Allah tak bertempat
Menduduki sesuatu tempat atau mempunyai arah tempat duduk atau keberadaan adalah sifat bagi makhluk, maka Allah yang bersifat dengan mukhalafatuhu ta`ala lil hawadits sekali - kali tidak mempunyai tempat atau arah tempat. Maka tidak boleh dikatakan tempat Allah di atas atau di bawah atau di kanan atau di kiri atau di tengah atau di dalam atau di luar, kerana itu semuanya mentasybihkan atau menyerupakan Allah dengan makhluk. Penyataan bahawa Allah itu di atas atau fawq atau `uluw merujuk kepada makanah atau status atau pangkat atau darjat kedudukan Allah yang paling tinggi, paling atas, Maha Tinggi, Maha Atasan iaitu yang teratas daripada segala atasan. Sekali - kali tidak bererti Allah bertempat di pihak atas. Mereka yang berkeyakinan Allah itu berpihak di sebelah atas sebenarnya keliru kerana pihak atas kita adalah bawahnya orang dan bawahnya kita itu adalah atasnya orang, kerana bumi ini bulat. Maka tidak hairan jika pihak yang menyatakan Allah itu bertempat di atas, ada yang mati - mati mempertahankan bahawa bumi kita ini datar dan bukannya bulat. Bahkan ada yang mengkafirkan sesiapa yang percaya bumi ini bulat. Perkara Allah tidak bertempat merupakan asas bagi akidah yang benar, ianya tertera dalam kitab - kitab akidah termasuklah matan - matan asas seperti Akidah ath-Thahawiyyah yang juga popular di kalangan golongan sebelah, walaupun sebahagian isinya mereka pertikaikan atau takwilkan mengikut selera pegangan mereka sendiri.
Imam Abu Ja'far Ahmad bin Muhammad ath-Thahawi al-Hanafi al-Mishri @ Imam Thahawi rahimahullah dalam matan al-`Aqidah ath-Thahawiyyah halaman 15 dengan jelas menyatakan, sebagai berikut:
Maha Tinggi Allah daripada mempunyai batasan had, mempunyai jarak, jauh dekat, berujung berpangkal, berorgan, berjuzuk, beranggota dan memerlukan peralatan. Dia tidak dicakupi atau diliputi oleh jihat (arah) yang enam ( atas, bawah, kanan, kiri, depan dan belakang) seperti makhluk ciptaan (yakni diliputi arah adalah sifatnya makhluk)."Maka tidak boleh dinisbahkan atas sebagai arah bagi Allah, cuma dikatakan sedemikian bagi merujuk kepada makanah iaitu status kedudukan pangkat Allah yang Maha Tinggi. Menariknya lagi, pernyataan ini tertera sebelum Imam Thahawi berbicara mengenai Isra` Mi`raj.
Orang yang berkeyakinan Allah bertempat atau berarah di atas langit atau di arasy, sering mendakwa bahawa peristiwa mi'raj Junjungan Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam membuktikan bahawa Allah itu tempatnya atau arahnya di atas atau di arasy, dengan kata lain mereka berkeyakinan bahawa Allah itu seperti makhluk, yakni mempunyai tempat dan mempunyai arah. Para ulama kita Ahlus Sunnah wal Jama`ah telah menjawab dengan tuntas syubhah yang didatangkan oleh puak ini dalam banyak karangan mereka. Untuk entri ini, faqir menukilkan tulisan seorang ulama besar dan imamnya para ulama tasawwuf, Imam Abul Qasim `Abdul Karim bin Hawazin al-Qusyairi (w. 465H) rahimahullah, lebih terkenal dengan gelaran Imam Qusyairi pengarang kitab Risalah Qusyairiyyah, kitab tasawwuf yang popular. Dalam Kitab al-Mi'raj, pada halaman 70 - 71, dinyatakan, antaranya, sebagai berikut:-
Masalah: Jika ditanyai orang, adakah peristiwa mi'raj ini menunjukkan atau menjadi dalil bahawa Allah ta`ala Tuhan yang disembah berada di pihak / arah atas, sehingga Dia menaikkan Nabi ke atas? Jawabnya, peristiwa mi'raj tidak menunjukkan atau menjadi dalil bagi yang sedemikian, bahkan Allah yang Maha Qadim lagi Maha Suci, tiada bagiNya arah dan batas, Dia tidak menyatu dengan makhluk dan tidak juga terpisah daripada mereka (yakni Allah tidak berjarak samada jauh atau dekat). Adalah mustahil untuk mensifatkan Allah dengan bertempat, Allah ta`ala sedia telah wujud sejak azali tanpa tempat dan Dia sekarang wujud seperti wujud yang sebelumnya (yakni sebagaimana sebelum diciptakan makhluk, Allah tidak bertempat, maka berkekalanlah Dia tidak bertempat selepas menciptakan makhlukNya, Maha Suci Allah dari sifat berubah - ubah, bertempat dan berarah). Allah tidak terbeban oleh sesuatu dan tidak diliputi oleh jarak.Jika ditanyai lagi: Lalu apakah yang dimaksud dengan firman Allah dalam surah an-Najm ayat 8: ..."Kemudian dia mendekatkan dirinya (kepada Muhammad) sedikit demi sedikit."...? Maka para ahli tafsir mengatakan bahawa yang mendekat kepada Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam adalah Jibril dalam rupanya yang asli ciptaan Allah..........Ada juga yang mengatakan bahawa yang dimaksudkan adalah kedekatan Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam dengan Allah dari segi kemuliaan dan ketinggian darjat (dunuw karamatan wa manzilatan) (yakni dikatakan Nabi dekat dengan Allah bermaksud kemuliaan dan pangkat kedudukan baginda yang istimewa di sisi Allah sehingga disifatkan sebagai hampir dengan Allah ta`ala, bukannya Allah menduduki atau menempati suatu tempat yang dekat dengan baginda). Ada perbezaan antara "dekat yang berhubung dengan tempat (al-makan)" dan "dekat yang berhubung dengan pangkat kedudukan (al-makanah)..........
Maka inilah dimaksudkan bila dikatakan Allah di atas atau fawq atau `uluw, yakni merujuk kepada makanah, iaitu pangkat kedudukanNya yang Maha Tinggi. Mudah - mudahan kejap dalam hati sanubari kita bahawa Allah Maha Suci dari bertempat dan berjarak, bak kata setengah ahli sufi: "Allah itu jauh tak berantara, dekat tak bersentuh".
Sepakat Ahli Kalam & Ahli Hadis
Tiada ulasan:
Catat Ulasan