Selasa, Ogos 30, 2022

Suluh Kemajuan - TG Haji Karim

Syaikh Utsman Sarawak diketahui pernah berkahwin beberapa kali dan dikurniakan dengan 14 orang cahayamata. Di antara anak beliau adalah Tuan Guru Abdul Wahhab Sungkai dan Tuan Guru Haji Abdul Karim Sungkai. Mereka berdua adalah saudara kandung seibu sebapa. Ibu mereka bernama Khalijah @ Khadijah puteri Syaikh Muhammad Zain Sungkai yang mengajar di Masjidil Haram. Tuan Guru Haji Abdul Karim dilahirkan sekitar tahun 1916 di Mekah al-Mukarramah dan di situlah beliau membesar di bawah didikan dan asuhan ayahanda dan datuk beliau sebelum mengenyam didikan para ulama kota suci tersebut.

Ketika puak Wahabi menguasai Hejaz, TG Haji Abdul Karim merasa tidak betah lagi tinggal di sana, lalu beliau dan abang beliau mengambil keputusan untuk pulang ke Tanah Melayu. Maka pulanglah dua bersaudara bersama sahabat mereka Tuan Guru Haji Ahmad Badawi bin Mufti Syaikh Abdullah Fahim (ayahanda Pak Lah) ke Tanah Melayu. Mereka berdua pulang ke kampung halaman datuknya, Sungkai, Perak. Di sana Tuan Guru Haji Abdul Karim telah berkahwin dengan sepupu beliau, Hajjah Ainun Fatimah binti TG Haji Ahmad bin TG Haji Muhammad Zain. Sungkai menjadi tempat beliau menjalankan aktiviti dakwah dan mengajar sehinggalah beliau dilantik menjadi penasihat sultan di Kuala Kangsar. Di Kuala Kangsar, beliau mengajar di Madrasah Iskandariah dan di berbagai masjid dan surau sekitar. Di penghujung usianya, beliau pulang semula ke Sungkai untuk tinggal menetap dan berdakwah di sana. Tuan Guru Haji Abdul Karim tutup usia pada tahun 1961 dalam usia muda 45 tahun dan jenazah beliau dimakamkan di Sungkai, Perak. Mudah - mudahan Allah terangkan kuburnya dengan nur yang berpanjangan serta turunkan hujan rahmat yang berkekalan ke atasnya.

Tuan Guru Haji Abdul Karim rahimahullah meninggalkan sebuah karangan yang penuh tiupan semangat kemerdekaan dan pembebasan tanahair daripada belenggu penjajahan. Karangan beliau tersebut diberi jodol Suluh Kemajuan. Kitab tersebut telah dicetak dan diberi kata pengantarnya oleh dua orang tokoh ulama, iaitu Syaikh Abdullah Fahim (Mufti Pulau Pinang) dan Syaikh Zubair bin Haji Ahmad (mudir Madrasah Idrisiyyah, Kuala Kangsar). Tuan Guru Abdul Karim rahimahullah dalam kitabnya tersebut cuba mengobarkan semangat hubbul wathan (cintakan tanahair) dan kemerdekaan daripada belenggu penjajahan. Di antara tulisan beliau dalam kitab tersebut adalah sebagai berikut:- 
"...Maka orang - orang Islam di zaman dahulu kala berpegang kepada ajaran - ajaran Islam yang sebenar. Maka dapatlah mereka menjadi satu umat yang dihormati. Dan pula jadilah mereka membangunkan dan mendirikan sebuah kerajaan Islam yang besar dan mempunyai gah kemasyhuran seluruh dunia. Mudah - mudahan Allah subhanahu wa ta`ala menggerakkan dan menyedarkan umat - umat Islam seluruh alam dunia ini mengikut jejak datuk nenek mereka yang Islam dahulu kali ....... Adalah kasihkan tanahair itu, ialah memperbaiki keadaan tanahair dengan berusaha bersungguh - sungguh pada memeliharakan dia. Maka orang - orang yang benar kasihkan tanahair ialah mereka yang redhakan mati kerana berkehendakkan hidup dan lepas tanahairnya daripada cengkaman penjajah dan bersusah payah supaya senang lenang dan merdeka umatnya. .... Maka kita umat Melayu sangat berhajatkan kepada perusahaan yang besar - besar kepunyaan bangsa kita, umpama factory - factory yang membuat kain - kain, benang, gula dan pinggan mangkuk, cawan dan lain - lainnya. Dan juga pabrik - pabrik yang membuat basikal, motokar - motokar dan enjin - enjin. Begitu juga berhajatkan kepada perniagaan - perniagaan yang besar - besar, umpama syarikat - syarikat yang besar - besar dan enjin - enjin yang besar dan sebagainya, supaya umat Melayu dapat mencapai kemerdekaan iqtisad (yakni ekonomi) dan pula lepas daripada kehinaan yang bergantung kepada bangsa - bangsa dagang. ....... Maka hendaklah tiap - tiap orang kita Melayu berusaha dengan bersungguh - sungguh pada memajukan bangsa sehingga beroleh kejayaan dengan berkerajaan sendiri. Maka asas - asas yang melayakkan dan mematutkan kita umat Melayu beroleh kejayaan kemerdekaan yang sempurna ialah mesti mengikut syarat - syarat seperti berikut:- Pertama, hendaklah tiap - tiap orang kita Melayu taat kepada agama Islam dengan mengikut ajaran - ajarannya yang sejati sebagaimana umat Islam di zaman dahulu kala. Yang kedua, hendaklah kita bersatu padu. Yang ketiga, hendaklah ada mempunyai wang yang banyak supaya dapat membeli dengan banyak segala alat - alat, perkakas - perkakas yang moden - moden, bersamaan alatan perusahaan atau pun peperangan."

Begitulah antara upaya Tuan Guru Haji Abdul Karim Sungkai @ Sarawak meniup kesedaran dan semangat kepada anak bangsanya. Beliau menegaskan kepentingan umat Islam untuk menguasai bukan sahaja ilmu - ilmu ukhrawi, tetapi ilmu - ilmu duniawi juga seperti ilmu - ilmu  sains dan teknologi agar umat dapat berdiri sendiri tanpa perlu bersandar kepada orang lain. Sedikit sebanyak beliau telah memberikan sumbangan merintis jalan kemerdekaan. Maka pada tanggal 31 Ogos 1957, Tanah Melayu telah memperolehi kemerdekaan daripada penjajah British. Sarawak ketika itu masih belum mencapai kemerdekaannya, namun perlulah diketahui bahawa kemerdekaan Tanah Melayu amatlah signifikan dalam melahirkan negara persekutuan yang bernama Malaysia. Turut membanggakan bahawa dalam catatan sejarah kemerdekaan tersebut, ada anak keturunan Sarawak yang turut sama meniup bara api kemerdekaan. Semoga Allah merahmati para wira yang tidak didendang yang tidak perlukan dendangan. Dirgahayu Tanah Airku.

Tiada ulasan: