Jumaat, April 10, 2020

Li Khamsatun - Ulama Turki

Syaikh al-'Alim al-'Allaamah al-Imam Dhiya-uddin, Ahmad bin Mustafa bin Abdul Rahman al-Kumsyakhanawi  @ al-Kumusyakhanawi @ al-Kamsyakhanawi atau dalam lahjah Turki biasa dirujuk sebagai Syaikh Ahmed Ziyaeddin Gumushanevi  Hazratleri rahimahullah adalah antara ulama  ternama Turki. Beliau dilahirkan di Emirler, Gumushane, Turki, dalam tahun 1228H / 1813M dan wafat di Istanbul pada 7 DzulQaedah 1311 / 13 Mei 1893, rahimahullah. Atas perkenan Sultan Abdul Hamid II, sultan Khilafah Uthmaniyyah ketika itu, beliau dimakamkan dalam kawasan Masjid Sulaimaniyyah, bersebelahan dengan makam Sultan Sulaiman al-Qanuni.

Syaikh Ahmad al-Kumsyakhanawi adalah ulama besar Ahli Sunnah wal Jama`ah, sufi, mursyid Thariqat Naqsyabandi, ahli hadis dan seorang mujahid yang pernah berjihad menentang Russia. Imam Muhammad Zahid al-Kautsari rahimahullah, Syaikhul Islam terakhir Khilafah 'Uthmaniyyah, amat mengkagumi beliau, bahkan memuji beliau dengan berbagai gelaran. Beliau disebut sebagai mujaddid Thariqah Naqsyabandiyyah al-Khalidiyyah dengan cabang Dhiya-iyyah yang mengambil sempena gelar beliau. Beliau juga aktif menulis dan meninggalkan beberapa karangan yang bermutu. Di antara yang masyhur adalah kitab Jaami`ul Ushuul fil Awliya yang kerap dijadikan rujukan. Almarhum Tuan Husein Kedah dalam karangan beliau Ushulut Tawhid menyatakan bahawa antara rujukan beliau adalah kitab  Jaami`ul Ushuul fil Awliya bagi Syaikh Ahmad al-Kumsyakhanawi. Begitu juga almarhum Buya Muhibbuddin Waly al-Khalidi sering merujuk kepada kitab ini dalam pengajaran dan karangan beliau. Dalam ilmu hadis pula, kitab beliau "Ramuz al Ahadits" sering dirujuk dan menjadi teks para pengajar dan pelajar hadis di Turki. 

Dalam bab akidah dan iktiqad Ahli Sunnah wal Jama`ah, antara karya peninggalan beliau adalah kitab berjodol Jaami`ul Mutun fi Haqqi Anwaa`ish Shifaatil Ilahiyyah wal `Aqaa-idil Maaturidiyyah wa Alfadzil Kufri wa Tashhiihil A'maalil 'Ajiibiyyah, sengaja faqir nukilkan sepenuhnya untuk menggambarkan isi kandungannya dan sebagai penegasan bahawa al-Kumsyakhanawi adalah pendokong mazhab al-Maaturidiyyah daripada Ahli Sunnah wal Jama`ah. Selain daripada itu, Syaikh Ahmad al-Kumsyakhanawi juga mengarang banyak lagi karangan, antaranya: Ruhul `Arifin, Lawami`ul-Uqul, Gharaib al-Ahadits, Lathaiful Hikam, Hadits al-Arba`in, Najaatul Ghafilin, Dawa-ul Muslimin, Nataaijul Ikhlas, Majmu`atul Ahzab wal Awrad dan al-`Abir fil Anshari wal Muhajir.

Syaikh Ahmad rahimahullah juga mempunyai karya yang terhimpun di dalamnya berbagai macam wirid, hizib, qashidah, doa dan munajat daripada berbagai sumber. Himpunan ini adalah dalam tiga juzuk tebal dan dinamakan Majmu`atul Ahzab wal Awrad. Pada juz ke-2, halaman 505 - 506, beliau menukilkan Hizbun li Daf`ith Thaa`un wal Wabaa` wa Kulli `Ilal  yang merupakan rangkaian amalan untuk menolak tha`un dan wabak penyakit. Hizib ini dimulakan dengan bait Li Khamsatun. Jelas bahawa membaca dan mengamalkan bait tersebut bukanlah sesuatu yang taboo di kalangan Ahli Sunnah. Oleh itu, janganlah diperlekehkan orang yang menjadikannya sebagai amalan, apatah lagi jika dituduh sebagai Syiah yang sesat. Amalan bertawasul kepada ahli kisa` bukanlah sesuatu yang ditegah dalam ajaran Ahli Sunnah wal Jama`ah. Bahkan amalan membaca bait Li Khamsatun diteruskan hingga ke generasi kita sekarang, apatah lagi sejak diuji dengan Covid19.

Seorang lagi ulama kenamaan Turki, yang namanya disanjung - sanjung oleh para pejuang dan pendokong organisasi - organisasi dakwah dan partai - partai Islam.  Tokoh yang terkenal berani dan digeruni oleh Ataturk dan regim sekular, Syaikh Badi`uzzaman Sa`id an-Nursi rahimahullah. Beliau turut menukilkan bait  Li Khamsatun dalam salah satu surat beliau kepada sahabat dan muridnya. Hal ini dapat dilihat dalam al-Malaahiq Fi Fiqhi Da'wah an-Nuur pada halaman 81. Melalui surat bertarikh 14 Naisan (April) 1934, hari Rabu, beliau dalam jawapan ringkas terhadap pertanyaan tentang Alul `Abaa` (gelar lain bagi Ahli Kisa` yang lima iaitu Junjungan Nabi  shallaAllahu `alaihi wa sallam, Imam 'Ali, Imam Hasan, Imam Husain dan Sayyidah Fathimah radhiyaAllahu `anhum) menulis antara lain: "Dan telah berkata seorang yang memiliki keutamaan  bahawa untuk ikhtiar mencari kesembuhan (istisyfa`) dan syafaat pertolongan (istisyfaa')  hendaklah dibaca: Li khamsatun uthfi biha naaral wabaa-il haathimah; al-Mushthafa wal Murtadha wabnaahumaa wa Faathimah." Adakah Syaikh Badi`uzzaman telah jadi Syiah!!

Mudah-mudahan makin jelas kepada kita status dan kedudukan dua bait Li Khamsatun yang masyhur tersebut. Semoga dengan berkah alil `abaa`, Allah ta`ala menyelamatkan kita dan sekalian umat dari segala penyakit dan wabak. Semoga Allah merahmati sentiasa para ulama kita, wa bil khusus Syaikh Ahmed Ziyaeddin Gumushanevi Hazratleri dan Syaikh Badi`uzzaman Sa`id an-Nursi...al-Fatihah.

1 ulasan:

refah00 berkata...

Assalamualaikum Tuan. Saya tercari² di Mesir kitab Jamiul Usul Awliya' tapi x bertemu. Boleh sy nak tahu mcm mana nak dapatkan kitab tersebut?