Media tempatan melaporkan bahawa JJ (baca: Juanda Jaya) telah menghukumkan "tidak boleh (baca: haram)" beristighatsah (memohon bantuan) dengan orang yang telah wafat termasuklah dengan Rasulullah shallaAllahu `alaihi wa sallam. Sebenarnya, jika seseorang memohon bantuan kepada makhluk dengan iktiqad bahawa makhluk itu boleh memberi bekas, maka perbuatan tersebut sememangnya haram tanpa mengira samada makhluk itu masih hidup bernyawa di dunia yang fana ini atau sudah berada di alam baqa. Seseorang mukmin yang beristighatsah pasti tidak mempunyai iktiqad sedemikian, baik yang diminta pertolongan itu masih hidup atau sudah mati. Kita orang mukmin tahu bahawa hanya Allah ta`ala sahaja yang memberi bekas, adh-Dhaar dan an-Naafi`. Oleh itu isu istighatsah ini telah lama dijelaskan oleh para ulama kita terdahulu dengan melihat kepada segala nas yang ada dan akhirnya JUMHUR ULAMA menghukumkan ianya adalah dibolehkan. Namun sayangnya masih ada yang cuba mengelirukan masyarakat tentang hal ini dengan mengatakan ianya haram secara mutlak. Jika JJ kata haram beristighatsah maka lihat pula apa kata Imam Ramli rahimahullah mengenai persoalan ini. Dan pasti korang yang punya mata dan mata hati dapat melihat di mana kedudukan JJ berbanding Imam ar-Ramli rahimahullah.
Imam Syamsuddin Muhammad bin Abil `Abbas Ahmad bin Hamzah ar-Ramli al-Anshari rahimahullah, pengarang kitab
"Nihayatul Muhtaj"
yang masyhur, dalam fatwanya yang dicetak di tepi himpunan fatwa Imam Ibnu Hajar al-Haitami
rahimahullah dengan berjodol
"al-Fatawa al-Kubra al-Fiqhiyyah", jilid 4, halaman 382 - 383 menyatakan (terjemahan bebas):-
(Ditanyai)
mengenai apa yang dilakukan orang awam dari ucapan mereka sewaktu
kesusahan "Ya Syaikh Fulan", "Ya RasulAllah", dan seumpamanya dari
ucapan-ucapan istighatsah dengan para nabi, para rasul, para wali, ulama
dan sholihin, maka adakah perkara ini jaiz (harus) atau tidak ? Dan
adakah bagi para rasul, para nabi, para wali, sholihin dan masyaikh
pertolongan (yakni memberi pertolongan) selepas mereka mati, dan apakah
yang rajih pada yang demikian ?
(Maka dijawab) Bahawasanya istighatsah dengan para nabi, para rasul, para wali, ulama dan sholihin adalah HARUS. Dan bagi
para rasul, para nabi, para wali dan sholihin pertolongan selepas
mereka mati kerana bahawasanya mu'jizat para nabi dan karamat para wali
tidak putus dengan matinya mereka. Adapun para nabi maka mereka
hidup di dalam kubur-kubur mereka, sembahyang mereka dan berhaji mereka
seperti yang warid diberitakan dalam beberapa hadis, dan jadilah
pertolongan daripada mereka mu'jizat bagi mereka. Para syuhada` juga
hidup, disaksikan mereka itu dengan jelas memerangi segala kuffar.
Adapun para wali maka ianya adalah karamah bagi mereka. Sesungguhnya
Ahlul Haqq berpegang bahawasanya berlakunya karamah para wali dengan
niat (sengaja) mereka atau tanpa ada sebarang niat adalah suatu
perbuatan yang mencarik adat yang dilakukan oleh Allah ta`ala
dengan sebab mereka. Dalil atas harusnya perkara ini berlaku adalah
kerana ianya termasuk dalam perkara mumkin, oleh kerana itu tidaklah
menjadi mustahil ianya untuk berlaku, maka setiap perkara seperti atas
adalah harus untuk berlaku. Antara dalil berlakunya karamah ialah kisah
Siti Maryam dengan rezeki yang dikurniakan Allah kepadanya sebagaimana
diceritakan dalam al-Quran; kisah Sayyidina Abu Bakar dengan
tetamu-tetamunya sebagaimana tersebut dalam kitab hadis shohih; kisah
Sungai Nil banjir dengan sebab surat Sayyidina 'Umar; kisah Sayyidina
'Umar sedang atas mimbar di Madinah dapat melihat tenteranya di Nahawand
serta boleh berbicara dengan panglimanya, di sini juga dapat diambil
sebagai karamah bahawa tentera tersebut dapat mendengar kata-kata
Sayyidina 'Umar sedangkan antara mereka dengan Sayyidina 'Umar jarak
perjalanan 2 bulan; kisah Sayyidina Khalid meminum racun tanpa memberi
mudarat. Dan telah berlaku berbagai perkara mencarik adat atas tangan
para sahabat dan para tabi`in dan orang-orang yang selepas mereka yang
tidak mungkin untuk diingkari ketawaturannya yang telah disepakati.
Sebagai kesimpulannya, apa yang harus berlaku sebagai mu'jizat untuk
nabi, haruslah berlaku sebagai karamah bagi wali. Tiada perbezaan antara
keduanya selain daripada at-tahaddi ("mencabar" yakni mu'jizat itu sifatnya mencabar musuh atau melemahkan musuh).
Nak puas lagi sila rujuk perkataan asal Imam ar-Ramli rahimahullah. Tapi bodo - bodo aku pun faham bahawa istighatsah itu harus di sisi Imam ar-Ramli dan begitulah juga di sisi ulama-ulama kita yang lain. Inilah kedudukannya dalam Ahlus Sunnah wal Jama`ah. Puak - puak kat utara ni kena banyak mentelaah kitab - kitab turats Ahlus Sunnah wal Jama`ah sebelum mengeluarkan fatwa atau pendapat. Jangan hanya rasa cukup dengan fatwa Ibnu Taimiyah atau fatwa Saudi - Wahabi sahaja. Buka luas sikit minda tu, jangan jadi katak bawah tempurung yang beranggapan bahawa Islam itu hanya apa yang ada dalam ilmunya Ibnu Taimiyyah ...... Allahu ... Allah.