Isnin, Mac 21, 2022

17 Mukaffiraat

Kita sebagai manusia pasti tidak lepas daripada melakukan dosa dan kesalahan. Namun, kasih sayang Allah jalla wa `ala amat luas sehingga dijadikan bagi kita, makhluk ciptaanNya, berbagai jalan yang menjadi sebab untuk menebus atau mengkaffarah sebahagian dosa kesalahan tersebut, terutama dosa - dosa kecil atau ash-shaghair yang sering dilupa atau dipandang enteng. Ingat dosa kecil yang dibawa mati tanpa mendapat keampunan Allah boleh menjadi sebab untuk mendapat azab, samada di kubur atau di neraka. Ulama telah menyebut amalan - amalan sebegini sebagai al-mukaffiraat dan alhamdulillah tsumma alhamdulillah, banyak amal - amal shalih yang sifatnya sedemikian. 

Syaikh Muhammad Nawawi al-Bantani rahimahullah dalam Nihayatuz Zain menyebut tujuh belas (17) amalan yang menjadi kaffarah atau penebus dosa - dosa yang terdahulu (lampau) dan terkemudian (akan datang). Pada halaman 146, beliau rahimahullah menyatakan sebagai berikut:-
(Faedah) tujuh belas (17) amalan yang menjadi kaffarah bagi dosa - dosa yang terdahulu dan kemudian adalah:-
  1. haji mabrur;
  2. berwudhu dengan sempurna;
  3. berqiam pada Lailatul Qadar;
  4. berqiam pada malam - malam bulan Ramadhan;
  5. berpuasa Ramadhan;
  6. berpuasa pada hari `Arafah;
  7. beserta dengan imam mengucap aamiin (yakni dalam shalat, ucapan aamiin selepas Fatihah yang dibaca oleh imam hendaklah dibaca serentak oleh makmum dan imam, jangan terdahulu daripada imam dan jangan pula terkemudian);
  8. membaca 3 ayat terakhir surah al-Hasyr;
  9. memimpin orang buta 40 langkah;
  10. membaca: "Asyhadu an la ilaha illa Allahu wahdahu la syarikalah, wa anna Muhammadan `abduhu wa rasuluh, radhitu billahi rabba, wa bil Islami diina, wa bi Muhammadin shallaAllahu `alaihi wa sallam nabiyyan wa rasuula," ketika mendengar azan (yakni ketika muadzin selesai membaca dua kalimah syahadah azannya atau selepas sempurna azan tersebut sebagai tambahan kepada doa azan yang masyhur).
  11. berusaha menunaikan hajat orang Islam;
  12. shalat Dhuha;
  13. ketika memakai pakaian membaca: "alhamdullilahil ladzi kasaani hadza wa razaqanihi min ghairi haulin minni wa la quwwah".
  14. selepas makan hendaklah membaca: "alhamdulillahil ladzi ath`amani hadzath tha`am, wa razaqanihi min ghairi haulin minni wa la quwwah".
  15. Tiba dari Baitul Maqdis untuk menyempurnakan haji atau umrah (yakni memulai ihram haji atau umrah dari Baitul Maqdis).
  16. membaca surah - surah al-Fatihah, QulhuwaAllahu Ahad dan al-mu`awwidzatain, setiap satunya tujuh (7) kali selepas shalat Jumaat.
  17. Berjabat tangan dengan orang Islam yang tidak fasik sambil bershalawat ke atas Junjungan Nabi shallaAllahu `alaihi wa aalihi wa sallam.
Maka inilah antara amalan - amalan yang selain berpahala juga menjadi mukaffiraat penebus dosa kesalahan kita. Mudahan - mudahan dapat menjadi amalan kita, di samping itu hendaklah kita sentiasa bertaubat dari segala dosa terutama sekali dosa - dosa besar, lalu matilah kita dalam keadaan suci bersih hendaknya.... Qabul Ya Allah.



Tiada ulasan: