Rabu, Mei 19, 2021

Berkat Doa Berkat

Rasulullah shallaAllahu `alaihi wa sallam pernah menyatakan dalam sabda baginda yang diriwayatkan dengan sanad yang shahih bahawa doa itu adalah inti atau pati sesuatu ibadah. Justru kita selaku umat baginda diperintahkan untuk sentiasa berdoa memohon kepada Allah subhanahu wa ta`ala bagi apa jua kebaikan di dunia dan di akhirat. Oleh itu, sentiasalah berdoa pada setiap masa dan ketika terutama sekali selepas setiap shalat, baik fardhu maupun sunnat. Doa itu pernyataan diri kita bahawa betapa hina, faqir, lemah dan dhaifnya kita, yang sentiasa memerlukan dan mengharapkan anugerah daripada Allah yang Maha Pemberi lagi Maha Pemurah.

Ini satu kisah yang menceritakan antara kelebihan berdoa. Walaupun riwayat kisah ini dhaif, namun dalam bab tarhib dan taghrib (ancaman dan galakan), hadis - hadis dhaif masih boleh dipakai. Imam Abu Ja'far ath-Thahawi rahimahullah meriwayatkan dalam Musnad ath-Thahawi, juz 5, halaman 388 daripada Sayyidina Ibnu Mas`ud radhiyaAllahu `anhu bahawa Junjungan Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam bersabda: "Telah diperintahkan seorang hamba daripada hamba-hamba Allah untuk dipukul 100 kali pukulan dalam kuburnya (yakni Allah ta`ala memerintahkan malaikat - malaikatNya untuk menyebat atau memukul hamba tersebut dengan 100 kali pukulan). Namun (ketika hayat hamba tersebut), dia sentiasa memohon dan berdoa (yakni dengan doa - doa keselamatan termasuklah daripada azab kubur), maka dikurangkan 100 pukulan tersebut kepada hanya satu pukulan (yakni dengan berkat doa - doanya tersebut, azabnya dikurangkan Allah). Lalu dipukullah hamba tersebut dengan satu pukulan dan dengan hanya satu pukulan pun api telah memenuhi kuburnya. Setelah selesai azabnya, hamba tersebut bertanya (kepada malaikat): "Apakah sebabnya aku dipukul?" Malaikat menjawab: "Bahawasanya engkau pernah menunaikan satu shalat tanpa bersuci dan engkau pernah bertemu dengan orang yang dizalimi, namun engkau tidak menolongnya."

Menurut Syaikh Lathifur Rahman al-Bahraiji al-Qasimi, hadis yang diriwayatkan oleh Imam Thahawi ini memiliki syahid (penguat) berupa hadis lain yang hampir serupa, diriwayatkan daripada Sayyidina Ibnu `Umar radhiyaAllahu `anhuma sebagaimana dicatat oleh Imam ath-Thabarani dalam "al-Kabir", hadis ke-13,610, dengan sanad yang dhaif. Merujuk kepada "Mu`jam al-Kabir" hadis ke 13,610 tersebut berada dalam juz 12 halaman 443, berkenaan dengan seseorang yang mendapat azab pukulan daripada dua malaikat dalam kuburnya atas sebab yang sama sebagaimana disebutkan dalam hadis Sayyidina Ibnu Mas`ud yang diriwayatkan oleh Imam Thahawi tadi.

Allahu ... Allah, lihatlah betapa agungnya amalan berdoa itu, sehingga azab yang begitu berat pun dapat diringankan. Semuanya tertakluk atas kabul daripada Allah yang Maha Pemurah. Maka antara doa yang sepatutnya kita amalkan adalah memohon agar terlepas daripada azab kubur. Bahkan, memohon perlindungan Allah daripada azab kubur adalah salah satu pesanan Rasulullah shallaAllahu `alaihi wa sallam kepada umat baginda dan dianjurkan untuk melakukannya dalam shalat kita pada setiap selesai kita membaca tahiyyat akhir sebelum memberi salam. Telah masyhur dalam riwayat - riwayat yang shahih, dengan lafaz - lafaz yang hampir sama, bahawa Junjungan shallaAllahu `alaihi wa sallam menyuruh memohon perlindungan Allah selepas tahiyyat akhir daripada empat perkara:- (i) azab neraka, (ii) azab kubur, (iii) fitnah pancaroba hidup dan mati, dan (iv) kejahatan fitnah Dajjal. Dalam sesetengah riwayat dinyatakan bahawa Junjungan Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam mengajar doa ini kepada para sahabat sebagaimana baginda mengajar surah daripada al-Quran (yakni sebagai penekanan betapa pentingnya doa ini untuk diamalkan). Imam Muslim rahimahullah yang turut meriwayatkan hadis - hadis mengenai doa perlindungan ini, menyatakan bahawa Imam Thawus rahimahullah pernah bertanya kepada anaknya samada dia ada membaca doa tersebut dalam shalatnya (yakni selepas tasyahhud akhir). Lalu anaknya menjawab yang dia tidak membacanya. Maka Imam Thawus telah memerintahkan anaknya untuk mengulangi semula shalatnya itu.

Imam an-Nawawi dalam "Syarah Muslim", juz 5 halaman 89, memberikan komentar beliau terhadap hal ini sebagai berikut:- ".... Pada zahir ucapan Imam Thawus rahimahullah (yakni agar anaknya mengulangi shalat kerana tidak membaca doa tersebut) menunjukkan bahawa perintah membaca doa tersebut adalah perintah yang bersifat wajib, di mana shalat wajib diulang semula jika doa tersebut tidak dibaca. Namun di sisi jumhur ulama, hukum membaca doa tersebut hanyalah mustahab dan tidak wajib. Boleh jadi apa yang dilakukan Imam Thawus tadi hanyalah bersifat untuk mendidik anaknya agar tidak meringan-ringankan doa tersebut dan juga sebagai penekanan betapa pentingnya doa tersebut di sisi beliau, bukanlah bererti bahawa beliau meyakini doa tersebut sebagai suatu kewajipan." Begitulah pandangan yang diutarakan oleh Imam an-Nawawi rahimahullah dan inilah pandangan jumhur ulama panutan kita. Namun ada juga ulama daripada kalangan Zahiri yang berpendapat bahawa doa tersebut wajib dibaca dalam shalat sebagaimana kewajipan membaca tasyahhud. Hal ini tuan - tuan boleh rujuk dalam "al-Muhalla bil Atsar", juz 2, halaman 301, karangan Abu Muhammad `Ali bin Ahmad bin Sa`id bin Hazm al-Andalusi @ Ibnu Hazm (Ibnu Hazmin) az-Zahiri rahimahulah. Tokoh Zahiri ini berpendapat bahawa hukum membaca doa tersebut tiada perbezaan dengan hukum membaca tasyahhud, ianya adalah fardhu untuk dibaca sebagaimana kefardhuan membaca tasyahhud. 

Walau apa pun bahasan ulama tersebut, mereka sepakat bahawa doa perlindungan daripada 4 macam bencana tersebut adalah dianjurkan terutama sekali selepas selesai kita membaca tahiyyat akhir sebelum memberi salam. Maka eloklah kita hafalkan mana - mana shighah yang mudah di lidah kita dan amalkan demi menurut sunnah Junjungan Nabi shallaAllahi `alaihi wa sallam. Mudah - mudahan amalan dan doa kita dimakbulkan dan menjadi khazanah kita di alam yang abadi nanti......Allahumma aamiiin.

Tiada ulasan: