Khamis, Ogos 26, 2021

Nur Muhammad - Syiah Kuala

Syaikh Abdul Rauf as-Singkili @ al-Fansuri rahimahullah, ulama besar Alam Melayu, ketika hayatnya dilantik menjadi mufti dan qadhi besar bergelar Qadhi Malikul Adil dalam kesultanan Aceh Darus Salam. Beliau yang juga dikenali sebagai Teungku Syiah Kuala (gelar "Syiah" di sini adalah sebutan bagi Syaikh dalam lahjah Aceh) yang ertinya tuanku ulama yang menjadi syaikh di Kuala Aceh, hati - hati jangan disamakan dengan puak Syi`ah yang sesat menyesatkan itu. Teungku Syiah Kuala juga dikenali sebagai penterjemah pertama al-Quran ke dalam Bahasa Melayu dengan karyanya Turjumanul Mustafid. Tidak ada sesiapa yang boleh meragui kealiman dan ketokohan Syaikh Abdul Rauf al-Fansuri dalam ilmu - ilmu agama Islam. Untuk mengetahui biografi dan sejarah hidup beliau, silalah tuan puan telek akan biografi beliau yang sudah banyak ditulis orang.

Syaikh Abdul Rauf Fansuri ada meninggalkan beberapa karya tulis yang lain dan antara karya tulis peninggalan beliau adalah sebuah kitab tasawwuf thariqat dalam Bahasa Arab yang berjodol Tanbihul Maasyi al-mansub ila thariqil Qusyasyi yang jika diterjemahkan bererti Peringatan bagi mereka yang menjalani tasawwuf atas jalan Syaikh Ahmad al-Qusyasyi al-Madani. Syaikh Ahmad al-Qusyasyi al-Madani rahimahullah adalah guru Syaikh Abdul Rauf di Madinah al-Munawwarah. Syaikh Ahmad al-Qusyasyi adalah ulama besar yang menguasai berbagai ilmu pengetahuan. Umat Islam di Nusantara amatlah bertuah kerana telah menerima pusaka berharga daripada beliau melalui murid - murid beliau, antaranya melalui Teungku Syiah Kuala, berupa untaian wirid seusai shalat fardhu yang telah turun temurun menjadi amalan tradisi orang - orang kita, samada ketika shalat berjemaah atau sendiri. Bahkan wirid - wirid tersebut dinamakan sebagai Auradul Qusyasyiah (Wirid - Wirid Syaikh Ahmad al-Qusyasyi rahimahullah) atau Auradul Madaniyyah (Wirid - Wirid Orang Kota Madinah)  kerana Syaikh Ahmad al-Qusyasyi menyusunnya berpandukan amalan para penduduk Kota Madinah al-Munawwarah yang semestinya berteraskan nash daripada Junjungan Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam. Tiada sebarang keraguan lagi mengenai wirid - wirid tersebut, bahkan Jabatan Mufti Negeri Sembilan telah berinisiatif untuk menerbitkan kembali wirid - wirid ini dan menyebarluaskannya. Maka lazimkan oleh kamu akan segala wirid tersebut, jangan diabaikan atau dipandang remeh atau sepele. Lakukanlah dengan istiqamah, menurut kemampuan masing - masing.

Berbalik kepada kitab Tanbihul Maasyi, Teungku Syiah Kuala rahimahullah turut memuatkan Hadis Jabir mengenai Nur Muhammad di dalamnya. Antara yang beliau catatkan dalam karangan tersebut adalah sebagai berikut:- ...Maka yang awal - awal diciptakan Allah ta`ala adalah ruh Junjungan Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam, sebagaimana warid daripada Junjungan Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam ketika baginda ditanya oleh Sayyidina Jaabir tentang sesuatu yang paling awal diciptakan Allah sebelum segala sesuatu yang lain, maka baginda menjawab: "Wahai Jaabir, bahawasanya Allah mencipta sebelum segala sesuatu Nur Nabimu daripada nurNya (yakni idhafah tasyrifiyyah iaitu nur yang dicipta dan kepunyaan Allah, bukannya suatu suku daripada Zat Allah yang mulia)......" Selanjutnya, Syaikh Abdul Rauf Singkil merumuskan bahawa seseorang murid yang sejati, tidak dapat tidak, secara zahir dan juga batin, mesti menurut dan mengikut Junjungan Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam dengan mengambil panduan daripada segala sabdaan dan perbuatan baginda, kerana bagindalah asal atau sebab bagi wujudnya kita dan wujudnya sekalian makhluk. Hanya dengan sedemikian sahajalah dia akan beroleh kejayaan bersama orang - orang yang berjaya dan digolongkan dalam golongan para shalihin.

Faqir tidak berhasrat memperpanjang bahasan mengenai isi kandungan riwayat tersebut, kerana sedikit sebanyak telah diperkatakan terdahulu dan juga bukan tujuan faqir untuk membahaskan peri Nur Muhammad secara panjang lebar. Itu tuan puan kenalah mengaji dengan para guru yang memiliki i'tiqad yang betul, ilmu dan amalan yang mantap. Jangan tuan puan tersilap mengaji dengan mereka - mereka yang merapu, dek termakan dan tergoda dengan nama dan istilah ilmu thariqat atau ilmu makrifat atau ilmu hakikat, sedangkan hakikatnya, indah pada nama namun kosong pada isi, bahkan ada yang isinya penuh dengan kebatilan yang menyalahi akidah atau syariat yang dipegang. Perkongsian faqir di sini hanyalah untuk membuktikan bahawa riwayat - riwayat mengenai Nur Muhammad sebagai makhluk yang dijadikan pertama kali telah memenuhi karya - karya ulama dunia termasuklah para ulama alam Melayu. Maka tidaklah boleh kita dengan sewenang - wenang dan mudah untuk menyesatkannya, walaupun kita mungkin tidak bersetuju dengan mereka. Belajarlah berlapang dada dan bersikap terbuka dengan para ulama tersebut yang sedikit sebanyak telah berjasa kepada umat. Mudah- mudahan Allah mencucurkan rahmat yang berpanjangan ke atas Teungku Syiah Kuala, para guru beliau, terutama sekali Syaikh Ahmad al-Qusyasyi al-Madani dan Mulla Ibrahim al-Kurani, juga ke atas para alim ulama yang berjasa, juga ke atas sekalian para pengikut dan pencinta mereka....aamiin.

Tiada ulasan: