Jumaat, September 11, 2026

Mimpi Shalawat Badawi - Al-Kayali

Sebagai entri penutup bulan yang dimuliakan Allah ta`ala sebagai bulan zahirnya Junjungan Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam, Rabi`ul Anwar, faqir kongsikan pengalaman seorang ulama, berkait Shalawat Nuril Anwar yang disusun oleh wali quthub Sidi Ahmad al-Badawi qaddasaAllahu sirrahul `aziz. Masih lagi pengalaman yang berdasarkan mimpi, maka janganlah gegabah mentarjihnya menurut disiplin ilmu hadits. Nak percaya, boleh, tak percaya pun, no problem. Tambahan pula shalawat tersebut gubahan seorang wali yang arifBillah, sesiapa yang suka mengamalkannya boleh berbuat sedemikian kerana telah ada contoh dan panduan daripada para alim ulama yang menjadi ikutan. Sesiapa yang alergi dengan shalawat - shalawat gubahan, tak perlulah membacanya, yang penting jangan kecoh pada benda yang tak ada isu nak dikecohkan.

Syaikh Dr. Muhammad `Adil `Azizah al-Kayali al-Husaini hafizahullah adalah seorang ulama dan pakar akidah Ahlis Sunnah wal Jama`ah yang berasal dari Halab (Aleppo), Syria. Di antara karya beliau yang masyhur adalah `Aqidatus Salafish Shalih: Ahlis Sunnah wal Jama`ah yang menjelaskan bagaimana para salafush shalih memahami ayat - ayat dan hadits - hadits sifat berdasarkan kepada riwayat para ulama yang tsiqah (kepercayaan) seperti Imam Ibnu Katsir, Imam Baghawi, Imam Qurthubi dan lain - lain. Syaikh Adil al-Kayali pernah menceritakan bahawa satu masa, ketika beliau ditimpa kesusahan besar sehingga menyesakkan dada, beliau telah bermimpi bertemu dengan Junjungan Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam. Dalam mimpi tersebut, Junjungan Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam menyuruhnya untuk membaca Shalawat Badawi, dan ketika itu Allah mencampakkan ilham dalam hatinya bahawa yang dimaksudkan adalah Shalawat Nuril Anwar. Syaikh Adil menyatakan bahawa shalawat tersebut dibaca 100 kali dan mujarrab untuk menunaikan segala hajat, in sya Allah.

Shalawat Badawi ash-Shughra atau lebih dikenali sebagai Shalawat Nuril Anwar atau Shalawat Badawi ini telah diamalkan oleh ramai ulama dan awam muslimin dan mereka merasai kenikmatan dan keberkatannya. Mufti Sidi Ahmad Zaini Dahlan rahimahullah  telah menyebut mengenainya dalam karangan beliau, dan para ulama selepasnya telah menukil perkataan beliau dalam karya mereka, antaranya al-Imamul Akbar, Syaikhul Azhar, Dr. Abdul Halim Mahmud rahimahullah dalam Aqthab at-Tashawwuf: as-Sayyid Ahmad al-Badawi radhiyaAllahu `anhu. Pada halaman 71 dinyatakan sebagai berikut:-

 ...Adapun shalawat yang kedua (bagi Sidi Badawi) yang dimulai dengan: "Allahumma shalli `ala Nuril Anwar wa Sirril Asraar ...hingga akhirnya"..., maka telah berkata al-Ustaz as-Sayyid Ahmad Dahlan dalam majmu`ahnya .......:- "Telah menyebut ramai awliya yang arifin bahawasanya shalawat ini mujarrab (telah teruji keampuhannya) bagi menunaikan segala hajat, menghilangkan segala kesusahan, menghindari segala kerumitan, menghasilkan segala nur (cahaya kebaikan) dan asraar (ilmu yang halus - halus terutama berhubung makrifatullah). Bahkan shalawat ini mujarrab bagi segala sesuatu dan antara bilangan untuk diwiridkan adalah 100 kali setiap hari.......

Begitulah sedikit kisah mengenai Shalawat Badawi  yang dialami oleh seorang ulama yang menceritakannya kepada kita. Sungguh keberkatan shalawat ini telah masyhur diperkatakan ulama kita dan telah menjadi amalan dan wiridan mereka. Mudah  - mudahan Allah memudahkan segala urusan kita dan menyelamatkan kita dunia - akhirat berkat syafaat Shahibin Nuur, Nuril Anwar, Sayyidina Muhammad shallaAllahu `alaihi wa sallam, berkat Shalawat Nuril Anwar dan berkat yang empunyanya Abil Fityan, Sidi Ahmad al-Badawi radhiyaAllahu `anhu, aamiin.

*****************************************************



Tiada ulasan: