Faedah Dari Fatawa Haditsiyyah
Surah al-Ikhlas adalah satu surah yang sudah sebati dengan jiwa umat Islam yang ajaran terasnya adalah mentawhidkan Allah `azza wa jalla, Tuhan yang Maha Esa, yang tiada sekutu bagiNya. Kelebihan dan keistimewaan surah ini telah masyhur di sisi umat. Di sini faqir sekadar menambah dan merakam pengetahuan agar tidak lupa berkait dengan kelebihan menjadikan surah yang mulia ini sebagai amalan atau wiridan. Hal ini faqir nukilkan daripada kitab Imam Ibnu Hajar al-Haitami rahimahullah, di mana Imam yang agung tersebut menukilkan beberapa riwayat yang warid berkenaan pembacaan surah tersebut dengan bilangan yang tertentu.
Termaktub dalam al-Fatawa al-Haditsiyyah, pada halaman 2 bahawa Imam Ibnu Hajar telah ditanya samada ada atau tidak hadis - hadis tentang ganjaran membaca surah al-Ikhlas sebanyak 100 kali secara khusus. Maka Imam Ibnu Hajar menyatakan bahawa sememangnya ada riwayat - riwayat yang menceritakan secara khusus mengenai kelebihan membaca Surah al-Ikhlas dengan bilangan tertentu. Di antaranya adalah:-
Pertama: Hadis yang diriwayat oleh Ibnu 'Adi dan al-Baihaqi daripada Sayyidina Anas bin Malik radhiyaAllahu `anhu daripada Junjungan Rasulullah shallaAllahu `alaihi wa sallam, bahawa baginda bersabda:- " Sesiapa membaca Suratul Ikhlas 100 kali, Allah mengampunkan baginya kesalahannya (khathi-ah / dosa kecil) 50 tahun, selagi dia menjauhi empat perkara (yakni asalkan bukan yang berkait dengan empat perkara): (a) dosa yang berkait dengan darah (seperti pembunuhan, mendatangkan kecederaan dan sebagainya); (b) dosa yang berkait dengan harta (seperti mencuri dan sebagainya); (c) dosa yang berkait dengan kemaluan (seperti zina dan seumpamanya); dan (d) dosa yang berkait dengan minum arak."
Kedua: Hadis yang diriwayatkan oleh ath-Thabrani daripada Fairuz daripada Junjungan Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam bahawa baginda bersabda:-"Sesiapa yang membaca Surah al-Ikhlas 100 kali di dalam shalat atau lainnya (yakni di luar shalat), ditulis Allah baginya kelepasan dari api neraka."
Ketiga: Hadis yang diriwayatkan oleh Baihaqi daripada Sayyidina Anas secara marfu`:-"Sesiapa yang membaca Surah al-Ikhlas sehari 100 kali, diampunkan Allah baginya dosa 200 tahun."
Keempat: Hadis yang diriwayatkan oleh Ibnu `Adiy dan al-Baihaqi daripada Sayyidina Anas juga secara marfu`:- "Sesiapa yang membaca Surah al-Ikhlas sehari 200 kali, ditulis Allah baginya 1500 kebajikan (yakni yang khas) melainkan jika dia mempunyai hutang (yakni dia enggan membayarnya)."
Kelima: Hadis yang diriwayatkan oleh Ibn Nashr daripada Sayyidina Anas juga secara marfu`:- "Sesiapa yang membaca Surah al-Ikhlas 50 kali, diampunkan Allah baginya dosa 50 tahun."
Keenam: Hadis yang diriwayatkan oleh al-Kharaithi dalam Fawaaidnya daripada Sayyidina Hudzaifah secara marfu`:- "Sesiapa yang membaca Surah al-Ikhlas 1000 kali, maka dia telah menebus dirinya daripada Allah."
Wa Allahu subhanahu a'laamu bish shawaab.
Imam Ibnu Hajar al-Haitami tidak memperinci perbahasan mengenai status setiap hadis tersebut kerana munasabah dengan pertanyaan yang diajukan kepada beliau, samada ada atau tidak riwayat yang datang mengenai ganjaran pembacaan surah tersebut dalam bilangan tadi. Maka jawapan yang diberi oleh beliau adalah memang ada riwayat khusus mengenai perkara tersebut, tanpa memperincikan samada riwayat tersebut shahih atau hasan atau dhaif. Maka kesimpulannya adalah jika riwayat - riwayat yang didatangkan oleh beliau tersebut tidak mencapai darjat shahih sekalipun, maka sekurang - kurangnya ianya masih dalam lingkungan dhaif yang boleh diriwayatkan dan diamal dalam perkara fadhail. Jika sekiranya riwayat - riwayat tersebut maudhu` palsu, nescaya Imam Ibnu Hajar rahimahullah akan memberikan komentarnya, kerana para ulama telah menyatakan bahawa haram meriwayatkan hadis maudhu` tanpa komentar dan makluman bahawa riwayatnya maudhu` yang tiada asal daripada Junjungan Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam. Berhubung dengan riwayat yang dhaif, maka ianya dibenarkan untuk diriwayatkan tanpa menjelaskan kedudukan sanadnya, asalkan bukan berkaitan dengan perkara akidah atau hukum hakam halal - haram. Apatah lagi jika riwayat - riwayat tersebut dinukilkan dalam karya para ulama yang mempunyai pengetahuan dan kepakaran dalam ilmu hadis. Syaikh Hasan al-Masyath rahimahullah dalam kitab Raf`ul Astaar, yang mensyarahkan nadzam Thal`atul Anwar bagi Syaikh `Abdul Rahim bin al-Husain al-`Iraqi asy-Syafie rahimahullah dalam ilmu musthalah hadis, menyatakan pada halaman 65, antaranya, sebagai berikut:- " Dan ketahuilah bahawasanya harus bagimu meriwayatkan hadis dhaif tanpa menjelaskan kedhaifannya dalam perkara selain daripada sifat Allah ta`ala (yakni perkara akidah) dan perkara hukum hakam (yakni hukum syarak)................ Adapun hadis yang warid dalam bab qishash (kisah cerita), mawa`idz (teguran nasihat), targhib (anjuran galakan), tarhib (ancaman kecaman) dan seumpamanya, yang tidak berkait dengan urusan akidah dan hukum - hakam, maka para ulama membenarkan kelonggaran dalam meriwayatkannya tanpa perlu menerangkan akan kedhaifannya......"
Mudah - mudahan lidah kita lebih banyak menyebut shifatur Rahman berbanding menyebut bid`ah, bid`ah, bid`ah atau dhaif, dhaif, dhaif atau yang seumpamanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan