Khamis, Ogos 04, 2022

Baja Harta Berkat

Hidup di dunia ini, kita perlu kepada makan, minum, pakaian, tempat tinggal dan seumpamanya. Maka kita perlukan harta sebagai sebab bagi menampung semua itu. Dalam perkara harta, yang penting adalah berkat bukannya banyak. Maka orang - orang bijak berpesan: "Jangan cari yang banyak, tapi cari yang berkat". Harta yang berkat akan menjadi wasilah sebagai bekalan dan amal akhirat. Sedangkan yang tidak berkat akan menjahanamkan kita. Yang berkat akan menumbuhkan sifat tawadhu`, qana`ah, zuhud, syukur dan lain - lain sifat mahmudah, sedangkan yang tidak berkat akan menumbuhkan sifat sombong takabbur, tamak haloba dan lain - lain madzmumah. Mudah - mudahan hidup ini sentiasa diberkati Allah yang Maha Esa.

Begitu pentingnya keberkatan dalam urusan rezeki, maka sentiasa kita mendengar, diajar, berdoa, agar diberikan rezeki yang berkat. Faqir kongsikan satu amalan yang ada riwayatnya, walaupun dhaif. Sungguhpun begitu, namun lafaz amalan ini tidak sekali - kali menyalahi akidah, syariat dan akhlak Islam. Tambahan lagi, para alim ulama telah menukilkan dan menyebarkan riwayat ini dalam karangan - karangan mereka, di antaranya, Imam Ibnul Atsir, Imam ad-Dailami dan Imam Abu Nu`aim. Maka, tidaklah bermasalah untuk diamalkan, bahkan sebahagian ulama  menamakan doa ini sebagai du`a li namaa-il maal, yakni doa untuk menumbuh, menyubur atau mengembang harta, dengan kata lain Doa Baja Harta. Semoga ada keberkatannya, biar tambah harta tambah berkat. Imam Abu Nu`aim rahimahullah meriwayatkan dalam Ma'rifatush Shahabah pada halaman 438 - 439 daripada Badr bin `Abdullah al-Muzani sebagai berikut:- 
Aku berkata kepada Junjungan Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam: "Wahai Rasulullah, bahawasanya aku lelaki dari kabilah Muhaarib atau seorang muhaaraf (yakni, kata lawan bagi mubarak (orang yang diberkati), maka al-muhaaraf adalah orang yang kurang berkatnya, selalu rugi atau malang nasibnya), tidak berkembang bagiku harta." Maka Junjungan Rasulullah shallaAllahu `alaihi wa sallam: "Wahai Badr bin Abdullah, ucapkanlah ketika engkau berada di waktu pagi: {Bismillah atas diriku, Bismillah atas keluarga dan hartaku. Ya Allah, jadikanlah aku redha dengan apa yang telah Engkau tetapkan bagiku, `afiatkan (yakni selamat sejahterakan) aku dengan apa yang telah Engkau anugerahkan, sehingga aku tidak suka untuk mendesak apa yang Engkau lambatkan dan tidak pula membelakangkan (yakni membiarkan atau meremehkan) apa yang telah Engkau segerakan.)} Maka aku mengamalkannya, lalu Allah menyuburkan hartaku, melunaskan hutangku, mengkayakan (yakni mencukupkan) aku dan ahli keluargaku."

Allahu ... Allah, mudah - mudahan Allah ar-Razzaq akan meluaskan lagi rezeki kita dengan pertambahan harta dan seumpamanya. Namun, yang terpenting tambah berkat bukan sekadar tambah banyak. Ingat akan pesanan Junjungan shallaAllahu `alaihi wa sallam sebagaimana yang diriwayatkan oleh asy-Syaikhan, bahawasanya: "Bukanlah kekayaan itu dengan banyaknya harta, akan tetapi kekayaan sejati itu adalah kekayaan hati / jiwa." Hati yang kaya, iaitu yang penuh dengan keimanan dan keyakinan, dipenuhi syukur, qana`ah, zuhud dan redha. Hati yang luas lapang, tanpa bingung dan keluh kesah, tanpa khuatir dan takut, selain nasibnya di akhirat nanti, sehingga tumpuan dan fikirannya hanya memikirkan kebahagiaan akhirat yang hakiki dan bukan semata kebahagiaan dunia yang bakal berakhir. Imam Ibnu Hajar al-`Asqalani rahimahullahi dalam mensyarahkan hadis ini telah menukil akan perkataan Imam Ibnu Baththal rahimahullah yang bererti: Hadis ini menunjukkan bahawa bukanlah hakikat kaya itu banyaknya harta, kerana betapa ramai orang yang diluaskan Allah baginya harta namun tidak dicukupkan dengan apa yang telah dianugerahkan kepadanya, sehingga dia bertungkus lumus bersungguh - sungguh mencari tambahan harta lagi tanpa peduli dari mana datangnya (yakni tanpa mengira hukum halal - haramnya lagi).... Benar bagai dikata, dapat kita saksikan sendiri di zaman ini, lahir begitu ramai mat - mat sakau, bukannya Mat Kilau, sang pahlawan. Harta rakyat disakau, duit pencen disakau, hatta duit orang nak pi haji pun kena sakau ... Allah... apa nak jadi... lahabau sungguh. Semoga kita diberkati Allah sentiasa dalam segala hal dan urusan, juga diselamatkan kita daripada disakau oleh para mat sakau. Negara dan umat ini juga hendaknya.

Tiada ulasan: