Ihya` Lailatil Qadr
Syaikh Nawawi al-Bantani al-Jawi rahimahullah dalam karangan beliau yang masyhur, Nihayatuz Zain, menerangkan 3 martabat ini pada halaman 193 sebagai berikut:- "Maka hidupkanlah dia (yakni hidupkanlah Lailatul Qadar) dan martabat menghidupkannya ada 3. Martabat yang tinggi, adalah menghidupkan malam tersebut dengan melakukan shalat. Martabat yang pertengahan, adalah menghidupkannya dengan berzikir (yakni melakukan amalan - amalan selain shalat seperti membaca al-Quran, doa dan sebagainya) pada kebanyakan masa dalam malam tersebut. Martabat yang rendah, pula adalah dia melaksanakan shalat Isya` dengan berjemaah dan shalat Subuh dengan berjemaah. Melakukan amalan dalam malam ini lebih baik dari amalan yang dilakukan dalam 1000 bulan. Sesiapa yang beramal pada malam tersebut dia akan mendapat kelebihannya walaupun dia tidak melihat alamat atau tanda atau keajaibannya, cuma sesiapa yang dapat melihat kebesarannya akan mendapat kelebihan yang lebih sempurna. Maka sunnat bersungguh - sungguh melakukan amal ibadat pada malam dan siangnya (yakni pada malam Lailatul Qadar dan pada siang hari selepas Lailatul Qadar). Bagi sesiapa yang memperolehi atau melihat tanda - tanda kebesaran Lailatul Qadar, sunnat baginya untuk menyembunyikannya (yakni jangan dikhabarkan kepada sesiapa pun bahawa dirinya telah bertemu Lailatul Qadar). Lailatul Qadar merupakan khususiyyah (keistimewaan) umat ini yang berterusan sehingga ke hari kiamat....."
Maka ambillah faedah, hidupkanlah Lailatul Qadar dengan melakukan amal ibadah. Sekurang - kurangnya kita menjaga berjemaah pada shalat Isya` dan shalat Subuhnya hatta dengan berjemaah sesama anak isteri kita semata. Mudah - mudahan terhasil sedikit sebanyak kelebihan Lailatul Qadar atas kita dan digandakan amalan yang sedikit tersebut dengan gandaan yang berlipat kali ganda melebihi 1000 bulan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan