Isnin, September 30, 2019

Umpama Rakaat Lailatul Qadar

Allah azza wa jalla Tuhan yang Maha Pemurah telah membentang bagi kita berbagai amalan dan cara yang walau pun nampaknya kecil dan ringan, tetapi memiliki ganjaran yang amat besar. Di antaranya adalah shalat sunnat selepas Isya` (ba'diyyah Isya`) sebanyak 4 rakaat. Amalan ini yang memiliki ganjaran istimewa yang tersendiri. Telah datang berbagai riwayat mengenai fadhilat melaksanakannya, menunjukkan ganjarannya seumpama rakaat - rakaat shalat tersebut yang dilakukan pada Lailatul Qadar.

Oleh itu, ramai para ulama dan tuan - tuan guru kita berpesan agar menjadikan amalan ini sebagai amalan istiqamah kita.  Imam Habib Abdullah al-Haddad rahimahullah dalam an-Nashaih ad-Diniyyah, turut berpesan agar kita menjaga amalan menunaikan shalat sunnat empat rakaat selepas Isya` ini. Pada halaman 138, beliau menyatakan, antara lain, sebagai berikut:-
Hendaklah engkau melazimkan shalat sunnat empat rakaat selepas Shalat Isya`. Sesungguhnya padanya ada kelebihan yang banyak sebagaimana sabda Junjungan Nabi `alaihish shalatu was salam: "Empat rakaat selepas Shalat Isya` adalah seperti empat rakaat (yang dikerjakan) pada malam Lailatul Qadar." Satu rakaat pada malam Lailatul Qadar menyamai 30,000 rakaat pada malam - malam yang lain......
Imam Ibnu Abi Syaibah dalam al-Mushannaf, jilid 5, halaman 100, telah meriwayatkan beberapa atsar mengenai kelebihan shalat sunnat empat rakaat selepas Isya`. Atsar - atsar tersebut yang dihukumkan sebagai hadis marfu`, dengan berbagai darjat, antaranya sebagai berikut:-

7351 - ...... daripada Abdullah bin `Amru yang berkata: "Sesiapa shalat empat rakaat selepas `Isya` jadilah kadarnya seperti empat rakaat yang dilakukan pada malam Lailatul Qadar."

7352 - ....... daripada Sayyidah `Aisyah yang berkata: "Empat rakaat shalat selepas Isya` menyamai yang seumpamanya pada malam Lailatul Qadar."

7353 - .....daripada Sayyidina 'Abdullah (iaitu Sayyidina Ibnu Mas`ud) yang berkata: "Sesiapa yang shalat 4 rakaat selepas shalat Isya` tanpa memisahkan antara rakaat-rakaatnya dengan salam (yakni dilakukan dengan satu salam sahaja) menyamai akan yang seumpamanya pada malam Lailatul Qadar."

Inilah beberapa atsar sahabat yang menunjukkan kelebihan menunaikan shalat empat rakaat tersebut. Mudah-mudahan menjadi galakan untuk kita beramal. Tentang shalat sunnat empat rakaat ini dan cara melaksanakan cara, ulama berbeza pendapat. Sebahagian ulama, seperti para ulama daripada kalangan Hanafiyyah, berpendapat bahawa ianya adalah shalat sunnat mutlak dan bukannya shalat rawatib selepas Isya` (sunnat ba`diyyah Isya`). Manakala para ulama daripada kalangan Syafi`iyyah dan Hanabilah menyatakan bahawa shalat tersebut adalah shalat sunnat ba`diyyah Isya`. Mereka juga berbeza pendapat tentang kaedah melakukannya. Sebahagian ulama menghukumkan ia lebih afdhal dilakukan di masjid sebelum pulang ke rumah, manakala yang lain menghukumkan afdhal dilakukan di rumah. Sebahagian ulama menghukum empat rakaat ini afdhal dilakukan secara berpisah dengan dua salam, manakala sebahagian lagi berpendapat ianya dilakukan sekaligus dengan satu salam sahaja sebagaimana dalam riwayat Sayyidina Ibnu Mas`ud tadi. Seterusnya yang menghukumkan afdhal dengan satu salam, berbeza lagi pendapat, sebahagian menyatakan afdhal dilakukan tanpa tahiyyat awal untuk membezakannya dengan shalat fardhu Isya`, manakala sebahagian lagi menganjurkan dengan tahiyyat awal. Walau apa pun perbezaan pendapat tadi, namun para ulama sekata menyimpulkan bahawa selepas shalat fardhu Isya`, kita dianjurkan untuk melaksanakan empat rakaat shalat sunnat yang mana empat rakaat ini dikadarkan atau diukur ganjarannya menyamai atau seumpama rakaat - rakaat sembahyang yang dilakukan pada Lailatul Qadar, malam yang penuh kemuliaan. Oleh itu, berusahalah untuk mengamalkannya serta melaziminya. 

1 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

Allah.. Tkasih sidi. Mohon izin dipanjangkan