Isnin, Mei 24, 2010

Rahsia " wa bi hamdihi"

Berzikir dengan lafaz tasbih ertinya kita mensucikan Allah daripada segala sifat-sifat yang tidak layak bagiNya Jalla jalaaluh, juga mensucikan Allah daripada segala i'tiqad sesat yang dipegangi oleh kaum-kaum yang sesat. Itulah antara hakikat tasbih yang kita fahami. Apabila kita menambah ucapan tasbih kita dengan ungkapan "و بحمده", maka kita menentukan pujian atau sanjungan kita yang berupa tasbih dan taqdis itu dengan pujian Allah sendiri bagi Zatnya yang Maha Suci. Maka jadilah nisbah pujian itu kepada Allah, hal ini apabila berlaku tentulah nilaian tasbih tersebut menjadi tidak dapat dihingga-hinggakan dan berkekalan selama-lamanya. Ini adalah kerana Allah bersifat dengan Qidam dan Baqa, maka jadilah ungkapan "و بحمده" itu "dengan kepujianNya" yakni dengan pujianNya yang tiada permulaan dan tiada kesudahan baginya. Allahu .. Allah, berapa besar ganjaran yang dengan gandaan tersebut, hanya Allah sahaja yang mengetahuinya.

Maka tidak hairanlah kenapa para ulama memandang penting dan utama untuk menjadikan kalimah tersebut dalam bacaan routine mereka. Bahkan Imam al-Bukhari rahimahUllah mengakhiri Jami`ush Shohihnya dengan hadits berikut:-

"Dua kalimat yang disukai ar-Rahman, ringan diucapkan oleh lisan, berat pahalanya pada neraca, iaitu kalimah " سبحان الله و بحمده، سبحان الله العظيم ".

Juga diceritakan oleh al-Quthub al-Habib Hasan bin 'Abdullah al-Haddad rahimahUllah bahawa sepanjang tempoh 40 hari sebelum wafatnya Imam al-Haddad rahimahUllah, beliau banyak berzikir dengan dua kalimah tasbih tersebut. Pasti pilihan Imam al-Haddad untuk memperbanyakkan hari-hari akhirnya di muka bumi yang fana ini dengan ucapan tersebut punya rahsia yang tertentu. Sesungguhnya, dua lafaz tasbih tersebut merupakan suatu lafaz zikir yang jami` menghimpunkan ganjaran dan balasan yang tidak terkira-kira. Habib Ahmad Masyhur bin Thaha al-Haddad rahimahUllah menulis dalam karya beliau "Miftaahul Jannah" pada halaman 146 penjelasan berikut:-

"Dan kubentangkan kepada pembaca karanganku ini akan satu faedah yang telah aku perolehi daripada sebahagian awliya` mengenai ucapan zikir "سبحان الله و بحمده ". Beliau menyatakan seperti berikut: "Sesungguhnya penghayatan kepada makna " و بحمده " memasukkan orang yang berzikir dengannya ke lapangan ma'rifah yang luas, yang dengannya diketahui akan rahsia penggandaan dan pertambahan amalan-amalan dan keberkatannya. Yang sedemikian itu adalah kerana dhomir (gantinama) pada kalimah " و بحمده " kembali kepada Allah jalla wa 'ala. Maka apabila engkau melafazkan " سبحان الله و بحمده ", yang engkau maksudkan ialah "Aku mensucikanNya dengan pujianNya (yakni aku memuji Allah dengan pujian Allah bagi diriNya)", dan adalah pujianNya bagi DiriNya itu qadim (tiada permulaan) kerana Allah bersifat dengan Qidam dan kekal abadi dengan keabadianNya (yakni berkekalan selama-lamanya kerana Allah bersifat kekal abadi tiada kesudahan). Ini menjadikan ucapan tersebut tiada dapat dihinggakan bilangannya (bersifat "infinity") dan tiada dibatasi sebarang had batasan. Maka dengan ucapan tersebut, engkau memuji Allah dengan pujianNya sendiri bagi diriNya (yakni puji Qadim bagi Qadim) dan bukannya engkau memujinya dengan pujian engkau sendiri.
Maka lazimilah akan ucapan tasbih dengan mendatangkan lafaz "و بحمده" kerana dengan tambahan yang sedikit itu boleh mendatangkan ganjaran yang berterusan tiada terkira-kira, dengan syarat kabul di sisi Tuhan yang Maha Suci.

****************************************
كلمتان

Khamis, Mei 20, 2010

Intan Terpilih

Syaikh al-'Alim al-'Allaamah as-Sayyid Ishaq bin 'Aqil bin Hasyim bin Muhammad bin 'Ali bin Hasyim bin 'Ali bin al-Husain bin 'Ali bin 'Abdul 'Aziz bin Muhammad bin 'Abdullah bin Sa`id bin Ahmad bin Daud bin 'Ibaad bin 'Ali bin 'Azuz yang bersambung nasab dengan al-Imam Hasan bin Amirul Mu'minin 'Ali radhiyaAllahu 'anhum ajmain adalah antara ulama Makkah yang tersohor kealimannya. Beliau dilahirkan dalam bulan Rabi`ul Awwal tahun 1330H di Makkah al-Mukarramah.

Beliau menghafal al-Quran dari usia kecil lagi dan pada tahun 1336H beliau memasuki Madrasah al-Falah sehingga tahun 1347H. Selain pembelajaran secara formal di al-Falah, beliau tidak ketinggalan belajar dengan para ulama yang mengajar dalam Masjidil Haram. Di antara guru-guru beliau adalah Syaikh Ahmad Naadhirin, Syaikh Muhammad Isa Rawwas, Syaikh Muhammad al-'Arabi at-Tabaani, Syaikh Muhammad Yahya Aman, Syaikh Muhammad Fudah, Syaikh Muhammad 'Athorid, Syaikh Abdul Wahhab Asyi, Syaikh Muhammad Amin Suwaid, Syaikh 'Umar BaJunaid, Syaikh 'Umar Hamdan al-Mahrasi dan ramai lagi rahimahumUllah ajma`in. Beliau mengabdikan hidupnya untuk ilmu dengan mengajar di Madrasah al-Falah dan pernah menjadi mudirnya dan pernah menjawat berbagai jawatan penting. Beliau mempunyai berbagai karya di antaranya:-
  1. al-Qawl al-Wajiid fi Tanzih Allah ta`ala an at-tasybih;
  2. I'laam al-Muslimin bi 'Ishmatin Nabiyyin;
  3. Da'f Syubuhaat al-Maani`iin lit Tawassul;
  4. al-Ittiba' wal Ibtidaa';
  5. al-Hujjajul Waadhihaat fi Najaatil Abawain wal Ajdaad wal Ummahaat;
  6. Masyru`iyyah az-Ziyyaarah;
  7. ar-Rawdh an-Nadhir min mawlid as-Siraj al-Munir SAW;
Beliau wafat di Makkah pada bulan Sya'ban 1415H dan jenazahnya dibawa ke Madinah al-Munawwarah untuk disemadikan di Jannatul Baqi' sebagaimana wasiat beliau. Moga Allah mencucuri rahmat dan kasih sayangNya sentiasa ke atas roh beliau dan leluhurnya serta sekalian ulama kaum Muslimin. ... al-Fatihah.

Dalam karya beliau "al-Hujjajul Waadhihaat fi Najaatil Abawain wal Ajdaad wal Ummahaat" beliau menulis dengan hujah - hujah yang kuat akan satu penjelasan bahawa kesemua datuk - datuk Junjungan Nabi SAW sejak Baginda Adam AS sehinggalah ayahanda baginda Sayyidina 'Abdullah RA dan nenda-nenda Junjungan Nabi SAW sejak Siti Hawa RA sehinggalah bonda baginda Siti Aminah RA adalah semuanya manusia-manusia pilihan yang beriman dan mentauhidkan Allah SWT. Dalam karya tersebut, beliau menyatakan bahawa hujjah yang leluhur Junjungan ini sebagai mukmin dan muwahhid adalah hujah yang terkuat bagi menyatakan keselamatan mereka dari azab Allah ta`ala, tanpa memerlukan kepada alasan yang mereka ini ahlul fatrah atau alasan yang ayah bonda Junjungan SAW telah dihidupkan sebentar untuk menyatakan keimanan mereka. Silalah tuan-tuan yang budiman tolonglah telek akan segala ayat-ayat al-Quran dan hadits-hadits mulia yang tuan kutaib tersebut kemukakan, sebelum tuan-tuan nak berkata sesuatu mengenai leluhur Junjungan Nabi SAW.

Ese kat sini tiadalah bercadang untuk menjelaskan segala nash tersebut yang telah sedia jelas dijelaskan dalam kutaib tersebut sejelas-jelasnya. Cuma di sini untuk mengambil suatu faedah, ese nukilkan khulasah yang diberikan oleh Khatimatul Muhaqqiqin Imam Ibnu Hajar al-Haitami al-Makki rahimahUllah yang menyatakan:-

"Segala hadits adalah jelas lafaz dan maknanya menyatakan bahawa segala bapa-bapa dan ibu-ibu Junjungan Nabi SAW sehinggalah kepada Nabi Adam AS adalah manusia-manusia pilihan lagi mulia dan bahawasanya segala ibu baginda adalah wanita-wanita yang suci. Dan orang kafir tidak disebut pada haknya sebagai orang pilihan, tidak juga sebagai orang yang mulia dan tidak juga sebagai orang yang suci, bahkan orang kafir itu najis (yakni i'tiqad dan pegangan mereka)." [Jadi jika dikatakan bahawa para leluhur Junjungan Nabi SAW adalah manusia pilihan, maka semestinya mereka adalah orang-orang yang beriman dan mentawhidkan Allah, bukannya orang-orang kafir atau musyrik.]
Allahu ... Allah, sungguh Junjungan Nabi SAW itu intan terpilih dari segala rupa macam intan dan permata bernilai tinggi di sisi Rabbul Izzati. Moga kita sekalian dikumpulkan bersama baginda dan para leluhur baginda dalam syurga tertinggi di bawah naungan Ilahi.

يا رسول الله....... لي الشفاعة

Jumaat, Mei 07, 2010

Sapa Kapiaq?????

Kita diperintahkan oleh Allah SWT agar sentiasa menjaga adab dan menghormati Junjungan Nabi SAW. Sekali-kali kita tidak dibenarkan untuk menyakiti akan hati baginda yang suci. Maka kenapa, ada segelintir yang sanggup mengeluarkan kata-kata yang secara langsung mencarik kehormatan Junjungan Nabi SAW. Tanpa segan silu dan rasa bersalah, mereka memfatwakan bahawa ayahanda dan bonda Junjungan SAW yang mulia adalah kafir dan diazab dalam neraka.

Puak-puak ini mendakwa mereka mengikut hadits yang shohih, tetapi kenapa pula mereka meninggalkan ayat al-Quran. Tidakkah mereka mengetahui bahawa ayahanda dan bonda Junjungan Nabi SAW wafat sebelum kerasulan Junjungan Nabi SAW. Adakah mereka lupa ayat Allah dalam surah al-Isra` ayat 15 yang berbunyi:-

وَمَا كُنَّا مُعَذِّبِينَ حَتَّى نَبْعَثَ رَسُولاً

" ... Dan tiadalah Kami mengazabkan sesiapapun sebelum Kami mengutuskan seorang Rasul (untuk menerangkan yang benar dan yang salah."

Apakah mereka tidak mengetahui bahawa ayahanda dan bonda Junjungan Nabi SAW wafat sebelum Baginda Muhammad SAW dinobatkan sebagai utusan Allah. Juga apa maslahatnya pada umat atau apa faedahnya kita menimbulkan isu yang boleh mencarik hati Junjungan Nabi SAW? Kalau kita tiada apa-apa yang elok dan molek hendak dikatakan berkaitan ayahanda dan bonda Junjungan SAW, bukankah elok kalau kita diam sahaja. ... Allahu ... Allah.

Inilah akibatnya apabila berhujjah dengan satu atau dua hadits tanpa melihat kepada ajaran Islam secara keseluruhan dan bersepadu, baik dari aspek aqidah, syariah dan lain-lainnya. Inilah akibat dari pembelajaran mereka berdasarkan ajaran memisah-misahkan Tawhid, akhirnya mata mereka jadi cemey sehingga tidak dapat melihat dengan sempurna. Tidakkah mereka melihat segala dalil yang ada dalam Islam seperti dalil ayat yang menunjukkan bahawa ahlul fatrah itu tidak diazab? Di manakah mereka meletakkan ayat tersebut. Mereka juga gagal memahami pandangan JUMHUR ULAMA berhubung isu tersebut, sehingga mereka bertindak khianat dengan memproklamir bahawa pendapat yang mereka pegangi itu adalah pendapat jumhur ulama sedangkan hakikatnya bukan begitu. Mereka juga tidak segan-segan menuduh bahawa pendapat yang menyatakan ayahanda dan bonda Junjungan SAW sebagai selamat adalah pandangan Syi`ah. Binawe punya manusia, bila dituduh Wahabau mereka marah dan tuduh pihak penuduh bermudah-mudah menghukum mereka. Tapi depa sendiri mudah-mudah je nak menuduh orang lain. (Maap le bahso ese ni, jangankan bahasa, ikut darjat kepanasan hari ini, nak gocoh pun seeeeeeeeeeeeeeettttt).

Wahai ikhwah yang budiman, ketahuilah oleh kamu sekalian bahawa JUMHUR ULAMA AHLUS SUNNAH WAL JAMA`AH merajihkan bahawa ayahanda dan bonda Junjungan Nabi SAW setidak-tidaknya termasuk dalam golongan AHLUL FATRAH dan tidak diazab oleh Allah SWT. Inilah pendapat JUMHUR, manakala pendapat yang menyatakan mereka kafir itu adalah pendapat yang dhoif yang marjuh. Manakala penisbahan pendapat ini kepada Imam Abu Hanifah juga bermasalah, kerana dalam kebanyakan naskhah "Fiqhul Akbar" yang sampai kepada kita tidak pun ada pernyataan yang menghukumkan kafir ayahanda dan bonda Junjungan Nabi SAW. Ramai ulama-ulama Hanafi, antara Syaikh Muhammad Zahid al-Kawthari rahimahUllah, telah menolak penisbahan pernyataan tersebut kepada Imam Abu Hanifah. Bahkan Mulla 'Ali al-Qari yang dikatakan sebagai menyokong pernyataan tersebut pada permulaannya telah menarikbalik pernyataannya itu syarahnya atas kitab "asy-Syifa`". Hal ini insya-Allah, akan kita tulis kemudian. Zaman kita sekarang ini, kalau ada yang berani dan tidak segan silu mengkafirkan ayahanda dan bonda Junjungan SAW maka biasanya mereka terdiri daripada kalangan pengikut dan pemuja anak Pak Wahab.

Sebenarnya, telah banyak penulisan ustaz-ustaz kita berhubung perkara ini, antaranya yang telah ditulis oleh al-Fadhil Sidi Abu Zahrah dalam blog beliau yang boleh dirujuk di sini. Di sini ese cuma nak menambahkan lagi khazanah ilmu kita dengan mendatangkan perkataan ulama-ulama lain berhubung perkara ini. Buat permulaannya ese, nukilkan perkataan Syaikh Manshur Ali Naashif yang berjodol "at-Taajul Jaami' lil Ushuuli fi ahaaditsir Rasul shallaAllahu 'alaihi wa sallam", karya yang telah diberi pengiktirafan oleh ramai ulama besar. Bahkan ianya diberi kata sambutan oleh Mufti Mesir pada zamannya Syaikh Muhammad Bakhit dan juga Syaikh Yusuf ad-Dajwi rahimahumAllah. Pada halaman 382, beliau, rahimahUllah, menulis:-
"Ziarahnya Junjungan Nabi SAW ke kubur bonda baginda, iaitu as-Sayyidah Aminah binti Wahb rahimahAllah wa radhiya 'anha. Dan tatkala Junjungan Nabi SAW berziarah ke kuburnya, baginda telah menangis kerana bondanya meninggal dunia sebelum kedatangan Islam dan memperolehi nikmatnya. Dan Allah ta`ala tidak mengizinkan NabiNya untuk memohon keampunan bonda baginda kerana untuk beristighfar memohon keampunan bagi seseorang memerlukan syarat orang tersebut hendaklah beragama Islam sedangkan bonda baginda wafat atas agama kaumnya. Ini tidaklah menafikan yang bonda baginda SAW itu masuk ke syurga kerana sesungguhnya beliau termasuk dalam kalangan AHLUL FATRAH, dan JUMHUR ULAMA berpandangan bahawa mereka (yakni ahlul fatrah) ini adalah golongan yang selamat dari azab Allah, sebagaimana firman Allah - Dan tiadalah Kami mengazabkan sesuatu kaum melainkan setelah diutuskan kepada mereka seorang rasul - iaitu kepada sekalian umat. Bahkan telah warid dan shohih di sisi pemuka-pemuka kasyaf bahawasanya Allah ta`ala telah menghidupkan kedua ayahanda dan bonda Junjungan Nabi SAW setelah kerasulan baginda, lalu mereka berdua beriman dengan baginda, maka dari itu disimpulkan bahawasanya kedua mereka adalah daripada ahli syurga. Telah bersyair sebahagian ulama:-
Telah kuyakini yang ayahanda serta bonda Junjungan Nabi
Dihidupkan Tuhan al-Karimul Bari
Hingga atas kebenaran kerasulan baginda mereka bersaksi
Maka kejadian sedemikian itu tadi
Adalah suatu kemuliaan bagi Pilihan Allah Junjungan Nabi
Justru sesiapa yang mendhaifkan akan khabaran ini
Maka dialah yang lemah dan dari hakikat berlepas diri

Dan perkara ini (yakni perkara menghidupkan ayahanda dan bonda Junjungan Nabi SAW) bukanlah sesuatu yang mustahil dan pelik (dinisbahkan kepada kekuasaan mutlak Allah, yakni ianya termasuk perkara yang mumkin dan bukannya mustahil). Maka kelebihan Allah itu luas dan kemuliaan yang dianugerahkan kepada kekasihNya adalah berlebih-lebih lagi dan jauh lebih luas.

Ulama-ulama kita seperti Imam as-Sayuthi dalam "Masalikul Hunafa` fi Walidayy al-Musthofa" menjelaskan bahawa pendapat rajih yang dipegang oleh Jumhur Ulama adalah setidak-tidaknya dengan 3 alasan, iaitu: (i) ayahanda bonda Junjungan termasuk ahlul fatrah; (ii) mereka atas agama al-Hanifiyyah dan tiada bukti mereka menyembah berhala; (iii) mereka dihidupkan sebentar oleh Allah dan menyatakan kesaksian mereka atas tawhid dan risalah. Dan Imam as-Sayuthi telah memenuhkan alasan-alasan ini dengan hujjah naqli baik berupa ayat-ayat al-Quran maupun hadits dan atsar. Silalah tuan-tuan telek akan hujjah beliau di sana. Maka tidak benar jika dikatakan bahawa pendapat yang menyatakan ayahanda dan bonda Junjungan SAW selamat hanya beralasankan kepada hadits dhoif yang memberitakan tentang mereka dihidupkan sebentar.

Allahu ... Allah, berhentilah daripada menyakiti hati Junjungan Nabi SAW dengan memburuk-burukkan ayahanda, bonda, kaum kerabat dan para sahabat baginda. Sesungguhnya kita tidak ada hak untuk memperkatakan apa-apa selain kebaikan bagi insan-insan yang telah dipilih Allah SWT untuk menjadi ayahanda, menjadi bonda, menjadi kerabat dan sahabatnya Junjungan Nabi SAW. Apakah Allah tersalah pilih ???? سبحان الله.

Akhirul kalam, maka tersebut dalam kitab "Tahqiiqul Maqaam 'ala Kifaayatil 'Awaam" kitab ilmu tawhid karangan ulama Ahlus Sunnah wal Jama`ah yang sebenar (baca betul-betul ya .. " ulama Ahlus Sunnah wal Jama`ah" bukan ulama Syi`ah), Syaikhul Islam, Syaikhul Azhar, Syaikh Ibrahim al-Baijuri rahimahUllah, pada halaman 13, setelah beliau menerangkan pendapat yang RAJIH menyatakan ayahanda dan bonda Junjungan Nabi adalah termasuk dalam kalangan AHLUL FATRAH YANG SELAMAT, menceritakan bahawa al-Qadhi Abu Bakar ibnul 'Arabi rahimahUllah, salah seorang ulama besar Malikiyyah, telah ditanyai berhubung seseorang berkata yang ayahanda Junjungan Nabi SAW itu berada di neraka. Maka al-Qadhi telah menjawab bahawa orang tersebut adalah MAL`UUN (kalau bahasa kita kita kata "melaun" yakni orang yang kena laknat) kerana Allah ta`ala telah berfirman: " Sesungguhnya orang - orang yang menyakiti Allah dan rasulNya, Allah melaknat mereka di dunia dan di akhirat dan menyediakan bagi mereka azab siksa yang menghina." Dan sebesar-besar perkara yang menyakiti Junjungan Nabi SAW adalah mengatakan bahawa ayahanda baginda berada di neraka.

Allahu ... Allah, hentikan menyakiti Baginda Nabi SAW.

Utusan Malaysia 7 Mei 2010

Jangan sakiti Rasulullah

SESIAPAPUN akan merasa sedih dan terguris hati jika keburukan kedua ibu bapanya disebut-sebut di hadapannya kalaupun ia suatu yang benar dan bukan sekadar tuduhan. Inilah fitrah hubungan kasih dan sayang yang ada di antara seseorang itu dengan ibu bapa kandungnya.

Keburukan apakah yang lebih besar daripada kekufuran dan kekufuran siapakah yang lebih jelas daripada Abu Lahab sehingga celaan Allah SWT terhadapnya terakam jelas di dalam al-Quran. Tetapi apabila sampai ke telinga Nabi SAW bahawa ada sahabat yang mengungkit tentang kekufuran dan penentangan Abu Lahab di hadapan anak perempuannya yang Muslim, Nabi SAW telah melarang dan menegur perbuatan itu dengan sabdanya, "Jangan engkau mencerca mereka yang mati, lalu engkau menyakiti mereka yang hidup." (Riwayat al-Tirmizi).

Jika itulah sikap Nabi SAW dalam kes Abu Lahab, bagaimanakah pula jika ibu dan ayah Nabi SAW sendiri yang disebut dan diungkit sebagai kufur dan berada dalam neraka? Adakah Nabi SAW tidak terguris hati atau merasa disakiti, tanpa mengira apa pun niat si penyebut? Lebih buruk lagi keadaannya jika diinsafi bahawa pandangan yang ibu dan ayah Nabi itu kufur adalah tidak benar dan bercanggah dengan pandangan jumhur ulama umat ini. Maka kenyataan tersebut turut merupakan suatu pendustaan dalam isu yang begitu dekat dengan kekasih Allah SWT dan makhluk-Nya yang paling mulia.

Malangnya, akhir-akhir ini, telah beberapa kali dakwaan bahawa ibu dan bapa Nabi SAW itu kufur dan berada dalam neraka di ketengahkan dalam masyarakat kita secara terbuka dalam media perdana oleh para pendakwah yang popular dan dikenali ramai. Dalam keadaan begitu, tidak mustahil akan ramai ahli masyarakat yang tidak berkeahlian akan mudah terpengaruh, lantas sama-sama mengulangi kalimah yang pastinya menyakiti Nabi SAW itu. Mahukah kita jika umat Islam di Malaysia sampai terhitung sebagai tidak peka dengan apa yang menyakiti Nabi SAW? Bukankah ini boleh mengundang kemurkaan Allah dan Rasul-Nya?

Isu Yang Tak Patut Ditimbulkan

Jika diteliti secara insaf, sebenarnya tidak terdapat satu sebab pun yang munasabah untuk isu status ibu dan bapa Nabi SAW kita ungkit dan ditimbulkan di tengah-tengah masyarakat kita. Jika tidak ditimbulkan isu ini, masyarakat kita amnya mempunyai tanggapan yang sangat mulia terhadap ibu dan bapa Nabi SAW. Sikap ini adalah sikap yang lebih tepat dan berasas, seperti yang akan kita huraikan. Kalau pun ada yang bertanggapan bahawa ini adalah suatu sikap yang bercanggah dengan hadis, apakah isu ini menepati keutamaan yang begitu tinggi dan mendesak sehingga perlu ditimbulkan. Adakah selama ini dengan memuliakan ibu dan bapa Nabi SAW telah begitu merugikan dan memundurkan Islam dan umatnya di Malaysia?

Selain kerana tiada keperluan jelas untuk ditimbulkan, isu ini juga tidak patut ditimbulkan secara terbuka kerana untuk benar-benar menganggapnya secara adil menuntut kajian dan penelitian ilmiah khusus. Kenapalah kita perlu menyibukkan masyarakat awam dengan persoalan-persoalan yang tidak mudah atau tidak mampu untuk mereka sikapi dengan adil?

Sebenarnya, isu ini ada persamaan dengan beberapa isu-isu agama yang sifatnya kompleks dan boleh mengelirukan yang suka ditimbulkan oleh segelintir penceramah akhir-akhir ini. Walaupun kita sangat keberatan membahaskannya, tetapi apabila sudah ada yang menimbulkannya secara terbuka maka wajiblah pula penjelasan dibuat agar masyarakat tidak keliru dan tersalah faham. Pendek kata ia sudah menjadi suatu kemungkaran dan kezaliman ilmiah yang wajib dicegah dan dibetulkan.

Fahaman Yang Lebih Sejahtera

Pandangan yang mendakwa ibu dan bapa Nabi SAW adalah kufur dan berada dalam neraka sebenarnya berpunca daripada dua hadis sahih yang diriwayatkan oleh Imam Muslim. Dalam salah satunya, Nabi SAW bersabda bahawa Baginda tidak diizinkan oleh Allah memohon keampunan bagi ibu Baginda tetapi diizinkan menziarahi kuburnya. Dalam hadis kedua, Nabi SAW diriwayatkan menjawab pertanyaan seorang lelaki tentang nasib bapanya dengan menjawab bahawa ayah lelaki tersebut dan ayah Baginda sendiri berada dalam neraka. Walaupun sahih dari segi sanadnya tetapi jumhur ulama berpendapat bahawa teks hadis-hadis ini tidak boleh difahami secara zahir semata-mata. Ia adalah suatu yang biasa berlaku dalam kita berinteraksi dengan hadis. Bukan hanya kesahihan sanad menjadi penentuan hukum daripada sesuatu hadis. Terdapat juga kaedah-kaedah tertentu dalam memahami teks hadis itu sendiri yang perlu dipatuhi.

Berdasarkan kaedah-kaedah dalam memahami teks hadis, hadis-hadis di atas sebenarnya tidak mendokong kesimpulan bahawa ibu dan bapa Nabi SAW kufur dan diazab. Pertamanya, makna zahir hadis-hadis ini tidak boleh dipegang kerana ia bertentangan dengan nas-nas al-Quran dan hadis-hadis lain. Antaranya, ayat-ayat dan hadis yang mensabitkan bahawa Nabi SAW adalah berasal daripada keturunan yang mulia dan terpelihara seperti ayat 219, surah al-Syu'ara' yang bermaksud, "dan (Allah melihat) pergerakanmu di antara orang-orang yang sujud". Ibnu 'Abbas r.a, seperti yang diriwayatkan oleh al-Bazzar, al-Tabrani dan Abu Nuaim serta dalam tafsir-tafsir al-Tabari dan al-Qurtubi, berpendapat bahawa ayat ini bermaksud bahawa Nabi SAW telah berpindah dari satu sulbi ke satu sulbi di kalangan nenek moyang yang sujud dan beriman. Hal ini disokong oleh hadis-hadis yang merakamkan bahawa Nabi SAW pernah memuji atau berbangga dengan ibu bapa dan keturunannya, sedangkan adalah tidak wajar Nabi SAW melakukan demikian jika mereka itu syirik atau kufur.

Maksud zahir hadis-hadis ini juga bertentangan dengan nas-nas al-Quran berkenaan kaedah bahawa Allah SWT tidak akan mengazab sesuatu kaum sebelum dikirimkan para rasul-Nya untuk menyampaikan agama yang benar (al-Israa':15, al-An'aam:131, al-Syu'araa', al-Nisaa':165). Terdapat pula ayat-ayat yang menafikan bahawa terdapat rasul yang dikirim kepada kaum Nabi Muhammad SAW sebelum kebangkitan Baginda (Saba':44, al-Qasas:46). Maka kesimpulan yang lebih tepat adalah kedua-dua ibu dan bapa Nabi SAW sama ada beriman dengan peninggalan risalah rasul-rasul yang terdahulu ataupun tergolong dalam kalangan Ahlul Fatrah, iaitu mereka yang berada di zaman yang tiada rasul, menyebabkan mereka secara prinsipnya tidak akan diazab.

Ada juga pandangan ulama yang mentakwilkan makna 'abi' dalam hadis kedua yang zahirnya bermaksud 'ayah' kepada Abu Talib atau Abu Lahab, bapa-bapa saudara Nabi SAW dan bukannya Abdullah, bapa Baginda SAW.

Penggunaan panggilan sebegini memang berlaku dalam bahasa Arab dan dalam al-Quran sendiri dalam kes Nabi Ibrahim AS (al-An'aam : 74). Ada juga pandangan ulama bahawa kedua-dua hadis Riwayat Muslim itu memang perlu ditakwilkan kerana makna zahirnya bercanggah. Jika ibu Nabi SAW benar-benar kafir, Nabi SAW tidak akan diizinkan Allah SWT untuk menziarahi kuburnya.

Kita juga telah menyentuh bagaimana mengatakan ibu dan bapa Nabi SAW berada di dalam neraka akan menyakiti Nabi SAW. Menyakiti Nabi dengan apa cara sekalipun adalah jelas diancam di dalam al-Quran dengan laknat Allah SWT di dunia dan akhirat serta dijanjikan dengan siksa yang pedih dan hina (al-Tawbah:61 dan al-Ahzab:57). Melihat betapa besarnya kesalahan ini, tidak hairanlah Saidina Umar bin Abdul Aziz dilaporkan telah mengancam seorang pegawainya yang mengatakan ibu dan bapa Nabi SAW musyrik dengan hukuman dipotong lidahnya, dipotong tangan dan kakinya dan dipancung kepalanya. Lalu pegawai itu dilarang memegang apa-apa jawatan sepanjang khilafahnya.(Tarikh Ibn 'Asakir). Imam al-Alusi (m.1127H) pula dalam Tafsir Ruh al-Maaninya ada memberi amaran keras, "Aku bimbangkan kekufuran terhadap seseorang yang menuduh ibu dan ayah Nabi SAW (kufur) (Jilid 11, ms.207).

Perincian dan huraian lanjut tentang pandangan para ulama yang membela ibu dan bapa Nabi SAW boleh didapati dalam beberapa kitab termasuk kitab-kitab khusus karangan Imam al-Hafiz Jalaluddin al-Suyuti, Masalik al-Hunafa dan al-Ta'dzim wal Minnah, kitab al-Hujaj al-Wadhihaat karya ulama' Makkah, Al-'Allamah Sayyid Ishaq Azzuz, kitab Sadad al-Din oleh Imam al-Barzanji, kitab Hadyu al-Nairain karya al-Allamah Prof.Dr.Judah al-Mahdi dari Universiti al-Azhar Mesir dan fatwa Mufti Mesir, Al-Syeikh Dr.Ali Jum'ah dalam koleksi fatwanya, al-Bayan. Insya-Allah dalam masa terdekat, kami akan mengeluarkan terjemahan dan sedutan daripada kitab-kitab ini dalam bahasa Melayu.

Jelas daripada perbahasan ringkas kita ini bahawa, jika kita mahu, ruang untuk kita mempertahankan keimanan dan terselamatnya ibu dan bapa Nabi SAW yang mulia adalah luas terbentang. Kalaulah bersangka baik itu terpuji, maka apakah lagi situasi yang lebih utama untuk kita bersangka baik selain dalam isu ini yang membabitkan hak kekasih dan makhluk yang paling dimuliakan oleh Allah SWT. Ia juga sebenarnya adalah sangka baik kita terhadap Allah SWT sendiri yang Maha Kaya lagi Berkuasa untuk meletakkan zuriat kekasih-Nya dalam rantaian keturunan hamba-hamba-Nya yang terpilih.

Di sebalik episod yang sangat mengguris hati ini, mungkin ada beberapa hikmah dan pengajaran yang perlu diambil. Para penceramah yang giat mengisi ruang dakwah di tengah masyarakat mestilah sangat berhati-hati dalam memilih kandungan dan mesej dakwah mereka. Ini kerana, bersama populariti dan kemasyhuran itu datangnya amanah yang dipertanggungjawabkan. Bagi masyarakat pula, di zaman ledakan informasi ini yang turut menyaksikan informasi agama turut tersebar tanpa kawalan, mereka perlulah lebih berhati-hati dalam mempercayai apa yang mereka baca dan dengar. Maklumat agama yang keluar di akhbar, terdengar di radio, tersiar di TV dan popular di internet tidaklah semestinya dijamin betul dan benar. Dalam bab agama, janganlah kita malas mengkaji dan mempastikan kerana akhirat kitalah yang jadi pertaruhannya. Isu ini juga adalah satu contoh jelas bagaimana sikap terlalu merujuk kepada Sunnah tanpa berpandukan kaedah dan panduan para ulama muktabar adalah sikap yang silap dan merbahaya. Janganlah kita mudah terbawa-bawa dengan sesetengah aliran yang mendakwa sebagai menjuarai Sunnah sedangkan hakikatnya mereka sering menzalimi Sunnah dan yang empunya Sunnah SAW. Semoga Allah SWT menjadikan kita di kalangan mereka yang sentiasa menggembirakan dan mempertahankan kekasih-Nya, Nabi Muhammad SAW.

Penulis ialah Ahli Majlis Agama Islam Negeri Sembilan dan Penasihat Yayasan Sofa Negeri Sembilan