Jumaat, Mei 07, 2021

Faedah Dari Jamal & Jailani

Di hujung - hujung Ramadhan ini, ramai yang memperkatakan mengenai Lailatul Qadar, malam yang lebih baik dari 1000 bulan. Pernah ditimbulkan satu masa dahulu persoalan bila berlakunya malam tersebut di satu tempat, umpama di Mekah pada malam 27 Ramadhan, maka adakah ketika itu berlaku juga saat Lailatul Qadar bagi penduduk di Malaysia atau mana - mana belahan bumi yang sedang berada dalam waktu siang? Maka, muncullah "ahli - ahli hisab" yang cuba menghisab waktu di Mekah tersebut untuk disesuaikan dengan waktu di Malaysia atau belahan - belahan dunia yang sedang mengalami waktu siang. Lalu keluarlah teori, saat ijabahnya di Mekah sekian - sekian, maka bertepatan dengan jam di Malaysia pada sekian - sekian waktu. Hal ini juga muncul ketika pengiraan saat ijabah pada hari Arafah, sehingga ada yang menunggu saat - saat di Malaysia yang bersesuaian dengan waktu sebenar wuquf di Padang Arafah. Begitu yakinnya sesetengah mereka itu, sehingga disebarkan seolah - olah pasti tepat dan tidak mungkin meleset.

Jika kita merujuk kepada karangan para ulama terdahulu, kita dapati sesetengahnya turut memperkatakan hal ini. Antaranya Syaikh Sulaiman Jamal rahimahullah dalam hasyiah beliau atas Syarah Minhaj bagi Syaikhul Islam Zakaria al- Anshari rahimahullah, jilid 2, halaman 356, menjelaskan sebagai berikut:- "... Mungkin ianya (yakni Lailatul Qadar) berlaku kepada setiap kaum sesuai dengan hitungan malam - malam mereka. Maka apabila terjadi Lailatul Qadar atas kita (sedangkan ianya) merupakan siang hari bagi selain kita, maka waktu ijabah dan ganjaran pahala Lailatul Qadar mereka itu ditangguhkan sehingga masuk waktu malam ke atas mereka (yakni berlakunya Lailatul Qadar tersebut menurut hitungan malam bagi setiap belahan dunia dan bukannya serentak pada satu waktu yang sama tanpa melihat keadaan siang atau malam berlakunya Lailatul Qadar tersebut). Berkemungkinan juga Lailatul Qadar itu berlaku secara tetap (serentak) pada satu waktu, meskipun suatu kaum berada di waktu siang manakala kaum yang lain berada di waktu malam. Namun yang zahir adalah pendapat atau kemungkinan yang pertama tadi (yakni setiap kaum akan mendapat Lailatul Qadar menurut hitungan malam mereka masing - masing), agar sesuai dengan sebutan 'malam'  di sisi setiap dua kaum tadi (yakni satu kaum yang mengalami malam dan satu kaum yang mengalami siang). Kesimpulan ini diambil daripada apa yang diperkatakan mengenai saat ijabah pada hari Jumaat, di mana ianya berbeza  - beza waktunya mengikut perbezaan waktu para khatib berkhutbah (yakni dalam pendapat yang menyatakan bahawa saat ijabah pada hari Jumaat itu adalah ketika khatib berkhutbah atau di antara dua khutbah dan sebagainya, maka saat ijabah itu adalah berbeza masanya mengikut waktu setiap khatib tersebut berkhutbah).

Maka untuk ringkasan bagi nas Hasyiah Jamal tersebut, ada dua pendapat mengenai berlakunya Lailatul Qadar tadi, iaitu (1) Berlakunya mengikut waktu malam bagi setiap negeri atau tempat masing - masing; dan (2) Berlakunya pada satu waktu secara serentak, tanpa mengira keadaan siang atau malam pada tempat - tempat tersebut. Namun pendapat yang zahir adalah yang pertama, yakni setiap negeri atau tempat mengalami Lailatul Qadar pada waktu malam mereka masing - masing. Maka tak perlulah dibuat carta pengiraan Lailatul Qadar di Malaysia agar bersamaan dengan waktu Lailatul Qadar di Mekah.

Seperkara lagi yang disebut dalam Hasyiah Jamal pada halaman 355 adalah jika seseorang dianugerahkan kemuliaan untuk melihat alamat atau tanda - tanda Lailatul Qadar, maka sunnat baginya untuk menyembunyikannya. Ini adalah kerana ianya satu kemuliaan (karamah) dan sesesiapa yang dapat karamah sunnat menyembunyikannya. Maka tidak perlulah dicanang - canang pengalamannya tersebut tanpa ada maslahah dan keperluan. Dinyatakan juga bahawa sesiapa yang beribadah pada malam yang bertepatan dengan Lailatul Qadar juga akan mendapat ganjaran Lailatul Qadar walaupun dia tidak merasa atau melihat atau menemui sebarang tanda atau alamat atau keajaiban Lailatul Qadar. Seseorang yang melakukan shalat Isya` berjemaah pada malam tersebut akan turut sama mendapat bahagian daripada ganjaran malam yang utama tersebut.


Sebagai penutup, kita ambil pengajaran daripada pesanan yang dinisbahkan kepada Sultanul Awliya`, Syaikh 'Abdul Qadir al-Jailani qaddasaAllahu sirrah sebagaimana termaktub dalam Tafsir al-Jailani, juz ke-5, halaman 454 sebagai berikut:- "Wahai orang yang damba untuk menghidupkan Lailatul Qadar dan mendapatkan kemuliaannya, engkau hendaklah menyingsingkan pakaianmu (yakni kinayah yang bermaksud bersungguh - sungguh perlakuan) untuk menghidupkan semua malam yang datang dalam kehidupanmu, kerana Lailatul Qadar disembunyikan dalamnya. Ringkasnya, janganlah engkau melupakan Allah dalam semua hal ehwal keadaanmu sehingga rata segala malammu menjadi lebih bernilai dan lebih baik dari dunia dan segala isinya."

Mudah - mudahan kita diberikan taufiq untuk istiqamah dalam beribadah kepada Allah dengan penuh keikhlasan dan diberikan kemuliaan mendapat ganjaran pahala yang melebihi 1000 bulan. Biarlah setiap malam itu kita jadikan lailatul qadar, jangan sekadar hari - hari sahaja dijadikan hari raya.

Tiada ulasan: