Rabu, Ogos 31, 2005

Ni`al al-Musthofa s.a.w. 3


Malam ini 27 Rajab, umat sibuk memperingati Isra` dan Mi'raj Junjungan. Kemuliaan Junjungan terlalu amat sehingga apa sahaja bersama Junjungan turut menjadi mulia, seperti diisyaratkan oleh ayat "al-ladzi baarakNaa haulahu" (yang Kami, yakni Allah, berkati sekitarnya"), jika ayat tersebut menceritakan keberkatan Masjidil Aqsa, maka Junjungan s.a.w. ini kemuliaannya keberkatannya keagungannya melebihi segala selain Allah s.w.t., fikirkanlah wahai saudara lalu jadikanlah dirimu berada dalam daairah sekitar Junjungan s.a.w. dan sekitar pewaris dan khalifah Junjungan. Kemuliaan Junjungan tertumpah sehingga ke ni`alnya yang dibawa bersama menghadap Rabbul Jalil sehingga lakaran ni`al tersebut yang dilakar demi kecintaan kepada tuan empunyanya mengandungi keberkatan dan rahsia yang sukar diungkapkan. Lakaran ni`al Junjungan Nabi s.a.w. mempunyai rahsia dan keistimewaan di kalangan sebahagian ulama sehingga ianya dijadikan simbol bagi Usrah Dandarawi (iaitu pengamal Thoriqat Ahmadiyyah Rasyidiyyah Dandarawiyyah) di Mesir. Antara kelebihannya ialah seperti diceritakan oleh Imam al-Qasthaalani dalam kitabnya "al-Mawaahibul Laduniyyah" juz ke-2 mukasurat 174:-

Dan di antara kelebihannya yang telah dicuba manfaat dan keberkatannya ialah apa yang dikisahkan oleh seorang syaikh yang sholeh, Abu Ja'far Ahmad bin Abdul Majid:- "Aku telah membuat mitsal ni`al ini untuk seorang muridku, maka dia telah berjumpa denganku pada suatu hari dan berkata:- "Kelmarin aku telah melihat keberkatan ni`al ini yang ajaib. Isteriku telah ditimpa sakit yang berat sehingga hampir-hampir binasa, maka aku letakkan mitsal ni`al tersebut pada tempat sakitnya dan berdoa "ALLAHUMMA ARINIY BARAKATA SHOHIBI HADZAN-NA'LI" ( Ya Allah, tunjukkanlah aku keberkatan tuan empunya ni`al ini, yakni Junjungan Nabi s.a.w.), lalu dia disembuhkan Allah pada waktu itu juga.

Telah berkata Abu Ishaq:-"Telah berkata Abul Qaasim bin Muhammad:-"Di antara yang telah mujarrab keberkatannya ialah sesiapa yang membawanya bersama dengan niat untuk mengambil berkat, jadilah dia selamat daripada kejahatan penjahat, memperolehi kemenangan ke atas musuh dan mendapat penjagaan daripada syaitan yang jahat serta dipelihara daripada kedengkian orang-orang yang hasad. Dan jika dibawa oleh orang perempuan hamil yang sedang sakit hendak bersalin pada sebelah kanannya, nescaya dipermudahkan urusannya tersebut dengan pertolongan dan kekuatan Allah."

Saudara, inilah antara penyaksian ulama kita berhubung lakaran ni`al al-Musthofa s.a.w. Percaya atau tidak terpulanglah, "al-madad fil masyhad fil I'tiqaad nailul murad" ("Bantuan/ Sokongan sekadar penyaksian dan dalam pegangan teguh tercapainya tujuan"). Untuk pengetahuan, Imam al-Qasthaalani adalah seorang ulama terbilang, pemuka ilmu hadits dan fiqh mazhab Syafi`i. Antara gurunya ialah Imam Ibnu Hajar al-Asqalani, Syaikhul Islam Zakaria al-Anshari dan as-Sakhawi. Banyak mengarang kitab antara yang masyhur ialah "Irsyadus Sari fi syarhi Shohihil Bukhari" merupakan syarah Shohih Bukhari dalam 10 jilid besar dan "al-Is`aad fi talkhis al-Irsyad" merupakan furu' feqah Syafi`i. Maka terpulanglah. Alfu Alfi Sholaatin Wa Alfu Alfi Salaamin 'Alaika, Ya Shohibal-Mi'raaj. Alfu Alfi Sholaatin Wa Alfu Alfi Salaamin 'Alaika, Ya Shohiban-Na'lain. (Jutaan sholawat dan salam untukmu Wahai Tuan Empunya Mi'raaj; Jutaan sholawat dan salam untukmu Wahai Tuan Empunya Dua Ni`al).

Selasa, Ogos 30, 2005

Jumaat Terakhir Bulan Rajab


Shohibus Samahah Almarhum Mufti Syaikh Ahmad bin Muhammad Sa`id bin Jamaluddin al-Linqi al-Malayuwi dalam kitabnya "Tuhfatul Awthan wal Ikhwan " menulis:-

  • Daripada "Fawaaid" asy-Syaikh 'Ali al-Ajhuri rhm. bahawa barangsiapa membaca ia pada akhir Jumaat daripada Rajab dan khatib di atas mimbar akan "AHMADU RASULULLAH MUHAMMADUR RASULULLAH" 35 kali tiada putuslah dirham-dirham daripada tangannya di dalam tahun itu.
Sewajar kita amalkan, mudah-mudahan timbul keberkatan dalam kelancaran rezki, hendaklah dibaca sewaktu Khatib duduk antara dua khutbah.

Sabtu, Ogos 20, 2005

Banyakkan Bersholawat & Bermawlid


Kiyai Agung Syaikh Muhammad bin Abdullah as-Suhaimi rahimahUllah dalam kitabnya "Nafahatul Miskiyyah" berpesan kepada kita sekalian sebagai berikut:- "Maka tidak ada satu perkara yang lebih memberi manfaat untuk menerangkan hati serta menyampaikan orang-orang yang menuntut untuk "sampai" kepada Allah melainkan dengan banyak mengingati Nabi s.a.w. dan mengucapkan sholawat kepada baginda kerana bahawasanya dengan tekun dan tetap berbuat sedemikian maka orang itu akan memperolehi cahaya yang banyak dan dengan berkatnya dia akan dapat "berhubung" dengan Nabi Muhammad s.a.w. ataupun dapat berkumpul dengan orang yang boleh menyampaikan dia kepada Nabi s.a.w. dengan syarat dia menjalankan ibadat dan menjauhkan maksiat serta menghiasi dirinya dengan akhlak yang baik, terutamanya pada akhir zaman apabila kekurangan orang-orang yang menunjuk ajar serta banyak pula campur-aduk berlaku dalam hukum-hukum agama di kalangan orang ramai."

Ahad, Ogos 07, 2005

Bulan Allah



Alhamdulillah wa Syukru Lillah, berada kita dalam bulan Rajab, bulan Allah, bulan mu'jizat Isra` dan Mi'raj. Mari kita sambut bulan ini dengan doa yang dibaca oleh Junjungan s.a.w. melalui riwayat Ibnu Sunny : "ALLAHUMMA BAARIK LANA FI RAJABA WA SYA'BAAN, WA BALIGHNA SYAHRA RAMADHAN." (Ya Allah, berkatilah kami dalam bulan Rajab dan Sya'baan dan sampaikanlah kami ke bulan Ramadhan". Ulama berpesan agar kita memperbanyakkan istighfar dalam bulan ini, bahkan ada ulama yang mengarang lafaz-lafaz istighfar untuk dijadikan amalan dalam bulan ini, antaranya ialah Istighfar Rajab yang dinisbahkan kepada Habib Hasan bin Habib Abdullah al-Haddad. Bulan ini juga menyaksikan kewafatan panutan kita Imam asy-Syafi`i yang berlaku pada hari terakhir bulan Rajab.

Selasa, Ogos 02, 2005

Kemarahan Orang Munafiq


Saudara, Imam al-Haddad dalam kitabnya "an-Nafaa-isul-'Ulwiyyah" mengkhabarkan kepada kita seperti berikut:- "Tak diragukan lagi bahawa penyebutan nama dan pemujian kepada Rasulullah s.a.w.; periwayatan kehidupan dan keutamaan-keutamaan baginda s.a.w. yang diiringi dengan pembacaan sholawat dan salam.........adalah termasuk pendekatan diri dan ketaatan kepada Allah. Sholawat merupakan salah satu penguat iman, penambah cinta dan pengagungan kepada Rasulullah s.a.w.........Di samping itu, sholawat membuat marah dan menghinakan orang-orang munafiq dan kafir yang membenci Rasulullah s.a.w." Justru itu, mari kita sekalian rajin-rajin bersholawat, rajin-rajin mengambil pusaka Junjungan s.a.w. berupa ilmu-ilmu agama, rajin-rajin mendengar hadits-hadits dan rajin-rajin mendengar kisah-kisah Junjungan s.a.w., baik berupa pembacaan mawlid Junjungan s.a.w. atau lainnya.

Isnin, Ogos 01, 2005

Pesan Syaikh Ma'ruf al-Karkhi r.a.


Imam al-Qusyairi rhm. menyebutkan pesanan Syaikh Ma'ruf al-Karkhi dalam "Risalah"nya, begitu juga kisah ini dinukil oleh Ibnu Qayyim dalam "Madarijus Salikin", jilid 2 dan "A'laamut Tasawwuf" oleh Syaikh Abdul Baqi Surur. Kisahnya begini:- Syaikh Ma'ruf al-Karkhi seorang waliyullah yang besar yang wafat tahun 201 hijrah ada berkata kepada para muridnya:- "Kalau kamu ada mempunyai hajat setelah wafatku, kunjungilah kuburku dan serukanlah permohonanmu, nescaya aku akan menyelesaikannya." Imam al-Haddad dalam kitabnya "Sabilul-Adzkar" ada menyebutkan bahawa kubur Syaikh Ma'ruf al-Karkhi ini adalah antara tempat yang mustajab untuk berdoa di Baghdad. Kitab Imam al-Haddad ini juga dikenali dengan nama "Risalah Sabilul-Iddikar wal I'tibar", sebuah kitab yang amat bernilai. Bagi saudara yang belum membaca atau mempelajarinya eloklah cari dan baca serta pelajari. Kitab ini telah diterjemah juga oleh Ustaz Syed Ahmad Semait dengan jodol "Peringatan Tentang Umur Insan" dan diterbit oleh Pustaka Nasional, Singapura. Kitab ini membicarakan perjalan umur manusia. Bacalah dengan nama Tuhanmu.

Kisah Istighatsah Sayyidina Bilal bin al-Harits r.a.

Kupetik kisah ini dari kitab panutanku Syaikh Yusuf bin Ismail an-Nabhani dalam "Syawahidul Haq". Kisah ini diriwayat oleh Imam al-Baihaqi dan Imam Ibnu Hibban dengan isnad yang shohih.
"Dan telah disahkan dalam satu hadits shohih yang panjang bahawa kemarau telah menimpa manusia di zaman pemerintahan Amirul Mu'minin Sayyidina Umar bin al-Khaththab r.a. Maka datanglah seorang lelaki (yakni seorang sahabi bernama Sayyidina Bilal bin al-Harits) ke maqam Junjungan Nabi s.a.w. dan berkata : "Wahai Rasulullah, mohonlah (kepada Allah) supaya diturunkan hujan untukmu kerana mereka hampir binasa (dari kerna kemarau)". Selepas itu lelaki tersebut bermimpi Junjungan Nabi s.a.w. datang kepadanya dan mengkhabarkan bahawa hujan akan diturunkan kepada mereka. Maka turunlah hujan tersebut. Dan di dalam hadits tersebut juga disebut bahawa Junjungan Nabi s.a.w. menyuruh lelaki tersebut untuk menyampaikan salam baginda kepada Sayyidina Umar r.a. dan memberitahunya bahawa hujan akan diturunkan. Seterusnya dinyatakan bahawa Sayyidina Umar r.a. telah menangis kesukaan kerana mendapat kiraman salam dan khabar gembira tersebut daripada Junjungan Nabi s.a.w.