Diliputi Nur `Arasy
Tatkala Junjungan Nabi SAW dimi'rajkan ke Mustawa lalu baginda mendengar goresan - goresan kalam, maka di situ baginda telah melihat seseorang lelaki yang diliputi oleh nur 'arasy. Junjungan SAW merasa takjub kerana lelaki tersebut yang bukannya malaikat dan bukan juga seorang nabi, berada di Mustawa sedangkan malaikat agung Jibril AS tertahan di Sidratul Muntaha kerana tidak boleh melewati sempadan alam malakut. Maka Junjungan Nabi SAW telah dimaklumkan bahawa itulah perumpamaan ketinggian maqam dan kedudukan umat baginda yang sewaktu hayatnya di dunia mempunyai 3 sifat/amalan yang utama iaitu:- (i) lidahnya sentiasa basah dengan dzikrullah; (ii) hatinya sentiasa terpaut dengan masjid; dan (iii) dia tidak pernah sekali-kali melakukan sesuatu perbuatan yang boleh menyakiti kedua ibubapanya (yakni menyebabkan ibubapanya dicacimaki).
Allahu .. Allah, sungguh istimewa maqam dan kedudukan umat baginda ini. Mudah-mudahan Allah mengurniakan kita lidah yang sentiasa basah dengan dzikrUllah, dengan sholawat, dengan al-Quran, dengan ilmu dan hikmah. Moga hati kita menjadi hati yang sentiasa terpaut dengan masjid, sehingga di mana pun kita berada, baik di rumah, baik di pejabat, maka suasana masjid, suasana ibadah, wujud di tempat tersebut. Bukan sebaliknya, iaitu masjid jadi macam rumah atau masjid jadi macam pasar. Semoga kita dijadikan Allah sebagai anak yang sholeh yang sentiasa berbakti dan menjaga nama baik ibubapa kita.
Maka sungguh telah masyhur kisah ini diriwayatkan dalam karya-karya isra` dan mi'raj Junjungan Nabi SAW seperti "al-Ibtihaj fil kalam `alal Isra` wal mi'raj" karya al-Muhaddits al-`Allaamah Najmuddin Abul Mawahib Muhammad bin Ahmad bin `Ali bin Abu Bakar al-Ghaythi as-Sekandari al-Masri asy-Syafi`i rahimahUllah dan juga dalam "al-Anwaar al-Bahiyyah min Isra` wa Mi'raji Khairil Bariyyah" karya Prof. Dr. Habib Muhammad bin 'Alawi bin `Abbas al-Maliki al-Hasani rahimahUllah.
Sekarang kita dengar sedikit ceramah Habib Taufiq as-Segaf mengenai Isra` dan Mi'rajnya Junjungan Nabi SAW. Moga ada manfaatnya. Perjalanan yang paling menakjubkan yang ditempoh Junjungan Nabi SAW dalam waktu yang amat singkat.
**********************************
Ceramah Habib Taufiq - Isra` wa Mi'raj
Ceramah Habib Taufiq - Isra` wa Mi'raj
1 ulasan:
SubHanAllah. Anak sapa sapa la ni.
Catat Ulasan