Sabtu, Mac 31, 2007

Rauufur Rahiim

لَقَدْ جَآءَكُمْ رَسُولٌ مِّنْ أَنفُسِكُمْ
عَزِيزٌ عَلَيْهِ مَا عَنِتُّمْ
حَرِيصٌ عَلَيْكُمْ بِالْمُؤْمِنِينَ رَءُوفٌ رَّحِيم
ٌ


Sesungguhnya telah datang kepada kamu seorang Rasul daripada golongan kamu sendiri (iaitu Junjungan Nabi s.a.w.), yang menjadi sangat berat kepadanya sebarang kesusahan yang ditanggung oleh kamu, yang sangat lobakan (inginkan) kebaikan bagi kamu, (dan) baginda pula menumpahkan perasaan belas serta kasih sayangnya kepada orang - orang yang beriman. (Surah at-Taubah:128).


Lihatlah wahai ikhwah, bagaimana Allah mensifatkan dan memuji Junjungan Nabi s.a.w. Sungguh Allah telah memuji baginda dengan setinggi-tinggi pujian sehingga baginda digelar - Rauufur Rahiim. Imam al-Qurthubi memetik kata-kata al-Husain bin al-Fadhl :-

وقال الحسين بن الفضل: لم يجمع الله لأحد من الأنبياء ٱسمين من أسمائه إلا للنبيّ محمد صلى الله عليه وسلم؛ فإنه قال: {بِٱلْمُؤْمِنِينَ رَءُوفٌ رَّحِيمٌ} وقال: {إِنَّ ٱللَّهَ بِٱلنَّاسِ لَرَءُوفٌ رَّحِيمٌ} ... انتهى

Tidak pernah Allah menghimpunkan bagi sesiapa pun daripada kalangan para nabi, dua nama dari segala namaNya melainkan bagi Junjungan Nabi s.a.w. Maka sesungguhnya Dia telah berfirman:
" ...terhadap orang-orang beriman baginda menumpahkan perasaan belas serta kasih sayangnya " dan Dia berfirman: " ... Sesungguhnya Allah Amat melimpah belas kasihan dan rahmatNya kepada orang-orang (yang beriman)."
Jadi bagaimana pujian kita jika dibandingkan pujian Allah terhadap baginda s.a.w. Walaupun sampai patah lidah kita yang tidak bertulang untuk memuji baginda, tak tara mana pujian kita terhadap baginda. Walau bagaimana pun teruslah memuji baginda kerana Allah pun turut memuji baginda, tapi jangan sekali-kali merasa yang pujian kita terhadap baginda telah mencukupi dan setimbang dengan pujian Allah s.w.t. Perhatikanlah kalam Imam Abdur Rahman ad-Diba`ie dalam mawlidnya yang masyhur:-

و ما عسى أن يقال فيمن وصفه القرآن
Apakah agaknya yang dapat diperkatakan lagi buat orang yang telah disifatkan sendiri oleh al-Quran
اللهم صل على سيدنا محمد و على اله و صحبه و بارك و سلم

Khamis, Mac 29, 2007

Jasy-ne Aamede Rasul

Umat Islam seluruh dunia menyambut Mawlidur Rasul, hanya golongan - golongan yang terpengaruh dengan geng-geng Badwi dari Nejd je (perhatian: Badwi di sini ni tak dak kena mengena ngan Pak Lah Badawi) yang tak suka tengok orang sambut, orang muliakan dan orang memperingati tarikh kelahiran Rahmat bagi seluruh alam ini. Kita gi Mesir, orang sambut mawlid, kita gi Afrika orang sambut mawlid, kita gi China, orang sambut mawlid, kita gi benua Indo-Pakistan, orang sambut mawlid .... Allahu Allah, ramainya orang buat beda`ah, ramailah yang masuk neraka nanti. Hanya yang tak sambut mawlid je yang akan masuk syurga .... akai ada ka. Kalau Bin Baz an-Najdi al-Wahhabi nak sesatkan orang sambut mawlid, biaq pi kat dia lah. Kita nak ikut buat apa, bukan dia sorang je ulama umat ini.

Kita ada pegangan kita sendiri, kalau deme berbangga dengan Bin Baz, kita ada Imam Abu Syamah, Imam as-Subki, Imam Ibnu Hajar al-'Asqalani, Imam as-Sayuthi, Imam Ibnu Hajar al-Haitami dan ramai lagi ulama zaman berzaman dari berbagai bangsa dan keturunan. Jadi nak khuatir apa kalau Bin Baz dan ulama Saudi Najdi bid`ahkan amalan kita. Campak je fatwa-fatwa meke tu dalam sungai, menyemak je. Fatwa yang nak menyesatkan orang sahaja, fatwa yang buat orang berpecah belah. Fatwa tajdid kunun, tajdid mende, dah berzaman sejak deme dapat negeri sampai hari ni negeri deme duduk bawah naungan kuffar, jadi khadam pulak tu, ada ati nak ajar kita plak. Oiii tajdidlah negeri kome sendiri dulu sebelum nak masuk negeri kami. Ahhhhh .... kita tinggalkan saja fatwa-fatwa puak-puak tu yang saban tahun dipromosikan kepada para jemaah haji dengan pemberian buku-buku dan risalah-risalah dakyah mereka tu secara percuma.

Sekarang mari kita lihat fatwa Imam Abu Syaamah Abdur Rahman bin Ismail bin Ibrahim al-Maqdisi asy-Syafi`i al-Muqri` an-Nahwi yang wafat tahun 665H. Imam Abu Syaamah adalah Imam dalam pelbagai cabang ilmu Islam, sejak usianya di bawah 10 tahun beliau sudah pandai membaca al-Quran dalam 7 qiraat yang masyhur. Beliau adalah seorang faqih, muhaddits, muarrikh dan ahli lughah yang handal. Cukup bagi kemegahannya yang Imam an-Nawawi adalah termasuk muridnya. Antara karangan beliau ialah:-
  1. Mukhtashar Tarikh Dimasyq (20 jilid);
  2. Syarah bagi kitab hadits al-Muqtafa fi bahtsil Mushtofa;
  3. Dhiya-ul Qamar as-Sari ila Ma'rifatil Baari;
  4. Al-Ba`its 'ala Inkaril Bida` wal Hawadits.
Dalam kitabnya "al-Baits 'ala Inkaril Bida` wal Hawadits" beliau menuliskan fatwanya berhubung sambutan Mawlidur Rasul, dengan katanya:-

و من احسن ما ابتدع في زماننا ما يفعل كل عام في اليوم الموافق ليوم مولده صلى الله عليه و سلم من الصداقات و المعروف، و إظهار الزينة و السرور، فإن ذلك - مع ما فيه من الإحسان للفقراء- مشعر بمحبة النبي صلى الله عليه و سلم و تعظيمه في قلب فاعل ذلك و شكر الله تعالى على ما من به من إيجاد رسول الله صلى الله عليه و سلم الذي ارسله رحمة للعالمين
Dan di antara sebaik-baik perkara yang diadakan pada zaman kita adalah apa yang dilakukan pada setiap tahun, pada hari yang bersamaan dengan kelahiran Junjungan Nabi s.a.w. dari segala pemberian sedekah, melakukan perbuatan-perbuatan kebajikan, menzahirkan segala perhiasan dan kegembiraan. Maka sesungguhnya segala perbuatan yang sedemikian itu - selain berlaku ihsan terhadap para faqir miskin - ianya adalah satu syiar bagi menyatakan kasih sayang kepada Junjungan Nabi s.a.w. dan membesarkan baginda dalam hati si pelakunya serta pernyataan syukur kepada Allah ta`ala atas kurniaanNya yang telah mewujudkan Junjungan Nabi s.a.w. yang diutuskanNya sebagai rahmat bagi sekalian alam.
Allahu ... Allah, wahai ikhwah, Imam Abu Syaamah menyatakan bahawa menyambut dan memperingati hari kelahiran Junjungan Nabi s.a.w. dengan melakukan berbagai amal kebajikan adalah termasuk dalam sebaik-baik bid`ah. Jadi sebagaimana yang aku kata tadi, campakkan sahaja fatwa-fatwa songsang ulama Wahhabi yang menyesatkan sambutan mawlid, kita pegang fatwa ulama kita terdahulu. Sebagai penutup posting ni, kita dengar dulu lagu Hindustan, tapi lagu Hindustan yang elok, iaitu satu na`at atau syair puji-pujian kepada Junjungan dalam Bahasa Urdu dengan subtitlenye lagi agar kita faham apa yang deme lantunkan buat memuji baginda s.a.w. Rasanya title na`at ini ialah "Jasyne Aamede Rasul".

اللهم صل على سيدنا محمد و على اله و صحبه و بارك و سلم


Rabu, Mac 28, 2007

Rahmat Disyukuriٌٌ

قُلْ بِفَضْلِ اللَّهِ وَبِرَحْمَتِهِ
فَبِذَلِكَ فَلْيَفْرَحُواْ

Katakanlah dengan kurniaan Allah dan rahmatNya, hendaklah (dengan itu) mereka bergembira

Para ulama tafsir telah memberikan berbagai tafsiran bagi kalimah "fadhlUllah" dan "rahmat". Sungguh kelebihan dan rahmat Allah itu berbagai-bagai, oleh itu tidak terbatas dengan satu perkara atau satu tafsiran sahaja. Sebahagian ahli tafsir menyatakan bahawa erti "fadhlullah" itu adalah ilmu dan "rahmat" itu adalah Junjungan Nabi s.a.w. sebagaimana dinyatakan oleh Imamuna as-Sayuthi dalam tafsirnya "ad-Durrul Mantsur" bahawa Abu Syaikh telah menyatakannya sebagai salah satu tafsiran antara beberapa tafsiran yang dinisbahkan kepada Sayyidina 'Abdullah ibnu 'Abbas radiyAllahu 'anhuma. Sungguh Junjungan Nabi s.a.w. adalah satu rahmat yang dianugerahkan Allah kepada sekalian alam. Bahkan baginda adalah rahmat Allah yang paling agung sebagaimana firmanNya:-

وَمَآ أَرْسَلْنَاكَ إِلاَّ رَحْمَةً لِّلْعَالَمِينَ
"Dan tidaklah Kami utuskan engkau (yakni Junjungan Nabi)
melainkan sebagai rahmat bagi semesta alam."

Junjungan Nabi s.a.w. juga telah menyatakan dalam hadits baginda yang mulia:-

يا أيُّها الناسُ إنما أَنَا رحمةٌ مهداةٌ
"Wahai manusia, sesungguhnya aku adalah rahmat yang dikurniakan (yakni dikurniakan Allah kepada kamu sekalian)"

Oleh itu sewajarnya kita bergembira dengan anugerah rahmat Allah ini. Antara cara untuk menyatakan kegembiraan ini adalah dengan selalu bahkan sentiasa ingat dan memperingati Junjungan Nabi s.a.w. dan tidak dapat dinafikan bahawa majlis pembacaan mawlid adalah satu majlis di mana Junjungan Nabi s.a.w. diperingati, disebut-sebut, dipuji, disanjung, dikenali, dicintai justru diikuti sebagai contoh teladan yang paling unggul. Majlis di mana nama Junjungan s.a.w. adalah satu majlis yang besar, yang agung lagi harum semerbak baunya, sebagaimana penjelasan ulama.

Sayyidul Ulama-il-Hijaz Syaikh Nawawi al-Bantani rahimahUllah dalam "ats-Tsimaarul Yaani`ah fir Riyaadhil Badii`ah" halaman 92 menyatakan bahawa antara masa dan tempat yang diharapkan kabulnya doa permohonan kita ialah pada perhimpunan-perhimpunan kebajikan (majaami-`ul-khair) seperti majlis-majlis pembacaan mawlid Junjungan Nabi s.a.w. Oleh itu, selalulah menghadirkan diri dalam majlis-majlis mawlid dengan memperbanyakkan ucapan sholawat dan salam serta mendoakan kebajikan diri dan umat sekaliannya.

Jika ada yang tidak suka hadir, maka biarkanlah mereka dengan pendapat dan pandangan mereka, dan harap-harap mereka juga akan membiarkan kita beramal dengan tenang tanpa cemohan dan sindiran, tanpa fitnah dan tohmah. Ada kita dengar orang yang bila tengok kita puji Junjungan Nabi s.a.w. dia tuduh kita mendewa-dewakan Nabi, dia kata kita menyamakan Nabi dengan Allah, subhanAllah. Sungguh, pencela dan pentohmah ini wujud dalam masyarakat kita, dulu dia kutuk kita sebab dia kata kita mudah-mudah je tuduh orang Wahhabi, sekarang dah berbalik kat deme plak yang bermudah-mudah menuduh syirik, sesat dan bid`ah kat orang lain, hatta tuduhan dibuat kepada para ulama dan habaib yang kita sepatut muliakan.

Oleh itu, janganlah ikhwah terpedaya dengan dakyah golongan Wahhabi-Khawarij yang suka membid`ahkan amalan orang lain. Kita ada pegangan kita dan ada ulama yang menjadi sandaran kita, bukan satu, bukan dua tetapi ramai dan amalan ini bak kata al-Fadhil Tuan Guru Syaikh Nuruddin telah diamalkan zaman berzaman oleh bukan sahaja orang awam tetapi para ulama umat ini. Hanya orang yang "fi 'aqlihi syai`" sahaja yang akan kondem amalan yang telah dipandang baik oleh umat ini. Tapi jika kita nak berbahas dengan geng-geng ni, maka habis umur kita untuk tujuan tersebut dan sia-sia masa kita. Apa yang penting kita tetap menyatakan pegangan kita, ulama kita, hujjah kita, dan kita nasihatkan depa agar berlapang dada dengan benda-benda khilafiyyah ini dan hentikan fitnah dan tohmah terhadap amalan dan ulama kita.

Allahu ... Allah, daripada aku membebel kat depa tu, elok tulis benda lain dan biarlah si luncai dengan muftinya terjun dengan labu-labu meke. Marilah kita lihat kalam Imam al-Qurthubi dalam tafsirnya masyhur berhubung kelebihan bersholawat ke atas Junjungan Nabi s.a.w.:-
في فضل الصلاة على النبيّ صلى الله عليه وسلم
ثبت عنه صلى الله عليه وسلم أنه قال: «من صلّى علي صلاة صلى الله عليه بها عشراً». وقال سهل بن عبد الله: الصلاة على محمد صلى الله عليه وسلم أفضل العبادات، لأن الله تعالى تولاها هو وملائكته، ثم أمر بها المؤمنين، وسائر العبادات ليس كذلك. قال أبو سليمان الداراني: من أراد أن يسأل الله حاجة فليبدأ بالصلاة على النبيّ صلى الله عليه وسلم، ثم يسأل الله حاجته، ثم يختم بالصلاة على النبيّ صلى الله عليه وسلم، فإن الله تعالى يقبل الصلاتين وهو أكرم من أن يرد ما بينهما. وروى سعيد بن المسيّب عن عمر بن الخطاب رضي الله عنه أنه قال: الدعاء يُحجَب دون السماء حتى يصلّى على النبيّ صلى الله عليه وسلم، فإذا جاءت الصلاة على النبيّ صلى الله عليه وسلم رفع الدعاء. وقال النبي صلى الله عليه وسلم: «من صلّى عليّ في كتاب لم تزل الملائكة يصلون عليه ما دام اسمي في ذلك الكتاب»..انتهى

Pada menyatakan kelebihan bersholawat ke atas Junjungan Nabi s.a.w. Telah sabit bahawa Junjungan Nabi s.a.w. bersabda: "Sesiapa yang bersholawat ke atasku sekali, Allah akan merahmatinya sepuluh kali."

Telah berkata Sahl bin 'Abdullah: "Bersholawat atas Junjungan Nabi s.a.w. adalah suatu ibadah yang paling utama, kerana Allah membuatnya dan begitu juga para malaikat, kemudian diperintahkanNya orang-orang beriman untuk melakukannya, sedangkan untuk ibadah-ibadah lain tidaklah begitu."

Telah berkata Syaikh Abu Sulaiman ad-Darani: "Sesiapa yang hendak memohon kepada Allah bagi sesuatu hajat, maka hendaklah dia memulakan permohonannya itu dengan sholawat ke atas Junjungan Nabi s.a.w. kemudian mengemukakan permohonannya dan ditutup permohonannya itu dengan sholawat ke atas Junjungan Nabi s.a.w. lagi. Maka bahawasanya Allah pasti menerima dua sholawatnya tadi dan Dia lebih pemurah untuk turut menerima apa-apa permohonan yang diajukan antara dua sholawat tersebut."

Dan telah diriwayatkan daripada Imam Sa`id ibnu al-Musaiyib bahawa Sayyidina 'Umar r.a. berkata: "Doa itu terdinding tidak dapat naik ke langit sehingga si pendoa bersholawat ke atas Junjungan Nabi s.a.w., maka apabila datang sholawat ke atas Junjungan Nabi s.a.w. diangkatlah doa tersebut."

Junjungan Nabi s.a.w. bersabda: "Sesiapa yang bersholawat ke atasku dalam kitab, maka tak henti-henti para malaikat bersholawat (berdoa) baginya selama mana namaku berada dalam kitab tersebut."

اللهم صل على سيدنا محمد و على اله و صحبه و بارك و سلم

Program Waktu Mawlid

Antara program yang boleh ikhwah hadirkan diri sempena Mawlidur Rasul s.a.w.

1. Yang ada kat sekitar lembah Kelang boleh lah mari kat USJ nanti:-




2. Yang berkesempatan boleh lah mari kat Nogori:




Mari-mari hadir
Li ajlin Nabi, li ajlin Nabi
Hadir jangan tak hadir

Isnin, Mac 26, 2007

Cahaya Hati

Imam al-'Allaamah al-Hafiz Jamaluddin 'Abdur Rahman bin Abul Hasan 'Ali bin Muhammad bin 'Ali bin 'Ubaidillah al-Baghdadi al-Hanbali adalah seorang ulama besar bermazhab Hanbali yang wafat tahun 597H. Beliau dikenali sebagai "Ibnul Jawzi" menyebabkan beliau sering dikelirukan orang dengan "Ibnul Qayyim al-Jawzi" anak murid Ibnu Taimiyyah al-Harrani. Bersempena bulan mawlid ini, aku nukilkan tulisan-tulisan beliau mengenai Junjungan Nabi s.a.w. dan amalan bersholawat kepada baginda dari karangannya "Bustaanul Waa`idziin war Riyaadhus Saami`iin". Halaman 298-299, beliau rahimahUllah menulis:-

Telah diriwayatkan daripada Junjungan Rasulullah s.a.w. bersabda:-

من اكثر الصلاة عليّ نور الله قلبه

"Sesiapa yang banyak bersholawat ke atasku,
Allah akan memberi cahaya pada hatinya."

Dan yang sedemikian adalah kerana sesungguhnya segala dosa itu menghitamkan (menggelapkan) hati. Apabila seseorang melakukan satu dosa, maka tumbuhlah satu bintik hitam dalam hatinya. Lalu bila dia berterusan melakukan dosa, tumbuh berkembang segala bintik-bintik hitam tersebut sehingga menghitamkan sekalian hatinya. Maka apabila Allah membasahkan lidah seseorang itu dengan ucapan sholawat ke atas Junjungan Nabi Muhammad s.a.w., diampunkan Allah dosa-dosanya walaupun ianya umpama seberat gunung. Apabila dosa-dosanya diampun, hilanglah bintik hitam daripada hatinya lalu terbitlah cahaya.

Oleh kerana itu Islam tidak sempurna kecuali dengan sholawat ke atas Junjungan Nabi s.a.w. Jika seseorang berkata: "Aku tidak memandang sholawat atas Junjungan Nabi s.a.w. sebagai satu kewajipan," maka dia menjadi kafir, menentang Allah, keluar dari Islam dan hilang cahaya petunjuk daripada hatinya. Allah s.w.t. berfirman:-

أَفَمَن شَرَحَ اللَّهُ صَدْرَهُ لِلإِسْلاَمِ فَهُوَ عَلَى نُورٍ مِّن رَّبِّهِ
"Jika demikian, adakah orang yang dilapangkan Allah dadanya untuk menerima Islam, lalu ia tetap berada dalam cahaya (hidayah petunjuk) dari Tuhannya, (sama seperti orang yang tertutup matahatinya dengan selaput kederhakaan)?"
Maka ini adalah penjelasan yang nyata daripada Allah.
Dan telah dinasyidkan oleh mereka:-

نور القلوب يزيد عند صلاتنا للهاشمي فنوره لا ينجلي
فضياؤنا من ضوء نور محمد صلوا على ذاك النبي الأفضل


Cahaya hati bertambah ia tatkala kita sholawatkan Nabi
Nabi keturunan Hasyim cahayanya tak akan sirna sekali-kali
Maka sinar cahaya kita adalah daripada sinar cahaya Nabi
Bersholawatlah atas nabi yang terutama itulah Junjungan Nabi

اللهم صل على النبي الهاشمي سيدنا محمد
وعلى اله و صحبه و سلم تسليما


Ahad, Mac 25, 2007

Sekarang Wahai 'Umar

Cinta dan kasih kepada Junjungan Nabi s.a.w. adalah kewajipan bagi setiap umatnya. Tidak ada keimanan bagi orang jika tidak punya rasa cinta kepada Junjungan s.a.w., juga tidak sempurna keimanan seseorang jika cinta dan kasihnya kepada Junjungan Nabi s.a.w. tidak melebihi kasihnya kepada yang lain. Junjungan Nabi s.a.w. adalah manusia yang paling utama untuk dicintai, dikasihi, dituruti dan dijadikan contoh demi meraih keredhaan Allah untuk kebahagiaan dunia dan akhirat.

Imam al-Bukhari dalam shohihnya meriwayatkan bahawa Junjungan Nabi s.a.w. bersabda:-

لا يُؤْمِنُ أَحَدُكُمْ حتى أكونَ أَحَبَّ إليهِ مِنْ والِدِهِ وَوَلَدهِ والنَّاس أَجْمَعين
Tidak (sempurna) iman seseorang daripada kamu sehinggalah aku yang paling dicintainya melebihi ayahnya, anaknya dan manusia lain sekaliannya.
Juga disebut dalam sebahagian riwayat bahawa Junjungan s.a.w. bersabda:

والذي نفسي بيده لا يؤمن أحدكم حتى أكون أحب إِليه
من نفسه وماله وولده والناس أجمعين

Demi Tuhan yang diriku dalam kekuasaanNya, tidak (sempurna) iman seseorang daripada kamu sehinggalah aku yang paling dikasihinya melebihi kasihnya kepada dirinya sendiri, harta bendanya, anaknya dan manusia sekaliannya.
Imam ath-Thobarani dan Imam al-Baihaqi pula telah meriwayatkan bahawa Junjungan Nabi s.a.w. bersabda:

لا يُؤْمِنُ أَحَدُكُمْ حتى أكونَ أَحَبَّ إليهِ من نفسه
و اهلي احب اليه من اهله و عترتي احب اليه من عترته
و ذريتي احب اليه من ذريته

Tidak (sempurna) iman seseorang daripada kamu sehinggalah aku yang paling dikasihinya melebihi dirinya sendiri; Keluargaku dikasihinya melebihi keluarganya; Keturunanku dikasihinya melebihi keturunannya; Dan zuriatku dikasihinya melebihi zuriatnya.
Inilah juga yang diisyaratkan Allah dalam firmanNya yang mulia:-

النَّبِيُّ أَوْلَى بِالْمُؤْمِنِينَ مِنْ أَنْفُسِهِمْ
Nabi lebih utama bagi orang-orang yang beriman daripada mereka sendiri.
Pernah berlaku satu dialog antara Junjungan Nabi s.a.w. dengan sahabatnya Sayyidina 'Umar r.a. seperti berikut:


أن عمر رضي الله عنه قال: يارسول الله، والله لأنت أحب إِلي من كل شيء إلا من نفسي
فقال صلى الله عليه وسلم «لا ياعمر حتى أكون أحب إِليك من نفسك»
فقال: يارسول الله، والله لأنت أحب إِلي من كل شيء حتى من نفسي،
فقال صلى الله عليه وسلم :الآن ياعمر

Bahawasanya Sayyidina 'Umar r.a. telah berkata kepada Junjungan Nabi s.a.w.: "Wahai Rasulullah, demi Allah engkaulah yang paling aku cintai daripada segala sesuatu selain diriku sendiri." Maka Junjungan Nabi s.a.w. menjawab: "Tidak wahai 'Umar, sehingga aku yang paling dicintai olehmu melebihi dirimu (yakni belum sempurna keimanan dan kecintaan kepada Junjungan s.a.w. sehingga dia mencintai baginda melebihi cintanya kepada dirinya)." Sayyidina 'Umar r.a. terus berkata: "Wahai Rasulullah, demi Allah engkaulah yang paling kucintai daripada segala sesuatu hatta diriku sendiri." Junjungan s.a.w. menjawab: "Sekarang, wahai 'Umar (yakni sekarang setelah kecintaanmu terhadapku melebihi segala sesuatu termasuk dirimu sendiri barulah sempurna keimanan dan kecintaanmu itu)."
Lalu kita bagaimana ? Setinggi manakah kecintaan kita kepada Junjungan s.a.w.? Bila agaknya keimanan kita hendak disempurnakan? Terpulanglah kepada masing-masing untuk menjawab dan mengukurnya sendiri. Mudah-mudahan tahun ini, kecintaan kita kepada Junjungan semakin meningkat dengan cinta yang benar yang dibuktikan dengan kesungguhan kita mengikuti segala sunnah dengan rasa mahabbah yang sempurna. Akhir kata, ingatlah kalam hukama` yang menyatakan:-

من علامة حب الله حب حبيبه

Antara tanda cintakan Allah adalah cintakan kekasihNya

************************************




Jumaat, Mac 23, 2007

Ahlan Bika Ya RasulAllah

فحضرت بتوفيق الله السيدة مريم و السيدة اسية
و معهما الحور العين من قسم الله له من الشرف بالقسمة الوافية
Maka hadirlah dengan taufik Allah
Sayyidah Maryam dan Sayyidah Asiyah.
Bersama keduanya datang mengiring
Sejumlah bidadari syurga yang beroleh kemuliaan agung
yang dibagi-bagikan oleh Allah atasnya

Itulah kalam Shohibul Mawlid, Habib Ali al-Habsyi dalam karangannya "Simthud Durar" yang masyhur. Karangan yang telah dijadikan bacaan, amalan dan wiridan berjuta umat di timur dan barat, bukan sahaja awam kalangan umat Melayu dan Jawa yang buta Bahasa 'Arab, tetapi juga ulama mereka yang reti, dan juga umat yang lidah mereka memang lidah 'Arab. Mustahil, tak masuk akal jika pembohongan dibiarkan sahaja oleh umat ini. Atau tuduhan bahawa kisah tersebut tidak benar dan tidak berasas serta semata-mata bohong, itulah sebenarnya pembohongan yang nyata.

Adakah Habib Ali juga tidak betul atau tidak teliti kerana membawa kisah-kisah yang tidak mempunyai sumber dan sandaran ? Tidakkah Habib 'Ali takutkan Allah, membuat pembohongan terhadap Junjungan s.a.w.? Atau si penuduh yang kurang periksa? Fikirlah betul-betul, jangan sampai taklidmu kepada sang penuduh menjadi taklid buta. Mana logikanya menolak seorang ulama yang sudah diakui umat ilmu dan keutamaan, bahkan maqam dan kewaliannya. Ulama yang karangannya membawa umat menjadi pencinta dan perindu Sayyidil Mursalin s.a.w., bukan hanya sekadar menulis buku yang membawa onar dalam masyarakat, buku yang memecahbelahkan kesatuan umat. Tapi aku nak kata apa, manusia songsang ada di mana-mana. Manusia yang suka jalan menyongsang, kerana kata mereka "orang ramai telah sesat, hanya kami sahaja yang benar. Hanya kami sahaja yang ikut sunnah, sebab itu negeri kami Darus Sunnah". Oleh itu, pendek bicara, ku singkat sahaja dengan kata-kata : "Biarlah si luncai terojun dengan labu-labunya", kerana nanti kita semua akan bertanggungjawab atas apa yang kita kata dan usaha. Maka, jangan biarkan mereka merosak kegembiraan kita atas kelahiran Junjungan Nabi s.a.w.



Ahlan bika Ya RasulAllah.


اشرق الكون ابتهاجا بوجود المصطفى احمد
و لأهل الكون انس وسرور قد تجدد

فاطربوا يا اهل المثاني فهزار اليمن غرد
و استضيئوا بجمال فاق في الحسن تفرد

و لنا البشرى بسعد مستمر ليس ينفد
حيث اوتينا عطاء جمع الفخر المؤبد

فلربي كل حمد جل ان يحصره العد
اذ حبانا بوجود المصطفى الهادي محمد

يا رسول الله اهلا بك انا بك نسعد
و بجاهه يا الهي جد و بلغ كل مقصد

و اهدنا نهج سبيله كي به نسعد و نرشد
رب بلغنا بجاهه في جواره خير مقعد

و صلاة الله تغشى اشرف الرسل محمد
و سلام مستمر كل حين يتجدد

Alam bersinar cemerlang bersukaria
Demi menyambut kelahiran Ahmad al-Musthofa
Penghuni alam bersukacita
Dengan kegembiraan yang berterusan selamanya

Wahai pengikut al-Quran, hendaklah kamu bergembira
Burung-burung turut berkicauan tanda suka
Keindahan baginda menerangi segalanya
Mengatasi segala keindahan tanpa ada bandingannya

Dan wajib kita untuk bergembira atas bahagia
Yang berkesinambungan selama-lama
Tatkala kita menerima anugerahNya
Anugerah yang menghimpun kebanggaan sepanjang masa

Maka bagi Tuhanku segala puji dan puja
Pujian yang tiada terkira-kira
Atas anugerahNya dengan wujudnya baginda
Kelahiran Junjungan Muhammad al-Hadi al-Musthofa

Ya Rasulullah, selamat datang ahlan wa sahlan
Sungguh denganmu kami beroleh kebahagiaan

Wahai Tuhanku, demi jah Nabi Junjungan
Kurniakanlah dan sampaikan segala maksud dan tujuan

Dan hidayahkanlah kami atas jalan Nabi Junjungan
Agar dengannya kami beroleh kebahagiaan dan pimpinan

Wahai Tuhan, sampaikanlah kami demi jah Nabi Junjungan
Di sisi baginda duduk berdampingan


Sholawat Allah dilimpahkan
Atas semulia-mulia rasul Nabi Junjungan

Beserta salam yang berkekalan
Sepanjang masa berubah zaman


Rabu, Mac 21, 2007

Kehadiran Asiyah & Maryam

MAZA dalam ceramahnya antara lain komen tentang hadirnya Siti Maryam dan Siti Asiyah tatkala Junjungan Nabi s.a.w. dilahirkan sebagai tidak betul kerana "tak dak orang tengok, nabi sendiri tak pernah habaq", betui ke Nabi tak pernah habaq? Betui ke tak dak riwayat berhubung kisah tersebut? Betui ke kata si Asri tu ? Atau seperti mana biasa dia beri fatwa secara gegabah dan hentam keromo saja. Dah abis ke kitab-kitab karangan ulama ditelaah oleh si Asri ? Dah ke dicheck betul-betul yang memang tak dak langsung riwayat mengenai kisah tersebut dan kisah-kisah lainnya, sama ada riwayat shohih atau dhoif, asalkan jangan maudhu, untuk membolehkan budak Asri habaq lagu tu ? Tambah sedih bila budak tak sedar diri tu, turut memperlekehkan Sidi Ja'far al-Barzanji rhm. dengan angkuhnya dia berkata: "Barzanji tu bukan dia tu satu orang yang hebat sangat ...". Insya-Allah, lain entri aku tulis pasal Sidi Ja'far dan kita tengok tara mana hebat budak Asri tu berbanding Sidi Ja'far rhm.

Dulu aku pernah tulis sedikit berhubung hal ini, di bawah jodol "Mawlid Barzanji - Kitab Sirah Berwibawa". Kali ni aku nak letak plak jawapan Habib Omar Bin Hafidz Bin Syaikh Abu Bakar bin Salim hafizahUllah tatkala beliau ditanya berhubung perkara ini. Di sini aku bubuh terjemahannya secara bebas untuk manfaat bersama. Kalau nak tengok yang asal sila klik http://www.alhabibomar.com/ask/article.php?id=000038.

************************

Soalan: Bagaimana bisa terjadi hadirnya Sayyidatina Maryam dan Sayyidatina Asiyah waktu kelahiran Junjungan Sayyidina Muhammad s.a.w.?

Jawab: Kita telah diberitahu oleh kitab-kitab sirah yang mulia mengenai hadirnya Sayyidatina Maryam dan Sayyidatina Asiyah di sisi Sayyidatina Aminah tatkala kelahiran Junjungan Nabi s.a.w. Hal ini telah dinyatakan oleh Imam al-Baihaqi dalam "Dala-ilun Nubuwwah" sebagaimana ianya juga disebut dalam "Subulul Huda war Rasyad" kitab mengenai sirah dan juga kitab-kitab sirah yang lain.

Adapun masalah cara atau kaifiyyah kehadiran ini, maka sesungguhnya terdapat dalil-dalil daripada hadits Junjungan Nabi s.a.w. yang memaklumkan atas boleh dan mungkin bagi segala ruh yang ada di alam barzakh untuk hadir ke barang mana tempat di dunia atau di langit atau selainnya. Maka asal tempatnya ialah di 'Illiyiin sebagaimana difirmankan Allah: "Ingatlah wahai manusia! Sesungguhnya kitab suratan amal orang-orang yang berbakti (dengan taat dan amal kebajikan), adalah (didaftarkan) dalam 'Illiyiin. Dan apa jalannya engkau dapat mengetahui, apa dia 'Illiyiin itu? Ialah (tempat simpanan) kitab catitan yang jelas nyata" [Sebahagian mufassir menyatakan yang arwah orang beriman itu berada di 'Illiyiin. Antara yang menyatakan seperti itu ialah Sayyidina Ibnu 'Abbas, adh-Dhahhak, Qataadah, dan Mujahid, silalah rujuk bahasannya dalam Tafsir Thobari, Tafsir Qurthubi, Ibnu Katsir dan lain-lain].

Kemudian pula, setiap ruh itu mempunyai pertautan erat dengan tempat di mana jasadnya bersemadi. Perkara ini dapat dilihat dalam hadits yang shohih (di mana Junjungan Nabi s.a.w. bersabda): "Tidak ada seorang pun yang melalui kubur seseorang yang dikenalinya di dunia, lalu dia memberikan salam, melainkan si mati itu akan mengenalinya dan membalas salamnya," dan dalam satu riwayat : "si mati akan merasa senang dengannya....". Demikian pula telah datang juga hadits berkenaan perjumpaan Junjungan Nabi s.a.w. dengan roh-roh orang yang telah mati yang telah keluar dari alam dunia sebagaimana hadits ucapan salam Sayyidina Ja'far bin Abu Tholib bersama beberapa malaikat setelah pembunuhannya di medan Mu'tah dan sebagainya. Demikian juga telah dinyatakan dalam Shohihain tentang perkhabaran Junjungan Nabi s.a.w. mengenai keadaan dan kondisi para nabi serta pertemuan baginda dengan mereka pada malam Isra` dan Mi'raj. Semua ini menjadi dalil untuk mensabitkan kemungkinan hadirnya roh daripada segala arwah yang telah mati ke barang mana tempat. Dalam kitab "Syarhush Shuduur bi syarhi halil mauta wal qubuur" karangan Imam Jalaluddin as-Sayuthi didatangkan banyak hadits berhubung perkara ini. Oleh yang demikian, diketahuilah bahawa kehadiran Siti Asiyah dan Siti Maryam adalah ianya urusan Allah yang telah menghadirkan roh kedua mereka bersama-sama dengan para hurul 'ain (bidadari) untuk menyaksikan kelahiran Junjungan Nabi s.a.w.


نص السؤال : كيف كان حضور سيدتنا مريم وسيدتنا آسية لولادة سيدنا محمد صلى الله عليه وآله وسلم؟

نص الجواب
حملت لنا كتب السيرة المشرفة حضور سيدتنا مريم وآسية عند سيدتنا آمنة وقت ولادة النبي صلى الله عليه وآله وسلم، فقد أشار إلى ذلك الإمام البيهقي في (دلائل النبوة) كما هو في (سبل الهدى والرشاد) في السيرة وغيره من كتب السيرة ، أما مسألة كيفية هذا الحضور فإن الأرواح الموجودة في البرزخ قامت الأدلة في سنة نبينا عليه الصلاة والسلام على إمكانية حضورها إلى أمكنة في الدنيا أو في السماء أو في غير ذلك ، فأصل مستقرها في عليين كما قال تعالى ( كلا إن كتاب الأبرار لفي عليين* وما أدراك ما عليون* كتاب مرقوم ) ثم إن لكل روح اتصال وثيق بالمكان الذي يُدفن فيه جسدها، وفي ذلك جاء في الحديث الصحيح ( ما من عبد يمر بقبر رجل كان يعرفه في الدنيا فيسلم عليه إلا عرفه ورد عليه السلام ) وفي رواية (واستأنس به ..) ثم ما جاء أيضا من لقائه صلى الله عليه وسلم بالأرواح التي مات أصحابها وخرجوا من عالم الدنيا كما في حديث سلام جعفر بن أبي طالب عليه في نفر من الملائكة بعد قتله في مؤتة إلى غير ذلك، ثم ما جاء مبيَّنا في الصحيحين من وصفه لهيئات الأنبياء ولقائه بهم في ليلة الإسراء والمعراج، كل ذلك يثبت إمكان حضور أي روح من الأرواح التي قد ماتت إلى شيء من المواطن والأماكن ، وفي كتاب (شرح الصدور بشرح حال الموتى والقبور) للإمام جلال الدين السيوطي إيراد للأحاديث الكثيرة في هذا الشأن ، وبذلك يُعلم أن حضور آسية ومريم كان أمر من الله بحضور روحيهما مع الحور العين ليشهدن وضع المصطفى الأمين محمد صلى الله عليه وآله وسلم

Selasa, Mac 20, 2007

Zikir as-Salai

Bulan maulud @ mawlid tiba lagi, maka meriahlah setiap surau dan masjid kampungku dengan upacara sambutannya walau karihal wahabiyyun. Selain diisi dengan ceramah, tidak lupa zikir maulud turut diadakan selepas ceramah. Di sesetengah tempat, upacara menyambutnya berlangsung sehari suntuk dengan menjemput kumpulan-kumpulan zikir mengalunkan riwayat-riwayat serta qasidah-qasidah yang terkandung dalam Barzanji dan Syaraful Anaam secara silih berganti. Biasanya, zikir maulud akan dimulakan dengan zikir "as-Salai" tapi tidak ada apa yang disalai dalam zikir tersebut selain hati-hati para pencinta Junjungan s.a.w. yang disalai dengan api kerinduan syauq dan mahabbah. Sebenarnya Zikir as-Salai itu merujuk kepada ucapan-ucapan salam ke hadhrat Junjungan Nabi s.a.w., cam ne boleh jadi as-Salai idak le aku tahu, sebab itulah sebutan yang aku dengar sedari kecil-kecil lagi. Biasanya, lagu-lagu zikir kat tempat aku sangat-sangat mendayu-dayu sehingga memerlukan nafas yang panjang dan suara yang lantang. Di sini aku letak sedikit ucapan-ucapan salam tersebut yang dialunkan oleh jamaah Mawlid Habsyi, Solo, diiringi terbangan. Kat tempat aku ianya tidak diiringi terbangan atau hadrah atau kompang, kalau nak dengar orang kampung aku baca kena datang sendiri kat sini.



السلام عليك * زين الأنبياء
السلام عليك * اتقى الأتقياء
السلام عليك * اصفى الأصفياء
السلام عليك * من رب السماء
السلام عليك * دائما بلا انقضاء
السلام عليك * احمد يا حبيبي
السلام عليك * طه يا طبيبي
السلام عليك * يا مسكي و طيبي
السلام على * المقدم للإمامة
السلام على * المتوج بالكرامة
السلام على * المظلل بالغمامة
السلام على * المشفع في القيامة
اللهم صل و سلم و بارك عليه

Salam atasmu Wahai Perhiasan Para Nabi
Salam atasmu Wahai Nabi Yang Paling Bertaqwa
Salam atasmu Wahai Nabi Yang Paling Suci
Salam atasmu daripada Tuhan empunya langit
Salam atasmu selama-lamanya tanpa kesudahan
Salam atasmu Wahai Ahmad Kekasihku
Salam atasmu Wahai Thoha Penawarku
Salam atasmu Wahai Kasturi dan Wangianku
Salam atas Ikutan Yang Paling Utama
Salam atas Nabi Yang Dimahkotakan Dengan Kemuliaan
Salam atas Nabi Yang Dinaungi Awan
Salam atas Nabi Pemberi Syafaat Pada Hari Kiamat

Isnin, Mac 19, 2007

Syair Mawlid Melayu

"Syair Sinar Gemala Mestika Alam" itulah nama gah bagi karya ulama, sasterawan dan intelektual Melayu yang bermukim di Pulau Penyengat yang terletak di sebelah barat Tanjung Pinang, Kepulauan Riau. Beliau adalah Raja Ali Haji bin Raja Ahmad (1809 - 1870). Raja Ahmad ini adalah anakanda Raja Haji, Yamtuan Muda Kesultanan Johor-Riau ke-4 dan pahlawan Melayu-Bugis yang gugur syahid menentang penjajah Belanda. Masyhur dikisahkan bahawa Raja Haji gugur dengan menggenggam badek di tangan kanannya dan kitab "Dala-ilul Khairat", kitab wirid sholawat karya Syaikh Abu 'Abdullah Muhammad bin Sulaiman al-Jazuuli rhm. di tangan kirinya.

Selain menjadi penasihat kepada Yamtuan Muda Riau, Raja Ali Haji mengabdikan dirinya untuk mengajar agama di Pulau Penyengat dan di antara yang menjadi muridnya ialah Raja Haji 'Abdullah, Yamtuan Muda Riau ke-9. Antara kitab yang menjadi teks pengajarannya ialah "al-Mashodir", "al-'Awaamil", "Ajrumiyyah", "Ummul Barahin", "Minhajul 'Abidin" dan "Jawharatut Tawhid". Beliau juga merupakan pengarang serba boleh yang menghasilkan karya berbentuk sejarah, undang-undang, agama, tatabahasa dan juga ensiklopedia. Antara karyanya ialah:-
  1. Tuhfatun Nafis (karya bersama ayahandanya);
  2. Silsilah Melayu dan Bugis;
  3. Tsamaratul Muhimmah;
  4. Muqaddimah fi intizam al-wazaif al-mulk;
  5. Bustanul Katibin;
  6. Kitab Pengetahuan Bahasa;
  7. Syair Siti Sianah;
  8. Syair Hukum Nikah;
  9. Syair Sinar Gemala Mastika Alam;
  10. Ikatan Dua Belas Puji;
  11. Gurindam Dua Belas;
  12. Syair 'Abdul Muluk;
  13. Syair Hukum Faraidh; dan
  14. Syair Suluh Pegawai.
Mohd. Taib Osman dalam artikelnya yang dimuatkan dalam "Dewan Bahasa", Februari, 1976 dengan jodol " Raja Ali Haji dari Riau: Apakah beliau seorang tokoh transisi atau pujangga klasik yang akhir sekali?" menyifatkan beliau sebagai seorang pujangga yang terakhir sekali dalam peradaban Melayu lama.

Melihat kepada sumbangan dan jasanya terhadap anak bangsa, maka tidaklah hairan jika pada tahun 2006, jasa beliau diperingati oleh pemerintah Republik Indonesia dengan menobatkannya sebagai Pahlawan Nasional.

"Syair Sinar Gemala Mestika Alam" yang dicetak oleh Mathba`atul Riauwiyyah tahun 1311 dimulakan dengan satu muqaddimah, 8 fasal dan satu khatimah. Untuk menikmati keindahan syair ini secara lengkapnya, ikhwah bolehlah dapatkan dalam "Puisi-Puisi Raja Ali Haji" yang diselenggarakan oleh Abu Hassan Sham, di mana halaman 444 - 458 memuatkan syair tersebut. Kompilasi tersebut mengandungi beberapa karya Raja Ali Haji dalam bahasa indah dan penuh mutiara ilmu, nasihat dan hikmah. Kunukilkan sekelumit dari syair mawlid tersebut:-

Fasal 1

Malam Isnin dua belas harinya
Dahulu sedikit daripada fajarnya
Masa diperanakkan oleh bondanya
Beberapa mukjizat zahir padanya

Setengah daripada irhas ikram
Menerangi cahaya tempat-tempat yang kelam
Masyriq dan maghrib tempat yang balam
Teranglah cahaya Sayyidil Anam

Setengah daripadanya irhas terala
Habis tersungkur segala berhala
Yang disembah oleh kafir yang cela
Ibadatnya batal tiada pahala

Setengah daripadanya hairan kira-kira
Bergoncang mahligai singgahsana Kisra
Terkejut atasnya hulubalang tentera
Lenyaplah akal budi bicara

Padamlah api yang disembah kuffar
Masa diperanakkan Sayyid al-Basyar
Beberapa lagi irhas yang besar-besar
Di dalam Barzanji berpanjangan khabar

Dihiasi syurga pada malamnya
Menyerulah segala ka-inat padanya
Masyriq dan maghrib tiap-tiap pihaknya
Ahlan wa sahlan perkataannya.

اللهم صل و سلم عليه


Fasal 8

.............................

Sifat kepujian berhimpun kepadanya
Sifat kecelaan jauh daripadanya
Hai segala kamu umatnya
Ikutlah olehmu segala jalannya

Serta kasih akan dianya
Sukakan olehmu mendengar kisahnya
Apa lagi di bulan mauludnya
Harus dibesarkan itu waktunya

Seperti makan minum agahari
Jangan yang berat nyakiti diri
Menzahirkan kesukaan demikian peri
Kepada ahli al-Islam masyhuri

Kerana di beberapa negeri yang besar
Mengerjakan maulud Sayyid al-Basyar
Tiada ada ulama yang in(g)kar
Kerana adat hasanah yang benar

....................................

Mudah-mudahan Allah merahmati Raja Ali Haji bin Raja Ahmad al-Haj dengan rahmatNya yang berpanjangan sehingga ke akhir zaman. Juga kepada sekalian ulama dan shulaha` beserta umat Muhammad sekaliannya.... Allahumma aamiin.... al-Fatihah.

Jika hendak mengenal orang berbangsa
lihat kepada budi dan bahasa

Jika hendak mengenal orang berbahagia
sangat memeliharakan yang sia-sia

Jika hendak mengenal orang mulia
lihatlah kepada kelakuan dia

Jika hendak mengenal orang yang berilmu
bertanya dan belajar tiadalah jemu

Jika hendak mengenal orang yang berakal
di dalam dunia mengambil bekal

Jika hendak mengenal orang yang baik perangai
lihat pada ketika bercampur dengan orang ramai


Ahad, Mac 18, 2007

Bid`ah - KH A.N. Nuril Huda

Dalam kitab Risalah Ahlussunnah wal Jama’ah karya Hadratusy Syeikh Hasyim Asy’ari, istilah "bid’ah" ini disandingkan dengan istilah "sunnah". Seperti dikutip Hadratusy Syeikh, menurut Syaikh Zaruq dalam kitab ‘Uddatul Murid, kata bid’ah secara syara’ adalah munculnya perkara baru dalam agama yang kemudian mirip dengan bagian ajaran agama itu, padahal bukan bagian darinya, baik formal maupun hakekatnya. Hal ini sesuai dengan hadits Rasulullah SAW:" Barangsiapa memunculkan perkara baru dalam urusan kami (agama) yang tidak merupakan bagian dari agama itu, maka perkara tersebut tertolak”. Nabi juga bersabda: "Setiap perkara baru adalah bid’ah”.


Menurut para ulama, kedua hadits ini tidak berarti bahwa semua perkara yang baru dalam urusan agama tergolong bidah, karena mungkin saja ada perkara baru dalam urusan agama, namun masih sesuai dengan ruh syari’ah atau salah satu cabangnya (furu’).

Bid’ah dalam arti lainnya adalah sesuatu yang baru yang tidak ada sebelumnya, sebagaimana firman Allah S.W.T.:

بَدِيْعُ السَّموتِ وَاْلاَرْضِ
Allah yang menciptakan langit dan bumi. (Al-Baqarah 2: 117).

Adapun bid’ah dalam hukum Islam ialah segala sesuatu yang diada-adakan oleh ulama’ yang tidak ada pada zaman Nabi SAW. Timbul suatu pertanyaan, Apakah segala sesuatu yang diada-adakan oleh ulama’ yang tidak ada pada zaman Nabi SAW. pasti jeleknya? Jawaban yang benar, belum tentu! Ada dua kemungkinan; mungkin jelek dan mungkin baik. Kapan bid’ah itu baik dan kapan bid’ah itu jelek? Menurut Imam Syafi’i, sebagai berikut;

اَلْبِدْعَةُ ِبدْعَتَانِ : مَحْمُوْدَةٌ وَمَذْمُوْمَةٌ
فَمَا وَافَقَ السُّنَّةَ مَحْمُوْدَةٌ وَمَا خَالَفَهَا فَهُوَ مَذْمُوْمَةٌ

“Bid’ah ada dua, bid’ah terpuji dan bid’ah tercela, bid’ah yang sesuai dengan sunnah itulah yang terpuji dan bid’ah yang bertentangan dengan sunnah itulah yang tercela”.

Sayyidina Umar Ibnul Khattab, setelah mengadakan shalat Tarawih berjama’ah dengan dua puluh raka’at yang diimami oleh sahabat Ubai bin Ka’ab beliau berkata :

نِعْمَتِ اْلبِدْعَةُ هذِهِ
“Sebagus bid’ah itu ialah ini”.

Bolehkah kita mengadakan Bid’ah? Untuk menjawab pertanyaan ini, marilah kita kembali kepada hadits Nabi SAW. yang menjelaskan adanya bid’ah hasanah dan bid’ah sayyiah.

مَنْ سَنَّ فِى اْلاِسْلاَمِ سُنَّةً حسنة فَلَهُ أَجْرُهَا وَأَجْرُ مَنْ عَمِلَ بِهَا مِنْ غَيْرِ اَنْ يَنْقُصَ مِنْ أُجُوْرِهِمْ شَيْئًا وَمَنْ سَنَّ فِى اْلاِسْلاَمِ سُنَّةً سَيِئَةً فَعَلَيْهِ وِزْرُهَا وَ وِزْرُ مَنْ عَمِلَ بِهَا مِنْ غَيْرِاَنْ يَنْقُصَ مِنْ أَوْزَارِهِمْ شَيْئًا

Barang siapa yang mengada-adakan satu cara yang baik dalam Islam maka ia akan mendapatkan pahala orang yang turut mengerjakannya dengan tidak mengurangi dari pahala mereka sedikit pun, dan barang siapa yang mengada-adakan suatu cara yang jelek maka ia akan mendapat dosa dan dosa-dosa orang yang ikut mengerjakan dengan tidak mengurangi dosa-dosa mereka sedikit pun”.

Apakah yang dimaksud dengan segala bid’ah itu sesat dan segala kesesatan itu masuk neraka?

كُلُّ بِدْعَةٍ ضَلاَلَةٍ وَ كُلُّ ضَلاَلَةٍ فِى النَّارِ
Semua bid’ah itu sesat dan semua kesesatan itu di neraka”.

Mari kita pahami menurut Ilmu Balaghah. Setiap benda pasti mempunyai sifat, tidak mungkin ada benda yang tidak bersifat, sifat itu bisa bertentangan seperti baik dan buruk, panjang dan pendek, gemuk dan kurus. Mustahil ada benda dalam satu waktu dan satu tempat mempunyai dua sifat yang bertentangan, kalau dikatakan benda itu baik mustahil pada waktu dan tempat yang sama dikatakan jelek; kalau dikatakan si A berdiri mustahil pada waktu dan tempat yang sama dikatakan duduk.

Mari kita kembali kepada hadits:-

كُلُّ بِدْعَةٍ ضَلاَ لَةٍ وَ كُلُّ ضَلاَ لَةٍ فِى النَّارِ
Semua bid’ah itu sesat dan setiap kesesatan itu masuk neraka”.

Bid’ah itu kata benda, tentu mempunyai sifat, tidak mungkin ia tidak mempunyai sifat, mungkin saja ia bersifat baik atau mungkin bersifat jelek. Sifat tersebut tidak ditulis dan tidak disebutkan dalam hadits di atas; dalam Ilmu Balaghah dikatakan:

حذف الصفة على الموصوف
“membuang sifat dari benda yang bersifat”.

Seandainya kita tulis sifat bid’ah maka terjadi dua kemungkinan: Kemungkinan pertama :

كُلُّ بِدْعَةٍ حَسَنَةٍ ضَلاَ لَةٌ وَكُلُّ ضَلاَ لَةٍ فِى النَّارِ
“Semua bid’ah yang baik sesat, dan semua yang sesat masuk neraka”.

Hal ini tidak mungkin, bagaimana sifat baik dan sesat berkumpul dalam satu benda dan dalam waktu dan tempat yang sama, hal itu tentu mustahil. Maka yang bisa dipastikan kemungkinan yang kedua :

كُلُّ بِدْعَةٍ سَيِئَةٍ ضَلاَ لَةٍ وَكُلُّ ضَلاَ لَةٍ فِى النَّاِر

“Semua bid’ah yang jelek itu sesat, dan semua kesesatan itu masuk neraka”.

(KH. A.N. Nuril Huda, Ketua Lembaga Dakwah Nahdlatul Ulama (LDNU) dalam "Ahlussunnah wal Jama'ah (Aswaja) Menjawab", diterbitkan oleh PP LDNU)

Bid`ah Bukan Hukum

Allahu ... Allah, semudah ini pun tak faham .... Allahu ... Allah.


Sabtu, Mac 17, 2007

Marilah Bersholawat


Banyakkanlah selawat ke atas Nabi
Memberi fadhilat yang besar sekali
Allah dan malaikat turut berselawat
Kepada Junjungan Nabi yang dikasihi

Berselawat itu menjadi sinar
Di hari akhirat mendapat syafaat
Penawar hati dari kegelisahan
Terlepas diri dari kemunafikan

Pahala selawat banyak sekali
Dimurahkan rezeki bagi yang meyakini
Pabila berdoa jangan dilupai
Semoga Allah akan memberkati

Amalan selawat elok dibiasakan
Tandalah ingatan kasih padanya
Moga keimanan kuat dirasa
Untuk mengamalkan segala sunnatnya


Isal-e-tsawab

Isal-e-tsawab adalah istilah yang digunakan oleh seorang sahabat dari benua Keling merujuk kepada majlis-majlis tahlil atau kenduri arwah. Kalimah tersebut membawa erti "menyampaikan pahala", yakni upacara di mana kita mendoakan agar umpama pahala apa yang kita telah kerja atau baca disampaikan Allah kepada orang lain terutama sekali arwah yang telah kembali ke rahmatUllah. Inilah istilahnya yang masyhur digunakan oleh saudara-saudara kita dari kawasan sana. Jadi tidaklah amalan bertahlil dan menghadiahkan pahala kepada arwah yang telah pergi hanya diamalkan oleh orang kita sahaja. Mungkin rupa dan caranya berbeza tetapi prinsipnya serupa - menghadiahkan pahala amalan terutamanya kepada mereka-mereka yang telah kembali ke hadhrat Ilahi. Amalan ini sudah tentu mempunyai sandaran yang kuat di sisi para ulama kita, walau bagaimanapun ianya tidak terlepas dari berlakunya khilaf. Walau pun ada khilaf, kita nyatakan bahawa jumhur ulama menerimanya dan membolehkannya, jika segelintir yang "membid`ahsesatkan"nya maka biaq pi lah. Di sini aku tidak ingin membahaskan persoalan ini menurut mazhab-mazhab fiqh, tetapi hanya ingin menukilkan tulisan ulama hadits besar yang karangannya menjadi teks penting bagi satu jama`ah yang bertebaran atas muka bumi ini. Bukan apa, sebab aku lihat ada dari kalangan ahli-ahli jama`ah ini yang terpengaruh dengan dakyah golongan anti-tahlilan sehingga turut terlibat dalam usaha membid`ahsesatkan orang lain. Jika pun mereka tidak bersetuju dengan pihak yang melakukan tahlilan dan sebagainya, maka tiadalah hak bagi mereka untuk menghukum pihak yang melakukannya, kerana orang yang melakukan amalan tahlil atau isal-e-tsawab ini mempunyai sandaran mereka, kuat atau tidak sandaran tersebut maka itu persoalan ijtihadiyyah, cuma jika difikirkan dengan logika akal jika tidak kuat sandarannya maka tidaklah jumhur membolehkannya.

Syaikhul Hadits Maulana Muhammad Zakaria al-Kandahlawi rahmatUllah 'alaih, seorang ulama Hanafi dan muhaddits besar yang diberi gelaran Ra-isul Muhadditsin (Ketua Muhaddits) menulis dalam karangannya (yang diterjemah lah, yang asli bahso Urdu, idak le aku faham) berjodol "Fadhilat Sedekah" jilid 1 halaman 188 - 190 menulis:-

Hadrat Ali ibnu Musa Haddad rahmatUllah 'alaih berkata: "Aku telah mengambil bahagian dalam satu jenazah dengan Imam Ahmad ibnu Hanbal rahmatUllah 'alaih, Muhammad ibnu Qudamah rahmatUllah 'alaih pun turut serta. Selepas mayat dikebumikan salah seorang buta telah datang dekat kubur dan mulai membaca al-Quran. Hadrat Imam Ahmad ibnu Hanbal rahmatUllah 'alaih telah berkata: "Bacaan al-Quran dekat kubur adalah bid`ah." Apabila kami mula kembali dari tempat perkuburan tersebut, dalam perjalanan itu Muhammad ibnu Qudamah rahmatUllah 'alaih telah bertanya kepada Imam Ahmad ibnu Hanbal rahmatUllah 'alaih : "Apakah pendapat anda mengenai pribadi Mubasyer Ibnu Ismail Habali rahmatUllah 'alaih ? Imam Ahmad Hanbal rahmatUllah 'alaih menjawab: "Yang boleh dipercayai." Ibnu Qudamah rahmatUllah 'alaih pun telah bertanya: "Adakah anda juga mempelajari ilmu daripada beliau?" Imam menjawab: "Ya, saya telah belajar hadith daripada beliau." Ibnu Qudamah rahmatUllah 'alaih berkata: "Mubasyer ibnu Ismail Habali rahmatUllah 'alaih telah menceritakan kepada saya bahawa Abdur Rahman ibnu 'Ala ibnu Lajlaj rahmatUllah 'alaih telah meriwayatkan daripada bapanya bahawa apabila beliau hampir meninggal dunia, beliau telah berwasiat agar di bahagian kepala kuburnya dibacakan ayat-ayat permulaan dan terakhir dari surah al-Baqarah dan beliau berkata juga bahawa beliau telah dengar Hadrat 'Abdullah ibnu 'Umar radiyaAllahu 'anhuma berwasiat begitu." Setelah mendengar peristiwa ini, Hadrat Imam Ahmad ibnu Hanbal rahmatUllah 'alaih berkata kepada Muhammad ibnu Qudamah rahmatUllah 'alaih : "Patah baliklah anda ke tanah perkuburan itu dan suruhlah si buta tadi agar dia membaca al-Quran dekat kubur."

Hadrat Muhammad ibnu Ahmad Maruji (Mirwazi) rahmatUllah 'alaih berkata: "Aku telah dengar Imam Ahmad ibnu Hanbal rahmatUllah 'alaih menasihati kepada manusia: "Apabila kamu menziarahi kubur hendaklah kamu membaca surah al-Fatihah, surah al-Ikhlas, surah al-Falaq dan surah an-Naas. Selepas itu sampaikan pahalanya kepada penghuni-penghuni kubur; pahalanya akan sampai kepada mereka." [Ihya]

Mughni adalah sebuah kitab mengenai hukum fekah Mazhab Hanbali yang amat dipercayai. Pengarangnya telah menyalinkan peristiwa ini dan juga riwayat-riwayat mengenainya. Telah diriwayatkan di dalam Bazlul Majhud serta sanad dari kitab Bahar bahawa selepas solat, puasa dan sedekah jikalau pahalanya disampaikan kepada sesiapa maka pahala itu akan sampai kepadanya baik dia masih hidup ataupun sudah mati.

Telah diriwayatkan di dalam kitab Abu Dawood daripada Hadrat Abu Hurairah radiyaAllahu 'anhu: "Adakah sesiapa yang akan mengambil tanggungjawab untuk mengerjakan dua atau empat rakaat solat (yakni sholat nafil) di Masjid Asyar (dekat Basrah) lalu akan berkata: "Pahalanya ini adalah bagi Abu Hurairah (yakni dihadiahkan pahala solatnya tadi kepada Sayyidina Abu Hurairah." [Abu Dawood]

Patutlah diambil perhatian mengenai penyampaian pahala kepada arwah kaum kerabat. Sebab, di samping hak-hak mereka, selepas mati kita akan berjumpa mereka. Betapa besarnya malu akan dirasai semasa itu, kiranya tidak memberi apa-apa kepada mereka walaupun telah diambil banyak faedah daripada mereka dengan keihsanan dan harta peninggalan mereka.
Lihat ikhwah bagaimana Maulana telah berpesan agar perhatian sewajarnya diberikan untuk amalan isal-e-tsawab (dalam tradisi kita disebut "amalan bertahlil @ kenduri arwah"). Oleh itu sekali lagi aku nyatakan bahawa amatlah menghairankan jika sesetengah ahli Jama`ah Tabligh ada yang menjadi penentang kepada amalan-amalan seperti ini kerana terikut-ikut fahaman ahli bid`ah-membid`ah yang anti tahlilan. Sedarlah wahai saudara Ahli Jama`ah Tabligh, Maulana Zakaria al-Kandahlawi yang kitab-kitab fadhailnya kamu baca sehari-hari tidak pernah membid`ahsesatkan amalan isal-e-tsawab, bahkan telah menyeru agar ianya diberi perhatian. Maka sama-samalah kita jaga amalan, warisan dan tradisi yang telah dipandang baik oleh orang-orang Islam. Janganlah diqiaskan atau disamakan amalan, warisan dan tradisi tersebut dengan amalan, warisan dan tradisi orang-orang kafir, kerana qias tersebut adalah qias baathil atau qias ma`al faariq kerana tidaklah agama Islam itu sama dengan agama kafir.


Selasa, Mac 13, 2007

Qariin 2 - Ustaz Ismail Kamus

Sebagaimana yang aku katakan dalam posting terdahulu, di tanah air yang tercinta ini selain Prof. Dr. Haron Din, Dato` Hj. Ismail Kamus juga mempunyai karangan yang sedikit sebanyak memperkatakan mengenai kewujudan makhluk qariin ini. Setidak-tidaknya Dato` Ismail Kamus memberi penerangan berhubung makhluk ini dalam bukunya "Jin : Rasukan & Pengubatannya" dan juga karangan terbarunya "Jin : Hakikat & Pengubatan". Dalam "Jin : Hakikat & Pengubatan", Dato` Ismail Kamus pada halaman 9 menulis:-
Qarin adalah jin yang dicipta oleh Allah sebagai pendamping manusia. Boleh dikatakan ia sebagai "kembar" manusia. Setiap manusia yang dilahirkan ke dunia ini pasti ada qarinnya sendiri. Rasulullah s.a.w. sendiri tidak terkecuali. Cuma bezanya, qarin Rasulullah adalah Muslim. Manakala yang lainnya adalah kafir.

Pada umumnya qarin yang kafir ini kerjanya mendorong dampingannya membuat kejahatan. Dia membisikkan was-was, melalaikan solat, berat nak baca al-Quran dan sebagainya. Malah ia bekerja sekuat tenaga untuk menghalang dampingannya membuat ibadah dan kebaikan.

Untuk mengimbangi usaha qarin ini Allah utus malaikat. Ia akan membisikkan hal-hal kebenaran dan mengajak membuat kebaikan. Maka terpulanglah kepada setiap manusia membuat pilihan mengikut pengaruh mana yang lebih kuat. Walau bagaimanapun orang-orang Islam mampu menguasai dan menjadikan pengaruh qarinnya lemah tidak berdaya. Caranya dengan membaca "Bismillah" sebelum melakukan sebarang pekerjaan, banyak berzikir, membaca al-Quran dan taat melaksanakan perintah Allah.

Qarin akan berpisah dengan "kembar"nya hanya apabila manusia meninggal dunia. Roh manusia akan ditempatkan di alam barzakh sedangkan qarin terus hidup kerana lazimnya umur jin adalah panjang. Walau bagaimanapun, apabila tiba hari akhirat nanti maka kedua-duanya akan dihadapkan ke hadapan Allah untuk diadili. Tetapi qarin akan berlepas tangan dan tidak bertanggungjawab atas kesesatan atau kederhakaan manusia.
Aku harap ikhwah sudah dapat mengambil faedah berhubung kewujudan makhluk qariin ini. Jika ada yang ingin mengetahui lebih lanjut berhubung makhluk qariin dan segala kaum kerabatnya daripada kalangan jin dan syaitan, maka bolehlah mencari ahli-ahlinya serta mentelaah kitab-kitab yang membicarakan hal ini seperti kitab "Luqthul Marjaan fi Ahkamil Jaan" karangan Imamuna as-Sayuthi rhm. Ku akhiri posting ini dengan nukilan satu kisah yang disebut oleh Dato` Hj. Ismail Kamus dalam "Jin: Rasukan & Pengubatannya" halaman 41.

Ibnu Muflih menceritakan: Suatu ketika syaitan yang mendampingi orang beriman, bertemankan syaitan yang mendampingi orang kafir. Syaitan yang mengikuti orang beriman itu kurus sedangkan yang mengikuti orang kafir itu gemuk. Maka ditanya mengapa engkau kurus, bagaimana aku tidak kurus, apabila tuanku masuk ke rumah, dia berzikir, makan dia ingatkan Allah, apabila minum pun begitu. Sebaliknya syaitan yang mengikut orang kafir itu pula berkata aku sentiasa makan bersama dengannya dan begitu juga minum.
Oleh itu, lagi sekali aku ingatkan diriku dan kalian semua ikhwah yang budiman agar jangan lalai dari berzikir mengingati Allah dan mentaati segala titah perintahNya. Janganlah kita lupa akan firman Allah s.w.t.:-


Kenduri Arwah - Syaikh Nuruddin

Isnin, Mac 12, 2007

Qariin 1

Qariin dari segi bahasa membawa erti 'rakan' atau 'teman', manakala segi istilah ianya merujuk kepada makhluk halus yang tak nampak dek mata yang merupakan ciptaan Allah daripada kalangan jin. Orang kampung aku panggil qariin ni "gembaran" atau "kembar", bukan kerana makhluk ni dilahirkan kembar bersama seseorang manusia tetapi kerana makhluk ini sentiasa mendampingi seseorang sejak dilahirkan sehingga mati. Oleh itu senang cakap, qariin ini adalah jin yang menjadi pendamping manusia semenjak dia lahir sehinggalah dia menghembuskan nafasnya yang terakhir.

Umumnya makhluk qariin ini adalah syaitan yang kerjanya untuk menghasut dan menggoda manusia supaya derhaka kepada Allah s.w.t. Berhasil atau tidaknya hasutan dan godaannya itu bergantung kepada anak Adam itu sendiri, sama ada untuk terpengaruh dan menerimanya atau menolaknya. Allah s.w.t. telah memberi peralatan yang cukup untuk kita menolak godaan-godaan tersebut, berupa akal fikiran yang waras serta disuluh dengan sinaran taufiq dan hidayah Allah yang diturunkanNya melalui Junjungan Nabi s.a.w. Oleh itu, jika sekiranya pilihan kita adalah untuk mengikut hasutan dan godaan si qariin itu, sedangkan dia mengetahui yang godaan tersebut adalah satu kederhakaan kepada Allah s.w.t., maka tidaklah boleh mempersalahkan yang lain selain diri kita sendiri. Inilah yang dinyatakan Allah dalam surah al-Qaaf ayat 27-28:-

"(Semasa ia [yakni manusia] dihumbankan ke dalam neraka Jahannam, ia mendakwa bahawa syaitanlah yang menjadikan dia sesat; pada saat itu) syaitan yang sentiasa menyertainya (di dunia dahulu) [yakni yang menjadi qariinnya] berkata: "Wahai Tuhan kami, aku tidak menyesatkannya tetapi sememangnya dia sendiri berada di dalam kesesatan yang jauh terpesong." Allah berfirman: "Janganlah kamu berbalah lagi di hadapanKu, (tidak ada gunanya berbalah pada masa Aku membuat keputusan); padahal (kamu sedia mengetahui bahawa) Aku dahulu telah memberi amaran kepada kamu (yang Aku akan menyeksa orang-orang yang bersalah)."
Oleh itu jika seseorang itu sentiasa menjadikan hidupnya berpandukan hukum-hakam Allah sebagaimana diturunkanNya, sentiasa mengingati Allah dan menjunjung titah perintahNya, nescaya dia akan dipelihara Allah dari terjebak dalam godaan-godaan si qariin, sebaliknya mereka- mereka yang lalai akan terperangkap dalam godaan-godaan tersebut, sebagaimana difirmankan Allah dalam surah az-Zukhruf ayat 36:-

"Dan sesiapa yang berpaling tidak mengendahkan pengajaran (al-Qur`an yang diturunkan oleh Allah) ar-Rahman, Kami akan adakan baginya syaitan (yang menghasut dan menyesatkannya), lalu menjadilah syaitan itu temannya (qariinnya) yang tidak renggang daripadanya (yakni sentiasa menyertainya)."
Setelah seseorang itu, mati maka qariinnya tadi yang seperti bangsa jin yang lain biasanya berumur panjang. Dia akan terus hidup dan jika ianya adalah syaitan maka dia akan terus melakukan kejahatan dan menggoda serta menyesatkan manusia. Antara kesesatan yang lumrah dilakukannya ialah dia akan menyerupakan dirinya dengan rupa manusia yang telah mati itu untuk tujuan-tujuan tertentu. Oleh itu, jika seseorang ketemu dengan "roh" seseorang yang telah mati, maka janganlah terus percaya bahawa yang ditemuinya itu adalah "roh" si mati, apatah lagi jika si mati itu orang kafir atau tholeh, kemungkinan besar yang ditemuinya itu adalah jin atau qariin yang menyerupai si mati tadi. Oleh kerana si qariin ini sentiasa mendampingi seseorang, maka dia mengetahui perkara-perkara sulit orang yang didampingnya itu.

Kat tanah air tercinta, antara yang telah memperkatakan mengenai makhluk qariin ini adalah Prof. Dr. Haron Din dalam siri ceramah beliau. YB Dr. Amran Kasimin juga menulis mengenai makhluk ini dalam beberapa tulisannya, Begitulah juga dengan Dato` Haji Ismail Kamus dalam buku terbarunya "Jin: Hakikat & Pengubatan". Tapi buat posting ini aku cuma nukilkan di sini Fatwa Mufti Kerajaan - 2000 yang difatwakan oleh Pehin Datu Seri Maharaja Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Abdul Aziz bin Juned, Mufti Kerajaan, Negara Brunei Darussalam. Di mana dalam fatwanya berhubung "Ajaran Saihoni bin Tasipan" yang antara lain mendakwa boleh memanggil roh, turut memperkatakan mengenai makhluk qariin ini. Pada halaman 48 - 51 Fatwa tersebut, dinyatakan:-

**************************************************************
Manusia Mempunyai Qariin.

Telah sah dan sabit dalam hadis, bahawa setiap manusia itu ada qariin atau teman yang sentiasa bersamanya semenjak dia dilahirkan lagi sampailah dia meninggal dunia. Imam Muslim meriwayatkan bahawa Nabi s.a.w. bersabda:-

Maksudnya: "Tiada seorang kanak-kanak pun yang dilahirkan melainkan tidak sunyi daripada tusukan (gangguan) syaitan, maka kanak-kanak itu pun menangis akibat gangguan syaitan itu, kecuali anak Maryam (Nabi 'Isa a.s.) dan ibunya (Maryam sendiri).
Untuk lebih jelas lagi dipetik pula riwayat Imam Muslim selanjutnya bahawa Nabi s.a.w. bersabda:-

Maksudnya: "Tiada seorang pun daripada kamu melainkan diwakilkan dengannya qariin daripada kalangan jin." Sahabat bertanya: "Apakah Tuan juga, wahai Rasulullah?" Nabi menjawab: "Ya, aku pun begitu juga, akan tetapi Allah telah menolongku menguasainya, maka dia pun Islam dan tidak menyuruh aku melainkan dengan kebajikan sahaja." (Erti fa aslama : qariin itu masuk Islam, atau aku (Rasulullah) terselamat daripada gangguan qariin itu, kerana Allah menolongku menguasainya)."
Dari maksud hadis-hadis ini menunjukkan qariin-qariin manusia itu kecuali qariin Nabi Muhammad s.a.w. adalah bersifat mengganggu dan merosak serta menyesatkan.

Walaupun manusia itu tidak berupaya menguasai jin, kecuali bagi orang yang diberikan izin oleh Allah seperti Nabi Sulaiman a.s., namun tidaklah terhalang daripada berlakunya kerjasama dan perhubungan di antara manusia dan jin pada mencapai sesetengah maksud manusia itu. Hubungan dan kerjasama ini boleh tercapai dengan berbagai cara dan keadaan. Perkara ini berlaku kepada sebahagian orang di zaman lampau mahupun zaman sekarang .

Menurut fatwa Syeikh al-Azhar, asy-Syeikh Jad al-Haq 'Ali Jad al-Haq, perkara bekerjasama dengan jin ini biasanya berlaku kepada dukun-dukun, tukang-tukang ramal dan tukang-tukang sihir, dan ada pun hubungan atau kerjasama itu pada masa sekarang disebut sebagai menghadirkan atau memanggil roh. (Bayaan li an-Naas 2 / 332 - 338).

Qariin daripada kalangan jin mempunyai kemampuan untuk berbohong dan mengada-adakan karut-marut, hatta meniru tuannya dalam berbagai keadaan seperti suara dan kadang-kadang juga rupa tuannya itu sendiri.

Qariin mempunyai pengetahuan tentang tuannya, sama ada yang zahir mahupun yang sulit-sulit.

Qariin-qariin boleh berhubung sesama mereka sendiri. Qariin juga ada kalanya menjadi pembantu kepada tuannya dalam kerja-kerja tertentu, sehingga kerja-kerja itu menjadi senang, ataupun sebaliknya kerja-kerja itu menjadi susah kerana qariin meletakkan halangan-halangan dan gangguan-gangguan. Selain daripada itu, boleh juga terjadi perkara-perkara yang lain lagi, berdasarkan alam jin itu mempunyai keanehan-keanehan yang tersendiri.

Maka apabila seseorang manusia itu berusaha dengan cara tertentu atau dengan berbagai jalan untuk menghadirkan atau mendatangkan roh, qariin orang itu akan berupaya menerima suara-suara, dan kemudian akan memberitahu berbagai hal dan berbagai perkara ghaib yang telah disepakati oleh para qariin melalui pertukaran maklumat sesama mereka. Selepas itu orang akan menyangka bahawa yang bercakap itu ialah roh orang mati yang telah dipanggil itu. Padahal yang bercakap itu ialah qariin-qariin sendiri yang membawa berita dan cerita yang bercampur-campur, yang direka-reka dan dusta ............

*********************************************
Oleh itu janganlah kita merasa hairan dengan amalan-amalan memanggil roh atau "tahdhirul arwah" atau omputeh kata "seance" yang kononnya telah berjaya mendatangkan roh orang mati yang dipanggil itu, sungguh yang dikatakan "roh" si kafir yang datang itu adalah qariinnya, oleh itu tidaklah pelik jika dia mengetahui perkara-perkara yang berkaitan dengan si mati dahulu, bahkan si qariin boleh meniru suara dan signature si mati tadi. Begitu juga jangan mudah percaya dengan "kewalian" atau "kekasyafan" tok bomoh yang boleh beritahu mana hilangnya kunci kereta kita atau apa yang kita makan petang kelmarin, sebab mungkin tok bomoh tu diberitahu mengenai perkara itu oleh qariin kita. Mudah-mudahan Allah sentiasa memelihara kita dari godaan, tipuan dan permainan qariin dan segala jenis syaitan termasuklah yang berupa dengan rupa manusia.