada tahun 1952. Beliau antara ulama yang tidak pernah mengenyam pengajian di Timur Tengah, namun ilmunya setanding dengan para ulama di sana. Beliau menguasai ilmu - ilmu alat, seperti nahwu dan sharaf, sehingga dapat mengarang kitab - kitab besar berbahasa Arab yang bermutu tinggi, walaupun lidahnya tidak fasih bertutur dalam bahasa tersebut, kerana jiran - jiran dan orang sekampungnya semua berbahasa Jawa. Inilah antara keistimewaan Syaikh Ihsan dari Jampes, Kediri. Syarah beliau bagi Irsyaadul `Ibaad itu berjodol Manaahiijul Imdaad dalam dua jilid tebal.
Berbalik kepada Irsyaadul `Ibaad, Syaikh Zainuddin al-Malibari pada halaman 56 menukilkan satu cerita daripada seorang ulama terkenal, Imam al-Yafi`i al-Yamani rahimahullah sebagai berikut:- Aku (yakni Imam al-Yafi`i) telah mendengar daripada seorang yang shalih di salah satu kota di negeri Yaman bahawa pernah suatu ketika dia selesai mengebumikan satu jenazah dan orang - orang yang ikut menghantar jenazah tersebut telah bersurai, dia mendengar bunyi satu pukulan atau cambukan yang kuat lagi dahsyat dari dalam kubur si mati. Lalu muncul dari kubur tersebut seekor anjing hitam. Syaikh tersebut terperanjat dan berkata: "Aduh celaka, apakah engkau?" Anjing tersebut menjawab: "Aku adalah amalan si mati (yakni amalan buruknya yang dirupakan sebagai seekor anjing ganas)." Syaikh tersebut bertanya lagi: "Apakah pukulan tadi bagi engkau atau bagi si mati?" Anjing tersebut menjawab: "Bahkan, pukulan tadi adalah bagiku, ketika aku hendak menyerang si mati, aku dapati di sisinya ada surah Yaasin dan saudara - saudaranya (yakni surah - surah yang telah disebut terdahulu seperti as-Sajadah dan al-Mulk yang seperti Yaasin berkelebihan untuk memberikan syafaat dalam kubur) yang menghalangi antara aku dan dia, lalu aku dicambuk dan diusir."
Allahu ...Allah, begitulah kisahnya. Ingat ini hanya sebuah cerita, terpulang untuk percaya atau tidak. Namun, tidaklah menjadi bid`ah qabihah untuk mengistiqamahkan bacaan surah - surah yang mempunyai kelebihan tertentu seperti Yaasin, as-Sajadah dan al-Mulk, samada setiap malam atau sekali seminggu teristimewa di malamnya Sayyidul Ayyam. Jika ada yang membid`ahkan kita membaca surah - surah tersebut pada malam Jumaat, usah gusar kerana kita punya Hujjatul Islam al-Ghazali yang menganjurkan kita membaca surah - surah tersebut pada malam Jumaat sebagaimana yang beliau sebut dalam Bidaayatul Hidaayah. Tentang syafaat dan pembelaan daripada amal - amal shalih seperti shalat, tilawah dan seumpamanya bagi si pelaku ketika di dalam kubur atau di alam barzakh memang ada beberapa riwayat dengan berbagai darjat. Antaranya adalah riwayat yang mafhumnya bahawa ketika malaikat azab hendak mendatangi si mati dari arah kepalanya, maka ibadah membaca al-Quran si mati akan menghalangnya; Jika dia datang dari arah sisi, maka sedekah si mati akan jadi penghalang; Dan jika dia datang dari arah kaki, maka ibadah si mati berjalan ke masjid akan menolaknya. Begitu juga telah datang riwayat bahawa amalan shalih si mati akan dimisalkan atau dirupakan dengan bentuk atau rupa atau sosok yang cantik, indah rupawan, tampan lagi semerbak wangi sebagai penghibur dan temannya, manakala amalan buruknya dirupakan dengan bentuk atau rupa atau sosok yang hodoh menyeramkan lagi busuk baunya. Semoga Allah memuliakan kita ketika kita berada di alam barzakh dengan pelbagai rupa rahmat dan nikmat atau setidak - tidaknya kita ditidurkan Allah sebagaimana tidurnya pengantin, tenang, aman damai daripada fitnah dan azab kubur. Allahumma aamiin.
Kelebihan Membaca Yaasin - UAI



Tiada ulasan:
Catat Ulasan