Li Khamsatun - Ulama Turki

Syaikh Ahmad al-Kumsyakhanawi adalah ulama besar Ahli Sunnah wal Jama`ah, sufi, mursyid Thariqat Naqsyabandi, ahli hadis dan seorang mujahid yang pernah berjihad menentang Russia. Imam Muhammad Zahid al-Kautsari rahimahullah, Syaikhul Islam terakhir Khilafah 'Uthmaniyyah, amat mengkagumi beliau, bahkan memuji beliau dengan berbagai gelaran. Beliau disebut sebagai mujaddid Thariqah Naqsyabandiyyah al-Khalidiyyah dengan cabang Dhiya-iyyah yang mengambil sempena gelar beliau. Beliau juga aktif menulis dan meninggalkan beberapa karangan yang bermutu. Di antara yang masyhur adalah kitab Jaami`ul Ushuul fil Awliya yang kerap dijadikan rujukan. Almarhum Tuan Husein Kedah dalam karangan beliau Ushulut Tawhid menyatakan bahawa antara rujukan beliau adalah kitab Jaami`ul Ushuul fil Awliya bagi Syaikh Ahmad al-Kumsyakhanawi. Begitu juga almarhum Buya Muhibbuddin Waly al-Khalidi sering merujuk kepada kitab ini dalam pengajaran dan karangan beliau. Dalam ilmu hadis pula, kitab beliau "Ramuz al Ahadits" sering dirujuk dan menjadi teks para pengajar dan pelajar hadis di Turki.

Syaikh Ahmad rahimahullah juga mempunyai karya yang terhimpun di dalamnya berbagai macam wirid, hizib, qashidah, doa dan munajat daripada berbagai sumber. Himpunan ini adalah dalam tiga juzuk tebal dan dinamakan Majmu`atul Ahzab wal Awrad. Pada juz ke-2, halaman 505 - 506, beliau menukilkan Hizbun li Daf`ith Thaa`un wal Wabaa` wa Kulli `Ilal yang merupakan rangkaian amalan untuk menolak tha`un dan wabak penyakit. Hizib ini dimulakan dengan bait Li Khamsatun. Jelas bahawa membaca dan mengamalkan bait tersebut bukanlah sesuatu yang taboo di kalangan Ahli Sunnah. Oleh itu, janganlah diperlekehkan orang yang menjadikannya sebagai amalan, apatah lagi jika dituduh sebagai Syiah yang sesat. Amalan bertawasul kepada ahli kisa` bukanlah sesuatu yang ditegah dalam ajaran Ahli Sunnah wal Jama`ah. Bahkan amalan membaca bait Li Khamsatun diteruskan hingga ke generasi kita sekarang, apatah lagi sejak diuji dengan Covid19.
Seorang lagi ulama kenamaan Turki, yang namanya disanjung - sanjung oleh para pejuang dan pendokong organisasi - organisasi dakwah dan partai - partai Islam. Tokoh yang terkenal berani dan digeruni oleh Ataturk dan regim sekular, Syaikh Badi`uzzaman Sa`id an-Nursi rahimahullah. Beliau turut menukilkan bait Li Khamsatun dalam salah satu surat beliau kepada sahabat dan muridnya. Hal ini dapat dilihat dalam al-Malaahiq Fi Fiqhi Da'wah an-Nuur pada halaman 81. Melalui surat bertarikh 14 Naisan (April) 1934, hari Rabu, beliau dalam jawapan ringkas terhadap pertanyaan tentang Alul `Abaa` (gelar lain bagi Ahli Kisa` yang lima iaitu Junjungan Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam, Imam 'Ali, Imam Hasan, Imam Husain dan Sayyidah Fathimah radhiyaAllahu `anhum) menulis antara lain: "Dan telah berkata seorang yang memiliki keutamaan bahawa untuk ikhtiar mencari kesembuhan (istisyfa`) dan syafaat pertolongan (istisyfaa') hendaklah dibaca: Li khamsatun uthfi biha naaral wabaa-il haathimah; al-Mushthafa wal Murtadha wabnaahumaa wa Faathimah." Adakah Syaikh Badi`uzzaman telah jadi Syiah!!
Mudah-mudahan makin jelas kepada kita status dan kedudukan dua bait Li Khamsatun yang masyhur tersebut. Semoga dengan berkah alil `abaa`, Allah ta`ala menyelamatkan kita dan sekalian umat dari segala penyakit dan wabak. Semoga Allah merahmati sentiasa para ulama kita, wa bil khusus Syaikh Ahmed Ziyaeddin Gumushanevi Hazratleri dan Syaikh Badi`uzzaman Sa`id an-Nursi...al-Fatihah.
1 ulasan:
Assalamualaikum Tuan. Saya tercari² di Mesir kitab Jamiul Usul Awliya' tapi x bertemu. Boleh sy nak tahu mcm mana nak dapatkan kitab tersebut?
Catat Ulasan