Isnin, Ogos 01, 2022

Talqin Mayyit - Hanafi

Amalan membaca talqin seusai pengkebumian jenazah, bukan sahaja diamalkan oleh kita di Nusantara yang bermazhab Syafie. Umat Islam di berbagai tempat dan yang bermazhab lain juga melakukannya. Maka tohmahan bahawa hanya orang Melayu sahaja bertalqin di kubur adalah tohmahan keji dan pendustaan yang nyata. Sebenarnya yang jelas - jelas menganjurkan membaca talqin bagi si mati setelah dikubur adalah Mazhab Syafie dan Mazhab Hanbali, sungguh pun begitu, sebahagian ulama Hanafi juga memandang baik untuk mentalqinkan mayyit setelah dikubur. Dinyatakan dalam kitab al-Jawharatun Nayyirah karangan Imam Abu Bakar bin `Ali bin Muhammad al-Haddad az-Zabidi, ulama Hanafi yang wafat tahun 800H, kitab ini merupakan syarah bagi Mukhtashar al-Quduri, pada halaman 252 dalam juz pertama dinyatakan, antaranya, sebagai berikut: ".... Dan adapun membaca talqin bagi mayyit di kubur, maka ianya adalah disyariatkan di sisi Ahlis Sunnah, kerana Allah ta`ala menghidupkannya di dalam kubur (yakni mayyit ketika di dalam kubur dihidupkan semula oleh Allah dengan hayat barzakhiyyah). Rupa atau gambaran bentuk (talqin tersebut) bahawa diucapkan: "Wahai Fulan anak Fulan, wahai hamba Allah anak hamba Allah, ingat akan agamamu yang engkau telah hidup atasnya, engkau telah meredhai Allah sebagai Tuhan, Islam sebagai agama dan Muhammad sebagai nabi.".....

Juga dalam kitab Tabyinul Haqaaiq syarh Kanzid Daqaaiq karangan Imam az-Zayla`i al-Hanafi (w. 743H) serta hasyiahnya karya Imam Syihabuddin Ahmad bin Muhammad asy-Syilbiy (w.1021H), kedua - duanya merupakan kalangan pembesar ulama Mazhab Hanafi, dinyatakan pada halaman 334, juz pertama, antaranya, sebagai berikut:-  [Matan Tabyin] ....Dan ulama ikhtilaf mengenai hukum melakukan talqin selepas kematian, segelintir ulama menyuruhnya sebagaimana menurut zahir apa yang telah kami riwayatkan tadi (yakni zahir hadis "Laqqinu mawtakum"), segelintir tidak menyuruhnya, manakala segelintir pula tidak menyuruh dan tidak pula menegahnya....... [Hasyiah Tabyin] .....(ditalqinkan sebagaimana zahir apa yang diriwayatkan .......) (pendapat) ini adalah pendapat Ahlis Sunnah dan menyalahi pendapat Muktazilah, intaha Kamal. Telah berkata Qadhi Khan, bahawa talqin tersebut tidak bermanfaat dan tidak juga mendatangkan mudarat, maka hukumnya harus (yakni boleh dilakukan atau ditinggalkan), dinyatakan dalam al-Haqaaiq. Telah berkata Shahibul Ghiyats: "Aku telah mendengar guruku, Qadhi Khan, menceritakan daripada Dzahiruddin al-Marghiyanaani bahawasanya beliau mentalqinkan sejumlah imam (yakni ulama) selepas pengkebumian. Beliau juga telah berwasiat / berpesan kepadaku agar beliau ditalqinkan, maka aku talqinkan beliau setelah dikebumikan........... Imam az-Zahid ash-Shaffaar menyebut dalam kitab al-Talkhish bahawasanya talqin orang mati adalah disyariatkan (masyru`) kerana dikembalikan kepadanya rohnya dan akalnya sehingga dia dapat memahami apa yang ditalqinkan .......Bentuk ucapan talqin adalah orang yang melakukan talqin itu berkata: "Wahai Fulan anak Fulan, ingat akan agamamu yang telah engkau anuti. Engkau telah meredhai Allah sebagai Tuhan, Islam sebagai agama dan Muhammad shallaAllahu `alaihi wa sallam sebagai nabi." Di sisi Muktazilah, talqin selepas kematian adalah tidak berfaedah kerana hidupnya orang mati di dalam kubur itu adalah sesuatu yang mustahil (yakni Muktazilah berpendapat bahawa tidak ada hayat barzakhiyyah dalam kubur sehingga azab dan nikmat kubur juga tidak ada. Ini berbeza dengan pandangan Ahlis Sunnah wal Jama`ah)....

Allahu .... Allah, rupa - rupanya antara hikmah amalan mentalqinkan mayyit ini adalah boleh menjadi pembeza antara Ahlis Sunnah dan Muktazilah yang sesat. Mudah - mudahan Allah tetapkan kita atas jalan kebenaran, Ahlis Sunnah wal Jama`ah yang bermazhab. Sebagai penutup, pada 9 Rejab 1443H bersamaan 10 Februari 2022, seorang ulama besar dan kenamaan di Baghdad telah kembali ke rahmatullah. Beliau dikenali sebagai tokoh besar Mazhab Hanafi sehingga digelar sebagai Syaikhul Hanafiyyah di Baghdad. Beliau adalah almarhum Dr. Muhammad Mahrus bin Abdul Lathif al-Mudarris al-A'dzami. Telah viral selepas jenazah beliau dimakamkan, Dr. Muhammad Yaasin ar-Rawi, pimpinan Rabithah Ulama Iraq, telah membacakan talqin ke atas beliau. Oleh itu, sudah - sudahlah mentohmah hanya orang Melayu  atau orang kampung aku sahaja yang membaca talqin di kubur.

Talqin Buat Syaikh Muhd Mahrus al-Hanafi

Tiada ulasan: