Selasa, Ogos 30, 2022

Suluh Kemajuan - TG Haji Karim

Syaikh Utsman Sarawak diketahui pernah berkahwin beberapa kali dan dikurniakan dengan 14 orang cahayamata. Di antara anak beliau adalah Tuan Guru Abdul Wahhab Sungkai dan Tuan Guru Haji Abdul Karim Sungkai. Mereka berdua adalah saudara kandung seibu sebapa. Ibu mereka bernama Khalijah @ Khadijah puteri Syaikh Muhammad Zain Sungkai yang mengajar di Masjidil Haram. Tuan Guru Haji Abdul Karim dilahirkan sekitar tahun 1916 di Mekah al-Mukarramah dan di situlah beliau membesar di bawah didikan dan asuhan ayahanda dan datuk beliau sebelum mengenyam didikan para ulama kota suci tersebut.

Ketika puak Wahabi menguasai Hejaz, TG Haji Abdul Karim merasa tidak betah lagi tinggal di sana, lalu beliau dan abang beliau mengambil keputusan untuk pulang ke Tanah Melayu. Maka pulanglah dua bersaudara bersama sahabat mereka Tuan Guru Haji Ahmad Badawi bin Mufti Syaikh Abdullah Fahim (ayahanda Pak Lah) ke Tanah Melayu. Mereka berdua pulang ke kampung halaman datuknya, Sungkai, Perak. Di sana Tuan Guru Haji Abdul Karim telah berkahwin dengan sepupu beliau, Hajjah Ainun Fatimah binti TG Haji Ahmad bin TG Haji Muhammad Zain. Sungkai menjadi tempat beliau menjalankan aktiviti dakwah dan mengajar sehinggalah beliau dilantik menjadi penasihat sultan di Kuala Kangsar. Di Kuala Kangsar, beliau mengajar di Madrasah Iskandariah dan di berbagai masjid dan surau sekitar. Di penghujung usianya, beliau pulang semula ke Sungkai untuk tinggal menetap dan berdakwah di sana. Tuan Guru Haji Abdul Karim tutup usia pada tahun 1961 dalam usia muda 45 tahun dan jenazah beliau dimakamkan di Sungkai, Perak. Mudah - mudahan Allah terangkan kuburnya dengan nur yang berpanjangan serta turunkan hujan rahmat yang berkekalan ke atasnya.

Tuan Guru Haji Abdul Karim rahimahullah meninggalkan sebuah karangan yang penuh tiupan semangat kemerdekaan dan pembebasan tanahair daripada belenggu penjajahan. Karangan beliau tersebut diberi jodol Suluh Kemajuan. Kitab tersebut telah dicetak dan diberi kata pengantarnya oleh dua orang tokoh ulama, iaitu Syaikh Abdullah Fahim (Mufti Pulau Pinang) dan Syaikh Zubair bin Haji Ahmad (mudir Madrasah Idrisiyyah, Kuala Kangsar). Tuan Guru Abdul Karim rahimahullah dalam kitabnya tersebut cuba mengobarkan semangat hubbul wathan (cintakan tanahair) dan kemerdekaan daripada belenggu penjajahan. Di antara tulisan beliau dalam kitab tersebut adalah sebagai berikut:- 
"...Maka orang - orang Islam di zaman dahulu kala berpegang kepada ajaran - ajaran Islam yang sebenar. Maka dapatlah mereka menjadi satu umat yang dihormati. Dan pula jadilah mereka membangunkan dan mendirikan sebuah kerajaan Islam yang besar dan mempunyai gah kemasyhuran seluruh dunia. Mudah - mudahan Allah subhanahu wa ta`ala menggerakkan dan menyedarkan umat - umat Islam seluruh alam dunia ini mengikut jejak datuk nenek mereka yang Islam dahulu kali ....... Adalah kasihkan tanahair itu, ialah memperbaiki keadaan tanahair dengan berusaha bersungguh - sungguh pada memeliharakan dia. Maka orang - orang yang benar kasihkan tanahair ialah mereka yang redhakan mati kerana berkehendakkan hidup dan lepas tanahairnya daripada cengkaman penjajah dan bersusah payah supaya senang lenang dan merdeka umatnya. .... Maka kita umat Melayu sangat berhajatkan kepada perusahaan yang besar - besar kepunyaan bangsa kita, umpama factory - factory yang membuat kain - kain, benang, gula dan pinggan mangkuk, cawan dan lain - lainnya. Dan juga pabrik - pabrik yang membuat basikal, motokar - motokar dan enjin - enjin. Begitu juga berhajatkan kepada perniagaan - perniagaan yang besar - besar, umpama syarikat - syarikat yang besar - besar dan enjin - enjin yang besar dan sebagainya, supaya umat Melayu dapat mencapai kemerdekaan iqtisad (yakni ekonomi) dan pula lepas daripada kehinaan yang bergantung kepada bangsa - bangsa dagang. ....... Maka hendaklah tiap - tiap orang kita Melayu berusaha dengan bersungguh - sungguh pada memajukan bangsa sehingga beroleh kejayaan dengan berkerajaan sendiri. Maka asas - asas yang melayakkan dan mematutkan kita umat Melayu beroleh kejayaan kemerdekaan yang sempurna ialah mesti mengikut syarat - syarat seperti berikut:- Pertama, hendaklah tiap - tiap orang kita Melayu taat kepada agama Islam dengan mengikut ajaran - ajarannya yang sejati sebagaimana umat Islam di zaman dahulu kala. Yang kedua, hendaklah kita bersatu padu. Yang ketiga, hendaklah ada mempunyai wang yang banyak supaya dapat membeli dengan banyak segala alat - alat, perkakas - perkakas yang moden - moden, bersamaan alatan perusahaan atau pun peperangan."

Begitulah antara upaya Tuan Guru Haji Abdul Karim Sungkai @ Sarawak meniup kesedaran dan semangat kepada anak bangsanya. Beliau menegaskan kepentingan umat Islam untuk menguasai bukan sahaja ilmu - ilmu ukhrawi, tetapi ilmu - ilmu duniawi juga seperti ilmu - ilmu  sains dan teknologi agar umat dapat berdiri sendiri tanpa perlu bersandar kepada orang lain. Sedikit sebanyak beliau telah memberikan sumbangan merintis jalan kemerdekaan. Maka pada tanggal 31 Ogos 1957, Tanah Melayu telah memperolehi kemerdekaan daripada penjajah British. Sarawak ketika itu masih belum mencapai kemerdekaannya, namun perlulah diketahui bahawa kemerdekaan Tanah Melayu amatlah signifikan dalam melahirkan negara persekutuan yang bernama Malaysia. Turut membanggakan bahawa dalam catatan sejarah kemerdekaan tersebut, ada anak keturunan Sarawak yang turut sama meniup bara api kemerdekaan. Semoga Allah merahmati para wira yang tidak didendang yang tidak perlukan dendangan. Dirgahayu Tanah Airku.

Sabtu, Ogos 27, 2022

Kasyaf Syaikh Yasin Fadani

Maulana Muhammad Taqi Usmani hafizahullah, salah seorang ulama besar Pakistan, bercerita antara pengalaman beliau bersama ulama Ahlis Sunnah wal Jama`ah bermazhab Syafie, keturunan Melayu yang dinobatkan sebagai musnid dunya, Syaikh Yaasin Fadani rahimahullah dan kesaksian beliau bahawa Syaikh Yaasin adalah seorang wali yang kasyaf. Dikisahkan bagaimana keberadaan Maulana Taqi di Mekah pada hari `asyura yang tanpa pengetahuan sesiapa pun telah diketahui oleh Syaikh Yaasin dan beliau dijemputnya untuk menerima ijazah hadis musalsal Hari `Asyura. Ya Allah, berkat Syaikh Yaasin, matikan kami husnul khatimah.



Khamis, Ogos 25, 2022

Nur Muhammad Itu Makhluk

Penjaja ilmu hakikat dan makrifat sering kali membungkus ajaran karut - marut dan sesat mereka dengan menggunakan istilah - istilah atau teori yang muluk - muluk. Ada yang berfalsampah dengan konsep yang mirip ajaran sesat trinity, dengan menggoreng penjelasan hakikat Ahad, Ahmad dan Muhammad, sehingga orang awam terpesona dan terpedaya. Didongengkanlah bahawa Ahad menghembuskan rohNya menjadi Ahmad yang akhirnya melahirkan Muhammad dan sebagainya, sehingga mendakwa bahawa roh yang dihembuskan itu bukan makhluk ciptaan Allah. Konon - konon, inilah ilmu tingkat tinggi hakikat Ruhul A'dzam atau Nur Muhammad. Allahu ...Allah, Allah itu Maha Esa dan tiada sekutu bagiNya. Setinggi manapun kedudukan Nabi Muhammad shallaAllahu `alaihi wa sallam, tetap sahaja baginda makhluk ciptaan Allah ta`ala. Jelas ketika kita bershalawat kita mempersaksikan bahawa hanya Allah Tuhan Maha Esa yang kita pohonkan shalawat dan salamNya ke atas hamba dan makhlukNya yang teragung, Muhammad shallaAllahu `alaihi wa sallam. Ketahuilah bahawa Nur Muhammad atau Ruhul A'dzam itu adalah makhluk ciptaanNya. Tidak ada ulama Ahlis Sunnah yang menyatakan sebaliknya. Maka sesiapa yang mengajar bahawa Nur Muhammad itu bukan makhluk ciptaan Allah, atau Nur Muhammad itu sebahagian daripada Zat Allah atau Nur Muhammad itu bersifat dengan Qadim seperti Allah, maka sesungguhnya itu adalah kesesatan yang nyata.

Di sisi lain, ada juga yang cuba menghubungkan pengajian Nur Muhammad sebagai ajaran pokok bagi perbahasan Ilmu Tawhid atau Akidah. Mungkin mereka lupa takrifan Ilmu Tawhid dan mabadinya yang sepuluh. Sesungguhnya perbahasan tentang konsep awwaliyyah Nur Muhammad itu sama kedudukan dengan perbahasan mengenai qalam atau air atau akal sebagai seawal - awal kejadian yang diciptakan Allah. Perkara ini tidak termasuk dalam perbahasan asas dan pokok dalam akidah. Ianya adalah perkara sam`iyyat yang diketahui daripada nas yang datang daripada Junjungan Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam. Maka nas - nas yang datang itu ada yang mutawatir dengan kesan qathie sehingga diangkat menjadi perkara asas akidah, ada yang shahih namun ahad sehingga kesannya bersifat dzanni dan ada pula hanya riwayat yang dhaif, yang tiada sebarang kesan dalam bab akidah maupun ibadah asas, hanya sebagai pedoman dalam bab fadhail, tarhib dan taghrib. Penentuan kekuatan nas - nas ini juga tidak luput dari perbezaan pendapat di kalangan ulama. Maka awwaliyyah Nur Muhammad hanyalah perbahasan furu` (cabang atau ranting) yang tidak lepas daripada ikhtilaf ulama. Ada ulama yang menerimanya dengan anggapan bahawa nas dan istidlalmya kuat, dan ada pula yang menafikannya. Maka jangan jadikan ia sebagai perkara asas, perkara pokok, perkara usul dalam akidah. Oleh itu, seseorang yang tidak mengetahui atau tidak mempercayai Nur Muhammad yakni ruhul a'dzam iaitu roh Junjungan Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam sebagai makhluk terawal diciptakan Allah, tidaklah dapat dihukumkan sebagai sesat atau kafir kerana ianya bukanlah asas akidah yang perlu diimani. Begitu pula, jika ada yang percaya bahawa makhluk yang paling awal diciptakan Allah adalah makhluk yang disebut sebagai Nur Muhammad, maka kepercayaannya tersebut tidaklah menjadikan dia sesat atau kafir. Sungguh menghairankan juga ada sesetengah golongan yang mengaku Ahlis Sunnah tetapi cuba menjadikan kepercayaan kepada makhluk terawal diciptakan sebagai asas akidah, yakni mereka seolah - olah mewajibkan kita beriman dan percaya bahawa seawal -awal makhluk yang diciptakan adalah air atau qalam atau akal dan seumpamanya. 

Maka faqir ulang apa yang pernah difatwakan oleh pihak Mufti Negeri Sarawak suatu ketika dahulu, zaman mufti almarhum Datuk Haji Mohamad Mortadza Haji Daud, antaranya, menyatakan bahawa: "Konsep "Nur Muhammad" sebagaimana yang dipegang oleh sebahagian ulama mu'tabar, sewajarnya diletakkan dalam perkara khilafiyyah yang sepatutnya ditanggapi, diteima dengan fikiran terbuka dan rasa tasamuh yang tinggi. Percaya atau tidak kepada hal yang demikian tidaklah merosakkan aqidah." Dengan catatan dan penegasan bahawa sesiapa yang percaya, maka hendaklah kepercayaannya kepada konsep tersebut selari dengan pegangan dan penafsiran para ulama yang muktabar, bukannya digoreng dengan pemahaman sendiri yang tersasar. Juga faqir kongsikan kesimpulan yang ditulis oleh Dr. Mohd Khafidz Soroni hafizahullah dalam risalah beliau Hadis Nur Muhammad SAW: Antara Pro dan Kontra menyatakan, antara lain:- ....Demikian perbincangan mengenai isu Nur Muhammad SAW dan secara ringkasnya, isu ini bukanlah isu pokok dalam akidah Islam. Jika seseorang meninggal dunia tanpa tahu dan maklum mengenainya, ia tidaklah berdosa sama sekali ..... Sebagai kesimpulannya, penulis melihat isu ini tidak sewajarnya sampai ke tahap sesat menyesatkan antara satu sama lain dek kerana menyangkakan konsep Nur Muhammad SAW adalah termasuk dalam permasalahan pokok (usul) akidah. Bahkan kesemua perbahasan tentang apa makhluk pertama yang dijadikan Allah Ta`ala, sama ada qalam atau `arsy atau air atau lauh mahfuz, hakikatnya tidaklah termasuk dalam bab usul akidah. Perbahasannya sepertimana yang telah diungkapkan di atas masih dapat diterima sebagai satu bentuk perselisihan pendapat dalam permasalahan cabang (furu`) akidah sahaja. Meskipun harus juga terjadi salah satu pihak itu benar, manakala pihak yang lain pula tersalah. Hanya ilmunya yang hakiki ada di sisi Allah SWT. Wallahu a'lam.

Akhirul kalam, faqir nukilkan tulisan al-`Alim al-Fadhil Tuan Guru Kemas (KiMas gelaran kebangsawanan Palembang) Muhammad Zain al-Jawi al-Jambi rahimahullah, ulama Melayu Jambi yang wafat tahun 1815 dalam Qurratul `Ain li Fardhil `Ain pada halaman 3 sebagai berikut:- ...Bermula wajib kita i'tiqadkan bahawasanya segala yang lain daripada Allah ta`ala dan sifatNya, daripada tujuh petala langit dan bumi dan `arsy dan kursi dan segala isinya daripada cahaya dan lainnya (dan) jikalau Nur Muhammad sekalipun sekaliannya baharu, dijadikan Allah ta`ala daripada tiada kepada ada.....

Maka pegangilah i'tiqad ini, al-Khaliq hanya Allah, selainnya adalah makhluk. Jangan terpedaya dengan ajaran bahawa roh atau Nur Muhammad itu bukan makhluk, walaupun yang berkata itu seorang daie atau buya atau kiyai atau gus kondang kerana mungkin sahaja itu ketergelinciran lidahnya atau kurang ketelitiannya ketika bercakap. Jangan tersasar wahai sahabat dan jangan terpedaya dengan kesesatan berbajukan hakikat makrifat.

Khamis, Ogos 18, 2022

Mukaddimah Majmu`ah

Kitab Majmu'ah Maulud Syarafil Anam berisikan beberapa karya mawalid, qashaid dan madaih. Tiga mawlid yang masyhur, Barzanji Natsar, Barzanji Nazam dan Diba`ie juga dimuatkan dalam himpunan ini. Sebagai sambungan bagi entri yang lepas, faqir kongsikan mukaddimah bagi Majmu`ah tersebut yang ditulis oleh Kiyai Muhammad bin Muhammad Said rahimahullah agar berpanjangan jariah beliau dan mudah - mudahan bermanfaat bagi kita.

Maka faqir nukilkan apa yang ditulis pada halaman 2 mukaddimah tersebut yang berbahasa Melayu. Kiyai Muhammad rahimahullah menulis, antaranya, sebagai berikut:- ...Kami nyatakan di sini setengah daripada kaifiat membaca maulud. (Adapun) yang dikehendaki membaca maulud dan tujuan mengadakannya itu di atas tiga perkara. (Pertama) kita syukur kepada Allah ta`ala atas rezeki dan nikmat yang telah dikurniai bagi kita dan bagi anak buah kita dan barang dikurniai di atas kita daripada rezeki yang luas lagi berkat di dalamnya. Firman Allah ta`ala di dalam al-Quran .....(Ibrahim:7).... "Demi jika kamu syukur (berbanyak - banyak menerima kasih) kepada Aku, nescaya Aku tambah atas kamu daripada rezeki." (Kedua) niat kita memperbuat dan membaca maulud itu kerana menghormatkan dan memuliakan hari diperanakkan penghulu kita Nabi Muhammad shallaAllahu `alaihi wa sallam yang amat kita kasihi. (Ketiga) kita harap akan syafaat (pertolongan) Nabi kita (kerana bahawasanya) barangsiapa hadir pada majlis maulud Nabi adalah baginya mendapat syafaat (pertolongan) Nabi kita pada Hari Kiamat dan mendapat pahala yang amat besar. Dan barangsiapa memperbuat dan mengadakan membaca maulud Nabi kita walaupun dengan belanja yang sedikit sekalipun nescaya dilepaskan Allah ta`ala daripada bala` bencana dan mendapat syafaat Nabi pada Hari Kiamat. Dan barangsiapa mengeluarkan belanja kerana membaca maulud Nabi kita dengan ikhlas hatinya, apalagi hadir ia pada majlis itu dengan tiada berkata - kata akan hal dunia, nescaya mendapat baginya beribu - ribu kebajikan dan mendapat selamat daripada segala bala`. Dan barangsiapa menghisap rokok atau cerut atau huqqah (syisya / hookah / oga) atau sebagainya di dalam majlis maulud, iaitu pada ketika orang - orang sedang membaca maulud, maka sesungguhnya sia - sialah pahalanya....... Maka bahawasanya roh penghulu kita yang amat suci shallaAllahu `alaihi wa sallam itu hadir ia ketika orang berdiri membaca maulud Nabi, demikian jua hadir ia pada sekalian bacaan kitab Maulud Diba` .......... Adalah yang demikian kehadiran roh penghulu kita Nabi Muhammad shallaAllahu `alaihi wa sallam iaitu kelebihan daripada Allah subhanahu wa ta`ala didatangkanNya orang yang dikehendaki dan Allah ta`ala jua yang mempunyai kelebihan yang amat besar...

Allahu ... Allah, berhubung dengan kehadiran roh Junjungan Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam, tidak perlulah kita berdebat panjang mengenainya, para alim ulama dah bicarakan dengan panjang lebar dalam berbagai karangan mereka. Biarlah mereka sahaja yang membahaskannya, sama ada hadir atau istihdhar, samada betul - betul roh atau hanya shurah atau mitsal dan dan dan sebagainya. Yang kita perlu tahu, bahawa ianya urusan Allah dan mengenai kehadiran tersebut ulama berkhilaf tentang kemungkinannya. Namun, kebanyakan ulama kita menyatakan ianya adalah perkara yang mumkin, harus berlaku mengikut Qudrah Iradah Allah yang Maha Kuasa. Mulla `Ali al-Qari rahimahullah memuatkan dalam kitab beliau Syarah asy-Syifa, juz 2, halaman 117 bahawa hikmah kita dianjurkan mengucapkan salam dengan ucapan: "as-salamu `alaika ayyuhan Nabiyyu wa rahmatullahi wa barakatuh" ketika memasuki rumah kita yang tiada orang di dalamnya,  adalah kerana roh baginda shallaAllahu `alaihi wa sallam hadir pada rumah - rumah orang Islam (yakni pastinya ahli Islam sejati yang baginda Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam sentiasa di hatinya). Mudah - mudahan rumah - rumah kita termasuk. Mau percaya sila, ngak mau terpulang. Faqir hanya menukil apa yang ditulis oleh ulama dan ahli hadis ternama, Mulla `Ali al-Qari Sulthan al-Harawi rahimahullah.

Selanjutnya, apa yang dinukilkan oleh Kiyai Muhammad rahimahullah tentang kehadiran roh Junjungan Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam dalam majlis maulud, ianya telah diperkatakan oleh ulama dan awliya` sebelum beliau. Umpamanya, Habib Abu Bakar `Aththas rahimahullah dalam Tadzkirun Naas pada halaman 182 menyatakan bahawa Quthubul Habib Ahmad bin Hasan al-`Aththas rahimahullah pernah menyatakan bahawa Habib Shaleh bin `Abdullah al-`Aththas rahimahullah menyatakan bahawa: Junjungan Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam hadir dalam setiap mawlid ketika berdiri (yakni ketika mahalul qiyam atau marhaban), melainkan pada Mawlid ad-Diba`ie, maka bahawasanya baginda hadir pada keseluruhan bacaannya (yakni dari awal sehingga akhir bacaan). Namun, Habib Ahmad al-`Aththas menegaskan bahawa kalam Habib Shaleh tersebut bukanlah untuk menunjuk bahawa Mawlid Diba`ie sebagai seafdhal - afdhal kitab mawlid, keafdhalan itu tertakluk atau berkisar kepada kehadiran Junjungan Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam. Habib Shaleh mungkin dikasyafkan Allah sehingga dapat melihat "kehadiran" Junjungan Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam dalam majlis - majlis mawlid beliau adalah seperti yang dinyatakan, sehingga timbul kalam beliau tersebut. Namun, hakikatnya sebaik - baik majlis mawlid adalah yang di"hadiri" atau disaksikan atau dipersaksikan oleh Junjungan Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam secara rohani atau setidak - tidaknya majlis di mana Junjungan Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam benar - benar diistihdharkan oleh para pencinta dek kecintaan yang mendalam kepada baginda shallaAllahu `alaihi wa sallam, tanpa mengira kitab yang dibaca. Samalah seperti shalawat, seafdhal - afdhal shalawat adalah shalawat yang diucapkan dengan hati yang hadir, khusyuk, penuh keikhlasan dan kecintaan kepada Junjungan shallaAllahu `alaihi wa sallam, baik Shalawat Ibrahimiyyah atau apa jua shighahnya.

Disebut juga dalam al-Mawa`idzul Jaliyyah pada halaman 79, bahawa Habib Ali bin Muhammad al-Habsyi rahimahullah, pengarang Simthud Durar, menyatakan: Perhimpunan mawlid adalah penghimpunan yang disaksikan (jam`iyyah masyhudah). Tiada keraguan yang al-Habib shallaAllahu `alaihi wa sallam hadir dan ahlul bashair (yakni para wali yang suci bersih hati mereka sehingga tajam matahati atau pandangan batin mereka) boleh melihat baginda dengan penglihatan mata. Tanda kehadiran baginda adalah turunnya sakinah, waqar, haibah, jalal dan `adzamah ke atas mereka yang hadir dalam perhimpunan tersebut.

Allahu ... Allah, begitulah sekelumit yang hendak faqir tulis. Terpulanglah kepada pembaca, tiada bagi faqir melainkan menukilkan apa yang termaktub dalam karangan para ulama silam sahaja. Dan sesiapa yang percaya, janganlah terover perasan yang roh Junjungan shallaAllahu `alaihi wa sallam pasti mesti wajib hadir dalam majlis - majlis maulud kita. Itu mungkin majlisnya para awliya dan ulama yang telah tenggelam dalam mahabbatur rasul. Majlis kita belum tentu kot, jangan - jangan malaikat rahmat pun segan nak mampir, kotlah. Apa - apa pun, baikkan sangkaan dan harapan. Semoga segala - segala kabul hendaknya.

Isnin, Ogos 15, 2022

Kiyai Muhammad Singapura

Faqir sesungguhnya percaya, kebanyakan kita kenal atau setidak - tidaknya  pernah melihat sebuah kitab legend yang antara kandungannya adalah Mawlid Barzanji, Burdah dan `Aqidatul `Awam. Kitab ini biasanya dipanggil Kitab Barzanji @ Buku Barzanji @ Syaraful Anam. Di tempat faqir ianya biasa dipanggil sebagai Buku Jikir @ Kitab Jikir. Jodol sebenar kitab ini yang tercatat di kulitnya adalah Majmu'ah Maulud Syarafil Anam. Dari kitab inilah faqir mula mendengar nama Muhammad bin Haji Muhammad Said bin Haji Arsyad rahimahullah kerana beliaulah yang menulis pengantar Majmu`ah tersebut  dan terlibat dalam mentashih serta mencetaknya. Majmu`ah yang berkat ini sehingga sekarang masih dicetak dan tetap beredar serta mudah dicari di kedai - kedai buku di tempat kita. Bahkan sehingga kini masyarakat kita masih membelek kitab ini, setidak -tidaknya dalam kenduri - kendara nikah - kahwin dan majlis - majlis mawlid dan marhaban.

Kiyai Muhammad bin Haji Muhammad Said bin Haji Arsyad rahimahullah adalah salah seorang ulama yang berjasa besar berdakwah dan mengembangkan pengajian Islam di Singapura. Beliau berasal dari Kauman, Semarang, Indonesia, dilahirkan sekitar tahun 1879. Beliau dibawa oleh ayahandanya, juga seorang kiyai yang pernah menjadi santri Kiyai Shaleh Darat dan mengaji di Mekah, Kiyai Haji Muhammad Said, ke Singapura. Di Singapura, KH Muhammad Said mengajar dan menubuhkan sebuah madrasah yang dinamakan Madrasah ash-Shibyan al-Muhammadiyyah sekitar tahun 1905, Madrasah ini, walaupun masih bercirikan sistem pondok / pesantren, dianggap sebagai madrasah rasmi yang pertama di Singapura. Selain daripada itu, beliau juga membuka membuka sebuah percetakan yang dinamakan Mathba`ah Haji Muhammad Said bin Haji Arsyad untuk mencetak buku - buku dan risalah Islami,  demi penyebaran dakwah dan ilmu. Almarhum Ustaz Wan Muhammad Shaghir menyebut Kiyai Haji Muhammad Said sebagai antara tiga tokoh litografi Melayu - Islam. Kiyai Muhammad mengabdikan dirinya untuk agama dengan membantu kerja - kerja dakwah dan penyebaran ilmu ayahanda beliau tersebut. Setelah KH Muhammad Said meninggal dunia dalam tahun 1924, maka kerja - kerja dakwah beliau diteruskan oleh anaknya, Kiyai Muhammad.

Dalam tahun 1923, Kiyai Muhammad memindahkan pusat dakwah dan pengajian beliau ke sebuah surau yang beliau dirikan di Lorong Engku Aman (Geylang Serai). Surau yang dikenali sebagai Surau Bunga Raya, akhirnya menjadi pusat dakwah beliau setelah kewafatan ayahandanya. Kiyai Muhammad juga menabur bakti dengan menjadi guru di Madrasah Aljuneid al-Islamiah dari tahun 1945 sehingga 1970. Di antara murid - murid yang pernah mengaji dengan beliau adalah mantan Mufti Negara Singapura, Fadhilatus Sayyid Isa BinSemait, Habib Ahmad BinSemait, Habib Abdillah al-Jufri, Ustaz Peer Mohamed dan ramai lagi. Kiyai Muhammad bin KH Muhammad Said rahimahullah tutup usia pada tahun 1971 dalam usia 92 tahun. Mudah - mudahan Allah mengampuni segala salah khilaf beliau dan merahmatinya sentiasa.

Almarhum Kiyai Muhammad juga ada meninggalkan beberapa tulisan atau risalah, antaranya Hadis Arba`in dan Kisah Iblis Menghadap Nabi Muhammad shallaAllahu `alaihi wa sallam. Tidak dinafikan bahawa dalam tulisan - tulisan beliau tersebut ada mengandungi riwayat - riwayat yang bermasalah hatta hadis - hadis yang dihukum maudhu oleh muhadditsin. Meminjam kata - kata almarhum Ustaz Wan Mohd Shaghir dalam tulisan beliau mengenai kitab Hadis Arba`in yang dimuatkan dalam Ensiklopedia Naskhah Klasik, halaman 258, antaranya sebagai berikut:- ....Muhammad bin Muhammad Sa`id mengumpulkan hadis yang dimuat dalam Kitab Hadis Arba`innya bukan bertujuan memberi pelajaran tentang kategori sesuatu hadis itu sohih, hasan, dhaif, maudhu` dan istilah - istilah lainnya, tetapi lebih kepada hanya sebagai catatan peribadinya dan mengambil pelajaran baik pada apa saja yang terdapat dalam lafaz yang dikatakan orang sebagai hadis itu. Muhammad bin Muhammad Sa`id tidak mempedulikan pertikaian pendapat terutama penilaian ahli hadis, walau pun mereka menilainya dha`if, bahkan maudhu` (palsu) sekali pun.......

Maka, ketika membaca karya - karya beliau tersebut, janganlah terus menisbahkan segala riwayat dan hikayat di dalamnya sebagai sahih dari neraca ilmu hadis. Apatahlah jika tulisan beliau tersebut dengan jelas menggunakan jodol "Kisah" atau "Hikayat" yang semestinya dianggap sekadar cerita, maka janganlah diangkat menjadi riwayat yang pasti. Namun, janganlah pula menolak terus ajaran atau hikmah yang mungkin terkandung dalam riwayat - hikayat tersebut, kerana walaupun sesuatu riwayat itu palsu, tidaklah bererti kandungan atau matannya juga palsu atau mesti tidak benar atau mesti karut - marut dan bercanggah dengan ajaran Junjungan Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam. Kita bersikaplah adil dan amanah, kita katakanlah, seumpama:- "Menurut para ahli hadis ini riwayatnya palsu, yakni bukan sabdaan Junjungan shallaAllahu `alaihi wa sallam, tetapi isi kandungannya tidaklah bercanggah dengan ajaran Islam". Namun, tidak dinafikan sesetengah pihak bersikap tegas sehingga segala riwayat yang mereka yakini palsu akan mereka campak tepi sekali dengan matannya, tanpa mengira samadanya ada kebenaran dalam matan tersebut atau ianya termaktub dalam kitab - kitab yang sudah masyhur dalam kalangan umat Islam. Dari satu segi, perbuatan tersebut tidaklah juga dapat disalahkan, tetapi jika kita diperbolehkan untuk mengambil hikmah pengajaran daripada kata - kata yang bukan hadis, hatta daripada tokoh yang bukan Islam seperti Ghandi sekalipun, maka kenapa dalam masalah riwayat - hikayat yang bermasalah yang dimuatkan dalam karya ulama Islam, hal serupa tidak diaplikasikan. Dalam situasi sedemikian, wajar dan patut, bahkan wajib, jangan dinisbahkan segala riwayat - hikayat tersebut kepada Junjungan Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam, agar kita selamat dari ancaman berdusta atas nama Junjungan Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam. Namun, bersikap adillah dengan mengiktiraf dan menerima mana - mana kebenaran yang mungkin terselit dalam isi riwayat - hikayat tersebut. Dan jagalah akhlak dan adab kita kepada alim ulama tersebut.

Bagi pengarang seperti Kiyai Muhammad, yang telah bermudah - mudah menisbahkan sesuatu sebagai hadis atau sabdaan Junjungan Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam, maka mungkin beliau kurang periksa atau kurang berkeahlian dalam bidang sanad dan riwayat atau tersilap dalam memahami dan menukil. Lazimnya, mereka hanya hanya menukil dan menterjemah riwayat - hikayat tersebut dari sumber - sumber berbahasa Arab tanpa mentahkiknya. Seumpama tulisan Kiyai Muhammad, Kisah Iblis Menghadap Nabi Muhammad, kuat sangkaan faqir ianya adalah terjemahan dan saduran dari kisah - kisah hikayat Iblis yang berbagai karangan ulama terdahulu. Kisah atau hikayat Iblis mengadap Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam sememangnya telah ada dalam khazanah ulama terdahulu dengan berbagai versi. Dalam disiplin riwayat ilmu hadis, hikayat - hikayat ini ianya memang bermasalah jika dikatakan peristiwa sebagaimana dihikayatkan itu benar - benar berlaku sedemikian, yakni terjadi sebagaimana dihikayatkan dalam hikayat atau kisah tersebut. Antara ulama yang dikatakan ada menulis kisah / hikayat sebegini adalah Imam Ibnu `Arabi al-Hatimi dengan karya beliau Hikayatu Iblis fi ma akhbara bihin Nabiy shallaAllahu `alaihi wa sallam. Hikayat Iblis karya Ibnu Arabi ini juga masih beredar dan biasanya ditulis di akhir kitab beliau Syajaratul Kawn. Dan ketahuilah bahawa Imam Ibnu `Arabi ini tokoh yang kontroversi, sebahagian besar ulama kita Ahlis Sunnah wal Jama`ah mengangkat beliau sebagai tokoh ulama dan wali besar, manakala segelintir menghukumkan beliau sebagai seorang zindik. Faqir tidak tahu, mungkin satu ketika dahulu, ada ulama yang menutup karya mereka dengan berhikayat, agar pembaca kembali santai setelah penat berenang dalam lautan ilmu. Kiyai Agung Sayyidisy Syaikh Muhammad as-Suhaimi rahimahullah juga pernah berbuat sedemikian, di mana kitab beliau Ma'dinil Asrar diakhiri dengan memungut Hikayat Iblis versi Ibnu `Arabi tersebut.

Kaedah pengajaran atau penerapan nilai tertentu dengan menggunakan kisah - kisah teladan atau hikayat - hikayat, walaupun hanya fiktif, imaginasi atau fantasi, telah lama digunapakai dalam proses pendidikan. Contohnya, cerita - cerita dongeng, telah digunakan sejak dahulu lagi dalam pendidikan anak - anak. Sungguhpun sekadar dongeng, tapi ada pengajaran dan hikmah yang boleh dipelajari. Cerita - cerita dongeng inilah yang kita bacakan kepada anak - anak kecil. Bahkan sesetengah ustaz zaman ini juga kerap memotivasikan pendengarnya dengan membawa kisah - kisah dongeng haiwan, kisah katak, kisah kancil dan yang sewaktu dengannya. Jika dikatakan bahawa cerita - cerita ini berbahaya dan mempunyai dampak negatif, maka kenapa kita tidak bermasalah ianya dibaca dan diceritakan kepada anak - anak kecil yang akal fikirannya baru nak berkembang? Tidakkah kita takut ianya mempengaruhi pemikiran mereka? Tidakkah kita takut anak - anak kecil ini akan membesar dengan kepercayaan bahawa sang kancil memang bijak atau cerita - cerita dongeng itu benar? Ketika kita membaca cerita - cerita tersebut kepada anak - anak, adakah kita berbohong kepada mereka? Adakah kita akan membakar segala buku - buku cerita dongeng? ....bla ....bla... jenuhlah nak tulis. 

Begitulah juga sesetengah ulama dan pendakwah terdahulu dan juga sekarang, mereka melakukan dakwah untuk menyebarkan makruf dengan berbagai cara. Maka terhasillah selain karya - karya ilmiah, karya - karya yang berbentuk hikayat atau kisah antah berantah. Dalam kisah - kisah hikayat, ajaran positif yang hendak disampaikan dibalut dengan riwayat yang pelbagai hatta yang bermasalah atau dengan menonjolkan hero - hero fiktif yang disadur daripada tokoh - tokoh Islam, maka lahirlah watak Amir Hamzah, Muhammad Hanafiah, Umar Umaiyah dan sebagainya. Bahkan dikatakan ketika Portugis menyerang Melaka, maka dititahkanlah agar dibaca Hikayat Amir Hamzah untuk membakar semangat para prajurit dan hulubalang berjuang melawan Portugis. Tulisan Kiyai Muhammad, Kisah Iblis Menghadap Nabi Muhammad, dari tajuknya yang menggunakan kalimah "Kisah" sudah cukup menyatakan bahawa ianya adalah karya hikayat dan bukannya riwayat. Ianya adalah tulisan Shahibul Hikayat dan bukannya Shahibur Riwayat. Hikayat ini bukanlah berasal daripada beliau, tetapi terjemahan dan saduran daripada berbagai karya - karya berbahasa Arab yang tidak jelas pengarang - pengarangnya. Membaca hikayat sebegini adalah sekadar berkisah atau bercerita, mengambil ajaran positif untuk dijadikan teladan dan yang negatif dijadikan sempadan. Kaedah berhikayat seperti ini masih digunakan seperti dalam novel fiksyen sejarah Islam, umpamanya. Sekarang kita mungkin sudah tidak perlu untuk berhikayat sebegini, bahkan tidak selesa dengan pendekatan sedemikian, apatah lagi jika ianya mengatasnamakan manusia teragung, Junjungan Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam. Namun, di satu sudut kita perlu belajarlah menghargai pendahulu - pendahulu kita, jangan hanya tahu menghukum tetapi tidak tahu menghargai. Kita tidak berhadapan dan mengalami apa yang mereka hadapi dan alami. Masyarakat mereka mungkin tidak sama dengan masyarakat kita. Bersikap adil dan amanahlah sentiasa. Bagi diri faqir yang dhaif, faqir sungguh - sungguh tidak gemar dengan kisah - kisah berhikayat dengan mengataskan nama Junjungan Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam kerana khuatir termasuk dalam pendustaan atas nama baginda, jika yang disampaikan itu benar - benar dusta. Faqir juga tidak gemar dengan tulisan - tulisan berbentuk novel fiksyen sejarah Islam kerana ia mengatasnamakan tokoh - tokoh Islam. Faqir khuatir pembacanya tidak berupaya untuk menyaring mana yang fakta dan mana yang sekadar serbuk perasa untuk menyedapkan sahaja, faqir khuatir bercampurbaurnya fakta dan auta. Apa - apa pun semoga Allah sentiasa merahmati kita semua dan menjadikan kita tetap istiqamah atas jalannya orang - orang yang memperolehi kenikmatan yang abadi. Sebagai penutup, faqir terjemah dan nukilkan satu hikayat yang disebut dalam Hikayat Iblis versi Ibnu `Arabi pada halaman 31 dan pungutan Kiyai Agung dalam Ma'dinil Asrar pada halaman 176 sebagai berikut:-  "..... Dan bahawasanya ada bagiku (yakni Iblis) satu anak yang aku namakan dia Kahilan (Si Pencelak) yang kerjanya mencelak mata - mata manusia dalam majlis - majlis ulama dan ketika khatib membaca khutbah Jumaat, sehingga mereka tertidur dari mendengar kalam pengajaran ulama, lalu mereka tidak memperolehi ganjaran pahala ..." Harap - harap jangan ada yang tertidur ketika membaca blog faqir, takut - takut terkena celak si Kahil.....Jangan marah, santai aja, hanya sekadar berhikayat.

Isnin, Ogos 08, 2022

Bid`ah Bubur `Asyura

Mawlana Syaikh Daud al-Fathani rahimahullah menukilkan hikayat tentang asal muasal sunnah (baca: tradisi) bubur `Asyura dalam kitab beliau, Jam`ul Fawaaid wa Jawahirul Qalaaid pada halaman 132, sebagai berikut:-  ....(Dan kata) Syaikh Ajhuri, dan aku lihat bagi orang yang lain nasnya, bahawasanya Nuh tatkala turun daripada safinah dan orang yang sertanya mengadu kepadanya dengan lapar dan telah habis segala bekal mereka itu. Maka menyuruh akan mereka itu bahawa mendatangkan dengan barang yang lebih daripada bekal mereka itu. Maka mendatangkan ini dengan segenggam gandum, dan ini dengan kacang adas, dan ini dengan kacang ful, dan ini dengan setapak tangan kacang hummush, hingga sampai tujuh biji - bijian bagai jenisnya, dan adalah ia pada hari `Asyura. Maka mengucap Nabi Nuh dengan basmallah dan dimasakkan dia, makan sekaliannya dan kenyang mereka itu dengan berkat Sayyidina Nuh. Firman Allah ......"Dikatakan : Hai Nuh, turunlah olehmu dengan sejahtera daripada Kami, dan berkat atasmu dan atas umam sertamu dan umam yang Kami sukakan mereka itu."(surah Hud: 48). (Dan) adalah demikian itu pertama - tama makanan yang dimasakkan di atas muka bumi kemudian daripada taufan. Maka mengambil segala manusia akan dia  sunnah (baca: tradisi / adat kebiasaan manusia, jangan difahamkan sebagai sunnah Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam) pada hari `Asyura`. Dan adalah padanya itu pahala yang amat besar bagi orang yang mengerjakan yang demikian itu dan memberi makan segala fuqara` dan masakin. Maka dinamakan Bubur `Asyura` dan jika bid`ah sekalipun, bid`ah hasanah dengan qasad itu.....

Allahu ... Allah, menurut Mawlana Syaikh Daud rahimahullah, berpandukan ulama terdahulu, bahawa memasak bubur `Asyura adalah satu tradisi yang telah dilakukan oleh umat manusia sejak zaman dahulu kala lagi. Dan jika kita melakukannya dengan niat bersedekah atau memberi makan orang, maka ianya adalah berpahala, walaupun perbuatan memasak bubur atau bersedekah dengan bubur tersebut pada hari `Asyura` tidak ada ditunjukkan dalam nas hadis Junjungan Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam. Jika pun dikatakan sebagai bid`ah, maka ianya adalah bid`ah hasanah, kerana ianya bukan satu dosa maksiat dan tidak ada tegahan untuk masak bubur dan bersedekah dengannya pada bila - bila masa, termasuklah pada hari `Asyura. Sebaliknya, ada anjuran dan galakan umum daripada baginda shallaAllahu `alaihi wa sallam untuk memberi orang makan (ith`amuth tha`am) dan bersedekah. Maka dapat kita kompromikan apa yang disebut oleh Syaikh Zainuddin al-Malibari rahimahullah dalam Irsyadul Ibaad pada halaman 50 yang menyenaraikan perbuatan orang memasak makanan dengan biji-bijian (bubur `Asyura) sebagai bid`ah madzmumah yang sewajarnya ditinggalkan, adalah ditanggung atas makna seolah - olah menyuruh atau menganjurkan atau menggalakkan orang agar tidak berpuasa pada hari `Asyura. Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam menganjurkan manusia berpuasa, kamu pula dok suruh orang makan bubur, makan bubur, jangan puasa. Atau kita beriktikad bahawa Hari `Asyura`, sunnat atau wajib syarie secara khusus untuk masak bubur `Asyura, sedangkan yang disyariatkan dan disunnatkan adalah berpuasa padanya. Ini perbuatan bid`ah yang menyalahi sunnah Junjungan shallaAllahu `alaihi wa sallam. Justru perbuatan sedemikianlah yang menjadikan ia berubah, dari bid`ah hasanah menjadi bid`ah madzmumah atau bid`ah qabihah munkarah, sebagaimana yang dikatakan oleh Syaikh Zainuddin tadi kerana jelas menyalahi sunnah baginda shallaAllahu `alaihi wa sallam untuk berpuasa. Inilah bagi faqir, antara ihtimal daripada kalam Syaikh Zainuddin Shahibul Irsyad rahimahullah. Oleh kerana itu, tradisi manusia untuk masak bubur atau juadah yang dinamakan sebagai Bubur `Asyura`, tetap berjalan terus. Yang tak baca Irsyadul `Ibad pun buat, yang baca hatta yang mengajarkan Irsyadul `Ibad pun buat, tanpa banyak songel. Kenyataannya juga bahawa tradisi ini bukan sahaja dilakukan oleh masyarakat Islam Nusantara, masyarakat Islam yang di Afrika, di Mesir, di Turki dan lain - lain turut melakukannya. Jadi nak kutuk orang Kelantan sahaja yang buat adalah tidak tepat. 

Akhirul kalam, faqir nukilkan tulisan Prof. Dr. Huseyin Algul, seorang cendiakawan Islam Turki dan professor Sejarah Islam, dalam buku beliau yang diterjemahkan dengan jodol The Blessed Days and Nights of the Islamic Year, pada halaman 79, antara lain menyatakan sebagai berikut: 
        ASHURA PUDDING. According to reports, upon being saved from the flood, the believers opened their provisions and mixed together wheat kernels, garbanzo beans, and other dried goods, cooked them all together, with the resulting pudding being so bountiful that everyone was able to eat their fill.
        Even though many thousands of years have passed since that day, believers make a pudding known as ashura on this day in memory of this event. It is traditional to make this pudding and offer it to one's family and friends, and to offer it to neighbors,  this is something that has become extremely common nowadays......

Begitulah hikayat kisah bubur Asyura dan perlu diingatkan bahawa tidak ada resipi khas atau baku untuk bubur Asyura, masaklah apa adanya, bubur lambuk boleh, bubur ayam jalan, campur kacang - kacang mantap, yang penting sedap. Nak ganjaran lebih, sedekahkanlah untuk orang berbuka puasa, pahala sedekah dapat, pahala seumpama pahala puasa dapat, pahala menggembirakan dan bersilatur rahim pun dapat. Rabbana taqabbal minna shiyamana wa jami`a `ibaadatina.

Doa Bubur `Asyura
(Mawlana Syaikh Daud dalam "Kaifiat Khatam al-Quran")


Khamis, Ogos 04, 2022

Baja Harta Berkat

Hidup di dunia ini, kita perlu kepada makan, minum, pakaian, tempat tinggal dan seumpamanya. Maka kita perlukan harta sebagai sebab bagi menampung semua itu. Dalam perkara harta, yang penting adalah berkat bukannya banyak. Maka orang - orang bijak berpesan: "Jangan cari yang banyak, tapi cari yang berkat". Harta yang berkat akan menjadi wasilah sebagai bekalan dan amal akhirat. Sedangkan yang tidak berkat akan menjahanamkan kita. Yang berkat akan menumbuhkan sifat tawadhu`, qana`ah, zuhud, syukur dan lain - lain sifat mahmudah, sedangkan yang tidak berkat akan menumbuhkan sifat sombong takabbur, tamak haloba dan lain - lain madzmumah. Mudah - mudahan hidup ini sentiasa diberkati Allah yang Maha Esa.

Begitu pentingnya keberkatan dalam urusan rezeki, maka sentiasa kita mendengar, diajar, berdoa, agar diberikan rezeki yang berkat. Faqir kongsikan satu amalan yang ada riwayatnya, walaupun dhaif. Sungguhpun begitu, namun lafaz amalan ini tidak sekali - kali menyalahi akidah, syariat dan akhlak Islam. Tambahan lagi, para alim ulama telah menukilkan dan menyebarkan riwayat ini dalam karangan - karangan mereka, di antaranya, Imam Ibnul Atsir, Imam ad-Dailami dan Imam Abu Nu`aim. Maka, tidaklah bermasalah untuk diamalkan, bahkan sebahagian ulama  menamakan doa ini sebagai du`a li namaa-il maal, yakni doa untuk menumbuh, menyubur atau mengembang harta, dengan kata lain Doa Baja Harta. Semoga ada keberkatannya, biar tambah harta tambah berkat. Imam Abu Nu`aim rahimahullah meriwayatkan dalam Ma'rifatush Shahabah pada halaman 438 - 439 daripada Badr bin `Abdullah al-Muzani sebagai berikut:- 
Aku berkata kepada Junjungan Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam: "Wahai Rasulullah, bahawasanya aku lelaki dari kabilah Muhaarib atau seorang muhaaraf (yakni, kata lawan bagi mubarak (orang yang diberkati), maka al-muhaaraf adalah orang yang kurang berkatnya, selalu rugi atau malang nasibnya), tidak berkembang bagiku harta." Maka Junjungan Rasulullah shallaAllahu `alaihi wa sallam: "Wahai Badr bin Abdullah, ucapkanlah ketika engkau berada di waktu pagi: {Bismillah atas diriku, Bismillah atas keluarga dan hartaku. Ya Allah, jadikanlah aku redha dengan apa yang telah Engkau tetapkan bagiku, `afiatkan (yakni selamat sejahterakan) aku dengan apa yang telah Engkau anugerahkan, sehingga aku tidak suka untuk mendesak apa yang Engkau lambatkan dan tidak pula membelakangkan (yakni membiarkan atau meremehkan) apa yang telah Engkau segerakan.)} Maka aku mengamalkannya, lalu Allah menyuburkan hartaku, melunaskan hutangku, mengkayakan (yakni mencukupkan) aku dan ahli keluargaku."

Allahu ... Allah, mudah - mudahan Allah ar-Razzaq akan meluaskan lagi rezeki kita dengan pertambahan harta dan seumpamanya. Namun, yang terpenting tambah berkat bukan sekadar tambah banyak. Ingat akan pesanan Junjungan shallaAllahu `alaihi wa sallam sebagaimana yang diriwayatkan oleh asy-Syaikhan, bahawasanya: "Bukanlah kekayaan itu dengan banyaknya harta, akan tetapi kekayaan sejati itu adalah kekayaan hati / jiwa." Hati yang kaya, iaitu yang penuh dengan keimanan dan keyakinan, dipenuhi syukur, qana`ah, zuhud dan redha. Hati yang luas lapang, tanpa bingung dan keluh kesah, tanpa khuatir dan takut, selain nasibnya di akhirat nanti, sehingga tumpuan dan fikirannya hanya memikirkan kebahagiaan akhirat yang hakiki dan bukan semata kebahagiaan dunia yang bakal berakhir. Imam Ibnu Hajar al-`Asqalani rahimahullahi dalam mensyarahkan hadis ini telah menukil akan perkataan Imam Ibnu Baththal rahimahullah yang bererti: Hadis ini menunjukkan bahawa bukanlah hakikat kaya itu banyaknya harta, kerana betapa ramai orang yang diluaskan Allah baginya harta namun tidak dicukupkan dengan apa yang telah dianugerahkan kepadanya, sehingga dia bertungkus lumus bersungguh - sungguh mencari tambahan harta lagi tanpa peduli dari mana datangnya (yakni tanpa mengira hukum halal - haramnya lagi).... Benar bagai dikata, dapat kita saksikan sendiri di zaman ini, lahir begitu ramai mat - mat sakau, bukannya Mat Kilau, sang pahlawan. Harta rakyat disakau, duit pencen disakau, hatta duit orang nak pi haji pun kena sakau ... Allah... apa nak jadi... lahabau sungguh. Semoga kita diberkati Allah sentiasa dalam segala hal dan urusan, juga diselamatkan kita daripada disakau oleh para mat sakau. Negara dan umat ini juga hendaknya.

Isnin, Ogos 01, 2022

Talqin Mayyit - Hanafi

Amalan membaca talqin seusai pengkebumian jenazah, bukan sahaja diamalkan oleh kita di Nusantara yang bermazhab Syafie. Umat Islam di berbagai tempat dan yang bermazhab lain juga melakukannya. Maka tohmahan bahawa hanya orang Melayu sahaja bertalqin di kubur adalah tohmahan keji dan pendustaan yang nyata. Sebenarnya yang jelas - jelas menganjurkan membaca talqin bagi si mati setelah dikubur adalah Mazhab Syafie dan Mazhab Hanbali, sungguh pun begitu, sebahagian ulama Hanafi juga memandang baik untuk mentalqinkan mayyit setelah dikubur. Dinyatakan dalam kitab al-Jawharatun Nayyirah karangan Imam Abu Bakar bin `Ali bin Muhammad al-Haddad az-Zabidi, ulama Hanafi yang wafat tahun 800H, kitab ini merupakan syarah bagi Mukhtashar al-Quduri, pada halaman 252 dalam juz pertama dinyatakan, antaranya, sebagai berikut: ".... Dan adapun membaca talqin bagi mayyit di kubur, maka ianya adalah disyariatkan di sisi Ahlis Sunnah, kerana Allah ta`ala menghidupkannya di dalam kubur (yakni mayyit ketika di dalam kubur dihidupkan semula oleh Allah dengan hayat barzakhiyyah). Rupa atau gambaran bentuk (talqin tersebut) bahawa diucapkan: "Wahai Fulan anak Fulan, wahai hamba Allah anak hamba Allah, ingat akan agamamu yang engkau telah hidup atasnya, engkau telah meredhai Allah sebagai Tuhan, Islam sebagai agama dan Muhammad sebagai nabi.".....

Juga dalam kitab Tabyinul Haqaaiq syarh Kanzid Daqaaiq karangan Imam az-Zayla`i al-Hanafi (w. 743H) serta hasyiahnya karya Imam Syihabuddin Ahmad bin Muhammad asy-Syilbiy (w.1021H), kedua - duanya merupakan kalangan pembesar ulama Mazhab Hanafi, dinyatakan pada halaman 334, juz pertama, antaranya, sebagai berikut:-  [Matan Tabyin] ....Dan ulama ikhtilaf mengenai hukum melakukan talqin selepas kematian, segelintir ulama menyuruhnya sebagaimana menurut zahir apa yang telah kami riwayatkan tadi (yakni zahir hadis "Laqqinu mawtakum"), segelintir tidak menyuruhnya, manakala segelintir pula tidak menyuruh dan tidak pula menegahnya....... [Hasyiah Tabyin] .....(ditalqinkan sebagaimana zahir apa yang diriwayatkan .......) (pendapat) ini adalah pendapat Ahlis Sunnah dan menyalahi pendapat Muktazilah, intaha Kamal. Telah berkata Qadhi Khan, bahawa talqin tersebut tidak bermanfaat dan tidak juga mendatangkan mudarat, maka hukumnya harus (yakni boleh dilakukan atau ditinggalkan), dinyatakan dalam al-Haqaaiq. Telah berkata Shahibul Ghiyats: "Aku telah mendengar guruku, Qadhi Khan, menceritakan daripada Dzahiruddin al-Marghiyanaani bahawasanya beliau mentalqinkan sejumlah imam (yakni ulama) selepas pengkebumian. Beliau juga telah berwasiat / berpesan kepadaku agar beliau ditalqinkan, maka aku talqinkan beliau setelah dikebumikan........... Imam az-Zahid ash-Shaffaar menyebut dalam kitab al-Talkhish bahawasanya talqin orang mati adalah disyariatkan (masyru`) kerana dikembalikan kepadanya rohnya dan akalnya sehingga dia dapat memahami apa yang ditalqinkan .......Bentuk ucapan talqin adalah orang yang melakukan talqin itu berkata: "Wahai Fulan anak Fulan, ingat akan agamamu yang telah engkau anuti. Engkau telah meredhai Allah sebagai Tuhan, Islam sebagai agama dan Muhammad shallaAllahu `alaihi wa sallam sebagai nabi." Di sisi Muktazilah, talqin selepas kematian adalah tidak berfaedah kerana hidupnya orang mati di dalam kubur itu adalah sesuatu yang mustahil (yakni Muktazilah berpendapat bahawa tidak ada hayat barzakhiyyah dalam kubur sehingga azab dan nikmat kubur juga tidak ada. Ini berbeza dengan pandangan Ahlis Sunnah wal Jama`ah)....

Allahu .... Allah, rupa - rupanya antara hikmah amalan mentalqinkan mayyit ini adalah boleh menjadi pembeza antara Ahlis Sunnah dan Muktazilah yang sesat. Mudah - mudahan Allah tetapkan kita atas jalan kebenaran, Ahlis Sunnah wal Jama`ah yang bermazhab. Sebagai penutup, pada 9 Rejab 1443H bersamaan 10 Februari 2022, seorang ulama besar dan kenamaan di Baghdad telah kembali ke rahmatullah. Beliau dikenali sebagai tokoh besar Mazhab Hanafi sehingga digelar sebagai Syaikhul Hanafiyyah di Baghdad. Beliau adalah almarhum Dr. Muhammad Mahrus bin Abdul Lathif al-Mudarris al-A'dzami. Telah viral selepas jenazah beliau dimakamkan, Dr. Muhammad Yaasin ar-Rawi, pimpinan Rabithah Ulama Iraq, telah membacakan talqin ke atas beliau. Oleh itu, sudah - sudahlah mentohmah hanya orang Melayu  atau orang kampung aku sahaja yang membaca talqin di kubur.

Talqin Buat Syaikh Muhd Mahrus al-Hanafi