Shalawat Sidi Hasan
Ketika kita membuka karya dan tulisan para ulama kita Ahlis Sunnah wal Jama`ah, pasti kita akan menemui berbagai bentuk dan beraneka ragam susunan shalawat - shalawat ke atas Junjungan Nabi Muhammad shallaAllahu `alaihi wa sallam. Semua ini menjadi tanda betapa tingginya kecintaan mereka kepada Rasul Junjungan shallaAllahu `alaihi wa sallam. Yang pasti ketika menyusun shalawat-shalawat ini, mereka bukan hanya mengandalkan kepandaian dan kebijaksanaan semata-mata, ilham dan panduan rohani juga memainkan peranan dalam pembentukan susunan kata - kata indah tersebut yang tiada lain tujuannya selain daripada mengagungkan dan mentakzimkan Junjungan Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam. Mereka-mereka ini, para ulama kita, bukanlah manusia-manusia dungu yang buta akidah dan syariah. Mereka sebenarnya berada di puncak keilmuan yang hakiki, berenang dalam lautan musyahadah mencapai ma'rifatullah dan mahabbatullah yang sejati. Bukan seperti sesetengah "tokoh yang dipertokohkan", yang kering hatinya daripada mahabbatullah dan mahabbatur rasul. Hati-hatilah kita dengan "tokoh yang dipertokoh" seumpama ini. Antara tanda tokoh sebegini adalah mudah dan ringan untuk menghukum syirik dan bid`ah terhadap shalawat - shalawat yang dikarang oleh para ulama terdahulu.
Maka di antara shighah shalawat tersebut adalah satu shalawat yang juga dikenali sebagai Shalawat Syifa` yang dinisbahkan kepada seorang ulama lagi wali yang bermukim di kota suci Baitul Maqdis. Beliau adalah Syaikh Hasan Abu Halaawah al-Ghazi rahimahullah yang wafat pada tahun 1308H. Para ilmuan dan ulama telah menyatakan kesaksian atas kewalian dan ketokohan Syaikh Hasan rahimahullah. Di antaranya, ulama dan pensyarah ilmu hadis dan fiqh di Universiti Islam Beirut, pengarang berbagai karya agama, Dr. Yusuf bin Abdul Rahman al-Mar`asyli. Beliau dalam karangannya Natsrul Jawaahir wad Durar, jilid 1 pada halaman 335, menyatakan bahawa Syaikh Hasan Abu Halaawah al-Ghazi adalah di antara waliyullah yang menetap di al-Quds (Baitul Maqdis). Beliau tinggal di bilik sebuah madrasah di samping Masjidil Aqsa. Para penziarah tidak putus-putus menziarahi beliau di bilik tersebut untuk memohon doa dan tunjuk ajar beliau bagi mengatasi masalah-masalah mereka. Syaikh Yusuf an-Nabhani pernah berkali-kali bertemu dengan beliau ketika menziarahi Baitul Maqdis dan memperolehi banyak faedah daripada beliau di antaranya mendapat ijazah Thariqah al-'Aliyyah al-Qaadiriyyah dan juga shalawat tersebut.
Perkara ini dinyatakan sendiri oleh Syaikh Yusuf an-Nabhani rahimahullah dalam kitab shalawat beliau yang besar, Sa`aadatud Daarain, pada halaman 343, seperti berikut:-
Shalawat yang ke 19 iaitu Shalawat Sayyidi asy-Syaikh Hasan Abu Halaawah al-Ghazi, iaitu Allahumma shalli 'ala Sayyidina Muhammadinil Habibil Mahbub, Syaafil 'Ilal, wa Mufarrijil Kuruub, wa 'ala aalihii wa sahbihii wa sallim. Ini adalah shalawat yang mujarrab untuk melepaskan kesusahan yang telah ditalqinkan dan ijazahkan kepadaku oleh Sayyidi al-Wali al-Mu'taqid asy-Syaikh Hasan Abu Halaawah al-Ghazi yang bermastautin di Baitul Maqdis pada tahun 1306H, ketika aku mengadu kepada beliau mengenai kebimbangan dan kesusahan yang aku alami. Maka setelah aku mengamalkan shalawat ini, Allah telah memberikan aku kelepasan dari kesusahanku dan menyampaikan hajatku melebihi apa yang aku harapkan, semuanya dengan kelebihanNya dan ihsanNya jua, berkat shalawat ke atas Junjungan Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam.Dalam buku shalawat, al-Wasiilatul Harriyyah, yang dihimpun oleh Kiyai Ahmad Qusyairi bin Shiddiq rahimahullah shalawat ini turut dimuatkan sebagai shalawat yang ke-51 pada halaman 39. Dalam komentarnya, Kiyai Ahmad Qusyairi rahimahullah menyatakan sebagai berikut:- Shalawat yang mujarrab bagi melepaskan kesusahan dan menghasilkan hajat permohonan. Telah diijazahkan kepadaku oleh wali Quthub al-Bankalani (yakni Syaikh Khalil Bangkalan).
Walaupun sesetengah ulama tidak bersetuju dengan penggunaan nama "asy-Syafi" kepada Junjungan Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam kerana bagi mereka asy-Syafi (Penyembuh) adalah Allah `azza wa jalla. Namun, ramai juga ulama kita yang membenarkannya, bahkan memuatkannya dalam kitab - kitab mereka sebagai salah satu nama bagi Junjungan Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam. Ini adalah kerana ianya masih boleh ditakwil dan adalah atas makna majaz dan bukannya hakikat. Maulana Musa Ruhani Bazi rahimahullah dalam mukaddimah beliau atas kitab wirid shalawat al-Barakaatul Makkiyyah pada halaman 52 menerangkan sebagai berikut:- Maka nama-nama yang disebut tadi (yakni nama - nama seperti al-Munji, asy-Syafi, al-Mughni, al-Maladz, al-Ghiyaats, al-Ghauts, al-Mughits, al-Munqidz, an-Nadzir man khalfahu, Daafi`ul Balaya, al-Ghafurul Ummah, Kaasyiful Karbi dan seumpamanya yang menjadi pertikaian antara ulama) tercatat dalam kitab-kitab yang muktamad dan masih dapat difahami ertinya dengan makna yang betul selepas ditakwil dan boleh digunakan untuk Junjungan Nabi `alaihis salam dengan melihat kepada beberapa aspek sudut pandangan...
Syaikh Ahmad Mamduh, setiausaha Darul Ifta` al-Mishriyyah (Majlis Fatwa Mesir) ketika ditanya dalam satu program TV berjodol "Fatawa an-Naas" tentang shalawat yang mengandungi lafaz Syafil 'Ilal wa Mufarrijil Kuruub, menyatakan bahawa shalawat ini adalah di antara shighah shalawat terindah lagi benar dan boleh untuk dibaca. Shalawat tersebut tidak bercanggah dengan akidah tauhid, hanya apa yang berlaku dalam masyarakat adalah kerana terlalu allergic dengan kesyirikan telah menyebabkan timbulnya sikap bermudah-mudah untuk mensyirikkan sesuatu, sedangkan Junjungan Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam bersabda: "Aku tidak takut berlakunya perbuatan syirik atas umatku, akan tetapi yang aku takuti adalah perbalahan antara mereka yang berlaku dalam urusan mereka". Menisbahkan Junjungan shallaAllahu `alaihi wa sallam sebagai "Syafil 'Ilal" hanyalah sebagai sebab atau penawar atau ubat bagi penyembuhan, sedangkan pada hakikatnya hanya Allah yang Maha Penyembuh. Sebagaimana seseorang yang datang berubat kepada seorang doktor, lalu dia sembuh, jika dia menyatakan: "Doktor tersebut yang menyembuhkan aku", maka yang dimaksudkannya adalah doktor tersebut telah menjadi sebab bagi kesembuhannya, sedangkan yang menyembuhkannya dan yang memberi bekas pada hakikatnya hanya Allah `azza wa jalla. Pasti tidak terbetik dalam hati seorang insan Muslim bahawa ada yang memberi bekas selain Allah `azza wa jalla. Bolehlah ikhwah sekalian baca penjelasan Syaikh Ahmad Mamduh tersebut dalam laporan di laman web Akhbarak atau cari video penjelasan lanjut beliau di youtube.
Maka, tidak perlulah kita ambil pusing dengan "fatwa" yang menyesatkan susun kata dalam shalawat ini, sedangkan mereka pasti mengetahui bahawa wujudnya ikhtilaf di kalangan ulama mengenai lafaz-lafaz yang dipermasalahkan mereka itu. Jika mereka bermasalah dengan lafaz - lafaz tersebut, maka tiada siapa yang mewajibkan mereka membacanya. Namun, apa hak mereka untuk mengharamkan bahkan menghukum saudara-saudara seagama yang membacanya sebagai musyrik, sedangkan pihak yang membaca shalawat tersebut juga mempunyai sandaran dan hujjah yang benar. Maka sesiapa yang rasa imannya goyah akibat shalawat ini, berhentilah membacanya. Ramai ulama yang kepercayaan seperti almarhum Dr. Said Ramadhan al-Buthi dan almarhum Buya al-Maliki telah menyebut Junjungan Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam sebagai "Syafil 'Ilal", maka tergamakkah kita untuk menghukum mereka dan juga setiap muslim yang memanggil Junjungan Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam sebagaimana tersebut sebagai musyrik hanya semata-mata kita mengertikan nama tersebut menurut pemahaman kita yang dangkal? Mudah-mudahan kita sentiasa istiqamah atas jalan yang sebenar Ahlis Sunnah wal Jama`ah yang sentiasa berhati-hati dalam menghukum.
Pengarang Natsrul Jawahir wad Durar
Syaikh Dr. Yusuf Abdul Rahman al-Mar`asyli
1 ulasan:
Alhamdulillah. Mohon share ya sidi
Catat Ulasan