Isnin, Mei 30, 2022

Bismillah 6

Sewaktu kecil, antara amalan yang sering faqir dengar daripada orang tua - tua ketika itu adalah doa / zikir Bismillah Enam (6). Faqir teringat sekitar tahun 1982, pesawat Cessna 26 yang membawa Tan Sri Ghazali Shafie terhempas dan hanya beliau yang selamat pun dikaitkan dengan amalan Bismillah 6 yang dikatakan sebagai amalan beliau, begitulah faqir dimaklumkan oleh seorang tua yang pernah menjadi pegawai tinggi kerajaan ketika itu. Sejauhmana kebenarannya tidaklah faqir ketahui, hanya Allahlah yang Maha Mengetahui. Sebagai budak, faqir hanya dengar dan terima sahaja seadanya.

Faqir juga telah mendapatkan amalan ini daripada beberapa orang tuan guru, samada secara lisan maupun tulisan, di mana salinannya hingga kini masih dalam simpanan faqir. Setelah berlalu masa, faqir mendapati bahawa amalan ini ada disebut oleh ulama kita. Syaikh Wan Ali Kutan rahimahullah mencatatnya dalam kitab beliau Lum`atul Aurad yang masyhur. Tok Syaikh Wan Ali juga memuatkan berbagai fadhilat dan khasiat doa ini yang "fantastic" amat bunyinya, namun bersumberkan kepada sumber yang tidak dapat dipastikan kesahihannya. Nak ditolak mentah - mentah, takut "tulah" kata orang kerana Tok Syaikh Wan Ali Kutan ini ulama yang alim lagi wali, nak diterima bulat - bulat, susah juga akal nak mencernanya. Walau pun begitu, yang dipermasalahkan bukanlah lafaz atau shighah doa / zikir Bismillah 6 tersebut, hanya riwayat - riwayat mengenainya sahaja yang bermasalah. Oleh itu, ramai ulama kita tidak bermasalah untuk menjadikan Bismillah 6 sebagai amalan dan wirid mereka, bahkan mereka mengajarkannya kepada orang lain. Dan dari pengamalan dan tajribah yang mereka lakukan, nampak ada keberkatan atau khasiat mengamalkannya dari segi duniawi terutama sekali dalam bidang rawatan. 

Mengenai riwayat - riwayat yang menghubungkan amalan ini kepada Junjungan Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam atau kepada sahabat - sahabat baginda, maka faqir berpegang sebagaimana apa yang dinyatakan oleh Syaikh Wan Ahmad al-Fathani rahimahullah dalam Badaa`iuz Zuhuur yang menyatakan sebagai berikut:-
Dan telah terlihat (oleh) hamba atas beberapa doa dan adzkar yang panjang, bagi tiap - tiap satu daripadanya beberapa banyak fadhilat dan khasiat ada padanya mubalaghah yang diriwayatkan padanya beberapa hadis Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam dan kalam sahabat serta tiada disebutkan sanadnya dan tempat nukilnya daripada kutub anu - anu. Dan tiada terlihat hamba sekali - kali atasnya di dalam beberapa kutub hadis dan azkar dan fadhail dan lainnya. Maka hamba sucikan kitab ini daripada menyebutnya, tetapi segala doa itu elok pada zatnya, tiada mengapa membacakan dia. Dan tiada terpicik atas Tuhan mengkurniakan yang membacanya akan segala fadhilat yang disebutkan baginya itu. Dan hanya sesungguhnya yang ditakuti itu pada segala hadits yang diriwayatkan padanya segala fadhilat itu, jika ada ia maudhu`, kerana sabda Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam: ....ertinya "Barangsiapa berdusta atasku hal keadaannya sengaja, maka hendaklah mengambil ia tempat kedudukan daripada neraka."
    Kerana bahawasanya setengah manusia yang kurang akal seperti perempuan dan orang tua - tua yang jahil, bersangatan berpegang mereka itu dengan umpama segala fadhilat itu. Maka bermudah - mudah mereka itu pada mengerjakan maksiat. Dan berkata mereka itu: "Tiada mengapa kami mengerjakan dia kerana kami baca doa anu, yang barangsiapa bacakan dia diampuni sekalian dosanya." Seperti barang yang telah hamba berjumpa [yang] demikian itu daripada seorang perempuan yang memberi utangkan hartanya dengan riba. Dan segala doa itu seperti "Doa Jausyan" dan "Doa Qadah" dan tasbih yang dinamakan "Doa Tasbih" yang awalnya: ...Subhanal ladzi fis samaa-` `arsyuh, Subhanal ladzi fil ardhi mulkuh.... Dan seperti zikir yang digelar dengan "Doa Rasul shallaAllahu `alaihi wa sallam" yang awalnya: ..."Bismillahis Samii`il Bashiir, alladzi laisa kamitslihi syai`, wa Huwa bi kulli syai-in 'Aliim....."  (yakni amalan "Bismillah 6").
Maka doa atau amalan Bismillah Enam ini boleh dibaca atau dijadikan amalan, dengan menaruh harapan Allah memberikan ganjaran dan memakbulkan hajat kita. Namun, jangan dihubungkan dzikir atau doa ini dan segala kelebihan amalan ini kepada baginda Rasul shallaAllahu `alaihi wa sallam atau kepada mana - mana sahabat radhiyaAllahu `anhum secara pasti kerana khuatir jatuh dalam perbuatan berdusta atas nama mereka.

Sesiapa yang hendak mengamalkannya sebagai zikir / wirid tambahan, tidaklah ada apa - apa masalah, di sisi ulama kita. Jika ulama sebelah, masalah besar kerana "....bla ... bla ... bla... bid`ah ... Nabi tak ajar ....bla.. bla ... yang shahih pun tak amal .... bla ..bla ..bla ..." dan banyak lagilah songelnya. Nak ikut mereka, tak payahlah amal, namun di sisi ulama kita, istimewa ulama Nusantara, mereka tiada masalah untuk mengamalkannya dan mengajarkannya kerana melalui tajribah mereka terhasil apa yang dimaksudkan dengan izin Allah, alhamdulillah

Makanya, almarhum Prof. Dr. Haron Din telah menjadikan amalan Bismillah 6 ini antara amalan asas bagi kaedah rawatan yang diamal dan diajar oleh beliau. Faqir sesungguhnya percaya, anak - anak murid Dr. Haron ramai yang menerima dan mengamalkan Bismillah Enam sebagaimana yang diijazahkan kepada mereka. Dalam buku "Sebahagian Daripada Rawatan Pesakit Menurut al-Quran dan as-Sunnah" dimuatkan amalan Bismillah 6  ini pada halaman 61 - 63 di bawah tajuk "Bismillah Tujuh". Dalam buku tersebut tercatat, antaranya, sebagai berikut: 
" Bismillah Tujuh. Ia adalah nama sempena dengan doa yang digunakan yang mempunyai tujuh bismillah, termasuk bacaan yang awal. Doa ini amat besar manfaatnya terutama untuk mengubati:- (i) Segala jenis penyakit terkena bisa, termasuk bisa kerana sengat binatang seperti ikan, lebah, ular dan lain - lain lagi. (ii) Segala jenis racun, iaitu racun yang diperbuat dari bahan - bahan yang mendatangkan bisa seperti racun yang diperbuat daripada kaca bal lampu, miang rebung, ulat bulu mati beragan, hempedu katak bisa dan sebagainya. (iii) Segala jenis santau ........... Bismillah ini juga dinamakan Bismillah Enam oleh sesetengah orang, kerana ia terdiri dari 6 kombinasi Bismillah sahaja tanpa mengira Bismillah yang pertama. Perbezaan nama ini tidak menimbulkan apa - apa masalah dalam usaha rawatan ini.
Akhirul kalam, faqir kongsikan di sini bahawa Syaikhul Ulama Kelantan, almarhum Tuan Guru Haji Abdullah Lubuk Tapah, ayahanda Shahibus Samahah Dr. Luqman hafizahullah, mufti Wilayah sekarang, dalam satu risalah beliau memuatkan juga amalan Bismillah Enam serta menganjurkan ianya dibaca sekali tiap - tiap lepas sembahyang. Mudah - mudahan berkah dan bermanfaat.
 

3 ulasan:

Wan berkata...

Assalam tuan. Nak bertanya, ayat ke 4 tu hujung halimul (ha) ke 'alimul (Ain) .. ? Banyak versi saya tengok bacaan nya. Mana satu ye yg betul ?

Abu Muhammad berkata...

W. Salam, daripada apa yang hamba faham dan perolehi daripada masyaikh, yang guna `Ain sebagaimana dalam entri, yakni `Alimul Khabir & `Alimul Qadir. Inilah juga yang terkandung dalam Lum`ah dan sebagainya. Faqir berpendapat kemungkinan yang menggunakan Halim, walau pun tidak salah, adalah tersilap ketika menulisnya di mana huruf `ain tertukar kepada ha`.

Wan berkata...

Alhamdulillah... Terima kasih Tuan.