Rabu, Disember 20, 2023
Kekejaman regim Zionist masih berlaku. Di kalangan umat, ada yang sudah mulai bosan untuk menadah tangan memohon kepada Allah al-Muntaqim bagi membantu penduduk Gaza dan Palestine yang dizalimi. Ada yang bertanya - tanya, "Bilakah lagi datangnya pertolongan Allah dan kemenangan?" Bahkan, ada ulama rasmi yang, kalau tidak silap, "mengarahkan" agar Qunut Nazilah dihentikan dahulu atas pemahaman beliau terhadap nas hadis Junjungan Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam. Faqir tidak mahu menyalahkan mana - mana pihak, baik yang mahu terus melakukan Qunut Nazilah atau yang mahu berhenti dahulu. Faqir yakin bahawa pihak yang berhenti melakukan Qunut Nazilah dalam shalat fardhu yang lima atau setidak - tidaknya dalam Shalat Jumaat, masih tetap mendoakan keselamatan dan kebajikan bagi saudara - saudara kita di Gaza dan Palestine, samada di dalam atau di luar shalat. Berhenti atau terus melakukan Qunut Nazilah, bukanlah satu masalah, seberat - berat hukum Qunut Nazilah itu hanya sunat yang jika ditinggalkan tidak mencacatkan shalat bahkan tidak perlu ditampung dengan sujud sahwi. Yang terpenting adalah kita teruskan berdoa, memohon dan mengharap, jangan sesekali bosan apatah lagi berputus asa dek lambatnya keinginan atau hajat kita dikabulkan Allah.
Imam Ibnu `Athailah dalam kitab al-Hikam yang masyhur, pada hikmah yang ke-6, mengingatkan kita bahawa jangan sesekali kita berputus asa daripada berdoa memohon segala hajat kita kepada Allah walaupun permintaan atau keinginan kita tersebut belum kunjung tiba. Kata Ibnu Athaillah: "Janganlah kerana Allah lambat menghulurkan pemberianNya kepadamu, sedangkan engkau sungguh - sungguh berdoa, menjadikan engkau berputus asa (berdoa). Allah telah menjamin bagimu pengabulan (namun) sesuai dengan apa yang Dia pilih untukmu dan bukannya mengikut apa yang engkau pilih untuk dirimu (kerana Allah Maha Mengetahui apa yang terbaik); Juga (dikabulkannya) pada masa yang Dia kehendaki bukan masa yang engkau mahu." Inilah kabul yang terbaik kerana Allah yang Maha Mengetahui tahu apa yang terbaik bagi hambaNya yang tulus bertakwa dan beribadah kepadanya. Maka selaku orang yang mengaku dirinya hamba Allah, dia mestilah sentiasa bersangka baik denganNya.
Inilah yang dipesankan oleh Junjungan Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam dalam riwayat yang shahih, di mana baginda bersabda: "Doa seseorang daripada kamu akan dimustajabkan Allah selagi dia tidak tergesa - gesa atau terburu - buru, di mana dia berkata: "Aku telah (puas) berdoa, namun belum diperkenankan bagiku." Maka jangan putus asa berdoa, terus tetap dan istiqamahlah dalam berdoa. Ulama menyebut bahawa doa Nabi Musa yang diaminkan oleh Nabi Harun `alaihimas salam agar kezaliman Fir`aun dibalas Allah, tertunai setelah 40 tahun selepas baginda berdua berdoa, dengan ditenggelamkan atau dilemaskan Fir`aun dan tenteranya di Laut Merah. Siapa kita dan siapa Musa dan Harun? Cepat atau lambat tidak penting, yang penting kabul yakni penerimaan daripada Allah. Diberi hidayah dan taufik untuk dapat berdoa itu sudah luarbiasa anugerahnya. Apa tidaknya, doa itu saripatinya ibadah dan berdoa itu pernyataan bahawa kita ini hamba yang lemah yang sentiada fakir dan berhajat kepada anugerah Zat yang Maha Kaya.
Terkabul atau kemustajaban sesuatu doa itu, jangan hanya dilihat kepada cepat atau lambat semata - mata. Jangan ingat jika hajat seseorang itu cepat tertunai, maka Allah mesti kasih dan redha kepada si pemohon. Adakalanya sesuatu permohonan itu ditunaikan dengan segera kerana Allah jalla sya'nuhu "menyampah" mendengar suara dan doa orang tersebut, lalu ditunaikan dengan cepat agar dia berhenti berdoa. Syaikh Muhammad bin Abdullah al-Jardani rahimahullah dalam kitabnya, al-Jawahirul Lu'lu-iyyah, pada halaman 107, menukilkan satu riwayat daripada Imam al-Baihaqi bahawa Junjungan shallaAllahu `alaihi wa sallam bersabda: "Bahawasanya Jibril ditugaskan Allah untuk menunaikan hajat - hajat para hamba Allah. Maka ketika seorang mukmin berdoa, Allah berfirman: "Wahai Jibril, tahan dulu hajat hambaKu, sesungguhnya Aku mengasihinya dan suka mendengar suaranya." Ketika ada seorang kafir berdoa (dalam satu riwayat: seorang fajir / fasik ), Dia (Allah) berfirman: "Wahai Jibril, (segera) tunaikan hajat hambaKu, sesungguhnya Aku benci kepadaNya dan benci mendengar suaranya." Allahu .... Allah. Oleh itu, tetaplah istiqamah berdoa kerana ia adalah ibadah yang paling mulia, sehingga disabdakan juga oleh baginda shallaAllahu `alaihi wa sallam dalam riwayat yang hasan bahawa: "Tidak ada sesuatu (ibadah) yang paling mulia di sisi Allah selain berdoa."
Isnin, November 06, 2023
Qunut Di Luar Shalat
Bagi kita sebagai pengikut Mazhab Syafie, Doa Qunut sudah tidak asing lagi di sisi kita. Sejak kecil, ketika mula belajar sembahyang lagi, kita telah diajar dan disuruh menghafal doa yang penting ini. Ini adalah kerana kedudukan istimewa doa ini sebagai sunat ab`adh ketika Shalat Subuh dan meninggalkannya dengan sengaja atau terlupa, menyebabkan shalat tersebut bolong (yakni berkurang pahala shalat kita menurut mazhab kita) sehingga disunatkan untuk menjabarkannya yakni menampal atau menampung kekurangan tersebut dengan sujud sahwi. Qunut juga menjadi sunat ab`adh dalam Shalat Witir selepas pertengahan Ramadhan sehingga ke akhirnya. Maka tidak pelik, bagi kebanyakan umat Islam yang bermazhab Syafie menghafal doa yang sangat berkat ini.
Sebahagian ulama dan awliya, tidak sahaja menjadikan Doa Qunut sebagai bacaan dalam shalat - shalat tadi. Bahkan, di luar shalat pun mereka menjadikan Doa Qunut sebagai amalan dan wirid harian mereka. Ada di kalangan mereka yang menjadikan Doa Qunut sebagai doa penutup majlis - majlis kebajikan atau majlis - majlis ilmu. Bagi orang yang kurang arif, mungkin merasa janggal atau pelik bila Doa Qunut dibaca di luar Shalat Subuh. Namun bagi yang mengerti pasti tidak. Habib al-Quthub Ahmad bin Hasan al-`Aththas rahimahullah dalam Tadzkirun Naas, halaman 97 - 98, menyebut bahawa telah menjadi adat kebiasaan Shahibur Ratib, Quthubul Habib `Umar bin `Abdur Rahman al-`Aththas rahimahullah dan anak - anak beliau untuk membaca berulang - ulang kali akan Doa Qunut (Allahummahdina fi man hadait ... hingga akhir yakni dengan shighah jamak) selepas Shalat Isyak hinggalah ke fajar pada setiap malam.
Dr. Jahid Sidek hafizahullah, yang pernah menjadi tenaga pengajar dan pensyarah di Universiti Malaya. Seorang tokoh yang mendalami ilmu - ilmu tasawwuf dan thariqat, bahkan beliau adalah syaikh mursyid bagi Thariqat Naqsyabandiyyah Khalidiyyah dari jalur Syaikh Abdul Wahhab Rokan @ Babus Salam, yang beliau terima daripada mursyid beliau, Imam Ishak bin Muhammad Arif, Dong, Raub, Pahang. Beliau juga terkenal sebagai seorang perawat yang menjalankan kaedah rawatan kerohanian seperti dengan ayat - ayat suci dan zikir - zikir. Beliau menganjurkan agar kita selalu mengamalkan Doa Qunut ini di luar shalat. Menurut beliau, selari dengan pemahaman hadis Junjungan Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam yang menyatakan bahawa: "Sebaik-baik amalan itu adalah yang diamalkan secara berkekalan walaupun sedikit", maka Doa Qunut yang telah kita amalkan sejak kecil atau baligh sehingga dewasa ini adalah termasuk dalam amalan yang diamalkan secara berkekalan sehingga ianya dapat dimasukkan dalam pengertian hadis tadi. Maka, beliau menganjurkan agar Doa Qunut diamalkan 41 kali atau 13 kali setiap hari atau malam. Menurut beliau, ini antara amalan yang paling baik untuk keselamatan dan perlindungan diri dan rumah tangga dari segala kejahatan termasuklah daripada gangguan jin dan syaitan. Pengalaman pribadi faqir, ketika kecil dahulu, pernah kenal dengan seorang tua yang selain alim dan warak, dikenali juga sebagai orang yang pandai membuat air penawar dan penerang hati. Dan faqir masih ingat beliau menyebut bahawa yang beliau baca ketika menawar air hanyalah Fatihah, Shalawat dan Doa Qunut.
Sebelum menutup entri ini, suka faqir nyatakan bahawa membaca Doa Qunut ini dengan lafaz atau shighah jamak (plural) walaupun ketika membaca seorang diri, samada di dalam Shalat Subuh atau di luar shalat, tidaklah menjadi kesalahan. Bahkan sebahagian guru faqir menyukai agar Doa Qunut atau lain - lain doa dibaca dengan shighah jamak dan kita qasadkan menghimpun permohonan yang terkandung dalam doa tersebut bukan sahaja bagi diri kita "aku" tetapi juga bagi "kami" iaitu anak - isteri kita, kaum kerabat kita, sahabat handai kita, bahkan sekalian umat Islam. Mudah - mudahan bermanfaat.
Rabu, November 01, 2023
Doa Nashiri
Sebagaimana yang telah sering kita dengar, kata - kata yang sering dinisbahkan kepada Junjungan Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam menyatakan bahawa : "Doa itu senjata orang mukmin." Maka di antara doa yang elok untuk diamalkan, terlebih lagi pada masa ini, ketika mana Rejim Zionis sedang mempertingkatkan lagi penjajahan, penindasan dan pembunuhan di Gaza dan Tanah Suci Baitul Maqdis, adalah seuntaian doa yang disusun Syaikh Muhammad bin Muhammad bin Ahmad bin Nashir ad-Dar`i rahimahullah.
Syaikh Muhammad ad-Dar`i adalah seorang ulama Maghribi. Beliau dilahirkan sebuah kampung bernama Tamergroute, Sijilmasa sekitar tahun 1012H/1603M dan wafat sekitar tahun 1085H/1674M. Beliau mendalami dan belajar ilmu - ilmu Islam di Maghribi, al-Azhar dan juga al-Haramain sehingga menjadi ulama yang cemerlang penguasaannya dalam ilmu pengetahuan. Doa Nashiri ini beliau karang sebagai respons kepada situasi umat di zaman beliau, di mana berlakunya kezaliman dan penindasan sehingga mendatangkan kesusahan dan kepayahan terhadap rakyat jelata dan umat yang lemah. Bahkan, doa ini sering dibaca dan diamalkan ketika penjajahan Perancis ke atas Maghribi, Algeria dan negeri -negeri Afrika Utara yang lain. Menurut Syaikh Abdul Hay al-`Imrawi, seorang ulama dari Kota Fes, penjajah Perancis amat tidak senang dengan doa ini, sehingga mereka melarang pembacaannya secara terbuka di masjid - masjid.
Di Malaysia, antara yang mula - mula memperkenalkan pembacaan doa ini adalah almarhum TG Haji Nik `Abdul `Aziz. Bahkan beliau rahimahullah telah menterjemahkan doa ini ke Bahasa Melayu agar lebih dihayati oleh para pembaca. Mudah - mudahan mengamalkan doa ini tercatat sebagai tanda keprihatinan dan sumbangan kita terhadap perjuangan mereka - mereka yang sedang menghadapi penindasan dan kezaliman di mana jua tempatnya, teristimewa sekali di Bumi Gaza, tanah kelahiran Imam kita asy-Syafie dan Baitul Maqdis.
Bacaan Doa Nashiri [Langgam Maghrib].
Khamis, September 28, 2023
Khamis, September 21, 2023
Mawlid al-`Azb
Bulan Rabi`ul Awwal datang lagi, bulan yang disambut penuh kegembiraan kerana dimuliakan bulan ini dengan kelahiran Junjungan Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam. Amatlah janggal dan pelik, jika seseorang yang mengaku dirinya umat Junjungan Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam, namun tidak terdetik di hatinya kegembiraan dengan peristiwa kelahiran baginda. Anak kita lahir pun kita gembira, kenapa kelahiran Nabi yang membawa hidayah menunjuk dan membimbing kita ke syurga tidak terasa apa - apa di hati kita? Apakah mungkin ada kekurangan sinar cahaya di hati? Allahumma shalli wa sallim `alan Nuuril Anwaar.....
Pada bulan mawlid yang diberkati, kita lihat sikit kepada satu lagi karya mawlid yang tidak kurang kemasyhurannya di dunia Islam. Karangan tersebut dikenali sebagai Mawlid al-`Azb sempena nama pengarangnya iaitu al-Imam al-Faqih al-Fadhil an-Nabiil Muhammad bin Muhammad bin Muhammad al-`Azb al-Dimyathi al-Madani asy-Syafie rahimahullah. Beliau adalah seorang tokoh ulama kenamaan yang menjadi guru besar dalam Masjid Nabawi di Madinah al-Munawwarah. Beliau bermazhab Syafie.
Syaikh Muhammad al-`Azb dilahir di Mesir pada bulan Rabi`ul Awwal, kurun yang ke-13H. Beliau membesar dalam menuntut dan menekuni ilmu pengetahuan sehingga menjadikan beliau seorang yang cemerlang dalam berbagai disiplin ilmu. Syaikh Abdus Sattar bin Abdul Wahhab al-Bakri ash-Shiddiqi al-Hindi al-Makki al-Hanafi dalam karya beliau Faidhul Malik al-Wahhab al-Muta`ali bi abnaa-i awaa-il al-Qarnits Tsalits `Asyr wat tawaali memuji Syaikh Muhammad al-`Azb antaranya sebagai berikut: ...."Beliau telah mencapai kemuncak segala disiplin ilmu. Beliau adalah lautan ilmu yang dalam dengan pesisir yang tiada permulaan dan tidak berpenghujung (yakni ibarat bagi betapa luas dan besarnya lautan yang dalam tersebut)." Keunggulan ini membolehkan beliau untuk mengajar kitab - kitab yang besar seperti al-Mawahib, al-Ihya`, asy-Syifa`, at-Tohfah dan lain - lain lagi. Beliau juga biasa mengajar kitab - kitab hadis yang enam (sunnan sittah), Syamail dan lain - lain lagi. Di antara guru - guru beliau adalah Syaikh Ahmad ad-Damhuji, Syaikh Muhammad Fathullah bin `Umar as-Samdisi, Syaikh Musthafa al-Budairi, Syaikh Musthafa al-Bawlaqi, Syaikh Ibrahim al-Bajuri, Syaikh Ibrahim as-Saqa` dan lain - lain lagi.
Syaikh Muhammad al-`Azb juga mempunyai kedudukan yang tinggi dalam sastera Arab. Beliau memiliki karangan - karangan, antaranya berupa syair -syair yang bermutu lagi luarbiasa, risalah - risalah, kitab - kitab seperti kitab mawlid yang indah dan kitab mengenai shalawat, juga menulis hawamisy (notakaki/ catatan pinggir) bagi beberapa kitab yang besar. Syaikh Muhammad al-`Azb wafat di kota suci Madinah al-Munawwarah pada tanggal 9 DzulHijjah, iaitu hari wuquf, tahun 1293H. Semoga Allah mencucuri rahmat dan kasihan belas ke atas beliau sentiasa dan sepanjang masa...rahimahullah.
Sehingga kini Mawlid al-`Azb masih terus dibaca dan diperdengarkan terutama dalam bulan Rabi`ul Awwal. Antara keistimewaan mawlid ini adalah pernyataan tegas pengarangnya mengenai berimannya ayahanda dan bonda Junjungan Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam. Beliau menyatakan dengan penuh keyakinan dan ketegasan bahawa kedua ibubapa Junjungan shallaAllahu `alaihi wa sallam, iaitu Sayyid `Abdullah dan Sayyidah Aminah radhiyaAllahu `anhuma, bukanlah ahli neraka, bahkan mereka berdua adalah orang yang beriman dan terselamat dari api neraka. Syaikh Muhammad al-`Azb menjelaskan lagi bahawa sesiapa yang menyatakan sebaliknya, dia adalah orang yang telah tersasar dan menjauhi jalan kebenaran. Begitulah juga dengan segala leluhur, nenek datuk baginda shallaAllahu `alaihi wa sallam, mereka semuanya adalah penghuni - penghuni syurga. Mudah - mudahan keberkatan si pengarang dan kitab mawlidnya dapat kita kecap sehingga ianya menjadi antara sebab kita memperolehi keselamatan di dunia dan di akhirat...Allahumma aamiin.
Mawlid al-`Azb Majlis Guru Sekumpul
Bacaan Mawlid `Azb Majlis Sidi Ali Jum`ah.
Isnin, September 04, 2023
`Ataaqah Kubra - Tuhfatul Murid
Dalam tradisi ulama kita, ada berbagai amalan yang dinamakan sebagai `ataaqah (pemerdekaan) iaitu zikir - zikir yang diamalkan dengan harapan agar ianya menjadi wasilah bagi mendapatkan pengampunan, kebebasan dan pemerdekaan Allah dari api neraka. Namun, yang terkenal dan termasyhur adalah `ataaqah dengan membaca kalimah tawhid (tahlil) sebanyak 70,000 kali yang dinamakan sebagai `Ataaqah Shughra dan `ataaqah dengan membaca Suratul Ikhlas sebanyak 100,000 kali yang dinamakan sebagai `Ataaqah Kubra. Faqir tidak berminat untuk membahas ikhtilaf ulama mengenai amalan - amalan ini. Bila kita tahu bahawa wujudnya ikhtilaf dan tsabit sebahagian ulama mengamalkannya bahkan menganjurkannya, maka terpulanglah bagi kita untuk memilih samada untuk mengamalkannya atau tidak.
Di antara ulama yang menyebut tentang amalan ini adalah Syaikhul Islam Ibrahim al-Baijuri rahimahullah. Dalam karangan beliau yang masyhur dalam Ilmu Tawhid, Tuhfatul Murid yang merupakan hasyiah beliau atas nazam Jawharatut Tawhid karya Imam al-Laqqani rahimahullah, pada halaman 104 beliau menyatakan, antara lain, sebagai berikut:-
...Adapun dosa - dosa yang berkait dengan hak - hak sesama manusia, maka tidak dapat tidak untuk menebusnya adalah dengan al-muqashah (diqishash / ambil balas) dengan mengambil pahala kebajikan pelaku kezaliman untuk diberikan kepada orang yang dia zalimi. Apabila tidak ada lagi pahala kebajikan pelaku kezaliman untuk diberikan kepada orang yang dia zalimi, maka diambillah dosa kesalahan orang yang dizalimi untuk ditanggung oleh si pelaku kezaliman. Akan tetapi telah diriwayatkan oleh al-Bazzar daripada Anas bin Malik secara marfu`: "Sesiapa yang membaca `Qul Huwa Allahu Ahad' (yakni Suratul Ikhlas) 100,000 kali, maka dia telah menebus dirinya daripada Allah, lalu menyerulah satu penyeru (yakni malaikat) bagi pihak Allah di (segenap penjuru) langit dan bumi (dengan seruan): "Ketahuilah bahawa sifulan adalah `atiqullah (yakni orang yang dimerdekakan Allah), maka sesiapa yang mempunyai hak tuntutan terhadapnya hendaklah dia mengambil hak tersebut daripada Allah `azza wa jalla." Melihat secara zahir (yakni melihat kepada zahir riwayat tersebut semata-mata) yang sedemikian tadi (yakni ganjaran membaca 100,000 kali Suratul Ikhlas) menjadi kaffarah (penebus) bagi (sebahagian) dosa - dosa besar juga. Dan inilah amalan yang dinamakan sebagai al-`Ataaqatul Kubra (pemerdekaan yang agung).....
Ulama kita juga tidak sepakat mengenai `ataaqah kubra sebagai kaffarah bagi dosa - dosa besar atau sebahagian daripadanya. Ada yang berpandangan seperti yang diutarakan oleh Sidi Baijuri rahimahullah, namun tidak kurang pula yang berpendapat sebaliknya. Untuk mengakhiri entri ini, faqir tutup dengan mendatangkan fatwa Syaikh `Athiyyah Shaqr rahimahullah mengenai persoalan "`al-`ataaqah lil mayyit" yang difatwakan pada bulan Mei, 1997 yang telah dibukukan dalam himpunan fatwa Darul Ifta` al-Mishriyyah, juga boleh dibaca dalam berbagai laman fatwa. Dalam fatwa tersebut, dinyatakan, antara lain, sebagai berikut:- ...Telah diriwayatkan oleh al-Bazzar dengan sanad yang dhaif bahawa Junjungan Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam bersabda: " Sesiapa yang membaca Qul Huwa Allahu Ahad 100,000 kali, maka dia telah menebus dirinya daripada Allah. Maka menyeru satu penyeru (yakni malaikat) bagi pihak Allah ta`ala di langit dan di bumi: "Ketahuilah bahawa sifulan adalah `atiqullah (orang yang dimerdekakan Allah)." Imam ash-Shawi dalam hasyiah beliau bagi Tafsir al-Jalalain menyatakan bahawa inilah `ataaqah (pemerdekaan) dari api neraka asalkan dia tidak menanggung hak - hak yang berkaitan dengan manusia (huququl `ibaad) atau ada baginya tanggungan hak manusia namun dia lemah atau tidak mampu untuk menyelesaikannya (yakni bukan dia sengaja tidak mahu menyelesaikan atau melangsaikan hak manusia yang dia tanggung). Adapun orang yang sengaja tidak mahu menyelesaikan tuntutan atau tanggungannya atas hak - hak manusia, sedangkan dia mampu melakukannya, maka dia seperti orang yang mempersendakan Tuhannya (yakni jika hanya mengandalkan `ataaqah kubra semata-mata untuk menggugurkan hak manusia tersebut, tanpa berusaha mencari penyelesaian bagi melunaskan hak - hak manusia yang dipikulnya seperti dengan mengembalikan hak orang yang telah diambilnya atau meminta kemaafan atau meminta halal dan seumpamanya). Syaikh al-Hifni menukilkan daripada Syaikh al-`Iyaasy dalam Mishbahul Zhalam, j.2, halaman 161, bahawa sesiapa yang membaca 100,000 kali Surah al-Ikhlas, ia menjadi kaffarah bagi dosa - dosa kecil dan dosa - dosa besar. Ini adalah pendapat yang tidak dapat dijadikan sandaran berbanding pendapat yang menyatakan bahawa dosa - dosa besar tidak ada kaffarah baginya selain bertaubat nashuha di mana antara syarat taubat nashuha adalah menunaikan / melunaskan / melangsaikan / menyelesaikan hak - hak hamba (yakni hak manusia lain yang ditanggungnya). Berdasarkan kepada hadis tadi, yang boleh beramal dengannya dalam bab fadhail al-a'maal, sekelompok ulama mutaakhir daripada Mazhab Maliki berpendapat mustahab (elok / bagus) untuk mengamalkan `Ataaqah ash-Shamadiyyah (yakni `Ataaqah Kubra dengan membaca 100,000 kali Surah al-Ikhlas). Perkara ini telah disebut oleh al-Muhaddits Abdullah Shiddiq al-Ghumari dalam kitabnya Fadhail al-Quran....
Begitulah sedikit tentang `Ataaqah Kubra atau `Ataaqah ash-Shamadiyyah. Mudah - mudahan dapat kita lazimkan membaca sebanyak - banyaknya Surah al-Ikhlas dan semoga ianya menjadi bekalan yang berharga bagi kita di sana nanti dan menjadi sebab meraih rahmat dan keredhaan Allah sehingga kita menjadi `atiqullah yang mendapat kebebasan dari neraka yang amat dahsyat..Allahumma aamiin.
Khamis, Ogos 31, 2023
Khamis, Ogos 24, 2023
Syaikh Shalih Kamal
Ulama kita Nusantara, al-`Alim al-`Allaamah Syaikh Muhammad Mukhtar Bogor rahimahullah ada meninggalkan beberapa karya tulis. Di antaranya berupa karya terjemahan dan saduran yang beliau lakukan bagi karangan seorang ulama dan mufti Hanafi Mekah yang diberi jodol al-Wahbatul Ilahiyyah dan dipinggirnya satu risalah mengenai `ataqah al-kubra. Kitab al-Wahbatul Ilahiyyah itu berisikan kaedah bagi melaksanakan fidyah sembahyang bagi orang mati, sebagaimana masyhur menurut mazhab Hanafi dan satu pendapat (qil) dalam mazhab Syafie. Masalah fidyah sembahyang bagi orang mati ini adalah satu perkara yang menjadi ikhtilaf muktabar di kalangan para ulama Ahlus Sunnah wal Jama`ah. Dari itu berlapang dadalah dalam perkara ini, jangan mudah - mudah menyalahkan orang yang membuatnya dan jangan sekali - kali mencaci mereka kerana mereka juga mempunyai dalil dan panutan daripada kalangan para ulama yang benar. Sesiapa yang tidak melakukannya, mereka juga berada atas jalan yang benar, jalan para ulama yang `amilin mukhlashin. Manakala Risalah `Ataqah al-Kubra pula adalah risalah ringkas mengenai amalan membaca Suratul Ikhlas 100,000 kali sebagai sarana wasilah mendapatkan pembebasan Allah daripada api neraka.
Almarhum Ustaz Wan Muhammad Shaghir pernah menulis mengenai Syaikh Mukhtar Bogor dan biografi ulama ini telah tersebar dan mudah untuk kita baca. Di sini faqir ingin menulis sikit mengenai Mufti Hanafi Mekah tersebut, iaitu Syaikh Muhammad Shalih Kamal. Tulisan ini faqir kutip dari karangan `Umar Abdul Jabbar yang berjodol Siyar wa Tarajim ba`adh ulama-ina fi qarni ar-rabi` `asyr lil hijrah. Nama penuh beliau adalah Muhammad Shalih bin al-`Allaamah Shiddiq bin al-`Allaamah `Abdul Rahman Kamal al-Hanafi. Beliau dilahirkan di Mekah dalam bulan Rabi`ul Awwal 1263H. Keluarga beliau terdiri daripada kalangan alim ulama besar dan di situlah beliau memulai pendidikannya. Beliau menghafal al-Quran di usia dini dan biasa diangkat untuk menjadi imam bagi Shalat Tarawih. Selain ayahandanya sendiri, beliau berguru dengan ulama - ulama Tanah Haram, antaranya dengan Syaikh `Abdul Qadir Khauqir di mana dengannya beliau mendalami fiqh Hanafi, Sidi Ahmad Zaini Dahlan dan Syaikh Rahmatullah, pengarang kitab Idzharul Haq dan pengasas Madrasah ash-Shaulatiyyah, Mekah. Setelah dipandang layak dan mumpun ilmunya, beliau telah diberi kebenaran untuk menjadi tenaga pengajar di Masjidil Haram.
Pada tahun 1297H, Syaikh Muhammad Shalih Kamal telah dilantik menjadi qadhi di Jeddah. Namun, jawatan tersebut terpaksa beliau tinggalkan kerana hatinya sangat rindu pada Masjidil Haram dan Ka`batullah al-Musyarrafah. Di Mekah, beliau terus mengabdikan dirinya untuk mengajar dan menyebarkan ilmu. Syarif `Abdul Muthallib bin Ghalib, amir / gabenor Mekah ketika itu, amat menghormati dan menyanjungi beliau, bahkan sering bertanyakan pendapat beliau dalam pelbagai kemusykilan. Ketika almarhum amir tersebut wafat, beliau telah dimandikan serta dikafankan oleh Syaikh Muhammad Shalih sesuai dengan wasiat sang amir.
Pengganti Syarif `Abdul Muthallib, Syarif `Aun, telah memberi kebenaran untuk Syaikh Muhammad Shalih berfatwa, menjadi imam dan khatib di Masjidil Haram. Sekitar tahun 1305, beliau dilantik pula menjadi naib qadhi yang beliau laksanakan tanggungjawabnya dengan penuh keikhlasan dan amanah. Segala lantikan sebagai naib qadhi dan qadhi tidak menghalang beliau untuk terus mengajar. Para murid sentiasa mendatangi beliau untuk mengambil manfaat daripada ketinggian ilmunya sehingga beliau diangkat sebagai mufti bagi para pengikut Mazhab Hanafi. Di antara murid - murid beliau adalah Syaikh Muhammad al-Marzuqi, Syaikh Ali Kutbi, Syaikh Sa`dullah al-Hindi, Syaikh `Ali Badri dan Syaikh Amanullah, yang semuanya adalah alim ulama Masjidil Haram.
Syaikh Muhammad Shalih Kamal bin Shiddiq Kamal tutup usia pada tahun 1332H di Kota Mekah. Jenazah beliau telah dibawa ke Masjidil Haram untuk disembahyangkan di sisi Multazam dengan diimamkan oleh Syaikh Sulaiman Hasbullah al-Makki asy-Syafie. Syaikh Sulaiman ketika menyaksikan jenazah Syaikh Shalih Kamal mengungkapkan kata - kata: "Pada hari ini telah mati fiqh Abu Hanifah", yakni hilangnya seorang pakar rujuk dan faqih Mazhab Hanafi. Selain murid - murid, Syaikh Shalih Kamal turut meninggalkan beberapa karangan, antaranya:- Tabshiratush Shibyan wa Tadzkiratul Ikhwan, `Uqudud Durrin Nadhid fi manaqib Sayyidinal Husain asy-Syahid, al-Wahbatul Ilahiyyah dan Risalah `Ataqah al-Kubra. Semoga Allah sentiasa merahmati Syaikh Muhammad Shalih Kamal dan menempatkan beliau di kalangan para awliya` dan shalihin bi jiwari as-Sayyidil Amin `alaihi afdhalus shalah wa azkas salaam.
Jumaat, Ogos 04, 2023
Sebab Musabbab - "Ramuan Rapi"
Shahibus Samahah al-`Alim Dato Haji Muhammad Nor bin Ibrahim (1905 - 1987) rahimahullah adalah antara tokoh ulama tanahair. Beliau dilahirkan di Kota Bharu, Kelantan Darun Na`im. Ayahandanya adalah seorang ulama tersohor yang menjadi mufti Kelantan yang terkenal dengan gelaran Mufti Haji Ibrahim Tok Raja dari keturunan Tuan Padang @ Haji Ahmad bin Haji Yusuf bin Haji Abdul Halim al-Yunani. Dato Haji Muhammad Nor menuntut ilmu agama sehingga ke Makkah al-Mukarramah dan antara guru beliau adalah Tok Senggora @ Syaikh Muhammad bin Abdullah, Syaikh Hasan Masyath, Sidi Amin Kutbi, Syaikh Muhammad Nur al-Fathani, TG Pak Da `Eil al-Fathani dan ramai lagi ulama Makkah ketika itu.
Di antara karya tulis Dato Muhammad Nor adalah sebuah kitab tafsir ringkas bagi Surah al-Kahfi yang diberi jodol "Ramuan Rapi Dari Arti Surah al-Kahfi". Kitab ini telah diterbit pertama kalinya pada tahun 1957 dengan tulisan jawi sekitar 53 halaman. Di antara isi kandungan yang dibahaskan dalam kitab tersebut adalah persoalan ikhtiar usaha dan sebab musabbab. Beliau menegaskan betapa pentingnya kita menjalankan sebab bagi menghasilkan musabbab. Namun ini tidaklah bererti bahawa segala sebab itu memberi bekas, hanyasanya yang memberi bekas hanya Allah, Zat yang menjadikan segala sebab tersebut dan musabbabnya. Oleh itu, kita diperintahkan untuk menjalankan sebab tanpa melupai bahawa yang memberi bekas hanya Allah, Tuhan yang Maha Pencipta. Hal ini mengingatkan faqir kepada pengajian tauhid satu ketika dahulu dengan almarhum guru faqir, Ustaz Adnan Nasution (nota: tidak ada hubungan dengan Saifudin Nasution mungkin hanya satu marga, ini guru faqir bermarga Nasution yang berasal dari Tapanuli Selatan), yang menyatakan bahawa alam dunia ini adalah alam hikmah di mana Allah yang Maha Bijaksana menjadikan sesuatu itu melalui proses sebab musabbab. Maka penampakan Qudrat kekuasaan Allah dilindung / ditapok / dihijab / disamar / di"camouflage" dengan berbagai sebab, contoh seperti terhasilnya buah - buahan dari pohon yang hidup subur tumbuh di tanah, turunnya hujan turun dari awan yang gelap dan sebagainya. Semua ini dijadikan Allah antara hikmahnya untuk menguji keimanan dan makrifat hamba - hambaNya. Maka ada daripada mereka yang hanya melihat atau terhenti pada sebab sehingga lupakan Allah yang Maha Berkuasa, Zat yang memberi bekas dan yang menjadikan segala sebab dan musabbab. Berbeza dengan alam akhirat, di sana jelas nampak Qudratullah semata, tamsilannya seperti wujudnya buah - buahan tidak memerlukan pepohon atau terbit dari pohon yang tumbuh menyongsang, akarnya ke langit tergantung manakala ranting dan buahnya ke tanah sehingga mudah dipetik. Maka alam akhirat itu disebut sebagai alam qudrah, yakni alam di mana Qudratullah itu nampak dengan jelas tanpa dihijab oleh sebarang sebab.... Allahu ...Allah.
Berbalik kepada persoalan sebab musabbab, maka sekelumitnya faqir petik dari halaman 4 -5 kitab Ramuan Rapi tersebut, di mana Dato Muhammad Nor menulis berkenaan sebab musabbab dan tawakkal, antaranya beliau menyatakan sebagai berikut:- ....Ghazali dalam Ihya` menegaskan masalah ini dengan keterangan maksudnya: "Orang yang tidak hendak menggunakan satu - satu sebab yang dengannya terikat satu - satu musabbab, maka ialah orang yang hendak melawan hikmah Tuhan dan ialah orang yang jahilkan sunnatullah atau upacara Tuhan pada kejadianNya." Kalau orang yang lapar hanya menanti Tuhan jadikan kenyang diperutnya dengan tak payah benda yang mengenyang atau hanya menanti Tuhan menyampaikan makanan ke dalam ma`idahnya dengan alasan kalau ia menjalankan sebabnya seperti menyuap, mengunyah dan menelan makanan itu, nescaya hilanglah erti wajib bertawakkal dan berserah kepada Tuhan yang menjadikan segala-gala, - Kalau ada orang semacam itu, kata Ghazali, maka itulah orang yang gila atau bebal juga orang yangjahilkan sunnatullah dan tidak fahamkan erti tawakkal. ...... Hendaklah diingat bahawa ketetapan satu - satu sebab menerbitkan musabbabnya, juga ketetapan terbit satu musabbab dari satu sebab yang khas itu ialah ketetapan yang semata - mata ditentukan oleh Tuhan yang Maha Bijak lagi Maha Kuasa sebagai undang - undang am bagi kejadianNya. Maka orang yang ingat dan percaya begitu tentu berpendapatan bahawa undang-undang itu - pada suatu masa yang istimewa atau peristiwa yang khas - mungkin dan boleh juga terpinda dan terubah menurut hikmah dan perintah Tuhan yang Maha Kuasa; Mungkin terbit musabbab dari satu sebab yang luarbiasa, mungkin satu sebab tidak menerbitkan musabbabnya yang biasa dan mungkin pula tidak menerbitkan musabbab langsung. Dengan kerana kemungkinan yang tersebut maka diwajibkan seseorang bertawakkal dan berserah kepada Tuhan, Pencipta segala - gala, menyempurnakan maksudnya setelah ia usaha mencukupkan sebab maksud itu, dan pada perkara yang tidak diketahuikan sebabnya disuruh pula berdoa sama, mudah - mudahan beroleh petunjuk dan jalan yang betul.....
Dato Muhammad Nor membahaskan perkara ini dengan panjang lebar dalam kitab beliau tersebut, silalah tuan puan rujuk ke sana dan baca dengan cermat. Sebagai kesimpulan ringkas, kita sewajarnya menjalankan segala sebab sebagaimana yang diperintahkan agama, namun jangan sesekali bergantung dengan sebab sehingga lupa berserah dan bertawakkal kepada Allah yang menciptakan segala sebab musabbab dan hanya Dia sahajalah yang Maha Berkuasa dan yang memberi bekas. Sebagai catatan, Dato Muhammad Nor mengakhiri kitabnya tersebut dengan Shalawat Badawi Shughra @ Shalawat Nuril Anwari yang berkat.
Khamis, Julai 27, 2023
Kaffarah Dosa Besar???
Sebagaimana yang telah sedia dimaklumi, puasa - puasa sunat seperti Puasa Arafah dan Puasa `Asyura antara kelebihannya adalah menjadi kaffarah yakni penebus atau penghapus bagi dosa kesalahan kepada Allah `azza wa jalla. Mengenai kelebihan berpuasa pada hari `Asyura, misalnya, maka ada sabdaan Junjungan shallaAllahu `alaihi wa sallam yang diriwayatkan oleh Imam Muslim yang menyatakan berpuasa pada hari tersebut akan menjadi kaffarah bagi dosa setahun sebelumnya. Jumhur ulama berpandangan bahawa dosa kesalahan yang dapat dikaffarahkan dengan ganjaran puasa - puasa tersebut hanyalah dosa - dosa kecil, sedangkan bagi dosa - dosa besar jalan untuk mendapat keampunannya hanyalah dengan melakukan taubat nashuha.
Para ulama turut menjelaskan bahawa pengampunan dosa adalah hak mutlak Allah ta`ala, maka boleh sahaja bagiNya untuk memberikan keampunan kepada sesiapa sahaja yang Dia kehendaki bagi apa jua jenis dosa, samada kecil atau besar, semata - mata atas kemurahan dan belas ihsanNya, walaupun tanpa apa - apa sebab seperti kaffarah atau taubat. Hanya dosa syirik sahaja yang tidak Dia ampunkan melainkan dengan taubat dan kembali mentauhidkanNya. Inilah mafhum yang dijelaskan oleh sebahagian ulama tentang firman Allah pada ayat 48 Surah an-Nisa`. Contohnya, dalam The Meanings of The Noble Quran karya Mufti Muhammad Taqi Usmani hafizahullah di notakaki mengenai ayat tersebut pada halaman 159 dinyatakan sebagai berikut: This means that Allah may forgive any sin, even without repentance, at His discretion, except the sin of ascribing partners to Him, which cannot be forgiven unless one repents and believes in Tauhid (Oneness of Allah). Namun, jangan pula kita alpa bahawa Allah selain Maha Pemurah, Maha Pengasih, juga Maha Adil, Maha Mengetahui, Maha Bijaksana, Maha Penerima Taubat, Maha Pemberi Balasan, rahmatNya luas tidak bertepi namun azabNya juga teramatlah pedih. Maka hendaklah kita sentiasa ada khauf dan raja`, harapkan rahmatNya takutkan azab balasanNya
Berbalik kepada ganjaran puasa sunat yang menjadi kaffarah bagi dosa, walaupun jumhur atau kebanyakan ulama berpandangan seperti di atas tadi, yakni yang dikaffarahkan hanyalah dosa - dosa kecil, namun segelintir ulama berpendapat bahawa sebahagian dosa - dosa besar juga dapat dikaffarahkan dengan Puasa `Arafah dan Puasa `Asyura. Pendapat minoriti ini telah dirajihkan oleh Syaikh al-Imam al-Hafiz Ahmad bin Muhammad bin ash-Shiddiq al-Hasani al-Ghumari rahimahullah ulama hadits yang terkemuka. Dalam karangannya Lubbul Akhbar al-Ma'tsurah dinyatakan:- ...Apakah yang dikehendaki dengan dosa - dosa yang dikaffarahkan sebagaimana disebut dalam hadis (yakni hadis Puasa `Arafah dan Puasa `Asyura)? Apakah al-kabair dan ash-shaghair (yakni kedua - duanya, dosa besar dan dosa kecil)? Atau hanya ash-shaghair (dosa - dosa kecil) sahaja? Perbezaan pendapat mengenai hal ini masyhur dan telah aku bentangkan dalam kitabku Tanwirul Abshar wal Bashair bi takfir ma taqaddama wa ma taakhkhara minal kabair wash shaghair. Dan yang rajih ( di sisi beliau) adalah yang pertama (yakni menjadi kaffarah kabair dan shaghair), walaupun jumhur berpegang dengan yang kedua (yakni kebanyakan ulama berpegang bahawa dosa - dosa yang dikaffarah itu hanyalah dosa - dosa kecil sahaja.)
Allahu ... Allah, walau apa pun perbezaan pendapat di kalangan ulama tersebut, tetap berpuasa pada hari `Arafah dan `Asyura mempunyai keistimewaan luarbiasa, iaitu menjadi sebab bagi rahmat Allah untuk mengkaffarahkan dosa - dosa kita. Kecil besar, itu hak mutlak Allah, jangan sesekali berputus asa, walau sebesar mana pun dosa yang telah dilakukan. Selagi jasad masih bernyawa, pintu amal dan taubat sentiasa terbuka. Maka lakukan segala amalan yang diwajibkan dan semampunya lakukanlah yang disunnatkan, dengan disertai keinsafan dan taubat yang sesungguhnya. Mudah - mudahan amalannya dan taubatnya diterima Allah dan dijadikan sebab melayakkan diri mendapat rahmat Allah menjadi penghuni syurga yang abadi.
Selasa, Julai 25, 2023
Khasiat Surah al-Falaq
Surah al-Falaq adalah surah yang kedua terakhir dalam susunan tertib mushaf yang mulia. Surah ini bersama dengan Surah an-Naas selepasnya adalah sebesar - besar wasilah untuk memohon perlindungan Allah daripada segala keburukan dan kejahatan. Tidak hairan jika dua surah ini sering disebut sebagai al-Mu`awwidzatain, yakni dua surah memohon perlindungan. Maka faqir mulakan entri awal tahun hijrah ini dengan membawa sekelumit tentang surah yang mulia, untuk mengambil sempena (tafa-ulan) mudah - mudahan sepanjang tahun ini kita, keluarga kita, kaum kerabat, rakan taulan serta segala umat diberikan perlindungan oleh Allah jalla wa `azza sepanjang tahun ini.
Selain menjadi panduan menjalani kehidupan yang diredhai Allah ta`ala, surah ini juga memiliki berbagai kelebihan. Antaranya adalah sebagaimana yang diriwayatkan oleh beberapa ahli hadits, antaranya Imam Ibnu Hibban, dengan sanad yang shahih, bahawa Junjungan Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam pernah berpesan kepada Sayyidina `Uqbah bin `Aamir radhiyaAllahu `anhu agar membaca Surah al-Falaq di dalam shalat semampunya kerana tidak ada satu surah yang lebih dikasihi Allah dan lebih cepat diterimaNya, yakni sebagai permohonan perlindunganNya, selain daripada Surah al-Falaq. Maka sewajarnya jangan pernah kita tinggalkan membaca surah yang mulia ini setiap hari dan setiap malam, walaupun sekali, kerana apa yang tidak dapat dilakukan semua jangan ditinggalkan semua.
Selain daripada itu, para ulama ada menyatakan bahawa Surah al-Falaq juga amat ampuh sebagai wasilah bagi kelancaran rezeki. Syaikhul Azhar, Dr. `Abdul Halim Mahmud rahimahullah dalam karya beliau, "al-Madrasah asy-Syadziliyyah al-Haditsah" pada halaman 109 menyatakan bahawa Syaikh Abul Hasan `Ali asy-Syadzili rahimahullah, wali quthub pengasas Thariqah Syadziliyyah yang masyhur, berwasiat agar sesiapa yang mahu rezekinya dimudahkan Allah, maka hendaklah dia memperbanyakkan membaca Surah al-Falaq. Mudah - mudahan dengan mengamalkan membaca surah yang mulia ini, Allah mudahkan dan curahkan rezeki hissi dan maknawi kepada kita sepanjang tahun ini selebat - lebatnya.
Pesan KH Achmad Chalwani Nawawi
Selasa, Julai 04, 2023
Isykal Waqaf An `Amta `Alaihim
Faqir telah ditanya mengenai perbuatan sebahagian imam, ketika membaca Surah al-Fatihah dalam shalat, mereka berhenti pada kalimah "an `amta `alaihim", kemudian terus sahaja menyambung bacaannya dengan membaca "Ghairil maghdhubi `alaihim wa ladh dhaaliin", selesai Fatihah. Apakah boleh atau tidak, dan adakah ini tidak menambah ayat dalam surah al-Fatihah? Isykal timbul apabila diviralkan klip singkat seorang ulama ahli tajwid dan qiraah yang masyhur, Dr Ayman Suwaid hafizahullah menegur bacaan seseorang yang berhenti pada ayat tadi, lalu meneruskan bacaannya tanpa mengulang. Sebelum pergi lebih jauh, klip yang ringkas tersebut tidak memberikan gambaran penuh apa yang sedang berlaku. Dr Ayman sedang mengajar bacaan menurut Qiraah Hafs, di mana an `amta `alaihim bukanlah satu ayat dalam qiraah tersebut kerana ianya adalah sebahagian daripada ayat ke-7 Surah al-Fatihah. Maka demi menjaga amanah ilmu, Dr Ayman dalam rangka tahsinul qiraah (memperelok bacaan), telah menerangkan cara atau kaedah bacaan yang terbaik menurut Qiraah Hafs `an`Ashim. Sama seperti bacaan saktah dalam ayat 52 Surah Yaasin, jika seseorang yang mempelajari atau membaca al-Quran mengikut Qiraah Hafs, maka ayat tersebut hendaklah dibaca dengan saktah dan bukannya dengan waqaf seperti dalam beberapa qiraah yang lain.
`Ulum al-Quran itu amat luas, ia mempunyai cabang dan ranting yang banyak. Antaranya, ilmu yang membicarakan tentang batasan sesuatu ayat itu serta bilangannya yang dikenali sebagai `Ilmu `Addil Aayy atau `Ilmul Fawaashil. Juga ada ilmu yang membicarakan tentang kaedah berhenti dan memulakan bacaan ketika membaca al-Quran yang dikenali sebagai`Ilmul Waqfi wal Ibtida`. Maka perbicaraan mengenai permulaan dan kesudahan ayat, jumlah dan bilangan ayat, hendaklah dirujuk kepada kitab - kitab yang membahaskannya. Oleh itu, semata - mata berhenti atau waqaf pada pertengahan atau suku sesuatu ayat, mengikut hukum waqaf dan ibtida`, tidak menjadikan ayat tersebut terpotong menjadi dua ayat. Contoh, jika seseorang membaca Ayatul Kursi (ayat ke-255 surah al-Baqarah) dengan 9 waqaf, tidaklah menjadikan Ayatul Kursi itu sembilan ayat, tetap sahaja Ayatul Kursi satu ayat daripada Surah al-Baqarah. Fahamilah dengan benar. Akhir atau hujung sesuatu ayat juga mempunyai hukum waqaf yang berbeza. Tidak semua waqaf di hujung ayat itu hukumnya sama, ada yang dianjurkan waqaf dan ada pula yang tidak dianjurkan. Contohnya, waqaf atau berhenti pada hujung ayat ke-4 Surah al-Ma`un, yang menurut Ilmu Fawashil adalah satu ayat yang sempurna, namun menurut hukum Ilmu Waqaf wal Ibtida`, berhenti di sini adalah tidak elok / jelek (waqaf qabih), di mana menurut hukum fiqh, ianya adalah makruh. kerana membawa makna seolah - oleh yang dicela adalah orang - orang yang mengerjakan shalat.
Berbalik kepada persoalan waqaf pada kalimah "an `amta `alaihim", kemudian terus menyambung bacaan dengan "Ghairil maghdhubi alaihim wa ladh dhaaliin". Sebenarnya ia bukan satu kesalahan atau kecacatan dalam pembacaan al-Quran menurut ilmu waqaf dan ibtida`. Menurut kitab Manaarul Hudaa fi bayaanil waqfi wal ibtida` karangan Syaikh Ahmad bin Muhammad bin `Abdul Karim al-Asymuni rahimahullah, pada halaman 28 jelas dinyatakan bahawa harus (jaiz) yakni boleh berhenti pada hujung kalimah "an`amta `alaihim". Maka berhenti di sini adalah waqaf jaiz dan bukannya waqaf qabih iaitu perhentian yang jelek. Jadi hukumnya bukanlah haram atau makruh, salah atau cacat bacaan, cuma berkisar pada mana yang lebih utama (awla) sahaja. Pada kebiasaannya, seseorang yang qari (yakni ahli bacaan al-Quran) akan memilih yang awla agar mutu bacaan mereka lebih tinggi nilaiannya.
Selanjutnya faqir suka nyatakan bahawa menurut sebahagian ulama ahli qiraah, "Shiraathal ladzina an `amta `alaihim" adalah satu ayat yang sempurna dari Surah al-Fatihah, iaitu ayat yang ke-6 surah tersebut. Pendapat ini dipegang oleh kebanyakan ulama qiraah Madinah, Syam dan Bashrah. Namun, tetap sahaja Surah al-Fatihah itu 7 ayat kerana mereka tidak menghitung basmalah sebagai satu ayat dari Surah al-Fatihah. Manakala ulama qiraah Mekah dan Kufah mempunyai pandangan yang berbeza, bagi mereka "Shiraathal ladzina an `amta `alaihim" adalah penggalan atau sebahagian daripada ayat yang ke-7 surah al-Fatihah, dengan basmallah dihitung sebagai ayat yang pertama. Inilah juga pendapat Imam Hafs bin Sulaiman al-Kufi yang qiraahnya menjadi pegangan majoriti umat Islam termasuklah kita di Nusantara ini. Hal ini dijelaskan dalam banyak kitab, antara yang sempat faqir telek, al-Kamil fi `Ilmil Fawaashil dan syarahnya karya Syaikh al-Muqri Mahmud bin Syu`aib asy-Syarqawi al-Mishri pada halaman 50 dan at-Tamheed, juz 20, halaman 201 karya al-Hafiz Ibnu `Abdil Bar.
Perkara ini mengingatkan faqir, bahawa ketika bersekolah rendah dahulu, faqir pernah melihat sendiri terpajang pada dinding rumah almarhum Mufti Datuk Haji Abdul Kadir Hasan, sebuah hiasan tulisan khat Surah al-Fatihah dengan bingkai kaca di mana di akhir ayat Shiraathal ladzina an `amta `alaihim diberikan tanda waqaf menunjukkan akhir ayat, iaitu ayat ke-6 surah tersebut. Jika kita teliti mushaf - mushaf cetakan lama, termasuklah cetakan al-Ma`aarif, Pulau Pinang, kita akan menjumpai ada yang menjadikan "Shiraathal ladzina an`amta `alaihim ayat ke-6, namun di atasnya diberi rumuz "lam-alif" untuk menyatakan `adamu waqfi yakni tidak waqaf atau washal di sini lebih utama. Bahkan mushaf al-Quran cetakan kontemporer, yang dicetak mengikut qiraah Imam Nafi` riwayat Imam Warsy memberi tanda waqaf pada ayat tersebut. Contohnya al-Quran cetakan tahun 1431H, al-Mushaf al-Muhammadi asy-Syarif mengikut riwayat Imam Warsy daripada Imam Nafi` (gambar di atas).
Menurut fuqaha` kita, ketika membaca Surah al-Fatihah di dalam shalat, awla hukumnya, yakni lebih utama, kita tidak waqaf pada "an`amta `alaihim", kerana ia bukanlah waqaf yang sempurna di hujung ayat. Namun, jika dia waqaf juga di situ, sengaja atau terpaksa seperti tak cukup nafas, maka tidak sunat baginya untuk mengulang kembali bacaan dari "Shiraathal ladzi..", memadai dia meneruskan sahaja bacaannya dengan membaca "Ghairil maghdhubi `alaihim wa ladh dhaaliin", selesai Surah al-Fatihah. Ini adalah untuk meraiekan pendapat fuqaha` yang menyatakan bahawa mengulang rukun qawli yang telah sempurna dengan sengaja boleh membatalkan shalat, justru itu tidak mengulang setelah waqaf di situ adalah lebih utama (awla) agar keluar daripada khilaf tadi (khurujan minal khilaaf). Hal ini boleh tuan puan rujuk dalam kitab - kitab fiqh kita, antaranya dalam Fathul Mu`in dan hasyiahnya I`aanatuth Thaalibiin, juz 1, halaman 147.
Sebagai kesimpulan, lebih utama (awla) bagi seseorang untuk tidak waqaf di akhir kalimah "an`amta `alaihim", namun jika waqaf juga maka tidaklah menjadikan hukumnya haram atau makruh, setinggi - tinggi hukumnya hanyalah khilaful awla sahaja. Waqaf atau berhenti pada akhir ayat tersebut tetap dihukumkan jaiz / harus / mubah. Selanjutnya, jika berhenti di hujung ayat tersebut ketika membaca Surah al-Fatihah dalam shalat, maka sambungkanlah sahaja bacaan seterusnya dengan membaca "Ghairil maghdhubi `alaihim wa ladh dhaaliin" tanpa perlu undur (gostan) atau mengulang semula dari "Shiraathal ladzina..." Diharap dapat mencerahkan apa yang kelam dengan berkat Sayyidil Anam `alaihi afdhalush shalah wa azkas salaam.
Bacaan Guru Ijai ketika memimpin Shalat Tarawih.
Klip Dr. Ayman dalam rangka tahsinul qiraah.
Langgan:
Catatan (Atom)