Jumaat, Mac 18, 2022

Kelebihan Surah Yaasin

Habib Muhammad bin Ali Khird al-`Alawi yang dikenali sebagai seorang tokoh dan ahli hadis yang mencapai kedudukan al-hafiz dan al-musnid dari Hadhramaut, Yaman, telah menulis dalam karya beliau yang masyhur al-Wasaa-ilusy Syaafi`ah pada halaman 411 sebagai berikut:- Dikatakan sebagai riwayat oleh ahli tafsir, az-Zamakhsyari, pengarang tafsir al-Kasysyaf, bahawa Sayyidina Ibnu `Abbas radhiyaAllahu `anhuma berkata: Sesungguhnya bagi setiap sesuatu itu ada hatinya dan hati al-Quran adalah  (surah) Yaasin. Sesiapa yang membaca (surah) Yaasin kerana mengharapkan keredhaan Allah, dia akan mendapat pengampunan dan diberi pahala seumpama membaca al-Quran dua puluh dua (22) kali. Mana - mana orang Islam yang dibacakan di sisinya surah Yaasin ketika turun malaikat maut (untuk mencabut nyawanya yakni ketika nazak), turun berserta setiap huruf daripada surah tersebut sepuluh (10) malaikat yang berdiri di sisinya dan beristighfar untuknya. Malaikat - malaikat tersebut turut menyaksikan dia dimandikan, mengiringinya ke kubur, menshalatinya dan menyaksikan pengkebumiannya. Mana-mana orang Islam yang dibacakan (surah) Yaasin ketika dia menghadapi sakaratul maut, malaikat maut tidak mencabut rohnya sehingga datang malaikat Ridhwan penjaga syurga, membawa minuman daripada minuman syurga untuk diminumnya sedang dia berada di pembaringannya, lalu malaikat maut mencabut rohnya dalam keadaan dia dalam kenyamanan dan dia (akan) tinggal di kuburnya dalam keadaan nyaman. Tiada keperluan lagi baginya untuk minum dari mana - mana haudh para nabi sehingga dia masuk ke syurga dalam keadaan nyaman. Diriwayatkan oleh ats-Tsa'labi daripada hadits Sayyidina Ubay bin Ka`ab.

Allahu ... Allah, tapi jangan lupa bahawa "riwayat" ini bermasalah dan menjadi pertikaian para ulama tentang status dan kedudukannya. Namun sekadar untuk memperikan apa yang dikatakan atau pernah dikatakan mengenai fadhilat dan kelebihan sesuatu surah tidaklah dilarang, bahkan para ulama dan mufassir banyak melakukannya. Ketahuilah bahawa sesungguhnya setiap huruf yang terkandung dalam al-Quran, adalah cerminan bagi Kalam Allah yang Qadim, yang tidak berhuruf dan tidak bersuara, yang tiada tara lagi tiada umpama. Oleh itu segala surah al-Quran pasti memiliki rahsia - rahsia yang amat tinggi dan agung, samada yang telah diketahui, maupun yang masih dalam rahsia ilmu Allah yang Maha Agung.

Selanjutnya, faqir kongsikan juga petikan dari sebuah kitab tafsir bagi surah yang berkat ini. Di antara tafsir surah Yaasin yang biasa diajarkan adalah Tafsir Surah Yaasin karangan seorang ulama Turki abad ke-12/13H yang dikenali sebagai Syaikh Hamaami Zadaah rahimahullah. Dikatakan bahawa nama sebenar beliau adalah Syaikh Ismail Dede Effendi yang dilahirkan sekitar tahun 1191H. Beliau berguru kepada sejumlah ulama besar pada zaman beliau dan di antara yang banyak mempengaruhi beliau adalah Syaikh Darwisy Ismail. Beliau mempunyai kepakaran dalam bidang hadis dan ilmu kalam. Beliau juga sangat mencintai kitab Muwaththa` karangan Imam Malik, bahkan kitab ini menjadi kitab wirid beliau yang sering dibaca dan diulang.

Di helaian awal kitab tafsir tersebut, Syaikh Hamaami Zaadah menukilkan satu "riwayat" tentang kelebihan membaca surah Yaasin untuk orang yang sedang nazak. Syaikh Hamaami Zaadah menukilkan sebagai berikut:- Mana - mana orang Islam, baik lelaki maupun perempuan, jika dibacakan surah Yaasin ketika keduanya menghadapi sakaratul maut, maka akan turun sepuluh (10) malaikat untuk setiap huruf (surah tersebut). Para malaikat tersebut berbaris di hadapan keduanya sambil memohon keampunan. Mereka menyaksikan jenazah mereka ketika dimandi dan kemudian mengiringnya hingga ke kubur."

Begitulah sekelumit "riwayat" tentang kelebihan surah Yaasin yang tercatat dalam karangan ulama kita. Dinukilkan untuk menambahkan lagi semangat kita untuk beriman dan beramal dengan ayat - ayat al-Quran yang mulia. Akhirul kalam, mari sama - sama mendengar perkataan Syaikh Muhammad Mutawalli asy-Sya'raawi rahimahullah, seorang ulama ahli tafsir kontemporer yang tiada dapat disangkal kealimannya, mengenai surah Yaasin dengan "riwayat" yang hampir sama. Semoga bermanfaat dan banyakkanlah membaca surah Yaasin kerana padanya terdapat khasiat dan keistimewaan yang banyak.

Syaikh Muhammad Mutawalli rahimahullah

Tiada ulasan: