Rabu, September 18, 2024

Mimpi Syah Abdur Rahim

Imam Musnid Hindi, Muhaddits Dehlawi, Syah Waliyullah Ahmad bin Abdur Rahim ad-Dehlawi (w. 1176H) rahimahullah, tokoh ulama pelbagai bidang, mufassir, sufi dan muhaddits, mempunyai karangan yang menghimpunkan 40 kisah mimpi atau pengalaman kerohanian yang menggembirakan. Risalah tersebut beliau namakan ad-Durruts Tsamin fi mubasysyarat an-Nabiyyil Amin shallaAllahu `alaihi wa sallam. Tulisan ini mengandungi pengalaman rohani dan mimpi dirinya dan beberapa tokoh lain seperti ayahandanya Syah Abdur Rahim, Syaikh Ahmad al-Qusyasyi dan Syaikh Ahmad an-Nakhli, yang direzekikan Allah ta`ala untuk bertemu dan berinteraksi dengan Junjungan Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam atau dengan beberapa pribadi mulia lain seperti Nabi Zakaria `alaihis salam.

Tidak ada yang menolak harus dan boleh bagi seseorang untuk bermimpikan Junjungan Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam. Beberapa hadits yang shahih menyatakan hal ini, antaranya apa yang diriwayatkan oleh Imam Muslim bahawa Junjungan shallaAllahu`alaihi wa sallam menyatakan sesiapa yang melihat baginda di dalam mimpi, maka benarlah dia telah melihat baginda kerana syaitan tidak mampu untuk menyerupai baginda (yakni dalam bentuk rupa asli baginda sebagaimana dalam riwayat - riwayat yang sahih). Dalam mimpi yang sedemikian, tidaklah mustahil untuk berlakunya interaksi di antara Junjungan Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam dengan orang yang bermimpi. Maka, interaksi tersebut, samada berupa ungkapan kata atau laku perbuatan, jika dikatakan sebagai "hadits", maka ianya bukan atas istilah hadits mengikut disiplin ahli hadits atau ilmu mustalah hadits dan yang berkaitan dengannya. Ini hendaklah kita fahami betul - betul, sebelum mensabitkan sesuatu riwayat yang diperolehi dari jalan yang tidak mengikut piawai para muhaddits sebagai hadits dalam istilah ilmu hadis dan sebelum mentohmah kebohongan dan kepalsuan kepada para awliya` yang telah benar - benar berinteraksi dengan Junjungan Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam dalam mimpi - mimpi atau pengalaman rohani secara yaqazhatan.

Syah Waliyullah Muhaddits Dehlawi, bukanlah tokoh yang asing dalam ilmu hadits. Beliau adalah ahli hadis, muhaddits bahkan dianggap sebagai musnid, juga seorang reformis selain seorang mufassir, usuli, faqih lagi sufi. Pada mukaddimah ad-Durruts Tsamin, beliau menulis sebagai berikut:- 
.. Amma ba'du, maka berkatalah hamba yang paling dhaif daripada segala hamba - hamba Allah al-Karim, Ahmad yang dikenali dengan gelaran Waliyullah bin `Abdur Rahim al-`Umari al-Dehlawi: "Inilah 40 "hadits" [faqir letakkan dalam tanda petik sebagai isyarat bagi penggunaan kalimah "hadits" secara longgar sebagai apa sahaja yang diterima daripada Junjungan Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam dan bukannya atas pengertian hadits sebagaimana dalam istilah muhadditsin dan ilmu - ilmu hadits.] daripada "hadits - hadits" Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam yang diriwayatkan secara mimpi atau secara musyahadah akan roh baginda yang mulia. Telah aku himpunkan akan dia [yakni, "hadits - hadits" tadi] dalam risalah ini, antaranya apa yang diterima tanpa ada sebarang perantara (wasithah) di antara aku dengan baginda shallaAllahu `alaihi wa sallam [yakni, pengalaman pribadi beliau sendiri, iaitu beliau meriwayat terus daripada baginda shallaAllahu `alaihi wa sallam]; Antaranya, apa yang di antara aku dengan baginda shallaAllahu `alaihi wa sallam] ada satu wasithah sahaja [yakni, beliau menerima daripada riwayat seseorang yang mengalaminya sendiri seperti daripada pengalaman ayahandanya.]; Dan antaranya lagi, apa yang di antara aku dengan baginda shallaAllahu `alaihi wa sallam ada dua atau lebih wasithah (perantara / rawi). Aku namakan risalah ini ad-Durruts Tsamin fi mubasysyarat an-Nabiyyil Amin shallaAllahu `alaihi wa sallam.
 
Maka dalam mimpi pun Junjungan Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam masih boleh berbicara dengan si pemimpi, apa yang disabdakan oleh Junjungan shallaAllahu `alaihi wa sallam dalam mimpi tersebut bagi sesetengah ulama, secara longgar juga disebut sebagai "hadits". Namun ianya bukanlah atas istilah disiplin ilmu hadits yang menjadi sumber hukum dalam Islam. Maka "hadits" yang diterima melalui pengalaman rohani seseorang, sekali - kali tidak menjadi sumber pegangan iktiqad dan hukum - hakam syariat. Sungguhpun begitu, pengalaman kerohanian yang benar atas penyaksian al-Kitab dan as- Sunnah, yakni yang tidak bercanggah dengan akidah dan syariat juga akhlak, seperti mimpi - mimpi yang benar, walaupun tidak dapat menjadi hujjah dalam persoalan aqidah pegangan dan hukum hakam, namun sedikit - sebanyak, dapat memberi tambah nilai atau panduan dan penjelasan berhubung sesuatu pegangan atau hukum yang telah disabitkan dari sumber - sumbernya mengikut kaedah dan usulnya masing - masing. Jika boleh kita qiyaskan dengan sesuatu penghakiman Mahkamah, maka ianya walaupun bukan ratio decidendi bagi keputusan penghakiman tersebut, namun ianya , sedikit - sebanyak, mempunyai nilai obiter dictum. Maka tidak hairan, jika Syah Waliyullah Muhaddits Dehlawi meluangkan masanya yang berharga untuk menghimpun pengalaman - pengalaman kerohanian dan mimpi - mimpi gembira tersebut dalam satu risalah serta meriwayatkannya dan tidak membakulsampah semuanya sebagai karut - marut.

Berbalik kepada tujuan asal entri ini, pada "hadits" (yakni "hadits" dengan makna yang longgar tadi kerana mengikut kalimah yang digunakan oleh Syah Waliyullah dalam karangannya tersebut, jika kita keberatan dengan penggunaan kalimah "hadits" atas kekhuatiran terkeliru dengan hadits dalam istilah muhadditsin, maka kita sebut sahaja sebagai kisah atau cerita atau mimpi) yang ke-22. Maka kata Syah Waliyullah: Telah mengkhabar akan daku  ayahandaku (Syah Abdur Rahim) dengan katanya:
Adalah menjadi kebiasaanku pada setiap tahun untuk menyediakan makanan yang aku sedekahkan sebagai shilah dengan Junjungan Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam (yakni sedekah khusus untuk memuliakan kelahiran Junjungan Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam), maka jatuh pada satu tahun dari tahun - tahun tersebut, di mana aku tidak mempunyai kelapangan rezeki bagi menyediakan makanan untuk disedekahkan selain kacang kuda goreng. Lalu aku bahagi - bahagikan kacang kuda tersebut kepada orang sebagai sedekah. Setelah itu, aku telah bermimpi bertemu Junjungan Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam dalam keadaan baginda berseri - seri riang gembira dan di hadapan baginda terhidang kacang kuda yang telah aku sedekahkan (yakni, isyarat atas kegembiraan Junjungan shallaAllahu `alaihi wa sallam terhadap perbuatan tersebut).
Allahu... Allah, risalah Syah Waliyullah ini telah masyhur dan tersebar di kalangan para ulama dan antara yang meriwayatkan risalah ini sehingga sampai kepada kita adalah Ra-isul Muhadditsin Mawlana Zakaria al-Kandahlawi yang menerimanya daripada guru - guru beliau sambung menyambung sehingga kepada Syah Waliyullah Muhaddits Dehlawi `alaihim rahmatul Mawlal Bari. Terpulanglah samada untuk percaya atau tidak kepada mimpi - mimpi dan pengalaman kerohanian para ulama dan awliya yang direkodkan oleh seorang ulama dan wali. Yang menerimanya pula janganlah memandai - mandai untuk berhukum terus dengannya, sehingga mengeluarkan hukum - hakam yang entah apa - apa seperti "sunat bersedekah kacang kuda goreng di hari mawlid' atau seumpamanya. Ingatlah, bahawa untuk menetapkan sesuatu pegangan dan mengeluarkan hukum - hakam, ada usul dan kaedahnya. Setiap bidang itu ada adab dan disiplinnya yang perlu kita perhati, ikut dan jaga, agar kefahaman dan pemahaman kita benar dan tepat mengikut jalan orang - orang yang beriman sebagaimana yang ditunjuk dan dipandu oleh para ulama kita Ahlus Sunnah wal Jama`ah. Semoga ada manfaatnya.

Tiada ulasan: