Selasa, April 28, 2020

Penterjemah Mukhtaar al-Ahadits

Di Tanah Melayu, antara ulama yang telah memanfaatkan umurnya untuk memberi khidmat kepada hadis Junjungan Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam adalah almarhum Ustaz Haji Abdul Halim bin Haji Noh atau lebih terkenal dengan nama Ustaz Abdul Halim al-Hadi mengikut panggilan yang diberi guru beliau, Syaikh Abdullah Fahim rahimahullah. Ustaz Haji Abdul Halim al-Hadi dilahirkan di Bayan Lepas, Pulau Pinang pada tahun 1904M. Beliau merupakan antara murid awal Syaikh Abdullah Fahim dan mempunyai hubungan yang erat dengan gurunya tersebut, sehingga beliau dijadikan sebagai anak angkat. Bahkan, beliau dipelawa oleh Syaikh Abdullah Fahim untuk tinggal di Kepala Batas bersama dengan rakan - rakan beliau, Ustaz Abu Bakar al-Baqir, Tuan Guru Haji Mohamad Saman Kati, Tuan Guru Haji Hussin Che Dol dan Tuan Haji Ghazali Abdullah. Ustaz Abdul Halim juga sempat menuntut ilmu di Makkah al-Mukarramah dan beliau cenderung dengan pengajian hadis. Di antara guru - guru beliau di sana, adalah Syaikh Ali al-Maliki, Syaikh Mukhtar 'Atharid Bogor dan Syaikh Umar Hamdan al-Mahrasi  rahimahumullah, yang semuanya andalan dalam ilmu hadis. Di antara jawatan yang pernah disandang oleh Ustaz Haji Abdul Halim al-Hadi adalah menjadi tenaga pengajar di Madrasah Idrisiyah, Kuala Kangsar dan Madrasah Daeratul Ma`arif al-Wathaniyyah, Kepala Batas. Beliau juga pernah dilantik menjadi mudir Madrasah Daeratul Ma`arif tersebut, Imam / Khatib di masjid Jami` al-Badawi dan ahli jawatankuasa fatwa Pulau Pinang. Ustaz Abdul Halim al-Hadi meninggal dunia pada 3 Mei, 1981, rahimahullah dan meninggalkan beberapa karya tulis, antaranya:- (i) Tajdzibu Athrafil Hadits; (ii) Ilhamul Bari; (iii) Idhah al-Kalam; dan (iv) Risalah Pengajaran Ugama.
Di antara rupa khidmat almarhum Ustaz Abdul Halim al-Hadi untuk hadis Junjungan Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam adalah dengan menterjemahkan karya - karya hadis dalam Bahasa Melayu, agar segala mutiara yang keluar daripada lisan baginda shallaAllahu `alaihi wa sallam dapat difahami dan digarap oleh bangsa Melayu kebanyakan. Dalam mukaddimah bagi Ilhamul Bari, beliau menulis:- ..." Sesungguhnya saya dengan keluaran kitab Shahih al-Bukhari yang tidak seperti ini diharap akan terlepas tanggungan saya di sisi Tuhan dan di sisi kaum Islam bangsa saya yang sedang ingin hendak meneguk pengertian makna hadis". Ilhamul Bari Syarhu Shahih al-Bukhari Bahasa Melayu adalah karya beliau sebagai terjemahan bagi kitab Shahih al-Bukhari ke Bahasa Melayu dengan diberi syarah secara ijmal (ringkas). Beliau menulisnya dalam 10 penggal dan mengandungi terjemahan 1365 hadis Shahih al-Bukhari, dimulai dari awal Shahih al-Bukhari pada kitab Bad-u al-Wahyi sehingga Bab Ma Ja-a fi Qatl an-Nafs dalam kitab Janaiz. Walaupun, Ustaz Abdul Halim al-Hadi tidak sempat menyempurnakan terjemahan bagi semua hadis dalam kitab Shahih al-Bukhari, namun usaha beliau tersebut amat bernilai dan sebagai tambahan kepada perbendaharaan hadis dalam Bahasa Melayu. Karya beliau ini juga adalah antara karya awal dan perintis kepada penterjemahan kitab Shahih al-Bukhari ke Bahasa Melayu. Usaha beliau turut mendapat penghargaan dan pujian guru beliau, almarhum Syaikh Abdullah Fahim. Dalam mukaddimahnya Syaikh Abdullah Fahim rahimahullah menyatakan, antara lain: ..."Sebenarnya kami telah lihat syarah Shahih al-Bukhari yang telah disusun oleh saudara kami, Abdul Halim al-Hadi, dengan Bahasa Melayu. Maka kami dapati bahawa susunannya itu bagus dan sesuai, bahkan terang dengan seterang - terangnya bak kata pepatah:- "sudah terang lagi bersuluh.". Terus kami hantar namanya dengan Ilham al-Bari ila Tarjamah Shahih al-Bukhari."

Selain Ilhamul Bari, yang merupakan terjemahan bagi sebuah karya hadis klasik, Ustaz Abdul Halim mempunyai sebuah lagi karangan dalam bidang hadis yang merupakan terjemahan bagi sebuah kitab himpunan hadis karangan seorang ulama yang sezaman dengan beliau. Ini menunjukkan bahawa beliau adalah seorang ulama yang peka dan mengetahui perkembangan semasa dalam bidang hadis. Himpunan hadis tersebut berjodol Mukhtaarul Ahaadits an-Nabawiyyah wal Hikam al-Muhammadiyyah. Kitab ini adalah karangan seorang ulama keluaran al-Azhar asy-Syarif, seorang tokoh pendidik dan sasterawan, as-Sayyid asy-Syaikh Ahmad bin Ibrahim bin Musthafa al-Hasyimi al-Qurasyi rahimahullah. Beliau dilahirkan di Kota Kaherah, Mesir, pada tahun 1878M dan menimba ilmu di Universiti al-Azhar. Di antara guru beliau ialah Syaikh Hasunah an-Nawawi, Syaikh Salim al-Bisyri dan Syaikh Muhammad Abduh rahimahullah. Selain menjadi pendidik, beliau juga banyak berkarya terutama sekali dalam bidang ilmu bahasa sehingga beliau digelar al-adib (sasterawan). Di antara karya - karya beliau:- Jawahirul Balaghah, as-Sa`adah al-Abadiyyah fi asy-Syari`atil Islamiyyah, Jawahirul Adab, dan Mizan adz-Dzahab fi Shina`ati Syi'ril `Arab.  Beliau wafat di Kota Kaherah pada tahun 1943M rahimahullah.


Ustaz Abdul Halim telah menyiapkan terjemahan Mukhtaar Ahaadits tersebut pada hari Rabu, 9 Rabi`ul Akhir, 1357H bersamaan 8 Jun, 1938. Terjemahan tersebut telah diberi jodol:- Tajdzibu Athrafi al-Hadits. Kitab ini ditulis dalam 2 penggal dengan menggunakan huruf jawi dan kini telah pun ada cetakan yang dirumikan untuk memudahkan kalangan yang tidak mahir jawi. Bersempena dengan puasa dan juga untuk tabarrukan, faqir nukilkan sebuah hadis dari Tajdzibu Athraf, penggal 2, halaman 105,  yang diriwayatkan oleh Imam Thabrani rahimahullah yang terjemahannya: "Bermula tidur orang puasa itu ibadah, diamnya tasbih, amalnya berganda, doanya mustajab, dosanya terampun."

Faqir nukilkan hadis ini dan menyedari bahawa ada pihak yang meremeh hadis tersebut, kerana kelemahan yang ada pada sanadnya. Namun, pengakuan mereka bahawa hadis tersebut adalah dhaif, membuktikan bahawa ianya bukanlah hadis maudhu atau palsu. Kebanyakan ulama yang menjadi sumber inspirasi dan rujukan mereka, seperti Syaikh al-Albani, pun berpendapat bahawa hadis ini hanya dhaif. Di samping itu, ada juga yang menafsirkan seolah - olah hadis tersebut menganjurkan orang berpuasa untuk membanyakkan tidur, sedangkan tafsiran tersebut jelas terbit daripada salahfaham mereka tentang makna hadis. Dhaifnya status sanad hadis ini bukanlah masalah kerana hadis tersebut termasuk dalam hadis fadhail dan bukannya hadis ahkam. Ulama tidak mengeluarkan hukum sunnat atau wajibnya berpuasa daripada hadis tersebut. Ulama juga tidak ada yang menghukumkan sunnat tidur ketika berpuasa menurut hadis tersebut. Hadis ini hanya diselit dan diguna oleh para ulama ketika berbicara mengenai kelebihan atau fadhilat berpuasa. Tiada ulama yang menjadikan hadis ini sebagai hujah atas wajibnya berpuasa dalam bulan Ramadhan. Kewajipan puasa Ramadhan itu ada dalilnya sendiri yang kuat lagi qathie. Hadis ini semata - mata memperikan kelebihan berpuasa dan bukannya kelebihan tidur. Penekanannya adalah pada ibadah puasa dan bukannya tidur, seharusnya yang difahami adalah :- Jika sahaja tidurnya orang yang berpuasa itu ibadah, maka betapa pula jaganya untuk melakukan ibadah khusus seperti sembahyang atau melakukan ibadah umum seperti melaksanakan tanggungjawab, bekerja atau berusaha mencari rezeki yang halal, sudah barang tentu jaganya tersebut akan diberi nilaian ibadah yang berlebih - lebih lagi. Oleh itu, belajarlah memahami ilmu hadis dan makna hadis dengan benar dan betul melalui para ulama kita yang muktabar. Selamat berpuasa, selamat beribadah dan juga selamat tidur, kerana tidur itu juga boleh jadi ibadah asalkan kena syaratnya. Di samping itu, dengan tidur juga, sebahagian manusia beroleh keselamatan daripada dosa mulut, dosa mata, dosa telinga dan seumpamanya. Dari satu sudut pula, hal ini juga mengisyaratkan kepada keistimewaan ibadah puasa berbanding ibadah lain seperti shalat, kerana dalam melaksanakan ibadah puasa, kita boleh tidur, sedangkan tidur dalam shalat tu saja cari penyakit. Apa - apa pun berpadalah dan jangan pandang sebelah mata dengan tidur, kerana tidur kamu, samada tidur malam atau tidur siang (manaamukum bil laili wan nahaar), adalah antara ayaatullah, tanda - tanda kebesaran, kekuasaan dan kemurahan Allah ta`ala. Maka ambillah pengajaran dan bersyukurlah.
******************
Surah ar-Ruum 
(Tafsir Pimpinan Ar-Rahman)

Tiada ulasan: