Selasa, Mei 11, 2021

Berkah Ramadhan

Tiada keraguan dan tidak dapat disangkal - sangkal lagi, bahawa bulan Ramadhan yang bakal berakhir ini adalah bulan yang amat berkat. Di antara kelebihan bulan ini yang masyhur, sebagaimana yang dinyatakan dalam hadis - hadis yang shahih adalah menjelang Ramadhan maka pintu - pintu syurga / rahmat itu dibuka dan pintu - pintu neraka / jahannam ditutup. Ulama memberikan berbagai penafsiran bagi sabdaan Junjungan Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam ini. Dalam entri ini, faqir ingin berkongsi nukilan Imam as-Sayuthi rahimahullah dalam karangan beliau "ad-Dibaaj `ala Shahih Muslim", juz 3, halaman 182 yang menyatakan bahawa di antara pengertian bagi "dibukakan pintu - pintu rahmat" dan "ditutup pintu - pintu neraka" adalah:- "Telah berkata al-Qurthubi:- Boleh ditanggung maknanya atas hakikat (yakni atas pengertian bahawa pintu - pintu syurga itu benar - benar dibuka dan pintu - pintu neraka itu benar - benar ditutup sebagaimana lafaz hadis) dan jadilah maknanya bahawa syurga itu dibuka dan dihias bagi sesiapa yang mati dalam bulan Ramadhan, kerana kelebihan segala ibadah yang dilakukan dalam bulan Ramadhan. Manakala pintu - pintu neraka ditutup, maka tidak masuk ke dalamnya seorang pun, daripada kalangan mereka, yang mati dalam bulan Ramadhan....."

Syaikh Abu Ishaq al-Atsari, pentahqiq yang membuat notakaki bagi cetakan nashkah ad-Dibaaj ini menulis bahawa dalam lafaz hadis tidak ada sebarang rujukan kepada orang yang mati dalam bulan Ramadhan, lagi pun ramai orang fasik dan ahli maksiat yang mati dalam bulan ini. Sebagaimana si pentahqiq berhak dengan pendapat dan komentar beliau, maka begitulah dengan Imam al-Qurthubi dan Imam asy-Sayuthi yang menukilkannya. Sebenarnya apa yang diutarakan oleh Imam asy-Sayuthi dapat dijelaskan dengan beberapa kaedah pemahaman agar tidak salah difahamkan sehingga seolah - olah mutlak sesiapa yang mati dalam bulan Ramadhan tidak masuk neraka. Salah satu kaedahnya adalah dilihat pemahamannya dari bahasan sudut kelebihan atau fadhilat, yakni sebarang kelebihan itu baru boleh diambilkira atau dicapai setelah sesuatu itu sempurna atau sekurang - kurangnya mencukupi. Bila sudah cukup, barulah ada lebihnya, misalan seorang yang tidak shalat atau berpuasa kerana derhaka, kemudian mati dalam bulan Ramadhan, belum tentu mendapat kelebihan Ramadhan. Faqir kata "belum tentu" kerana hakikatnya hanya diketahui Allah dan lautan rahmat serta maghfirahNya amat luas. Maka seseorang yang keimanannya cukup dan amalan - amalan fardhunya cukup, inilah yang boleh menjadi calon mendapat kelebihan tersebut. Oleh itu, apa yang dikatakan oleh kedua-dua pihak tadi ada kebenarannya dan masih boleh diharmonikan, tanpa perlu memberikan kritikan - kritikan yang pedas sehingga ke tahap mencela akan para ulama yang mulia. 

Mudah-mudahan dengan adanya pandangan yang diutarakan oleh Imam as-Sayuthi tersebut dapat memberi ketabahan dan ketenangan bagi mereka - mereka yang kehilangan insan yang dikasihi dalam bulan Ramadhan, lebih - lebih lagi saat -saat akhir Ramadhan menjelang Syawal. Tuan - tuan bayangkanlah betapa kesedihannya, bila kita nak raya, tetiba meninggal pula orang tua kita. Diharap dengan ingatan bahawa matinya dalam bulan yang mulia, terubatlah hendaknya hati yang duka..... Allahu .... Allah.

Maka, memang wujud pendapat di kalangan sebahagian ulama kita, Ahlis Sunnah wal Jama`ah, yang melihat bahawa bulan Ramadhan itu ada kelebihan atau keistimewaannya bagi orang - orang yang beriman yang sudah wafat dan berada di alam barzakh (alam kubur). Sayyidul 'Ulama-il Hijaz, Syaikh Muhammad Nawawi al-Jawi al-Bantani rahimahullah dalam "Qathrul Ghaits" halaman 10 menyatakan sebagai berikut:- ".... Diangkatkan (yakni samada diangkat atas makna dihentikan atau atas makna diringankan) azab seksa bagi orang mukmin pada hari Jumaat dan dalam bulan Ramadhan, demi kehormatan Junjungan Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam......"

Namun perlulah diingat sentiasa, bahawa yang paling penting dan utama adalah mati dalam keadaan husnul khatimah. Tak kisahlah di mana, bila dan bagaimana matinya, asalkan husnul khatimah. Maka berusahalah dan mohonlah agar kita tutup usia dalam keadaan husnul khatimah. Allahummakh tim lana bi husnil khaatimah.

Tiada ulasan: