Tuan Guru Haji Abu Bakar Palestin (1908 - 1998) dilahirkan di Kampung Gandai, Ayer Hitam, Mukim Jerlun, Daerah Kubang Pasu, Kedah Darul Aman. Dalam tahun 1924, beliau dihantar ke Makkah untuk menyambung pengajiannya. Beliau duduk belajar dengan para ulama di sana sehingga tahun 1944. Dalam tempoh 20 tahun tersebut, beliau telah berguru dan menadah kitab dengan ramai ulama di sana daripada berbagai bangsa, bahkan beliau sendiri pernah menyebut yang jumlah gurunya di sana tidak kurang dari 40 orang. Kemudian beliau merantau mencari penghidupan dan pengalaman ke Palestin dan duduk di sana selama 3 tahun. Dalam tahun 1947, beliau mengambil keputusan untuk kembali ke tanahair. Beliau terkenal sebagai seorang yang amat tawadhu dan tidak suka menunjuk-nunjuk kepandaiannya. Diceritakan bahawa sekembalinya ke tanahair, ayahanda beliau, Haji Hanafiah, agak khuatir kerana tidak nampak kealiman pada diri beliau. Pada satu ketika, tok guru Pondok Ayer Hitam ketika itu, Tuan Guru Haji Idris telah memanggil dan menguji Syaikh Abu Bakar Palestin. Setelah pertemuan tersebut, Tuan Guru Haji Idris berjumpa dengan Haji Hanafiah dan memberitahu bahawa anaknya tersebut memiliki lautan ilmu. Bukti lain atas kealiman beliau adalah tok-tok guru daripada kalangan ulama Nusantara di Makkah pernah menghantar karya-karya mereka kepada Haji Abu Baka untuk ditashihkan. Di antara ulama yang pernah berbuat sedemikian adalah Syaikh Abdul Qadir al-Mandili yang masyhur ilmunya di Makkah.
Syaikh Abu Bakar Palestin meninggal dunia pada 6 Oktober 1998. Selain meninggalkan anak keturunan dan murid-murid yang ramai, Tok Guru Haji Bakar turut meninggalkan karya tulis yang banyak sehingga dianggarkan berjumlah 40 buah karya, kecil besar, dalam berbagai disiplin ilmu seperti tawhid, fiqh, tasawwuf, politik dan sejarah. Di antara karamah beliau yang dizahirkan Allah adalah ketika jenazah beliau diusung ke tanah perkuburan, turun hujan dengan lebatnya. Namun yang pelik, lubang kubur beliau tetap kering seolah-olah tiada hujan. Mudah-mudahan Allah merahmati sentiasa Tok Guru Haji Bakar Palestin dan menempatkan beliau bersama para anbiya` dan awliya`Nya.
Berbalik kepada karya beliau
Nurush Shofa, karya ini walau pun ditulis dengan bahasa yang cukup bersahaja dan ringkas, namun sarat berisikan ilmu dan sirah Junjungan
shallaAllahu `alaihi wa sallam. Kewibawaan Syaikh Abu Bakar dalam bidang sirah dan sejarah telah diakui umum oleh ulama yang sezaman dengannya seperti Tuan Guru Haji Zakaria Kubang Jawi, Tuan Guru Haji Ahmad Sungai Baru dan lain - lain. Syaikh Abu Bakar memulakan karangannya tersebut dengan menyatakan bahawa antara tujuan beliau menulis mengenai sirah Junjungan
shallaAllahu `alaihi wa sallam adalah untuk meraih syafaat baginda. Beliau mentamsilkan upaya menulis sirah baginda
shallaAllahu `alaihi wa sallam sebagai ibarat mencari ikhtiar bersahabat dengan baginda
shallaAllahu `alaihi wa sallam melalui mata kalam atau pena. Pada mukaddimahnya, Tok Guru menyatakan dengan penuh rendah diri sebagai berikut:-
Adapun kemudian dari itu, maka adalah ilmu tarikh yang diceritakan perihal-perihal yang berkenaan dengan Junjungan kita shallaAllahu `alaihi wa sallam dari mula beranaknya sampai wafatnya, setengah daripada ilmu yang dituntuti mengertinya. Kerana ia ilmu yang membukakan mata seseorang kepada menyemak - muthala`ah - atas taktik - taktik sebaik - baik makhluk Allah ta`ala dan ilmu yang boleh mengerti bagaimana hakikat - hakikat akhlaknya dan perkataannya dan perbuatannya yang jadi cemerlang dunia dan akhirat, dan bagaimana hakikat - hakikat perkembangan Islam yang gemilang pada hal masanya sedikit saja. Maka ulama - ulama Islam amatlah banyaknya mengarang ilmu tawarikh nabawiyyah, ada yang panjang bahasannya dan ada yang sederhana dan ada yang pendeknya. Masing-masing sudah luput bersahabat dengan dia. Mudah-mudahan boleh bersahabat dengannya dari jalan mata qalam, maka faqir yang hina pun mengambil kesempatan bersama - sama dengan mereka itu, mudah-mudahan faqir yang maha lekeh ini tidak dikecuali dari syafaatnya, in sya Allahu ta`ala.
Di antara keistimewaan
Nurush Shofa berbanding karangan - karangan sirah berbahasa Melayu yang lain, adalah pada senarai nama - nama leluhur dalam susur galur silsilah keturunan Junjungan Nabi
shallaAllahu `alaihi wa sallam. Ianya tidak berhenti setakat menyebut nama datuk - datuk baginda sahaja. Dalam
Nurush Shofa, nama - nama nenda baginda juga turut disenaraikan bermula dengan nenda baginda isteri 'Abdul Muthallib iaitu Fathimah binti 'Amru al-Makhzumiyyah sehinggalah kepada Mahdad binti al-Lihm, isteri 'Adnan datuk baginda
shallaAllahu `alaihi wa sallam.
Tok Guru Haji Abu Bakar juga menyebut keagungan dan kemuliaan Junjungan Nabi
shallaAllahu `alaihi was sallam sebelum kelahiran baginda dalam
hayat dunyawiyyah ini (yakni kehidupan baginda di alam dunia). Dinukilkan juga hadis mengenai Nur Muhammad yang pertama kali diciptakan, yang menjadi sebab kewujudan segala makhluk lainnya. Pada halaman 4 - 5, dinukilkan beberapa riwayat - riwayat tersebut, antaranya sebagai berikut:-
Diriwayatkan sabda Rasulullah shallaAllahu `alaihi wa sallam: "Adalah aku sebuah cahaya di hadapan Allah 'azza wa jalla sebelum Adam 2,000 tahun", dan pada satu riwayat: "Dijadikan nurku sebelum alam semuanya, maka tatkala melembaga Allah ta'ala akan Adam, menjadi Allah ta'ala akan yang demikian nur itu di dalam tanah Adam, lalu menurun Allah ta`ala akan daku ke bumi dalam sulbi Adam. Dan menjadi Ia akan daku dalam bahtera pada sulbi Nuh dan menjadi Ia akan daku dalam sulbi Ibrahim di masa ia dilontar ke dalam api, padahal sentiasalah Tuhanku 'azza wa jalla memindah-mindah Ia akan daku dari sudut sulbi - sulbi yang suci kepada segala rahim - rahim yang bersih lagi istimewa, hingga mengeluarkan daku oleh Allah 'azza wa jalla dari dua ibu bapaku padahal kedua - duanya tidak bersentuh kekotoran sama sekali."
Berkata Ibnu 'Abbas radhiyaAllahu `anhuma, tatkala ditiup roh pada Adam tetaplah Nur Muhammad shallaAllahu `alaihi wa sallam di dahinya seperti matahari. Berkata setengah 'arifin, serta kuat pancaran nur itu tidak kelihatan Iblis laknatullah kerana hinanya dan kejinya. Maka tatkala memerintah Allah kepada malaikat - malaikat dengan bersujud kepada Adam, adalah berhadap mereka bagi yang demikian nur itu. Maka bermula yang disujud pada hakikatnya Allah dan bermula Adam itu sebagai kiblat saja seperti jemaah muslimin dan muslimat dengan Baitullah di bumi ini.
Meriwayat Hakim sabda Rasulullah shallaAllahu `alaihi wa sallam bahawasa Adam 'alaihis salam tengok ia tersurat di tiang 'arasy nama Muhammad shallaAllahu `alaihi wa sallam dan firman Allah ta'ala kepada Adam: "Jika tidak ada Muhammad nescaya tidak Aku jadi akan dikau.".............
Meriwayat Abu Syaikh dan Hakim hadis sahih mewahyu Allah kepada 'Isa 'alaihis salam: "Beriman olehmu dengan Muhammad shallaAllahu `alaihi wa sallam dan suruh olehmu akan umat - umatmu beriman mereka dengan dia. Maka jikalau tidak Muhammad, nescaya tidak Kujadikan Adam dan syurga dan neraka. Dan sungguhnya Aku jadikan 'arasy atas permukaan air lalu bergoncang ia - yakni bergolek - golek seperti perahu di atas ombak laut - maka menulis Ku atasnya "La ilaha illa Allah, Muhammadur Rasulullah", lalu tetap ia."
Walhasil, kalau hendak dimuat di sini kelebihan - kelebihan Junjungan kita sebelum ia berada lagi di muka bumi ini dan gilang gemilang namanya di alam malakut, nescaya tidak mencukupi beberapa lembar kertas, memadalah sekadarnya ini.
Satu lagi mutiara ilmu yang terkandung dalam
Nurush Shofa, yang mungkin jarang ditulis dalam buku-buku sirah berbahasa Melayu adalah mengenai kelahiran luar biasa Junjungan Nabi
shallaAllahu `alaihi wa sallam dari perut bonda baginda yang mulia.. Walaupun wujud perbezaan pendapat di kalangan ulama mengenainya, namun Tok Guru Haji Bakar
rahimahullah pada halaman 12 memilih peri kisah kelahiran Junjungan
shallaAllahu `alaihi wa sallam keluar dari perut bonda baginda sebagai berikut:
Berkata ulama kita yang muhaqqiqin, diputera akan dia bukan keluar ia dari faraj ibunya, bahkan keluarnya di bawah pusat bondanya. Berkata setengah mereka pecah rusuk kiri bondanya, maka keluarlah ia daripadanya kemudian bertangkup balik dengan sebentar saja dengan ketiadaan berasa ibunya sakit beranaknya itu. Dan berfatwa setengah ulama Malikiyyah dengan bunuh atas mereka yang berkata Nabi kita shallaAllahu `alaihi wa sallam keluarnya dari lubang kencing. Berkata Syaikh Tilmisani al-Maliki, seluruh anbiya` keluar mereka di bawah pusat bonda - bonda mereka selain daripada Junjungan kita, maka keluarnya dari rusuk kiri ibunya. Berkata Ibnu Sabu` bahawasanya keluar Junjungan kita dari bawah pusat bondanya bukan dari tempat yang beradat kerana kebersihan hadhratnya shallaAllahu `alaihi wa sallam daripada tempat kekotoran, wa Allah a'lam.
Tuan - tuan, dahulu zaman Pak Kadok, mungkin sukar otak manusia di zaman tersebut untuk menghadam kisah kelahiran sebegini, mungkin terbeliak bijik mata kepelikan. Mungkin jadi sebab bagi sesetengah untuk menolak riwayat ini kerana tidak mampu diterima akalnya. Namun dengan perkembangan ilmu dalam bidang perubatan dan kesihatan, maka pada masa kita sekarang, kisah kelahiran sebegini tentulah semakin mudah untuk dicerna. Berbekalkan kepandaian manusia yang tidak seberapa pun, telah ramai bayi - bayi yang keluar dari perut ibu - ibu mereka tidak melalui faraj tetapi keluar melalui pembedahan caesarean di bawah pusat ibunya. Allahu .... Allah, semakin majunya manusia sepatutnya semakin mudah dan semakin kuat keimanan kita kepada Allah
'azza wa jalla. Jadi tok sahlah nak pelik sangat sehingga memperlekehkan riwayat - riwayat kisah keluarnya Junjungan Nabi
shallaAllahu `alaihi wa sallam daripada perut bondanya tidak sebagaimana kelahiran biasa. Ingat bahawa Allah
ta`ala Maha Berkuasa lagi Maha Bijaksana.
Akhirul kalam, bersempenakan peringatan malam kelahiran Junjungan sekalian alam, faqir sudahi dengan menukil kalam Tuan Guru Haji Abu Bakar Palestin tentang keistimewaan dan kemeriahan malam kelahiran baginda
shallaAllahu `alaihi wa sallam daripada perut bondanya dahulu sebagai berikut:-
Walhasil, kemuliaan malam keputeraan Rasulullah shallaAllahu `alaihi wa sallam malam sangat besar kemegahannya, amat indah pemandangannya, amat sedap rasa rohani bagi si yang dapat merasanya, amat bertuah bonda yang memputerakan dia, amat bergema bagi yang si bersambung ruhani dengan dia. Wahai kemegahan bagi siapa yang menjunjung ketibaannya, wahai kemuliaan untuk siapa pun yang gembira dengan kedatangannya........ Kemudian, sambutan yang amat meriah di malam 12 Rabi`ul Awwal tertuju kepada putera mahkota yang memahkotakan dia Rabbul 'Alamin, sampai sambutan kemeriahan ini di semua - semua lapisan syurga yang lapan, sekalian bidadari di segenap bangunan syurga pun bersiap, berhias, bermekap-mekap kerana menyambut kezahiran putera bangsawan daripada keturunan 'Adnan. Maka orang yang tidak mau mengikuti sambut kemeriahan ini ialah Iblis dan bala tenteranya.....
Salam Mawlidur Rasul, mudah-mudahan dengan banyak memperingati dan bershalawat ke atas baginda
shallaAllahu `alaihi wa sallam, bertambah kuat dan kukuh keimanan dan kecintaan kita kepada baginda
shallaAllahu `alaihi wa sallam.