Khamis, Mei 14, 2020

Penat 1000 Hari - Maulana Bazi

Syaikhul Hadits wat Tafsir, al-'Alim, al-'Allaamah,  al-Faqih, asy-Syaikh, Maulana Muhammad Musa ar-Ruhani al-Bazi rahimahullah adalah seorang ulama besar kelahiran Pakistan. Ketinggian ilmu beliau adalah diakui. Sejarah hidup beliau telah rata ditulis dan diperkata, hanya tinggal tuan - tuan cari dan baca. Kepakaran beliau dalam ilmu hadis tidak dipertikaikan. Oleh itu, beliau adalah otoriti dalam ilmu hadis yang dapat dijadikan pegangan, bahkan beliau digelar antaranya sebagai Imamul Muhadditsin, Najmul Mufassirin, Zubdatul Muhaqqiqin.

Di antara karangan beliau yang masyhur adalah sebuah kitab wirid shalawat yang diberi jodol al-Barakaatul Makkiyyah. Kitab wirid ini sudah terkenal dan telah menjadi amalan harian ramai pencinta Junjungan Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam. Dalam entri ini faqir kongsikan sedikit tulisan beliau rahimahullah dalam mukaddimah atas kitab tersebut. Pada halaman 14, beliau menulis, antara lain, sebagai berikut:- Daripada Ibnu 'Abbas radhiyaAllahu 'anhuma berkata bahawa Junjungan Rasulullah shallaAllahu `alaihi wa sallam bersabda:- " Sesiapa yang mengucapkan atau berkata: {JazaAllahu 'annaa Muhammadan shallaAllahu `alaihi wa sallam bi maa huwa ahluh}, ia memenatkan 70 malaikat selama 1000 pagi (yakni 1000 hari)." Hadis yang diriwayatkan oleh Abu Nu`aim rahimahullahu ta'ala dan selain beliau. Dhamir atau gantinama "hu" yang pada kalimah "ahluhu" boleh dirujuk kepada Allah ta`ala (yakni balasan atas baginda yang sesuai dan layak dengan kebesaran, keagungan dan kemurahanNya - Allah ta`ala) atau dirujuk kepada Junjungan Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam (yakni balasan yang layak baginya - baginda Nabi), sebagaimana yang disebut oleh al-Majdul Lughawi.

Sengaja faqir nukilkan riwayat hadis ini kerana ada puak yang mencemuh penyebaran hadis tersebut dan mempersendakan riwayatnya.  Ternyata bahawa para ulama meletakkan hadis tersebut dalam karangan mereka dan menjadikannya hujah dalam bab fadhail. Bahkan, mereka menganjurkannya. Ketahuilah bahawa ilmu hadis, ilmu musthalah hadis serta segala yang berkait dengannya, bukanlah satu ilmu yang baru muncul di abad kita ini. Status "Hadis Penat 1000 Pagi" ini telah diketahui oleh para ulama terdahulu, bukannya hanya baru disedari sekarang. Terbukti bahawa apa jua status hadis tersebut tidak menghalang para ulama untuk menyebarkannya, bahkan mereka meriwayat dan menukil hadis ini dalam kitab - kitab mereka. Oleh itu, amatlah tidak bijak, jika ada pihak yang sungguh - sungguh berusaha memadamkan hadis ini dari khazanah keilmuan umat Islam... Allahu ....Allah.

Selanjutnya, pada halaman 40 - 41 Maulana Bazi rahimahullah menyatakan pula, antara lain:- Cara bershalawat dengan susunan indah menyebut nama - nama Junjungan Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam yang berkat sebagaimana termaktub dalam kitab ini (yakni al-Barakaatul Makkiyyah) adalah lebih diharap untuk  memustajabkan segala permintaan. Dasar bagi sangkaan kuat atas kemustajaban dan penerimaan tersebut adalah dengan memandang kepada luasnya rahmat Allah ta`ala, ketika mana disebut orang - orang shalih yang sempurna ketakwaannya, rahmatNya akan diturunkan. Sebahagian ahli hadis telah menerangkan bahawa pengkabulan doa adalah mujarrab setelah menyebut nama - nama sahabat al-Badriyyin (yakni nama - nama sahabat pejuang Badar) radhiyaAllahu ta`ala `anhum. Maka Junjungan Nabi `alaihis salam adalah pemimpin orang - orang yang bertakwa (Imam al-Muttaqin), lalu apa sangkaanmu dengan majlis di mana Junjungan Nabi `alaihis salam sentiasa diingat (disebut) dan dibacakan padanya sekitar 800 nama daripada nama - nama baginda yang berkat dengan diiringi ucapan shalawat dan salam yang berkesinambungan.

Maka sentiasalah menggerakkan lidah kita untuk menyebut - nyebut nama baginda shallaAllahu `alaihi wa sallam dengan ucapan shalawat dan salam dalam apa jua bentuk dan shighah. Kata hukama`, lidah itu jadi dalil (petunjuk) atas apa yang ada dalam hati. Maka mudah - mudahan apa yang terlancar di lidah itu adalah cerminan apa yang terbuku dalam hati sanubari.  Allahumma shalli wa sallim `ala Sayyidina Muhammad.


*****************************************
Cuplikan Kalam Buya Maliki rahimahullah

Isnin, Mei 04, 2020

Faedah Dari Fatawa Haditsiyyah

Surah al-Ikhlas adalah satu surah yang sudah sebati dengan jiwa umat Islam yang ajaran terasnya adalah mentawhidkan Allah `azza wa jalla, Tuhan yang Maha Esa, yang tiada sekutu bagiNya. Kelebihan dan keistimewaan surah ini telah masyhur di sisi umat. Di sini faqir sekadar menambah dan merakam pengetahuan agar tidak lupa berkait dengan kelebihan menjadikan surah yang mulia ini sebagai amalan atau wiridan. Hal ini faqir nukilkan daripada kitab Imam Ibnu Hajar al-Haitami rahimahullah, di mana Imam yang agung tersebut menukilkan beberapa riwayat yang warid berkenaan pembacaan surah tersebut dengan bilangan yang tertentu. 

Termaktub dalam al-Fatawa al-Haditsiyyah, pada halaman 2 bahawa Imam Ibnu Hajar telah ditanya samada ada atau tidak hadis - hadis tentang ganjaran membaca surah al-Ikhlas sebanyak 100 kali secara khusus. Maka Imam Ibnu Hajar menyatakan bahawa sememangnya ada riwayat - riwayat yang menceritakan secara khusus mengenai kelebihan membaca Surah al-Ikhlas dengan bilangan tertentu. Di antaranya adalah:-

Pertama: Hadis yang diriwayat oleh Ibnu 'Adi dan al-Baihaqi daripada Sayyidina Anas bin Malik radhiyaAllahu `anhu daripada Junjungan Rasulullah shallaAllahu `alaihi wa sallam, bahawa baginda bersabda:- " Sesiapa membaca Suratul Ikhlas 100 kali, Allah mengampunkan baginya kesalahannya (khathi-ah / dosa kecil) 50 tahun, selagi dia menjauhi empat perkara (yakni asalkan bukan yang berkait dengan empat perkara): (a) dosa yang berkait dengan darah (seperti pembunuhan, mendatangkan kecederaan dan sebagainya); (b) dosa yang berkait dengan harta (seperti mencuri dan sebagainya); (c) dosa yang berkait dengan kemaluan (seperti zina dan seumpamanya); dan (d) dosa yang berkait dengan minum arak."

Kedua: Hadis yang diriwayatkan oleh ath-Thabrani daripada Fairuz daripada Junjungan Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam bahawa baginda bersabda:-"Sesiapa yang membaca Surah al-Ikhlas 100 kali di dalam shalat atau lainnya (yakni di luar shalat), ditulis Allah baginya kelepasan dari api neraka."

Ketiga: Hadis yang diriwayatkan oleh Baihaqi daripada Sayyidina Anas secara marfu`:-"Sesiapa yang membaca Surah al-Ikhlas sehari 100 kali, diampunkan Allah baginya dosa 200 tahun."

Keempat: Hadis yang diriwayatkan oleh Ibnu `Adiy dan al-Baihaqi daripada Sayyidina Anas juga secara marfu`:- "Sesiapa yang membaca Surah al-Ikhlas sehari 200 kali, ditulis Allah baginya 1500 kebajikan (yakni yang khas) melainkan jika dia mempunyai hutang (yakni dia enggan membayarnya)."

Kelima: Hadis yang diriwayatkan oleh Ibn Nashr daripada Sayyidina Anas  juga secara marfu`:- "Sesiapa yang membaca Surah al-Ikhlas 50 kali, diampunkan Allah baginya dosa 50 tahun."

Keenam: Hadis yang diriwayatkan oleh al-Kharaithi dalam Fawaaidnya daripada Sayyidina Hudzaifah secara marfu`:- "Sesiapa yang membaca Surah al-Ikhlas 1000 kali, maka dia telah menebus dirinya daripada Allah."
Wa Allahu subhanahu a'laamu bish shawaab.

Imam Ibnu Hajar al-Haitami tidak memperinci perbahasan mengenai status setiap hadis tersebut kerana munasabah dengan pertanyaan yang diajukan kepada beliau, samada ada atau tidak riwayat yang datang mengenai ganjaran pembacaan surah tersebut dalam bilangan tadi. Maka jawapan yang diberi oleh beliau adalah memang ada riwayat khusus mengenai perkara tersebut, tanpa memperincikan samada riwayat tersebut shahih atau hasan atau dhaif. Maka kesimpulannya adalah jika riwayat - riwayat  yang didatangkan oleh beliau tersebut tidak mencapai darjat shahih sekalipun, maka sekurang - kurangnya ianya masih dalam lingkungan dhaif yang boleh diriwayatkan dan diamal dalam perkara fadhail. Jika sekiranya riwayat - riwayat tersebut maudhu` palsu, nescaya Imam Ibnu Hajar rahimahullah akan memberikan komentarnya, kerana para ulama telah menyatakan bahawa haram meriwayatkan hadis maudhu` tanpa komentar dan makluman bahawa riwayatnya maudhu` yang tiada asal daripada Junjungan Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam. Berhubung dengan riwayat yang dhaif, maka ianya dibenarkan untuk diriwayatkan tanpa menjelaskan kedudukan sanadnya, asalkan bukan berkaitan dengan perkara akidah atau hukum hakam halal - haram. Apatah lagi jika riwayat - riwayat tersebut dinukilkan dalam karya para ulama yang mempunyai pengetahuan dan kepakaran dalam ilmu hadis. Syaikh Hasan al-Masyath rahimahullah dalam kitab Raf`ul Astaar, yang mensyarahkan nadzam Thal`atul Anwar bagi Syaikh `Abdul Rahim bin al-Husain al-`Iraqi asy-Syafie rahimahullah dalam ilmu musthalah hadis, menyatakan pada halaman 65, antaranya, sebagai berikut:- " Dan ketahuilah bahawasanya harus bagimu meriwayatkan hadis dhaif tanpa menjelaskan kedhaifannya dalam perkara selain daripada sifat Allah ta`ala (yakni perkara akidah)  dan perkara hukum hakam (yakni hukum syarak)................ Adapun hadis yang warid dalam bab qishash (kisah cerita), mawa`idz (teguran nasihat), targhib (anjuran galakan), tarhib (ancaman kecaman) dan seumpamanya, yang tidak berkait dengan urusan akidah dan hukum - hakam, maka para ulama membenarkan kelonggaran dalam meriwayatkannya tanpa perlu menerangkan akan kedhaifannya......"


Semoga bermanfaat dan menjadi galakan untuk kita membaca Surah al-Ikhlas ini dengan sebanyak - banyaknya. Jangan lupa membacanya biarlah dengan penuh keimanan, tulus, ikhlas, yakin dan penghayatan. Sesungguhnya, sesiapa yang suka membacanya kerana kasih akan dia, nescaya dia akan dikasihi Allah. Telah warid dalam hadis shahih riwayat para imam hadis seperti Imam Bukhari, Muslim, Nasai dan Hakim rahimahumullah, daripada Sayyidah 'Aisyah radhiyaAllahu `anha meriwayatkan bahawasanya:-  " Junjungan Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam telah melantik seorang sahabat (menurut al-Hafiz Rasyiduddin ibnu al-'Aththar namanya adalah Sayyidina Karaz bin Zahdam al-Anshari radhiyaAllahu `anhu) menjadi panglima bagi satu pasukan perang. Adalah sahabat tersebut ketika menjadi imam shalat bagi pasukannya akan mengakhirkan bacaan surahnya dengan Surah al-Ikhlas (ulama menyatakan zahir hadis menunjukkan bahawa sahabat tersebut membaca surah dan menutupnya dengan Surah al-Ikhlas, yakni dia menghimpunkan bacaan surah lain dengan Surah al-Ikhlas, pada setiap rakaat yang disunnatkan padanya bacaan surah.) Para sahabat yang turut serta dalam pasukan tersebut, kemudiannya telah memaklumkan hal ini kepada Junjungan Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam. Lalu baginda bersabda: "Kamu tanyakan kepadanya apa sebab dia berbuat sedemikian." Sahabat tersebut menjawab: "Kerana (surah tersebut) merupakan sifat ar-Rahman (yakni mengandungi penjelasan mengenai sifat Allah), maka aku kasih untuk membacanya." Maka Junjungan Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam bersabda: "Khabarkan kepadanya bahawa Allah mengasihinya."

Mudah - mudahan lidah kita lebih banyak menyebut shifatur Rahman berbanding menyebut bid`ah, bid`ah, bid`ah atau dhaif, dhaifdhaif atau yang seumpamanya.