Isnin, Mac 16, 2020

Qashidah asy-Syadaa-id

Entri kali ini berkait dengan entri terdahulu yang berjodol Qashidah Penangkal Wabak. Sebagai menambahkan sedikit lagi informasi mengenai Qashidah Burdah yang masyhur, bahkan boleh dikatakan ia sebagai qashidah yang termasyhur dalam dunia Islam untuk memuji dan menyanjung kekasih Tuhan yang Maha Agung, Junjungan Nabi Muhammad Rasulullah shallaAllahu `alaihi wa sallam. Janganlah tuan - tuan pedulikan suara - suara sumbang yang mengkritik qashidah yang berkat ini. Sungguh para ulama di seluruh pelusuk dunia Islam termasuklah rantau Melayu telah melihat, membaca, mengamal serta mengkagumi qashidah tersebut dan memberinya pujian yang tinggi melangit. Maka jika ada seorang dua yang mengkritik atau menyesatkannya, tuan - tuan senyumkanlah dan buatlah bodo sahaja.

Salah seorang ulama kenamaan tanahair kita, yang harum namanya menjadi sebutan dan ikutan, Syaikh Yusuf bin Ahmad al-Kelantani rahimahullah, lebih dikenali sebagai Tok Kenali, juga tidak terkecuali  dalam memberikan perhatian kepada Qasidah Burdah yang berkat ini. Beliau rahimahullah telah menghasilkan sebuah karya menterjemahkan qashidah tersebut dalam Bahasa Melayu. Karangan tersebut telah disiapkan di Makkah al-Mahmiyyah pada bulan Jamadil Akhir 1370 / Disember 1892 dan dicetak dalam bentuk huruf batu / litografi pada tahun tersebut juga di Makkah. Karya tersebut beliau namakan sebagai "ad-Durrul Mantsur Pada Menyatakan Khawaas Burdah Yang Masyhur." Pada mukaddimahnya, beliau menyatakan, antara lain, sebagai berikut:- Maka berkata hamba yang hina, tatkala adalah beberapa qashidah pada hak Nabi kita Muhammad shallaAllahu `alaihi wa sallam itu banyak. Dan sabitlah bagi setengahnya itu beberapa faedah dan beberapa kelebihan dan beberapa khasiat. Aku tentukan sebagai tentu, Qashidah Burdah yang masyhur di dalam sekalian negeri yang sabit antara masyriq dan maghrib, yang dinazamkan dia bagi Imam Bushiri dan Qashidah Mudhariyyah yang melengkapi bagi sekalian shalawat Dalail.....Dan sabitlah baginya pula beberapa kelebihan yang banyak, telah membilang akan dia oleh Abu Sa`id Muhammad al-Khadimi di dalam syarahnya atas hingga sampai ia lima puluh tiga ....."

Guru kepada Tok Kenali, Tok Syaikh Wan Ali Kutan al-Kelantani rahimahullah, ulama yang masyhur di Makkah, juga tidak ketinggalan perhatiannya kepada Qashidah Burdah yang berkat ini. Sekitar 10 tahun selepas Tok Kenali mengarang ad-Durrul Mantsur tersebut, Tok Syaikh Wan Ali Kutan menyelesaikan karangan beliau berjodol "Risalah Majma` al-Qashaaid wal `Awaaid". Karangan tersebut diselesaikan beliau pada bulan Zulqaedah 1320H / Februari 1903M. Berbeza dengan karya Tok Kenali, karya Tok Wan Ali lebih menekankan aspek faedah dan kelebihan yang ada pada bait - bait Qashidah Burdah. Di antara khasiat Qashidah Burdah ini adalah keberkatannya sebagai wasilah untuk menghilangkan kesusahan dan penularan wabak penyakit. Tok Syaikh Wan Ali rahimahullah pada halaman 19 membuat kesimpulan sebagai berikut:- (I'lam) Ketahui olehmu bahawasanya seperti dinamakan qashidah ini Qashidah al-Burdah, dinamakan dia Qashidah al-Bara-ah dan bahawasanya dibaca akan dia pada ketika turun syadaa-id kesusahan seperti wabak dan tha`un. Kata setengah mereka itu sebab itulah dinamakan dia pula Qashidah asy-Syadaa-id dan hasilnya dibaca akan dia bagi menghela manfaat dan menolakkan mudarat dengan sekira-kira niat. Wa Allahu Waliyyut taufiq wal hidayah, wa bihil `aun wal `inayah, wa shallaAllahu wa sallama `ala Sayyidina Muhammad wa `ala aalihi wa shahbihi ajma`in, walhamdulillahi Rabbil `aalamiin.

Maka, sebagai ikhtiar memohon kepada Allah dengan berwasilahkan Junjungan Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam, bolehlah dibacakan Qashidah Burdah ini mengikut kadar kemampuan. Mudah-mudahan dengan berkat dan jah Junjungan Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam, Allah jalla wa `azza berkenan untuk mengangkat segala malapetaka, bala bencana dan penularan wabak yang sedang dan akan menimpa umat yang lemah ini. Kepada Allahlah kita berserah dan memohon.

Tiada ulasan: